11 Perkara anda perlu sediakan untuk jana pendapatan lumayan dari bisnes homestay Airbnb

by sabree hussin on January 5, 2019

in Idea Bisnes

Anda ingin hasilkan lebih banyak income menerusi bisnes homestay anda? Ya, semua orang yang menjalankan bisnes ini, turut mempunyai pemikiran yang sama.

 

Atas sebab itu, mereka akan menggunakan segala kemudahan dan platform yang tersedia untuk mendapatkan lagi ramai tetamu untuk datang menginap di homestay milik mereka. Salah satu kaedah yang saya sering sebutkan dalam blog ini adalah dengan menggunakan platform laman web tempahan Airbnb.

 

Proses untuk mengiklankan homestay anda melalui Airbnb sangatlah mudah. Anda bermula dengan daftar akaun secara percuma, kemudian anda hanya perlu lengkapkan maklumat yang diperlukan mengenai homestay anda.

cara-promosi-homestay

Jika perniagaan anda beroperasi dikawasan yang mempunyai banyak persaingan, anda perlu ada strategi tambahan yang lebih baik berbanding pemilik homestay lain, dan pada masa yang sama dapat memenangi hati bakal penyewa.

 

Bakal penyewa yang menggunakan khidmat Airbnb, tidak kenal siapa anda. Mereka akan buat keputusan berdasarkan beberapa perkara yang mereka boleh lihat daripada listing yang anda lakukan di website Airbnb. Lazimnya, mereka akan beri perhatian yang lebih terhadap komen dan review dari penyewa terdahulu, sebelum mereka buat keputusan sama ada nak menyewa ditempat anda, ataupun pergi menyewa di homestay milik pesaing anda.

Mempunyai review dan feedback yang positif adalah sangat penting, jika anda ingin menjadikan bisnes homestay Airbnb anda berjaya dan berdaya saing. Justeru, saya ingin kongsikan beberapa tips yang anda boleh praktikkan, bagi membantu anda mendapat review yang positif dari tetamu yang bakal menginap di homestay milik anda.

 

Ingat..! Review dan feedback positif akan membantu anda menjadi seorang superhost dan pada masa yang sama akan membuatkan homestay milik anda jadi pilihan dan rebutan bakal tetamu yang lain. Jom kita lihat apa tips yang anda boleh cuba amalkan.

pengusaha-bisnes-homestay-berjaya

(1) Sistem Kunci Smart Lock

Ucapkan selamat tinggal kepada sistem kunci yang lama (menggunakan anak kunci), dan gantikan dengan sistem kunci smartlock yang lebih canggih dan efisyen.

kunci-rumah-elektronik

Anda hanya perlu berikan nombor atau password untuk tetamu anda masuk ke dalam rumah. Password ini boleh ditukar setiap kali anda menerima tetamu yang baru.

 

Sebagai pelanggan, saya juga lebih suka sistem kunci seperti ini. Kita sebagai tetamu tak perlu lagi nak bawa kunci rumah. Cukup dengan mengingati dan menghafal nombor untuk masuk ke dalam rumah. Kadang-kadang bila perlu bawa kunci rumah kesana dan kemari, saya ada kebimbangan akan kehilangan anak kunci tersebut, terutama sekali jika saya bakal melakukan aktiviti lasak.

 

Sistem kunci seperti ini turut digunakan untuk rumah yang saya pernah sewa menggunakan airbnb di Ocean View Resort Port Dickson.

 

Anda tak tahu dekat mana nak dapatkan sistem kunci smartlock seperti ini? Jangan risau, sebabnya ia mudah diperolehi dan anda boleh tempah secara online sahaja. Boleh beli disini.

 

Sistem kunci seperti ini sememangnya digemari oleh penggiat bisnes homestay yang turut mengiklankan homestay mereka di laman web Airbnb. Lihat buktinya.

kunci-elektronik-untuk-pintu

Mungkin selepas ini anda boleh pertimbangkan untuk guna sistem kunci yang sama untuk rumah kediaman anda. Dengan adanya sistem kunci seperti ini, tetamu boleh masuk ke rumah anda pada bila-bila masa yang mereka rasa selesa.

 

Tetamu anda juga tak perlu berurusan di kaunter, ataupun perlu menunggu ketibaan anda untuk berikan kunci rumah kepada mereka. Ini bermakna, anda juga tak perlu susah payah nak berhadapan dan sambut ketibaan tetamu anda untuk serah kunci. Sistem kunci seperti ini sudah semestinya akan dapat menyenangkan kedua-dua belah pihak.

 

(2) Ucapan selamat datang beserta dengan hadiah

Adakalanya anda tidak ada masa untuk berjumpa secara bersemuka dengan tetamu anda. Guna sistem smartlock adalah satu cara yang baik untuk situasi ini.

 

Apa kata anda buat sesuatu yang simple tapi tetamu anda rasa dihargai. Misalnya anda sediakan ucapan selamat datang beserta dengan hadiah untuk tetamu anda.

hadiah-menyambut-tetamu

Hadiah ni tak perlu mahal-mahal. Mungkin anda boleh berikan kad diskaun, kupon, atau sedikit makanan ringan atau apa-apa sahaja. Apa yang penting, ianya dapat membuatkan tetamu anda rasa dihargai, apabila check in ke kediaman milik anda.

 

(3) Extension wire/ charger

Anda adalah seorang pemilik rumah atau host yang sangat memahami, apabila anda mampu untuk sediakan extension wire untuk kegunaan tetamu anda.

 

Anda patut tahu, berapa banyak power plug diruang tamu kediaman anda. Andai kata semua tetamu berkumpul di ruang tamu, mungkin akan ada beberapa orang yang perlu cas phone, tapi disebabkan tak cukup plug, dia tak dapat berbuat demikian. Akhirnya dia terpaksa duduk sendirian dalam bilik.

 

(4) Buku panduan untuk tetamu

Fungsi buku panduan ini adalah untuk memudahkan tetamu anda mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan rumah yang bakal disewa, kemudahan yang terdapat disekitar kawasan yang boleh digunakan beserta maklumat tentang tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.

 

Ada tiga bahagian atau tiga panduan yang perlu anda sediakan.

(1) Panduan tentang rumah

  • Anda boleh masukkan panduan tentang kedudukan suis lampu, kipas dan penyaman udara.
  • Cara menggunakan pemanas air
  • Cara menggunakan coffee maker
  • Cara menonton siaran internet untuk live streaming
  • Dimana tempat untuk buang sampah
  • Peringatan untuk jimatkan penggunaan elektrik jika tiada orang dalam rumah

 

(2) Panduan tentang kemudahan asas yang terdapat di kawasan sekitar

  • Kemudahan gym dan swimming pool. Dimana lokasi dan waktu penggunaannya
  • Tempat untuk buat aktiviti BBQ

 

(3) Panduan tentang kawasan sekitar dan tempat menarik

  • Tempat-tempat yang menjadi tarikan dan tumpuan pelancong. Mungkin anda boleh jadi ejen dan setiap kali tetamu anda ingin masuk ke tempat tersebut, anda akan dapat sedikit komisen
  • Tempat-tempat untuk mendapatkan barangan harian, seperti supermarket, kedai runcit
  • Tempat makan yang popular dan istimewa

 

Kadang-kadang tetamu yang datang ke homestay anda, sebenarnya tak biasa dengan kawasan sekitar. Jika anda dapat menyediakan buku panduan yang lengkap, ia pasti memudahkan tetamu anda. Tetamu anda ini juga nanti tak perlu nak selalu mesej anda untuk tanya soalan yang berulang-ulang.

 

(5) Smart TV dengan siaran streaming

Anda adalah seorang tuan rumah yang sangat awesome jika dapat menyediakan siaran TV berbayar dikediaman yang anda sewakan. Apabila semua aktiviti luar tak dapat dijalankan seperti yang dirancang, biasanya mungkin disebabkan oleh cuaca yang tak mengizinkan, duduk santai dalam rumah adalah pilihan terbaik.

 

Jika di tv ada banyak siaran yang menarik, setidak-tidaknya mereka ini tidak akan rasa bosan jika perlu berkurung dalam rumah. Kalau mereka ini tak tahu nak tulis review apa tentang rumah anda, mereka mungkin akan berterima kasih dengan siaran tv yang menarik yang tersedia di rumah anda.

 

(6) Coffee maker/ penapis air coway @ cuckoo

Sesetengah tetamu yang bakal anda perolehi, adalah penggemar minuman kopi. Jika anda menyediakan mesin pembuat kopi, mereka boleh menikmati minuman kegemaran mereka ini tanpa perlu susah payah untuk membancuhnya.

Ataupun jika anda merasakan idea untuk menyediakan alat pembancuh kopi adalah terlalu mahal, anda boleh bermula dengan menyediakan penapis air dari jenama coway atau cuckoo. Ini secara tak langsung akan memberikan gambaran bahawa anda adalah seorang yang menjaga dan mementingkan kesihatan para tetamu yang menginap di tempat anda.

 

(7) First aid kit/ rescue box

Kecederaan dan kemalangan boleh berlaku dimana-mana. Ia bukannya satu kejadian yang kita harap akan berlaku, tapi apa salahnya jika kita bersiap sedia menghadapi kemungkinan tersebut.

tips-bisnes-homestay

Ibarat seperti kita membeli polisi insurans. Pada setiap bulan kita bayar caruman insuran dengan harapan kita tidak perlu menggunakannya satu hari nanti. Namun jika berlaku kejadian yang tidak diingini setidak-tidaknya kita telah menyediakan persiapan yang secukupnya.

 

Dalam first aid kit, kita menyediakan kelengkapan untuk merawat kecederaan ringan yang boleh dirawat segera. Pada masa yang sama, anda juga boleh sediakan kelengkapan tambahan seperti tuala wanita, berus gigi, pisau pencukur pakai buang dan sebagainya.

 

Sesetengah orang, mungkin ada yang terlupa untuk bawa kelengkapan ini semua, dan jika anda mampu sediakan di homestay milik anda, pasti tetamu tersebut akan berterima kasih kepada anda dan akan menulis review yang baik untuk anda.

 

(8) Kelengkapan mandian dan pencuci muka

Setiap kali pergi bercuti atau travel, kebiasaannya saya akan bawa segala kelengkapan dan produk mandian yang diperlukan. Namun, ini tak bermakna saya tak akan menggunakan sebarang sabun ataupun syampu yang disediakan oleh pihak hotel, mahupun tuan rumah.

 

Biasanya, kalau saya jumpa tuan rumah yang menyediakan kelengkapan mandian, seperti sabun dan syampu dari jenama yang baik dan terkemuka, secara automatik saya akan rasa seperti kehadiran saya disitu sebagai tetamu sangat dihargai.

 

Sebaliknya, kalau tuan rumah hanya sediakan sabun dari jenama yang saya sendiri tak kenal, misalnya sabun jenama salamis (saya hanya reka jenama ini) saya akan anggap yang sama ada tuan rumah ni kedekut ataupun dia tak begitu ambil berat terhadap tetamu yang menginap dikediaman miliknya.

 

Saya sendiri tak akan sesuka hati menggunakan sebarang produk penjagaan kulit dan kebersihan diri secara sembarangan. Mujur ada bawa sendiri kelengkapan mandian, jadi tak perlu kisah sangat dengan apa produk yang disediakan oleh tuan rumah.

 

Namun saya percaya, anda ingin jadi tuan rumah yang memahami dan ingin jadi seorang superhost. Jadi, sediakanlah sesuatu yang lebih baik berbanding orang lain.

 

Selain sabun dan syampu, anda juga boleh pertimbangkan untuk turut menyediakan cecair pencuci mulut (listerine), produk pencuci muka, produk pencuci untuk kebersihan wanita dan sebagainya.

 

(9) Kelengkapan dan peralatan memasak

Orang yang sewa homestay ataupun guesthouse, lazimnya ada terfikir untuk menyediakan makanan sendiri, semasa tempoh percutian tersebut. Tak kisahlah sama ada dia nak sediakan makan tengahari, makan malam ataupun untuk sarapan pagi.

 

Kalau aspek penyediaan makanan tak ada dalam jadual perjalanan, mereka akan pilih untuk duduk hotel sahaja, yang memang confirm tak boleh masak. Tapi mereka pilih untuk tinggal di homestay, dan sudah tentu ada dalam pemikiran mereka untuk berjimat, sama ada nak jimat dari segi tempat penginapan dan juga berjimat dari aspek penyediaan makanan.

 

Tetamu seperti ini lazimnya akan bertanya hal-hal mengenai kelengkapan dapur dan memasak, beberapa hari sebelum tarikh mereka sampai ke tempat anda.

 

Mereka akan bertanya hal-hal seperti

(1) Apa peralatan memasak yang disediakan?

(2) Berapa besar saiz kuali?

(3) Adakah terdapat peti sejuk disediakan dalam rumah?

 

Saya berpendapat adalah lebih baik kalau anda dapat susun semua kelengkapan memasak yang anda sediakan dalam rumah seperti dalam gambar ini.

kemudahan-memasak-di-homestay

Dengan ini, tetamu anda akan tahu apakah kelengkapan yang tersedia yang bakal menanti mereka. Bila dah sediakan semua kelengkapan ini, kenalah pastikan semuanya berfungsi dengan baik.

 

Satu perkara yang saya rasa agak mengecewakan, dalam banyak-banyak homestay yang pernah saya pergi ialah, pisau yang disediakan walaupun ada banyak, satu pun tak ada yang tajam, dan batu pengasah tidak disediakan. Walaupun anda telah lakukan yang terbaik dengan menyediakan segala kelengkapan memasak yang diperlukan, tapi kalau ada satu atau dua perkara yang tak menepati piawaian, (pisau tak tajam) tetamu anda akan teringat hal itu sahaja.

 

(10) Peralatan untuk aktiviti luar

Homestay yang terletak dikawasan kondominium lazimnya menawarkan pelbagai kemudahan tambahan yang boleh digunakan oleh para tetamu. Kemudahan yang dimaksudkan ini ialah kemudahan gimnasium, gelanggang sukan, pool dan sebagainya.

bola-keranjang

Kemudahan ini semua, walaupun ada, namun tidak dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh tetamu yang menginap disitu, kerana tiada peralatan yang sesuai. Ada gelanggan bola keranjang, kalau tak ada bola, tetap tak dapat nak main.

 

Ataupun kalau homestay terletak dikawasan sawah padi, tapi tuan rumah tak disediakan basikal untuk tetamu bersiar-siar melihat panorama dan pemandangan sawah padi, tetap tak dapat nak beri kepuasan yang secukupnya. Saya sarankan, anda sediakanlah kesemua kelengkapan ini.

 

(11) Peti sejuk dengan makanan dan minuman

Cuba anda bayangkan situasi ini. Anda baru sahaja mendaftar masuk ke hotel atau mana-mana tempat penginapan yang anda tempah. Anda nampak ada sebuah peti sejuk bersaiz besar didalam kediaman tersebut.

 

Anda pun melangkah menuju kearah peti sejuk itu lalu anda buka peti tersebut.

KOSONG.

 

Langsung tak ada benda dalam peti sejuk tersebut.

 

Sekarang, cuba bayangkan situasi kedua. Peti sejuk yang sama, apabila anda buka, dalamnya terdapat air minuman 1.5liter dan juga ais krim.

 

Situasi mana satu yang anda suka?

 

Harga air minuman tidaklah begitu mahal. Anda boleh semak harga dikedai borong dan beli secara karton untuk mendapatkan harga yang lebih jimat. Saya ada buat semakan harga di laman web ini, dan saya dapati harga minuman coca cola yang paling murah boleh diperolehi adalah RM43.30 untuk satu karton.

 

Ini bermakna harga satu botol adalah lebih kurang RM3.60. Kalau anda sediakan cuma dua botol untuk tetamu yang bakal menginap di tempat anda, kosnya baru RM7.20. Saya kira dengan RM7.20 itu anda tak akan rugi apa-apa malahan ini akan menggalakkan tetamu anda menulis review yang positif mengenai kediaman anda.

 

Review dan komen yang positif akan menarik perhatian pelawat lain untuk memilih tempat anda sebagai pilihan utama bagi tempat untuk menginap.

 

Anda mungkin tak bersetuju mengenai beberapa perkara yang saya cerita dalam posting ini. Apa kata anda buat begini. Pergi ke laman web Airbnb, dan cuba cari seberapa banyak listing yang tergolong sebagai superhost.

 

Lihat apa persamaan yang ada pada mereka, dan mungkin selepas itu anda akan bersetuju dengan perkongsian saya ini. Semoga bermanfaat untuk bisnes homestay Airbnb anda.

Baca juga: Panduan Bisnes Homestay bagi orang yang baru nak bermula

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: