Bisnes kedai runcit anda masih baru? Lumrah bagi perniagaan yang baru dibuka, orang ramai masih tak tau tentang kewujudan bisnes kita. Kalau bisnes kita terletak ditempat yang ramai orang lalu-lalang, mungkin ia bukan satu isu besar.
Orang akan perasan kewujudan bisnes kita. Besar kemungkinan pasti akan ada yang akan melangkah masuk ke kedai kita. Sama ada sekadar nak beli sekotak rokok ataupun minuman dalam tin. Tetapi, bagaimana pula halnya kalau kedai runcit kita tu dibuka di kawasan yang kurang orang lalu lalang.
Kedai runcit kampung misalnya. Lazimnya, kedai runcit seperti ini akan dibuka di depan rumah sahaja. Pelanggan sasaran adalah jiran-jiran yang tinggal berdekatan. Kelompok pelanggan sasaran bukan sahaja kecil, malahan jika tiada usaha untuk memberitahu tentang kewujudan kedai kita tu, orang ramai mungkin tak sedar pun yang kita ada berniaga disitu.
Muat turun kertas rancangan perniagaan kedai runcit disini
Maka di sini, perlunya kita lakukan sesuatu. Saya percaya anda adalah usahawan yang proaktif. Jika tidak, masakan anda membaca catatan saya ini. Anda pasti tergolong dalam kelompok usahawan yang “pasti akan lakukan sesuatu” untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Tak ada istilah duduk diam, dan mengharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar sendiri. Betul tak?
Sebagai menghargai usaha anda, untuk mencari jawapan, apa yang boleh anda lakukan untuk memperkenal dan mempromosikan perniagaan kedai runcit anda, maka saya gagahkan diri untuk mencatat entri ini. Harapan saya semoga ada antara salah satu idea yang saya catatkan disini dapat beri manfaat kepada anda.
Ini dia rancangan pemasaran kedai runcit yang anda boleh lakukan dengan serta merta.
(1) Edar fliers kepada penduduk setempat
Sepatutnya sebelum anda mula berniaga, anda sudah tahu siapa yang akan jadi pelanggan tetap bagi kedai runcit anda. Adakah mereka yang tinggal dalam lingkungan 5 – 10 KM dari tempat anda? Tahukah anda, ada berapa buah rumah yang terdapat pada jarak 5 – 10 KM dari tempat anda menjalankan perniagaan?
Mungkin tak sampai 500 buah rumah. Beritahu kewujudan perniagaan anda dengan mengedarkan fliers tentang kedai runcit yang baru anda buka. Masukkan info tentang lokasi perniagaan, tawaran-tawaran potongan harga yang ditawarkan dan jika sesuai masukkan juga kupon diskaun untuk pembelian kali pertama di kedai anda.
Syaratnya, mereka kena bawa fliers tersebut ke kedai anda untuk dapatkan potongan harga tersebut.
(2) Pasang banner
Sekiranya lokasi perniagaan anda terletak ditempat yang agak jauh daripada lokasi tumpuan, maka idea untuk pasang banner ini mungkin sesuai untuk anda. Pasang banner ditempat yang menjadi tumpuan dan sebelum berbuat demikian, anda kena pastikan yang anda telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.
(3) Promosi satu barang RM2 sahaja
Bagaimana agaknya reaksi para pelanggan anda, jika anda menjual pek milo 400g yang biasanya dijual dengan harga RM8.00 per pack dengan harga RM2.00 sahaja!
Gila bukan!
Saya rasa pun tak buat promosi seperti ini! Anda bukan sahaja tak akan buat untung, malahan jika dikira-kira semula, anda sebenarnya akan rugi.
Baiklah, jika anda melakukan pengiraan dari aspek untung rugi, maka obviously dah jelas lagi bersuluh bahawa menawarkan harga ini adalah satu kerugian buat anda.
Akan tetapi, sekiranya anda melihat dari aspek pemasaran, perbezaan sebanyak RM6 itu tadi boleh jadi satu pelaburan yang sangat berguna dalam memasarkan perniagaan kedai runcit anda. Lihat sahaja nanti apa respons orang ramai dengan harga yang anda tawarkan itu tadi. Ianya begitu rendah sampaikan orang berebut untuk dapatkannya.
Ya, akan tetapi anda tak bolehlah buat selalu. Jadikan ini acara bulanan atau sempena tarikh-tarikh istimewa sahaja.
(4) Hadiah percuma untuk yang beli barang
Siapa yang tak suka dapat hadiah? Ramai yang suka dapat hadiah. Jadi apa kata anda hargai para pelanggan anda dengan memberikan mereka hadiah. Hadiah tak perlu terlalu mahal pun. Cukup sekadar beri hadiah gula-gula yang harganya tak sampai 20 sen pun.
Saya rasa jika anda ambik masa untuk senaraikan, apa dia hadiah yang kosnya bawah 20 sen yang anda boleh berikan kepada pelanggan anda, pasti anda boleh dapat senaraikan macam-macam benda. Cubalah!
(5) Aktifkan diri anda di media sosial
Sekiranya anda ingin menarik golongan yang celik IT dan yang sentiasa berkepit dengan smartphone 24 jam, maka anda perlu menjadi seorang pengguna media sosial yang aktif. Anda kena ada akaun Facebook, dan tak cukup sekadar ada akaun, anda perlu jadi seorang pengguna akaun media sosial yang menarik dan sering dijadikan rujukan.
Sama ada anda menjadi orang yang pertama untuk melaporkan sesuatu berita. Sentiasa kongsikan video-video yang menarik dan viral, atau sentiasa buat promosi-promosi yang menarik khusus untuk mereka yang baca iklan anda di media sosial. Kuncinya ialah be creative. Memandangkan topik ini agak luas, maka In Shaa Allah jika ada kesempatan saya akan kupaskan di lain masa.
Saya syorkan anda baca buku berjudul Legenda Jutawan Facebook. Ini adalah salah satu buku yang bagus tentang kaedah melakukan pemasaran di facebook.
(6) Wujudkan sistem kumpul poin dan mata ganjaran
Sistem kumpul poin ni adalah satu sistem yang memang terbukti sangat berkesan bagi memastikan pelanggan akan sentiasa datang ke kedai kita untuk berbelanja. Lihat perniagaan-perniagaan yang ada disekeliling kita. Banyak perniagaan yang mengamalkan kaedah sistem mata ganjaran seperti ini.
Contohnya macam Petronas dengan kad mesra. Tesco dengan kad Tesco. Ah… kalau nak disenaraikan disini terlalu banyak. Rasanya hampir semua perniagaan-perniagaan besar kat luar sana telah pun menggunakan konsep ini.
Ada juga perniagaan car wash yang menggunakan sistem mata ganjaran. Jika seseorang pelanggan telah mencuci kenderaan di car wash miliknya sebanyak 10 kali, cucian yang ke 11 akan jadi percuma sahaja.
(7) Libatkan diri dengan aktiviti setempat sama ada sebagai penganjur, penyumbang dana atau urusetia
Anda perlu bercampur dengan masyarakat. Tunjukkan pada masyarakat setempat yang anda adalah anggota masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan aktiviti kemasyarakatan.
Kewujudan anda bukan sekadar nak buat duit semata-mata. Saya percaya, tak ada siapa yang suka dengan orang yang cuma tahu nak buat duit. Bercampurlah dengan masyarakat, dan jika tidak menjadi satu halangan, anjurkanlah satu program untuk masyarakat tempat anda.
Ya, saya setuju ini memerlukan dana yang besar dan jika anda tiada dana yang besar, anda memerlukan perancangan yang rapi.
Namun begitu, ia bukannya sesuatu yang mustahil dan sebenarnya ia memang boleh dilakukan! Saya sendiri pernah lakukannya. Boleh baca perkongsian dibawah mengenai program yang saya sendiri terlibat sama.
Klik untuk baca: Generasi Warisan Prihatin: Program Sumbangan Amal Ramadhan 2015
Walaupun matlamat program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan, namun oleh kerana penduduk setempat memang dah tahu tentang bisnes kedai runcit yang kami jalankan, ia sedikit sebanyak menerima tempiasnya.
Baiklah, saya nak ucap terima kasih kerana anda membaca apa yang saya kongsikan dalam entri ini. Adakah anda dapat pelajari sesuatu yang baru?
DiminGamindal says
Mohon contoh kertas kerja perniagaan kedai runcit.
TQ,
sabree hussin says
Boleh muat turun sample kertas kerja yang boleh edit di laman web ini >> https://www.sabreehussin.com/pakej-niaga
TQ.
Mohd anis says
Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian. Sistem collect points mmg susah utk kedai runcit kecil. Kad mesra, bonuslink, hanya dipelopori sykt besar. Namun sistem koperasi mart sy gunakan cop / stamp. Setiap kali beli barangan melebihi RM10, dpt 1 cop. Resit cop ada 10 ruang cop. So minimum pelanggan akan belanja RM100 bg lengkapkan 10 ruang. Selesai 10 cop, pelanggan akan diberi voucher RM5, sbg diskaun utk pembelian seterusnya