Masalah dengan bisnes homestay yang diusahakan oleh orang kita

by sabree hussin on November 13, 2018

in Idea Bisnes

Waktu tu sekitar jam 12 pagi. Saya baru sampai di Kuala Lipis, Pahang bagi memenuhi jemputan majlis kenduri kahwin yang akan diadakan disana.

 

Jemputan tu, bukannya untuk saya. Sebaliknya jemputan tersebut dipanjangkan kepada ibu mertua saya seisi keluarga. Sayalah yang kena jadi driver untuk bawa ke tempat itu.

 

Memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Kuala Lipis, mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan, maka saya ambil keputusan untuk bermalam di sana. Macam biasa, saya gunakan laman web Airbnb untuk buat tempahan homestay.

 

Malam tu saya duduk bersembang dengan ayah mertua. Baru lepas minum kopi, jadi mata tak begitu mengantuk pada masa tersebut. Tengah duduk bersembang, tiba-tiba saya terdengar bunyi yang memang tak begitu asing lagi.

ciiiit… ciiit… ciiit

 

Tak berapa lama selepas tu, jelas kelihatan kelibat Che Ti (tikus) sebagai pemilik suara tersebut.

tips-bisnes-homestay

“Inilah masalah bila orang kita buat bisnes homestay, kan bah… Diorang ni macam nak tak nak je buat bisnes ni…”

 

Ayat tu keluar secara automatik dari mulut saya. Rasa agak kecewa, sebab saya rasa tak sepatutnya malam tu kami ada pelawat seperti itu.

 

Saya kerap baca review dari para pengunjung yang pernah menggunakan laman web Airbnb untuk membuat tempahan. Ada antara review dari pengunjung terdahulu, yang bila kita baca, memang agak keras terhadap pemilik bisnes homestay ataupun guesthouse.

 

Misalnya, kalau rumah tersebut kotor, atau tidak seperti yang diiklankan, atau mempunyai sebarang kecacatan, memang akan ada pengunjung sebelum ini yang akan hentam point tersebut.

 

Kita ni bila baca review macam tu, sesekali akan rasa macam cerewet betul pengunjung ini. Semua benda serba tak kena bagi diri dia.

 

Tapi bila kita fikir balik, memang patut pun dia bagi review yang macam tu. Bila dia buat tempahan, dia sepatutnya akan dapat servis yang baik, seperti mana yang diiklankan. Kalau tak mampu nak bagi yang lebih baik, berbanding yang dinyatakan dalam iklan, sekurang-kurangnya janganlah berikan servis yang begitu teruk.

 

Saya pernah tulis satu artikel berjudul 10 Rahsia Pelaris Bisnes Homestay – Panduan menjalankan perniagaan homestay yang disukai pengunjung. Artikel tersebut adalah sempena mengambil nama sebuah ebook yang saya pernah baca, tentang perniagaan homestay.

rahsia-kejayaan-bisnes-homestay

Ebook ini boleh dimuat turun secara percuma sahaja dari laman web ini.

 

Saya harap, buat para penggiat dan pengusaha bisnes homestay tu, bolehlah baca ebook ini. Ebook ini PERCUMA sahaja. Kalau nak yang versi berbayar pun ada, tapi itu terpulang pada anda. Kalau rasa perlu, belilah.

 

Setelah menginap dibeberapa homestay, yang dimiliki oleh orang kita, saya boleh katakan ini adalah antara beberapa masalah yang seringkali saya temui.

 

(1) Ada kerosakkan yang tak dibaiki

Kerosakkan itu mungkin kerosakkan yang kecil. Misalnya ada pintu yang tak boleh dikunci, shower di bilik air dah tercabut tapi masih belum diganti, kepala paip yang tercabut tapi tak dibetulkan.

 

Ya, ia memang tak begitu mencacatkan, tapi dengan adanya kerosakkan kecil seperti ini, pasti akan buatkan keselesaan pengunjung yang datang menginap di homestay tersebut sedikit terganggu.

 

(2) Rumah nampak kotor

Nampak kotor tak bermakna rumah tersebut kotor. Ada satu homestay yang saya pernah sewa sebelum ni, dibahagian dapur ada banyak kesan cat dan seperti kesan tumpahan minyak. Kesan tersebut dah agak lama, dan nampaknya ianya agak sukar ditanggalkan lagi.

 

Kali pertama lihat, memang saya ingat tempat tu kotor. Bila saya cuba bersihkan, kesan tu dah tak nak hilang. Saya berpendapat, kalau rumah ada kesan yang sukar dihilangkan seperti ini, apa kata kita cat semua dengan warna yang baru, supaya kesan kotor dapat ditutup.

 

Ataupun, kalau kesan kotor tu terlekat pada dinding, tampal sahaja dengan wall paper. Apa yang penting, kesan kotor tu dapat dihilangkan. Tapi itulah… sesetengah orang, buat kisah tak kisah je dengan hal-hal macam ni.

 

(3) Kelengkapan dalam rumah yang tak mencukupi 

Saya pernah menginap di homestay, yang tak menyediakan cermin, kecuali satu cermin yang agak kusam yang tempatnya dalam bilik mandi.

 

Memang cukup seksa nak bersolek, bila berada dalam rumah tu. Saya rasa, rumah tu macam rumah yang tak berpenghuni. Ataupun mungkin tuan rumah tak pernah tinggal, walaupun satu malam dalam rumah tu. Cubalah tinggal di homestay milik anda, dan rasai sendiri pengalaman tinggal dalam homestay milik anda sendiri.

 

Rasa puas hati atau tidak? Selesa ke tak selesa? Kalau anda sendiri rasa seperti ada kekurangan pada homestay tersebut, jangan terkejut kalau pengunjung yang sesekali datang ke situ, akan jumpa lagi banyak kekurangan.

 

(4) Susun atur yang tak begitu menarik

Homestay tu boleh jadi ada ruang yang agak besar. Tapi oleh sebab susun atur yang tak begitu baik, jadi ruang dalam homestay jadi sempit. Ataupun keadaan yang kerap kali berlaku, adalah susun atur di dalam bilik tidur.

 

Katil terletak betul-betul sebelah bilik air, bagi masterbedroom.

Ataupun kedudukan katil agak jauh dari aircond. Bila pasang aircond, kita lambat terasa sejuk.

 

Ini saya bukan buat cerita. Saya memang betul-betul pernah lalui pengalaman tersebut.

 

(5) Perabot yang agak usang

Senang kata, kebanyakkan perabot dalam rumah memang yang dah lama. Mungkin sebab pemilik homestay ni, dah beli perabot yang baru. Jadi perabot lama yang dah tak pakai, yang dah buruk, semuanya diletakkan dalam homestay.

 

Barang yang baru, dia pakai sendiri. Barang lama dan yang dah buruk, letak dekat homestay. Patut ke pemilik bisnes buat macam ni? Itu yang saya kata, mereka ni macam nak tak nak je buat bisnes homestay.

 

(6) Tiada tanda arah kiblat

Bagi saya, ini penting. Tak tahu la bagi orang lain.

 

Walaupun handphone yang saya gunakan, memang dah ada apps yang boleh tunjukkan arah kiblat, tapi saya rasa kalau tuan rumah ada sediakan penanda arah untuk tunjuk arah kiblat, itu lagi baik. Setidak-tidaknya, saya rasa lebih yakin dengan panduan arah yang ditunjukkan oleh apps yang saya gunakan, jika ia menunjukkan arah yang sama.

 

Lagipun kita kan tengah check in di homestay milik orang Melayu Islam, kan. Kenapa tak boleh ke nak sediakan penanda arah tu?

 

Apa pun, bukanlah nak kata, semua homestay milik orang kita ada isu macam ni. Tak… yang bagus pun banyak. Kalau anda juga adalah pemilik bisnes homestay ini, dan homestay anda tu ada kekurangan, perbaikilah.

 

Benda baik orang jarang nak cerita. Tapi benda yang tak berapa baik, nanti cepat je orang tulis dalam review. Akhirnya pelanggan yang baru, akan rasa was-was nak menginap di homestay milik anda.

 

Ini dah tentu akan merugikan anda semula.

 

Alang-alang bercerita pasal homestay ni, saya nak iklankan homestay milik pelanggan saya. Jika anda ke Kota Kinanabalu dan mencari homestay murah di Kota Kinabalu, bolehlah buat tempahan dengan pelanggan saya ni ya.

Baca info disini: Homestay bajet di Kota Kinabalu

 

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

Fatin November 21, 2018 at 1:27 pm

Ada homestay yang tidak jaga dan buat maintenance dengan baik. Tempat yang penting macam bilik mandi dan jamban jika tiada maintenance dengan baik, maka mesti tidak orang suka bermalam di homestay tu.

Reply

duns November 21, 2018 at 3:46 pm

paling utama kebersihan baru kecantikan homestay… keselesaan dan banyak lagi.. tpi bila mana tak bersih semua nampak tak bagus,.. tiada keselesaan..nampak kotor jee…

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: