Zakat Fitrah dan beberapa isu yang anda perlu tahu

by sabree hussin on June 1, 2018

in Agama

Sudahkah anda membayar zakat fitrah untuk diri anda dan juga tanggungan?

 

Kalau masih belum bayar lagi, saya nak mengingatkan diri pembaca (dan juga saya sendiri) untuk bersegera menunaikan tanggungjawab ini. Sekarang tak susah untuk buat bayaran zakat fitrah.

 

Boleh buat secara dalam talian, dan kalau nak bayar secara offline juga boleh. Terdapat banyak kaunter zakat yang disediakan, seperti di masjid, shopping mall, stesen LRT dan mungkin ada banyak lagi. Saya perasan, dekat bazar ramadhan Desa Tasik pun ada disediakan kaunter bayar zakat.

 

Alhamdulillah, saya dah selesai berzakat.

kadar-bayaran-zakat-kuala-lumpur

Selesai solat Jumaat, saya terus ke kaunter zakat yang disediakan di masjid. Kadar bayaran zakat Fitrah di Kuala Lumpur adalah RM7.00 sahaja.

Satu fitrah sebanyak satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg beras bernilai RM7.00

 

Saya ingin kongsikan sepotong hadis yang saya baca mengenai zakat fitrah. Hadis ini saya baca dari buku berjudul Ringkasan Riyadhus Solihin yang disusun oleh Imam An-Nawawi.

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata

Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah sebanyak satu gantang kurma atau satu gantang gandum, baik bagi hamba sahaya, orang merdeka, lelaki, wanita, anak kecil, mahupun orang dewasa daripada kalangan kaum Muslimin. Baginda juga memerintahkan agar zakat fitrah tersebut ditunaikan sebelum kaum Muslimin mengerjakan solat Aidilfitri.

(Riwayat al-Bukhari no.1432 dan Muslim no. 984)

 

Bilakah waktu yang sesuai untuk mengeluarkan zakat fitrah?

Mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya ramadhan adalah Harus. Ini boleh dilihat menerusi hadis daripada Ibn Umar r.a

 

Walaubagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadhan.

Manakala Abu Hanifah, Imam Laits dan Abu Tsaur pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar 1 Syawal.

 

Bagi memudahkan kita faham tentang waktu yang sesuai untuk berzakat, ulama fikah telah membuat pembahagian waktu seperti berikut, iaitu

HARUS – Sejak awal Ramadhan

WAJIB – Sebelum solat Aidilfitri

MAKRUH – Setelah menunaikan solat Aidilfitri

 

Biasanya sebelum solat sunat Aidilfitri, imam akan lewatkan sedikit bagi memberi peluang dan laluan kepada jemaah yang masih belum bayar zakat untuk selesaikan dulu berzakat.

 

Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari 1 Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan pada waktu itu, ianya dianggap sebagai qada.

 

Isu kelahiran dan kematian serta kaitannya terhadap zakat fitrah

Mungkin ada antara kita, yang baru sahaja menimang cahaya mata pada bulan Ramadhan ini. Ataupun, menerima ahli keluarga baru tepat pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadhan. Perlukah bayar zakat untuk bayi yang baru lahir ini?

 

Ataupun, ada yang kehilangan ahli keluarga. Si mati hidup sepanjang Ramadhan, namun telah meninggal dunia sejurus sebelum masuk Syawal. Bagaimana dengan zakat fitrahnya? Perlukah dibayar?

 

Jawapan bagi kedua-dua situasi ini, saya ambil dari buku Zakat Terapi Kekayaan yang ditulis oleh Hamizul Abdul Hamid.

 

Syarat bagi seseorang Islam itu untuk mengeluarkan zakat fitrah ialah, dia mestilah hidup pada Ramadhan sehingga masuk Syawal. Jika anak tersebut lahir setelah habis Ramadhan, maka tidak wajib zakat fitrah kepadanya. Ini kerana, Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu).

 

Manakala dalam situasi kematian, jika berlaku kematian pada hari terakhir Ramadhan, katakanlah sejurus sebelum masuk waktu Maghrib, maka orang itu hanya hidup pada Ramadhan dan tidak pada Syawal. Maka tidak wajib zakat fitrah keatas dirinya.

 

Zakat fitrah bagi orang miskin

Islam menetapkan jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi dirinya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya, maka wajiblah zakat fitrah keatas dirinya.

 

Namun, bagi orang yang memang betul-betul miskin, yang memang tak mempunyai makanan langsung untuk dirinya, maka individu ini tidak jatuh berdosa jika tidak menunaikan zakat fitrah pada tahun berkenaan. Bahkan, dialah yang lebih utama untuk diberikan zakat fitrah kepadanya.

 

Perbahasan dan perbincangan tentang zakat fitrah dalam kalangan ulama memang sangat luas. Untuk cerita dengan panjang lebar dalam satu blogpost seperti ini memang hampir mustahil. Jadi, saya amat menggalakkan para pembaca sekalian untuk tambahkan lagi pembacaan, jika minat nak tahu lebih mendalam tentang topik zakat ini.

 

Apa yang saya kongsikan dalam ini adalah yang asas sahaja. Apa pun, jangan lupa untuk berzakat ya! Lagi awal lagi bagus. Senang nanti pusat zakat nak agih-agihkan zakat tersebut kepada yang memerlukan.

 

 

Be Sociable, Share!

{ 1 comment… read it below or add one }

ajumohit June 3, 2018 at 9:22 pm

Dah bayar awal-awal ni senang, taklah terlupa bila dah last minute

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: