Bagaimana menjalankan perusahaan Penternakan Kambing yang berjaya?

by sabree hussin on October 30, 2016

in Idea Bisnes

Jika anda mempunyai sebidang tanah yang luas, namun ianya kurang subur untuk tujuan aktiviti pertanian, anda mungkin patut pertimbangkan untuk jalankan projek penternakan kambing di atas tanah tersebut.

 

Of course, selain menjalankan aktiviti penternakan, anda masih ada opsyen untuk lakukan projek lain, misalnya penternakan ikan, pembinaan rumah untuk dijadikan rumah sewa dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sekiranya anda ada terfikir untuk menjalankan perusahaan penternakan, maka mungkin beberapa tips dan idea yang saya kongsikan dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.

 

Bidang penternakan di Malaysia, secara umumnya dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu ruminan dan juga bukan ruminan. Contoh penternakan ruminan adalah seperti lembu, kambing, kerbau, biri-biri dan sebagainya. Manakala bagi bukan ruminan pula, contohnya adalah poltri dan juga khinzir.

 

(1) Matlamat bidang penternakan kambing

panduan-penternakan-kambing

Dalam perkongsian pada kali ini, saya cuma akan fokuskan kepada bidang penternakan kambing sahaja dan bukannya penternakan ruminan yang lain-lain.

 

Sebelum memulakan apa-apa usaha, sudah tentu kita kena ada matlamat yang jelas. Apa sebenarnya tujuan UTAMA kenapa kita menjalankan dan terlibat dalam bidang penternakan kambing ini.

 

Lazimnya, kambing diternak bagi mendapatkan hasil daging, susu ataupun kedua-duanya sekali. Untuk mendapatkan hasil yang paling optimum, ataupun yang terbaik, anda perlu tahu apa matlamat utama anda menjalankan kegiatan penternakan ini.

 

Kalau kambing itu diternak khusus untuk dapatkan susunya, anda perlu jaga kambing tersebut dengan kaedah yang berbeza berbanding kambing yang anda mahukan hasil dagingnya. Kambing yang diternak untuk tujuan mendapatkan hasil daging, akan dipastikan gemuk dan mempunyai banyak daging. Lagi satu, cara beri makan juga sedikit berbeza.

 

(2) Kaedah penternakan dijalankan

Dalam topik kaedah penternakan ini, saya merujuk kepada bagaimana cara anda membela kambing-kambing tersebut.

(i) Adakah anda akan biarkan kambing-kambing anda bebas untuk meragut rumput ke sana sini?

(ii) Adakah anda akan kurung kambing-kambing anda dalam kandang khas setiap masa? atau

(iii) Anda akan kurung apabila perlu, dan akan bawa keluar untuk meragut rumput disiang hari.

 

Kaedah (i) iaitu kambing dibiarkan bebas untuk ke sana ke mari juga dikenali sebagai kaedah penternakan extensif. Kambing dibiarkan bebas untuk ke sana dan ke mari untuk mencari makanan sendiri. Kaedah ini lebih murah kerana kambing akan mencari makanan sendiri.

 

Walaubagaimanapun, kaedah penternakan extensif ini agak berisiko, seperti kambing akan terdedah kepada kemalangan, dicuri, diserang penyakit, dan kehilangan.

 

Sebagai alternatif, jika anda ingin menjimatkan kos makanan bagi kambing, anda mungkin boleh gunakan kaedah yang ke (iii) iaitu kambing diternak di dalam kandang, namun sekali sekala kambing-kambing akan dibawa keluar untuk meragut makanannya sendiri. Kaedah ini dikenali juga sebagai separa intensif.

 

Jika cuaca kurang elok, kambing-kambing tersebut akan diberi makan di kandang sahaja. Namun, jika cuaca baik, anda boleh bawa keluar kambing-kambing tersebut untuk meragut rumput. Cara ini kurang risiko berbanding kaedah extensif tadi.

 

Selain kaedah extensif dan separa intensif, masih ada satu lagi kaedah iaitu kambing diternak dalam kandang kambing setiap masa. Kaedah ini dipanggil kaedah intensif. Semua aktiviti kambing akan berlaku dalam kandang sahaja. Ini bermakna, anda yang perlu sediakan makanan untuk kambing, rumput, air minuman dan sebagainya.

