Sikap dan personaliti yang perlu ada jika ingin bekerja sendiri dari rumah

by sabree hussin on March 4, 2016

in Bekerja dari rumah

Saya bertuah kerana berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman bekerja sendiri dari rumah. Pengalaman ini sudah tentu sangat berbeza kalau nak dibandingkan dengan bekerja dengan majikan atau yang sesetengah orang panggil sebagai kerja berkuli.

 

Adakah bekerja sendiri ini lebih baik daripada jadi kuli? Sebenarnya ianya agak subjektif. Lain orang lain pandangan dan lain pengalaman. Saya dah merasai hidup sebagai kuli, pernah rasa pengalaman jadi orang berniaga, dan pernah ada sedikit pengalaman sebagai seseorang yang bekerja sendiri.

 

Apabila kita bekerja sendiri ni, salah satu yang saya rasa seronok ialah kita boleh pilih nak bekerja dengan klien yang bagaimana. Macam situasi saya sekarang ni, salah satu kerja yang saya buat ialah, saya menawarkan perkhidmatan pengiklanan kepada mana-mana usahawan yang berminat untuk menggunakan medium internet sebagai platform untuk memperkenalkan perniagaan mereka.

 

Anda boleh lihat details tentang perkhidmatan yang saya tawarkan disini. Lazimnya, hanya mereka yang benar-benar serius sahaja yang akan dapatkan perkhidmatan ini dari saya. Jika tidak, tak ada sebab untuk mereka menghubungi saya.

perkhidmatan-iklan-blogger

Bercakap dari sudut pengalaman, saya nak kongsikan kepada pembaca dan pelawat sekalian, apa dia personaliti dan sikap yang patut ada kepada mereka-mereka yang bercadang untuk bekerja sendiri dari rumah.

 

Mungkin dari sini, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal anda lalui apabila bekerja sendiri kelak.

 

(1) Disiplin

Dari kita kecik lagi kita dah diajar untuk menjadi seorang yang berdisiplin. Sebagai contoh masa kita sekolah dulu. Kelas bermula seawal jam 7.30 pagi. Jadi kita kena ada di sekolah lebih awal dari itu. Setidak-tidaknya, pukul 7 kena ada dekat sekolah.

 

Masa kita bekerja dengan majikan pun sama. Kalau kata waktu kerja mula jam 8.00 pagi, bermakna kita kena ada dekat tempat kerja sebelum pukul 8.

 

Kalau kerja dengan orang kita boleh amalkan sikap disiplin, maknanya bila kerja sendiri kita kena lagi berdisiplin. Kerja sendiri ni cukup mudah untuk kita jadi leka. Kalau waktu pagi, ada-ada je alasan untuk kita bangun lambat ataupun untuk yang beragama Islam, ada-ada je alasan untuk kita tidur balik selepas solat subuh.

 

Walhal waktu pagi itu patutnya digunakan dengan sebaiknya untuk bekerja. Cari rezeki. Bukannya tidur.

 

“Tapi saya bukannya jenis yang suka kerja awal pagi… waktu pagi ni saya kurang produktif! Saya suka kerja waktu tengah-tengah malam!”  

 

Itulah salah satu kelebihan apabila kita bekerja sendiri. Kita boleh ikut jadual kita sendiri dan kita boleh tentukan waktu yang mana satu kita paling produktif. Katakanlah kita ni jenis yang produktif pada waktu tengah-tengah malam, ha… pastikan kita bekerja dengan sebaik-baiknya pada waktu tersebut.

 

Walaubagaimanapun, pastikan anda mempunyai jadual kerja dan ikut jadual tersebut. Katakanlah anda dah set nak bekerja 10 jam sehari, maka anda perlu ikut waktu tersebut dengan sebaiknya.

 

Contohnya anda nak bekerja dari jam 9.00 malam hingga jam 7.00 pagi. Anda kena ikut jadual tersebut, barulah masa yang ada digunakan dengan produktif.

 

Apa yang penting, kalau anda dah set nak kerja 8 jam sehari, kena pastikan setiap hari anda kerja 8 jam, walaupun waktu anda mula bekerja sentiasa berubah-ubah. Sama ada anda nak mula kerja lebih awal atau lebih lewat dari kebiasaannya.

 

(2) Mempunyai Matlamat yang jelas (Goal Oriented) 

Ok… mungkin anda jenis yang agak sukar nak kerja ikut masa yang telah ditetapkan. Kerja 8 jam sehari, kerja 10 jam sehari, kerja 12 jam sehari… nampak macam kerja dengan majikan pulak. Sedangkan untuk sesetengah orang, the reason why dia nak bekerja sendiri ialah sebab nak ada kebebasan dari segi masa.

 

Bukannya nak bekerja dalam satu tempoh masa yang begitu rigid seperti ini.

 

Apa kata kalau anda fokus kepada matlamat ataupun berapa banyak job yang anda nak siapkan dalam masa sebulan. Kita buat kira-kira yang mudah. Katakanlah satu job anda dibayar upah sebanyak RM300 dan anda mensasarkan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.

 

Ini bermakna anda hanya perlukan 10 job sahaja dalam sebulan. Fokus untuk siapkan 10 job tersebut secepat yang mungkin, dan jika anda masih ada masa berbaki yang panjang pada bulan tersebut, anda boleh gunakan masa tersebut untuk berseronok atau bekerja secara santai-santai sahaja.

 

Buat apa nak rush kan sedangkan anda dah capai target pada bulan tersebut.

 

(3) Berani ambil risiko

Bukannya sebarang risiko anda perlu ambil, tetapi hanya ambil calculated risk. Risiko yang anda mampu untuk tanggung sekiranya berlaku apa-apa masalah.

 

Bila kita bekerja sendiri ini, kita perlu terima hakikat bahawa tak ada satu benda pun yang akan kekal dalam hidup kita. Kalau selama ini kita rasa selesa sebab perniagaan yang kita jalankan tu sentiasa mendatangkan hasil, kali ini kita kena ubah sedikit mindset kita.

 

Bagaimana kalau satu hari nanti orang dah tak perlukan lagi perkhidmatan kita? Dunia ni sentiasa berubah. Begitu juga keperluan dan kemahuan orang ramai. Satu masa dulu, jenama Nokia pernah menjadi jenama nombor satu untuk telefon bimbit. Tetapi sekarang? Tidak lagi.

 

Kalau boleh semua orang nak beli dan pakai model iPhone yang paling terkini. Cuma masalahnya produk iphone ni mahal sangat, kalau tak mungkin semua orang akan pakai iPhone berbanding jenama lain.

 

Mungkin kita boleh belajar dari syarikat-syarikat besar yang ada disekeliling kita. Mereka tidak hanya fokus pada satu jenis perniagaan sahaja. Contohnya syarikat Berjaya Corporation Berhad. Mereka mempunyai anak syarikat yang menjalankan perniagaan hotel (Berjaya Hotel), insurans (Berjaya Sompo), Automotif (Bermaz Auto Berhad), kedai serbaneka (Seven Eleven), Coffee shop (Starbucks), Telekomunisi (UMobile) dan banyak lagi.

 

Bukan syarikat ini sahaja, malahan ada banyak lagi syarikat-syarikat besar yang melakukan benda yang sama. Mereka tidak fokus pada satu bidang sahaja, sebaliknya mereka mempelbagaikan bidang ataupun diversify.

 

Adakah apa yang mereka lakukan ini tiada risiko? Sudah tentu ada risikonya, dan setiap perniagaan yang dilakukan oleh anak-anak syarikat juga ada kebarangkalian untuk gagal dan rugi. Namun ini semua adalah risiko yang telah dikira dan wajar untuk diambil.

 

Begitu juga halnya dengan kita yang ingin bekerja sendiri. Sebaik-baiknya, janganlah hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja. Pelbagaikan sumber pendapatan. Mungkin bukan semua usaha kita akan membuahkan hasil, ini adalah risiko yang perlu kita tanggung. Sesetengah tindakan yang bakal kita ambil, sesetengahnya tidak mendatangkan hasil dan hanya menghabiskan masa dan merugikan wang ringgit.

bekerja_dari_rumah

 

Namun, jika ia berjaya, ia akan jadi penyumbang kepada sumber pendapatan kita yang baru. Apa pun, sebelum nak pelbagaikan sumber pendapatan itu, kena tahu apa risikonya dan adakah kita sanggup untuk tanggung risiko tersebut. Jangan hanya seronok melihat pada potensi pendapatan semata-mata.

 

(4) Jangan mudah putus asa

Nasihat ini akan terpakai kepada anda apabila anda terpaksa melalui saat-saat suram dalam perniagaan anda. Ia mungkin akan berlaku dalam tempoh yang agak panjang. Contohnya hampir 3 bulan tak ada job ataupun job yang ada, cuma jenis yang bayar rendah sahaja.

jangan-mudah-putus-asa

Waktu-waktu seperti ini, cukup mudah untuk buatkan seseorang itu putus asa dan kembali bekerja dengan mana-mana majikan. Sedangkan selama ini, banyak usaha telah dilakukan untuk bina perniagaan, bina jenama dan bina reputasi.

 

Tetapi kalau anda kembali bekerja dengan majikan, selepas ini mungkin masa dan fokus anda terpaksa dialihkan untuk memajukan perniagaan orang lain berbanding perniagaan anda sendiri. Semua orang akan lalui fasa-fasa bisnes lembab ini. Terutama sekali untuk bisnes yang masih baru. Bila tiba musim perayaan nanti, siap sedialah… Waktu itu orang agak kurang membeli dan mereka lebih fokus untuk buat persiapan sempena perayaan.

 

Kalau ada beberapa orang yang masih nak dapatkan servis yang anda tawarkan, atau beli produk yang anda jual, itu memang sangat bernasib baik.

 

(5) Ada rasa bertanggungjawab

Adakah anda nak bekerja sendiri sebab anda benar-benar yakin yang anda boleh berjaya, ataupun anda sekadar ingin lari dari kenyataan, atau anda ingin lari dari kehidupan sekarang yang mungkin anda rasakan kurang bermakna bagi diri anda?

 

Sesetengah orang, dia bencikan kerja dia sekarang. Mungkin sebab dia tersalah pilih bidang pekerjaan. Dia mungkin tak suka buat sales, tapi kerja dia sekarang ni memerlukan dia buat sales. Jadi dia rasa terseksa.

 

Ataupun mungkin dia bencikan bos dia. Sesetengah bos memang wajar dibenci. Lagipun bukan semua bos pandai macam kita. Bukan semua bos ada pendidikan yang tinggi sampai ke peringkat master, PhD dan sebagainya. Jadi tak hairanlah kalau sesetengah tempat tu kita terpaksa berhadapan dengan bos yang kurang cerdik.

 

Hanya sebab anda tak suka dengan suasana dan persekitaran kerja anda, tak bermakna anda patut berhenti dan bekerja sendiri sekarang. Tindakan yang lebih tepat untuk anda mungkin adalah berhenti kerja dan pindah ke syarikat lain yang dapat menyediakan suasana kerja yang lebih kondusif.

 

Sebaliknya, jika anda berhenti kerja sekarang dan fokus pada kerja sendiri, anda perlu fikir pada tanggungjawab yang anda sedang galas. Adakah anda masih mampu untuk menjalankan tanggungjawab anda jika anda beralih kepada kerja sendiri?

 

Bukan nak kata apa la kan… biasanya orang yang tak ada rasa bertanggungjawab pada diri sendiri ini, kita susah nak harapkan dia dapat bertanggungjawab pada benda-benda lain.

 

(6) Rajin

Orang yang rajin ni biasanya pendapatan yang boleh dihasilkan memang tinggi. Orang yang rajin ni berbeza dengan orang yang acah-acah rajin. Kadang-kadang kita tak nampak pun orang tu rajin. Kita nampak dia rileks je memanjang. Tapi sebenarnya time kita tak nampak tu, macam-macam benda yang dia usahakan.

 

Salah satu sikap rajin yang perlu ada ini ialah rajin cari job. Bukannya duduk saja-saja sambil mengharapkan job tu akan datang sendiri. Lumrah bekerja sendiri ini ialah, pendapatan kita bergantung pada seberapa banyak job yang boleh kita dapatkan dalam masa tertentu. Of course, lagi banyak job lagi banyaklah pendapatan yang boleh kita perolehi.

 

Ada masa-masa tertentu, job datang dengan sangat banyak. Semua orang nak dapatkan perkhidmatan dari kita. Tetapi, ia bukannya akan berlaku sepanjang masa. Ada juga waktunya, kita langsung tak ada job. Ha… masa ketandusan job inilah, kita kena jadi lebih rajin daripada kebiasaannya.

 

(7) Gigih dan konsisten

Ingat satu perkara. Setiap apa yang kita buat pada hari ini, walaupun ianya kecil sahaja, In Shaa Allah ia pasti akan menampakkan hasilnya dimasa akan datang.

 

Jangan memandang rendah pada usaha kecil yang kita lakukan secara berterusan. Banyak kali saya lihat sendiri, betapa usaha yang kecil tu, sebenarnya bila ia dilakukan secara berterusan, ia bakal mendatangkan hasil yang cukup bermakna.

 

Apa benda contoh usaha yang kecil tu? Salah satu perkara kecil yang saya lakukan setiap hari ialah menulis di dalam blog. Kalau setakat satu sahaja, ia memang tak nampak hasilnya. Tetapi bagaimana kalau saya buat benda ni setiap hari?

 

Ya, orang mula perasan kewujudan kita. Orang mula tahu apa perkhidmatan yang kita tawarkan. Keberadaan kita atas dunia ni mula disedari. Dari situ akhirnya terbuka pintu-pintu rezeki dan ada antara mereka yang pernah membaca penulisan-penulisan yang saya hasilkan akhirnya bertukar menjadi pelanggan saya.

 

Ah… kalau nak diikutkan, bukan bagus sangat pun skil penulisan saya ini. Tapi mungkin sebab saya menulis setiap hari, saya dapat memperbaiki mana-mana yang tak elok dan jadi lebih baik berbanding sebelumnya.

 

Begitu juga halnya dengan aktiviti pemasaran. Kena buat setiap hari dan kena konsisten. Walaupun nampak macam tak ada sambutan, namun ia tak bermakna kita boleh jadikan ia sebagai alasan untuk berhenti buat pemasaran. Kena konsisten dan percaya, satu hari nanti akan ada mesej-mesej pemasaran kita yang didengari dan membuatkan ada orang yang minat nak menjadi pelanggan kita.

 

Sebenarnya kalau nak diikutkan, ada banyak lagi sikap-sikap ataupun personaliti yang perlu ada pada mereka yang merancang untuk bekerja sendiri. Namun rasanya tak perlu saya nak tulis semua sekali.

 

Sesetengah orang akan memberi nasihat begini,

“Sebelum berhenti kerja dan buat kerja sendiri, pastikan ada simpanan sekurang-kurangnya untuk 6 bulan jika berlaku apa-apa pada perniagaan atau pada diri.”

 

Satu masa dulu, saya cukup benci dengan nasihat tu. Saya rasa, nasihat itu adalah penghalang untuk saya kejar cita-cita dan impian saya. Nak kumpul simpanan bersamaan dengan 6 bulan gaji, perlukan masa yang panjang.

 

Sekarang, setelah saya lalui sendiri pengalaman bekerja sendiri ni, saya rasa itu adalah salah satu nasihat terbaik yang patut anda ikuti. Ada sebab kenapa orang bagi nasihat macam tu, dan salah satunya untuk memastikan anda dapat teruskan kelangsungan hidup even kalau jadi apa-apa pada perniagaan anda.

 

Harapan saya ialah, semoga apa yang saya kongsikan ini tidak melemahkan semangat anda untuk bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan sendiri, sebaliknya anda dapat jadikan ia sebagai panduan untuk mempersiapkan diri dalam menempuhi kehidupan yang cukup mencabar apabila anda ingin bekerja sendiri kelak.

 

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: