Apabila merancang untuk menjalankan sebuah perniagaan homestay yang berjaya, terdapat beberapa barangan keperluan dan peralatan yang perlu anda sediakan di homestay anda.
Tujuannya adalah supaya dapat menambahkan keselesaan serta memberikan pengalaman penginapan yang terbaik buat para tetamu anda.
Barangan yang bakal kita senaraikan dalam posting ini adalah terdiri daripada kelengkapan asas hinggalah kelengkapan yang dapat memberikan memori indah yang berpanjangan buat para tetamu yang pernah menginap di kediaman anda. Manalah tahu, satu hari nanti mereka akan kembali menginap di homestay anda atau setidak-tidaknya, mereka akan mencadangkan homestay anda kepada kenalan mereka pula.
Perniagaan homestay ini adalah satu perniagaan yang cukup kompetitif. Ada banyak pengusaha lain yang turut menjalankan bisnes yang sama dan memberikan persaingan kepada usaha perniagaan anda.
Malahan, jika dilihat dengan lebih teliti pesaing anda bukanlah semata-mata pemilik bisnes homestay yang lain, malahan pesaing anda termasuk
1. Hotel & hotel bajet
2. Motel
3. Hostel
Apabila kita mengambil kira, wujudnya banyak persaingan disekeliling kita, maka kita perlu ambil inisiatif untuk memahami bakal tetamu, apakah sebenarnya yang mereka fikirkan, sebelum mereka buat keputusan untuk buat sebarang tempahan tempat penginapan?
Bagaimana kalau sebagai pemilik bisnes homestay, anda diberikan superpower yang membolehkan anda baca apa yang ada dalam fikiran bakal tetamu, sebelum mereka buat keputusan untuk menempah mana-mana tempat penginapan!
Tidakkah anda melihat ini sebagai suatu kelebihan untuk diri anda?
Kalau kita boleh tahu apa yang ada dalam fikiran mereka, apa yang mereka perlukan, kemudian kita pastikan apa yang mereka perlu, semuanya ada di homestay milik kita, tidakkah ini akan meningkatkan kebarangkalian untuk mereka memilih kita berbanding pesaing?
Sebelum membuat tempahan, ada banyak perkara yang bermain dalam fikiran bakal tetamu. Tapi saya boleh katakan, lazimnya perkara yang menjadi kerisauan mereka adalah
1. Kualiti perkhidmatan yang diberikan
2. Peralatan dan kelengkapan yang sediakan dalam rumah untuk tetamu
3. Kemudahan yang boleh digunakan sepanjang tempoh penginapan
Dalam satu-satu kawasan yang ada bisnes homestay beroperasi disitu, selalunya disitu juga akan terdapat beberapa lagi pengendali homestay. Persoalannya ialah, bagaimana anda dapat pastikan homestay anda sentiasa jadi pilihan utama pengunjung berbanding homestay milik orang lain?
Soalan kedua, bagaimana nak letakkan harga yang lebih mahal berbanding homestay-homestay lain, dan pada masa yang sama, pengunjung masih tetap akan pilih homestay anda, malahan mereka gembira bayar harga premium tersebut berbanding pesaing anda yang menawarkan pakej homestay bajet!
Apa yang kerap berlaku, pengusaha bisnes homestay “seolah-olah terpaksa ikut harga pasaran”. Kalau orang lain letak harga RM180 semalam, kita pun macam terpaksa ikut harga tu.
Lebih memburukkan keadaan lagi, ada yang bersaing dari segi harga, dengan menawarkan caj RM170, RM175, RM178, dan apa-apa nilai yang lebih rendah berbanding RM180.
Bab bersaing harga ni, bukannya hanya berlaku dalam bisnes homestay sahaja. Malahan, dalam mana-mana bidang juga ada persaingan harga. Masing-masing berlawan-lawan harga untuk berikan harga yang paling murah.
Tetapi, dengan harga yang murah tu,
(1) Adakah dapat menjamin pelanggan akan memilih anda setiap masa?
(2) Adakah dengan memberi harga murah dapat memberi keuntungan kepada anda?
(3) Adakah dengan menjadi yang paling murah dapat menjamin keselesaan dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan?
Sebagai pelanggan, sudah tentu mereka suka harga murah. Mereka suka diskaun. Itu kalau cerita bab harga.
Tetapi, kalau cerita dari segi pengalaman penginapan, keselesaan, kebersihan, kemudahan, dan sebagainya, pelanggan juga mahukan semuanya berada di tahap paling baik.
Kalau keuntungan tak cukup untuk maintain bisnes ni, macam mana kita nak sediakan segala kemudahan bagi menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan kepada bakal penyewa?
Maka atas sebab itu, saya berpendapat, adalah lebih baik kita bersaing dari segi memberi perkhidmatan yang PALING BAIK dari segi kualiti, berbanding fokus sangat pada harga.
Pernah tak sebelum ini, anda membuat kajian terhadap pesaing anda, bagi melihat setakat mana kualiti perkhidmatan dan prestasi mereka dalam bisnes homestay ini? Jika tak pernah, mungkin anda boleh ambil masa untuk berbuat demikian.
Ada beberapa laman web yang kita boleh jadikankan rujukan, bagi mengetahui tahap persaingan dan apa yang disediakan oleh pemilik bisnes homestay yang lain. Antaranya ialah
(1) Laman web AirBNB
(2) Laman web Agoda.com
(3) Laman web Booking.com
(4) Google.com/ Google.com.my
(5) Laman web mudah.my
Dengan merujuk kepada iklan dan listing homestay yang tersenarai di platform yang saya senaraikan diatas, kita boleh dapat gambaran setakat mana tahap persaingan disesuatu kawasan.
Jika anda juga seorang pemilik bisnes homestay, mungkin anda boleh buat serba sedikit pemerhatian, pembacaan dan kajian, apa yang pesaing anda tawarkan yang mungkin anda tidak tawarkan. Lihat juga dari segi tawaran perkhidmatan dan caj tambahan yang mereka kenakan.
Mungkin dari situ anda akan nampak, harga yang murah bukanlah jaminan bahawa homestay anda pasti akan sentiasa fully booked. Tetamu yang berada dalam kategori “ada duit” akan lebih cenderung memilih homestay yang mampu menawarkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik, berbanding homestay yang murah semata-mata.
Senarai kelengkapan yang anda boleh sediakan di Homestay milik anda
Bagaimana caranya untuk memberikan kualiti dan pengalaman penginapan terbaik untuk para tetamu?
Salah satunya adalah melalui kemudahan dan kelengkapan yang anda sediakan bagi kegunaan para tetamu.
Dalam posting kali ini, kita akan bincangkan tentang apa dia kelengkapan dan peralatan tersebut.
Senarai ini merupakan cadangan yang mungkin anda boleh pertimbangkan untuk sediakan di homestay milik anda. Dengan sedikit kreativiti, anda boleh jadikan ia sebagai selling point bagi menarik pengunjung untuk menyewa di tempat anda.
(1) Katil dan tilam yang selesa
Tetamu datang menginap ke homestay untuk tujuan berehat dan relaks. Dengan menyediakan katil dan tilam yang berkualiti, ini dapat memberikan keselesaan kepada tetamu dan membuat mereka rasa seperti berada dirumah sendiri.
Lebih bagus lagi kalau anda boleh berikan pengalaman penginapan yang lebih baik berbanding dirumah mereka sendiri.
Katil yang bagus dan berkualiti, bukan sahaja selesa malahan ia juga perlu nampak selesa. Hanya dengan melihat pada gambar sahaja, tetamu sudah rasa tak sabar untuk memilih untuk bermalam dihomestay anda.
Tapi kalau anda tak menyediakan katil yang berkualiti, mungkin ada tetamu yang merasa kurang selesa dan ada kesukaran untuk tidur. Katil kurang selesa, bantal tak berapa bagus.
Kalau tempahan dibuat melalui platform online travel agent, tetamu seperti ini tak akan teragak-agak untuk memberikan review negatif terhadap anda.
(2) Penyaman udara
Homestay anda masih gunakan kipas angin?
Aduhai… saya rasa sekarang ini macam kurang sesuai kalau tempat penginapan hanya menyediakan kipas angin semata-mata untuk kegunaan para tetamu.
Kebanyakkan tempat penginapan yang menyediakan kipas, pasti akan ada penyaman udara sekali. Jadi, tetamu boleh pilih sama ada nak guna kipas sahaja atau nak guna aircond.
(3) Pemanas air
Alat pemanas air ini menjadi suatu kewajipan untuk anda sediakan, jika anda menjalankan bisnes homestay di kawasan yang sejuk seperti di Cameron Highland, Kundasang dan sebagainya.
Kalau anda tak sediakan pemanas air, alamatnya tetamu yang menginap di kediaman anda, semuanya pakat tak mandi. Ataupun mereka terpaksa rebus air dan sediakan air panas secara manual.
Mujurlah, sepanjang saya pergi bercuti di Cameron Highland atau mana-mana kawasan tanah tinggi, memang tak pernah lagi saya jumpa tempat penginapan yang tak ada disediakan pemanas air.
Tapi adakah ini bermaksud semua homestay wajib pasang sistem pemanas air ini?
Sebenarnya ia bergantung kepada kesesuaian dan kesediaan anda untuk memperuntukkan modal untuk pasang sistem ini.
Kita pun faham, semua ini adalah kos untuk anda.
Dipihak tetamu, memanglah dia akan rasa seronok dan sangat-sangat hargai kalau anda dapat sediakan pemanas air.
Tapi dipihak tuan rumah, anda juga perlu ambil kira sebarang perkara yang boleh memberi impak terhadap kos untuk menjalankan bisnes.
(4) Bath tub
Ini satu lagi barangan yang boleh membuatkan tetamu anda rasa seronok dapat menginap di homestay anda.
Ya, bilik air ada bath tub.
Macam dekat hotel gitu…
Tapi hotel pun, bukan semua bilik ada disediakan bath tub. Lazimnya, hanya bilik yang betul-betul premium sahaja yang ada disediakan bath tub.
Tapi kalau pasang bath tub ini, akan timbul pula persoalan… berbaloi ke kalau nak pasang bath tub untuk kegunaan tetamu homestay?
Sekali lagi, persoalan ini sebenarnya ada kaitan dengan isu kos tambahan.
Cuba bayangkan, kalau anda sediakan pemanas air, kemudian ada bath tub pula.
Tetamu anda pasti akan penuhkan bath tub dengan air panas.
Ini akan menyebabkan bil air dan bil elektrik jadi mahal.
(5) Dapur dan kelengkapan memasak
Suatu perbezaan yang agak ketara, antara menginap di homestay berbanding menginap di hotel adalah, tetamu boleh memasak dan menyediakan makanan sendiri sepanjang tempoh penginapan.
Tapi dengan syarat, tuan rumah perlulah sediakan kelengkapan memasak yang mencukupi.
Saya rasa agak ralat, bila ada homestay yang tak membenarkan tetamu untuk menyediakan makanan dalam rumah. Tak kiralah sama ada atas alasan
1. Kebersihan
2. Keselamatan
… dan sebagainya.
At some point, saya melihat ia sebagai suatu kekurangan homestay tersebut dan boleh jadi, sebenarnya pemilik homestay masih belum betul-betul bersedia untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat para tetamu.
(6) Penapis Air
Sekarang ni kan ada dua jenama yang popular, iaitu Coway dan juga Cuckoo.
Semasa saya menginap di Sabah, apartment yang saya sewa, bukan sahaja menyediakan wifi malahan ada juga penapis air ini. Rasa berbaloi dengan harga yang dibayar, dan kalau nak datang sekali lagi dan menyewa disitu pun rasa tak rugi.
(7) Microwave dan oven atau salah satu daripadanya
Kalau dapat sediakan kedua-duanya pun bagus juga. Tapi, kalau nak jimat ruang, sediakan microwave sahaja pun dah memadai. Benda ini sangat berguna, untuk kita panaskan lauk-pauk yang dibeli sebelum ini. Lauk semasa dinner yang tak habis, boleh dipanaskan semula untuk sarapan pagi nanti.
Cuma bila nak sediakan microwave tu, kenalah pastikan anda juga ada sediakan pinggan mangkuk yang microwave safe juga. Masa saya menginap di homestay di Cameron Highland, tempat tu memang ada sediakan microwave, tapi tuan rumah macam terlupa nak sediakan kelengkapan dapur yang microwave safe.
Mujurlah kami cek dulu sebelum guna. Kalau dapat tetamu yang jenis main masuk je, saya rasa mesti akan jahanam microwave tu.
