“Jika anda benar-benar YAKIN bahawa Solat Dhuha adalah salah satu amalan yang MUJARAB untuk menjemput lebih banyak REZEKI, lantas cukupkah sekadar mengerjakan solat ini sekadar dua rakaat sahaja?”
Pagi ni, bukak je FB saya terbaca sebuah posting dari rakan FB berkenaan dengan solat sunat Dhuha. Jika anda ingin merasakan energi disebalik solat sunat Dhuha, buatlah hingga 12 rakaat! Apa barang buat sikit-sikit? Kata nak jemput rezeki kan… jadi kenapa nak berkira? Kita nak rezeki yang banyak, tetapi bila solat sunat Dhuha, buat yang paling sedikit bilangan rakaatnya ataupun langsung tak pernah buat pulak. Patutke begitu?
Persoalan: Berapakah sebenarnya bilangan rakaat bagi solat sunat Dhuha?
Solat sunat dhuha ni sebenarnya ada berapa banyak rakaat? Adakah 2 rakaat? 4 rakaat? 8 rakaat ataupun lebih dari itu dan tiada had dalam penentuan rakaat bagi solat sunat Dhuha ni?
Baiklah, untuk persoalan ini, saya merujuk kepada salah satu buku berkaitan dengan solat sunat Dhuha yang saya pernah beli sebelum ini berjudul Menjana Kekayaan Dengan Solat Dhuha oleh Nik Rahimah Rahim. Saya petik jawapan di muka surat 54 hingga 56 bab “Bilangan Rakaat Sembahyang Dhuha.”
Bilangan rakaat sembahyang Dhuha itu sekurang-kurangnya dua rakaat, dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat, sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW.
Adapun pendapat yang mengatakan sembahyang Dhuha adalah empat rakaat berdasarkan hadis dari Aisyah r.a., bahawa ia berkata
Maksudnya: Nabi s.a.w. sembahyang Dhuha empat rakaat dan baginda menambahnya jika baginda menghendaki. (Riwayat Ahmad, Muslim, dan Ibnu Majah)
Pendapat yang mengatakan dua rakaat adalah berdasarkan hadis riwayat Ummu Hani’ yang bermaksud
Bahawa Nabi s.a.w. mengerjakan sembahyang Dhuha sebanyak lapan rakaat dan bersalam setiap dua rakaat. (Riwayat Abu Daud)
Sayid Sabiq berkata:
“Sekurang-kurang bilangan rakaat sembahyang Dhuha adalah dua rakaat sebagaimana telah dinyatakan di dalam hadis Abu Dzar. Dan sebanyak-banyaknya yang dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah lapan rakaat, sedang menurut yang disabdakannya ialah dua belas rakaat.
Sesetengah ulama berpendapat bahawa tidak ada batas bilangan rakaat sembahyang Dhuha. Ini adalah pendapat Abu Ja’far, Hulaimi, Ruyani dari golongan Syafi’i. Di dalam kitab Syarah Tirmizi Al-Iraqi berkata:
“Saya tidak pernah melihat seorang pun, sama ada dari golongan sahabat atau tabi’in yang membatasinya hanya sampai dua belas rakaat.”
Demikian pula yang dikatakan oleh Suyuti. Sa’id bin Manshur ketika ditanya: “Apakah sahabat Rasulullah s.a.w ada mengerjakan sembahyang itu?”
Jawabnya: “Ya, di antara mereka ada yang mengerjakannya sebanyak dua belas rakaat, ada yang empat rakaat dan ada pula yang terus menerus mengerjakannya sampai tengah hari.”
Diriwayatkan dari Ibrahim An’Nakha’i, bahawa ada orang yang bertanya kepada Aswad bin Yazid: “Berapa rakaatkah sepatutnya saya mengerjakan sembahyang Dhuha?”
Ia menjawab: “Lakukanlah sebanyak mana yang engkau suka.”
Adapun sesetengah orang yang berpendapat bahawa sembahyang Dhuha itu boleh dikerjakan seberapa yang mampu, mungkin berpandukan kepada hadis dari Aisyah r.a. maksudnya
Adalah Nabi s.a.w. sembahyang Dhuha empat rakaat dan ditambahnya seberapa yang dikehendaki Allah.
Jika kita mahu meneladani perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan berpandukan kepada sistem tarjih, iaitu memilih mana yang kuat dalilnya, maka sembahyang Dhuha itu mempunyai rakaat sekurang-kurangnya dua rakaat dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Sebaiknya dilakukan setiap dua rakaat sekali salam.
Jadi, marilah kita sama-sama mengerjakan solat sunat Dhuha, In Shaa Allah besar ganjarannya. Jika tak mampu nak lakukan sehingga 8 rakaat sekalipun, usahakanlah untuk lakukan 2 rakaat. Peringatan ini untuk diri saya sendiri juga.
Baca juga: Formula Tarik Rezeki
Uncle Zuan says
alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian.
akan cuba untuk tak miss duha setiap hari 🙂
Sani says
Nak buat itu mudah. Nak istiqamah tu yang payah. Moga Allah swt beri kita kekuatan..
Riza Afzan Asri says
Buat sikit takpa. Yang penting istiqamah kan?
ridhwan says
tak dapat usahakan 8 rakaat pun tak pa.. 2 rakaat pun bole juga…istiqamah tu penting