Bisnes restoran bukanlah satu bisnes yang mudah. Seperti kebanyakkan bisnes yang ada diluar sana, bisnes restoran juga ada risikonya.
Bukan semua orang boleh berjaya dalam bisnes makanan seperti restoran. Satu masa dulu, saya pernah beranggapan, kalau individu yang buka perniagaan restoran adalah orang yang dikenali, mempunyai banyak pengaruh, ada peminat pasti bisnes yang dijalankan akan meraih keuntungan yang banyak.
Tapi ia tak semestinya betul. Ada banyak juga kisah-kisah artis yang saya pernah baca, yang terpaksa tutup bisnes restoran yang mereka jalankan, atas pelbagai faktor. Ini salah satunya.
Berita ini saya petik dari akhbar online Berita Harian. Apa yang dapat saya katakan, tanpa ilmu dan persediaan yang rapi, bisnes restoran yang kita bakal jalankan juga mungkin akan terpaksa kesudahan yang sama.
Elemen risiko yang wujud dalam perniagaan restoran adalah perkara yang perlu diberikan perhatian. Kita kenalpasti apa risiko yang bakal dihadapi dan dari situ kita susun atur strategi untuk meminimakan risiko dan seterusnya menjadikan bisnes kita lebih berjaya.
Tanpa membuang lebih banyak masa, saya senaraikan disini beberapa risiko yang akan anda hadapi apabila menjalankan bisnes restoran.
(1) Keracunan dan kesan allergic pada makanan
Keracunan makanan lazimnya dikaitkan dengan faktor kebersihan dalam penyediaan makanan. Makanan yang tercemar, boleh membuatkan pelanggan anda alami keracunan makanan. Jika ini terjadi, anda mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang sehingga memaksa anda menutup bisnes.
Tentang alergik makanan pula, ia berlaku kepada pelanggan tertentu sahaja. Terutama sekali pelanggan yang mempunyai alergik terhadap jenis makanan tertentu. Mungkin apa yang boleh saya cadangkan ialah, anda nyatakan secara jelas apakah kandungan bahan masakan yang terdapat pada menu tertentu yang mungkin boleh menyebabkan kesan allergi kepada pelanggan tertentu.
(2) Stok bahan mentah yang rosak
Ini dibawah topik pengurusan inventori. Bahan-bahan mentah yang cepat rosak, seperti daging, ayam, ikan perlu disimpan dengan baik. Anda perlu mempunyai peti ais yang sesuai ataupun jika tidak ada peti ais, anda perlu mempunyai sistem tempahan bekalan bahan mentah yang baik dari pembekal anda.
Bahan mentah yang anda order awal perlu dihabiskan terlebih dahulu sebelum menggunakan yang baru. Konsep dia ialah first in first out. Ini bagi memastikan bahan masakan yang digunakan adalah sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan segar, tanpa menyebabkan anda rugi.
(3) Pelanggan tergelincir dan terjatuh
Anda perlu mempunyai staf yang cermat dalam bab-bab pembersihan.
Kalau ada air tertumpah, sup yang tertumpah dan kena pada lantai, perlu cepat-cepat dibersihkan. Jangan tunggu lama, sehingga lantai menjadi licin ataupun melekit. Jika berlaku kemalangan, anda sebagai pemilik restoran akan dipersalahkan.
(4) Tandas yang kotor
Tandas dan bilik air juga adalah sebahagian daripada restoran anda. Jika anda menyediakan tandas untuk para pelanggan, anda perlu pastikan keadaan dalam tandas terjaga dan bersih.
Tandas yang kotor akan memberi gambaran bahawa anda selaku pemilik bisnes tidak begitu menitikberatkan aspek kebersihan dalam perniagaan anda.
(5) Kejadian jenayah pecah masuk dan rompakkan
Hal ini boleh berlaku tanpa anda sangka-sangka. Latih pekerja anda untuk utamakan nyawa berbanding harta benda.
Jika berlaku rompakan, jangan melawan dan serahkan sahaja barang-barang berharga. Walaupun kita tidaklah minta untuk berlaku perkara seperti ini, namun tak salah untuk sentiasa berwaspada. Jangan simpan duit tunai yang banyak dalam satu-satu masa.
(6) Dapur dan peralatan memasak yang kotor
Ya sekali lagi saya sentuh mengenai aspek kebersihan. Saya teringat, sepanjang pembacaan yang saya buat dari pelbagai sumber, banyak juga saya temui kedai makan yang kena boikot dengan pelanggan sebab cuai dari segi kebersihan.
Sekali pelanggan hilang kepercayaan terhadap kebersihan premis perniagaan anda, cukup susah untuk yakinkan kembali pelanggan untuk datang makan ke tempat anda.
(7) Kebakaran dan kerosakkan pada premis
Kalau dah namanya kedai makan, sudah tentu ada dapur dan pekerja anda, terutamanya tukang masak akan terlibat dengan api. Jika tidak berhati-hati, atau boleh jadi sebab terlalu letih, tidak mustahil terjadi kebakaran di premis anda.
Jadi kena pastikan langkah keselamatan telah diambil perhatian yang serius, terutama sekali dibahagian dapur.
(8) Pemilihan lokasi premis perniagaan
Lokasi adalah salah satu faktor yang penting untuk kejayaan bisnes restoran anda. Saya telah beberapa kali melihat kedai makan yang terpaksa ditutup setelah dua atau tiga bulan beroperasi sebab tak ada pelanggan yang datang makan.
Bukannya tempat tersebut langsung tak ada orang yang lalu lalang, tapi mereka yang datang ke kawasan itu tiada yang minat nak makan di kedai tersebut.
Saya kongsikan tips ringkas bagaimana cara nak menentukan sama ada sesuatu lokasi itu strategik atau tidak untuk tujuan dijadikan premis perniagaan.
i. Demografi penduduk
Ini merujuk kepada kajian tentang ciri-ciri perkembangan penduduk (dari segi saiz, kepadatan, taburan, kelahiran, kematian, dan sebagainya) dalam tempoh waktu tertentu. Jika bilangan penduduk cukup ramai, pasti akan ada antara mereka yang berminat dengan menu masakan yang anda jual di restoran anda.
ii. Persaingan dari usahawan lain
Wujudnya restoran lain yang menjual makanan yang sama, boleh jadi satu signal bahawa menu tersebut ada potensi untuk dijual disitu. Namun, jika terlalu banyak pesaing, anda mungkin akan hadapi cabaran yang sukar untuk mendapatkan keyakinan pelanggan untuk membeli dari anda.
Walaupun begitu, saya selalu nampak dalam sesebuah kawasan, ada lebih dari dua atau tiga restoran mamak yang menjual menu yang lebih kurang sama.
iii. Kedai anda mudah dilihat
Jika anda memilih untuk beroperasi dalam sebuah shopping mall, pastikan anda menyewa lot kedai yang mudah dilihat oleh orang yang keluar masuk dalam mall tersebut. Sebenarnya formula mudah dilihat ini juga terpakai termasuk jika anda berniaga ditepi jalan atau kawasan deretan kedai.
iv. Kemudahan asas
Terdapat kemudahan awam seperti tempat parking yang luas untuk pelanggan yang menggunakan kenderaan sendiri. Ataupun tempat yang bakal anda pilih sebagai premis perniagaan itu nanti mudah dikunjungi oleh pelanggan yang menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan sebagainya.
v. Kos berkaitan dengan lokasi
Semua kos yang berkaitan dengan lokasi tersebut perlu diambil kira. Ini termasuklah kos untuk sewa, kos maintenance, bil utiliti, insurans, keselamatan dan lain-lain.
vi. Faktor peribadi
Kita ambil kira juga hal-hal yang berkaitan dengan diri anda. Misalnya apa perasaan anda apabila perlu menghabiskan masa seharian berada di restoran ataupun lokasi tersebut? Adakah seronok atau rasa terseksa? Kemudian dari segi jarak, berapa jauh lokasi kedai yang nak dibuka itu nanti dengan rumah anda.
Saya berpendapat tak salah rasanya kalau anda buat survey atau tanya kepada mereka yang profesional sebelum terus memulakan bisnes disesuatu kawasan. Jika hasil dapatan survey yang anda jalankan nampak positif, barulah buat bisnes tersebut disitu.
Sekiranya anda ingin dapatkan khidmat nasihat profesional berhubung dengan bisnes yang anda jalankan, saya ingin syorkan anda hubungi kenalan saya yang merupakan seorang akauntan bertauliah. Beliau berkhidmat dengan syarikat bernama Real Management Services dan menawarkan khidmat dari segi perakaunan, percukaian, kesetiausahaan dan pengauditan.
Selain itu, jika anda perlukan khidmat nasihat berhubung perjalanan bisnes dan penghasilan rancangan perniagaan juga boleh. Anda boleh hubungi melalui Whatsapp ditalian 011-2720 4420 dan berhubung dengan Pn Diyana. Boleh beritahu yang anda dapat nombor tersebut melalui blog saya ya.
(9) Pekerja yang letih dan tidak fokus
Ada pemilik restoran yang tidak mahu mengambil ramai staf atas alasan staf yang ada mampu untuk buat banyak kerja dalam satu masa.
Konsep dia ialah, staf mampu untuk multitasking.
Setiap staf bertanggungjawab untuk ambil order, siapkan makanan, hidangkan kepada pelanggan dan menjaga kebersihan premis perniagaan.
Tindakan seperti ini memang dapat berjimat namun jika pekerja bekerja dalam keadaan penat dan tidak fokus, ia sebenarnya akan mengundang masalah di kemudian hari.
Misalnya masa untuk menyediakan menu yang di order jadi lagi lambat, tak perasan kehadiran pelanggan yang belum ambil order, jadi cuai dan tersilap menyediakan order dari pelanggan.
(10) Kesilapan dari pekerja
Kesilapan dari pekerja boleh berlaku atas pelbagai sebab.
Tak semestinya sebab pekerja tersebut letih semata-mata. Boleh jadi sebab pekerja tersebut kurang pengalaman, tidak mempunyai latihan kerja yang mencukupi atau mungkin sistem kerja di restoran yang tidak begitu baik.
(11) Pekerja yang tidak jujur
Kita amat risaukan orang luar datang ke premis perniagaan dengan niat jahat dan cuba merompak hasil susah payah kita. Pada masa yang sama, jangan terlupa untuk perketatkan sistem keselamatan dan tutup ruang dan peluang untuk pekerja sendiri mencuri.
Kena pastikan yang pekerja anda faham, bahawa kedai anda mempunyai sistem keselamatan yang canggih dan hampir mustahil untuk terlepas jika ada percubaan mencuri.
Mencuri ini tak semestinya curi duit semata-mata. Ada juga pekerja yang mencuri bahan-bahan masakan, stok makanan, peralatan memasak dan apa-apa sahaja barangan yang ada nilai dalam kedai.
(12) Review negatif dari pelanggan
Review atau feedback tak semestinya 100% betul. Ia sangat dipengaruhi oleh faktor emosi pelanggan yang memberikan review pada masa tersebut.
Jika review yang positif mampu untuk menarik pelanggan baru untuk datang makan di sesebuah restoran yang tak dikenali, review negatif pula boleh membuatkan pelanggan tak berani untuk datang makan walaupun sebelum ini mereka pernah datang ke restoran tersebut.
Layan setiap pelanggan dengan baik sebab kita mungkin tak tahu, tahap pengaruh yang pelanggan tersebut miliki dalam era social media hari ini.
(13) Perubahan citarasa dan selera pelanggan
Manusia ini kalau hari-hari asyik makan benda yang sama, satu hari nanti akan terasa jemu juga. Kalau sesebuah restoran itu menggunakan konsep tertentu, contohnya makanan ala arab, atau makanan cina, makanan ala thai, sampai satu masa pelanggan akan rasa jemu untuk makan.
Pada waktu pelanggan mengubah selera dan makan menu yang berbeza, pada ketika ini ia akan memberi impak kepada perniagaan anda, walaupun mungkin sela masanya hanya sekejap sahaja.
(14) Lebih suka delivery
Sekiranya bisnes restoran anda hanya mengharapkan pelanggan untuk walk in ke kedai baru ada bisnes, maka anda akan terlepas peluang untuk buat bisnes dengan pelanggan yang lebih suka buat delivery.
Kadang-kadang mereka bukan sengaja tak nak datang ke kedai, tapi ada sebab-sebab lain yang menghalang mereka untuk walk in ke kedai. Saya ambil contoh, sibuk dengan kerja, cuaca yang tak berapa mengizinkan, susah nak cari tempat parking ataupun mungkin mereka tak berapa selesa dengan keadaan di restoran anda terutama sekali ketika masa puncak.
(15) Risiko dari perkara yang diluar jangkaan
Risiko seperti ini sebenarnya boleh menjejaskan semua jenis perniagaan.
Misalnya bencana alam, rusuhan, penyebaran penyakit berjangkit dan sebagainya.
Bagaimana pula pendapat anda tentang aspek pengurusan risiko dalam perniagaan jenis restoran? Mungkin ada point yang saya tertinggal. Jika anda ingin kongsi pengalaman urus bisnes restoran, jemputlah kongsikan pengalaman tersebut di bahagian komen ya.
Leave a Reply