(8) Set pemanggang
Bila dah berkumpul ramai-ramai sesama ahli keluarga atau kawan-kawan, salah satu acara yang best ialah buat acara panggang memanggang.
Tapi, tak banyak homestay yang sediakan kemudahan seperti ini. Saya rasa kalau anda dapat sediakan, mesti dapat jadikan ini sebagai daya penarik.
Saya ada tengok pemanggang jenis mudah alih di jual di Lazada. Harganya pun tak begitu mahal. Boleh dapat dengan harga bawah RM100. Anda boleh klik sini untuk lihat.
Benda ni ada macam-macam jenis. Boleh cuba search “portable Barbeque“.
(9) Set stimbot
Kelengkapan set stimbot ini baik disediakan jika homestay anda berada dikawasan tanah tinggi atau ditempat yang sejuk. Saya bayangkan, jika homestay anda berada di Cameron Highland ataupun Kundasang.
Selain dua tempat ini, agaknya dekat mana lagi yang ada tempat percutian yang suasana persekitarannya sejuk ya?
Tempat yang sejuk-sejuk ini memang cukup sesuai kalau nak makan menu stimbot.
Walaubagaimanapun, kalau anda bercadang untuk sediakan set stimbot ini, mungkin kena bersedia untuk bantu tetamu untuk dapatkan bahan-bahan stimbot, misalnya sup untuk stimbot, sayur-sayuran dan juga makanan laut, untuk stimbot tersebut.
Bukanlah nak kata sediakan secara percuma. Kalau ada kos yang terlibat, anda boleh kenakan bayaran kepada tetamu anda.
(10) Kelengkapan untuk solat
Sebagai contoh, telekung, sejadah, tasbih, Al-Quran, surah yasin dan sebagainya. Jika bakal penyewa adalah muslim, bolehlah sediakan barang-barang ni. Tetapi, kalau bakal penyewa adalah non-muslim, boleh bawa keluar dulu.
(11) First aid kit
Betullah kata orang, kemalangan itu tak berbau.
Ia boleh terjadi disaat-saat yang kita tak dapat jangka.
Apabila berlaku kemalangan, tak kiralah sama ada kemalangan kecil atau besar, ia perlu dirawat segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Kalau dekat homestay ada disediakan first aid kit yang boleh digunakan, ianya pasti sangat berguna untuk tetamu anda.
(12) Mini library
Saya rasa, homestay yang ada mini library ni pun sangat best. Mungkin sebab saya ni jenis yang suka membaca, jadi kalau ada buku, saya akan rasa lebih seronok menginap disitu.
Boleh utamakan buku-buku yang berkaitan dengan negeri anda, tempat-tempat menarik tertentu, sejarah dan sebagainya. Selebihnya, terpulanglah nak letak buku apa.
Sama ada nak letakkan buku berkaitan dengan topik motivasi, agama, bisnes dan sebagainya.
(13) Kerusi urut
Kali pertama saya jumpa, homestay yang ada kerusi urut ni ialah semasa saya menginap di Homestay Casa Indah Melaka.
Sepanjang saya baca, iklan-iklan tentang homestay, sama ada di laman web mudah, laman web AirBNB, ataupun mana-mana laman web yang saya jumpa di google, tak ada lagi yang sediakan kerusi urut seperti ini.
Bila ada kerusi urut ni, bestnya lepas penat mandi laut, boleh legakan sikit rasa sengal-sengal badan akibat dipukul ombak.
(14) Aroma theraphy
Saya pernah baca dalam salah satu homestay yang diiklankan di AirBNB, pemilik homestay tu amat menekankan tentang wangian yang digunakan di kediaman miliknya.
Dengan adanya terapi wangian ini, pengunjung akan rasa lebih selesa, tenang dan dapat berehat dengan secukupnya.
(15) Wifi
Sambungan internet wifi ni PENTING sebabnya, dewasa ini boleh dikatakan semua orang sudah mula menggunakan smartphone berbanding phone biasa.
Apabila homestay anda ada menyediakan sambungan wifi yang stabil dan kuat, tetamu yang datang atas urusan kerja juga senang untuk memilih tempat anda. Ini bermakna, homestay anda berpotensi untuk dikunjungi oleh individu yang dalam trip bisnes, dan tidak terhad kepada mereka yang nak bercuti semata.
Baca juga: Adakah homestay anda sesuai untuk tetamu yang datang atas urusan kerja?
(16) Set Playstation
Set Playstation ini memang tak ada lagi yang letak di homestay. Tetapi, jika sediakan set playstation ni, dapatlah menarik pengunjung yang ada anak-anak untuk menginap ditempat anda.
Kalau ada playstation, mungkin pengunjung akan habiskan masa di rumah sahaja.
(17) Hiburan untuk tetamu
Tetamu anda mungkin akan luangkan banyak masa dalam rumah, berbanding buat aktiviti diluar.
Jika anda benar-benar ambil peduli terhadap bakal tetamu anda, mungkin anda boleh sediakan sebarang bentuk hiburan dalam rumah untuk kegunaan tetamu anda.
Persoalannya, apakah bentuk hiburan tersebut?
Paling asas adalah televisyen.
Kalau anda ada modal yang mencukupi, saya syorkan anda gunakan smart tv ataupun android tv.
Kemudian anda langgan servis penstriman seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO dan sebagainya.
Kalau tetamu tak keluar ke mana-mana, mereka boleh menonton movie dalam rumah.
(18) Siaran Astro
Masih relevan ke nak sediakan saluran Astro dekat homestay?
Saya masih ingat lagi, satu masa dulu kebanyakkan homestay yang saya pernah check in, mesti ada menyediakan channel Astro.
Tapi sekarang ini, bila dah banyak homestay yang menyediakan android TV, saya dapati agak jarang jumpa homestay yang masih menyediakan saluran astro.
Apa pun, semua ini bergantung kepada kesesuaian juga.
Kalau ditempat anda, sambungan internet sangat bagus, dan anda memang menyediakan wifi untuk kegunaan tetamu, saya kira lebih baik sediakan android tv sahaja.
(19) Tikar untuk piknik
Kalau homestay anda dekat dengan kawasan pantai, ini satu kemudahan yang bagus untuk anda sediakan. Bila anda ada sediakan tikar macam ni, waktu petang bolehlah penyewa anda berpiknik di pantai. Mereka mungkin tak bawa tikar sendiri, tapi kalau anda ada sediakan, bolehlah mereka pergi lepak di tepi pantai.
Ataupun anda sediakan kerusi untuk piknik.
Sesetengah orang ada yang panggil kerusi ini sebagai kerusi healing.
Kerusi ini ringan dan kita boleh lipat. Jadi senang untuk bawa kemana-mana.
Kalau berdekatan dengan homestay ada anak sungai atau ada pantai, boleh bawa kerusi ini, buka dan dah boleh duduk istirehat. Pada saya, kerusi ini memang kerusi yang serbaguna.
Orang yang nak piknik, boleh bawa kerusi ini.
Orang yang nak camping pun sesuai untuk bawa kerusi ini.
(20) Peralatan untuk kerja pembersihan
Apa antara peralatan yang patut anda sediakan? Ini cadangan saya
1. Vakum
2. Penyapu
3. Penyodok sampah
4. Mop
5. Baldi mop
6. Cecair pencuci lantai
Tetamu yang ada anak kecil ni, kadang-kadang secara tak sengaja ada tumpahkan makanan, air dan sebagainya. Bila dah ada tumpahan, mestilah nak kena bersihkan.
Jadi satu masalah buat tetamu apabila tuan rumah langsung tak sediakan kain lap, kertas tisu ataupun mop.
Tak kan nak biarkan kesan kotoran tu jadi kering tanpa dibersihkan?
Atau perlu ke hubungi tuan rumah untuk datang dan bersihkan?
(21) Tong sampah bertutup
Sepanjang tempoh tetamu menginap di homestay milik anda, mungkin ada sampah yang dihasilkan dan ia perlu dibuang.
Bagi tujuan kemudahan tetamu, anda boleh sediakan tong sampah didalam rumah. Biasanya tong sampah ini diletakkan dibahagian dapur.
Cuma kalau anda nak sediakan tong sampah, carilah tong sampah yang bentuknya agak menarik dan paling penting, ianya bertutup. Bukan jenis bakul sampah yang terbuka itu.
Setidak-tidaknya, tong sampah yang bertutup ini dapat menghalang bau-bau yang kurang menyenangkan disebarkan dalam rumah.
(22) Mesin basuh dan pengering pakaian
Semasa saya menginap disebuah homestay di Wangsa Maju, saya agak terkejut kerana tuan rumah bukan sahaja menyediakan mesin basuh, malahan turut sediakan pengering pakaian. Baju yang dibasuh, boleh dikeringkan pada hari yang sama.
Jadi pengunjung yang datang ke sini, tak perlu nak bawa banyak pakaian, sebabnya baju yang dipakai tu nanti boleh dibasuh dan dikeringkan.
(23) Tangki air
Tangki air ini sangat berguna kalau-kalau dikawasan tempat anda menjalankan bisnes homestay ini, ada kemungkinan untuk terputus bekalan air untuk satu tempoh masa yang agak lama.
Sudah tentu, kita tak mahu susahkan tetamu apabila dia menginap di homestay kita.
Biasanya kalau terputus bekalan air untuk tempoh yang agak lama, akan ada lori air yang datang untuk berikan bantuan. Tapi, tak kanlah anda nak tetamu anda bersusah-payah angkat air macam orang lain?
Kalau dekat rumah sendiri tu lainlah. Jadi, saya rasa anda memang patut pertimbangkan untuk adakan tangki air di homestay anda.
(24) Generator
Set generator seperti dibawah ini pula berguna ketika terputus bekalan elektrik.
Dalam masa beberapa jam terputus bekalan elektrik, boleh gunakan portable generator ini buat sementara waktu.
Kuasanya agak besar dan boleh digunakan untuk wifi, caj phone, kipas dan sebagainya.
(25) Buku panduan untuk tetamu
Mesti leceh kan, kalau lepas tetamu check in di homestay milik anda, lepas tu setiap masa tetamu ni akan hubungi anda. Soalan yang ditanyakan pun selalunya soalan yang berulang…
Misalnya
1. Kak, suis lampu dekat balkoni kat mana?
2. Cara nak pasang DVD Player ni macam mana?
3. Kalau nak tengok video macam mana?
4. Macam mana nak pergi ke KFC?
5. Cik, password wifi apa?
Takkanlah setiap kali anda dapat tetamu baru, anda kena bagi sesi taklimat ringkas? Kan buang masa tu. Kalau anda tak nak bagi taklimat, tutorial dan sebagainya pun tak apa. Tapi… siap sedialah untuk jawab semua soalan dari tetamu anda tu nanti. Dari soalan yang paling remeh dan berulang, kepada soalan yang benar-benar serius dan penting untuk dijawab.
Jadi, apa kata anda sediakan buku panduan untuk tetamu. Buku panduan ni boleh buat sendiri. Ia merangkumi perkara-perkara yang perlu diketahui oleh tetamu anda, sepanjang mereka menginap ditempat anda. Dalam tu boleh dimuatkan perkara-perkara seperti
Cara nak pasang set decorder
Cara nak dapatkan password wifi
Cara guna kelengkapan dalam rumah
Tempat-tempat menarik, restoran dan kawasan tumpuan berdekatan
Kedudukan suis bagi setiap peralatan elektrik
Perabot atau kelengkapan yang disediakan dalam setiap ruang dalam rumah
Buku panduan ini, mungkin tidak akan dibaca. Memang ada tetamu yang macam ni. Tapi, bila anda ada sediakan buku panduan seperti ini, ia dapat mengurangkan soalan-soalan remeh dari tetamu anda.
(26) Perabot untuk kegunaan outdoor
Adakah homestay anda mempunyai halaman rumah yang cukup luas dengan pemandangan yang menarik?
Jika ya, daripada anda biarkan halaman rumah anda itu kosong, apa kata anda sediakan juga perabot seperti kerusi dan meja untuk kegunaan diluar rumah.
Tetamu anda boleh duduk bersantai sambil mengambil angin diluar rumah.
(27) Kolam mandi untuk kanak-kanak
Saya pernah beli kolam mandi jenama Bestway. Dari segi kualiti dan ketahanan, ianya agak bagus. Kalau ada kolam macam ni, budak-budak suka la.
Biasanya kalau menginap di hotel, boleh mandi kat swimming pool. Tapi kalau di homestay, mana ada swimming pool, jadi bolehlah guna kolam air ni sebagai ganti.
(28) Photobooth
Apa pendapat anda, kalau saya cadangkan anda sediakan satu ruangan khas dalam homestay anda untuk dijadikan sudut bergambar.
Actually, ruangan photobooth ini, saya ada jumpa di beberapa homestay yang berbeza.
Salah satu yang saya dapat kongsikan disini adalah di homestay Kota Bharu Inap AyahandaBonda.
Bila ada photobooth macam ni, walaupun ia simple sahaja, tetamu anda boleh bergambar disitu dan ini akan jadi kenang-kenangan buat mereka selagi mana gambar tersebut masih lagi ada.
(29) Kad ucapan selamat datang kepada tetamu
Sama ada anda sediakan kad ucapan selamat datang ataupun tulis dipapan hitam.
Benda ini sebenarnya lebih kepada satu bentuk penghargaan buat tetamu kerana dia memilih untuk menginap dihomestay milik anda.
Cuba bayangkan situasi ini. Dekat luar sana, ada banyak lagi tempat penginapan yang tetamu ini boleh pilih, tapi dalam banyak-banyak tu, dia memilih untuk menginap di tempat anda.
Apakah susah sangat dipihak anda, untuk ucapkan terima kasih dan zahirkan dalam bentuk ucapan aluan melalui papan hitam?
Saya rasa ianya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar.
Apa yang saya senaraikan disini, adalah untuk tujuan cadangan sahaja.
Walaupun anda mungkin tak kenal siapa saya.
Dan saya juga tak kenali siapa anda.
Tapi kalau boleh, saya harap apa yang saya kongsikan mengenai bisnes homestay ini, ada yang berguna dan bermanfaat untuk anda. Harapan saya, semoga anda juga akan berjaya dalam perniagaan ini.
Sebahagian daripada apa yang saya kongsikan disini, adalah dari pembacaan yang saya lakukan. Ada juga yang saya ambil daripada pengalaman saya sendiri.
Saya rasa, kalau anda dapat sediakan barang-barang ni di homestay milik anda, ianya memang sangat awesome.
Walaupun begitu, saya syorkan anda buat begini. Setelah anda sediakan kelengkapan asas untuk homestay anda, jadikan barang-barang ni sebagai add on.
Contohnya, kalau sewa semalaman caj sewanya ialah RM200 sahaja. Tetapi kalau nak tambah kelengkapan lain, jadikan ia sebagai add on, seperti
Tambah sewa Playstation – RM50 – RM100 semalaman
Tambah sewa set BBQ – RM30
… dan seterusnya.
Ikut pada kesesuaian.
Pada masa yang sama, anda juga perlu ambil kira kos untuk maintain sesuatu barang tersebut. Sesetengah barang kan mudah atau boleh rosak.
Contohnya, set playstation. Ia boleh rosak jika pengguna terlalu kasar. Maka, kena siap sedia dengan manual penggunaan, dan kena pastikan juga kadar sewa tu termasuk sekali sebarang caj yang mungkin timbul untuk repair barang tersebut, atau untuk beli baru.
Apapun, senarai kelengkapan untuk bisnes homestay yang kita bincangkan disini adalah cadangan semata-mata. Jika berguna, bolehlah ikuti cadangan tersebut.
Namun, jika anda dapati ada barangan yang kurang relevan dengan situasi anda, bolehlah abaikan sahaja cadangan tersebut.
Harga homestay saya lebih mahal berbanding harga homestay2 yg lain…
Homestay saya ada menyediakan kemudahan nombor 2 dan kemudahan nombor 4.. Alhamdulillah.. setakat ni ramai yg menghubungi saya untuk bertanyakan tentang homestay saya..
kalau homestay lebih mahal dari hotel…mungkin hotel lebih berbaloi.
tetapi percutian keluarga lebih memerlukan homestay kerana keadaan bilik yang banyak.
Ikut pada keperluan si penginap tu la. Ada masa lebih sesuai sewa hotel, ada keadaan tertentu, lebih syok sewa homestay.
Wow barang yang disediakan mengodakan. 🙂
pernah menginap di sebuah banglo homestay..ada lebih 10 bilik..sewanya RM3000 bagi 5 malam..jika sebulan boleh dapat 3-4 customer memang sangat lumayan..perabot pun kebanyakannya terpakai
tapi perkhidmatan homestay biasa untuk tidur je..kot ada set jakuzi sekali tu memang best
Sewa banglo kalau kongsi ramai-ramai, boleh jadi lebih jimat tu 🙂