Setiap kali saya terjumpa pertanyaan seperti “ada tak siapa-siapa yang tahu kalau-kalau ada peluang nak bekerja dari rumah“ atau pertanyaan berbunyi “ada sesiapa yang boleh suggest peluang untuk buat bisnes dari rumah“ selalunya saya akan cadangkan si penanya tu tadi untuk buat affiliate marketing.
Setiap orang boleh sertai program affiliate dan boleh buat duit menerusi program ini.
Anda tak perlu jadi blogger untuk buat duit dengan affiliate program. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel-artikel terdahulu, ada macam-macam cara yang kita boleh gunakan untuk hasilkan pendapatan menerusi program affiliate.
Selain guna blog bagi tujuan promosi, anda juga boleh
1. Guna akaun media sosial
Sama ada Facebook, twitter, linkedIn dan sebagainya. Jarang orang sekarang ni tak ada akaun media sosial.
2. Boleh buat video kemudian upload di youtube
Tak ada sebarang bayaran untuk upload video ke Youtube. Cuma perlu ada peralatan yang sesuai dan sedikit keyakinan, untuk hasilkan video.
3. Boleh guna kaedah pemasaran melalui emel
Anda perlu langgan servis sistem autoresponder. Antara yang popular ialah Aweber, Getresponse dan juga Traffic Wave. Lazimnya kos langganan untuk menggunakan sistem autoresponder akan jadi makin mahal dengan pertambahan jumlah emel atau subscriber yang berjaya anda kumpulkan.
4. Boleh guna iklan berbayar
Buat iklan berbayar menerusi Google Adwords, Facebook Ads dan lain-lain. Anda akan dikenakan caj mengikut berapa banyak jumlah klik atau tontonan pada iklan anda.
5. Cari freelancer yang tawarkan khidmat pemasaran dan bayar mereka upah supaya bekerja untuk anda
Ini satu lagi cara yang anda boleh lakukan, iaitu upah orang untuk buat kerja-kerja pemasaran bagi pihak anda. Golongan student, suri rumah, dan orang yang memang kerjanya sebagai freelancer pasti bersedia untuk lakukan kerja promosi bagi pihak anda.
Baik cukup setakat itu dulu.
Apabila saya cadangkan buat bisnes affiliate, terkadang tu ada juga yang tanya, buat affiliate ini tak ada risiko ke? Maklumlah, dia mungkin tak biasa dengan konsep affiliate marketing, jadi bila kita ajak dia untuk join dan buat kerja-kerja pemasaran, dia jadi kurang selesa dan kalau boleh nak tahu semua perkara yang berkaitan dengan bidang ini.
Termasuklah persoalan mengenai risiko buat affiliate marketing.
Ya, affiliate marketing ini juga ada risikonya, dan kalau anda benar-benar minat nak tahu, apa risiko yang berkaitan dengan affiliate marketing bolehlah teruskan pembacaan. Saya senaraikan 10 risiko yang anda perlu tahu kalau nak buat duit dengan affiliate marketing.
1. Bukan semua program affiliate yang anda sertai akan berikan anda wang yang banyak
Kalau ada yang kata, melalui affiliate marketing ini, kita boleh hasilkan komisen sehingga ratusan ribu ringgit, dia betul.
Kalau ada yang kata, satu sen pun susah nak dapat atau tak pernah rasa dari affiliate marketing, itupun betul juga.
Apa yang saya cuba nak sampaikan ialah, bukan semua orang yang join program affiliate, akan berjaya dapat komisen. Ada beberapa sebab kenapa boleh jadi begitu. Antaranya
i. Anda salah pilih produk
ii. Anda salah pilih syarikat
iii. Salah anda sendiri sebab anda langsung tak ada ilmu (dan malas nak belajar pulak tu)
Buat duit dengan program affiliate, tidaklah semudah join sebagai ejen, dapatkan link affiliate (atau kod banner untuk promosi produk) dan kemudian copy paste dekat FB atau laman web anda.
Tidak semudah itu.
Anda perlu buat research (kajian) apakah produk yang betul-betul menepati kemahuan golongan sasaran anda. Kalau anda mempunyai FB Fanpage dan bercadang untuk buat duit dengan menggunakan FB Fanpage tersebut, maka anda perlu tahu apakah produk yang menepati kriteria para followers anda.
Sekiranya fanpage anda adalah tentang kucing, maka sudah tentulah produk yang sesuai untuk dipromosikan di fanpage anda adalah produk berkaitan kucing juga.
Kalaulah buat duit menerusi program affiliate ini semudah join, dapatkan kod iklan untuk banner (atau link affiliate) dan sales terus masuk, saya kira pasti dah ramai yang jadi kaya raya menerusi program affiliate ini. Malahan kalau situasi ini benar, sudah pasti saya akan rekemen anda untuk join program affiliate sebanyak-banyaknya lalu siarkan banyak-banyak iklan.
2. Banyak jumlah views, impressions, dan klik TAPI tiada yang convert kepada jualan!
Ini juga perkara yang biasa berlaku dalam program affiliate.
Kita selaku ejen telah menjalankan kerja pemasaran dengan sehabis baik. Daripada kerja-kerja pemasaran yang kita lakukan, kita boleh semak dibahagian statistik bahawa terdapat banyak jumlah views dan juga klik terhasil pada link affiliate kita.
Namun demikian, timbul persoalan… dimana salesnya? Berpunca daripada kerja pemasaran yang kita jalankan, ada banyak orang yang mula tahu kewujudan produk tersebut.
Tapi satu sales pun tak berjaya dihasilkan. Pada pihak kita sendiri selaku ejen, kita seperti telah melakukan kerja yang sia-sia. Namun berbeza pada pemilik produk, mereka masih dapat manfaat iaitu kita telah lakukan kerja pemasaran bagi pihak mereka secara percuma.
3. Affiliate marketing juga memerlukan kita untuk memiliki skill menjual
Banyak klik dan jumlah view tapi langsung tak ada sales? Jawapannya ada disini. Sebenarnya dalam pemasaran affiliate, anda juga perlu ada kemahiran untuk membuat jualan.
Bermakna, anda juga perlu belajar skil menjual.
Walaupun anda hanya buat affiliate marketing, anda juga perlu tahu cara untuk meletakkan produk yang betul kepada audience yang betul juga. Contohnya macam yang saya sebutkan tadi. Jika anda mempunyai page tentang kucing dan mempunyai jumlah pengikut 5 juta orang, tak bermakna kalau anda promosikan produk berkaitan forex, anda akan dapat banyak sales.
Ya, anda mungkin akan dapat banyak klik, tapi mereka ini belum tentu akan beli, sebab mereka lebih minat perihal tentang kucing, bukannya minat tentang pelaburan.
Saya cadangkan anda hasilkan konten seperti berikut jika anda ingin dapatkan lagi banyak jualan menerusi fanpage ataupun laman blog yang anda hasilkan.
i. Konten jenis review
ii. Konten yang menyenaraikan manfaat sesuatu produk
iii. Konten yang membincangkan kebaikkan dan kelemahan sesuatu perkara
iv. Konten jenis perkongsian pengalaman
4. Risiko tidak dibayar setelah berjaya hasilkan jualan
Orang lama yang pernah join macam-macam program affiliate, mesti pernah ada pengalaman tak dapat bayaran bila buat affiliate marketing.
Kita dah susah payah buat kerja-kerja marketing, dan bila sampai masa untuk kita minta bayaran, pihak yang menganjurkan program affiliate tersebut buat senyap jer. Bila kita hubungi melalui email, whatsapp dan sebagainya, mereka langsung tak balas dan akhirnya laman web jualan mereka juga mula hilang dari radar.
Saya juga pernah ada beberapa pengalaman tak dapat bayaran dari program affiliate.
Pengalaman kali pertama, penganjur tu sendiri minta maaf dan mengaku yang dia ada masalah kewangan. Tapi dia akan cuba bayar secara beransur-ansur mana-mana yang dia masih belum dapat jelaskan. Tapi saya rasa dah lebih 5 tahun berlalu, tak ada pun sebarang usaha dari dia untuk bayar. Jadi saya anggap duit tu dah hilang je la.
Pengalaman kali kedua agak menjengkelkan. Pihak penganjur bukan sahaja tak nak bayar, malahan pada masa yang sama dia menipu. Saya minta bayaran komisen tapi dia menipu dengan mengatakan yang dia dah bayar. Bila saya minta bukti pembayaran dia tetap berdegil dan berkeras dengan jawapan yang dia dah bayar.
Masalahnya, kalau dah bayar mestilah ada rekod. Dalam rekod akaun maybank saya, langsung tak ada transaksi. Akhirnya saya malas nak panjang-panjangkan cerita, sebab saya dah boleh agak dia ni memang tak nak dan tak akan bayar. Tak sangka rupa-rupanya saya dah tolong buat marketing untuk seorang scammer.
Biasanya orang macam ni memang tak akan lama dalam bidang ini. Sekali dia menipu, lepas tu memang dah tak akan berani nak anjurkan lagi program affiliate.
Maka dekat sini, saya perlu ingatkan untuk anda berhati-hati apabila menggunakan kaedah pengiklanan berbayar. Bukan apa, saya cuma bimbang kalau-kalau anda telah habiskan ratusan malahan ribuan ringgit untuk buat iklan, akhirnya bila dah dapat banyak komisen, penganjur jadi gelap mata terus dia tak nak buat bayaran. Dalam situasi ini, kita selaku ejen affiliate yang tanggung semua kerugian.
5. Anda kena banned dari program affiliate dan semua komisen anda tidak dibayar
Bila join program affiliate, anda kena baca terma dan syarat yang telah ditetapkan. Kalau anda melanggar terma dan syarat, seperti melakukan pemasaran mengikut kaedah yang tak dibenarkan oleh pihak penganjur, anda berisiko untuk kena banned dari terus menjadi ejen.
Kalau anda dah kena banned, maknanya semua komisen terkumpul yang anda telah hasilkan akan kena reject dan tak akan dibayar.
6. Komisen yang berjaya anda hasilkan pada satu-satu masa bukanlah jumlah yang confirm
Satu lagi perkara yang saya nak ingatkan ialah, setiap jumlah yang berjaya anda hasilkan, ianya masih belum confirm lagi. Setiap komisen yang terhasil perlu melalui fasa seperti pending, approved atau confirmed dan juga paid. Kalau komisen anda masih lagi berstatus pending, janganlah pandai-pandai nak buat plan yang bukan-bukan.
Misalnya anda mula rancang nak beli jam tangan G-Shock yang baru. Jumlah ini boleh berubah atas beberapa sebab misalnya, pembeli tak jadi beli barang, tempahan dibatalkan, pembeli minta refund, tempahan tersebut berstatus fraud (palsu) ataupun penjual itu sendiri yang cancel tempahan.
7. Struktur komisen boleh diubah pada bila-bila masa mengikut keperluan penganjur
Struktur komisen yang anda perolehi sekarang ini juga boleh berubah pada bila-bila masa. Kalau sebelum ini, anda dapat komisen 70% dari harga produk, pihak penganjur ada hak untuk tukar struktur komisen kepada 50% sahaja.
Saya masih ingat lagi, program affiliate klikjer menawarkan komisen sehingga 70%. Tapi sekarang, struktur komisen diubah kepada 50% sahaja, demi untuk kelangsungan perniagaan yang mereka jalankan.
8. Pendapatan anda boleh terhenti secara tiba-tiba
Program atau syarikat yang menganjurkan program affiliate boleh dihentikan pada bila-bila masa tanpa sebarang notis. Kalau sebelum ini, anda banyak dapat sales hasil daripada jualan produk jam tangan G-Shock misalnya, komisen anda boleh terhenti secara tiba-tiba jika produk tersebut ditamatkan jualannya.
Maka sebagai langkah keselamatan, pastikan anda promosi lebih dari satu produk. Jika produk yang anda promosikan salah satunya ditamatkan jualan, anda masih ada produk lain yang boleh menyumbangkan komisen.
9. Cookies tracker tidak berjaya merekod sebarang komisen
Program affiliate ini menggunakan sistem cookies bagi tujuan merekod jualan dan untuk kenal pasti siapa yang layak untuk dapat komisen. Namun begitu, ada keadaan dimana dalam satu-satu transaksi, sistem ini tidak berjaya untuk merekod sebarang komisen.
Biasanya keadaan ini berlaku kalau pembeli menggunakan dua peranti yang berbeza untuk melakukan transaksi. Contohnya, kali pertama dia melihat iklan produk, dia menggunakan komputer di pejabat. Dia tekan link affiliate dan seterusnya dibawa ke halaman jualan. Dalam situasi ini sistem cookies telah ada rekod link affiliate anda.
Namun dia tak buat pembelian.
Kemudian, bila dia balik rumah dan pada sebelah malam baru dia teringat produk yang dia lihat semasa dipejabat. Disebabkan dia masih ingat laman web produk, maka dia pun terus taip link url laman jualan dibrowser. Kemudian dia terus buat pembelian.
Dalam situasi ini, tiada sebarang rekod affiliate.
10. Berhenti terlalu awal
Ini juga satu lagi punca kenapa gagal dapat komisen dari program affiliate. Bukannya sebab program tu tak laku, atau sebab program tu menipu. Tapi lebih kepada faktor diri sendiri.
Usaha pemasaran masih belum cukup tapi kita dah give up. Sedangkan kalau kita lihat prestasi ejen-ejen lain, mereka boleh hasilkan komisen ribuan ringgit setiap bulan. Kita pula… nak dapatkan walaupun RM50 terasa cukup sengsara.
Selagi masih ada masa, usahalah. In Shaa Allah pasti usaha kita akan membuahkan hasil. Biasanya yang berhenti terlalu awal ini, memang tak ada harapan untuk dapat komisen.
Baiklah, saya rasa ini sahaja dari saya. Saya percaya, selepas membaca artikel ini, anda kini lebih jelas tentang apa dia risiko kalau nak buat duit dengan affiliate. Walaupun begitu, saya percaya risiko yang datang bersama dengan program affiliate ini sebenarnya tidaklah terlalu besar.
Baca juga artikel saya sebelum ini tentang kelebihan membina perniagaan berasaskan konsep affiliate marketing dan juga teknik-teknik buat duit dengan affiliate marketing ya.
Chow says
Maxbounty dan jvzoo terbaik. Kalau nak promote produk affiliate nie memang nak kene ade ilmu. Banyak benda niche yang macam remeh tapi sales ratio tinggi. Awal tahun nie sy ade buat website untuk niche kucing. First month sediakan dalam 5 premium 5000 artikel dan bulan seterusnya, decent article. End of first month ada 1 sales conversion sebab website baru lagi. Then after 3 months decent 20-35 sales conversion monthly. Kira ok la sebab nie targeted untuk medium term. Commision dalam $20 per sales. Artikel sy upah english writer with SEO optimized.
Kalau rajin buat memang ada hasil walau tak banyak. Kalau rajin tapi tak tahu cara pun tak jalan gak.