Rasa TAK PUAS HATI jadi pendorong kepada usaha bekerja sendiri dan berbisnes kecil-kecilan

by sabree hussin on April 25, 2018

in Bekerja dari rumah

Cuba tengok sekeliling anda. Ada tak benda yang buatkan anda rasa tak puas hati?

 

Mungkin keadaan dia begini. Pada satu hari, anda beli burger dari salah sebuah gerai burger yang terletak berhampiran dengan kawasan kediaman anda. Anda perhatikan cara penjual burger tu menggoreng burger yang anda pesan.

 

Dalam hati, anda berbisik sendiri… macam ni je ke skill tukang masak burger ni? Aku rasa aku boleh buat lebih baik dari ini. Anda berkata-kata sendiri dalam hati.

 

Bila sampai di rumah, sewaktu anda nak makan burger tu… anda rasa burger tersebut tak sesedap seperti yang anda bayangkan. Dagingnya overcook. Terlalu garing. Sos tak berapa banyak. Sayur kurang dan roti pun garing… Pendek kata, semuanya serba tak kena.

 

Oleh sebab anda tak puas hati dengan mutu masakan tersebut, maka anda pun belajar macam mana nak buat burger yang sebenar!

burger-bisnes-burger-coleslow-kentang-putar

Burger hasil tangan anda, mestilah lengkap serba serbi. Apa yang penting, bila orang makan, akan rasa puas hati. Kemudian anda teringat penjual burger sebelum ni.

 

Dia masih lagi meneruskan aktiviti jualan macam biasa, walaupun pelanggan tak berapa ramai. Mungkin semua yang pernah beli dengan penjual tu, ada yang rasa menyesal sebab beli burger yang tak berapa sedap. Anda nampak, dekat situ ada peluang, apa kata anda tawarkan burger yang lebih baik daripada yang ada di pasaran.

 

Ini bukan tentang membunuh bisnes orang atau sengaja mewujudkan persaingan, tetapi adalah untuk memberikan khidmat dan mutu produk yang lebih baik berbanding apa yang ada di pasaran. Pengguna patut diberi peluang untuk dapatkan mutu produk yang lebih baik. Secara tak langsung, lepas ni pengguna atau pelanggan akan ada pilihan untuk dapatkan burger yang lebih enak berbanding sedia ada.

 

Itu cerita tentang burger.

 

Bagaimana kalau sesuatu yang lebih dekat dengan diri kita sendiri. Cuba tanyakan pada diri sendiri, pernah tak dalam hidup ini, anda merasakan yang sebenarnya anda layak dan wajar dapat sesuatu yang lebih baik berbanding yang anda dapat sekarang ni, tapi ia seolah-olah dinafikan oleh orang-orang tertentu.

 

Orang-orang tertentu ni boleh jadi orang yang berada disekeliling anda. Mungkin orang atasan, supervisor, manager, bos, rakan sekerja dan sesiapa la.

 

Anda buat kerja dengan sehabis baik, tapi usaha anda itu seolah-olah tak dihargai. Setiap hasil kerja yang anda hasilkan, orang lain yang dapat nama. Nama jabatan anda yang naik. Bila nama jabatan yang naik, maknanya yang hebat adalah ketua jabatan, bukannya anda.

 

Macam-macam benda boleh buat kita rasa tak puas hati

Selagi kita hidup, selagi itu akan ada je benda yang buatkan kita rasa tak puas hati. Akan ada je benda-benda di sekeliling kita, yang buatkan kita rasa tak puas hati dan tak seronok.

 

Misalnya kalau kita masih lagi bekerja dengan orang, perkara-perkara berikut ni mungkin akan buatkan kita rasa tak puas hati dan tak seronok nak bekerja.

 

1. Tak ada Work-Life Balance

Setiap masa, kita sibuk memikirkan hal-hal kerja. Sedangkan, komitmen kita bukan semata-mata pada kerja sahaja. Ada banyak lagi yang kita perlu fikir, misalnya soal keluarga, ibadah, peribadi, percutian dan sebagainya. Tapi disebabkan jadual kerja yang padat, kita perlu tumpukan sepenuh fokus untuk bekerja sahaja.

 

2. Dapat bos yang lebih dungu dari kita 

Benda ni bukannya mustahil. Ada orang naik pangkat kerana dia lebih senior ataupun dia ada kenalan. Bila dia jadi bos baru kita, kita yang banyak kena terangkan pada dia tentang hal ehwal serta operasi syarikat. Bukan sebaliknya.

 

3. Gaji tak ada kenaikkan

Orang lain, elok je kerja ada naik gaji dan ada bonus, tapi kita punya kerja, dari mula kerja sampai sekarang, setakat itu je la gaji yang dibayar. Dari awal-awal lagi syarikat memang dah letak syarat, kalau nak kerja sini memang tak boleh demand gaji. Kenaikkan dan bonus memang tak ada.

Selalunya syarikat yang macam ni, kita kerja secara kontrak dan perlu perbaharui setiap tahun. Kalau kerja untuk cari pengalaman ok, tapi kalau nak bina kerjaya, memang agak mencabar.

 

4. Beban kerja makin bertambah

Benda ni saya pernah alami sendiri. Pernah satu ketika, tempat saya kerja, ada lebih 5 orang berhenti dalam satu-satu masa. Mereka ni berhenti sebab dapat tawaran belajar dan ada juga yang berhenti sebab dapat job offer yang lebih baik di tempat lain. Tapi masalahnya, majikan tak cari pekerja baru untuk tambah kekosongan yang ada. Akhirnya, pekerja yang masih tinggal dan setia dengan syarikat, terpaksa buat lebih banyak kerja.

seronoknya-bercuti-tepi-pantai

5. Susah nak dapat cuti

Peruntukkan untuk cuti tu bukannya tak ada, memang ada. Tapi susah nak approve. Kalau dapat cuti pun, orang pejabat akan selalu mesej atau call sebab nak tanya pasal kerja. Cuti pun macam tak cuti. Mungkin tak semua akan rasai pengalaman kerja yang macam ni, jadi bila baca apa yang saya tulis ni, akan ada yang anggap saya cuma buat cerita rekaan semata-mata.

 

Adakah hanya dengan merungut dapat merubah keadaan?

Biasanya TIDAK.

 

Tak ada apa yang akan berubah. Kalau cuma merungut, tak ada apa-apa yang akan berlaku, melainkan anda merungut dalam satu kumpulan yang besar.

 

Contohnya, jika dalam sesebuah syarikat, ada sesuatu perkara yang anda tak puas hati. Jika bilangan staf adalah 20 orang, cuba dapatkan sekurang-kurangnya separuh dari jumlah tersebut untuk sama-sama merungut terhadap perkara yang sama.

 

Misalnya, sama-sama merungut sebab tak ada kenaikkan gaji. Sebaliknya, kalau cuma seorang sahaja yang merungut, selebihnya yang 19 orang tu diam tak cakap apa-apa, ini boleh memberi gambaran bahawa hanya anda seorang sahaja yang bermasalah dalam syarikat. Faham?

 

Bahaya apabila berpaut dan mengharap pada satu sumber pendapatan sahaja

Saya nak cerita tentang konsep multiple sources of income.

 

Kalau selama ini, anda hanya mengharap pada satu sumber pendapatan sahaja, iaitu hanya pada gaji bulanan semata-mata, tanpa ada sumber pendapatan lain, maka saya kira tak salah kalau saya katakan, anda sukar untuk buat keputusan-keputusan yang besar dalam hidup anda.

 

Silap-silap, hidup anda akan selalu diselubungi dengan ketakutan.

Takut kalau tak ada kenaikkan gaji

Takut kalau kena buang kerja

Takut kalau dikenakan tindakan tatatertib

Takut kalau kena VSS

 

Macam-macam ketakutan. Ketakutan ini dikhuatiri akan menjadikan anda seorang yang tak berprinsip atau YES MAN setiap masa. Apa yang bos anda kata, anda akan jawab Yes. Apa yang bos anda minta anda buat, semuanya anda terpaksa kata YES.

 

Even anda tahu, apa yang bos anda minta anda buat adalah sesuatu yang salah dan tak bermoral.

 

Selagi mana hidup masih lagi berpaut dan mengharap pada satu sumber pendapatan semata-mata, maka selagi itu anda TERPAKSA terima setiap dugaan yang berlaku.

 

Tapi kan, hidup ini tak perlu begitu. Hidup ini sepatutnya penuh dengan pilihan. Apa yang kita nak, cara hidup kita, bidang kerja kita, kepakaran kita, itu semua kita yang pilihnya. Janganlah sampai satu tahap, tiba-tiba kita letakkan diri kita untuk berada dalam situasi yang tak ada pilihan. Saya rasa itu bukan satu cara hidup yang baik.

 

Masa untuk ambil tindakan… walaupun hanya tindakan kecil

Walaupun anda mungkin tak berapa suka dengan kerja yang anda buat sekarang ini, saya tidaklah bermaksud untuk anda terus tukar kerja, atau terus berhenti, atau terus mulakan bisnes anda sendiri. Tidak…

 

Saya sendiri tak buat macam tu. Gila ke nak terus buat keputusan drastik, sedangkan pendapatan alternatif sebagai ganti gaji bulanan masih belum diwujudkan lagi… atau masih belum stabil lagi.

 

Saya bermula dengan sesuatu yang paling simple dan mudah (pada saya).

 

Apa yang saya buat, untuk cari alternatif yang dapat menggantikan pendapatan (gaji bulanan) saya adalah dengan hasilkan blog-blog dan buat duit dengan blog tersebut. Untuk hasilkan pendapatan dari blog ini, saya libatkan diri dalam program pengiklanan, jualan produk fizikal dan digital, jualan servis dan banyak lagi.

 

Satu blog yang betul-betul matang, boleh hasilkan pendapatan sekurang-kurangnya RM500 setiap bulan. RM500 ini saya letakkan nilai yang minima dan logik untuk dicapai. Ia mungkin datang dari pelbagai program dan jualan pelbagai jenis produk, namun apabila dikira-kira semula, nilainya boleh capai RM500 setiap bulan, minima.

 

Itu sebabnya, pada satu masa, saya agak “gila” menghasilkan blog-blog di internet. Tapi itu la… nak buat duit dengan cara ini, nak kata susah sangat sebenarnya tak begitu susah, cuma ia perlukan semangat, motivasi dan stamina yang tinggi.

 

Ada orang, dia menjadikan rasa tak puas hati sebagai pemangkin untuk dia berubah. Sampai bila asyik nak tak puas hati, sedangkan cara hidup dan usaha masih sama? Jadi, kalau ada yang baca perkongsian ni, dan rasa banyak betul benda yang dirasakan tak puas hati kat sekeliling tu… cepat-cepat jadikan ia pencetus atau trigger untuk anda usahakan sesuatu!

 

Bisnes sendiri maybe.

 

 

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: