Anda tidak ingin memiliki kad kredit kerana bimbang terperangkap dengan beban hutang kad kredit yang tak berkesudahan? Memang itu yang biasanya yang akan berlaku, lebih-lebih lagi jika seseorang itu tidak mempunyai kemahiran pengurusan wang yang betul.
Kad kredit yang sepatutnya memudahkan banyak urusan kita, akhirnya menjadi beban yang asyik menyusahkan kita semula. Kita sendiri sebenarnya yang perlu tahu macam mana nak guna dan macam mana nak mendisiplinkan diri supaya tidak berbelanja sesuka hati dengan menggunakan kad kredit.
Dari kita sekolah lagi kita dah diajar untuk berdisiplin dan berhemah dalam perbelanjaan. Saya tak tau bagaimana cara anda dibesarkan dan apa yang anda diajar tentang wang, tapi bagi saya, dari kecik lagi saya dah diajar untuk berjimat cermat dan menabung jika ada duit lebih. Maklumlah, saya bukannya datang dari keluarga yang senang.
Saya teringat buku yang pernah saya baca sebelum ni bertajuk “Kad Kredit: Fahami Kekuatan Dan Aplikasikan Kelebihannya“, dalam tu ada satu bab yang membincangkan topik bagaimana kad kredit sebenarnya boleh jadi pembantu setia dan kawan yang baik.
Maka hari ini, saya nak ajak pembaca semua untuk kita sama-sama melihat dengan lebih lanjut, apa dia sebenarnya kelebihan yang anda akan perolehi sekiranya mempunyai kad kredit dan melakukan transaksi menggunakan kad tersebut.
(1) Anda tak perlu bawa wang tunai yang banyak bersama anda
Seingat saya, sekitar tahun 2010 saya beli laptop saya yang pertama. Laptop jenama Acer. Harga laptop ni bukannya mahal sangat. Lebih kurang RM1,800 sahaja.
Saya bawa keluar RM1,800 dari mesin ATM yang paling dekat dengan kedai yang jual laptop tu. Itu kali pertama saya tengok wang tunai yang begitu banyak. Semuanya dalam note RM50. Bila susun dan nak masukkan dalam wallet… dem.. tak boleh lipat pulak.
Macam-macam benda bermain dalam fikiran saya ketika itu.
Macam mana kalau jadi apa-apa?
Kalau kena pow macam mana?
Kalau tak cukup duit macam mana? Takkan nak kira kat situ jugak? Bahaya la..
Masa tu, saya belum ada debit card sebagai alternatif kepada kad kredit. Jadi saya hanya bertawakal sahaja. Mujurlah semuanya berjalan dengan lancar. Akhirnya saya dapat juga beli laptop saya yang pertama.
(2) Wang tunai yang ada dalam tangan boleh digunakan sama ada untuk tujuan pelaburan atau perniagaan
Kebanyakkan kad kredit yang saya perhatikan, masing-masing menawarkan “20 Days Interest FREE Period”. Maksudnya, kalau kita guna kad kredit hari ini untuk buat pembayaran, kita tak akan dikenakan sebarang caj dalam bentuk interest sekiranya kita buat bayaran penuh dalam masa 20 hari.
Kita pakai RM1,000 dan dalam masa 20 hari kita bayar balik juga RM1,000 sahaja. Tak ada bayar lebih dari sepatutnya. Jadi dekat sini, In Shaa Allah kita terlepas daripada sebarang elemen riba.
Sekarang, cuba anda fikir-fikirkan, ada tak bisnes yang anda boleh buat, yang mana bisnes tersebut boleh untung dalam masa 20 hari? Jawapannya PASTI Ada. Sama ada anda perasan atau tidak.
Baiklah. Just an idea. Anda buat bisnes online. Anda buat promosi terlebih dahulu untuk produk yang anda nak jual tu. Untuk promosi secara online, anda hanya perlukan gambar sahaja. Bila dah ada pembeli, barulah anda gunakan kad kredit anda tu untuk beli dulu produk yang dijual tersebut dari supplier.
Kita andaikan barang dah sampai. Pelanggan pun dah bayar penuh. Duit dari pelanggan tu, sebahagiannya anda guna untuk buat full settlement kad kredit dan bakinya adalah untung anda. Ulang proses yang sama.
(3) Pihak bank lazimnya ada menyediakan penyata yang merekodkan segala perbelanjaan yang anda lakukan
Untuk setiap perbelanjaan yang kita lakukan menggunakan kad kredit, ianya akan direkodkan oleh pihak bank dalam penyata kewangan. Saya biasa dengar dan baca dalam banyak artikel ataupun buku-buku berkaitan dengan kewangan, katanya salah satu kelemahan kita adalah buat bajet sebelum berbelanja.
Bila tak ada bajet ni, kita sama ada terlebih belanja, ataupun akan beli benda yang tak sepatutnya! Jadi, dengan adanya penyata perbelanjaan ini, ia dapat berikan kita idea, bagaimana sebenarnya corak perbelanjaan kita setiap bulan. Dari situ kita boleh buat semakan, mana satu perbelanjaan yang perlu dan mana satu yang tak perlu.
(4) Transaksi menggunakan kad kredit biasanya akan dapat mata ganjaran
Bagi menggalakkan anda menggunakan kad kredit dalam urusan perbelanjaan dan transaksi harian, pihak bank akan memberikan anda mata ganjaran yang boleh ditukarkan kepada macam-macam jenis hadiah.
Setiap bank akan menawarkan hadiah yang berbeza. Ada smartphone, camera, tempat percutian, tiket penerbangan dan sebagainya.
(5) Sesetengah kad kredit menawarkan cash rebate
Kad kredit apa yang menawarkan cash rebate kepada penggunanya? Bukan semua kad kredit ada cash rebate. Hanya sesetengah sahaja yang menawarkan cash rebate. Anda boleh semak senarai disini.
Cash rebate ni lebih kurang sama macam diskaun. Semasa melakukan transaksi atau pembayaran, kita kena bayar jumlah penuh terlebih dahulu. Kemudian selepas beberapa hari, barulah cash rebate tu akan di kredit kan pada akaun kita.
Sebagai contoh, kad CIMB Cash Rebate Platinum MasterCard menawarkan cash rebate sebanyak 2% atau sehingga RM50 untuk pembelian Petrol menggunakan kad kredit ini. Jadi, kesannya adalah seperti kita dapat diskaun apabila buat pembelian petrol. Kalau orang guna wang tunai, memang tak akan merasa penjimatan macam ni.
(6) Pemegang kad kredit dilindungi pelan perlindungan Insuran
Ya, jika anda merujuk kepada senarai kad kredit berikut, anda akan lihat kesemua pemegang kad kredit ini akan dilindungi oleh pelan pelindungan insuran. [klik sini untuk lihat senarai]
Ada pelan perlindungan untuk personal accident, ada untuk kehilangan bagasi, kelewatan penerbangan dan sebagainya. Bagi kad kredit yang menawarkan perlindungan insuran untuk travel, anda dah tak perlu lagi beli travel insurans ketika beli tiket penerbangan. Itu satu penjimatan.
(7) Waris anda menerima khairat kematian sekiranya berlaku kematian kepada anda
Poin ini adalah benar dan saya merujuk kepada beberapa jenis kad kredit sahaja yang memberikan perlindungan takaful kepada pemegangnya. Bukan semua kad kredit memberikan kelebihan ini. Salah satu yang saya jumpa ialah kad kredit yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat. Boleh lihat contoh kad disini.
Kad kredit yang saya rujuk adalah kad kredit Bank Rakyat Classic Credit Card-i.
Takaful Protection
Bank Rakyat Classic Credit Card-i provides free family Takaful protection to secure your outstanding account balance in the event of death or permanent disablement. Bank Rakyat will make the full payment on behalf of you via the Takaful protection.
In the event of death, the beneficiary of the card holder will receive the compassionate reimbursement of up to RM1000.
Dengan perlindungan ini, waris akan menerima wang sebanyak RM1,000 yang boleh digunakan bagi melancarkan urusan pengkebumian.
(8) Boleh buat bayaran bil secara auto-billing
Ini salah satu kelebihan yang saya rasa cukup memudahkan. Sebelum ini, saya kerap “terlupa” nak buat bayaran bil. Dalam sebulan biasanya kita akan menerima macam-macam bil. Ada bil air, bil elektrik, Indah Water, Internet, Astro… dan apa lagi ye? Sesetengah orang mungkin ada banyak lagi bil nak kena bayar.
Kadang-kadang ada bil yang terlepas pandang! Tau-tau dah terlewat bayar dan ada denda pulak tu! Ini memang merugikan. Jadi, cara untuk elak berlaku hal-hal macam ni, gunakan perkhidmatan auto-billing ini. Kita boleh lupakan sahaja tarikh akhir untuk buat bayaran bil. Kita cuma perlu ingat bila tarikh akhir untuk bayar kad kredit kita. Itu sahaja.
(9) Hadiah PERCUMA ketika mendaftar
Syarikat pengeluar kad kredit, iaitu bank biasanya akan menawarkan macam-macam hadiah menarik bagi mengajak orang ramai untuk jadi pengguna kad kredit mereka. Baru-baru ni saya terlihat satu tawaran yang pada saya cukup menarik yang ditawarkan oleh Public Bank.
Anda akan menerima Lazada e-Voucher bernilai RM200 yang anda boleh gunakan untuk membeli belah dilaman web Lazada Malaysia. Apa yang anda boleh dapat dengan RM200? Ada banyak. Saya baru je semak di laman web lazada dan saya dapati ada banyak juga barang-barang yang menarik yang dijual dengan harga RM200 dan kebawah.
Antaranya powerbank yang boleh digunakan untuk jump start kereta, makanan kucing jenama Royal Canin khas untuk kucing in door, basikal untuk senaman dan banyak lagi. Sebenarnya kalau anda rajin, dengan RM200 e-Voucher tu ada banyak lagi barang yang anda boleh dapat.
Saya masih ingat lagi waktu saya mula-mula dapatkan kad kredit Maybank saya yang pertama. Langsung tak ada sebarang hadiah yang saya terima. Saya menerima panggilan telefon dari wakil bank yang meminta saya untuk ke cawangan Maybank untuk collect kad tersebut. Itu sahaja. Lagipun dulu saya bukannya pandai sangat dengan benda-benda melibatkan kad kredit ni. Jadi saya terima sahaja.
Kalau sekarang ni, saya akan buat kajian dulu dan buat perbandingan, bank mana yang dapat berikan kad kredit yang paling menarik beserta dengan hadiah yang menarik juga.
(10) Tiada siapa yang tahu anda mempunyai masalah kewangan dan anda tak menyusahkan sesiapa
Ini juga merupakan salah satu kelebihan. Orang yang ada kad kredit ni, lazimnya dia tak akan menyusahkan orang lain dan buat pinjaman dengan ahli keluarga atau kawan-kawan bila tengah sesak. Seboleh-bolehnya dia tak akan menyusahkan orang lain. Dia cuba guna dulu apa-apa sumber kewangan yang ada.
Walaupun pada waktu tu, cuma kad kredit sahaja yang ada.
Dari luaran, memanglah orang akan nampak seolah-olah dia langsung tak ada masalah kewangan. Namun hakikatnya, dia sendiri yang tau.
.
..
…
Walaupun kad kredit ini sangat membantu, namun bukan semua orang perlu ada kad kredit. Sesetengah orang, lebih baik tak ada kad kredit daripada ada kad kredit.
Saranan saya, jika anda perlu dan ingin ada kad kredit, pilihlah kad kredit yang beri anda KELEBIHAN yang paling maksima dalam kehidupan anda. Jika anda jenis yang banyak travel, pilihlah kad kredit untuk mereka yang suka travel, jika anda jenis yang banyak luangkan masa atas jalan raya, pilihlah kad kredit yang beri anda banyak cash back untuk perbelanjaan petrol anda.
Persoalannya bukanlah hutang kad kredit tu bagus atau tidak, kerana ia sekadar alat untuk memudahkan kehidupan anda. Itu sahaja. Semuanya terpulang dan bergantung kepada bagaimana anda gunakannya.
USE Credit Card. Do Not Abuse Credit Card.
lokman says
penerangan sangat baik tuan…
sabree hussin says
Terima kasih sudi baca.
Abdul Nashar Bin Aminuddin says
Arwah ayah pernah pesan kat saya hang makan gaji tak usah pakai kad kredit, tapi ayah pakai kad kredit untuk isi minyak kereta ja dan beli barang yang mahal macam peti ais,laptop dan pelbagai bil di pejabat.
Barang makan dan belian barang yang tak memerlukan cash yang banyak dia akan pakai duit biasa ja.
sabree hussin says
Kalau beli petrol guna kad kredit, senang! Tak payah susah-susah nak beratus kat kaunter. Kalau kad kredit tu jenis ada cashback, dapat lagi penjimatan dalam bentuk cash back.
Karim says
Dengan bil-bil bulanan bertimbul, hutang kad kredit adalah salah satu yang biasanya akan dilepaskan dalam tumpuan. Ini mewujudkan risiko hutang anda akan jadi semakin tinggi dan kadar faedah yang dikenakan juga akan jadi semakin banyak. Jika anda bimbang dengan kredit dan hutang anda, pastikan anda membayar sekurang-kurangnya baki minimum setiap bulan.
sabree hussin says
Berhutang dengan kad kredit ni tak boleh buat main-main. Kena bayar walaupun hanya minimum! kalau tak tunggulah baki yang kena bayar tu jadi melambung tinggi. Tanggungjawab pengguna untuk belajar macam mana nak guna kad kredit dengan berhemah