Anda mungkin dah pernah dengar topik ini dibincangkan berulang kali.
Boleh jadi, anda juga telah mencuba sendiri tapi anehnya, anda masih tetap belum berjaya hasilkan sebarang income melalui kerja-kerja penulisan. What if ada sesuatu yang sebenarnya anda terlepas pandang, berkenaan dengan kerja seumpama ini?
Sebenarnya anda tak keseorangan. Ada ramai lagi individu yang masih belum berjaya. Ya, situasinya lebih kurang sama seperti anda.
Kalau ada yang berjaya buat duit sekalipun, ianya bukan satu pendapatan yang cukup membanggakan. Bulan ini berjaya raih 4 angka, bulan depan belum tentu lagi. Mungkin boleh kekalkan, mungkin jatuh kepada 3 angka, atau mungkin langsung tak ada sebarang income.
Menulis ini juga sebenarnya ada formulanya. Kalau tak ikut formula, jangan kata nak jadi kaya dari kerja-kerja penulisan, nak dapat income yang konsisten 4 angka sebulan juga sangat susah.
By the way, anda ada kenal sesiapa yang jadi kaya sebab buat duit dengan menulis? Most likely, anda akan jawab… tidak. Almaklumlah, orang yang kerjanya menulis ini, lebih selesa bekerja dibelakang tabir dan kurang minat untuk dikenali.
Mungkin sebab itu, dia pilih kerjaya sebagai penulis. Suatu kerjaya yang dia boleh bersendiri dan buat apa yang dia suka. Orang yang kenal dirinya, hanya kenal melalui penulisan yang dihasilkan.
Baiklah, kali ini kita nak cerita mengenai kerjaya sebagai seorang penulis. Satu kerjaya yang sangat dekat dengan jiwa saya. Pada saya, kerjanya agak unik. Kita boleh pilih sama ada nak bekerja dengan majikan, ataupun jika kita jenis yang tak suka bekerja dengan sesiapa, kita boleh jadikan kerjaya penulisan ini sebagai kerja sendiri.
Iklan jawatan kosong sebagai penulis
Kalau anda ada masa, mungkin boleh layari platform carian kerja, sama ada jobstreet, maukerja dan sebagainya, bagi melihat iklan kerja kosong yang berkaitan dengan kerja sebagai seorang penulis.
Dekat situ, anda boleh dapatkan sedikit gambaran, berapakah kadar gaji atau potensi pendapatan yang anda boleh hasilkan melalui kerjaya ini, jika anda memilih untuk bekerja dengan majikan.
Tawaran gaji untuk seorang penulis yang bekerja dengan majikan sebenarnya agak lumayan. Ini buktinya
Gaji yang ditawarkan? Boleh dapat sekitar RM2,500 – RM3,500 sebulan. Saya kira itu merupakan satu bayaran yang agak munasabah dan boleh hidup selesa kalau masih single. Iklan kerja kosong diatas saya ambil dari laman carian kerja, maukerja.my.
Walaubagaimanapun, saya dapati jika anda memilih untuk bekerja dengan majikan, skop kerja anda boleh jadi tidak terhad kepada penulisan semata-mata.
Pada masa yang sama, anda juga perlu memiliki kemahiran lain, misalnya kemahiran menghasilkan design, editing, marketing, sales dan sebagainya.
Sepanjang saya bergiat secara aktif dalam kerja-kerja menulis, saya dapati ada terdapat sekurang-kurangnya 5 cara yang munasabah yang anda boleh cuba, kalau anda betul-betul seorang yang minat menulis dan ingin buat duit melalui kerja ini.
Lazimnya, untuk dapatkan income yang kukuh, seseorang itu perlulah fokus kepada sesuatu kaedah untuk satu tempoh masa. Tak boleh nak lompat-lompat kaedah, dan sebaik-baiknya fokus satu kaedah dulu sampailah nampak hasilnya.
Perbincangan mengenai cara buat duit sebagai penulis ini agak panjang, sebab ada beberapa perkara yang saya ingin highlight kepada anda. Justeru, tanpa melengahkan masa, jom kita lihat, bagaimanakah cara untuk buat duit dengan menulis.
(1) Buat duit dengan menjadi penulis artikel
Kita mulakan dengan cara buat duit sebagai penulis yang paling mudah, iaitu kita menulis artikel bagi pihak klien.
Saya berpendapat, kaedah ini boleh dilakukan oleh hampir semua orang. Walaupun saya kata kaedah ini boleh dilakukan oleh hampir semua orang, namun lazimnya mereka yang akan betul-betul bertindak adalah mereka yang
1. Minat menulis
Pertama sekali perlu ada rasa minat dalam bidang penulisan ini. Kalau orang yang tak minat menulis, mereka akan rasakan kerja-kerja penulisan sangat leceh dan membosankan.
2. Ada kemahiran dan skil dalam bidang penulisan
Seperti yang kita semua tahu, bidang penulisan ini juga perlu ada kemahiran dan skil. Dari situ, barulah kita dapat hasilkan karya penulisan yang baik dan dengan harapan karya kita itu nanti akan diminati oleh golongan yang kita sasarkan.
3. Mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri
Orang yang ada keyakinan yang tinggi, dia pasti mampu untuk mengekspresikan dirinya melalui karya penulisan yang bakal dihasilkan. Sebaliknya, orang yang kurang keyakinan akan selalu merasakan dirinya tak cukup bagus dan tak ada bakat menulis.
Dalam fikirannya, ada banyak perkara yang difikirkan dan dia merasakan seolah-olah orang akan mengkritik karya penulisan yang dihasilkan. Sedangkan dia belum lagi memulakan kerja-kerja penulisan tersebut.
4. Berani menghadapi cabaran
Cabaran untuk menghasilkan karya yang berkualiti tinggi dan disukai oleh pembaca. Cabaran untuk menghasilkan karya baru, yang lebih baik berbanding karya yang terdahulu.
Sebenarnya dalam bidang penulisan ini juga ada banyak cabaran yang perlu kita lalui.
5. Ada pengetahuan terhadap disiplin ilmu tertentu
Anda nak menulis tentang topik apa? Penulis yang bagus, bukan semata-mata mampu menghasilkan penulisan yang menarik dan seronok dibaca.
Dia juga perlu ada kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam bidang yang ingin ditulis.
Berapa bayaran yang boleh kita perolehi sebagai penulis artikel?
Kita mulakan dengan persoalan yang banyak orang nak tahu. Kalau kita menulis artikel, berapa income yang kita boleh dapat?
Berapa sebenarnya pendapatan yang boleh dihasilkan oleh seorang penulis?
Lazimnya penulis akan dibayar mengikut berapa banyak artikel yang mampu hasilkan.
Sebagai penulis, kita sendiri yang akan tetapkan berapa caj yang kita ingin kenakan kepada bakal klien yang akan dapatkan khidmat penulisan artikel dari kita.
Sudah tentu, first thing first, kita kenalah dapatkan potential client terlebih dahulu.
Saya ceritakan serba sedikit common practice yang sering dipraktikkan oleh kebanyakkan penulis diluar sana. Saya juga pernah menggunakan formula yang lebih kurang sama dalam penetapan harga.
Caj untuk setiap artikel, adalah berbeza-beza, dan ia bergantung kepada
i. Bilangan patah perkataan
Artikel yang lebih panjang, selalunya kita akan letakkan harga yang lebih tinggi. Sesetengah penulis akan menetapkan harga mengikut perkataan, contohnya satu patah perkataan harganya 20 sen. Jadi, kalau artikel tersebut mengandungi 2,000 patah perkataan, maka bayaran yang patut anda tetapkan adalah sebanyak
20 sen x 2,000 patah perkataan = RM400
Untuk berlaku adil, penulis perlulah pastikan setiap perkataan yang dimuatkan dalam artikel yang ditulis adalah perkataan yang memang perlu. Perkataan-perkataan yang tak perlu, umpamanya seperti ucapan salam, kata-kata aluan yang panjang berjela dan penerangan yang meleret-leret semata-mata ingin memperbanyakkan bilangan perkataan adalah suatu tindakan yang kurang wajar.
Ya, anda mungkin rasa seronok sebab boleh kenakan caj yang mahal, namun kalau saya berada dipihak klien, saya akan rasakan seolah-olah saya dah kena scam dengan penulis tersebut.
ii. Tahap kesukaran sesuatu topik
Ada sesetengah klien yang mahukan kita menulis sesuatu topik dengan kupasan yang lebih mendalam. Maksudnya, setiap kali kita mengemukakan sebarang hujah, ianya mesti disokong oleh fakta. Bukan sekadar andaian mahupun pandangan peribadi.
Artikel seperti ini memerlukan masa yang lebih panjang untuk disiapkan memandangkan kita perlu lakukan kajian dan perlu banyak membuat pembacaan.
iii. Pakej yang kita tawarkan
Kita sebenarnya boleh tawarkan harga mengikut bilangan artikel ataupun untuk menjadikan tawaran kelihatan menarik, kita perkenalkan pakej-pakej tertentu. Tujuannya adalah supaya bakal pelanggan akan menempah lebih dari satu artikel dari kita dan secara tak langsung dapat meningkatkan lagi pendapatan kita.
Sebagai contoh
1 Artikel RM50
Pakej Santai (mengandungi 3 artikel) RM120 (Jimat RM30)
Pakej Serius (mengandungi 5 artikel) RM210 (Jimat RM40)
Pakej Bisnes (mengandungi 10 artikel) RM450 (Jimat RM50)
Dari pengalaman saya sendiri, agak jarang saya jumpa klien yang akan menempah artikel secara pukal. Lazimnya, mereka akan tempah sama ada satu atau dua artikel sahaja. Setelah klien ini berpuas hati dengan hasil penulisan kita, barulah mereka akan tempah lagi mengikut pakej.
Apa yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang penulisan artikel ini?
Kejayaan dan kegagalan dalam bidang penulisan ini amat berkait rapat dengan diri penulis itu sendiri. Justeru, saya akan kongsikan antara beberapa kriteria yang perlu ada pada diri penulis, untuk betul-betul berjaya dalam bidang ini.
i. Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan
Pertama, sudah tentu kena minat menulis. Orang yang minat dalam bidang penulisan akan mempunyai kesanggupan untuk meluangkan masa yang lama untuk menulis. Bukan setakat menulis 10 ke 20 artikel, malahan perlu sanggup untuk menulis sehingga ribuan artikel.
Setiap penulisan yang dihasilkan, walaupun mungkin tak ada siapa yang nak baca, ia akan melatih penulis tersebut untuk menjadi seorang penulis yang lebih baik.
ii. Banyak membaca
Selain perlu banyak menghasilkan karya penulisan, seorang penulis itu juga perlu banyak membaca. Membaca akan dapat membuka minda dan dapat membantu diri penulis itu sendiri dalam menghasilkan karya yang lebih baik berbanding sebelum ini.
iii. Memiliki cara kerja yang bersistematik
Ini merupakan rahsia bagaimana seorang penulis itu mampu menulis banyak artikel dalam masa yang pantas, sedangkan orang lain perlukan masa berhari-hari hanya untuk menyiapkan satu artikel. Kuncinya adalah kaedah kerja yang bersistematik.
iv. Pilih niche untuk difokuskan
Bila kita fokus pada sesuatu niche, dan kita selalu menulis artikel berkenaan niche tersebut serta selalu membaca buku dan lain-lain bahan bacaan, lama kelamaan kita akan jadi pakar dalam niche tersebut.
Ini juga secara tak langsung akan membantu mempercepatkan kerja-kerja penulisan kita, sebabnya topik tersebut adalah topik yang sangat dekat dengan jiwa kita.
v. Alert dengan berita terkini, penemuan terbaru, fakta sains dan sebagainya
Maklumat-maklumat ini jika kita mampu masukkan dalam artikel yang kita hasilkan, akan menjadikan penulisan kita lebih berkualiti dan kelihatan lebih berkredibiliti.
Siapa individu untuk anda sasarkan bagi mendapatkan khidmat penulisan artikel dari anda?
Sekarang ini kita bincangkan pula mengenai siapa sebenarnya yang berpotensi untuk jadi pelanggan anda.
Pendapatan yang boleh dihasilkan oleh penulis artikel lazimnya adalah bergantung kepada keupayaan dirinya mendapatkan pelanggan. Kalau dia mampu untuk dapatkan ramai pelanggan, maka besarlah income yang bakal dihasilkan.
Dekat bawah ini, saya senaraikan beberapa kategori individu yang anda boleh hubungi bagi menawarkan khidmat penulisan anda. Antaranya
i. Blogger / Pemilik laman web
Laman blog dan juga laman web amat memerlukan artikel untuk kekal relevan dan untuk mengekalkan jumlah trafik dan pelawat yang masuk ke laman blog tersebut. Kalau anda temui laman blog yang hidup segan mati tak mahu, dan agak jarang-jarang dikemaskini, mungkin anda boleh cuba nasib dengan menghubungi pemilik blog tersebut dan tawarkan servis penulisan anda.
Walaubagaimanapun, anda mungkin tak akan menerima sebarang respon ataupun pemilik blog tersebut akan kata, tak berminat.
Anda sendiri perlu bijak dalam membuat tawaran. Biasanya kalau blog yang agak baru usianya, dengan bilangan artikel pun tak sampai 100, blog tersebut masih belum menjana sebarang pendapatan yang signifikan kepada pemiliknya.
So, kalau blog tersebut tak menghasilkan sebarang income, macam mana owner blog tersebut nak bayar upah penulisan kepada anda? Melainkan anda sanggup tawarkan khidmat penulisan anda dengan harga yang sangat-sangat murah.
Kita lupakan blog-blog yang agak baru, sendu dan kurang artikel. Sebaliknya, kita cuba approach blog yang lebih popular dan ternama. Biasanya blog yang agak berusia ini, ia sudah mula memberikan income kepada pemiliknya, dan tak mustahil untuk pemilik blog tersebut sanggup untuk mencuba khidmat penulisan dari anda.
ii. Majalah Online
Majalah online juga sama seperti blog. Mereka memerlukan konten-konten terkini yang sentiasa dikemaskini bagi mengekalkan pembaca untuk sentiasa membaca dan melayari laman web mereka.
iii. Pemilik bisnes online
Pemilik bisnes boleh dapat banyak manfaat apabila dia mula menggunakan artikel-artikel berkualiti dalam pemasaran produk mereka. Kaedah pemasaran seperti ini dikenali sebagai content marketing.
Untuk jangka masa panjang, pemilik bisnes boleh dapat trafik yang konsisten, yang berminat untuk baca konten-konten yang diterbitkan. Dalam ramai-ramai pelawat itu nanti, pasti akan ada yang jadi pelanggan dan beli produk yang dijual.
iv. Selebriti / Public Figure
Adakah mereka perlukan konten untuk fanpage dan akaun media sosial mereka? Sudah tentu! Konten yang bagus akan membuatkan peminat mereka jadi lebih ramai dan mereka juga akan jadi semakin dihormati.
v. Ahli politik / Parti Politik
Ahli politik mahupun parti politik juga adalah antara entiti yang sentiasa memerlukan konten terkini dalam menyebar propaganda mereka. Bukan semua ahli politik atau parti politik itu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan artikel yang bagus, yang mampu menarik minat para pengundi untuk mengundi mereka dalam pilihanraya yang akan datang.
Biasanya rakyat ingin memilih calon yang peduli pada nasib rakyat dan mampu membawa agenda pembangunan yang adil kepada semua, bukannya calon yang hanya mengkayakan diri sendiri, keluarga dan kroni semata-mata.
Bagi menarik perhatian para pengundi, mereka perlukan konten-konten yang dapat menarik perhatian dan membuatkan orang ramai percaya kepada janji-janji manis mereka.
Senjata rahsia untuk berjaya dapatkan job penulisan artikel
Satu perkara yang perlu saya highlight disini ialah, sebenarnya persaingan untuk mendapatkan job penulisan artikel agak sengit. Individu yang sudah terbiasa mendapatkan khidmat penulisan dari penulis A, lazimnya agak jarang untuk dia dapatkan khidmat penulisan dari penulis lain, terutama sekali apabila dia sudah selesa berurusan dengan penulis tersebut.
Manakala bagi mereka yang belum pernah dapatkan sebarang khidmat penulisan dari mana-mana penulis pula cenderung untuk memilih penulis yang mampu memberikan harga paling murah tapi mampu berikan khidmat yang terbaik.
Sampai bila nak bersaing dari segi harga?
Wajarkah kita bersaing sesama penulis semata-mata untuk berikan harga paling murah kepada bakal pelanggan?
Pada saya, ianya adalah satu perkara yang langsung tak munasabah. Daripada kita bersungguh-sungguh bersaing untuk berikan harga yang paling murah, lebih baik kita fokus untuk buat perkara lain. Lagipun, menulis artikel untuk klien bukanlah satu-satunya kaedah buat duit dengan penulisan yang ada diluar sana.
Namun demikian jika anda memang benar-benar serius nak berjaya dapatkan job penulisan artikel, berikut ini adalah antara senjata yang anda perlukan bagi meyakinkan bakal pelanggan untuk dapatkan khidmat penulisan dari anda.
i. Sampel artikel yang pernah anda hasilkan sebelum ini
Kebiasaannya penulis yang masih baru akan ada kesukaran untuk meyakinkan bakal pelanggan untuk dapatkan khidmat penulisan dari dirinya. Justeru, salah satu kaedah untuk membantu bakal pelanggan membuat keputusan adalah dengan memberikan sampel artikel.
Sekiranya bakal pelanggan suka dengan sampel artikel yang anda hasilkan, barulah bincang tentang kadar bayaran dan tempoh masa untuk menyiapkan sesebuah artikel.
ii. Link atau laman blog peribadi milik anda
Anggaplah laman blog anda adalah portfolio penulisan anda. Selain berikan sampel artikel, anda juga boleh tunjukkan laman blog yang anda sendiri tulis.
Cuma apa yang selalu saya perhatikan, mereka yang aktif menawarkan servis penulisan artikel, tak ada masa untuk menulis di blog sendiri. Saya rasa ini cukup merugikan. Sepanjang masa, dia sibuk menulis untuk orang lain, hingga dia tak ada masa untuk menulis artikel bagi kegunaan sendiri.
iii. Bukti statistik yang menunjukkan artikel yang anda tulis memang dicari
Ada kategori bakal pelanggan yang gemar untuk melihat bukti statistik dan data sebelum setuju untuk dapatkan khidmat penulisan dari anda. Untuk pelanggan seperti ini anda boleh berikan statistik data dari blog anda untuk mereka nilaikan.
iv. Bukti anda memang mempunyai kepakaran dari segi Search Engine Optimization
Ini juga tak sukar untuk dibuktikan. Jika anda kata anda ada kepakaran dari segi SEO, buktikan dengan cara anda tunjukkan apakah artikel yang anda pernah tulis yang telah berjaya masuk ke halaman pertama google dan anda bersaing untuk kata kunci apa?
v. Bukti anda berjaya buat sales melalui artikel yang anda tulis
Benda ini jarang ditanya oleh bakal pelanggan yang inginkan servis penulisan artikel dari anda, melainkan kalau pelanggan tersebut ingin servis copywriting dari anda. Perbincangan mengenai copywriting akan saya sambung dibawah, jadi teruskan pembacaan ya.
vi. Kemampuan untuk meniru gaya bahasa bakal pelanggan
Ini juga merupakan salah satu skill yang penting, yang perlu ada pada setiap penulis yang ingin menawarkan servis penulisan. Ya, anda mesti mampu meniru gaya penulisan bakal pelanggan anda.
Kalau saya nak dapatkan servis penulisan artikel dari seseorang yang menawarkan servis ini, saya perlu tahu sama ada penulis tersebut mampu atau tak menulis mengikut gaya bahasa dan style penulisan yang saya biasa gunakan.
Andai kata penulis tersebut tak mampu menulis seperti mana saya menulis, maka sia-sia saya ambil servis penulisan dari dia. Akhirnya nanti saya mungkin terpaksa edit dan tulis semula keseluruhan artikel tersebut. Proses ini lebih membuang banyak masa berbanding kalau saya tulis artikel dari kosong.
Artikel yang saya akan beli itu nanti, saya akan terbitkan di blog saya. Jika terdapat perbezaan yang begitu ketara dengan gaya penulisan saya, ini akan menyebabkan pembaca yang dah biasa membaca blog saya mula mempertikaikan sama ada selama ini saya menulis sendiri artikel saya atau saya sebenarnya hanya membeli artikel dari orang lain.
Baca juga: Langkah demi langkah menjadi penulis ghostwriter
vii. Jaminan kepuasan pelanggan dan khidmat selepas jualan
Kadang-kadang, bila kita dah hantar artikel yang ditempah oleh klien, mereka ini mungkin kurang puas hati dengan kualiti penulisan yang kita hasilkan. Jika keadaan ini berlaku, apa yang mereka patut lakukan?
Sebenarnya mudah sahaja. Kita berikan mereka jaminan bahawa kita akan edit semula artikel yang mereka tempah sampai mereka betul-betul puas hati dengan hasil akhir.
Apa yang bagus mengenai cara buat duit sebagai penulis artikel
Tawarkan servis penulisan artikel bukanlah kaedah buat duit yang menjadi pilihan saya. Namun, saya berpendapat ianya mempunyai kebaikkan dan kelebihannya yang tersendiri, antaranya
i. Penulis boleh dapat income segera
Penulis yang masih baru pun boleh terus mula jana pendapatan dengan cara ini. Dengan syarat dia berjaya dapatkan klien yang minat nak dapatkan servis penulisan dari dia.
ii. Penulis boleh berunding dengan bakal pelanggan dari segi harga, jumlah job dan sebagainya
Dari segi harga, bilangan artikel, bilangan patah perkataan, dan job akan datang semuanya kita boleh runding dengan bakal pelanggan. Boleh jadi kita bermula hanya dengan menawarkan servis menulis artikel untuk klien, namun tak mustahil satu masa nanti kalau klien yang sama ingin menghasilkan buku, kita sekali lagi dipanggil untuk bantu dia menulis.
iii. Penulis yang berpengalaman mampu untuk menulis dengan cepat
Apabila anda sudah lama dalam bidang penulisan, saya yakin anda juga akan menemui satu teknik yang membolehkan anda menulis dengan pantas. Kalau sebelum ini, anda mungkin memerlukan 2 – 3 jam untuk menghasilkan sebuah artikel, namun jika setiap hari anda menulis topik yang sama atau berkaitan, anda pasti akan mampu untuk menulis satu artikel dalam masa 1 jam sahaja.
Apa kekurangan buat duit sebagai penulis artikel
Sebelum itu, saya perlu tegaskan disini, tujuan saya highlight mengenai kelemahan buat duit dengan menulis artikel bukanlah bertujuan untuk melemahkan semangat anda untuk menceburi bidang ini. Ianya hanyalah sebagai perkongsian pendapat dari saya semata.
Anda bebas untuk setuju ataupun tidak setuju dengan pandangan saya.
i. Artikel yang telah kita jual bukan lagi milik kita
Ini perkara yang anda perlu tahu. Setelah anda jual dan serahkan artikel kepada pelanggan, artikel tersebut kini adalah milik pelanggan anda. Selepas ini anda tak boleh nak gunakan artikel yang sama untuk disiarkan dimana-mana tanpa memberi kredit dan memohon kebenaran dari pelanggan anda.
Artikel asal anda yang tulis, tapi untuk siarkan artikel tersebut di mana-mana platform milik anda, anda terpaksa minta kebenaran dari pelanggan anda pula.
ii. Kita tak boleh nak claim secara terbuka bahawa artikel tersebut kita adalah penulisnya
Ada kemungkinan bahawa artikel yang kita tulis bagi pihak pelanggan kita, menjadi viral dan sering disebut-sebut oleh pengguna internet dan media sosial. Kita sebagai penulis asal, sedikit sebanyak akan rasa bangga, kerana artikel yang kita tulis diterima sedemikian rupa. Walaupun begitu, kita tak boleh nak claim secara terbuka bahawa artikel tersebut asalnya kita adalah penulisnya.
iii. Artikel yang telah kita hasilkan hanya akan memberi income kepada kita sekali sahaja
Apabila kita dapat job penulisan artikel, dan kita telah siapkan artikel tersebut kepada klien kita, kita hanya akan dapat bayaran sekali itu sahaja.
Secara peribadi, saya lebih suka kalau artikel yang saya tulis, saya boleh dapat income berkali-kali dari artikel tersebut. Walaupun incomenya mungkin tak besar mana.
iv. Pendapatan kita terhenti apabila regular klien kita berhenti mengambil servis dari kita
Sampai satu masa, pendapatan kita pasti akan terhenti. Kalau dalam situasi ini, income kita akan terhenti apabila klien yang selalu mendapatkan khidmat penulisan dari kita, sudah tak mahu lagi berbuat demikian.
Andai kata berlaku situasi seperti ini, maka kita perlu sentiasa mencari klien baru.
v. Setiap artikel ada dateline yang perlu kita siapkan
Kalau kita dah janji, artikel akan siap dalam tempoh 48 jam, maka kita perlu penuhi janji tersebut. Sekiranya anda bukannya seorang yang mampu untuk tepati masa, atas sebab dan pelbagai alasan, maka kaedah ini mungkin tak berapa sesuai untuk anda.
Tak kanlah setiap kali dapat job, anda terpaksa meminta maaf sebab gagal hantar tugasan mengikut masa yang dijanjikan?
Baiklah, seterusnya kita tengok pula cara lain untuk buat duit melalui penulisan. Sila teruskan pembacaan ya.
(2) Buat duit dengan menulis di blog milik sendiri
Kaedah seterusnya yang saya nak kongsikan yang boleh membantu anda untuk hasilkan pendapatan menerusi kerja penulisan adalah dengan menghasilkan dan menulis blog anda sendiri.
Persoalannya, betul ke boleh buat duit dengan blog?
Jawapannya sudah tentulah boleh. Saya adalah individu yang memang buat duit melalui blog, dan saya ada lebih dari satu blog yang menghasilkan income setiap bulan. Jadi In Shaa Allah, ada beberapa tips dan strategi untuk buat duit dengan blog yang boleh saya kongsikan.
Apa perkara perlu buat untuk mula buat duit dengan menulis blog?
Pertama sekali, kita perlu buat kajian bagi mengenalpasti apakah niche atau topik blog yang ingin kita fokuskan. Ada terlalu banyak niche yang kita boleh target, namun untuk menghasilkan blog yang benar-benar berkualiti, adalah lebih baik untuk kita fokus pada satu niche sahaja.
Antara niche yang anda boleh sasarkan adalah seperti
a. Kewangan
b. Kesihatan
c. Sukan
d. Politik
e. Hobi
f. Kerjaya
g. Agama
h. Motivasi
i. Percutian
j. Kereta dan permotoran
k. Makanan
l. Buku
m. Filem
n. Artis
o. Fesyen dan kecantikkan
Dalam banyak-banyak cadangan niche ni, mana satu niche yang paling senang nak buat duit? Pada pandangan saya, tak kira apa niche yang anda pilih, semua tu boleh menghasilkan income.
Satu formula yang saya sendiri gunakan dalam menentukan niche blog, adalah dengan merujuk kepada laman web ecommerce seperti Lazada, Shopee dan lain-lain lagi. Apa yang saya nak lihat adalah, adakah terdapat banyak produk yang dijual dalam niche tersebut?
Jom lihat pada screenshot dibawah.
Katakanlah anda berminat untuk pilih niche sukan. Niche sukan adalah satu niche yang sangat besar, dan dalam niche yang sama, anda boleh fokus kepada exercise dan fitness. Dalam sub-niche ini sahaja, ada lebih 900 ribu produk yang anda boleh promosikan!
Dalam pemilihan niche ini juga, sebaik-baiknya anda fokus pada satu niche sahaja. Jika anda ingin campurkan dua niche dalam satu blog, sila pastikan niche tersebut adalah saling berkaitan antara satu sama lain.
Selain itu, cuba pilih niche yang tak akan terjejas teruk apabila berlaku pandemik seperti wabak Covid-19 yang telah kita lalui sebelum ini.
Saya ada blog yang ditulis dalam niche percutian dan blog tersebut memang terjejas teruk sepanjang Covid-19 melanda dunia. Trafik blog jatuh mendadak dan pendapatan dari blog juga terjejas teruk… atau mungkin saya patut kata income dari blog tersebut langsung tiada.
Apabila anda sudah buat keputusan untuk pilih apakah niche blog yang anda ingin bangunkan, seterusnya bolehlah anda memasang blog dan mula menulis secara konsisten dalam blog anda.
Blog sebagai bisnes
Untuk benar-benar berjaya hasilkan income yang lumayan dari blog, at least 4 angka setiap bulan, anda perlu lihat aktiviti menulis blog dari perspekstif seorang ahli perniagaan.
Anggap blogging sebagai suatu bisnes.
Kita boleh belajar dan tiru bagaimana syarikat yang menerbitkan dan menjual majalah beroperasi, dan konsep-konsep yang mereka sendiri amalkan, kita gunakan untuk bangunkan blog kita.
Betul ke kalau ada group penulis, lebih mudah nak buat duit dengan blog?
Secara teorinya, konsep ini adalah betul.
Bila kita mempunyai pasukan penulis kita sendiri, adalah lagi mudah untuk kita maintain dan hasilkan blog yang sentiasa segar dengan konten terkini.
Cuba bandingkan, antara buat kerja berpasukan dengan buat kerja secara solo, mana satu yang lebih mudah?
Walaubagaimanapun, hakikatnya realiti mungkin tak seindah teori. Dari segi teori, dari segi perancangan atas kertas, anda mungkin betul. Tapi apabila dilaksanakan, ia boleh menimbulkan masalah baru yang lebih serius.
Apa masalahnya dengan menubuhkan pasukan penulis blog?
Masalahnya adalah dari segi pengurusan (management).
Anda perlu mempunyai skil dan kemahiran mengurus insan yang sangat baik dan jangan terkejut kalau sampai satu masa, anda akan habiskan lebih banyak masa untuk mengurus para penulis yang bermacam-macam ragam, berbanding kerja-kerja penulisan itu sendiri.
Sekurang-kurangnya terdapat empat perkara yang anda perlu jelas sebelum memulakan projek group blogging.
i. Kaedah pembahagian hasil pendapatan
Apabila blog yang anda bina itu mula membuahkan hasil, bagaimana cara anda membahagikan duit tersebut? Adakah sama rata? Mengikut sumbangan artikel? Mengikut peratus yang tetap, tak kira sama ada dia buat kerja atau tidak?
Atau mungkin setiap penulis bebas untuk menggunakan apa sahaja kaedah buat duit yang dia ketahui, sama ada pengiklanan atau program affiliate dan sekiranya dia berjaya buat sales, hasil 100% milik dia? Atau dia perlu berikan sedikit kepada anda, selaku pemilik blog?
Bab duit ni memang kita kena clear dari awal, bagi mengelakkan berlaku sebarang pertikaian dikemudian hari.
ii. Cara pembahagian kerja dan tugas
Adakah setiap orang perlu menyumbangkan artikel mengikut jumlah yang sama banyak?
Berapa kerap artikel baru perlu diterbitkan?
Adakah peranan setiap penulis hanya terhad kepada menulis sahaja, tak termasuk membuat kerja-kerja pemasaran?
Jika ada penulis yang buat kerja-kerja tambahan, adakah dia akan dapat imbuhan yang lebih tinggi?
iii. Hak dan peruntukkan bagi setiap penulis
Apakah hubungan antara anda dan lain-lain penulis blog? Adakah hubungan tersebut ibarat seorang partner? Ibarat seorang majikan dan pekerja? Atau ibarat seorang pemilik bisnes dengan pekerja bebas (freelancer)?
Jika hubungan ibarat partner, anda mungkin perlu agihkan keuntungan mengikut peratusan yang dipersetujui. Kalau seperti majikan dan pekerja, anda perlu bayar gaji. Atau jika ibarat pemilik bisnes dengan freelancer, anda perlu berikan upah one off setiap kali penulis tersebut selesaikan tugas.
iv. Jangka hayat projek
Adakah projek ini adalah projek berbentuk short term atau long term? Jika long term, berapa lama? Atau ini merupakan projek seumur hidup? Jika projek seumur hidup, istilah seumur hidup itu merujuk kepada hayat apa? Merujuk kepada hayat blog, umur anda atau sekadar setakat berapa lama anda langgan servis domain dan hosting.
Saya pernah melanggan beberapa servis software diinternet yang memberi akses seumur hidup (lifetime access) kepada saya. Rupa-rupanya life time access tu merujuk kepada hayat pemilik software. Apabila pemilik software meninggal dunia, saya sudah tak boleh akses kepada software tersebut.
Let say, satu hari nanti, salah seorang dari penulis yang menyertai projek anda ingin tarik diri, atau sudah tak aktif menulis lagi. Adakah anda akan buang dia dari projek ini, atau anda akan masih anggap dia sebahagian dari team project, memandangkan artikel-artikel milik dia masih lagi diterbitkan dalam blog anda.
Kenapa saya cerita semua ini? Untuk memberi anda satu gambaran yang lebih jelas, biar saya berikan anda satu situasi. Katakanlah dalam projek group blogging ini, semua sekali terdapat 4 orang termasuk anda.
1. Anda
2. Penulis A
3. Penulis B
4. Penulis C
Saya tak tau bagaimana cara anda mengumpulkan kesemua penulis ini untuk setuju membangunkan sebuah blog. Mungkin ada sesuatu yang anda janjikan kepada mereka atau mungkin mereka terinspirasi dengan semangat yang anda tonjolkan.
Situasi berikut mungkin akan berlaku, iaitu
Penulis A
Banyak hasilkan artikel-artikel baru dan sangat rajin. Tapi gaya dan skil penulisan sangatlah biasa-biasa, dan artikel yang dihasilkan agak membosankan dan kurang pembaca.
Penulis B
Dia cuma tulis 2 atau 3 artikel sahaja. Tapi artikel yang dia hasilkan sangat berkualiti, dan kerap kali artikel yang dia hasilkan menjadi viral. Kebanyakkan trafik blog disumbangkan oleh penulis B.
Penulis C
Langsung tak pernah terbitkan sebarang artikel. Tapi dia paling bersemangat dengan projek ini dan dia merupakan orang pertama yang setuju nak join projek anda. Dia juga selalu berikan idea, cadangan dan kata-kata semangat buat anda. Bila kita tanya bila nak terbitkan artikel, dia kata dia belum ada masa tapi dia dah tulis draf. Cuma tak sempat nak terbitkan lagi.
Kalau dalam senario yang saya gambarkan ini, berapa yang anda akan bayar kepada penulis A, penulis B dan penulis C? By the way, layak ke penulis C dapat sebarang imbuhan sedangkan dia belum menyumbangkan apa-apa artikel lagi!
Ya, apa yang saya cuba sampaikan ialah, dalam projek blogging berkumpulan, ianya agak mencabar untuk kita come out dengan satu kaedah pembahagian untung dan juga tugas. Tapi kalau anda ada idea dan cara yang baik, sila kongsikan dibahagian komen. Saya juga berharap saya dapat belajar sesuatu dari anda.
Dari mana sumber income sebagai penulis blog?
Sebenarnya topik mengenai sumber pendapatan seorang blogger ini telah pun saya kongsikan beberapa kali dalam blog ini. Jadi, saya tak akan ulas dengan panjang lebar.
Lazimnya blogger akan jana pendapatan sama ada melalui salah satu dari cara berikut ataupun gabungan bagi setiap kaedah yang saya senaraikan dibawah
i. Program pengiklanan
ii. Program Affiliate (apa itu program affiliate?)
iii. Menawarkan servis penulisan advertorial
iv. Menawarkan servis review
v. Jual produk sendiri sama ada produk fizikal, digital ataupun servis
vi. Buat personal coaching ataupun seminar
Kesemua ini merupakan antara kaedah yang boleh digunakan oleh penulis blog untuk buat duit. Terpulang kepada keselesaan dan kreativiti individu tersebut.
Pada peringkat permulaan, anda akan bermula dengan sebuah blog yang masih kosong. Anda hanya mempunyai nama domain dan sebuah blog yang masih belum ada sebarang konten.
Setelah anda mula menulis, barulah dari situ blog anda akan mula mendapat trafik. Ketika trafik blog anda masih rendah, anda boleh mula dengan program affiliate terlebih dahulu.
Kemudian, apabila blog anda sudah mula mempunyai trafik yang agak tinggi dan konsisten, barulah tambahkan kaedah buat duit, contohnya baru sertai program pengiklanan pula. Salah satu program pengiklanan yang popular dan bagus untuk disertai sudah tentu adalah program Google Adsense.
Kita hanya perlu masukkan kod iklan dalam blog kita dan seterusnya kita biarkan sahaja iklan-iklan dari google dipaparkan dalam blog kita. Selagi mana iklan kita disiarkan dalam blog, selagi itu pendapatan dari program pengiklanan ini akan berjalan dengan sendirinya.
Kebaikkan buat duit dengan menjadi penulis blog
Personally, saya seronok bila boleh buat duit dengan menulis blog. Saya dah buat benda ni sejak dari 2009 lagi. Saya boleh katakan, ada banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari aktiviti penulisan blog. Antaranya
i. Boleh pelbagaikan sumber pendapatan
Ini benefit yang paling obvious, iaitu kita boleh buat duit dari pelbagai cara. Cuma tak perlu tergesa-gesa nak buat duit, sebaliknya kita fokus untuk hasilkan sebuah blog yang memang betul-betul ada kualiti.
ii. Kumpul pengikut (follower) dan peminat
Mereka ini bukan saja-saja mengikuti perkembangan anda. Mereka adalah individu yang mempercayai anda, dan kagum dengan hasil kerja dan pengetahuan yang anda miliki. Mereka juga ingin belajar sesuatu dari anda.
Sebahagian daripada pendapatan yang bakal anda hasilkan melalui kerja-kerja penulisan blog adalah disumbangkan oleh mereka.
iii. Bina kredibiliti melalui penulisan yang dihasilkan
Setiap penulisan yang dihasilkan, ia boleh membina ataupun menghancurkan kredibiliti anda. Justeru, anda sendiri pilih, nak jadi penulis yang bagaimana?
iv. Artikel lama yang pernah diterbitkan masih lagi menyumbangkan pendapatan
Artikel-artikel lama yang pernah saya terbitkan dalam blog ini dan lain-lain blog yang saya miliki sebenarnya masih lagi dibaca dan masih lagi menyumbangkan income kepada saya. Sampai bila ia akan menyumbangkan income? Sampai bila-bila selagi mana ia masih terus dibaca.
Kekurangan buat duit sebagai seorang blogger
Buat duit dengan cara menulis di blog juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Sekali lagi saya perlu highlight disini, nothing is perfect. Begitu juga dengan aktiviti blogging. Berikut adalah antara kelemahan dan kekurangan yang anda perlu tahu jika ingin buat duit sebagai penulis blog.
i. Perlukan masa yang lama untuk nampak hasilnya
Ini perkara yang saya sendiri alami apabila menjadi penulis blog. Untuk dapat hasilkan income yang konsisten sebanyak 4 angka, saya perlukan masa yang agak lama. Berapa lama? Sekurang-kurangnya lima tahun.
Kalau anda tanyakan pada penulis blog lain, mungkin anda juga akan dengar pendapat yang sama, iaitu blogging ini memerlukan masa untuk nampak income yang lumayan dan konsisten.
Ada tak cara untuk pastikan kita tak memerlukan masa yang begitu lama untuk dapat hasil? Jawapannya ada. Anda perlu jadi seorang yang sangat produktif dan hasilkan seberapa banyak konten artikel yang berkualiti dalam masa yang pantas.
Persoalannya ialah, mampukah anda terbitkan 1,000 artikel dalam masa setahun?
Jika jawapan anda adalah boleh, maka tak mustahil untuk anda capai pendapatan yang lumayan lagi konsisten dalam masa yang lebih pantas.
Oh by the way kalau anda tak mampu nak tulis sendiri artikel dalam blog anda, anda boleh sahaja dapatkan khidmat penulis bebas untuk menulis artikel bagi pihak anda. Haa nampak kan, penulis artikel sebenarnya boleh saling bekerjasama dengan pemilik blog untuk sama-sama buat duit di internet.
ii. Income dari blog adalah untuk masa depan
Anda mungkin tak akan terus dapat buat duit apabila anda buat keputusan untuk jadi blogger pada hari ini. Macam yang saya kata sebelum ini, ia perlukan masa, usaha dan kesabaran.
Ibarat macam kita menabung. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Tapi dalam konteks blogging ini, kita menulis sedikit demi sedikit, satu hari mungkin satu atau dua artikel, In Shaa Allah apabila anda konsisten, blog anda akan berkembang dan waktu itu, blog anda akan mula memberikan hasil.
Maka kita anggaplah susah payah kita pada hari ini adalah untuk masa depan. Siapa tahu, kalau anda konsisten menulis hingga 10 – 20 tahun, satu hari nanti income dari blog anda jadi begitu besar ibarat duit pencen untuk anda.
iii. Memerlukan kesabaran dan stamina yang tinggi
Hakikatnya, tak semua orang mampu untuk terus menulis dan menerbitkan artikel baru dalam blog miliknya. Sampai satu tahap, perasaan teruja, minat yang mendalam dan semangat yang meluap-luap untuk hasilkan konten yang baru akan mula pudar.
Biasanya ini berlaku bila kehidupan penulis tersebut mula berubah. Sama ada disebabkan tanggungjawab baru, komitmen dan sebagainya. Ya, memang cukup susah untuk maintain energi dan stamina untuk terus menulis.
Perkara ini banyak terjadi kepada kenalan dan rakan-rakan penulis blog yang saya pernah kenali dulu. Blog mereka, just hilang dari dunia siber.
(3) Buat duit sebagai seorang penulis buku
Anda mahukan kaedah buat duit dengan menulis yang lebih mencabar? Apa kata anda cuba jadi penulis buku.
Buku ini ada macam-macam genre dan kategori. Ada fiksyen dan bukan fiksyen. Buku dalam kategori fiksyen memerlukan skil penulisan kreatif, manakala buku bukan fiksyen pula selalunya dimuatkan dengan fakta dan ilmu pengetahuan dalam disiplin tertentu.
Sekiranya passion anda adalah lebih kepada menulis buku, maka jalan ini juga merupakan salah satu jalan yang anda patut terokai.
Personally, saya tak ada pengalaman menulis buku, tapi saya pernah beberapa kali menulis ebook dan jual ebook hasil penulisan saya sendiri.
Proses menulis sebuah buku merupakan satu proses yang sangat time consuming. Anda mungkin perlu memperuntukkan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya bagi menyiapkan nashkah manuskrip anda.
Seterusnya, bila dah siap, anda perlu buat keputusan, sama ada anda ingin terbitkan buku tersebut melalui syarikat penerbitan, ataupun anda bakal terbitkan sendiri (self-publishing) menggunakan modal anda sendiri.
Jika terbitkan melalui syarikat penerbit, anda mungkin berhadapan dengan beberapa situasi, misalnya
i. Manuskrip anda ditolak
ii. Anda perlu ubah sebahagian dari isi buku anda
iii. Anda perlu tulis semula manuskrip anda mengikut gaya bahasa yang lebih santai
Menerusi hasil carian di internet, saya dapati ada beberapa syarikat penerbitan yang anda boleh hubungi untuk menerbitkan buku anda, antaranya
i. PTS Media Group
Syarikat ini selain mempunyai laman web e-commerce mereka sendiri, iaitu https://bookcafe.com.my/ mereka juga mempunyai kedai online di laman web e-commerce terkenal iaitu Lazada dan Shopee.
2. TrueWealth
Kenapa memilih untuk menerbitkan buku bersama syarikat penerbit?
Sebagai penulis buku, anda sebenarnya mempunyai pilihan sama ada nak terbitkan sendiri buku anda ataupun nak terbitkan melalui kerjasama dengan syarikat penerbit.
Sebelum buat sebarang keputusan, ada baiknya anda mempertimbangkan terlebih dahulu, kelebihan, kekurangan dan risiko yang bakal anda tanggung dimasa akan datang.
Disini saya sekadar ingin kongsikan satu kelebihan jika anda menerbitkan buku anda melalui kerjasama dengan syarikat penerbit. Lazimnya syarikat penerbit sudah mempunyai rangkaian (networking) yang sangat bagus dalam membantu penulis menjual buku-buku yang telah diterbitkan melalui syarikat mereka.
Mereka ini juga mempunyai hubungan yang baik dengan kedai-kedai buku ternama dan yang popular dinegara kita. Kalau bercakap dari sudut kedai online, lazimnya mereka juga mempunyai kedai e-commerce mereka sendiri, kedai yang dibuka melalui laman web jualan e-commerce popular seperti Lazada dan Shopee juga mereka ada.
Walaupun pihak penerbit mempunyai rangkaian yang baik, anda sebagai penulis juga patut memainkan peranan yang aktif bagi memastikan buku yang anda tulis dapat menghasilkan jualan yang banyak.
Berapa banyak pendapatan yang bakal diperolehi sebagai penulis buku?
Lazimnya pendapatan yang anda bakal perolehi adalah dalam bentuk royalti. Kita andaikan, setelah melalui proses rundingan bersama dengan pihak penerbit, mereka bersetuju untuk membayar anda royalti sebanyak 10%, maka jika harga buku ditetapkan kepada RM20, bermakna royalti yang bakal anda perolehi untuk setiap jualan yang terhasil adalah sebanyak RM2.
Buku yang benar-benar bagus ada yang diulang cetak berulang kali, dialih bahasa, dan menghasilkan jualan sehingga berjuta-juta unit. Mungkinkah anda akan jadi penulis best-selling yang seterusnya?
Bila bercakap tentang menulis buku, sebenarnya kita ada banyak pilihan jenis atau kategori buku yang boleh dihasilkan.
Cubalah luangkan masa untuk berkunjung ke kedai-kedai buku berhampiran anda, sama ada MPH Bookstore, Popular, Booxcess, Kinokuniya dan sebagainya.
Anda akan dapati ada banyak rak yang dilabelkan dengan pelbagai kategori buku, contohnya seperti
(1) Memoirs
Kisah peribadi mengenai peristiwa yang berlaku kepada seseorang individu pada sela masa tertentu, yang ditulis oleh orang lain.
(2) Autobiografi
Menghimpukan kisah-kisah yang pernah berlaku kepada diri individu pada waktu tertentu dan ianya ditulis oleh individu itu sendiri.
(3) Motivasi / Self-Help/ Personal Development
Buku yang memuatkan kumpulan nasihat, panduan atau strategi untuk perkembangan diri pembacanya, menambah baik kualiti hidup atau bagi tujuan mencapai matlamat tertentu.
(3) Travel
Buku yang memuatkan kisah pengembaraan dalam meneroka dan merekodkan pengalaman perjalanan, destinasi, budaya dan pengembaraan yang dilalui.
(4) Resipi masakan
Buku yang mengandungi resipi masakan, teknik memasak, peralatan yang digunakan, dan idea serta insipirasi masakan. Biasanya buku seperti ini turut didatangkan dengan grafik yang menarik.
(5) Sejarah
Buku yang menceritakan peristiwa sejarah, zaman, tokoh dan tamadun. Biasanya buku seperti ini akan ditulis mengikut sudut pandangan dan kajian serta analsis yang dilakukan oleh penulisnya.
Ada juga penulis buku sejarah yang mempersembahkan karya penulisannya dalam bentuk penceritaan seperti novel. Salah satu penulis novel sejarah yang saya minati adalah Abdul Latip Talib.
(6) Sains & Matematik
Buku yang membincangkan tentang konsep saintifik, penemuan, hasil kajian, teori dan konsep matematik. Buku seperti ini biasanya ditulis untuk khalayak umum dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami.
(7) Keagamaan
Buku yang membincangkan tentang kepercayaan agama, amalan, ibadah, kitab suci, kerohanian, perbandingan agama dan sebagainya.
(8) Puisi
Penulis yang berjiwa seni dan berbakat dalam menghasilkan puisi, boleh menghasilkan buku dalam kategori ini.
Puisi biasanya berkaitan dengan perasaan, emosi, keindahan alam semulajadi dan pengalaman peribadi. Puisi disampaikan dalam bentuk syair, gurindam, pantun dan sebagainya.
(9) Seni & Fotografi
Anda mungkin akan jumpa buku dalam kategori ini. Pengisiannya adalah gambar-gambar sahaja.
Bagi individu yang bukan dalam bidang fotografi, mungkin tak faham apakah istimewanya buku seperti ini. Tapi sebenarnya, buku ini menonjolkan hasil seni, reka bentuk dan ekspresi kreatif.
(10) Bisnes dan ekonomi
Buku yang memfokuskan kepada topik keusahawanan, pengurusan kewangan, teknik pemasaran, strategi pengiklanan, dan strategi pengurusan perniagaan secara umum.
(11) Kesihatan
Buku yang menyentuh topik mengenai kesihatan fizikal dan mental, kesejahteraan, senaman, pemakanan (diet) dan gaya hidup sihat.
(12) Misteri atau thriller
Buku yang membangkitkan perasaan suspens, tipu muslihat, dan penyelesaian misteri atau jenayah.
Pembaca akan dibawa ke satu alam dimana mereka akan turut berfikir untuk merungkai misteri yang ditonjolkan.
(13) Percintaan
Buku yang memberi tumpuan kepada hubungan romantis, kisah cinta dan hubungan emosi.
(14) Buku cerita kanak-kanak
Buku yang ditujukan khusus kepada kategori pembaca kanak-kanak. Buku penceritaan biasanya mengandungi gambar-gambar dan dimuatkan dengan unsur nasihat yang berguna dalam perkembangan diri kanak-kanak tersebut.
(15) Buku bergambar atau komik
Buku yang mengandungi grafik, ilustrasi dan perkataan dalam bentuk dialog dalam penceritaan.
(16) Seram
Buku yang ditulis bagi tujuan membangkitkan rasa takut, ketegangan dan kegelisahan, melalui unsur ghaib, mistik, psikologi dan sebagainya.
(17) Pendidikan
Buku yang direka khusus untuk tujuan pendidikan seperti bahan rujukan, buku teks, buku latih tubi, panduan belajar dan sebagainya.
Pada pendapat anda, dari senarai jenis dan kategori buku yang saya senaraikan diatas, mana satu yang menarik pada perhatian anda?
(4) Buat duit dengan menjadi penulis copywriting
Istilah penulis copywriting ini mungkin agak asing bagi sesetengah individu. Namun, kalau kita katakan “penulis ayat iklan” mungkin mereka lebih mudah faham.
Penulis ayat copywriting ini juga dikenali dengan istilah copywriter.
Sebelum kita bercerita dengan lebih panjang lebar mengenai cara buat duit sebagai seorang copywriter, apa kata kita fahamkan terlebih dahulu, apa sebenarnya fungsi ayat copywriting?
Tujuan kita menghasilkan ayat copywriting adalah supaya golongan yang kita sasarkan, dapat membuat keputusan lalu mengambil tindakan seperti mana yang kita mahukan, sama ada menekan klik pada pautan yang kita berikan, melayari laman web tertentu, memberikan nama untuk tujuan pendaftaran dan seterusnya mereka ini membuat pembelian bagi sebarang produk mahupun servis yang kita tawarkan.
Teknik penulisan copywriting ini bukanlah satu ilmu magik yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang membacanya akan membeli apa yang kita jual.
Sebaliknya, teknik ini jika kita sasarkan kepada golongan sasaran yang betul (audience yang betul) dengan disertakan dengan mesej yang betul, maka hasilnya adalah ia mampu memberikan jualan.
Ayat copywriting yang paling efektif adalah apabila seseorang copywriter itu mampu untuk memahami dengan jelas, siapa audience dan dia juga perlu tahu apakah yang perlu diperkatakan kepada mereka untuk trigger minat mereka untuk melakukan satu tindakan yang spesifik.
Lazimnya, pelanggan ini tak berapa suka kalau seorang jurujual menjual sesuatu kepada mereka. Namun ini bukan bermakna mereka tak suka membeli. Cuma mereka tak suka apabila ada orang lain yang menyuruh-nyuruh untuk mereka beli sesuatu, walaupun barangan tersebut adalah barang yang mereka memang perlukan.
Oleh kerana kita tak boleh selalu menyuruh bakal pelanggan untuk membeli itu ini, kerana tindakan ini akan membuatkan mereka merasa meluat dengan kita, maka kita perlu jadi lebih kreatif dalam menarik minat mereka untuk membuat pembelian. Kita ajak mereka untuk
i. Layari laman web untuk claim kupon diskaun
ii. Like FB Page yang kita hasilkan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat
iii. Follow channel Youtube atau blog untuk dapatkan lebih banyak konten menarik
Dimana ayat copywriting banyak digunakan?
Lazimnya ayat copywriting banyak digunakan dalam penulisan iklan. Sama ada iklan di media sosial ataupun iklan di lain-lain laman web. Selain itu, teknik copywriting juga digunakan dalam medium berikut.
i. Surat jualan (sales letter)
Laman web berkonsepkan minisite yang hanya menjual satu barang sahaja, biasanya memerlukan teknik copywriting dalam menyampaikan mesej jualan.
Salah satu contoh surat jualan adalah laman web yang menjual ebook, program latihan dan sebagainya. Laman web seperti ini hanya fokus untuk menjual satu jenis produk sahaja.
Ayat-ayat yang digunakan dalam laman web seperti itu, semuanya disusun dengan teliti dan mematuhi semua peraturan dalam penulisan copywriting.
ii. Penulisan description produk dalam web e-commerce
Biasanya selepas kita lihat listing produk dalam laman web seperti Lazada atau Shopee, kita akan baca dulu apa maklumat lanjut produk dalam ruangan description. Sesetengah seller, dia cuma copy and paste sahaja maklumat description yang dia perolehi dari supplier.
Sebetulnya, dia perlu tulis semula description produk menggunakan teknik copywriting. Barulah boleh hasilkan jualan yang lebih banyak dan pelanggan pun akan jadi lebih yakin untuk terus buat tempahan.
Mungkin, kalau anda ada kemahiran copywriting anda boleh tawarkan servis penulisan ini kepada pemilik web ecommerce untuk anda tulis semula ruangan description dengan teknik copywriting yang betul.
iii. Skrip iklan radio dan televisyen
Skrip untuk dituturkan oleh penyampai radio dan juga TV perlu ditulis oleh seseorang yang mahir dalam bidang copywriting supaya ayat yang disampaikan tidak terlalu meleret-leret hinggakan mereka bercakap sesuatu yang tak perlu.
iv. Penulisan artikel blog
Saya juga menggunakan beberapa formula copywriting dalam menerbitkan artikel-artikel dalam blog milik saya. Sebabnya? Saya juga mempromosikan produk affiliate. Untuk artikel yang saya tulis khusus untuk mendapatkan jualan, memang saya wajib menggunakan teknik copywriting.
Apa yang membuatkan sesuatu ayat copywriting itu bagus?
Setiap copywriter mempunyai kaedah dan cara penulisan yang berbeza.
Ada yang gemar menggunakan kaedah penceritaan dalam penulisan ayat copywriting. Ada juga yang menggunakan pendekatan soal jawab, dengan tujuan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pembaca yang juga merupakan bakal pelanggan.
Agak sukar untuk kita katakan mana satu teknik copywriting yang paling bagus, sebabnya ia bergantung kepada banyak faktor. Cara untuk kita ketahui mana satu ayat copywriting yang baik, adalah dengan membuat ujikaji kita sendiri.
Kalau hasilnya bagus, dan berjaya hasilkan banyak jualan, maka kita boleh katakan ayat copywriting itu adalah ayat yang bagus.
Andai kata ayat copywriting yang anda hasilkan tidak berjaya menghasilkan sebarang jualan, jangan patah semangat. Teruskan menulis dan dari masa ke masa, cuba edit dan improve copywriting anda. Sentiasa upgrade hinggalah ia mampu memberikan hasil jualan yang lebih baik.
Adakah semua orang mampu untuk hasilkan ayat copywriting?
Saya berpendapat, jika seseorang itu diberikan pendedahan dan menerima latihan yang betul tentang kedah membina ayat copywriting, pasti dia juga mampu untuk hasilkan ayat copywriting.
Ayat copywriting ini tak semestinya perlu betul dari segi ejaan, penggunaan tatabahasa, penggunaan bahasa dan sebagainya. Ianya tak wajib betul. Pada saya, apa yang lebih penting adalah ayat copywriting itu mampu untuk hasilkan jualan, dan lebih banyak jualan.
Kemahiran menulis ayat copywriting ini adalah satu kemahiran yang sangat berbaloi untuk dipelajari. Sekiranya anda mempunyai minat untuk mendalami bidang penulisan ini, saya kira adalah baik untuk anda tambahkan lagi ilmu untuk kuasainya.
Bayangkan, satu hari nanti, setiap apa yang anda tulis, pasti akan convert kepada sales!
Sungguh tak mustahil, pada waktu itu anda mampu untuk bergelar jutawan, hanya dengan menulis ayat copywriting dengan perkataan-perkataan power yang mampu mempengaruhi pembaca untuk menjadi pembeli.
Walaupun anda tak berjaya dapatkan seorang pun klien untuk dapatkan servis copywriting dari anda, anda tak perlu rasa gusar. Yang rugi mereka, bukannya anda. In fact, dengan skil copywriting yang anda miliki, anda sebenarnya senang-senang boleh buat duit di internet.
Macam mana buat duit dengan skil copywriting?
i. Anda jual produk sendiri
ii. Anda promosikan produk affiliate
iii. Anda jual produk melalui sistem dropship
iv. Anda join syarikat MLM dan promosikan program tersebut
Pada peringkat awal, anda perlu buktikan bahawa skil copywriting anda sememangnya mampu untuk hasilkan jualan. Jadilah seorang copywriter yang berupaya untuk menunjukkan hasil jualan, yang berpunca dari skil copywriting anda sendiri.
Bukannya self claimed copywriter yang bajet power, namun hakikatnya hanya menghabiskan duit klien, kerana penulisan yang dihasilkan sebenarnya langsung tak convert kepada sales.
Jadi, bagi mereka yang memang minat menulis dan pada masa yang sama mempunyai minat dalam bidang jualan, memang amat wajar mencuba untuk buat duit sebagai seorang copywriter.
Anda dah boleh bezakan, antara penulis artikel dengan penulis copywriter?
Jika anda masih kurang jelas mengenai kerjaya penulis dan ingin belajar dengan lebih mendalam, anda boleh muat turun koleksi ebook buat duit dengan menulis disini.
(5) Buat duit sebagai seorang pengurus akaun media sosial
Pengurus akaun media sosial?
Ya, ini merupakan satu kerjaya yang agak baru, yang sebelum ini tak pernah wujud.
Namun, setelah masyarakat dan entiti perniagaan mula sedar dan akui peranan media sosial dalam pemasaran dan perniagaan, kerjaya ini mula diwujudkan.
Jika kita lihat di laman web carian kerja, misalnya seperti dibawah ini, kerjaya sebagai pengurus media sosial boleh menerima bayaran sekitar RM2,500 – RM4,000 setiap bulan.
Jenis konten untuk sosial media
Konten untuk media sosial selalunya lebih ringkas dan gaya penyampaian yang lebih santai.
Kalau anda menulis artikel di media sosial, dan artikel tersebut mengandungi 10,000 patah perkataan, anda memang cari pasal. Besar kemungkinan, artikel anda langsung tidak akan dibaca.
Untuk konten media sosial, jenis posting yang sesuai adalah seperti
i. Artikel
ii. Info grafik
iii. Meme
iv. Video
v. Pengumuman event
vi. Promosi produk secara indirect
Apa yang penting sekali adalah, si pengurus perlu pastikan laman media sosial milik klien sentiasa aktif dan ada posting dan konten terkini. Tak bolehlah dibiarkan tak ada sebarang update.
Dalam sehari, dia mungkin perlu buat posting sekurang-kurangnya 5 kali mengikut sela masa tertentu.
Tugas seorang pengurus media sosial
Apa sebenarnya peranan seorang pengurus akaun media sosial?
Ada beberapa yang menjadi tanggungjawab dia, iaitu
i. Menghasilkan konten terbaru untuk laman sosial media tersebut
ii. Menjawab komen
iii. Membalas mesej yang masuk
iv. Menjalankan kempen pemasaran
v. Menguruskan tempahan sekiranya klien ada membuat jualan
Kelebihan menulis di media sosial
Jika hidup anda selama ini memang banyak diisi dengan mengadap media sosial, maka kerja seumpama ini memang sesuai dengan anda.
i. Anda akan jadi seorang yang selalu up to date
Anda memang cukup cakna dengan perkembangan terkini, apa isu yang tengah hangat diperkatakan, dan juga ada mampu untuk menilai sama ada sesuatu posting itu akan jadi viral atau tidak.
ii. Kerja penulisan yang lebih rileks
Biasanya kerja-kerja yang melibatkan penulisan, anda boleh hasilkan dengan gaya bahasa yang lebih santai, sebabnya di media sosial orang agak jarang nak baca perkara-perkara yang serius.
Jadi kalau nak bandingkan antara menulis artikel dan menulis blog, kerja menulis di media sosial sepatutnya lebih mudah.
Kekurangan kerja penulisan media sosial
Sama seperti yang lain-lain, ada juga sedikit kekurangan bila bekerja sebagai pengurus media sosial ini.
i. Anda bekerja dibelakang tabir dan tak dikenali
Sebagai pengurus akaun media sosial, anda akan bekerja dibelakang tabir. Orang tak kenal siapa anda. Agak sukar untuk anda bina kredibiliti anda sendiri.
Jika tugasan anda adalah menguruskan akaun milik seorang selebriti, ahli politik mahupun public figure, usaha anda selama ini hanyalah untuk membantu bina kredibiliti untuk orang lain, bukannya untuk diri anda.
ii. Tiada siapa yang tahu bahawa anda adalah penulis sebenar
Segala konten yang pernah anda hasilkan, anda tak boleh claim bahawa andalah yang bertanggungjawab membuat research dan menulisnya.
Apa lagi yang anda nak komplen? Lagipun, anda yang setuju nak buat kerja-kerja ini, dan anda dibayar untuk buat kerja tersebut. Jadi, ikhlaskan hati dan buatlah kerja tersebut dengan sebaiknya.
Kesimpulan
Baiklah, tak kira walau apa pun pilihan anda, yang pastinya peluang untuk buat duit dalam bidang penulisan ini memang terbuka dengan sangat luas. Tak kira siapapun, bebas untuk menceburi bidang ini.
Setiap orang akan bermula pada satu tahap yang berbeza-beza. Kita akan bermula dengan menyiarkan artikel atau karya penulisan kita yang pertama, dan seterusnya jika anda terus konsisten menulis, ia akan terus berkembang dan siapa tahu, satu hari nanti anda juga akan dikenali sebagai seorang penulis buku best seller.
Sekiranya anda berhasrat untuk menceburi bidang ini, saya doakan semoga anda juga berjaya capai apa yang anda impikan.
Iqbal says
Terima kasih inspirasinya. Tulisan yang sangat sangat lengkap tentang cara menghasilkan uang dengan menulis.
Boss says
Memang boleh buat duit dengan menulis kalau kena caranya. Asalkan rajin dan bersungguh-sungguh fokus dalam niche tertentu.