10 Cabaran anda perlu hadapi apabila membuka bisnes kedai kek anda sendiri

by sabree hussin on February 10, 2019

in Idea Bisnes

Semua orang pasti pernah melalui satu fasa, dimana dia bercita-cita untuk menjadi bos kepada dirinya sendiri (be your own boss). Untuk jadi bos, sudah tentu kena ada bisnes sendiri terlebih dahulu.

 

Ada pelbagai jenis bisnes yang boleh kita jalankan di Malaysia. Sama ada nak mulakan perniagaan tersebut secara online ataupun nak terus buka kedai fizikal, segalanya terpulang kepada usahawan itu sendiri.

 

Bagi usahawan yang telah menjalankan bisnes bakeri secara online, dan beroperasi hanya dari rumah, mungkin pernah ada timbul keinginan untuk memiliki kedai kek sendiri. Seolah-olah memiliki kedai kek, dapat menambah prestij dan meningkatkan imej perniagaan anda.

bisnes-kek-dari-rumah

Sekiranya imej dan prestij itu dapat membantu melonjakkan bisnes bakeri yang anda jalankan, saya kira itu adalah satu strategi yang bagus. Namun, anda perlu tahu bahawa mempunyai kedai fizikal, bukanlah satu perkara yang mudah.

 

Ada banyak cabaran yang perlu anda hadapi, dan sebahagian dari cabaran tersebut mungkin akan melemahkan anda dan membuatkan anda rasa ingin tutup sahaja kedai kek yang anda usahakan.

 

Posting ini ditulis bukanlah berniat untuk melemahkan semangat anda, atau sekadar untuk mengetengahkan perkara-perkara negatif berkaitan dengan bisnes kedai kek. Namun saya percaya, beberapa poin yang ditulis disini dapat bantu anda lebih bersedia untuk menguruskan bisnes kedai kek anda dimasa akan datang.

 

Tanpa buang lebih banyak masa, mari kita sama-sama lihat apakah dia cabaran yang perlu anda hadapi dalam menjalankan dan menguruskan kedai kek dan bakeri.

 

(1) Anda perlu memiliki perancangan perniagaan (business plan)

Anda membuat keputusan yang besar, jika anda berhasrat untuk membuka kedai bakeri dan pastri anda sendiri. Keputusan ini tak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu disandarkan kepada perancangan yang rapi dan teliti.

 

Bila bercakap tentang membuat perancangan yang rapi, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, anda perlu tahu macam mana cara nak menulis kertas rancangan perniagaan untuk bisnes bakeri yang anda jalankan. Jika sebelum ini anda masih belum pernah ada pengalaman menulis kertas kerja perniagaan, anda boleh rujuk posting saya sebelum ini.

Baca: Langkah demi langkah cara menulis kertas kerja rancangan perniagaan dengan format yang betul

 

Masalah bila anda tidak mempunyai sebarang kertas kerja atau rancangan perniagaan, anda akan dapati orang sekeliling anda dengan secara sukarela akan berikan anda macam-macam idea untuk uruskan perniagaan yang anda jalankan. Bukan itu sahaja, jika anda tak mempunyai perancangan yang betul, akan ada sahaja ejen-ejen yang menawarkan anda peluang untuk membuat pinjaman perniagaan.

kertas-rancangan-perniagaan

Lebih buruk lagi kalau anda terpengaruh dengan idea-idea perniagaan yang mereka lontarkan, sehingga membuatkan anda ambil risiko yang tak perlu. Sedangkan pada waktu itu, anda mungkin belum memerlukan sebarang pembiayaan ataupun bantuan kewangan.

 

(2) Anda perlu mengambil pekerja untuk bantu uruskan perniagaan anda

Kalau anda fikir, anda boleh uruskan kedai bakeri anda seorang diri, anda perlu fikirkan sekali lagi. Apabila anda sudah mempunyai kedai kek anda sendiri, anda perlukan sekurang-kurangnya seorang pekerja untuk bantu anda menjalankan bisnes setiap hari.

 

Tanpa bantuan dari pekerja, anda terpaksa bekerja setiap hari di kedai kek milik anda sendiri. Anda tak boleh bercuti ketika orang lain sedang bercuti. Semua urusan berkaitan perniagaan, dari pengurusan kewangan, pembelian stok, pembuatan kek hinggalah ke khidmat layanan pelanggan, semuanya anda perlu buat sendiri.

 

Jika anda memulakan bisnes kek ini sebab anda minat dengan pembuatan kek, anda mungkin akan ubah pandangan apabila terpaksa memikirkan hal-hal lain yang tak berkaitan dengan pembuatan kek, namun perlu difikirkan bagi memastikan kelangsungan bisnes yang dijalankan.

 

Minat semata-mata masih belum cukup untuk memastikan anda mempunyai sebuah perniagaan kek yang menguntungkan. Pada masa yang sama, anda juga perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu berkaitan dengan bidang pengurusan perniagaan.

 

(3) Bersedia untuk jadi seorang Bos yang bertanggungjawab

Menjadi seorang bos bukannya mudah. Anda bertanggungjawab untuk membuat keputusan-keputusan sukar, yang akan memberi kesan secara langsung dan tak langsung kepada perniagaan yang anda jalankan.

 

Sebagai pekerja, kita cuma perlu buat kerja yang telah diamanahkan kepada kita. Itu sahaja. Bila dah sampai masa, kita akan dibayar gaji.

 

Namun formula yang sama tak terpakai kepada pemilik perniagaan. Dia perlu memikirkan strategi, bagaimana untuk memastikan jualan di kedai kek miliknya cukup tinggi, bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Jika jualan tak mencukupi, sebagai bos anda kena fikir dari mana perlu dapatkan sumber untuk tampung perbelanjaan.

 

Sampai satu tahap, anda mungkin terpaksa berdepan dengan situasi dimana anda perlu buat keputusan sama ada nak teruskan buka kedai kek atau tutup terus.

 

(4) Ada kekuatan untuk kerja lebih masa

Bisnes yang baru dibuka, ibarat seperti bayi yang baru dilahirkan. Ia memerlukan masa dan perhatian anda, agar ia dapat membesar dengan sihat dan tak memberikan sebarang masalah. Peringkat permulaan ini, anda akan banyak habiskan masa dan perhatian anda untuk kedai kek yang baru dibuka.

 

Ketika semua pekerja anda sedang berehat dirumah, anda masih lagi perlu bekerja dan memikirkan tentang masa depan perniagaan anda. Ia bukan satu kerja yang mudah, dan yang pastinya ia memakan masa yang lama.

 

(5) Pastikan rak penuh dengan pelbagai produk bakeri dan kek

Apabila anda buka kedai bakeri anda sendiri, anda perlu pastikan rak-rak yang terdapat dalam kedai anda sentiasa penuh dengan kek dan juga produk pastri. Ini secara tak langsung dapat memberi gambaran bahawa anda menjalankan satu perniagaan yang cukup baik.

kedai-kek-alor-setar

Rak yang penuh dengan produk juga membuatkan pelanggan rasa seronok nak masuk ke kedai anda. Mereka ada banyak pilihan dan boleh mencuba pelbagai jenis produk yang terdapat dikedai anda.

 

(6) Pelanggan mengharap anda jual semua jenis produk bakeri

Pelanggan yang masuk ke premis perniagaan anda, mengharapkan anda menjual semua jenis produk bakeri. Ada kek, ada roti dan mungkin mereka juga mengharapkan anda menjual ais krim dan juga minuman ringan.

 

Salah satu perkara yang anda perlu hadapi apabila membuka kedai kek anda sendiri, adalah memenuhi jangkaan (expectation) bakal pelanggan yang masuk ke premis perniagaan anda. Adakah anda mampu untuk menyediakan semuanya seperti yang bakal pelanggan anda harapkan, atau anda patut pegang pada perancangan perniagaan yang telah anda susun sebelum ini.

 

(7) Jangan silap pilih lokasi

Faktor lokasi adalah elemen penting untuk menjalankan perniagaan kek dan produk bakeri yang berjaya. Kedai kek anda perlu terletak dalam lokasi yang strategik. Ya, saya percaya anda telah dengar tips mengenai perlunya mempunyai lokasi yang strategik, tapi tahukah anda bagaimana kita dapat tentukan sama ada sesuatu lokasi itu strategik atau sebaliknya?

 

Saya kongsikan tips ringkas bagaimana cara nak menentukan sama ada sesuatu lokasi itu strategik atau tidak untuk tujuan dijadikan premis perniagaan.

i. Demografi penduduk

Ini merujuk kepada kajian tentang ciri-ciri perkembangan penduduk (dari segi saiz, kepadatan, taburan, kelahiran, kematian, dan sebagainya) dalam tempoh waktu tertentu. Jika bilangan penduduk cukup ramai, pasti akan ada antara mereka yang memerlukan kek untuk acara dan majlis khas yang sesuai.

 

ii. Persaingan dari usahawan lain

Wujudnya perniagaan lain yang menjual produk yang sama, boleh jadi satu signal bahawa produk tersebut ada potensi untuk dijual disitu. Namun, jika terlalu banyak pesaing, anda mungkin akan hadapi cabaran yang sukar untuk mendapatkan keyakinan pelanggan untuk membeli dari anda.

 

iii. Kedai anda mudah dilihat

Jika anda memilih untuk beroperasi dalam sebuah shopping mall, pastikan anda menyewa kedai yang mudah dilihat oleh orang yang keluar masuk dalam mall tersebut. Sebenarnya formula mudah dilihat ini juga terpakai termasuk jika anda berniaga ditepi jalan atau kawasan deretan kedai.

 

iv. Kemudahan asas

Terdapat kemudahan awam seperti tempat parking yang luas untuk pelanggan yang menggunakan kenderaan sendiri. Ataupun tempat yang bakal anda pilih sebagai premis perniagaan itu nanti mudah dikunjungi oleh pelanggan yang menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan sebagainya.

 

v. Kos berkaitan dengan lokasi

Semua kos yang berkaitan dengan lokasi tersebut perlu diambil kira. Ini termasuklah kos untuk sewa, kos maintenance, bil utiliti, insurans, keselamatan dan lain-lain.

 

vi. Faktor peribadi

Kita ambil kira juga hal-hal yang berkaitan dengan diri anda. Misalnya apa perasaan anda apabila perlu menghabiskan masa seharian berada di kedai ataupun lokasi tersebut? Adakah seronok atau rasa terseksa? Kemudian dari segi jarak, berapa jauh lokasi kedai yang nak dibuka itu nanti dengan rumah anda.

 

(8) Ada pengalaman dalam bidang atau bisnes yang berkaitan

Jika sebelum ini anda pernah bekerja di cafe atau kedai bakeri, ia merupakan satu kelebihan untuk anda. Setidak-tidaknya, sebelum anda menjalankan perniagaan kek dan membuka kedai anda sendiri, anda telahpun mempunyai pengalaman menguruskan atau bekerja di sebuah kedai kek.

cara-memulakan-perniagaan-restoran

Pengalaman bekerja sudah tentu tak sama jika dibandingkan dengan pengalaman jadi pemilik perniagaan. Namun pengalaman yang ada itu tetap berguna dan ia lebih baik daripada langsung tak ada.

 

Pada saat ini, saya berpendapat adalah lebih baik anda dapatkan dulu pengalaman bekerja di kedai kek, sebelum anda terus buka kedai kek anda sendiri. Setelah anda mengetahui selok-belok pengurusan dan perjalanan kedai kek, barulah anda buka kedai anda sendiri.

 

Itupun kalau anda masih minat nak buka kedai. Mungkin, adalah lebih baik anda tetap dengan perancangan untuk berniaga kek dari rumah dan buat promosi secara online sahaja.

bisnes-kek-dari-rumah

 

(9) Dapatkan rakan niaga atau bergerak secara solo

Pada satu tahap, anda akan hadapi pelbagai cabaran untuk mengurus dan meneruskan bisnes kedai kek anda. Pada waktu itu, anda mungkin dapati yang anda berada pada satu tahap dimana anda sudah kehabisan idea dan sudah tidak tahu bagaimana nak kembangkan lagi perniagaan kek yang anda jalankan.

 

Ketika itu, mungkin dengan membawa masuk seseorang sebagai rakan niaga adalah satu keputusan yang baik untuk anda. Namun demikian, keputusan sama ada nak bawa masuk rakan kongsi ataupun tidak, perlu diperhalusi dengan sebaiknya supaya tidak menjadi isu di kemudian hari.

 

(10) Dapatkan bantuan dari pakar dalam bidang masing-masing

Anda mungkin seorang yang pakar dalam bidang pembuatan kek dan lain-lain produk bakeri mahupun pastri.

 

Atau anda mempunyai kepakaran dalam menghias kek. Tapi, kepakaran dalam kedua-dua bidang ini masih belum cukup, untuk membantu anda berjaya dalam bisnes kek ini. Anda masih lagi perlukan bantuan orang lain, yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan perniagaan anda.

 

Untuk memastikan orang ramai tahu mengenai perniagaan yang anda jalankan, anda perlukan bantuan daripada individu yang ada kepakaran dalam bidang pemasaran.

 

Untuk membantu anda dalam menguruskan aspek kewangan, perakaunan dan percukaian, anda memerlukan bantuan dari individu yang ada kepakaran dalam bidang tersebut. Sebaik-baiknya kalau nasihat yang berkaitan dengan kewangan, anda dapatkan bantuan dari seorang akauntan yang bertauliah.

 

Disekeliling kita ini, ada ramai orang yang cukup suka memberi nasihat. Sesetengahnya cepat memberi pandangan, tanpa diminta. Kita kena hati-hati dengan orang macam ni. Walaupun nasihatnya nampak baik, namun ia mungkin tak berapa sesuai dengan kita atau situasi dimana kita berada.

 

Seboleh-bolehnya, cubalah ambil nasihat daripada mereka yang betul-betul ada kepakaran. Bukannya daripada mereka yang seronok bercakap ikut sedap mulut.

 

Sebenarnya, jika anda tak mempunyai kedai kek anda sendiri juga tak ada masalah. Saya ada kenalan yang menjalankan bisnes kek dan produk bakeri hanya dari rumah.

Boleh baca kisahnya: Pengalaman menjalankan bisnes bakeri dari rumah selama 3 tahun

 

Membaca kisah beliau, saya kira kalau buat bisnes bakeri dari rumah juga tak kurang seronoknya. Malahan, pada masa yang sama, boleh pelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan, dan tak terhad kepada menghasilkan kek untuk majlis hari jadi, majlis pertunangan dan perkahwinan sahaja.

tempah-kek-kahwin-murah

Akina Bakery ini dimiliki oleh puan nor akidah (boleh hubungi 013 466 3665). Jika anda ada sebarang urusan, boleh telefon terus atau jika anda lebih selesa berurusan melalui whatsapp juga boleh.

 

Perniagaan Akina Bakery ini boleh menerima tempahan kek disekitar Alor Setar, Pekan Pendang dan Kota Sarang Semut. Jika anda memerlukan kek untuk sebarang majlis, dan inginkan kek jenis homemade bolehlah berhubung dengan Puan Akidah ya.

 

Antara produk kek yang popular yang boleh dihasilkan adalah seperti

(1) Kek coklat moist

(2) Kek red velvet

(3) Kek cheese

(4) Kek pandan

(5) Peralatan berkaitan bakeri seperti oven, chiller, frozen dan mixer

(Penghantaran peralatan/mesin akan dibuat oleh rakanniaga kami sekitar kedah, Selangor dan kuala lumpur).

 

Selain itu, ada juga perkhidmatan seperti berikut yang anda boleh dapatkan dari Akina Bakery

(1) Gubahan Hantaran Perkahwinan

(2) Kelas Hands On Deko Kek

(3) Kelas Hands On Membuat Pizza

(4) Kelas Roti Dan Bun

(5) Kelas Penghasilan Roti Pita kebab dan proses penghasilan kebab

 

Jika ada pembaca atau pelawat blog ini yang berminat untuk dapatkan salah satu daripada perkhidmatan yang disenaraikan disini, boleh terus berhubung dengan Pn Akida ya, untuk aturkan program seterusnya.

 

Apapun, jika anda sudah ada kedai kek anda sendiri, saya doakan semoga perniagaan anda berjalan dengan lancar. Jika ada sebarang teguran atau kesilapan, komen dan sebagainya tentang bisnes kedai kek yang saya kongsikan disini, bolehlah tulis dibahagian komen blog ini ya.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: