Kali pertama dipanggil untuk datang ke sesi temuduga boleh jadi satu pengalaman yang cukup mengujakan. Walaupun tak ada sebarang jaminan yang kita pasti akan dapat pekerjaan tersebut, namun apabila diberi peluang untuk hadir ke sesi temuduga, adalah satu kesempatan yang tak seharusnya disia-siakan.
Berjaya atau tidak untuk anda mengharungi sesi temuduga ini semuanya bergantung kepada satu perkara iaitu
Sejauh mana anda benar-benar bersedia!
Tips ini mungkin ada yang berguna untuk anda. Lebih-lebih lagi jika anda masih belum pernah ada pengalaman hadir dalam mana-mana sesi temuduga. Buat persiapan dengan sehabis baik. Anda tidak akan rugi, tak kira sama ada anda berjaya dapatkan pekerjaan tersebut ataupun tidak.
Kalau berjaya, anda akan dapat kerja. Kalau gagal sekalipun, anda akan dapat pengalaman! Anggap sahajalah ini sebagai satu learning experience.
(1) Buat kajian tentang syarikat
Ini benda pertama yang anda patut buat jika anda dipanggil untuk hadir ke sesi temuduga. Baiklah, adakah anda tahu macam mana cara nak buat kajian tentang syarikat tu? Saya nak kongsikan kepada anda beberapa cara.
Cara pertama, buat kajian menerusi laman web syarikat penemuduga
Ini adalah sumber pertama untuk buat kajian. Katakanlah anda dipanggil untuk bekerja dengan syarikat Lazada Malaysia, maka perkara pertama yang anda boleh buat ialah cari laman web syarikat dan baca segala maklumat yang terdapat disitu.
Dari laman web syarikat, kita boleh tahu apa sebenarnya perniagaan yang dijalankan oleh syarikat. Siapa yang menjadi ahli lembaga pengarah, dan banyak lagi perkara.
Cara kedua, buat kajian menerusi carian di laman web Bursa Malaysia
Ini laman web Bursa Malaysia. [http://www.bursamalaysia.com/]
Saya ada tandakan dengan anak panah berwarna biru pada screenshot laman web bursa Malaysia ni. Klik pada bahagian Listed Companies, kemudian pilih nama syarikat dan klik view company profile. Jika syarikat yang anda bakal ditemuduga tersenarai di Bursa Malaysia, anda boleh muat turun profile syarikat dan boleh baca laporan tahunan syarikat.
Saya syorkan anda baca laporan syarikat, supaya anda dapat lihat dengan lebih jelas apa sebenarnya bisnes syarikat. Bisnes yang bagaimana yang paling beri pulangan dan adakah syarikat tersebut buat untung atau rugi. Ada banyak benda yang anda boleh ketahui dengan membaca laporan tahunan syarikat. Tak perlu baca semua, cukup sekadar baca laporan yang terkini.
Cara ketiga, buat carian tentang syarikat menerusi laman web akhbar
Contohnya menerusi laman web kosmo, utusan, berita harian, metro, sinar dan lain-lain lagi. Buat juga carian menerusi laman web akhbar online berbahasa Inggeris seperti NST, The Star dan lain-lain.
Mungkin anda akan terjumpa berita terkini tentang syarikat yang mungkin berguna sebagai pengetahuan tambahan untuk anda.
Cara keempat, buat carian di google
Sumber informasi dari google biasanya datang dari laman web persendirian seperti blog dan mungkin juga dari forum. Ia mungkin tidak mempunyai kredibiliti yang baik, namun ok la kalau sekadar nak buat bacaan tambahan.
Cara kelima, like fanpage syarikat dan follow twitter
Boleh jadi syarikat tempat anda bakal ditemuduga mempunyai fanpage sendiri. Apa lagi follow dan lihat bagaimana ianya beroperasi. Dari situ juga anda mungkin akan dapat beberapa info tentang syarikat yang mungkin akan mempunyai kegunaan kepada anda.
(2) Pakai pakaian yang sesuai untuk temuduga
Pakaian yang sesuai ni macam mana? Baiklah ini adalah perkara yang agak subjektif. Kalau anda baca buku-buku tentang temuduga, anda akan dapati ada beberapa cadangan pakaian yang dikatakan sebagai sesuai. Memandangkan lain pekerjaan memerlukan pakaian yang berbeza.
Namun, langkah selamat ialah berpakaian formal. Lelaki pakai baju kemeja, seluar slack dan bertali leher. Manakala perempuan berbaju kurung bagi yang beragama Islam. Anda boleh contohi pakaian ke pejabat.
Ada juga pendapat seperti jika kita memohon jawatan dalam bidang IT misalnya, sama ada sebagai programmer, designer dan sebagainya, kita perlu berpakaian seperti mana seorang yang bekerja dalam bidang ini. Itu hanya pendapat sahaja. Apa pun, seperti yang saya katakan tadi, kalau nak ambil langkah selamat, lebih baik berpakaian formal.
(3) Datang awal ke tempat temuduga
Nak datang awal ni, bermula dengan persiapan yang kita buat masa dekat rumah lagi. Saya sarankan anda keluar awal. Sebabnya kita tak tau apa yang kita akan lalui sepanjang perjalanan nanti. Mungkin jalan jammed. Mungkin ada eksiden, atau mungkin ada polis tutup jalan dan sebagainya. Ataupun mungkin juga nanti kita susah nak dapat parking. So datang la awal.
Datang awal ni akan bagi kita masa untuk relaks dan bertenang. Boleh ke rest room terlebih dahulu untuk touch up mekap, betulkan pakaian mana-mana yang senget dan sebagainya.
(4) Bawa semua dokumen berkaitan seperti resume (CV- curriculum vitae) dan sijil-sijil
Walaupun anda dah pernah hantar resume, jangan sesekali buat andaian yang pihak penemuduga tu akan ada simpan salinan resume anda. Sebagai persediaan, anda kena bawa yang baru. Print cantik-cantik. Boleh jadi resume anda memang ada pada pihak HR, tetapi pihak penemuduga tu adalah pegawai gantian sahaja.
Situasi ni pernah berlaku pada saya sendiri. Pegawai yang sepatutnya jalankan sesi temuduga terpaksa uruskan hal lain yang lebih penting. Ada kecemasan kalau tak silap. Jadi, saya terpaksa back up dan jadi penemuduga calon yang bakal mohon pekerjaan. Sudah tentu kat tangan saya tak ada sebarang resume calon yang bakal ditemuduga.
Mujurlah calon tersebut ada bawa resume yang baru untuk saya. Senang sikit kerja.
(5) Tonjolkan diri anda sebagai seorang yang berkeyakinan
Walaupun anda sangat gugup, cemas dan takut. Buat-buat macam anda yakin, dan jawab setiap soalan dengan penuh keyakinan. Berlakonlah sedikit.
(6) Tunjuk minat sepanjang sesi temuduga dijalankan
Ini pun satu perkara yang penting untuk anda ambil perhatian. Tunjukkan yang anda memang minat nak dapatkan kerja tersebut. Walaupun sebenarnya ini bukannya pilihan utama anda. Ambik je dulu apa-apa peluang pekerjaan yang datang dulu. Soal minat ke tidak, itu kita boleh letak ke tepi dulu. Yang penting dapatkan dulu kerja tu. Itu lebih baik daripada langsung tak ada kerja nanti.
(7) Tanya soalan yang berkaitan jika diberi peluang
“Baiklah, awak ada sebarang soalan nak tanya pada kami?”
Dari pengalaman saya lalui sendiri proses temuduga, sama ada sebagai calon ataupun sebagai pihak penemuduga, banyak juga syarikat yang akan tutup sesi temuduga dengan soalan seperti ini. Rasionalnya? Mungkin untuk lihat sejauh mana “kebijaksanaan” calon dalam mengutarakan sebarang soalan.
Sebagai calon, selain perlu bijak dalam menjawab soalan, kena nampak bijak juga dalam menanyakan soalan. Kadang-kadang tu, soalan yang ditanya tu bukannya penting sangat, tetapi pihak penemuduga nak lihat bagaimana cara calon tu bertanyakan soalan.
Almaklumlah, bila bekerja dalam syarikat besar, ada ketikanya kita akan berurusan dengan lain-lain jabatan. Setiap jabatan ada bos masing-masing. Kadang-kadang, kita perlu berkomunikasi dengan bos dari jabatan lain untuk menyiapkan tugasan tertentu. Bila berhubung dengan mereka-mereka yang berada pada tahap bos ni, ada protokol yang kita perlu ikut.
Walaupun cuma berhubung melalui emel, kita tetap kena jaga-jaga dengan penggunaan ayat. Tak boleh nak direct sangat dan kena selalu maintain respect. Samalah bila kita diberi peluang untuk bertanya soalan. Tanyakan soalan yang bernas, ringkas dan berkaitan dengan syarikat.
Baiklah, semoga 7 tips ringkas ini bermanfaat untuk anda!
[…] Tips temuduga untuk orang yang belum pernah ada pengalaman […]