 

Kandang kambing akan dibina supaya mempunyai ruangan tertentu, seperti ruang untuk makan, ruang untuk jalankan rawatan, ruang untuk kuarantin, ruang untuk kambing mengawan serta ruang untuk kambing yang masih lagi menyusukan anaknya.

 

(3) Pemilihan baka kambing

jamnapari_etawa

“Ok… sekarang ni saya memang minat untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan kambing, tapi boleh saya tahu, apa baka kambing yang patut saya ternak?”

 

Memang tak dinafikan, terdapat pelbagai jenis-jenis baka kambing yang terdapat di pasaran ketika ini. Untuk orang yang baru bermula, mungkin anda akan rasa keliru, nak mula menternak kambing jenis apa? Antara baka kambing yang popular adalah seperti Boer, Jamnapari, kambing katjang atau kacang, kambing kacukan, anglo nubien dan macam-macam lagi jenis baka.

 

Sebab itu saya mulakan artikel ini dengan persoalanapa sebenarnya matlamat anda menjalankan penternakan kambing?. Apabila anda dah jelas dengan matlamat, sepatutnya bahagian pemilihan baka jenis apa ini tidaklah sukar sangat.

 

Kambing dari baka jamnapari sesuai untuk mereka yang mahukan hasil daging dan juga susunya. Manakala jika matlamat anda adalah untuk dapatkan hasil daging, kambing jenis Boer adalah salah satu pilihan yang baik.

 

Pemilihan baka ini juga bergantung kepada bajet anda. Ada baka kambing yang lebih mahal berbanding baka yang lain. Cara penjagaannya juga mungkin sedikit berbeza.

 

Sebagai contoh, kambing baka katjang atau kacang adalah baka yang tahan lasak. Ia boleh hidup sihat walaupun diternak secara extensif. Walaubagaimanapun, baka jenis lain mungkin tidak selasak baka katjang.

 

Untuk mengelakkan anda melakukan kesilapan diperingkat awal ini, saya juga ingin mengesyorkan untuk anda banyakkan bergaul dengan penternak kambing lain. Antaranya yang saya kenal ialah Saudara Farid Sulaiman, yang mana beliau adalah penternak kambing dari baka Jamnapari.

 

(4) Makanan untuk kambing

“Kambing suka makan apa?”

 

Pengambilan makanan kambing dipengaruhi oleh jenis dan mutu makanan serta selera makan. Macam biasa dengar kan? Rasanya kita manusia juga tak jauh beza. Kalau mutu makanan tu bagus, kita boleh makan dengan begitu berselera sekali berbanding jika makanan tersebut kurang dari segi mutunya.

 

Secara umumnya, kambing suka makan rumput. Ada pelbagai jenis rumput yang disukai oleh kambing. Sebahagiannya boleh dipotong untuk diberi makan kepada kambing di kandang.

 

Senaraian berikut saya perolehi dari buku berjudul Penternakan Boer Untuk Usahawan yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

 

Rumput

Rumput kerbau (Paspalum conjugatum), rumput pahit (Ottochloa nodosa) dan rumput parit (Axonopus compressus). Ketiga-tiga jenis rumput ini mudah didapati di tepi jalan, parit dan sungai.

 

Paku pakis

Umumnya kambing kurang menggemari paku pakis. Tiga spesies yang kerap dimakan ialah resam (Gleichnenia linearis), ribu-ribu (Lygodium flexuosum) dan paku larat (Nephrolepis biserrata) yang biasa terdapat di bawah tanaman kelapa sawit dan getah.

 

Daun lebar/tanaman renek

Banyak jenis tanaman berdaun lebar/tanaman renek digemari kambing seperti ceroma/selaput tunggal (Mikania cordata), rumput Israel (Assystasia coromandeliana), petai belalang (Leucaena leucocephala), ubi kayu (Manihot utilissima) dan kangkung pasir (Merremia mammosa).

 

Kambing tidak menggemari rumput setawar (Borreria latifolia), senduduk (Melastoma malabathricum) dan pokok kapal terbang (Eupatorium odoratum).

 

Biasanya kambing tidak gemar daun yang berduri seperti bayam duri (Amaranthus spinosus), berbulu seperti akar kala (Clidemia hirta) berduri atau berbau busuk seperti bunga tahi ayam (Lantana camara).

 

Daun pokok tinggi

Antara daun pokok tinggi yang paling digemari kambing ialah nangka (Artocarpus heterophyllus), kenidai (Bridelia monoica), tembusu (Fagraea fragrans) , sisik puyu (Carallia sp.) dan leban (Vitex pubescens)

 

Rumput pastura dan kekacang terpilih

Pelbagai jenis rumput pastura dan kekacang sesuai ditanam dalam persekitaran tempatan. Tanaman ini bermutu tinggi dan memberi hasil pengeluaran bahan kering yang lebih baik daripada rumput tempatan. Antaranya rumput kuda (Panicum maximum), rumput gajah (Pennisetum purpureum), Mardi digit (Digitaria setivalva) dan setaria (Setaria sphacelata).

 

(5) Pembinaan kandang kambing

Kandang kambing memainkan peranan yang penting sepanjang perusahaan penternakan dijalankan. Kandang kambing memudahkan pengurusan, pengawasan dan pengawalan kambing.

 

Kandang kambing dapat dijadikan tempat untuk makan, minum, rawatan, rehat dan tidur dalam sistem pengurusan intensif dan separa intensif. Selain itu, disini juga tempat untuk mengawan dan melahirkan anak untuk kambing. Dengan adanya kandang juga, risiko untuk berlaku kemalangan, kecurian, kehilangan mahupun serangan dari haiwan pemangsa dapat dikurangkan.

 

Kadang kambing mesti dibina memanjang mengikut arah utara-selatan supaya mendapat cahaya matahari yang optimum pada sebelah pagi dan petang, terutamanya bagi kawasan di bawah lantai kandang.

 

Lantai kandang mestilah di simen supaya mudah untuk membersihkan najis yang terkumpul dibawah kandang.

 

(6) Penyakit yang dialami oleh kambing

Pada umumnya, penyakit yang dialami oleh kambing adalah berpunca daripada perkara-perkara seperti

  • Kesilapan pengurusan (Kambing kekurangan nutrien kerana tidak diberi makanan yang secukupnya)
  • Kesilapan dalam proses pembiakan (Kambing dikacukkan dengan ahli keluarga menyebabkan kadar pertumbuhan terbantut)
  • Serangan mikroorganisma-bakteria dan lain-lain (Najis dalam kandang yang tidak dibersihkan mengandungi kuman pembawa penyakit)

 

Penyakit-penyakit kambing yang lazim

Berikut adalah jenis-jenis penyakit yang lazim dialami oleh kambing, antaranya

  1. Endoparasit (Cacing)
  2. Ektoparasit (kutu/hama)
  3. Radang paru-paru (pneumonia)
  4. Cirit-birit (diarrhoea)
  5. Puru (contagious ecthyma)
  6. Mata merah jambu (pink eye)
  7. Kaki busuk (foot rot)
  8. Limfadenitis kaseus (CLA)
  9. Kembung
  10. Meliodosis
  11. Radang tetek (mastitis)

 

Setiap penyakit yang dialami kambing juga mempunyai cara rawatannya tersendiri. Saya tak akan ulas disini, dan jika anda sedang mencari bacaan tambahan yang menyentuh tentang cara rawatan bagi penyakit yang dialami kambing, boleh baca disini.

 

(7) Pengembangbiakkan kambing

Kambing mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat anak kembar setiap kali melahirkan anak. Sama ada anak kembar dua atau kembar tiga.

 

(8) Pendapatan sampingan daripada menternak kambing

Selain daging dan susu, kulit kambing dan juga najis kambing juga mempunyai nilainya. Najis kambing boleh diproses untuk menjadi baja organik. Baja organik ini boleh dijual untuk tujuan pertanian.

 

(9) Permintaan dan pasaran untuk kambing

Bidang penternakan dapat menyumbangkan kepada pertambahan bekalan makanan kepada negara tanpa perlu terlalu bergantung kepada hasil import dari negara lain. Jika di negara kita sendiri, terdapat bekalan yang mencukupi untuk daging kambing, boleh jadi kita dah tak perlu lagi import daging kambing atau biri-biri dari negara luar.

 

Daging kambing memang unik jika dibandingkan dengan lain-lain jenis daging. Jika kita lihat situasinya di Malaysia, yang terdiri dari pelbagai etnik dan pelbagai kepercayaan, daging kambing boleh dimakan oleh semua orang. Berbeza dengan kambing lembu, bagi sesetengah kepercayaan di Malaysia, mereka tidak dibolehkan untuk makan daging lembu.

 

Sebenarnya kalau diikutkan ada banyak lagi yang boleh diceritakan mengenai topik penternakan kambing ini. Tetapi, saya tak akan dapat cerita semua sekali dalam satu blog post.

 

Tengoklah… kalau rajin mungkin saya akan cerita lagi di lain masa. Apa pun, sebenarnya ada beberapa sumber yang anda boleh rujuk jika anda berminat dengan bidang penternakan ini. Salah satunya ialah Panduan Penternakan Kambing ini.

bidang-penternakan-kambing

Selain itu, saya juga perasan dari masa ke masa, ada juga agensi kerajaan, syarikat swasta dan juga orang perseorangan yang menganjurkan kursus dan bengkel yang mengajar cara-cara untuk menternak kambing.

 

Wallahua’lam

 

 

Be Sociable, Share!

{ 14 comments… read them below or add one }

epermohonan November 1, 2016 at 10:43 am

Terima kasih admin… Info yanh sangat berguna buat penternak kambing

Reply

hafidz November 1, 2016 at 2:43 pm

Makanan untuk kambing harus pilah pilih juga ya gan?? baru tahu saya, nice info gan…

Reply

sabree hussin November 2, 2016 at 2:14 pm

Betul tu, makanan untuk kambing kena pilih yang sesuai. Kalau salah bagi makan, kambing mungkin akan sakit ataupun kambing tak akan makan. Nanti kurus pulak kambing-kambing tu.

Reply

Pengedar Shaklee Melaka November 1, 2016 at 5:48 pm

Ramai juga yang dah berjaya menternak kambing ni cuma kena ada ilmu.. tq atas info ini

Reply

sabree hussin November 2, 2016 at 2:12 pm

Yang berjaya memang ramai. Yang tak berapa berjaya pun ramai. Yang menternak kambing untuk tujuan suka-suka pun ramai. Senang cerita, macam-macam la ragam orang kita ni.

Reply

anuar November 2, 2016 at 8:03 am

Alhamdulliah..
Bisnes macam ni kalau betul-betul komited memang masyuk..
Sama juga macam bisnes ternak lembu.. ada seorang usahawan lembu dekat tempat saya, semasa raya haji baru ni jer dapat untung bersih RM15 ribu..

Reply

Abdul Nashar Bin Aminuddin November 2, 2016 at 8:50 am

Bisnes kambing memang terbaik jika diusahakan secara komersial

Reply

Perawat Sihir November 3, 2016 at 9:55 pm

Assalamualaikum tuan,

Saya pernh bersembang dengan seorang penternak kambing. Dia mengatakan, dulu ketika dia menternak kambing dengan cara kurung dalam kandang dan beri makan, kambingnya kurang membiak dan kerap sakit.

Tetapi, apabila digunakan kaedah melepaskan kambing untuk mereka cari makan sendiri, dia mengatakan kambingnya lebih sihat, gemuk-gemuk dan cepat membiak.

Dia mengatakan juga bahawa inilah kaedah yang betul, sebab kaedah itu dinamakan mengembala, seperti yang dilakukan oleh Nabi. Apa pandangan tuan?

Reply

zool November 7, 2016 at 11:03 pm

nak pencen nanti memang nak cuba bela kambing..
best juga bila tgk kawan ada buat fulltime..

Reply

sabree hussin November 8, 2016 at 2:23 pm

Terbaik tuan! Saya pun ada plan yang sama. Sama ada nak ceburkan diri dalam bidang penternakan ataupun pertanian. Memandangkan buat masa ini, masih lama lagi untuk capai umur pencen tu, jadi saya gunakan masa yang ada untuk dapatkan seberapa banyak informasi dan ilmu tentang kedua-dua jenis bidang ni ๐Ÿ˜€

Reply

Berkah November 9, 2016 at 9:32 pm

besar bngt yaaa kambing nya

Reply

sabree hussin November 10, 2016 at 2:19 pm

Kalau pandai jaga, Kambing akan gemuk-gemuk ๐Ÿ˜€

Reply

Noriza Rahman November 11, 2016 at 1:26 pm

Adik saya pun pernah menjalankan penternakan kambing boer dahulu, namun hanya separuh jalan. Banyak perkara perlu dipelajari dari pemilihan kambing, penjagaan dan juga kursus pengendalian

Reply

sabree hussin November 11, 2016 at 4:01 pm

Betul tu, memang banyak nak kena tahu pasal penternakan kambing ni.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: