Baru-baru ni, saya ada terima soalan menerusi emel berhubung isu bisnes kedai runcit. Soalan dia adalah seperti dibawah ni.
“Assalamualaikum…. saya telah berniaga selama 9 bulan di Puncak Alam. Di lokasi tersebut memang tak ada kawasan perumahan, jadi berniaga pun memang slow sangat. Sekarang tengah tunggu satu apartment yang di jangka akan siap 2 tahun lagi…
Saya hanya boleh bertahan je. Saya yakin bila apartment tu dah siap 2 tahun lagi, saya pasti ramai penduduk di situ. Apa yang perlu saya buat sekarang dengan masalah saya ni dan apa yang perlu saya buat untuk majukan perniagaan kedai runcit saya ni?
Satu hari pernah dapat RM20 je. Kadang-kadang saya dah naik fedup dah nak teruskan perniagaan ni. Saya dah tak tau nak fikir dan buat macam mana lagi. Saya harap tuan dapat tolong saya untuk menangani masalah yang saya hadapi sekarang. Terima kasih.”
Bisnes apa yang tak ada masalah? Rasanya tak ada. Tak ada bisnes yang tak ada masalah. Boleh dikatakan semua pemilik bisnes ada masalah UNIK mereka sendiri. Walaubagaimanapun, setiap perniagaan itu juga mempunyai masalah yang lebih kurang sama.
Masalah biasa yang dialami oleh kebanyakkan perniagaan ialah, masalah nak hasilkan jualan.
Kadang-kadang tu, kita memang dah lakukan yang terbaik, namun jualan masih tetap berada di paras yang kurang membanggakan. Kalau setakat nak survive, itu masih boleh.
Tapi kalau kita nak bercerita tentang meraih keuntungan yang lumayan, ia masih agak sukar untuk dicapai. Saya kira, inilah dia dilema yang sering dihadapi oleh mana-mana individu yang terlibat dalam bidang jualan.
Masalah berkaitan dengan jualan ini sebenarnya tak sama antara satu sama lain. Biar saya berikan sedikit contoh.
(1) Sesetengah perniagaan, jualan terlalu sedikit.
Jualan tu ada, bukan langsung tak ada, tapi jumlahnya tak berbaloi.
Dari perniagaan yang dijalankan, anda mungkin masih mampu untuk bertahan. Anda masih berupaya untuk bayar sewa, bayar bil utiliti, bayar gaji dan sebagainya.
Namun, untuk hasilkan keuntungan yang lumayan, ianya kelihatan masih jauh lagi.
(2) Ada perniagaan langsung tak ada jualan.
Tunggulah berapa lama sekalipun, tetap tak ada pelanggan yang datang ke kedai anda.
Selepas hari berganti hari, jualan anda masih lagi kosong. Padahal barangan yang dijual, bukannya barangan yang tak berkualiti. Tapi pelanggan masih tetap tak datang untuk membuat pembelian.
(3) Ada perniagaan yang boleh buat jualan, namun jumlahnya tak cukup untuk bayar komitmen
Kalau situasi ini yang berlaku kepada anda, saya boleh bayangkan bahawa setiap bulan, modal pusingan untuk perniagaan anda akan menyusut dek kerana perlu digunakan untuk bayar komitmen.
Sebagai contoh, setiap bulan anda tak cukup RM500 dan anda terpaksa pakai duit dari modal pusingan.
Lama kelamaan, pasti anda akan kehabisan modal untuk menjalankan bisnes ini lagi. Maklumlah duit anda menyusut sebanyak RM500 setiap bulan. Kesannya kita boleh nampak dengan mata kasar kita iaitu barang-barang yang dipamerkan atas rak semakin menyusut dan anda tak mampu untuk restock barangan tersebut.
Jadi, kalau kedai runcit ada masalah untuk hasilkan jualan, ia bukannya sesuatu yang pelik sangat. Malahan, kalau kita perhatikan, sekarang ni bukan kedai runcit sahaja yang ada masalah untuk buat jualan, malahan masalah yang sama turut dialami oleh lain-lain jenis perniagaan.
Orang yang jual kereta ada masalah untuk buat jualan. Bisnes hartanah, bisnes homestay atau apa-apa bisnes yang ada atas muka bumi ini. Even orang yang buat bisnes online pun ramai yang struggle untuk dapatkan jualan dan pelanggan.
Kalau kita buka buku-buku panduan dan buku rujukan tentang perniagaan, lebih-lebih lagi yang membincangkan topik tentang perniagaan berkonsepkan brick and mortar, (merujuk kepada bisnes yang jenis ada premis perniagaan)… kita akan jumpa beberapa poin yang perlu kita ambil kira sebelum, semasa dan kalau boleh setiap masa kita jalankan perniagaan kita tu.
Bagi perniagaan yang memerlukan anda mempunyai premis, atau kedai fizikal, faktor yang sangat penting untuk anda berikan perhatian adalah faktor lokasi.
Kenapa Lokasi adalah faktor PENTING kejayaan sesuatu perniagaan?
Persoalannya, kenapa perlu berikan perhatian terhadap faktor lokasi?
Jom kita bincangkan.
(1) Adakah lokasi perniagaan kita mempunyai ramai orang?
Sudah tentu, apabila kita ingin membuka kedai, kita perlu pastikan dikawasan tersebut mempunyai ramai orang. Lazimnya, kedai runcit ini akan dibina dikawasan seperti
a. Berdekatan dengan kawasan kediaman atau perumahan
b. Dikawasan pekan atau bandar
c. Ditempat percutian atau tempat tarikan pelancong
d. Dikawasan kampung
Lokasi yang berbeza, akan memberikan anda pendapatan yang berbeza. Dalam situasi ini, anda perlu kenal dan fahami karekter dan profil pelanggan kedai runcit yang bakal anda perolehi.
Tempat yang mempunyai ramai orang ini biasanya adalah seperti di tempat tumpuan seperti kawasan bandar, pekan dan juga tempat tarikan pelancong.
(2) Adakah tempat kita berniaga tu mempunyai jumlah penduduk yang ramai?
Sekadar membuka kedai dilokasi yang berdekatan dengan kawasan perumahan, masih belum cukup untuk memastikan kita akan berjaya dalam bisnes ini.
Kita perlu ambil kira isu-isu seperti adakah projek perumahan tersebut mendapat permintaan yang baik dalam kalangan pembeli. Ada juga perumahan yang mana pembeli tak tinggal disitu. Kalau dalam suatu kawasan perumahan, mungkin hanya 40% sahaja yang didiami.
Selebihnya sama ada pembeli tak tinggal disitu, masih menunggu kemasukkan penyewa ataupun masih ada unit yang tak terjual.
(3) Adakah ditempat kita berniaga tu ada pesaing yang menjual barangan yang sama
Kemudian, kita juga perlu melihat kepada faktor persaingan yang mungkin ada dikawasan tersebut. Persaingan ini sebenarnya boleh berlaku secara langsung ataupun tidak langsung.
Persaingan secara langsung ini disumbangkan oleh peniaga lain yang turut menjalankan perniagaan yang sama atau lebih kurang sama seperti kita. Misalnya, ada kedai runcit lain, pasaraya dan mungkin shopping mall.
Persaingan secara tak langsung pula adalah seperti pasar pagi, pasar malam, restoran dan sebagainya. Mereka ini ada menjual beberapa barang yang sama seperti yang kita jual di kedai runcit kita.
(4) Adakah premis perniagaan kita mudah untuk dikunjungi
Sebaik-baiknya, kedai runcit kita boleh dikunjungi hanya dengan berjalan kaki.
(5) Mudah untuk keluar masuk dan mudah untuk parking
Sekiranya pelanggan perlu menaiki kenderaan untuk datang ke kedai, kita juga perlu ambil kira aspek kemudahan untuk dapatkan tempat parking yang selamat.
Kalau terlalu susah untuk dapatkan tempat parking, ini juga akan membuatkan pelanggan rasa tak minat untuk datang dan berbelanja.
Baca juga: Tips menjalankan bisnes kedai runcit yang berjaya
Itu baru bahagian lokasi.
Belum lagi cerita lain-lain faktor yang mungkin akan beri impak kepada perniagaan yang kita jalankan. Realitinya, kita memang sangat jarang untuk dapat peluang berniaga di tempat yang lokasinya sangat ideal.
Kalau kita jumpa tempat sedemikian, belum tentu kita sanggup nak berniaga disitu. Ada macam-macam sebab, antaranya lokasi yang baik kos sewa juga sangat mahal. Lokasi yang baik, ramai pula pesaing yang berniaga disitu. Lokasi yang bagus ruang untuk berniaga pula dah diambil peniaga lain.
Maka terpaksalah kita bertahan pada lokasi dan tempat yang kita ada sekarang. Persoalannya ialah, mampukah untuk kita terus bertahan? Jika mampu bertahan, agak-agaknya sampai bila dan untuk berapa lama?
Setiap perniagaan mempunyai masalah yang UNIK
Ya, tadi kan saya ada sebutkan yang setiap bisnes ada masalah yang unik. Memang tak akan sama. Saya ada buka kedai runcit, dan si penanya soalan ini pun ada buka kedai runcit.
Si penanya ni ada masalah nak buat jualan atau masalah sales. Bisnes kedai runcit saya pun ada masalah yang sama, iaitu masalah nak buat sales.
TETAPI, satu perkara yang pembaca perlu tahu, punca yang menyebabkan bisnes kami kurang dapat sales mungkin berbeza dan tak sama.
Sebagai contoh, mungkin masalah jualan kurang ini berlaku sebab
i. Lokasi kedai yang langsung tak strategik malah menyusahkan pelanggan untuk datang.
Nak datang ke kedai perlu jalan jauh, lepas tu nak parking tak ada tempat.
ii. Barang jualan yang sedikit dan tidak lengkap.
Ini akan kembali menyusahkan pelanggan yang dah susah payah datang tetapi barang yang nak dibeli banyak yang tak ada. Kalau baru berniaga, memang biasalah kalau barang tak lengkap. Ini boleh ditambahkan sedikit demi sedikit.
iii. Barang yang dijual agak lengkap tetapi bukannya citarasa setempat.
Barang banyak, tapi benda-benda yang dijual tak ikut citarasa pengguna. Ini juga merupakan satu masalah yang agak serius. Sebaik-baiknya kita buat survey, apakah jenama produk yang lebih diterima oleh penduduk disitu, daripada kita jual produk yang tak ada orang mahu.
iv. Pelanggan tak tahu kewujudan kedai runcit kita
Pernah tak terlintas di fikiran anda, yang sebenarnya pelanggan tak datang ke kedai runcit anda disebabkan mereka sebenarnya tak tahu yang kedai runcit anda itu wujud!
Perkara ini boleh berlaku, disebabkan oleh kedai anda yang tak nampak macam sebuah kedai apabila dilihat dari luar.
Kalau ada penduduk yang memandu kenderaan sendiri, yang selalu lalu-lalang dihadapan kedai anda, mereka juga tak perasan yang anda sebenarnya menjalankan bisnes kedai runcit. Sekali imbas, kedai anda nampak seperti rumah kediaman penduduk.
Sebenarnya, bila kita buat bisnes, tak kiralah apa bisnes sekalipun, kita tak boleh sekadar mengharap pelanggan akan datang dengan sendirinya. Kita sebagai pemilik bisnes, kena buat kerja-kerja pemasaran secara aktif.
Kita sendiri yang kena ambil inisiatif untuk beritahu semua orang, yang kita ada buat bisnes.
v. Pelanggan tak tahu apa yang kita jual
Ada juga keadaan yang mana pelanggan tak datang ke kedai kita, sebabnya dia tak tahu apa yang kita jual. Pelanggan kategori ini biasanya sudah ada tempat yang dia suka dan selesa untuk membeli-belah.
Jadi, dia rasa seperti tak ada keperluan untuk pergi ke kedai anda. Untuk menarik kategori pelanggan seperti ini, apa yang saya boleh syorkan adalah anda sentiasa kongsi video dan juga gambar-gambar barangan yang anda jual di media sosial milik anda.
Pastikan, kawan-kawan yang ada dalam media sosial tu adalah terdiri daripada mereka yang tinggal berdekatan dengan kedai runcit anda. Ataupun, anda sertai group komuniti yang boleh disertai menerusi platform Facebook.
Contohnya adalah seperti dibawah ini.
Cuba anda taip nama tempat anda tinggal atau tempat anda berniaga di Facebook. Anda juga mungkin akan temui beberapa group yang berkaitan dengan komuniti anda.
Justeru, apa kata kita buat semakan semula, apa agaknya yang menjadi punca kenapa jualan kita sangat kurang?
Sebab pelanggan tak datang? Ya, memanglah sebab pelanggan tak datang kedai kita. Tapi jangan berhenti setakat kat situ sahaja. Fikirkan juga, kenapa mereka tak datang kedai kita?
Adakah sebab faktor dalaman atau atas faktor luaran?
Faktor dalaman ini adalah hal-hal yang berkaitan dengan perniagaan kita.
a. Susun atur kedai
b. Kepelbagaian barang-barang yang dijual
c. Harga barangan yang kita jual
d. Layanan kita pada pelanggan
e. Aktiviti pemasaran yang kita lakukan
Faktor ini kita boleh ubah dan perbaiki sebab ia masih lagi dalam kuasa kita.
Faktor luaran pula adalah seperti
a. Kewujudan pesaing
b. Selera dan citarasa pelanggan dan sebagainya.
Ini agak susah untuk kita tangani tapi, jangan putus asa dulu, sebabnya bila kita kenal siapa pelanggan kita, kita pasti boleh berikan khidmat terbaik kepada mereka.
Sebab itu penting untuk kita kenali, siapa sebenarnya yang akan jadi pelanggan kita.
Baca juga: Kenali profil pelanggan kedai runcit anda
Apa yang anda sanggup buat untuk atasi masalah kekurangan jualan itu?
Soalan ini, memang perlu dan terpaksa ditanya. Jujur pada diri sendiri, adakah anda sanggup untuk buat sesuatu yang berbeza sebagai tambahan bagi menangani masalah kekurangan jualan ini?
Buatlah sesuatu. Buatlah apa sahaja. Sanggup ke? Hanya mereka yang sanggup bertindak sahaja yang akan dapat memperbaiki kedudukan kewangan mereka. Saya disini hanya mampu berikan beberapa idea sahaja, namun untuk pelaksanaan, terpulang kepada anda.
Beberapa idea untuk menampung masalah kurang jualan di kedai runcit
(1) Jalankan perniagaan gaya usahawan tradingĀ
Usahawan trading ni kebanyakkannya tidak mempunyai premis perniagaan sendiri. Mereka akan pergi dari satu kedai runcit ke satu kedai runcit yang lain dan tawarkan produk mereka untuk dijual. Contohnya, dia ada produk pisau cukur.
Apa yang dia akan buat ialah, dia cari seberapa banyak kedai runcit yang boleh dan mereka akan letak barang di semua kedai runcit ni. Jika dapat lima buah kedai, maka dia akan niagakan produk miliknya di lima lokasi yang berbeza.
Cukup masa, bila produk dah habis, dia akan datang semula dan minta bayaran. Itu cara usahawan trading.
(2) Jual produk kita di pasar malam
Semasa artikel ni saya tulis, saya baru sahaja habis baca buku berjudul Buat Duit Dengan Pasar Malam yang ditulis oleh Johar Seman. Boleh klik sini untuk muat turun versi ebook.
Idea dia simple sangat.
Cuba kenalpasti di mana kawasan pasar malam dan dapatkan kebenaran untuk meniaga disitu. Sewa tapak untuk berniaga di pasar malam tidaklah begitu mahal berbanding kos sewa kedai.
Untuk tahu berapa kos, perlu berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau pihak yang mengawalselia aktiviti perniagaan pasar malam dikawasan pilihan.
Mana-mana barangan yang tak dapat dijual di kedai runcit, boleh bawa ke tapak pasar malam untuk diniagakan. Salah satu idea barangan yang boleh dan sesuai untuk diniagakan ialah barangan seperti makanan ringan, gula-gula, mainan kanak-kanak dan sebagainya. Biasanya barang-barang ini memang ada jual di kedai runcit.
(3) Jangan tunggu keadaan mendesak, pertimbangkan untuk jalankan juga bisnes lain yang tak mengganggu bisnes utama
Masa saya down dengan bisnes kedai runcit saya (sebab sales yang kurang) masa itulah saya join bisnes network marketing. Waktu tak ada pelanggan, saya curi-curi masa untuk buat marketing.
Kerja-kerja marketing saya lakukan secara online sahaja.
(4) Buat bisnes secara online
Ada masa-masa tertentu, kedai saya memang langsung tak ada pelanggan. Biasanya waktu dari jam 3 petang sampai 4.30 petang. Mungkin sebab waktu-waktu macam ni, budak-budak belum balik dari sekolah, yang bekerja pun belum balik rumah dan macam-macam lagi sebab.
Waktu macam ni, saya gunakan untuk buat kerja-kerja pemasaran secara online. Ya, saya ada income dari kerja-kerja pemasaran secara online. Jadi, daripada duduk saja-saja, lebih baik saya cari pelanggan yang sudi dapatkan produk-produk yang saya jual ataupun dapatkan perkhidmatan yang saya tawarkan. Salah satunya adalah servis penulisan artikel advertorial.
(5) Jadi lebih kreatif semasa menjual
Oleh sebab kreativiti ni adalah sesuatu yang subjektif, jadi saya tak dapat nak terangkan dengan panjang lebar beserta dengan contohnya sekali. Cara yang saya lakukan mungkin tak sesuai untuk dikongsikan secara public. Lagipun setiap bisnes mesti ada perkara yang akan disimpan sikit, betul tak?
Tetapi, saya akan tinggalkan dengan soalan yang jika anda dapat jawapannya, kiranya anda telah melalui proses yang kreatif la tu.
“Sekiranya anda tidak berjaya jual kepada penduduk sekitar, cuba fikirkan satu cara bagaimana anda dapat jual kepada mereka yang tinggal dikawasan yang jauh dari anda?”
Jawapannya memang ada. Barang kedai runcit saya pernah travel jauh beberapa puluh KM sampai ke Tanjung Karang, Sungai Besar, ada yang sampai ke Perak pun ada.
Rasa macam susah nak bayangkan, bagaimana barangan kedai runcit anda boleh dijual kepada pelanggan yang berada di lokasi yang jauh dari anda? Saya kongsikan caranya.
Ini adalah salah satu penjual (seller) yang terdapat di platform Shopee.
Ya, dia juga menjual barangan runcit.
Pada waktu screenshot ini diambil, peniaga ini telahpun menjual 239 item.
Mungkin anda juga boleh contohi seller tersebut dan mula menyenaraikan barangan jualan anda di platform jualan online. Terpulanglah pada anda, sama ada nak gunakan platform seperti Shopee, Lazada ataupun PG Mall.
(6) Akui kita ada kelemahan dan tambahkan ilmu bisnes
Benda ni memang kita kena buat setiap hari. Setiap hari, wajib topup ilmu, lebih-lebih lagi ilmu berniaga. Tak kisahlah macam mana cara nak tambah ilmu tu, sama ada beli buku ke, pinjam buku kat perpustakaan ataupun baca blog usahawan lain, asalkan dapat tambah ilmu.
Mungkin dengan cara ini, dengan izin Allah, kita akan nampak dimana kekurangan dan kelemahan kita. Mana yang dapat diperbaiki tu, kita cubalah yang terbaik.
Tolonglah jangan bagi alasan anda tak ada masa.
Kalau anda kata bisnes anda ni sales dia kurang, pelanggan tak datang untuk berbelanja, maknanya apa?
Bukankah ini bermaksud sepanjang hari masa anda dihabiskan untuk menunggu sahaja.
Saya rasa lebih baik anda gunakan kesempatan yang ada itu untuk tambah ilmu. Sambil menunggu pelanggan, sambil anda membaca.
Kalau anda tak tahu, buku apa yang sesuai untuk dibaca, saya boleh cadangkan anda baca buku berjudul the psychology of selling versi bahasa Melayu. Buku ini berkisarkan tentang teknik-teknik yang anda boleh lakukan bagi tujuan mendapatkan jualan.
Asalkan anda berada dalam bidang jualan, buku ini bagus untuk anda baca.
Buatlah perubahan pada mana-mana bahagian yang sesuai. Bisnes ni biasalah. Setahun pertama memang azab. Masuk tahun kedua kita mula dapat rentak. Tahun ketiga makin menguji kesabaran kita. Tahun keempat dan seterusnya, boleh dikira berapa banyak bisnes yang masih bertahan.
Itu perkara biasa. Orang kata, itu lumrah dalam perniagaan. Bukan semua orang mampu untuk konsisten buat bisnes yang sama, lebih-lebih lagi jika bisnes tersebut kurang menguntungkan. Selagi dapat bertahan, cubalah bertahan.
Disamping itu, semak semula apa business plan kita. Dari semasa ke semasa memang perlu untuk kita review balik plan perniagaan kita. Adjust mana-mana yang perlu sampailah kita jumpa formula perniagaan yang sesuai untuk kita.
Akhir kata, saya mungkin tak dapat selesaikan masalah si penanya, tapi saya harap saya dapat beri beberapa idea yang boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang sedang dijalankan tu. Wallahua’lam.
Kalau perlukan tips pemasaran, boleh baca artikel-artikel terdahulu blog ini. Carilah mana-mana artikel yang sesuai di bahagian arkib blog ni.
siti hazreen says
kalau pergi kedai runcit, saya pertimbangkan parking kereta. bior kedai mahal sikit takpe, asalkan senang parking hehe
sabree hussin says
Barang kedai runcit biasanya memang tinggi sikit. Harga pun harga runcit. Betul tu, bila senang dapat parking, senang nak berhenti, senang nak beli barang dan senang jugak nak pergi.
rahimah majid says
Maybe dia boleh ambil order dari rumah ke rumah. Kalau nak guna online kena tengok kawasan maayarakat di situ celik IT atau tidak.Ambik order cara cash la sebab kalau hutang nanti ada risiko buyer lambat atau tak bayar langsung.Kalau celik IT then bayar secara online je he he.
sabree hussin says
Ya boleh juga buat macam ni. Namun kena lihat pada kesesuaian dan kesediaan masyarakat setempat juga š
zik says
biasa kedai runcit nih jualannya bawak 500k.. maknanya tak dikenakan gst..
sabree hussin says
Ya, bisnes kedai runcit tak kenakan dan tak kutip GST pada pelanggan. Tapi, banyak juga barang stok yang dibeli perlu dibayar siap dengan GST.
raisyah says
asmkm tuan..ditempat tinggal saya ada 2 buah kedai runcit cina yg cukup pelbagai barangnya. ada 2 kampung melayu meliputi 50 buah rumah melayu..dan 2 buah taman orang cina. pelanggan dikedai runcit itu 90% kebanyakkn bangsa melayu. jadi andai kata bangsa melayu buka kedai runcit disitu..adakah pelanggan dari kedai runcit cina akan beralih membeli dikedai melayu?adakah potensi untung disitu? dan apakah potensi dan kemungkinan masalah kedai runcit baru dibuka sebelah dengan kedai runcit cina?
terima kasih tuan ats semua perkongsian maklumat ini. saya lebih suka bangsa kita kayakan bangsa kita.
mazwady akmal says
saya mungkin ada beberapa pertanyaan kepada encik sabreehussin
tengteang keperluan yang perlu ada di kedai runcit boleh encik bagi beberapa keperluan tersebut untuk menarik pelanggan