Berapa modal untuk buka perniagaan kedai runcit sendiri?

by sabree hussin on February 10, 2017

in kedai runcit

“Berapa modal untuk mulakan bisnes kedai runcit kecil-kecilan?”

 

Saya masih lagi menerima pertanyaan tentang berapa modal untuk memulakan bisnes kedai runcit dari semasa ke semasa. Sebenarnya saya pernah ulas tentang topik modal yang diperlukan sebelum ini. Mungkin sebab tajuk yang saya gunakan itu agak berlainan dengan kata kunci yang dicari oleh pengguna internet apabila mereka mencari jawapan bagi soalan ini di google, maka mereka mungkin tak jumpa posting tersebut.

 

Posting yang saya maksudkan adalah post berikut.

Klik untuk baca: Berapa kos permulaan untuk buka kedai runcit?

bisnes_kedai_runcit

Pada waktu catatan ini saya tulis, sebenarnya saya sudah tidak lagi uruskan perniagaan ini. Saya telah berpindah ke Kuala Lumpur dan sebarang urusan perjalanan perniagaan telahpun saya serahkan kepada rakan niaga saya, iaitu adik beradik saya sendiri.

 

Walaupun saya dah tak uruskan perniagaan ini, namun kalau setakat nak jawab pertanyaan pelawat dan pengunjung blog ini, saya rasa ia bukanlah satu benda yang sukar. Lagipun, dengan adanya serba sedikit pengalaman, mungkin ada beberapa perkara yang boleh saya kongsikan.

 

Kalau dah tak urus bisnes kedai runcit, apa bisnes yang saya buat sekarang?

Sekarang ini, saya lebih fokus kepada perniagaan online saya. Memandangkan saya adalah affiliate bagi beberapa syarikat, maka kebanyakkan masa saya, saya gunakan untuk jalankan kerja-kerja pemasaran secara dalam talian.

 

Selain itu, saya juga aktif membantu para usahawan yang ingin menggunakan medium internet dalam kerja-kerja pemasaran mereka. Saya telah wujudkan peluang untuk mereka beriklan dalam blog ini. Boleh lihat muka surat ini untuk melihat servis yang saya tawarkan.

 

Berapa modal yang diperlukan untuk memulakan bisnes kedai runcit?

Soalan ini, saya rasa memang cukup sukar untuk diberikan jawapan secara spesifik. Dulu waktu saya mula-mula bukak kedai, saya juga ada tanya beberapa peniaga lain yang lebih berpengalaman persoalan modal kedai runcit ni, dan jawapan yang lebih kurang sama yang saya terima.

 

Susah nak cakap jumlah yang tepat.

 

Maklum sahajalah, setiap peniaga kan berniaga ditempat yang berlainan.

 

A. Pemilihan premis atau tempat berniaga

kedai-runcit-kampung

Ada kedai runcit yang dibuka dikawasan pedalaman, ada kedai runcit yang dibuka dikawasan kampung, ada kedai runcit yang dibuka dikawasan rumah perumahan, ada kedai runcit yang dibuka di kolej atau di universiti, dan ada juga kedai runcit dibuka dikawasan bandar.

 

Persoalan pertama yang anda perlu ketahui jawapannya ialah, dimana anda bakal buka kedai runcit anda? Adakah anda sudah mempunyai premis perniagaan atau masih mencari lagi?

 

Premis perniagaan ini, sama ada anda bina sendiri bangunan tersebut, ataupun anda sewa ruang perniagaan dari pemilik asal bangunan. Kos untuk pembinaan atau kos untuk sewaan itu sendiri anda perlu ambil kira dan masukkan dalam modal yang diperlukan untuk mula berniaga.

 

Sekiranya anda pilih untuk bina sendiri, maka anda perlu tahu berapa kos-kos bahan binaan. Ataupun, jika anda merasakan sewa kedai lebih baik, maka anda perlu ambil kira beberapa perkara seperti sewa bulanan, deposit, dokumen perjanjian, dan lain-lain kos yang mungkin berkaitan.

 

B. Sistem keselamatan premis perniagaan anda

Anda mungkin ingin pertimbangkan untuk memasang sistem keselamatan premis perniagaan anda. Kedai saya, pernah dimasuki pencuri sekali. Pintu depan kena kopak, dan pencuri masuk dalam kedai.

 

Mujurlah tak banyak barang yang hilang. Saya syak, pencuri adalah budak-budak remaja yang pecah masuk dalam kedai sebab nak cari rokok.

kamera-pengawasan

Kamera CCTV seperti ini boleh diperolehi dengan harga tak sampai RM200. Boleh klik sini untuk tempah. Dalam situasi saya, saya tak pasang sebarang sistem pengawasan atau kamera CCTV, jadi tak boleh teka siapa yang pecah masuk kedai saya tu.

 

Selain kamera pengawasan seperti ini, anda mungkin perlu laburkan sedikit duit untuk membeli pelan perlindungan insurans. Saya tak dapat nak beri sebarang nasihat tentang pelan insurans apa yang sesuai, jadi saya sarankan anda hubungi mana-mana ejen insurans yang berkaitan.

 

C. Pendaftaran syarikat

Satu perkara yang tak kurang pentingnya, adalah untuk lakukan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sila semak dengan pihak SSM dan berhubung dengan mereka untuk mengetahui berapa yang perlu dibayar untuk daftarkan syarikat.

 

Saya tidak akan beri sebarang angka disini, kerana saya andaikan caj ini mungkin akan berubah dimasa akan datang. Dulu, sewaktu saya daftarkan perniagaan, saya daftar untuk lima tahun terus.

 

Bila dah ada nama syarikat, anda juga akan perlukan sedikit modal untuk buka akaun syarikat. Pilihlah sama ada untuk buka akaun bank dengan Maybank ataupun CIMB. Setiap bank yang berbeza meletakkan syarat yang berbeza, seperti berapa banyak deposit yang perlu diletakkan sebagai permulaan proses buka akaun bank.

 

D. Peralatan untuk digunakan dalam kedai

Saya tuliskan secara ringkas sahaja. Peralatan berikut mungkin anda akan perlukan untuk kegunaan perniagaan anda nanti.

 

(1) Chiller

chiller-kedai-runcit

Chiller ini penting dan wajib ada untuk jual air. Sama ada air kotak, air botol 500ml ataupun air botol 1.5l. Air minuman ni antara barangan yang memberikan pulangan yang agak tinggi. Margin untung juga agak tinggi.

 

Saya berpendapat, jika anda ada bajet yang besar, belilah chiller yang besar supaya boleh jual lebih banyak air minuman. Boleh semak harga chiller disini.

 

Sebelum saya ada chiller, saya jual air yang tak sejuk. Jualan memang agak slow. Tapi bila dah chiller, laju betul jualan air dapat dihasilkan.

 

(2) Meja kaunter dan juga kerusi

Ini adalah tempat untuk anda menerima bayaran dari pelanggan.

 

(3) Peti sejuk beku

Perlu ada jika anda ingin jual ais krim, atau ais batu. Peti ais untuk ais krim ni biasanya syarikat ais krim yang akan bekalkan. Tapi peti ais untuk sejuk beku, kena beli sendiri. Kalau anda nak tau berapa harga anggaran untuk freezer, boleh semak dekat pautan ini.

 

Dulu saya terpaksa pergi dari satu kedai ke satu kedai, semata-mata nak semak harga dan buat perbandingan harga. Sekarang? Tak payah susah-susah. Kalau setakat nak tau berapa harga purata untuk sesuatu barangan, semak je menerusi laman web ini. Buat apa nak susah-susah? Semuanya kan cuma dihujung jari je.

 

(4) Rak kedai untuk letak barang-barang niaga

Masa saya niaga dulu, saya bernasib baik sebab ada orang yang nak jualkan rak yang second hand pada saya. Nak kata rak tu cantik sangat, tak juga. Tapi masih boleh digunakan.

 

(5) Komputer dan sistem perakaunan 

Ya, ini memang perlu dan penting. Kalau anda tak rancang untuk mempunyai sistem perakaunan yang profesional, at least anda mungkin perlu simpan rekod perniagaan anda menggunakan sistem excel. Selain tu, bila ada komputer sendiri, setidak-tidaknya, bila tak ramai pelanggan, anda juga boleh buat bisnes secara online.

 

Saya akui, adakalanya income dari bisnes kedai runcit tidak mencukupi. Ia bergantung pada sales, jadi sebagai pemilik perniagaan, kenalah pandai-pandai cari cara untuk tambahkan pendapatan.

 

(6) Kenderaan

Ini penting untuk anda beli stok barang dari pembekal.

 

E. Kos tambahan untuk operasi perniagaan 

Antara yang perlu anda masukkan sebagai kos permulaan adalah perkara-perkara seperti

(1) Gaji pekerja

(2) Gaji anda

(3) Bil air, elektrik, internet, telefon dan sebagainya

 

F. Stok awal barangan untuk diniagakan

Apakah barang-barang yang anda hendak jual dikedai runcit anda nanti? Baiklah, lazimnya, dikedai runcit ni, orang akan jual garam, gula, tepung, susu … (dan seterusnya). Kalau anda betul-betul tak tau nak jual apa, pergilah kemana-mana pasaraya dan juallah sama seperti apa yang dijual di pasaraya tersebut.

 

Kumpul maklumat seperti

  • Harga borong produk tersebut
  • Harga per unit produk

 

Lakukan perkara yang sama untuk barangan lain yang ingin dijual.

 

Sekarang ini, kita dah hampir sampai ke jawapan bagi soalan yang kita cari. Berapa modal yang diperlukan untuk mulakan perniagaan kita ni? Anda hanya perlu dapatkan jumlah tersebut dengan mendapatkan hasil tambah daripada nilai yang anda perolehi dari A + B + C + D + E + F = MODAL YANG ANDA PERLUKAN.

 

Senang je kan formulanya.

 

Katakanlah, pada satu hari, anda terjumpa seseorang bercerita sama ada di media sosial ataupun di blog, mengenai topik yang sama. Dengan bangga dia kata, dia boleh buka sebuah kedai runcit dengan modal serendah RM12 ribu sahaja. Adakah ini bermakna anda juga boleh buka kedai runcit dengan modal yang sama banyak?

 

Sudah tentu jawapannya adalah tidak.

 

Mungkin jumlah tersebut cukup untuk dirinya, sebabnya dia buka kedai runcit dikawasan kampung, dan dia sudah mempunyai bangunan sendiri yang tak perlu bayar sewa.

 

Dengan mengetahui berapa modal permulaan bisnes orang lain, ia hanya dapat berikan anda serba sedikit idea, tetapi, untuk ikut jumlah tersebut, ia bukan langkah yang tepat. Sebaik-baiknya, anda sendiri yang buat pengiraan untuk mengetahui berapa modal sebenarnya yang mungkin anda perlukan.

 

Baiklah, terima kasih kerana membaca, dan semoga ada sedikit manfaat.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: