Jika anda mempunyai sebidang tanah yang luas, namun ianya kurang subur untuk tujuan aktiviti pertanian, anda mungkin patut pertimbangkan untuk jalankan projek penternakan kambing di atas tanah tersebut.
Of course, selain menjalankan aktiviti penternakan, anda masih ada opsyen untuk lakukan projek lain, misalnya penternakan ikan, pembinaan rumah untuk dijadikan rumah sewa dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sekiranya anda ada terfikir untuk menjalankan perusahaan penternakan, maka mungkin beberapa tips dan idea yang saya kongsikan dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.
Bidang penternakan di Malaysia, secara umumnya dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu ruminan dan juga bukan ruminan. Contoh penternakan ruminan adalah seperti lembu, kambing, kerbau, biri-biri dan sebagainya. Manakala bagi bukan ruminan pula, contohnya adalah poltri dan juga khinzir.
(1) Matlamat bidang penternakan kambing
Dalam perkongsian pada kali ini, saya cuma akan fokuskan kepada bidang penternakan kambing sahaja dan bukannya penternakan ruminan yang lain-lain.
Sebelum memulakan apa-apa usaha, sudah tentu kita kena ada matlamat yang jelas. Apa sebenarnya tujuan UTAMA kenapa kita menjalankan dan terlibat dalam bidang penternakan kambing ini.
Lazimnya, kambing diternak bagi mendapatkan hasil daging, susu ataupun kedua-duanya sekali. Untuk mendapatkan hasil yang paling optimum, ataupun yang terbaik, anda perlu tahu apa matlamat utama anda menjalankan kegiatan penternakan ini.