Setiap orang mampu untuk jadi penulis.
Kerjaya sebagai penulis adalah kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja. Tiada sebarang halangan atau syarat yang ketat untuk anda mulakan karier anda sebagai penulis.
Kenapa saya kata semua orang boleh jadi penulis? Simple. Kemahiran menulis ini telah diajarkan kepada kita sejak kita dibangku sekolah lagi. Ilmu asas-asas menulis ini sepatutnya sudah ada dalam diri setiap orang.
Jika anda sudah berada dalam bidang ini, tahniah saya ucapkan dan semoga anda akan terus sukses dan memberi sumbangan kepada masyarakat melalui penulisan yang telah anda hasilkan.
Namun, kalau anda masih belum pernah masuk bidang ini, anda mungkin tak perasan yang sebenarnya anda mempunyai bakat yang besar dan mampu untuk pergi jauh menerusi bidang ini.
Kali ini saya akan senaraikan beberapa petanda, yang mungkin ada pada anda, yang boleh dijadikan penanda aras bahawa sebenarnya anda mampu jadi seorang penulis yang bagus.
Menulis ini sebenarnya adalah satu kemahiran yang kita boleh perbaiki dari masa ke masa. Lagi banyak karya penulisan yang anda telah hasilkan, maka anda akan jadi semakin mahir. Tak ada orang yang terus jadi bagus pada percubaan kali pertama.
Justeru, kita tak perlu rasa rendah diri dan tertekan kalau karya kita yang pertama tak cukup baik. Jika anda menulis di blog misalnya, anda boleh upgrade penulisan tersebut dari masa ke masa, sekiranya anda mempunyai info baru untuk ditambah pada artikel.
Khas buat mereka yang baru nak masuk dalam bidang ini, atau yang masih tak sure sama ada nak jadi penulis atau tidak, cuba perhatikan point dibawah. Jika ada pada anda, saya kira anda telah mensia-siakan bakat terpendam yang ada pada anda, kalau sampai sekarang anda masih belum mula menulis.
Tak rugi jadi penulis ni tau. Sebabnya kalau dibuat dengan betul, ia juga boleh dijadikan punca pendapatan dan satu hari nanti anda boleh bersara dan fokus sahaja kepada kerja-kerja menulis.
Tanpa membuang lebih banyak masa, mari saya tunjukkan antara petanda yang anda sebenarnya adalah seorang penulis yang bagus!
1. Anda seorang yang celik tatabahasa
Pertama sekali, saya nak mula bercerita mengenai aspek tatabahasa. Seorang penulis yang bagus memahami peraturan tatabahasa, tahu membina struktur ayat yang betul dan cara untuk menyampaikan sesuatu mesej dengan penggunaan perkataan yang sesuai.
Pada masa yang sama, dia juga tahu bagaimana untuk langgar kesemua peraturan ini tanpa merosakkan mesej sebenar yang ingin disampaikan.
Ada masa kita perlu ikut peraturan tatabahasa dan ada masanya kita perlu langgar. Bergantung kepada keperluan dan jenis penulisan yang bakal dihasilkan. Selain itu, kita juga perlu ambil kira, siapakan target audience bagi hasil karya yang kita hasilkan.
Jika penulisan ini adalah untuk pembaca di media sosial, kebiasaannya penggunaan ayat dan bahasa yang lebih santai akan digunakan. Apa yang penting, mesej yang hendak disampaikan itu sampai kepada target audience.
2. Anda mempunyai banyak idea tentang sesuatu isu
Apabila masyarakat digemparkan dengan sesuatu isu, anda adalah antara individu yang mampu untuk beri pendapat dan pandangan yang berbeza berbanding majoriti.
Anda mempunyai cara fikir yang tersendiri dan kesannya anda mampu untuk beri ulasan yang berbeza.
Bukan itu sahaja, anda juga adalah seorang yang gemar melontarkan idea-idea bagi memberi solusi kepada sesuatu masalah. Ketika orang lain terlalu fokus terhadap masalah yang sedang berlaku, anda lebih terkehadapan apabila sudah mula melontarkan idea-idea bernas.
Kalau anda tergolong dalam kumpulan yang begini, iaitu orang yang mempunyai banyak idea, saya percaya anda akan mampu hasilkan penulisan yang berkualiti tinggi.
3. Anda seorang yang suka membaca
Seorang penulis yang bagus juga adalah seorang pembaca yang bagus.
Orang yang banyak membaca sudah tentu mampu untuk membezakan antara karya hasil penulis yang bagus dengan penulis yang biasa-biasa. Kalau hasil karya penulis yang bagus, kita boleh baca karyanya dengan lancar.
Tapi kalau penulis yang biasa-biasa, kadang-kadang kita rasa susah nak faham apa yang dia cuba sampaikan. Penulis tersebut cenderung untuk gunakan ayat yang panjang dan berbelit-belit, sedangkan mesejnya boleh disampaikan melalui bahasa yang lebih ringkas.
Oleh itu, jika anda banyak membaca dan mampu untuk membezakan antara karya bagus dengan yang kurang bagus, bermakna anda juga mampu untuk jadi penulis yang bagus.
Ketika menulis nanti, elakkan daripada menghasilkan penulisan yang hampir sama dengan karya penulis yang tak berapa bagus yang anda pernah baca sebelum ini. Jangan ulang kesilapan penulis tersebut.
4. Ada orang suka minta anda betulkan atau buatkan ayat
Perkara ini mungkin selalu terjadi kepada anda terutama sekali ditempat kerja.
Ada rakan sekerja yang akan minta anda untuk semak terlebih dahulu apa-apa surat ataupun emel sebelum dihantar kepada penerima. Mereka akan rasa lebih yakin, dengan ayat-ayat yang anda betulkan berbanding ayat mereka sendiri.
Mungkin juga ada rakan pejabat yang puji, “guna ayat awak lebih sedap.”
5. Ada orang minta anda menulis tentang apa sahaja
Pernah tak anda dihubungi oleh seseorang yang meminta anda menulis tentang sesuatu perkara.
Boleh jadi dia nak minta anda menulis tentang produk yang dia jual, bisnes homestay yang dia sedang jalankan atau apa sahaja. Kalau sampai tahap ada orang minta anda menulis tentang sesuatu, bermakna anda sudah berada dalam satu tahap yang baik dalam bidang penulisan.
Sekiranya anda berada dalam bidang ini agak lama, satu masa nanti anda juga akan mula mendapat tawaran-tawaran untuk menulis di majalah, surat khabar atau laman web. Oh sudah tentu, tawaran seperti ini akan datang bersama dengan bayaran.
6. Anda mampu menulis dengan pantas
Bukan semua orang mampu untuk menulis dengan pantas. Ada sesetengah orang, nak tulis perenggan pertama pun ambil masa sampai berhari-hari.
Kemudian bila dah terlalu lama tangguh kerja, sebab tersangkut pada fasa untuk menulis perenggan pertama, akhirnya dia mula melupakan hasrat untuk menulis.
Tapi anda tak begitu.
Untuk hasilkan satu artikel yang mengandungi 2,000 patah perkataan, yang lengkap dengan fakta dan hasil kajian, anda cuma perlukan 2-3 jam sahaja. Itu sangat cepat, dan anda berada di landasan yang betul untuk jadi seorang penulis yang bagus.
Bila saya kata tentang kemampuan menulis dengan pantas, saya bukan merujuk kepada kepantasan anda menaip semata-mata.
Orang yang mampu menaip dengan pantas, belum tentu dia mampu untuk menghasilkan karya penulisan dengan pantas juga.
7. Orang suka membaca apa yang anda tulis
Anda bukan syok sendiri apabila menulis.
Pembaca yang membaca hasil karya anda ada ramai yang mengucapkan terima kasih kerana anda sudi berkongsi maklumat dan informasi melalui penulisan anda.
Untuk artikel yang diterbitkan di media sosial, anda sendiri boleh lihat betapa ramainya yang menekan butang like.
8. Orang kongsi artikel anda dan ada juga yang quote ayat yang anda hasilkan
Perkara ini lebih mudah untuk kita perhatikan terutama sekali apabila kita menulis di media sosial.
Setiap kali anda publish satu penulisan yang baru, cuba perhatikan berapa ramai yang akan share, like, komen dan sebagainya.
Bila kita sudah ada peminat, pada masa itu kita tak perlu risau lagi mengenai reach yang rendah, kalau-kalau kita ada letak link dalam posting.
Waktu ini orang ramai, iaitu follower anda sendiri yang akan cari anda, buka profile anda semata-mata sebab nak baca karya terkini yang anda hasilkan.
Adakalanya, orang akan quote apa yang anda pernah tulis dan akan menjadikan kata-kata anda sebagai hujah.
9. Anda suka menulis
Memang susah nak jadi penulis yang bagus kalau orang tersebut benci menulis.
Hanya orang yang suka dengan bidang penulisan sahaja yang akan jadi penulis yang bagus.
Dia tak rasa seperti dipaksa-paksa untuk menulis.
Dia tetap menulis walaupun tak ada siapa yang baca apa yang dia tulis.
Dia terus menulis walaupun tiada bayaran diterima.
Kalau anda seorang yang suka menulis, maka perbanyakkanlah karya penulisan anda. Satu lagi, janganlah simpan karya tersebut hanya untuk bacaan anda secara peribadi. Kongsikan kepada orang ramai, supaya orang lain juga boleh dapat manfaat.
Mulakan dengan niat untuk memberi manfaat kepada orang ramai, dan seterusnya In Shaa Allah melalui karya yang pernah anda hasilkan, anda pula akan dapat manfaat. Biasanya dalam bentuk duit, kenalan baru dan lain-lain.
10. Orang sanggup bayar untuk baca penulisan anda
Anda boleh tahu sejauh mana orang suka dengan penulisan anda, dengan melihat sama ada mereka sanggup bayar atau tidak untuk baca karya anda.
Cubalah tulis buku dan jual. Lihat berapa ramai yang ingin membeli.
Ataupun kalau anda tak berani ambil risiko kerugian yang terlalu besar, boleh mulakan dengan menerbitkan ebook. Kos untuk terbitkan ebook adalah percuma sahaja.
Anda hanya perlu menulis seperti biasa menggunakan microsoft word, kemudian bila dah siap, boleh convert kepada format pdf. Untuk platform jualan, anda boleh gunakan laman web Shopee.
Sila lihat contoh dibawah, dimana ada seller di Shopee yang menjual ebook.
Perlu tunjuk ajar, untuk mula bisnes di Shopee? Boleh rujuk panduan ini.
11. Mampu untuk menerima kritikan dan perbaiki diri
Tiada individu yang tidak melakukan kesilapan. Termasuklah penulis.
Bila dah buat silap, dan kena kritik, akui kesilapan dan perbaiki diri. Tak perlu nak pertahankan perkara yang salah, sebab ia hanya menunjukkan bahawa kita adalah seorang yang ego.
Bergantung kepada jenis kesilapan juga. Kalau memang kita betul-betul tersilap, kita tak perlu panjang-panjangkan isu. Minta maaf dan perbaiki kesilapan itu sudah cukup. Masa untuk move on.
Tapi kalau orang yang mengkritik tu sebenarnya adalah orang yang benci kepada anda, sengaja cari pasal, maka individu seperti ini kita boleh abaikan sahaja.
Ya, jangan tak tahu, satu masa nanti bila anda sudah makin popular, anda juga akan dapat haters. Tapi itu bukanlah satu topik yang penting sangat.
Baiklah, saya harap dengan perkongsian kali ini, dapat menjawab persoalan yang ada dalam diri anda, sama ada anda bakal jadi seorang penulis yang bagus atau tidak.
Leave a Reply