Waktu tu sekitar jam 12 pagi. Saya baru sampai di Kuala Lipis, Pahang bagi memenuhi jemputan majlis kenduri kahwin yang akan diadakan disana.
Jemputan tu, bukannya untuk saya. Sebaliknya jemputan tersebut dipanjangkan kepada ibu mertua saya seisi keluarga. Sayalah yang kena jadi driver untuk bawa ke tempat itu.
Memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Kuala Lipis, mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan, maka saya ambil keputusan untuk bermalam di sana. Macam biasa, saya gunakan laman web Airbnb untuk buat tempahan homestay.
Actually kalau nak buat tempahan hotel pun boleh. Anda boleh ke pautan ini untuk lihat senarai hotel yang terdapat di Kuala Lipis. Just in case, anda juga merancang untuk kesana.
Malam tu saya duduk bersembang dengan ayah mertua. Baru lepas minum kopi, jadi mata tak begitu mengantuk pada masa tersebut. Tengah duduk bersembang, tiba-tiba saya terdengar bunyi yang memang tak begitu asing lagi.
ciiiit… ciiit… ciiit
Tak berapa lama selepas tu, jelas kelihatan kelibat Che Ti (tikus) sebagai pemilik suara tersebut.
“Inilah masalah bila orang kita buat bisnes homestay, kan bah… Diorang ni macam nak tak nak je buat bisnes ni…”
Ayat tu keluar secara automatik dari mulut saya. Rasa agak kecewa, sebab saya rasa tak sepatutnya malam tu kami ada pelawat seperti itu.
Saya kerap baca review dari para pengunjung yang pernah menggunakan laman web Airbnb untuk membuat tempahan. Ada antara review dari pengunjung terdahulu, yang bila kita baca, memang agak keras terhadap pemilik bisnes homestay ataupun guesthouse.
Misalnya, kalau rumah tersebut kotor, atau tidak seperti yang diiklankan, atau mempunyai sebarang kecacatan, memang akan ada pengunjung sebelum ini yang akan hentam point tersebut.
“Rumah sangat kotor dan berbau busuk. Kami sekeluarga sangat tak selesa…”
“Keadaan rumah tak seperti yang diiklankan. Semasa kami sampai, rumah dalam keadaan bersepah dan berhabuk…”
Kita ni bila baca review macam tu, sesekali akan rasa macam cerewet betul pengunjung ini. Semua benda serba tak kena bagi diri dia.
Tapi bila kita fikir balik, memang patut pun dia bagi review yang macam tu. Bila dia buat tempahan, dia sepatutnya akan dapat servis yang baik, seperti mana yang diiklankan. Kalau tak mampu nak bagi yang lebih baik, berbanding yang dinyatakan dalam iklan, sekurang-kurangnya janganlah berikan servis yang begitu teruk.
Kesannya? Review yang negatif seperti ini akan memberi impak negatif kepada pemilik homestay itu sendiri. Biasanya orang akan cuba elakkan untuk menginap ditempat yang ada review negatif. Kalau memang dah tak ada pilihan, barulah tawakal sahaja. Menginap juga ditempat tersebut, dengan harapan, tiada perkara buruk yang akan berlaku.
Berkenaan dengan kehadiran tetamu yang tak diundang tadi, iaitu Che Ti. Selalunya, apa yang membuatkan tikus masuk ke rumah? Ada pembaca yang tahu dan sudi kongsi pengetahuan?
Dari pembacaan yang saya buat, biasanya ada beberapa sebab kenapa tikus boleh masuk dalam rumah.
i. Ada makanan dan sumber air untuk tikus
Tikus adalah sejenis haiwan yang makan apa sahaja, termasuk sisa makanan. Jika rumah lambat dikemas, sisa makanan lambat dibuang setelah tetamu check out, ini akan menarik perhatian tikus untuk datang. Cuba bayangkan, tetamu dah check out, tetapi selepas 3 hari baru tuan rumah datang untuk kemas rumah. Masa ini, bukan setakat tikus, ulat pun ada banyak disitu.
ii. Tikus tersebut memerlukan tempat untuk bersarang
Ini untuk perlindungan tikus itu tadi. Dia juga perlu tempat untuk membina sarang dan membiak. Kediaman yang jarang didiami memang akan jadi sasaran tikus.
iii. Terdapat lubang-lubang yang boleh dilalui tikus
Badan tikus yang comel ini amat memudahkan ia untuk masuk ke dalam rumah. Maka disini, pemilik rumah perlu alert dan pastikan tiada laluan untuk tikus masuk dalam rumah.
iv. Tiada usaha untuk mengawal tikus
Kena buat pest control secara berkala, jika rumah tersebut memang ada masalah dengan tikus. Ataupun setidak-tidaknya kena sediakan perangkap tikus. Ya, kena ada sedikit usaha dari tuan rumah.
Baiklah, memandangkan saya bukanlah pakar tikus, jadi saya rasa ada baiknya saya tak lanjutkan lagi perbincangan mengenai masalah tikus disini.
Saya pernah tulis satu artikel berjudul 10 Rahsia Pelaris Bisnes Homestay – Panduan menjalankan perniagaan homestay yang disukai pengunjung. Artikel tersebut adalah sempena mengambil nama sebuah ebook yang saya pernah baca, tentang perniagaan homestay.
Ebook ini boleh dimuat turun secara percuma sahaja dari laman web ini.
Saya harap, buat para penggiat dan pengusaha bisnes homestay tu, bolehlah baca ebook ini. Ebook ini PERCUMA sahaja. Kalau nak yang versi berbayar pun ada, tapi itu terpulang pada anda. Kalau rasa perlu, dan anda yakin ebook tersebut mampu memberikan anda ilmu yang anda tak akan perolehi ditempat lain, maka belilah.
Ini pun sebahagian daripada pelaburan. Anda dapatkan ilmu yang berkaitan dengan bidang dan perniagaan anda. Jika kena dengan caranya, anda juga yang akan untung dan akan dapat pulangan yang berkali ganda melalui sewaan dari tetamu homestay anda.
Setelah menginap dibeberapa homestay, yang dimiliki oleh orang kita (Melayu), saya boleh katakan ini adalah antara beberapa masalah yang seringkali saya temui. Sebelum itu, biar saya beritahu terlebih dahulu, bukan semua ada masalah seperti ini, cuma sebahagian sahaja.
(1) Ada kerosakkan yang tak dibaiki
Kerosakkan itu mungkin kerosakkan yang kecil. Misalnya ada pintu yang tak boleh dikunci, tingkap yang tak boleh ditutup rapat, kepala shower di bilik air dah tercabut tapi masih belum diganti, kepala paip yang tercabut tapi tak dibetulkan, tandas tak boleh flush dan pelbagai lagi kerosakkan.
Ya, ia memang tak begitu mencacatkan, tapi dengan adanya kerosakkan kecil seperti ini, pasti akan buatkan keselesaan pengunjung yang datang menginap di homestay tersebut sedikit terganggu.
(2) Rumah nampak kotor
Nampak kotor tak bermakna rumah tersebut kotor. Ada satu homestay yang saya pernah sewa sebelum ni, dibahagian dapur ada banyak kesan cat dan seperti kesan tumpahan minyak. Kesan tersebut dah agak lama, dan nampaknya ianya agak sukar ditanggalkan lagi.
Kali pertama lihat, memang saya ingat tempat tu kotor. Bila saya cuba bersihkan, kesan tu dah tak nak hilang. Saya berpendapat, kalau rumah ada kesan yang sukar dihilangkan seperti ini, apa kata kita cat semua dengan warna yang baru, supaya kesan kotor dapat ditutup.
Ataupun, kalau kesan kotor tu terlekat pada dinding, tampal sahaja dengan wall paper. Apa yang penting, kesan kotor tu dapat dihilangkan. Tapi itulah… sesetengah orang, buat kisah tak kisah je dengan hal-hal macam ni.
(3) Kelengkapan dalam rumah yang tak mencukupi
Saya pernah menginap di homestay, yang tak menyediakan cermin, kecuali satu cermin yang agak kusam yang tempatnya dalam bilik mandi.
Memang cukup seksa nak bersolek, bila berada dalam rumah tu. Kalau kebetulan pada waktu tu ada orang tengah gunakan bilik mandi, kita terpaksa tunggu orang yang mandi itu siap terlebih dulu. Saya rasa, rumah tu macam rumah yang tak berpenghuni. Ataupun mungkin tuan rumah tak pernah tinggal, walaupun satu malam dalam rumah tu. Cubalah tinggal di homestay milik anda, dan rasai sendiri pengalaman tinggal dalam homestay milik anda sendiri.
Rasa puas hati atau tidak? Selesa ke tak selesa? Kalau anda sendiri rasa seperti ada kekurangan pada homestay tersebut, jangan terkejut kalau pengunjung yang sesekali datang ke situ, akan jumpa lagi banyak kekurangan.
Tak perlu rasa pelik atau terus melabel tetamu anda sebagai cerewet. Mereka memang layak untuk dapatkan servis yang terbaik. Lazimnya, orang yang biasa check in hotel atau guesthouse, mereka memang cukup peka terhadap kekurangan sesebuah tempat yang mereka telah kunjungi.
(4) Susun atur yang tak begitu menarik
Homestay tu boleh jadi ada ruang yang agak besar. Tapi oleh sebab susun atur yang tak begitu baik, jadi ruang dalam homestay jadi sempit. Ataupun keadaan yang kerap kali berlaku, adalah susun atur di dalam bilik tidur.
Katil terletak betul-betul sebelah bilik air. Ini biasa berlaku bagi masterbedroom.
Ataupun kedudukan katil agak jauh dari aircond. Bila pasang aircond, kita lambat terasa sejuk.
Bukan itu sahaja, malahan power plug juga terletak jauh. Kita sukar nak cas handphone apabila kita duduk berehat dikatil.
Pendek kata, banyak betul benda yang serba tak kena.
Ini saya bukan buat cerita. Saya memang betul-betul pernah lalui pengalaman tersebut.
(5) Perabot yang agak usang
Senang kata, kebanyakkan perabot dalam rumah memang yang dah lama. Mungkin sebab pemilik homestay ni, dah beli perabot yang baru. Jadi perabot lama yang dah tak pakai, yang dah buruk, semuanya diletakkan dalam homestay. Maklumlah, kalau nak buang terasa sayang. Lagipun masa beli dulu, guna duit… kan?
Barang yang baru, dia pakai untuk kegunaan sendiri. Barang lama dan yang dah buruk, letak dekat homestay. Patut ke pemilik bisnes buat macam ni? Itu yang saya kata, mereka ni macam nak tak nak je buat bisnes homestay.
Pada saya, kalau dia benar-benar serius nak buat bisnes, dia patutnya letakkan yang terbaik di homestay. Sebab homestay itu adalah tempat yang akan memberi income kepada dia. Bila dapat income dari bisnes homestay tu nanti, bolehlah ganti perabot dan perkakasan yang ada dirumah satu per satu.
(6) Tiada tanda arah kiblat
Bagi saya, ini penting. Tak tahu la bagi orang lain.
Walaupun handphone yang saya gunakan, memang dah ada apps yang boleh tunjukkan arah kiblat, tapi saya rasa kalau tuan rumah ada sediakan penanda arah untuk tunjuk arah kiblat, itu lagi baik. Setidak-tidaknya, saya rasa lebih yakin dengan panduan arah yang ditunjukkan oleh apps yang saya gunakan, jika ia menunjukkan arah yang sama.
Lagipun kita kan tengah check in di homestay milik orang Melayu Islam, kan. Kenapa tak boleh ke nak sediakan penanda arah tu?
Tapi… bukan semua homestay milik orang Melayu teruk macam tu…
Memanglah. Hishhh susah betul cakap dengan orang macam ni. Kita tengah cerita mengenai sebahagian daripada masalah bisnes homestay yang pengusahanya adalah orang melayu. Bukan cerita semua orang melayu ada masalah macam ni.
Faham tak? Dalam apa juga isu, pasti akan ada kelompok yang baik, tak baik dan dipertengahan. Saya sekarang ini tengah cerita kelompok yang tak berapa baik tu.
Apa pun, bukanlah nak kata, semua homestay milik orang kita ada isu macam ni. Tak… yang bagus pun banyak. Mana yang bagus-bagus tu saya ucapkan syabas dan tahniah, dan ada juga yang saya tulis review secara percuma untuk mereka. Kalau boleh saya nak lebih ramai orang tahu betapa bagusnya perkhidmatan homestay yang anda berikan supaya lebih ramai orang boleh check in di tempat anda, dan lebih banyak income yang anda boleh perolehi.
Kalau anda juga adalah pemilik bisnes homestay, dan homestay anda tu ada kekurangan, perbaikilah. Tak perlulah nak melenting atau terus nak melabel tetamu anda yang memberi feedback tu sebagai cerewet, pelanggan dari neraka atau apa-apa sahaja. Ingat sikit, mereka bukannya menumpang dirumah anda, sebaliknya mereka membayar untuk bermalam dikediaman anda.
Mereka telahpun ikut berapa harga yang anda tetapkan, jadi salahkah kalau mereka mahukan khidmat yang terbaik.
Benda baik orang jarang nak cerita. Tapi benda yang tak berapa baik, nanti cepat je orang tulis dalam review. Akhirnya pelanggan yang baru, akan rasa was-was nak menginap di homestay milik anda.
Ini dah tentu akan merugikan anda semula.
Alang-alang bercerita pasal homestay ni, saya nak iklankan homestay milik pelanggan saya. Jika anda ke Kota Kinanabalu dan mencari homestay murah di Kota Kinabalu, bolehlah buat tempahan dengan pelanggan saya ni ya.
Baca info disini: Homestay bajet di Kota Kinabalu
Fatin says
Ada homestay yang tidak jaga dan buat maintenance dengan baik. Tempat yang penting macam bilik mandi dan jamban jika tiada maintenance dengan baik, maka mesti tidak orang suka bermalam di homestay tu.
duns says
paling utama kebersihan baru kecantikan homestay… keselesaan dan banyak lagi.. tpi bila mana tak bersih semua nampak tak bagus,.. tiada keselesaan..nampak kotor jee…