Kelemahan menjalankan bisnes menggunakan Konsep Dropship

by sabree hussin on June 2, 2016

in Bisnes Dropship

Kalau sebelum ni saya dah cerita tentang kelebihan menjalankan bisnes menerusi konsep dropship, kali ni saya nak cerita tentang kelemahan pula. Ya, kelemahan bisnes dropship. Tak kisah apa jenis bisnes sekalipun, walau banyak macam mana kelebihan yang ada sekalipun, ia tetap ada sisi lain, yang kita namakan sebagai sisi kelemahan.

Baca juga: Kelebihan menjalankan bisnes menggunakan Konsep Dropship

 

Akhirnya terpulang kepada anda, sama ada nak fokus pada kelebihan bisnes dropship atau kelemahan bisnes dropship itu sendiri. Tahniah saya ucapkan buat mereka yang tetap menjalankan bisnes dengan cara ini, walaupun mereka tahu konsep bisnes dropship ada kelemahannya. Saya kira, individu seperti itu pastinya telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal mendatang.

 

Baiklah, saya rasa kalau setakat nak cerita yang negatif, semua orang boleh buat. Jadi dalam post ini, disamping saya nak bincangkan hal-hal yang negatif dan berbahaya tentang bisnes dropship, saya juga akan cadangkan beberapa perkara yang mungkin anda boleh lakukan bagi menangani masalah-masalah yang bakal dibincangkan. Ok tak?

 

Mungkin dari beberapa idea yang saya kongsikan ni, ada yang makes sense dan anda dapat praktikkan untuk membantu perjalanan bisnes anda. Baiklah jom!

mudahnya-bisnes-dropship

Ini dia kelemahan bisnes menggunakan sistem dropship yang anda perlu tahu.

 

(1) Banyak persaingan antara sesama peniaga online yang menjual produk yang sama

Anda boleh memulakan perniagaan online anda dengan serta merta apabila menggunakan model bisnes dropship. Ia memang mudah. Asalkan anda ada komputer, sambungan internet, gambar produk yang hendak dijual, dan juga pembekal yang boleh dipercayai, maka anda dah boleh mulakan perniagaan anda dengan serta merta.

 

Ianya begitu mudah. Mudah untuk anda, dan mudah juga untuk orang lain. Ianya terlalu mudah hinggakan sesiapa sahaja yang menepati kriteria yang disebutkan itu juga berupaya untuk memulakan perniagaan dropship mereka sendiri.

 

Akhirnya anda akan dapati yang anda telah bersaing dalam satu persaingan yang sangat sengit. Buka sahaja Facebook, anda boleh lihat ada terlalu ramai yang menjual produk yang sama seperti yang anda jual.

Cadangan penyelesaian

Asas bagi perniagaan secara online adalah KEPERCAYAAN. Walaupun terdapat banyak peniaga yang menjual produk yang sama, ini tak bermakna bakal pembeli tidak akan memilih peniaga yang mana untuk dia berurus niaga.

Persoalannya ialah, bagaimana membina kepercayaan? 

Pelanggan anda biasanya adalah terdiri daripada mereka-mereka yang kenal anda, tahu siapa anda, biasa dengan anda dan mungkin mereka yang mengikuti perkembangan (follow) anda dalam diam.

Anda tak akan dapat semua ini dengan serta merta, sebaliknya ia perlu dipupuk dan beri masa untuk ia berkembang.

Cadangan saya, jika anda ingin dikenali secara online, ini yang anda boleh lakukan

  1. Tulis blog (ehem… ehem macam saya la)
  2. Aktif di Facebook dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat dengan kerap
  3. Wujudkan group Facebook untuk anda berinteraksi dengan prospek, dan pelanggan anda.

Jangan terpengaruh dengan ramai dan banyaknya penjual yang jual produk yang sama. Pembeli akan beli dari individu yang dia kenal dan kalau tak ada orang yang dia kenal jual produk yang dia mahukan, dia akan beralih kepada pilihan seterusnya iaitu membeli dari individu yang boleh dipercayai.

Jadi, anda ada dua pilihan. Pertama, jadi orang yang dikenali atau kedua, jadi individu yang boleh dipercayai.

 

(2) Risiko kena tipu dengan pembekal!

Ini JARANG berlaku. Namun kemungkinan untuk berlaku itu memang ada. Sesetengah penipuan akan melibatkan kerugian wang ringgit, dan sesetengah penipuan menyebabkan kerugian dari segi masa. Dari sekecil-kecil penipuan sampailah penipuan tahap firaun.

 

Macam mana dan apa bentuk penipuan yang boleh berlaku?

 

Penipuan pertama adalah dari segi penghantaran. Pembekal kata barang yang dipesan dah dihantar, tetapi sebenarnya dia belum hantar lagi. Mungkin tak sempat atau mungkin sebab dia nak kumpul dulu supaya tak perlu berulang-alik nak ke pejabat pos.

Cadangan penyelesaian

Minta tracking number. Tak kisahlah bila dia akan hantar barang tu at least kena ada tracking number. Tracking number ini penting untuk buatkan pelanggan kita rasa lega yang barang yang ditempah tu telah diuruskan dengan baik.

 

Penipuan kedua adalah dalam bentuk yang lebih kejam iaitu tipu duit anda dan pelanggan anda. Nak jadi ejen dropship, dia kenakan yuran. Kemudian, bila anda dah sedia nak buat order yang pertama, dia ambil duit tempahan dan hilangkan diri. Situasi ini jarang berlaku, namun anda tetap perlu berhati-hati.

Cadangan penyelesaian

Kena selalu buat semakan. Semak segala info sebelum anda berniat untuk berurus niaga dengan mana-mana pembekal. Ini mungkin beberapa poin yang anda boleh rujuk.

  1. Jika pembekal ada fanpage, lihat berapa ribu like. Lagi banyak like memberi gambaran yang pembekal adalah seorang yang SERIUS.
  2. Adakah pembekal ada laman web. Lihat bagaimana susun atur laman web milik pembekal. Nampak profesional atau cincai?
  3. Berapa lama pembekal telah beroperasi? Adakah baru sahaja?
  4. Adakah pembekal anda mempunyai pejabat dan premis perniagaan?

Jangan salah pilih pembekal. Silap pilih pembekal, anda mungkin berurusan dengan pembekal yang rupa-rupanya adalah ejen dropship juga!

 

(3) Pelanggan anda tak boleh lihat gambar produk sebenar

Gambar produk memainkan peranan yang agak besar sebenarnya untuk meyakinkan pelanggan untuk beli dari anda. Sesetengah pembekal hanya berikan imej model sesuatu produk. Contohnya macam yang kat bawah ni

cermin-mata-ibnusina

Ini adalah gambar untuk produk cermin mata terapi ibnu sina yang digunakan untuk merawat masalah rabun silau. [klik sini] Gambar macam ni memang nampak cantik, kemas dan kelihatan profesional. Tetapi gambar seperti ini walaupun menarik ia tidak menggambarkan produk sebenar.

 

Melainkan kalau anda ada produk tersebut dalam tangan. Jadi anda boleh cerita berapa besar saiz dan dimensi produk ini. Boleh buat perbandingan saiz dan gambar boleh diambil menerusi pelbagai sudut latar belakang.

Cadangan penyelesaian

Beli dulu produk yang anda nak jual menggunakan kaedah dropship. Beli satu unit sahaja pun dah memadai. Bila anda ada produk dalam tangan, lebih mudah untuk anda pelbagaikan cara tangkap gambar. Pelanggan anda tak perlu tahu yang sebenarnya anda cuma ada satu unit sahaja produk sebagai sampel dalam tangan anda.

Anda juga boleh tunjukkan kepada pelanggan yang anda turut menggunakan produk yang anda jual.

 

(4) Tak boleh nak semak kualiti produk

Ini juga adalah satu perkara yang buatkan kita rasa bimbang. Memandangkan produk yang kita jual tu, kita tak boleh nak semak kualitinya, sama ada ada kecacatan, retak, sumbing dan sebagainya, buatkan kita jadi bimbang kalau-kalau pembekal hantar barang yang kurang berkualiti.

Cadangan penyelesaian

Cuba buat test order dari pembekal anda. Dari situ anda boleh lihat bagaimana cara pembekal itu uruskan tempahan. Anda juga boleh nilaikan sendiri bagaimana cara mereka membuat packaging pada produk.

 

(5) Waktu operasi perniagaan anda terpaksa ikut jadual orang lain

Ini bermakna, jika pembekal anda bercuti panjang, anda juga terpaksa cuti panjang. Anda kena ikut jadual mereka. Walaubagaimanapun, jika anda berurusan dengan pembekal yang mempunyai perniagaan yang sudah besar, lazimnya mereka ada pembantu. Mereka juga jarang ambil cuti.

Cadangan penyelesaian

Dapatkan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang pembekal. Jika seorang cuti, masih ada lagi pembekal lain yang anda boleh berurusan. Ataupun, untuk sementara, anda beli produk dari peniaga lain dan minta peniaga tersebut pos barang kepada pelanggan anda.

 

(6) Masa penghantaran perlu ikut masa orang lain

Kita tak tahu bila produk yang ditempah akan dihantar. Kita kena ikut masa yang ditetapkan oleh pihak pembekal. Jika pihak pembekal mempunyai sistem kerja yang teratur, itu tak jadi masalah. Sebagai contoh, awal-awal lagi pihak pembekal dah bagitahu, setiap tempahan yang dibuat sebelum jam 3:30 petang akan di pos pada hari yang sama. Ini tak ada masalah. Yang jadi isu bila kita tak tau bila dia akan buat penghantaran. Ikut masa dia.

Cadangan penyelesaian

Kena bagitahu dekat pelanggan, setiap produk akan mengambil masa kira-kira 2 – 3 hari bekerja untuk sampai ke tangan. Berilah sebab kenapa ambil masa yang agak lama, mungkin anda nak kata disebabkan banyak tempahan yang perlu diproses dalam satu-satu masa. Jika barang boleh sampai dalam masa sehari bekerja, atau hari keesokkannya, ini pasti akan lebih menggembirakan pelanggan tersebut.

Apa pun, kena ada tracking number. Dari situ pembeli boleh semak progress dan status penghantaran produk.

 

(7) Masalah berkaitan dengan customer service dan support

Bagaimana kalau ada masalah? Contohnya pelanggan buat komplen kepada anda. Katakanlah ada masalah dengan tempahan, contohnya produk rosak. Step dia akan jadi begini.

 

Pelanggan buat komplen. Pelanggan kena tunggu anda respon. Anda pula bila terima komplen dari pelanggan, anda kena komplen kepada pembekal pula. Selagi pembekal tak jawab apa-apa, anda kena tunggu. Bila pembekal dah respon kepada anda, barulah anda boleh respon kepada pelanggan. Semua ni makan masa. Jadi prosesnya LAMBAT. Dalam pada nak kena tunggu tu, mungkin pelanggan tu dah marah-marah! Sudah tentu yang kena marah ialah anda, bukannya pembekal anda.

Cadangan penyelesaian

Bersiap sedia dari awal. Ok kita sedia maklum, semua orang sibuk dan tak ada masa nak layan soalan-soalan remeh-temeh ni. Apa yang saya maksudkan dengan bersiap sedia dari awal ni adalah termasuk semua perkara. Anda patut tahu semua perkara tentang produk dan juga perlindungan-perlindungan yang diberikan jika ada masalah pada produk yang sampai di tangan pelanggan.

Sebagai contoh, produk pecah, rosak, dan sebagainya. Apa solusinya? Kebiasaannya begini.

Pelanggan perlu ambik gambar produk yang diterima. Jika produk rosak tunjukkan bukti produk tersebut dah rosak. Kemudian, pelanggan tadi perlu pos semula barang yang rosak itu tadi kepada pembekal dan kos penghantaran perlu dibayar oleh pelanggan. Apabila barang dah sampai ke tangan pembekal, pihak pembekal akan pos yang baru. Kos penghantaran bagi produk gantian akan ditanggung oleh pembekal.

Macam tak adil pulak pelanggan terpaksa bayar kos penghantaran untuk pulangkan barang yang rosak? Baiklah, barang rosak ni kadang-kadang kita pun tak tau macam mana ia boleh berlaku. Mungkin ia jadi sebab masalah teknikal dan masalah ketika penghantaran. Sudah tentu bukan salah anda, bukan salah penjual dan bukan juga salah pembeli. Kemalangan berlaku.

Kita lihat situasi kalau kita beli barang di kedai. Masa beli barang ok. Tapi bila dah sampai rumah, barang ada sedikit kerosakkan, dan barang tersebut boleh tukar yang baru. Kita pun pergi semula ke kedai tadi. Adakah kita claim kos perjalanan kita ke kedai tu tadi? Mestilah tidak. Begitu juga dengan kos penghantaran semula barang yang perlu dibayar oleh pelanggan itu tadi.

Walaubagaimanapun, sesetengah pembekal akan refund atau tanggung segala kos-kos berkaitan penghantaran. Anda perlu tanya dari awal kepada pembekal dan perlu perjelaskan beberapa perkara, terutama sekali jika melibatkan masalah-masalah seperti barang rosak, hilang, tak sampai dan sebagainya. Tanya juga, siapa yang perlu bayar kos penghantaran jika tempahan pelanggan anda ada masalah. Dalam situasi ini, jika pembekal tak mahu tanggung kos penghantaran, mungkin anda perlu keluar duit untuk bayarkan kos penghantaran bagi pihak pelanggan. Ya, kena keluar duit sendiri, untuk pastikan pelanggan puas hati berurusan dengan anda.

Jangan tunggu situasi dah jadi buruk baru nak tanya. Tanya kepada pembekal sebelum ia berlaku, jadi apabila ia benar-benar berlaku, anda boleh beri respons dengan pantas kepada pelanggan anda.

 

(8) Kekurangan informasi berkenaan produk

Kekurangan informasi ni saya merujuk kepada dua perkara, iaitu pertama, anda tak tau apa penerangan tentang produk, dan pihak pembekal anda juga berikan maklumat yang terlalu sedikit. Kedua, anda tak tau ada berapa unit produk yang masih tinggal dalam simpanan stok pembekal. Rugilah kalau anda dah laburkan banyak duit untuk pengiklanan berbayar, tiba-tiba anda diberitahu produk yang anda iklankan tu cuma tinggal 3 unit sahaja. Tempahan yang anda terima pula banyak!

Cadangan penyelesaian

Kalau masalah tak tau penerangan tentang produk ni mudah sahaja. Cara saya, saya akan buka laman web lelong, ebay, mudah.my, lazada dan apa-apa laman web ecommerce dan lihat sama ada produk yang sama ada dijual atau tidak. Jika ada, saya akan TIRU sahaja penerangan tentang produk tersebut. Sudah tentu, saya akan ubah beberapa perkataan supaya ia nampak UNIK.

Masalah tak tau berapa unit yang masih tinggal, ini saya cadangkan anda gunakan dua atau tiga pembekal. Jika pembekal pertama ada masalah stok, boleh order kat orang lain.

sewa_harley_davidson_mudahmy

Tiru sahaja iklan di mudah.my. Satu short cut!

 

(9) Sukar untuk pelbagaikan promosi

Contohnya kalau anda nak pakejkan produk yang anda promosikan dan masukkan free gift. Free gift yang anda nak masukkan tu pula, pembekal anda tak jual. Memandangkan urusan pembungkusan dan penghantaran semuanya diuruskan oleh pihak pembekal, anda memang tak boleh nak campur tangan langsung. Ini satu masalah yang kecil sahaja sebenarnya.

Cadangan penyelesaian

Pos free gift secara berasingan, jika kosnya masih lagi beri untung kepada anda.

 

(10) Pelanggan anda kena curi dengan pihak pembekal

Bagaimana pembekal anda boleh curi pelanggan anda? Mudah sahaja. Semasa barang dihantar, pembekal ini masukkan sekali fliers, brochure, kupon diskaun dan lain-lain ke dalam bungkusan.

 

Saya nak bagi contoh situasi pembekal berikan kupon diskaun. “Dapatkan diskaun sebanyak 10% untuk pembelian seterusnya dengan membuat pembelian menerusi laman web www.lazada.com.my”. Ini contoh je. Anda rasa, adakah pelanggan anda tu tadi akan beli dari anda lagi atau akan beli terus dari pembekal anda dan dapatkan diskaun sebanyak 10% tu? Jimat pun jimat!

Cadangan penyelesaian

Ini risiko yang anda perlu hadapi. Pelanggan kena curi! Ini sesuatu yang agak sukar untuk kita kawal. Bisnes yang dapat bertahan lama ialah bisnes yang ada repeat sales dari pelanggan yang SAMA. Jika tidak, seumur hidup bisnes anda, anda terpaksa cari pelanggan baru.

Masih ingat lagi saya ada cadangkan untuk beli dulu barang dari pembekal? Ala saya ada sebut pasal test order sebelum ini. Sebenarnya dari situ juga anda boleh buat keputusan, wajarkah anda menjadi ejen dropship untuk pembekal ini. Jika rasa tak berbaloi, maka tinggalkan sahaja.

 

Terima kasih kerana sudi membaca. Ya, saya tahu apa yang saya kongsikan ini mungkin agak panjang dan agak sukar untuk anda hadam. Semua ini saya ceritakan berdasarkan pengalaman sebenar individu yang memang menjalankan bisnes online menerusi konsep dropship.

 

Sebahagiannya adalah dari pengalaman saya sendiri, dan ada juga saya ambil dari pengalaman rakan-rakan yang buat bisnes ni. Seperti yang pernah saya sebutkan dulu, setiap perniagaan ada naik dan turun. Ada cabaran dan ada halangan. Tak ada satu bisnes pun yang setiap hari berjalan dengan lancar.

 

Even kalau kita kerja dengan majikan pun, kita ada hari-hari tertentu yang kita rasa kurang produktif dan terasa malang bertimpa-timpa. Bidang perniagaan juga lebih kurang begitu. Apa pun, semoga perkongsian saya ini ada manfaat untuk anda.

 

Jika anda rasakan maklumat dalam ini berguna untuk anda, apa kata anda share artikel ini dengan rakan-rakan anda. Oh ya, jika anda mahu, anda juga boleh buat bacaan tambahan tentang topik bisnes dropship ini dengan membaca buku dibawah.

buat-duit-dengan-dropship

Klik sini untuk baca: Buat duit dengan Dropship: Panduan menjana pendapatan dengan dropship

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: