Bisnes Homestay merupakan salah satu daripada cabang bisnes dalam bidang hartanah.
Trend pada hari ini menyaksikan bahawa permintaan terhadap perkhidmatan homestay semakin popular terutama di kawasan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan kegiatan pelancongan dan percutian.
Pada peringkat awal dahulu, konsep homestay sebenarnya berbeza dengan apa yang kita lihat pada hari ini.
Konsep homestay yang sebenarnya adalah pengunjung akan menginap bersama dengan pemilik dalam sebuah rumah. Apa yang pemilik rumah lakukan, pengunjung akan turut serta melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka.
Konsep homestay yang digunapakai di negara kita lebih berkonsepkan Guest House.
Oleh kerana penggunaan nama homestay bagi merujuk konsep guest house sudah dianggap sebati dengan jiwa rakyat Malaysia, maka nama itu lebih kerap diguna pakai.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa daerah di negara kita yang masih lagi menggunakan istilah homestay bagi merujuk kepada konsep penginapan inap desa bersama pemilik rumah.
Oleh yang demikian, saya kira ada baiknya untuk anda bertanya pada pemilik homestay dan fahamkan dulu, apakah anda akan menyewa dan menginap bersama tuan rumah, atau sebenarnya anda akan menyewa keseluruhan rumah.
Ini bertujuan untuk mengelakkan berlaku salah faham di hari kejadian kelak.
Baiklah, kita bukannya nak berbincang mengenai isitlah homestay tersebut. Apa yang lebih penting, kita sebenarnya nak tahu, bagaimana kita boleh menggandakan wang dengan memulakan perniagaan homestay.
Dalam perkongsian kali ini, In Shaa Allah kita akan bincangkan tentang bagaimana orang biasa macam kita, dapat buat duit dan seterusnya boleh berjaya dalam bisnes homestay.
Jadi, sekiranya ada dalam kalangan pembaca dan pelawat blog ini yang ada bercadang untuk menjalankan bisnes homestay, mungkin anda boleh luangkan sedikit masa untuk baca perkongsian ini.
Boleh jadi ada beberapa tips yang bakal saya ceritakan dalam ini akan dapat beri manfaat kepada anda. Baiklah, tanpa membuang banyak masa, jom lihat apa dia tips untuk menjalankan bisnes homestay yang saya nak kongsikan ini.
(1) Kenalpasti lokasi homestay
Bacalah apa-apa buku berkenaan topik hartanah.
Pergilah ke mana-mana seminar.
Sertailah mana-mana bengkel berkaitan dengan pelaburan hartanah.
Saya pasti, salah satu topik perbincangan yang pasti akan diulang-ulang adalah berkenaan dengan LOKASI.
Kalau kita nak beli rumah untuk kita diami sendiri pun, kita perlu lihat dari aspek lokasi. Inikan pula rumah untuk tujuan bisnes.
Beberapa persoalan kita perlu berikan perhatian, antaranya
i. Adakah lokasi tersebut mempunyai kemudahan asas yang mencukupi.
ii. Adakah mempunyai jaringan perhubungan yang baik, seperti mempunyai lebuhraya, berdekatan dengan stesen kereta api dan sebagainya.
iii. Adakah terdapat faktor penarik yang membuatkan pelancong datang ke lokasi tersebut
Memiliki hartanah dikawasan yang mempunyai lokasi yang strategik adalah satu bonus bagi anda kerana anda boleh jual semula hartanah tersebut dengan harga yang lebih tinggi di masa akan datang.
Bagaimana pula kalau beli sesebuah hartanah bagi tujuan untuk membangunkan bisnes jenis homestay? Dalam bisnes jenis ini, faktor lokasi sudah tentu memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan sama ada bisnes anda bakal berjaya atau tidak.
Apa yang buatkan sesebuah kawasan itu sesuai untuk dibangunkan perniagaan homestay?
Ini merupakan suatu persoalan yang setiap bakal pengusaha homestay perlu tahu jawapannya, sebelum mereka mulakan bisnes ini.
Ada dua pendekatan yang boleh kita gunakan bagi mengetahui jawapan bagi persoalan ini. Pertama, kita perlu faham apakah perkara yang menjadi sebab kenapa orang pergi melancong, atau travel.
Baca juga: Sebab kenapa orang pergi travel
Saya andaikan yang anda dah baca, dan dah dapat gambaran kenapa orang pergi travel. Saya harap maklumat tersebut berguna untuk anda.
Pendekatan kedua adalah dengan membuat analisis terhadap lokasi dimana homestay anda bakal dibangunkan. Kita cuba untuk mengenalpasti, apakah kekuatan yang terdapat pada lokasi tersebut.
Baca lebih lanjut: Pemilihan lokasi bisnes homestay
i. Berdekatan dengan tempat percutian
Homestay akan jadi tempat penginapan pilihan terutama sekali bagi pengunjung yang ingin bercuti bersama-sama dengan keluarga yang besar. Menginap di homestay adakalanya berkali ganda lebih jimat dan menyeronokkan berbanding menginap di hotel.
ii. Ada kolej atau universiti
Kebiasaannya waktu majlis konvokesyen, ataupun waktu pendaftaran masuk, permintaan untuk homestay akan meningkat. Biasanya untuk keluarga yang datang dari jauh, mereka akan menginap sekurang-kurangnya semalaman apabila menghantar anak-anak mereka untuk mendaftar masuk ke universiti.
iii. Ada kawasan perindustrian
Kawasan perindustrian ada waktunya turut menarik pengunjung dari luar untuk datang ke lokasi tersebut. Sama ada bagi tujuan kerja ataupun tujuan perniagaan.
iv. Bangunan pejabat
Bangunan pejabat biasanya dijadikan HQ untuk perniagaan. Sesekali orang dari luar akan datang bagi tujuan mesyuarat dan urusan lain.
v. Jaringan pengangkutan yang baik
Kita lihat sama ada terdapat akses yang baik untuk ke lebuh raya, stesen kereta api dan juga lapangan terbang. Orang yang dalam perjalanan mungkin boleh singgah bermalam di homestay anda.
vi. Hospital
Biasanya kalau ada saudara mara yang datang dari jauh untuk menziarah pesakit, mereka ini memerlukan tempat untuk bermalam. Kalau datang dalam kumpulan yang agak ramai, sudah semestinya lebih jimat kalau menginap di homestay.
vii. Dewan orang ramai
Dewan orang ramai yang selalu dijadikan tempat untuk diadakan majlis perkahwinan memang cukup berpotensi untuk buka homestay dikawasan berdekatan.
Biasanya yang akan menyewa adalah keluarga pengantin ataupun mungkin tetamu yang datang dari jauh.
Saya percaya anda juga mungkin pernah ada pengalaman sewa homestay, sebab nak memenuhi jemputan majlis kahwin, terutama sekali untuk tempat yang agak jauh.
viii. Stadium
Stadium ini sebenarnya bergantung kepada keadaan. Kalau stadium tersebut memang aktif dengan acara sukan, ataupun persembahan konsert, most likely akan ada yang menjadi tetamu di homestay anda.
Baiklah, itu serba sedikit tentang apa yang perlu anda perhatikan berkaitan dengan lokasi yang bakal dijadikan pilihan.
(2) Unit kediaman untuk dijadikan homestay
Sekarang anda telahpun mengetahui dimana anda ingin jalankan bisnes homestay tersebut.
Baiklah, soalan seterusnya ialah, bagaimana cara untuk anda dapatkan unit kediaman yang bakal anda jadikan sebagai unit homestay?
Apabila ingin menjalankan bisnes homestay, sudah semestinya anda memerlukan unit kediaman yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.
Persoalannya ialah, bagaimana dan apakah cara yang ada untuk anda dapatkan unit kediaman tersebut?
Ada beberapa pilihan yang tersedia untuk anda.
i. Beli rumah untuk dijadikan homestay
ii. Bina sendiri
iii. Sewa dari pemilik asal menerusi konsep sub-let
i. Beli rumah siap
Kita lihat pilihan pertama, iaitu beli rumah yang sudah siap.
Ada beberapa laman web berkaitan dengan hartanah, yang boleh dijadikan rujukan untuk mengetahui sama ada dilokasi tersebut ada rumah untuk dijual ataupun tidak.
Antaranya adalah seperti
i. Laman web property guru
ii. Laman web mudah.my
iii. Laman web iproperty
Ataupun anda boleh juga mendapatkan bantuan daripada ejen hartanah untuk mendapatkan rumah yang sesuai untuk anda.
Memandangkan harga rumah mungkin agak tinggi, atau anda mungkin ingin save bajet, cara lain yang anda boleh terokai ialah dapatkan rumah yang dilelong oleh pihak bank untuk dijadikan sebagai rumah homestay anda.
Memilih rumah lelong untuk dijadikan homestay boleh jadi satu pelaburan yang amat menguntungkan. Selain dari faktor harga yang lebih rendah berbanding rumah baru, anda juga mungkin akan temui pelbagai jenis rumah yang berpotensi tinggi untuk dijadikan homestay. Baca lagi tentang Rumah Lelong disini.
ii. Sewa rumah dari pemilik rumah sedia ada
Ini salah satu cara yang anda boleh lakukan untuk dapatkan rumah bagi dijadikan homestay.
Cuba lihat dikawasan yang anda ingin bangunkan perniagaan homestay anda, ada tak pemilik rumah yang mencari penyewa? Jika ada, anda boleh berbincang dan berunding dengan pemilik rumah dan nyatakan hasrat anda untuk menyewa rumah tersebut bagi dijadikan homestay.
Kalau anda ada masa, boleh luang sedikit masa untuk baca buku yang ditulis oleh Syahman Abu Hasan berjudul Buat Untung Dengan Rumah Sewa.
Dalam buku tulisan beliau ini, ada dikongsikan pengalaman beliau menjalankan bisnes rumah sewa melalui konsep sublet. Beliau tak perlu sediakan modal yang besar untuk beli rumah, sebaliknya beliau hanya mencari unit kediaman yang berpotensi untuk disewa.
Bincang dan berunding dengan pemilik rumah, dan jika masing-masing bersetuju dengan terma dan syarat, bolehlah dijalankan kaedah sublet ini.
iii. Bina sendiri rumah atas tanah sendiri
Satu kelebihan jika anda boleh bina sendiri rumah yang ingin anda jadikan sebagai homestay ialah, anda boleh pilih sebarang konsep yang anda rasakan sesuai untuk dijadikan homestay.
Mungkin anda ingin bangunkan ala-ala rumah tradisional melayu? Ala-ala eropah? Konsep Lord of the Ring seperti rumah Hobbit misalnya. Semuanya terpulang kepada kreativiti anda.
Kreativiti yang anda zahirkan menerusi rumah yang bakal dijadikan homestay juga mampu untuk menjadi tarikan kepada bakal penyewa.
Kalau anda memiliki tanah yang luas, boleh bangunkan homestay anda mengikut konsep resort, dimana disitu terdapat kolam renang, playground, mini zoo, kebun buah-buahan dan sebagainya.
Ini secara tak langsung boleh membantu anda untuk membina suatu tawaran yang unik, yang tak ada pada lain-lain homestay sekitar anda.
Ketika pengusaha bisnes homestay lain pening-pening nak fikirkan, apakah USP untuk bisnes homestay mereka, anda boleh buat perancangan dengan lebih mudah.
(3) Daftar perniagaan homestay
Memandangkan ini merupakan suatu perniagaan dan saya percaya, anda juga serius dengan perniagaan ini, maka adalah lebih elok jika anda daftarkan syarikat serta perniagaan anda.
Kemudian, bagi mengelakkan berlaku sebarang isu dikemudian hari, anda bolehlah luangkan sedikit masa untuk berhubung dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendapatkan prosedur terkini untuk menjalankan operasi perniagaan ini.
Anda juga disyorkan untuk merujuk dengan pihak MOTAC bagi mengetahui apakah prosedur terkini dalam bidang ini.
(https://www.motac.gov.my/)
Jika unit kediaman yang bakal anda jadikan homestay adalah jenis apartment, anda perlu pastikan tiada halangan atau sekatan untuk anda jalankan bisnes berbentuk short term stay ini.
Rujuk dengan pihak Joint Management Body atau Management Corporation bagi mengelak sebarang isu dikemudian hari.
(4) Kenalpasti pelanggan sasaran
Kenali apakah ciri-ciri bakal pelanggan ideal yang anda ingin sasarkan untuk bisnes homestay anda.
Siapa yang akan menjadi bakal penyewa anda? Kalau anda kata, semua orang boleh jadi pelanggan anda, jawapan itu walaupun betul, namun ia kurang tepat.
Kita sedia maklum, bukan semua orang akan menginap dihomestay. Kalau pasangan yang baru berkahwin, besar kemungkinan mereka ini tidak akan memilih homestay sebagai tempat penginapan.
Tetapi, kalau untuk mereka yang melancong dalam kumpulan yang besar, mereka ini biasanya lebih sesuai untuk menjadi pelanggan homestay.
Biasanya penyewa adalah mereka yang berkeluarga. Jadi, dari segi susun atur dan set kelengkapan, bolehlah anda sediakan bagi menepati keperluan mereka.
Amat jarang, homestay dijadikan pilihan untuk dijadikan lokasi mesyuarat oleh para eksekutif dari syarikat swasta. Jadi tak perlulah rasanya untuk anda sediakan meja bulat ataupun set projector. Sebabnya ini bukannya kelompok penyewa yang akan datang kepada anda.
(5) Kaji pesaing
Selidik latar belakang pesaing yang beroperasi disekitar anda.
Besar kemungkinan, sebelum anda merancang untuk memulakan perniagaan homestay, sebenarnya sudah terdapat beberapa pengendali bisnes homestay disekitar anda.
Mereka inilah yang akan menjadi pesaing anda dalam perniagaan ini.
Mempunyai pesaing disekitar anda adalah sesuatu yang sihat. Lagipun ini memang lumrah dalam perniagaan.
Pada masa yang sama, ini boleh dijadikan sebagai petanda bahawa bisnes homestay ada potensi untuk dikembangkan dan dibangunkan dilokasi tersebut.
Bagi tujuan mengetahui kewujudan pesaing, ada beberapa cara yang anda boleh gunakan, antaranya
i. Buat carian menerusi search engine
Sama ada anda menggunakan Google, Yahoo ataupun Bing.
Kalau nak guna google, taip sahaja kata kunci seperti “nama lokasi + homestay”. Sebagai contoh, anda mencari homestay di Langkawi, taip sahaja kata kunci “Langkawi Homestay” dan anda pasti akan temui banyak senarai homestay.
Ini semua adalah pesaing anda, sekiranya anda juga bakal membuka homestay di tempat yang sama.
ii. Buat carian menerusi Facebook atau media sosial
Cara buat carian melalui media sosial juga lebih kurang sama caranya dengan carian di search engine.
Anda gunakan kata kunci “homestay + lokasi” sama seperti anda buat carian di search engine.
Apabila saya buat carian menggunakan kata kunci “homestay langkawi” di facebook, paparan seperti dibawah yang kelihatan.
iii. Buat carian menggunakan platform Online Travel Agent (OTA)
Anda boleh gunakan sama ada Airbnb, Agoda, Booking.com dan sebagainya untuk buat carian.
Tujuan kita buat carian ini, adalah untuk selidik siapa dan apa latar belakang pesaing anda.
Pada masa yang sama, cuba dapatkan dan kumpul maklumat-maklumat seperti
i. Berapa kadar sewa yang ditawarkan
Anda mungkin boleh letakkan harga yang sama atau murah sedikit sahaja. Yang penting untung, dan jangan bunuh pasaran.
ii. Apa perkhidmatan yang ditawarkan
Selain daripada perkhidmatan tempat menginap, ada tak sebarang perkhidmatan tambahan yang diberikan. Jika ada, apa dia? Mungkin anda boleh offer sesuatu yang lebih baik.
iii. Bagaimana rupa bentuk homestay mereka
Anda boleh lihat dari segi susun atur, reka bentuk dan sebagainya.
(6) Kelengkapan dalam homestay
Pertama sekali, anda perlu pastikan kelengkapan asas yang mencukupi telah pun anda sediakan.
Sebagai pemilik homestay, kita perlulah menyediakan sekurang-kurangnya barangan asas dalam kediaman. Barangan asas ini antaranya seperti katil, tilam, sofa, meja makan dan televisyen.
Ya, pada peringkat awal kita terpaksa mengeluarkan modal yang agak besar bagi menampung segala keperluan.
Walaubagaimanapun, menyediakan keperluan asas sudah memadai bagi peringkat permulaan anda menjalankan bisnes ini.
Barangan asas ini tidak semestinya perlu menggunakan kelengkapan yang baru. Kita boleh membuat kajian tempat-tempat yang menawarkan perabot second hand yang masih berkualiti di internet.
Jika anda ingin mencari perabot, saya syorkan anda beli di kedai perabot yang sama yang menawarkan pakej lengkap. Kebiasaannya, anda boleh tawar menawar bagi dapatkan harga yang lebih rendah kerana anda beli perabot dengan kuantiti yang agak banyak.
Bagi mengelakkan anda terpaksa selalu tukar perabot baru, pilihlah material yang tidak mudah rosak atau mudah koyak. Contohnya macam sofa, set divan dan sebagainya. Kebiasaannya penyewa ni tak akan menjaga barang-barang dalam rumah sebaik dan secermat mereka jaga barang sendiri.
Jadi kena pandai pilih perabot yang tahan lama dan tahan lasak.
Perabot seperti set sofa amat mudah terkena kotoran. Kalau anda sediakan sofa, utamakan untuk pilih set sofa dari material yang mudah dibersihkan.
Kalau ada kanak-kanak dalam kalangan tetamu, kebarangkalian untuk mereka ini tumpahkan air dekat sofa adalah sangat tinggi.
(7) Perkhidmatan tambahan
Hanya sekadar bergantung harap pada bayaran sewa dari tetamu, mungkin bukanlah satu tindakan yang tepat. Anda mungkin akan terlepas peluang untuk buat duit lebih banyak dari sekadar kutipan sewa.
Justeru, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan tambahan kepada bakal tetamu yang akan menginap ditempat anda.
Cuba ambil masa sejenak untuk berfikir dan letakkan diri anda dari perspektif bakal tetamu anda. Apa agak-agaknya keperluan dan kemahuan mereka, selain daripada tempat menginap, yang anda boleh tawarkan kepada mereka?
i. Kolam renang
Jika mempunyai ruang yang sesuai pada unit kediaman anda, boleh wujudkan ruang untuk letakkan kolam renang kanak-kanak kepada pengunjung.
Homestay yang ada kolam renang, walaupun tidak begitu besar boleh jadi satu daya tarikan yang penting.
ii. Ruang BBQ
Sediakan ruang BBQ dan arang yang mencukupi. Pengunjung yang datang dan ingin mengadakan acara BBQ perlu sediakan sendiri bahan perapan. Ataupun sebagai alternatif mereka boleh tempah dari anda. Cuma perlu pastikan tempahan itu dibuat lebih awal untuk persediaan.
Acara BBQ sering diadakan terutama sekali jika bercuti dalam bilangan yang besar. Ini juga satu acara pilihan apabila berkumpul bersama-sama.
iii. Sewa basikal
Pada waktu petang mungkin sesuai untuk bersiar-siar dengan hanya berbasikal.
Jika anda menyediakan basikal untuk disewa, atau anda sediakan secara percuma, ini juga dapat menarik minat bakal penyewa.
iv. Pemandu pelancong
Mungkin ada sesetengah pengunjung tidak tahu tentang keadaan persekitaran kawasan berkenaan. Jadi, tidak salah jika anda tawarkan pakej pemandu pelancong bagi melancarkan lagi percutian mereka. Tidak perlu menyediakan van, cukup menggunakan kereta dan guide mereka ke kawasan-kawasan tumpuan pelancong.
v. Perkhidmatan dobi
Bagi tetamu yang datang menginap untuk jangka masa yang lebih lama, misalnya lebih 3 malam, anda boleh tawarkan khidmat dobi.
Walaubagaimanapun, saya perhatikan pada hari ini kebanyakkan homestay telahpun disediakan mesin basuh dan juga mesin pengering. Idea ini sesuai jika homestay anda tidak menyediakan kedua-dua jenis mesin tersebut.
vi. Perkhidmatan sewa kenderaan
Perkhidmatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang datang dengan pengangkutan awam seperti bas, tren atau kapal terbang. Anda boleh tawarkan khidmat kereta sewa jika mereka perlukan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana.
vii. Perkhidmatan jemput dan hantar ke airport
Ini merupakan satu lagi perkhidmatan yang mungkin diperlukan oleh tetamu homestay anda. Terutama sekali untuk mereka yang datang dengan menggunakan pengangkutan awam.
Sebaik sahaja mereka tiba di stesen atau di lapangan terbang, mereka tak perlu ambil teksi atau grab untuk ke tempat anda.
(8) Pemasaran untuk bisnes homestay
Seterusnya kita akan pergi ke perbincangan yang tak kurang pentingnya, iaitu tentang pemasaran bisnes homestay.
Masih ada lagi ke pemilik bisnes homestay yang tak tahu cara untuk jalankan kerja-kerja pemasaran untuk bisnes homestay ini?
Kalau anda tak berapa mahir dengan kerja-kerja pemasaran, kita akan cuba bincangkan satu per satu ya.
Pemasaran untuk homestay ini kita boleh bahagikan kepada beberapa bahagian
1. Pemasaran secara offline
2. Pemasaran secara online
3. Pengiklanan berbayar
4. Pengiklanan percuma
Mari kita bincangkan satu persatu.
1. Pemasaran offline
Apa-apa usaha yang tidak melibatkan sebarang kerja dalam talian (online) untuk memberitahu orang ramai yang anda sedang menjalankan perniagaan homestay, adalah termasuk dalam kategori pemasaran offline.
Biasanya adalah seperti
i. Memasang banner
ii. Memasang papan tanda
iii. Mengedar kertas risalah/iklan
iv. Mengadakan partnership dengan perniagaan sekitar
Itu semua adalah antara contoh pemasaran secara offline. Pemasaran secara offline ini penting untuk memberitahu masyarakat sekitar bahawa anda menjalankan bisnes homestay.
Tetapi, bisnes homestay ini lebih relevan jika kita sasarkan orang yang tinggal diluar kawasan.
2. Pemasaran secara online
Pemasaran online ini pula merujuk kepada sebarang usaha untuk memastikan perniagaan homestay yang anda jalankan boleh ditemui dalam dunia digital.
Apabila bercakap mengenai pemasaran online, biasanya ada beberapa platform iaitu
i. Media sosial
ii. Google
iii. Online Travel Agent (OTA)
Kita lihat satu per satu.
i. Media sosial
Diluar sana terdapat banyak pilihan untuk platform media sosial. Kita ada Facebook, Twitter (X), Instagram, dan sebagainya. Persoalannya ialah, kita nak fokus pada yang mana satu?
Saya syorkan anda fokus pada Facebook.
ii. Google
Terdapat pengguna internet yang bergantung kepada laman carian seperti Google, Yahoo dan juga Bing bagi tujuan mencari maklumat. Kalau dalam konteks perbincangan kita ini, sudah tentu mereka ini ingin mencari maklumat mengenai tempat penginapan.
Bagaimana cara untuk mengiklankan perniagaan homestay anda menerusi Google?
Ada dua cara yang saya boleh syorkan.
Pertama adalah dengan cara anda membina profil khusus untuk perniagaan homestay anda.
Apabila profil perniagaan anda telah siap dibina, maklumat mengenai homestay anda akan terpapar di halaman carian Google apabila ada pengguna internet yang membuat carian berkaitan dengan lokasi homestay anda.
Sebagai contoh, kita andaikan anda mempunyai bisnes homestay di area Kota Bharu.
Justeru, apabila ada pengguna internet yang membuat carian homestay menggunakan kata kunci seperti homestay kota bharu, mereka akan menemui maklumat seperti dibawah.
Apa yang anda lihat ini sebenarnya adalah profil yang telah dibina oleh pemilik bisnes homestay yang beroperasi disekitar Kota Bharu.
Pelawat boleh dapatkan maklumat seperti nombor telefon, laman web dan sebagainya. Jika anda telah membina profil perniagaan anda, melalui platform Google My Business, homestay anda juga akan tersenarai di muka surat tersebut.
Saya pernah tulis mengenai cara untuk bina profil Google My Business dalam artikel ini.
Cara kedua adalah anda bina laman web rasmi untuk bisnes homestay anda.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, perlu ke wujudkan laman web rasmi, sedangkan anda cuma ada sebuah unit homestay sahaja.
Pada pandangan saya, tak kiralah berapa unit homestay yang anda ada pada masa ini, jawapannya tetap sesuai.
Hari ini mungkin anda hanya ada satu unit homestay. Tapi kita tak tahu, mungkin selepas beberapa tahun anda akan mula tambah unit homestay anda kepada beberapa unit.
iii. Online Travel Agent
Tahukah anda, satu lagi cara yang biasa digunakan oleh para tetamu untuk mencari dan membuat tempahan tempat penginapan adalah melalui platform tempahan yang kita panggil dengan istilah Online Travel Agent (OTA).
Terdapat beberapa platform OTA yang popular, iaitu
i. Airbnb
ii. Agoda
iii. Booking.com
iv. Trivago
Mereka yang biasa menggunakan platform OTA, lazimnya memang agak jarang untuk buat carian tempat penginapan menerusi Google ataupun media sosial. Melainkan kalau tempat penginapan tersebut memang tak tersenarai di mana-mana platform OTA.
Dalam situasi ini, pengguna internet ini memang perlu berhubung terus dengan pemilik tempat penginapan ataupun buat tempahan melalui laman web rasmi tempat penginapan tersebut.
Kita bincangkan pula mengenai topik pengiklanan. Lazimnya, kalau bercerita mengenai pengiklanan untuk bisnes homestay ini, kita boleh pilih sama ada nak menggunakan kaedah pengiklanan berbayar ataupun yang tidak memerlukan kos.
3. Pengiklanan berbayar
Dalam konteks pengiklanan berbayar ini, ada beberapa istilah yang kita perlu tahu, iaitu
i. Cost per view (CPV)
Anda akan dikenakan bayaran mengikut jumlah berapa kali iklan homestay anda dilihat oleh kelompok atau kumpulan audiens yang anda sasarkan.
Sebagai contoh, kalau bajet anda hanya cukup untuk iklan anda dilihat oleh pengguna sebanyak 1,000 kali, maka selepas mencapai jumlah tontonan tersebut, iklan anda akan berhenti.
Jika anda buat bayaran tambahan, barulah iklan tersebut akan berjalan semula.
ii. Cost per click (CPC)
Selain CPV kita ada lagi satu konsep iaitu CPC iaitu anda dikenakan bayaran mengikut jumlah klik yang anda terima pada iklan yang anda siarkan.
iii. Kadar tetap
Anda membayar kos pengiklanan mengikut suatu kadar yang ditetapkan oleh pemilik platform. Jika mereka mengenakan kadar bayaran sebanyak RM500 sebulan, maka itu sahajalah yang anda perlu bayar.
Pada bulan seterusnya jika anda masih mahukan iklan anda disiarkan, maka anda perlu buat bayaran tambahan.
iv. Pengiklanan review & advertorial
Anda mendapatkan perkhidmatan sama ada dari blogger, youtuber, tiktoker atau mana-mana influencer untuk cipta konten bagi mempromosikan bisnes homestay anda.
Kadar upah yang diminta biasanya adalah berbeza-beza.
4. Pengiklanan percuma
Kalau pengiklanan percuma ini, lebih kepada kita buat sendiri kerja-kerja pengiklanan.
Sebagai contoh, anda menggunakan kaedah pemasaran yang kita namakan sebagai Search Engine Optimization (SEO). Dalam kaedah ini, apa yang anda perlu buat adalah… tulis artikel dan siarkan menerusi blog atau laman web anda.
Jika anda faham bagaimana peraturan SEO, lambat laun artikel promosi yang anda tulis itu nanti pasti akan muncul di halaman carian seperti Google, Bing ataupun Yahoo.
Kalau anda mahir dengan teknik SEO, artikel anda boleh muncul di halaman pertama. Selagi mana ia berada di laman pertama, selagi itulah anda akan mendapat pelawat secara automatik.
Satu lagi kelebihan apabila anda mempunyai laman web sendiri ialah, anda boleh tambahkan lagi pendapatan melalui program affiliate yang berkaitan dengan industri percutian.
Dengan ini, pendapatan anda tidak lagi terhad sekadar dari bisnes homestay yang anda jalankan semata-mata. Anda boleh buat duit secara online dengan mempromosikan banyak lagi produk dan perkhidmatan berkaitan dengan pelancongan.
Malahan, sesekali anda boleh promosikan homestay milik pesaing anda, dan anda mendapat komisen apabila ada tempahan terjadi melalui kerja promosi yang anda jalankan.
Ataupun kalau anda menggunakan media sosial kepunyaan anda sendiri, anda juga boleh buat kerja-kerja pemasaran menggunakan platform itu.
Setiap hari anda cipta konten yang relevan dengan bisnes homestay anda.
Sekarang ini, sudah semakin mudah untuk cipta konten.
Anda boleh dapatkan bantuan dari perisian Artificial Intelligence seperti Chatgpt untuk bantu anda hasilkan konten.
(9) Bina kemesraan, ramah dan profesional
Bersikap mesra dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan tetamu adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan bisnes homestay anda. Tetamu ini, mereka mahu dilayan bak seorang raja.
Okay, kalau layanan bak seorang raja itu macam melampau, at least anda boleh berikan layanan yang profesional, namun perlu ada keramahan dalam layanan yang anda berikan.
Sikap mesra dan ramah yang anda tunjukkan, jika ianya benar-benar ikhlas, sebenarnya memang boleh dirasai oleh bakal tetamu. Mereka akan rasa seronok dan selesa apabila berurusan dengan anda.
Bukan semua pemilik homestay dapat menunjukkan kemesraan apabila berurusan dengan bakal pelanggan. Kita ambil contoh, pemilik homestay yang bergantung sepenuhnya kepada membuat listing di platform tempahan Online Travel Agent (OTA).
Pada pandangan bakal tetamu, semua homestay yang dilihat hanyalah sekadar sebuah unit kediaman yang tidak bernyawa dan tidak berperasaan. Oleh sebab itu, mereka akan memilih tempat penginapan berdasarkan kepada kriteria yang mereka mahukan, seperti
i. Berapa banyak bilik
ii. Ada swimming pool atau tidak
iii. Jarak dengan tempat menarik
iv. Berapa harga
Sebaliknya, bagi bakal pelanggan yang perlu berhubung secara terus dengan pemilik homestay, pemilik homestay akan ada peluang untuk bina hubungan baik, dan tunjukkan kemesraan kepada bakal pelanggan ini.
Kalau semuanya berjalan dnegan lancar, biasanya boleh terus dapat close deal hanya dengan berbual-bual beberapa minit.
Sebenarnya kemesraan ini penting untuk dipupuk dari awal, iaitu seawal bakal pelanggan bertanya buat kali pertama tentang homestay anda.
Apabila tetamu datang untuk menginap, anda cuba untuk berikan layanan yang terbaik dan cuba bantu jika tetamu anda mempunyai sebarang keperluan yang anda boleh tunaikan.
Sudah tentu, jika permintaan dari tetamu itu memerlukan bayaran, anda boleh beritahu berapakah kos yang perlu mereka bayar. Apa yang penting, mereka berasa selesa apabila menginap ditempat anda.
Kemudian apabila mereka daftar keluar, anda boleh minta jasa baik mereka untuk menulis review positif tentang pengalaman mereka menginap ditempat anda.
Kalau anda tak bina kemesraan dari awal, mesti agak kekok kalau tiba-tiba nak minta tetamu berikan review positif bagi perkhidmatan yang anda sediakan. Tapi kalau dari awal memang anda sudah mesra dengan tetamu ini, ia sudah tak menjadi sesuatu yang kekok.
Satu lagi, anda juga boleh bertanya dan minta pendapat dari tetamu. Apa yang kurang dan apa yang boleh ditambahbaik dari segi perkhidmatan anda.
Mungkin anda tak akan ambil seratus peratus apa yang tetamu anda cadangkan, tapi setidak-tidaknya anda ada maklumat dan idea apa penambahbaikkan yang perlu dilakukan dari masa ke masa.
Tetamu yang menginap di tempat anda ini, walaupun dia mungkin tak ada bisnes homestay seperti anda, boleh jadi dia adalah seseorang yang selalu travel dan ada banyak pengalaman menginap di tempat yang berbeza.
Pengalaman itupun sebenarnya sangat mahal nilainya.
Kesimpulan
Pada hari ini, sebenarnya permintaan terhadap tempat penginapan berkonsepkan homestay atau guesthouse semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong di negara kita.
Pelancong yang sebelum ini memilih untuk menginap di hotel-hotel apabila pergi bercuti juga sudah semakin ramai yang bersedia untuk menginap di homestay apabila pergi bercuti.
Lagipun, homestay pada hari ini, sudah banyak yang kelihatan mewah dan lengkap dengan segala kemudahan. Sekali pandang, ianya saling tak tumpah dengan sebuah hotel mewah, dengan kelengkapan yang elegan.
Sampai satu tahap, kita boleh lihat ada banyak homestay yang berupaya menyediakan perkhidmatan yang lebih baik atau menyamai kualiti perkhidmatan hotel.
Homestay pada hari ini, bukan sekadar rumah kampung.
Homestay pada hari ini, adalah homestay moden dengan perkhidmatan yang mampu ditawarkan begitu cemerlang dan boleh bersaing dengan resort serta hotel.
Anda nak ilmu homestay yang lebih lengkap dan padat?
Muat turun panduan Jutawan Homestay ini.
Boleh muat turun melalui pautan ini
Leave a Reply