Petua elakkan masalah apabila menjalankan bisnes dropship

by sabree hussin on June 7, 2016

in Bisnes Dropship

Adakah bisnes drophsip adalah satu model perniagaan yang bermasalah? Bisnes apa yang tak ada masalah? Saya rasa hampir kebanyakkan atau mungkin semua bisnes ada masalahnya tersendiri. Tak ada bisnes yang perfect 100% dan langsung tak ada masalah. Begitu juga bisnes dropship. Kali ini saya nak cerita tentang masalah bisnes dropship.

 

Lain perniagaan lain ragamnya. Kita ambik contoh perniagaan produk kesihatan dan kecantikkan misalnya. Perniagaan dalam bidang ini merupakan satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Terdapat banyak prospek yang bersedia untuk membayar sebarang harga untuk jadi cantik. Walaupun begitu, persaingan dalam bidang ini juga sangatlah sengit.

 

Ada macam-macam produk direka dan dicipta bagi menyelesaikan masalah yang sama. Contohnya masalah kulit berjerawat. Lihat sahaja di pasaran, terdapat terlalu banyak produk yang dikatakan mampu untuk menyelesaikan masalah kulit jerawat dengan pantas. Ada yang ambil masa 3 hari, 5 hari, seminggu dan macam-macam lagi tawaran. Semuanya bertujuan untuk menarik perhatian prospek untuk beli produk tersebut.

masalah-bisnes-dropship

Jadi, rasanya baik kita terima hakikat bahawa bisnes dropship juga tidak terkecuali. Sooner or later, anda akan hadapi masalah juga. Namun, anda tak perlu tunggu ditimpa masalah, barulah nak cari jalan penyelesaiannya. Apa kata, anda ambil beberapa langkah seperti yang saya bakal cadangkan dalam perkongsian kali ini sebelum mulakan bisnes dropship secara lebih serius.

 

(1) Ketahui terma dan syarat yang dikehendaki oleh pihak pembekal

Setiap perniagaan sepatutnya mempunyai terma dan syarat. Ya, ramai yang memilih untuk skip dan tak baca apa yang terkandung dalam terma dan syarat. Siapa yang sanggup habiskan sekurang-kurangnya 20 – 30 minit semata-mata nak baca terma dan syarat sebelum menekan butang setuju atau agree?

 

Namun, tahukah anda, yang sebenarnya terma dan syarat ini diwujudkan bagi melindungi pihak anda dan juga pihak pembekal sekiranya berlaku sebarang pertikaian di masa akan datang. Bukan semua masalah yang berlaku, adalah disebabkan oleh kecuaian pembekal dan mungkin masalah tersebut berlaku bukan juga disebabkan oleh kelalaian anda.

 

Dalam terma dan syarat selalunya ada menggariskan tentang apa dia tindakan-tindakan ataupun perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang anda menggunakan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pembekal. Anda akan tahu macam-macam perkara dari sini, dan saranan saya, baca dan fahamkan terma dan syarat pihak pembekal terlebih dahulu sebelum nak mula berniaga menggunakan konsep dropship secara serius.

 

Lagi satu, mana-mana pembekal yang memang serius dalam perniagaan mereka, pasti akan meletakkan terma dan syarat dalam perniagaan. Jika anda dapati, pembekal tidak mempunyai sebarang terma dan syarat, maka saya syorkan anda untuk berhati-hati. Jika ada masalah dikemudian hari, si pembekal mungkin akan lepas tangan dan hilang begitu sahaja.

 

(2) Yuran pendaftaran sebagai ejen

Bukan semua pembekal akan membuka tawaran sebagai ejen secara percuma. Bukan semua. Jadi kalau ada yang kata, bisnes dropship boleh dimulakan tanpa mengeluarkan sebarang modal, mungkin anda kena fikirkan semula. Memang ada beberapa pembekal yang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk program dropship mereka, namun ada juga pembekal yang mengenakan yuran pendaftaran.

buat_duit_dengan_bookcafe

Saya ambil contoh program dropship yang dianjurkan oleh syarikat buku bookcafe. Mereka mengenakan bayaran yang berbeza untuk pendaftaran sebagai ejen dropship. Terdapat beberapa pakej yang anda boleh pilih iaitu pakej basic, pakej PRO dan juga pakej VIP.

 

Berkemungkinan, yuran pendaftaran ini dikenakan bagi menapis individu yang benar-benar serius nak jalankan perniagaan sahaja. Bukannya yang saja-saja join sebagai ejen dropship semata-mata untuk dapatkan diskaun atau harga yang lebih murah berbanding orang lain.

 

Lagi satu, bila ada bayaran untuk menjadi ejen, maka persaingan sesama ejen dapat dikurangkan. Hanya yang bayar yuran pendaftaran sahaja yang akan jadi ejen dan ini pastinya dapat membuatkan mereka yang tak ada modal langsung untuk tidak menyertai program ini.

 

Sekarang, sebelum anda buat keputusan sama ada nak bayar atau tidak, anda patut pertimbangkan beberapa perkara. Adakah ianya berbaloi dan adakah anda telah melakukan kajian pasaran dan gembira dengan hasil kajian tersebut?

 

(3) Maklumat perhubungan pihak pembekal

Ini adalah satu maklumat yang penting. Di mana pembekal anda beroperasi. Untuk mengetahuinya, anda perlu mempunyai maklumat perhubungan pembekal anda. Setelah anda mempunyai nama pemilik, alamat perniagaan, nombor telefon dan sebagainya, buatlah siasatan tentang pihak pembekal itu tadi.

 

Gunakan teknologi. Kalau boleh, anda kunjungi premis perniagaan milik pembekal. Apa dia? Tak ada masa. Kalau macam tu, saya nak cadangkan anda menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh google untuk melihat premis perniagaan milik pembekal anda. Gunakan sahaja perisian Google Street View. Anda tak perlu berada di lokasi perniagaan untuk melihat-lihat bagaimana rupa bentuk premis perniagaan milik pembekal anda.

 

Penting ke untuk pihak pembekal mempunyai premis perniagaan? Memandangkan pihak pembekal adalah entiti yang akan menyimpan stok dan menguruskan tempahan, kita patut mempunyai anggapan bahawa mereka beroperasi dalam skala yang agak besar dan tersusun. Sekurang-kurangnya ada premis perniagaan. Itu lebih menyakinkan berbanding individu yang hanya beroperasi dari rumah. Melainkan anda benar-benar kenal siapa pembekal anda, maka itu lain cerita.

 

(4) Reputasi pembekal

Adakah pihak pembekal merupakan syarikat yang berpengalaman dalam bidangnya dan mempunyai reputasi yang baik dalam perniagaan yang dilakukannya? Anda boleh cuba berhubung dengan ejen dropship yang lain, yang pernah berurusan dengan pembekal yang sama untuk mengetahui adakah pihak pembekal mempunyai rekod yang baik.

 

Dewasa ini, kebanyakkan syarikat pembekal akan menyediakan ruangan support seperti di FB Group, telegram ataupun group whatsapp. Ini sekaligus memudahkan anda untuk berhubung dengan ejen lain dan tanyakan pengalaman mereka berurusan dengan pembekal ini.

 

(5) Jumlah stok

Paling mudah berurusan dengan pembekal yang telah menyediakan sistem tempahan yang teratur. Contohnya macam kat bawah ni.

sedekah_menambahkan_harta

Tanpa perlu bersusah payah nak whatsapp, SMS, atau call pihak pembekal, kita boleh tahu berapa banyak stok produk yang masih ada dalam satu-satu masa. Dalam contoh kat atas ni, iaitu untuk buku berjudul Ajaibnya Sedekah Semakin Bersedekah Semakin Kaya, ia menunjukkan terdapat 27 buah buku yang masih ada dalam stok.

 

Jadi dengan adanya maklumat ini, kita boleh jalankan promosi dengan lebih yakin berbanding apabila kita tak tau berapa banyak stok yang masih berbaki dalam satu-satu masa.

 

(6) Masa untuk penghantaran dilakukan

Berapa lama masa yang diperlukan untuk barang yang ditempah sampai ke tangan pelanggan? Pelanggan tak suka tunggu lama-lama, dan jika ada alternatif lain, pelanggan anda mungkin akan membeli dari peniaga lain yang boleh berikan barangan yang ditempah lebih awal.

 

(7) Kaedah penerimaan pembayaran

Sebaik-baiknya kita berurusan dengan pembekal yang dapat menerima pembayaran dalam kaedah yang sama seperti mana pelanggan membuat bayaran kepada kita. Contohnya, kalau pelanggan buat pembayaran menggunakan kaedah online transfer ke akaun CIMB, pihak pembekal juga patut ada akaun dengan CIMB. Dengan ini, kita tak akan dikenakan sebarang caj tambahan.

 

(8) Barangan berjenama dan TULEN 

Adakah anda menjual barangan berjenama ataupun barangan yang dilindungi oleh copyright? Jika jawapan anda adalah ya, paling penting adalah untuk memastikan yang anda menjual produk yang benar-benar tulen. Bukannya produk tiruan. Sekiranya anda mempromosikan produk tiruan, dan anda ditangkap kerana berbuat demikian, yang akan dapat masalah ialah anda.

 

(9) Syarikat penghantaran yang digunakan 

Ini bagi memudahkan urusan tracking atau menyemak status tempahan. Adakah pihak pembekal anda akan menyediakan tracking number atau tidak?

 

Walaupun produk tak sampai lagi ke tangan pembeli, tetapi kalau pembeli tu dah dapat tracking number, ini akan lebih memberi kelegaan pada diri mereka. Pada bila-bila masa, mereka boleh semak status tempahan yang telah dilakukan.

 

(10) Polisi pemulangan barangan

… dan akhir sekali yang perlu anda tahu, dan dapatkan kepastian dari pihak pembekal ialah berkenaan dengan polisi pemulangan semula barangan yang telah ditempah oleh pelanggan, sekiranya terdapat sebarang masalah.

barang-lazada-rosak

Ini adalah salah satu contoh barang yang pernah saya beli dari laman web Lazada. Sebenarnya ini adalah electronic scale. Masa barang ni sampai pada saya, ianya dah rosak dan retak seribu macam dalam gambar kat atas ni. Mujurlah Lazada menggantikan barang yang baru. Syaratnya ialah kena hantar balik barang yang rosak ini dan selepas itu pihak Lazada akan menggantikan dengan produk yang baru. Kos penghantaran atau pemulangan semula barang yang rosak ini juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak Lazada.

 

Baiklah, apa kaitannya dengan situasi anda jika nak buat bisnes dropship? Kadang-kadang masalah barang rosak semasa dalam proses penghantaran boleh berlaku. Ia bukan salah kita. Bukan juga salah pihak pembekal. Mungkin berlaku kemalangan semasa proses penghantaran dan ia mengakibatkan kerugian kepada pelanggan.

 

Jika risiko kerugian ini ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan, pasti pelanggan tersebut akan jadi trauma untuk beli sebarang produk dari internet lagi. Jadi dalam situasi seperti ini, anda perlu dapatkan pengesahan dari pihak pembekal, adakah pelanggan boleh dapatkan barangan ganti tanpa sebarang kos tambahan?

 

Atau adakah anda yang kena keluar duit untuk gantikan barang lain? Pasti ini kelihatan tidak adil dan akan membuatkan kita hilang semangat untuk terus berniaga dimasa akan datang. Akan tetapi, kalau syarikat pembekal adalah syarikat besar, lazimnya mereka tak ada masalah untuk gantikan dengan barang yang baru.

 

Apa yang saya ceritakan dalam entri ini adalah antara bentuk-bentuk masalah yang mungkin akan timbul sekiranya anda jalankan bisnes menggunakan konsep bisnes dropship. Saya harap, lepas anda baca entri ini, anda tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Dengan ini, anda mungkin dapat elakkan sebarang masalah dari berlaku sebelum ia benar-benar terjadi.

 

Semoga bermanfaat.

 

Baca juga: Buat duit dengan Dropship: Panduan menjana pendapatan dengan dropship

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: