Online Travel Agency atau singkatannya OTA memainkan peranan yang sangat penting dalam merancakkan lagi industri pelancongan bukan sahaja di negara kita, malah diseluruh dunia.
Saban hari, semakin ramai pengendali dan pengusaha bisnes berasaskan tempat penginapan mula menjalinkan usahasama dengan pihak OTA. Mereka mula menyenaraikan kediaman yang mereka miliki di pelbagai platform OTA yang berbeza, bagi tujuan mendapatkan lebih ramai tetamu untuk datang menginap ditempat mereka.
Diluar sana terdapat banyak platform OTA yang anda boleh gunakan. Setiap satu menawarkan perkhidmatan yang lebih kurang sama, namun mereka ada keunikkannya yang tersendiri.
Perbincangan kali ini adalah mengenai topik Online Travel Agency (OTA). Bagi mereka yang kurang familiar dengan peranan agensi seperti ini, artikel ini saya tulis untuk anda.
Apa itu OTA?
OTA adalah singkatan bagi Online Travel Agency. Ia merujuk kepada sebuah website atau platform yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat tempahan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan industri pelancongan. Produk tersebut adalah seperti
1. Tiket penerbangan
2. Hotel, Guesthouse, homestay, hostel, motel dan sebagainya
3. Kereta sewa
4. Tiket bas
5. Tiket masuk ke taman tema
6. Dan lain-lain
Kesemua perkhidmatan ini biasanya ditawarkan oleh pelbagai syarikat seperti syarikat penerbangan, hotel, syarikat kereta sewa dan lain-lain syarikat. Melalui platform yang disediakan oleh OTA, kesemua maklumat ini boleh diperolehi dalam satu platform tanpa perlu merujuk banyak laman web lain.
Saya ambil contoh laman web booking.com dimana pengguna boleh menggunakan platform tersebut untuk membuat tempahan tempat penginapan, tiket penerbangan, kereta sewa dan sebagainya.
Pengguna bukan sekadar boleh mendapatkan maklumat dengan mudah, malahan mereka boleh terus membuat tempahan melalui platform OTA tersebut.
Pada hari ini, platfrom OTA tersedia dalam bentuk laman web dan juga applikasi mobile.
Kalau anda lebih selesa menggunakan laptop atau komputer, boleh buat tempahan menggunakan website.
Jika anda lebih selesa menggunakan smartphone, boleh buat tempahan melalui apps yang disediakan oleh OTA.
Oleh kerana dalam satu platform OTA terdapat banyak syarikat yang menyenaraikan perkhidmatan mereka, maka sebagai pengguna kita juga dapat membuat perbandingan harga dengan sangat mudah apabila menggunakannya.
Sebagai contoh, saya ambil platform Airpaz yang merupakan OTA spesifik untuk tiket penerbangan.
Kita boleh terus buat perbandingan harga antara Malaysia Airlines, Malindo Air, Air Asia, Scoot Tiger Air dan lain-lain syarikat penerbangan menggunakan platform tersebut.
Kemudian kita boleh atur hasil carian tadi mengikut susunan harga paling rendah kepada paling tinggi, mengikut masa dan sebagainya. Secara tak langsung, ini dapat menjimatkan masa dan memudahkan kita untuk buat perbandingan harga antara syarikat penerbangan berbeza.
Jika dari senaraian tersebut, ada penerbangan yang sesuai dengan anda, anda boleh terus buat tempahan melalui platform OTA tersebut tanpa perlu melayari laman web rasmi syarikat penerbangan tersebut.
Dibawah ini pula saya ambil dari laman web Airbnb.
Airbnb ini popular dalam kalangan pengguna yang ingin mencari tempat penginapan jenis homestay atau guesthouse. Melalui platform ini, kita boleh dapat akses kepada beribu-ribu tempat penginapan.
Jika destinasi yang kita pilih itu memang sangat popular, misalnya seperti di Port Dickson, kita akan dapat banyak pilihan. Namun, jika lokasi tersebut kurang popular, kita mungkin hanya akan dapat beberapa pilihan sahaja.
Syarikat OTA sebenarnya berperanan sebagai orang tengah yang menghubungkan antara pengguna dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan pelancongan. Apabila pengguna membuat tempahan melalui platform yang disediakan oleh OTA, pihak OTA akan mengenakan caj atau komisen kepada syarikat pelancongan tersebut.
Dipihak pengguna, mereka hanya perlu bayar seperti mana harga yang telah ditetapkan. Tiada sebarang pertambahan harga.
Peranan dan fungsi OTA semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna memandangkan mereka mampu menyediakan perkhidmatan yang bagus disamping memudahkan pengguna untuk mencari dan membuat tempahan hotel.
Platform OTA seperti TripAdvisor turut berfungsi sebagai sebuah platform komuniti online, dimana para pengguna dapat berbincang sesama ahli mengenai pengalaman percutian, tips percutian, review, feedback dan macam-macam lagi.
Jika ada ahli yang mempunyai soalan yang berkaitan dengan sesuatu destinasi percutian, ahli boleh bertanya soalan dan akan ada expert advisor yang akan menjawab pertanyaan tersebut.
Dari masa ke masa, pihak OTA juga menawarkan promosi diskaun yang adakalanya lebih murah berbanding kalau booking secara direct dengan hotel. Pengguna yang merupakan kategori “price hunter” pasti akan menyukai promosi seperti ini.
Individu yang menjalankan bisnes tempat penginapan secara kecil-kecilan juga mendapat banyak manfaat melalui OTA. Apabila mereka mengiklankan bisnes yang mereka jalankan melalui platform ini, secara tak langsung mereka boleh mendapat akses kepada database pengguna OTA yang cukup besar.
Bagaimana OTA berperanan dalam industri pelancongan?
Platform Online Travel Agency ini sebenarnya ada banyak jasanya kepada industri pelancongan.
(1) Mudah mencari tempat penginapan mengikut kriteria tertentu
Perkhidmatan yang disediakan oleh OTA dapat membantu memudahkan pelanggan untuk mencari dan membuat tempahan tempat penginapan yang menepati kriteria yang dimahukan oleh pelanggan.
Kita sedia maklum, pelanggan berbeza, mempunyai kriteria yang berbeza, misalnya
1. Berapa katil yang diperlukan
2. Berapa bilik yang diperlukan
3. Berapa bajet yang sedia dibayar
4. Bilik menghadap laut atau ada pemandangan yang menarik
Dengan adanya teknologi yang dibangunkan oleh platform OTA, tempat penginapan yang menepati kriteria yang dicari ini dapat ditemui dalam masa yang singkat. Pada hari ini, pelanggan tak perlu lagi mencari satu per satu, membuka laman web yang berbeza semata-mata untuk mencari tempat penginapan yang menepati citarasa.
Laman web dan juga applikasi yang dibangunkan oleh pihak OTA juga kebanyakkannya mudah untuk digunakan. Individu yang tak mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang IT pun boleh menggunakan ia tanpa masalah.
Applikasi atau website yang sama, boleh berperanan sebagai medium untuk membuat perbandingan harga, selain membandingkan ciri-ciri tempat penginapan yang berbeza, yang menepati citarasa dan keinginan pelanggan.
(2) Promosi diskaun
Dari masa ke masa, pihak OTA ada menjalankan promosi diskaun yang menawarkan harga yang berkali ganda lebih murah berbanding kalau kita buat tempahan direct dengan pihak hotel.
Contohnya adalah seperti dibawah ini.
Penginapan di Thistle Port Dickson ada diskaun sebanyak 70% jika buat tempahan melalui platform Agoda.
Pelanggan boleh menikmati penjimatan dan potongan harga apabila buat tempahan melalui OTA. Kemudian, apabila pelanggan datang bercuti ke destinasi percutian tersebut, pasti dia akan turut berbelanja bagi tujuan seperti
1. Makan tengahari dan makan malam
2. Beli souvenier
3. Bayaran untuk aktiviti
Secara tak langsung, peranan OTA ini juga dapat menaikkan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
(3) Sistem Follow up dari OTA
Adakalanya selepas pengguna membuka website atau apps OTA, dan melihat-lihat tawaran yang tersedia, pengguna ini masih tak buat keputusan sama ada nak buat tempahan dan pergi bercuti atau tidak.
Sesetengah platform OTA mempunyai sistem follow up mereka tersendiri dan ada antaranya yang akan menghantar email untuk mengingatkan pengguna untuk buat tempahan.
Kadang-kadang disebabkan kesibukkan kerja, kita terlupa untuk buat tempahan.
Ataupun boleh jadi sebab, kita berbelah bahagi untuk buat tempahan sebab bimbang banyak perkara, seperti cuti tak approved, ada kerja yang perlu disiapkan dan macam-macam perkara.
Akhirnya, kita tutup website tempahan dan kembali kepada kerja hakiki kita.
Tapi dengan adanya sistem follow up, ia dapat mengingatkan kita semula yang kita masih belum buat tempahan.
(4) Berperanan sebagai orang tengah
Platform OTA juga dapat memainkan peranan sebagai orang tengah yang menghubungkan antara pelanggan dengan pengendali bisnes tempat penginapan.
Dengan adanya platform OTA, pelanggan boleh memilih dari beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu pemilik dan pengendali bisnes tempat penginapan yang berdaftar di platform OTA tersebut, tanpa perlu menghubungi mereka satu per satu.
Pelanggan boleh pilih dari banyak-banyak tempat penginapan yang tersenarai dan jika ada yang berkenan dihati, boleh terus buat tempahan melalui platform tersebut.
Dewasa ini, muncul beberapa kes penipuan melibatkan homestay yang tak wujud.
Baca: Hati-hati dengan scammer bisnes homestay
Justeru, dengan adanya OTA, kes-kes sebegini dapat dikurangkan dan jika tetap berlaku, setidak-tidaknya ada tempat untuk pelanggan rujuk untuk dapatkan pembelaan.
(5) Peluang menjana pendapatan
Pada pandangan saya, ini juga merupakan satu peranan yang tak kurang pentingnya yang dimainkan oleh pemilik platform OTA.
Ada platform OTA yang menawarkan program referral atau program affiliate bagi merancakkan lagi tempahan hotel dan homestay melalui platform mereka. Sebagai timbal balik, mereka yang mendaftar sebagai ejen dapat menikmati sebahagian dari komisen hasil daripada tempahan yang dilakukan oleh pelanggan.
Biasanya komisen adalah sekitar 4% – 10% bergantung kepada platform OTA.
Anda boleh sertai sebagai ejen affiliate secara direct dengan mana-mana platform OTA, jika mereka menawarkan program sedemikian. Sebagai contoh, platform OTA yang menawarkan program affiliate yang anda boleh join adalah program Agoda Partners.
Anda boleh sertai melalui pautan https://partners.agoda.com
Ataupun anda boleh sertai program seperti ini melalui platform yang dikenali sebagai Affiliate Network.
Baca: Apa itu Affiliate Network
Ada beberapa platform affiliate network yang popular yang anda boleh sertai, antaranya adalah
1. Involve Asia
2. Access Trade
3. Indo Leads
(6) Meningkatkan jumlah tempahan
Melalui kerjasama dengan platform OTA, pemilik bisnes tempat penginapan yang beroperasi secara kecil-kecilan, dan juga orang perseorangan akan mendapat akses kepada database pelanggan yang dimiliki oleh syarikat OTA.
Ini secara tak langsung dapat meningkatkan visibility dan kebarangkalian untuk mendapatkan tetamu juga akan jadi semakin tinggi. Setelah anda menyenaraikan homestay anda melalui platform OTA, mereka akan melakukan kerja-kerja pemasaran bagi tujuan mendapatkan pelanggan.
Maka tak syak lagi, syarikat atau platform OTA ini ternyata mempunyai peranan yang begitu besar dalam memastikan industri pelancongan dapat berkembang.
Bagaimana cara menempah hotel sebelum wujudnya OTA?
Generasi hari ini mungkin lebih selesa membuat tempahan hotel atau tempat penginapan melalui apps seperti Agoda, booking.com dan lain-lain.
Tapi sebelum wujudnya platform seperti itu, bagaimana cara pelanggan membuat tempahan hotel?
Jawapannya ada beberapa kaedah yang biasa digunakan.
(1) Melalui panggilan telefon
Ini merupakan cara yang paling senang pada waktu tersebut untuk buat tempahan bilik hotel. Biasanya kita akan beritahu apakah kriteria bilik yang kita perlukan melalui panggilan telefon dan seterusnya pihak customer service yang akan carikan bilik yang bersesuaian dengan kita.
Selepas itu, kita boleh buat bayaran menggunakan kad kredit dengan memberikan maklumat seperti nombor kad kredit, CVV dan sebagainya melalui telefon. Kad kredit kita akan di caj pada waktu tersebut.
(2) Melalui laman web hotel
Jika pihak hotel yang kita berminat nak buat tempahan itu mempunyai laman web mereka sendiri, biasanya kita boleh buat tempahan bilik melalui laman web tersebut.
(3) Walk in ke hotel tersebut
Pernah tak anda pergi bercuti tanpa ada sebarang tempahan bilik hotel lebih awal?
Agak-agaklah kan, siapa berani ambil risiko seperti ini?
Saya boleh katakan, ini merupakan situasi lazim atau common practise bagi kebanyakkan orang pada masa tersebut. Tunggu dah sampai ke destinasi percutian, baru cari hotel atau mana-mana tempat yang sesuai untuk menginap.
Pada masa tu, memang langsung tak ada rasa risau, kalau-kalau bila dah sampai nanti tak ada tempat untuk bermalam. Kita semua memang yakin, pasti akan ada tempat yang boleh kita tempah untuk bermalam. Janganlah tanya kenapa kita semua boleh terlalu yakin sampai macam tu sekali, sebab memang kebiasaannya pasti akan dapat tempat untuk bermalam.
Tapi kalau hari ini, jangan buat perangai yang sama. Kalau pergi ke destinasi percutian dalam keadaan masih belum ada booking hotel atau homestay, itu memang sengaja cari masalah. Silap-silap terpaksa balik dan bermalam dekat rumah je nanti.
(4) Buat tempahan melalui syarikat travel agent
Syarikat travel agent biasanya mempunyai senarai atau database tempat penginapan mereka sendiri. Tempat penginapan ini dikenali sebagai partner bagi syarikat travel tersebut. Jika pelanggan setuju buat tempahan melalui syarikat travel, maka syarikat travel ini akan dapat komisen.
Syarikat travel agent yang berbeza, mempunyai senarai tempat penginapan yang berbeza juga. Mungkin secara kebetulan, akan ada beberapa yang lebih kurang sama, tapi ia tak begitu banyak.
Katakanlah, anda ingin bercuti ke Port Dickson, syarikat travel yang anda bakal berurusan hanya mempunyai pilihan 3 – 5 tempat penginapan sahaja.
Tapi cuba bandingkan kalau anda buat tempahan melalui Airbnb. Dekat Airbnb ada lebih 1,000 pilihan tempat penginapan yang anda boleh pilih.
Apakah kelebihan menjalinkan usahasama dengan syarikat OTA?
Kalau sebagai pengguna, kita sedia maklum kelebihan yang kita dapat adalah seperti
(1) Mudah untuk buat tempahan
Laman web dan juga applikasi yang dibangunkan oleh pihak OTA memudahkan pengguna untuk membuat perbandingan harga, mencari tempat penginapan yang sesuai dengan kriteria yang diperlukan dan pada masa yang sama, memudahkan untuk buat tempahan.
(2) Terdapat banyak pilihan
Bagi sesetengah destinasi percutian yang cukup popular, kita dihidangkan dengan terlalu banyak pilihan. Tetamu hanya perlukan satu tempat penginapan, tapi bila dia menggunakan apps OTA, ada beratus-ratus pilihan yang tersedia. Bukankah ini sangat bagus?
(3) Ada promosi diskaun
Pengguna boleh menikmati pelbagai diskaun dari masa ke masa. Kadang-kadang jika bernasib baik, boleh dapat potongan harga sehingga 70% daripada harga biasa yang akan diperolehi kalau booking terus dengan pihak hotel.
Namun bagi pemilik bisnes, sama ada bisnes homestay atau lain-lain jenis tempat penginapan, apakah kelebihan yang bakal diperolehi sekiranya menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat OTA?
Sebenarnya selaku pemilik bisnes, anda juga boleh memperolehi banyak manfaat dengan bekerjasama dengan pihak OTA. Antaranya
(1) Akses kepada database pelanggan OTA di peringkat global
Pengguna platform OTA bukan hanya terhad bagi negara kita semata-mata malahan ianya hingga ke peringkat global. Apabila anda menggunakan khidmat OTA, akan ada kemungkinan yang mana anda akan menerima tempahan pelanggan dari luar negara.
Persoalannya adalah, adakah anda bersedia untuk menerima tetamu dari negara luar?
(2) Pihak OTA akan jalankan kerja pemasaran
Anda tak perlu risau jika tak begitu mahir dengan kerja-kerja pemasaran. Pihak OTA akan jalankan kerja pemasaran bagi pihak anda. Peranan anda adalah menyenaraikan property anda di platform OTA dan apabila ada tempahan, anda perlu berikan khidmat yang terbaik kepada tetamu tersebut.
(3) Pelanggan lebih yakin untuk buat tempahan
Isu kepercayaan dan keyakinan ini biasanya akan dilalui oleh pelanggan yang ingin berurusan dengan pemilik homestay yang masih baru dalam bidang ini.
Pelanggan akan mengelak untuk buat tempahan jika homestay tersebut ada banyak review review negatif. Namun, homestay yang langsung tak ada sebarang review ini juga termasuk dalam kategori perlu berjaga-jaga.
(4) Proses pembayaran yang mudah
Tetamu akan diberikan pilihan pembayaran yang pelbagai.
Biasanya boleh bayar menggunakan kad kredit, kad debit, atau melalui bank transfer. Sebaliknya, kalau tanpa melalui OTA, pilihan pembayaran yang tersedia mungkin hanya terhad kepada bank transfer atau secara tunai pada hari ingin check in sahaja.
(5) Meningkatkan jumlah tempahan
Boleh jadi ini merupakan kelebihan yang paling disukai oleh pengendali bisnes. Dengan menggunakan khidmat dari OTA, anda berupaya untuk dapatkan lebih banyak tempahan.
Kalau sebelum menggunakan khidmat OTA dulu, hanya anda dan pasukan pemasaran anda sahaja yang berusaha dan bekerja keras untuk dapat tempahan, tapi apabila anda mula menggunakan khidmat OTA, anda akan dapat bantuan dan sokongan pemasaran dari platform ini.
Secara logiknya, jumlah tempahan yang bakal anda perolehi akan lebih banyak berbanding sebelum ini.
Apa pula kekurangan berurusan dengan OTA?
Seperti biasa, tak ada benda yang sempurna dalam dunia ini.
Walaupun OTA ini ada banyak kelebihan dan manfaat, namun pada masa yang sama, kita perlu terima hakikat bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh OTA ini juga terdapat sedikit kekurangan atau kelemahan.
(1) Perlu bayar komisen kepada OTA
Perkhidmatan dari OTA ini bukanlah percuma. Lazimnya pihak OTA memanglah tak mengenakan sebarang bayaran untuk pemilik perniagaan menyenaraikan hotel ataupun homestay miliknya di platform OTA.
Anda hanya akan dikenakan bayaran hanya apabila anda berjaya mendapat pelanggan. Bayaran akan ditolak daripada jumlah yang dibayar oleh pelanggan dalam bentuk komisen.
Pengiraan komisen ini juga berbeza mengikut platform OTA. Anda perlu baca dan fahamkan, bagaimana pengiraan komisen ini dilakukan bagi mengelakkan anda menjalankan perniagaan dalam keadaan rugi.
(2) Harga ditetapkan oleh OTA
Harga yang dipaparkan di platform OTA biasanya tak sama dengan harga yang perlu pelanggan bayar jika berurusan secara terus dengan pihak pengurusan hotel.
Pihak OTA menggunakan sistem tertentu dalam proses penetapan harga. Istilah yang biasa digunakan adalah “smart pricing system”. Smart pricing system ini akan mengambil kira faktor seperti trafik, jumlah view, jumlah klik, jumlah tempahan untuk property yang setara dan sebagainya bagi menetapkan harga.
Disebabkan adanya sistem inilah kadang-kadang pengguna boleh ditawarkan harga promosi dengan potongan harga sehingga 70%. Bagi pelanggan, inilah masanya untuk menginap di hotel mewah dengan harga yang cukup murah.
3. Sedikit gangguan dalam proses membina jenama
Pelanggan akan berurusan sepenuhnya dengan pihak OTA dan bukannya dengan hotel atau homestay. Lazimnya nama yang akan lebih diingati oleh pelanggan adalah nama platform OTA itu berbanding nama hotel atau nama homestay yang dia bakal menginap nanti.
Kalau ada orang tanya,
“Booking homestay kat mana?”
“Agoda.”
4. Kebergantungan terhadap OTA
Apabila terlalu lama menggunakan khidmat OTA, ada kemungkinan seseorang itu akan bergantung sepenuhnya dengan perkhidmatan tersebut. Kalau tak menggunakan khidmat OTA, maka tak ada tempahan.
Dalam keadaan ini, pengendali bisnes terpaksa ikut dan setuju sahaja dengan setiap perubahan terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak OTA. Jika tak setuju, tak mampu nak cari sendiri pelanggan. Jadi suka atau tidak, terpaksa terima.
5. Kurang interaksi dengan pelanggan
Apabila menggunakan khidmat dari pihak OTA, boleh dikatakan interaksi yang bakal anda lakukan dengan pelanggan adalah berada ditahap yang paling minima.
Untuk urusan check in anda boleh gunakan kaedah self-check in.
Untuk check out pula, boleh guna self check out.
Anda juga mungkin telah menyediakan buku panduan di homestay milik anda.
Jadi pelanggan boleh merujuk kepada buku panduan tersebut sebelum terus menghubungi anda.
Jika anda memperolehi pelanggan kategori cerdik, mereka ini lebih suka untuk selesaikan sendiri segala isu yang dihadapi. Kalau ada buku panduan, dia akan rujuk buku panduan sahaja tanpa perlu mengganggu pemilik homestay.
Bayangkan, kalau anda menjalankan bisnes ini selama 5 tahun, dan sepanjang 5 tahun itu, interaksi yang berlaku antara anda dengan pelanggan adalah sangat minima atau tiada langsung.
Dikhuatiri anda tak dapat melalui pengalaman yang dilalui oleh lain-lain pemilik bisnes yang sama.
Adakah kita perlukan khidmat OTA?
Sebagai pengguna, saya boleh katakan kemunculan syarikat OTA sangat memudahkan individu seperti saya untuk membuat tempahan bilik hotel.
Adakalanya, saya akan buat tempahan jika kena dengan harganya.
Lagipun pergi bercuti ini bukanlah merupakan satu perbelanjaan yang murah. Ia juga bukannya dalam kategori perbelanjaan yang perlu (needs), sebaliknya ia lebih kepada kemahuan (wants).
Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, ada baiknya kita berhemah dalam berbelanja. Kalau boleh buat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum buat sebarang keputusan untuk membeli. Website dan apps OTA ini juga memudahkan kita untuk membuat perbandingan harga.
Kadang-kadang dalam soal nak pergi bercuti atau tidak ini, saya lebih suka kalau kita boleh jadi lebih fleksibel. Tak perlu pergi bercuti ketika peak season, atau ketika semua orang pergi bercuti. Destinasi percutian pada waktu seperti ini biasanya akan penuh sesak dengan pengunjung dan pelancong lain.
Tapi kalau kita boleh jadi lebih fleksibel, biasanya akan ada tawaran-tawaran yang menarik akan muncul untuk kita. Tiba-tiba dapat notification, kata ada diskaun. Terus sambar. Nanti baru fikir pasal boleh dapat cuti ataupun tidak.
Memandangkan promosi tersebut ditawarkan oleh pihak OTA, maka ia lebih dipercayai, berbanding kempen promosi yang dijumpai sama ada di media sosial atau melalui email yang kita perolehi secara rawak.
Jadi pada saya, khidmat OTA ini sangat membantu dan sangat perlu.
Orang lain mungkin ada pendapat yang berbeza, dan jika anda sudi kongsi pendapat, boleh kongsikan dibahagian komen ya.
Apa jadi jika OTA tak wujud
Bagaimana kalau platform OTA ini tak wujud?
Boleh jadi kita akan kembali seperti zaman dahulu kala.
Kalau nak buat tempahan tempat penginapan, kita kena call satu per satu pihak hotel.
Ataupun kita kena buka laman web rasmi pihak hotel dan buat tempahan menggunakan website mereka.
Kalau dari segi harga, memang agak sukar untuk kita dapatkan harga yang kompetitif dan ada diskaun yang agak besar. Diskaun yang besar-besar, sehingga 70% ini sebenarnya ditawarkan oleh pihak OTA sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran mereka.
Kemudian, kita juga mungkin akan kembali kepada trend membuat booking melalui travel agent. Kita kena berurusan dengan travel agent untuk dapatkan pakej-pakej percutian tertentu.
Tak ada lagi istilah DIY (do it yourself) dalam merancang percutian seperti yang biasa kita lakukan sekarang.
Senario yang saya sebutkan itu adalah dipihak pelanggan.
Berbeza pula situasinya dipihak pemilik bisnes, terutama sekali pengendali dan pengusaha bisnes homestay.
Ada beberapa keadaan atau situasi yang mungkin akan berlaku, jika syarikat seperti Online Travel Agent ini tak wujud. Antara yang saya dapat fikirkan ialah
1. Pemilik bisnes perlu belajar online marketing
Mereka perlu belajar cara untuk bina laman web, cara untuk dapatkan trafik ke laman web, cara bina konten dan banyak lagi.
2. Prospek pelanggan terhad disesuatu kawasan sahaja
Manakala pelanggan yang bakal diperolehi pula biasanya terhad kepada sesuatu kawasan sahaja. Pemilik bisnes tak ada akses kepada senarai database pelanggan syarikat OTA yang begitu besar.
3. Ada bisnes homestay yang terpaksa tutup
Boleh jadi juga keadaan yang mana bisnes homestay terpaksa ditutup dan pemilik bisnes perlu ubah strategi bisnes. Dari short term rental mungkin perlu berubah kepada long term rental.
Saya percaya, ada banyak lagi situasi yang boleh terjadi jika syarikat OTA tak wujud. Namun secara peribadi, saya berpendapat perniagaan berkonsepkan OTA ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada pemilik bisnes homestay, terutama sekali mereka yang masih baru dan kurang berpengalaman.
Tapi bagi mereka yang sudah ada pengalaman dan sudah mampu untuk beroperasi sendiri, tanpa perlu bergantung kepada OTA, mungkin pada masa tersebut boleh pertimbangkan untuk keluar dari program OTA dan mula berdikari.
Penutup
Online Travel Agency atau singkatannya OTA bukanlah semata sebuah website atau platform untuk buat tempahan tempat penginapan secara online.
Sebaliknya, ia lebih dari itu. Disebalik sebuah website atau applikasi OTA, ia merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dan mempunyai pasukan pengurusan yang cekap.
Perkhidmatan yang mereka tawarkan? Sudah tentu adalah mereka memudahkan para pelanggan membuat tempahan produk dan perkhidmatan berkaitan percutian melalui platform yang mereka sediakan.
Sebenarnya bukan mudah untuk melancarkan platform OTA kita sendiri.
Namun setidak-tidaknya kita boleh memanfaatkan platform OTA sedia ada, bagi tujuan mempromosikan perniagaan tempat penginapan yang kita lakukan.
Secara umumnya, peranan OTA sangat penting dalam membantu para penggunanya mencari dan membuat tempahan tempat penginapan mengikut kriteria dan menepati citarasa pengguna tersebut.
Bagi perspektif pemilik bisnes pula, OTA dapat memberikan lebih banyak exposure dan meningkatkan visibility perniagaan yang dijalankan kepada lebih ramai bakal pelanggan.
Dah download panduan ni?
Kalau masih belum boleh muat turun disini
Leave a Reply