Tips menghasilkan konten untuk projek blog anda

by sabree hussin on September 29, 2018

in Blogging

Kali pertama saya menghasilkan blog saya sendiri, adalah sekitar tahun 2009. Pada waktu itu, blog saya yang pertama saya hasilkan menggunakan platform percuma dari blogspot.

 

Saya tidak mempunyai perancangan dan strategi yang spesifik untuk blog tersebut. Saya menulis pun sekadar untuk suka-suka dan untuk mendapatkan feeling, cuba belajar secara praktikal, bagaimana cara nak buat duit dengan blog.

 

Tak lama lepas tu, bila saya mula rasa selesa dengan cara kerja sebagai seorang penulis blog, saya mula memberanikan diri untuk melanggan hosting dan domain saya sendiri. Domain pertama yang saya beli adalah mohdsabree.com

jana-pendapatan-secara-online

Bila dah ada nama domain sendiri, saya pun install wordpress pada hosting. Pada tahun tersebut, saya perlu install secara manual, sebabnya pada waktu itu belum ada lagi perisian softaculous untuk memudahkan proses pemasangan. Tapi pada hari ini, kalau anda nak pasang blog wordpress anda sendiri, guna sahaja perisian softaculous tersebut.

 

Caranya saya ada tunjukkan dalam posting saya yang sebelum ini.

Baca disini: Memasang blog WordPress Self Hosted pada hosting

 

Tahun 2010, masih tak banyak program-program buat duit yang boleh disertai. Saya juga tidak begitu pandai dalam bab-bab buat duit online pada waktu itu. Dari segi pendapatan blog, saya boleh dikatakan telah gagal.

 

Pendapatan yang terhasil hanya cukup makan untuk renew domain dan hosting. Untuk bayar servis internet, perlu gunakan duit lain. Sepatutnya, saya target duit dari internet cukup untuk bayar internet, domain dan hosting serta ada baki untuk saya gunakan sebagai duit belanja.

 

Nampaknya, apa yang saya harapkan tak berlaku.

 

Kemudian satu hari, saya rasakan seperti masa depan saya dalam bidang penulisan blog ini agak gelap. Akhirnya saya biarkan domain pertama yang saya beli tidak diperbaharui.

 

Tak berapa lama lepas tu, saya sedar domain tersebut telah dibeli oleh individu dari negara China.

 

Pada tahun 2016, saya perasan nama domain mohdsabree.com kembali available. Saya agak mungkin nama tersebut tidak menguntungkan, jadi pemilik selepas saya juga buat keputusan untuk tidak renew domain tersebut.

 

Lalu saya beli domain tersebut melalui laman web namecheap dan gunakan ia untuk salah satu blog yang saya bina menggunakan blogspot satu ketika dulu.

 

Panjang pula rasanya intro untuk perkongsian kali ini.

 

Ada sesetengah orang, dia anggap buat blog itu sangat susah. Bila kita kata buat blog, apa yang terlintas difikiran dia adalah cara nak install blog, cara nak tukar theme blog dan sebagainya.

 

Pada saya, semua tu sangat mudah. Untuk orang yang tak biasa buat, ia pasti akan mengambil masa. Tapi tak perlu risau, sebabnya bila kita beli theme, kita akan dibekalkan dengan tutorial yang kita boleh rujuk. Sambil rujuk tutorial sambil kita cuba pasang theme tersebut.

 

Bahagian tersebut sebenarnya tak susah.

 

Ada bahagian lain yang lebih mencabar sebenarnya. Apa bahagian tersebut? Pada saya, bahagian yang mencabar itu ialah menghasilkan konten untuk blog yang kita bina.

 

Pada tahun 2010, saya mula serius menghasilkan konten untuk blog saya. Bermakna, sekarang ini dah hampir 8 tahun (atau mungkin lebih) saya menjadi seorang penulis blog. Walaubagaimanapun, ada beberapa blog saya, yang saya biarkan terbengkalai dan tak perbaharui.

 

Jadi anda mungkin tak akan jumpa blog atau artikel yang saya tulis sebelum tahun 2014.

 

Seperti orang lain, saya juga ada ketikanya agak struggle untuk menghasilkan konten untuk blog-blog saya. Bukan setiap masa saya akan ada banyak idea untuk menulis. Sampai satu tahap, saya juga diserang sindrom writer’s block hinggakan saya rasa agak susah untuk hasilkan artikel baru untuk blog ini.

 

Walaubagaimanapun, blog perlu dikemaskinikan setiap masa. Lebih-lebih lagi untuk orang yang memang menjana pendapatan menggunakan medium blog seperti saya ini.

 

Sekarang ini saya nak kongsikan beberapa kaedah yang anda juga boleh gunakan bagi tujuan menghasilkan konten untuk blog anda.

 

Kaedah pertama: Tulis sendiri konten blog anda

Kalau boleh saya nak semua blog yang saya tulis, atau yang saya bina mempunyai identiti dan jiwa saya. Oleh sebab itu, saya lebih suka tulis sendiri artikel untuk dimuatkan dalam blog saya.

 

Sama ada artikel tersebut bagus atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting, tulis dan terbitkan. Andai kata artikel tersebut tak bagus sekalipun, tak ada masalah. Pada masa akan datang, kita boleh edit semula artikel tersebut bagi menjadikan pengisiannya lebih baik berbanding kali pertama ianya diterbitkan.

 

Artikel yang bagaimana yang kita patut tulis, kalau nak hasilkan artikel sendiri?

Saya syorkan anda tulis artikel berdasarkan kepada

(1) Pengalaman peribadi

Kalau cerita tentang pengalaman, ia tiada istilah betul atau salah. Apa yang anda alami, itulah yang anda kongsikan. Misalnya anda boleh tulis tentang pengalaman anda bercuti atau menginap di mana-mana tempat penginapan.

Contoh: Pengalaman menginap di The Regency Tanjung Tuan Beach Resort Port Dickson 

 

(2) Pendapat anda berhubung sesuatu perkara atau isu

Setiap hari pasti akan ada sahaja isu baru yang diketengahkan. Cuba ikuti perbincangan yang sedang hangat diperkatakan sama ada di media sosial, surat khabar mahupun di kaca televeisyen. Apa pendapat atau pandangan anda berhubung perkara tersebut?

Kalau anda ada blog, tak payah buang masa nak berdebat di media sosial. Sebaliknya anda tulis sahaja dalam bentuk artikel dalam blog anda.

 

(3) Review anda terhadap produk atau servis tertentu

Review ini biasanya berkait rapat dengan produk atau servis. Anda mungkin ada beli produk baru, sama ada barangan elektrik, perkakasan dapur, perabot dan sebagainya. Apa komen anda tentang produk tersebut? Kalau anda puas hati tentang produk tersebut, apa kata anda review produk tu.

Sebelum itu, daftar dalam program affiliate Lazada terlebih dahulu dan masukkan link affiliate dalam artikel review yang anda hasilkan. Jika ada yang jadi pembeli, anda juga akan dapat komisen.

 

(4) Ilmu yang anda pelajari dan ingin dikongsikan

Ilmu yang kita ada, kalau kita tak amalkan, kita mungkin akan lupa ilmu tersebut. Bagaimana kita nak manfaatkan ilmu yang kita miliki, kalau kita tak ada peluang untuk amalkan ilmu tersebut?

Masih ada cara. Jadilah seorang guru. Sampaikan ilmu yang kita ada, melalui blog yang kita miliki. In Shaa Allah, ilmu yang bermanfaat yang kita sebarkan akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti.

 

Cubalah tulis sendiri artikel anda. Mula-mula mungkin kita target untuk hasilkan artikel sekitar 300 patah perkataan. Bila dah mula rasa selesa, tambahkan bilangan perkataan. Satu masa nanti, anda pasti boleh tulis artikel yang mengandungi sehingga 2,000 ke 3,000 patah perkataan tanpa sebarang masalah.

 

Kaedah kedua: Tulis artikel jenis respons kepada artikel penulis lain

Dalam dunia penulisan blog ini, anda pasti akan temui ada banyak lagi blog yang dimiliki oleh penulis blog lain. Pengisian yang dimuatkan dalam blog mereka juga ada pelbagai.

 

Mungkin ada beberapa konten dalam blog penulis lain yang anda kurang setuju. Tak perlu nak berbalah dalam ruangan komen. Jika anda ada pendapat dan idea lain, tulis sahaja dalam blog anda. Setidak-tidaknya dengan cara ini, anda akan dapat satu konten untuk blog anda.

 

Kaedah ketiga: Terbitkan semula artikel orang lain dengan kebenaran

Cara ini lebih mirip kepada kaedah copy and paste, namun kena pastikan bila anda nak buat begitu, anda mendapatkan kebenaran daripada pemilik asal artikel tersebut. Jika anda tidak mendapatkan kebenaran, anda telah dikira melanggar hak cipta pemilik asal artikel tersebut.

 

Macam mana nak dapatkan kebenaran? Alahai… hubungilah pemilik blog tersebut dan minta kebenaran. Jika dapat kebenaran barulah siarkan. Jika tiada kebenaran, jangan siarkan.

 

Kaedah keempat: Terjemah dan edit artikel orang lain

Ini salah satu cara yang biasa saya gunakan. Saya akan cari mana-mana blog yang relevan dengan topik blog saya. Kemudian saya akan terjemahkan kandungan blog tersebut dan tulis semula mengikut gaya penulisan saya sendiri.

 

Tak perlu nak susah payah nak fikir point untuk artikel yang bakal kita tulis. Gunakan cara ini, kita hanya perlu terjemahkan sahaja. Topik yang kita tulis dalam blog milik kita, mungkin dah ada orang lain tulis, cuma dalam bahasa yang berbeza sahaja. Dapatkan idea penulisan dari blog tersebut.

 

Kaedah kelima: Tulis semula artikel berdasarkan buku yang anda baca

Dalam kaedah keempat, kita akan terjemahkan semula artikel yang disiarkan di internet. Mungkin dalam ramai-ramai pengguna internet, akan ada yang perasan artikel yang kita siarkan dalam blog kita rupa-rupanya adalah versi terjemahan dari blog orang lain.

 

Kalau anda bimbang perkara ini terjadi pada anda, saya syorkan anda terjemahkan kandungan yang anda baca dari buku.

buku-perpustakaan

Cubalah cari masa lapang untuk pergi ke perpustakaan berhampiran anda dan pinjam sahaja buku yang berkaitan dengan topik blog anda. Gunakan sumber yang ada di perpustakaan untuk hasilkan konten yang baik untuk blog anda.

 

Lazimnya anda tak dikenakan sebarang bayaran untuk meminjam buku dari perpustakaan. Gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya bagi tujuan menjana pendapatan.

 

Kaedah keenam: Upah orang lain untuk tulis artikel bagi pihak anda

Cara ini sesuai untuk mereka yang ada bajet dan memang tak ada masa untuk luangkan masa untuk menulis dalam blog miliknya. Upah sahaja mana-mana freelancer yang ada kemahiran untuk menulis supaya menulis dalam blog anda.

Baca juga: Buat Duit Dengan Freelance Blogging

 

Ataupun anda cuba kenalpasti, mana-mana penulis blog yang anda rasakan mempunyai bakat dan skil penulisan yang baik, untuk menjadi penulis sambilan di blog anda. Cuba berbincang dengan penulis tersebut mengenai kadar upah yang dipersetujui.

 

Biasanya kadar upah adalah bergantung kepada berapa banyak artikel yang anda mahukan dan juga berapa bilangan patah perkataan yang anda mahukan dalam setiap artikel.

 

Kaedah ketujuh: Beli artikel

Artikel yang saya maksudkan adalah artikel yang dipakejkan. Biasanya artikel seperti ini didatangkan bersamanya dengan lesen, sama ada master resale rights (MRR) atau private label rights (PLR). Saya tak pernah beli artikel, tetapi saya pernah dapat artikel secara percuma sahaja.

 

Secara peribadi saya tak minat guna cara ini sebabnya artikel tersebut mungkin digunakan oleh pembeli lain. Ini menjadikan konten dalam blog kita tidak unik.

 

Kaedah kelapan: Beli blog yang sudah ada artikel

Dalam kaedah ini, kita akan beli blog milik orang lain yang sudah siap dibina atau yang sudah ada konten didalamnya. Blog seperti ini lazimnya sudah mempunyai trafik yang konsisten, sudah boleh menjadi mesin menjana wang secara automatik.

 

Walaupun begitu, suka untuk saya ingatkan membeli blog yang sudah siap, kosnya mungkin agak mahal. Jika anda mempunyai modal yang besar, boleh pertimbangkan untuk beli sahaja blog orang lain.

 

Kelebihan beli blog yang sudah siap, anda sudah boleh jana pendapatan pada hari pertama blog tersebut bertukar hak milik, kepada milik anda.

 

Dengan adanya pelbagai cara untuk menghasilkan konten, saya percaya setiap orang pasti boleh hasilkan pendapatan melalui blog. Apa yang penting, kena ada tindakan ya.

 

Semoga bermanfaat dan semoga anda juga dapat buat duit dengan blog ya.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: