Faktor yang mengharuskan suami untuk berpoligami

by sabree hussin on July 11, 2015

in Agama

Poligami adalah salah satu bukti bahawa Islam itu adalah agama yang relevan dan praktikal untuk diamalkan. Banyak permasalahan berhubung kehidupan manusia ada jalan keluarnya jika mengikut ajaran Islam sepenuhnya. Salah satu permasalah kehidupan ialah berkaitan dengan perkahwinan.

manfaat_poligami

Poligami adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Ini suatu ketetapan yang tidak dapat dinafikan. Ayat-ayat al-Quran tentang keharusannya dan hadis-hadis Rasulullah SAW tentang kewajipan berlaku adil, pembahagian giliran dan sebagainya dalam berpoligami menunjukkan betapa pengaturan syariat dalam hal ini telah diperincikan.

 

Apakah dia faktor yang mengharuskan poligami? Faktor-faktor yang dinyatakan dibawah ini adalah dipetik daripada Majalah Solusi Isu No 40. Jom kita lihat apa dia sebab-sebab yang diharuskan berpoligami

 

1. Isteri tidak mampu untuk melahirkan zuriat

Isteri yang tidak mampu melahirkan anak merupakan hambatan terhadap lelaki yang inginkan zuriat untuk membahagiakan keluarganya di dunia dan di akhirat. Apabila isteri pertama mandul, maka suami mempunyai pilihan untuk berkahwin dengan isteri kedua yang akan melahirkan anak-anak yang diharapkan menjadi anak yang soleh dan mendoakannya kelak.

Dalam keadaan ini, berpoligami adalah lebih utama dan lebih baik daripada perceraian. Oleh sebab itu, satu pengorbanan yang mulia sekiranya isteri pertama merelakan suaminya berkahwin untuk mendapatkan zuriat. Tentulah tindakan itu lebih diredhai Allah SWT berbanding terlibat dengan zina dan lain-lain penyimpangan seks.

 

2. Isteri menderita sakit berat dan berpanjangan

Bagaimana pula jika ada antara isteri pertama yang sudah lemah sama ada disebabkan oleh sakit yang berat atau ditimpa kemalangan? Atau isteri tidak berupaya lagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri atas sebab-sebab kelemahan fizikal atau gangguan mental dan emosi.

Berlandaskan hukum, isteri tersebut berhak untuk terus berada di bawah tanggungan suaminya disamping seorang wanita lain yang mampu menjalankan tugas seorang isteri dengan sempurna. Ketika ini poligami dilihat relevan sebagai satu pilihan untuk menyelesaikan masalah.

Apabila seorang wanita ditimpa penyakit kronik yang tidak memungkinkannya menjalankan peranan sebagai seorang isteri, maka harus bagi suaminya untuk berpoligami. Ini dibenarkan oleh syariat demi memelihara suami dan keluarga itu daripada masalah akibat tekanan luaran dan dalaman. Ketika ini poligami dilihat sebagai jalan keluar yang praktikal, iaitu isteri yang sakit terus mendapat pembelaan, di samping suami juga terlepas daripada perbuatan maksiat.

 

3. Suami terpaksa sering bermusafir

Terdapat kes apabila suami perlu ke luar daerah atau luar negara atas urusan pekerjaan dan tidak dapat membawa isterinya bersama-sama setiap masa. Sekiranya perpisahan yang begitu lama menyebabkan suami tidak mampu menahan nafsunya dengan pelbagai cabaran di perantauan, maka ketika itu diharuskan berpoligami sekiranya dia mampu memberikan nafkah lahir dan batin.

 

4. Populasi wanita melebihi bilangan lelaki

Apabila bilangan wanita lebih besar daripada lelaki, maka masyarakat mempunyai tiga pilihan

  1. Membiarkan sebahagian wanita dihalang daripada berkahwin sehingga mati
  2. Menyuburkan budaya memiliki perempuan simpanan dan aktiviti pelacuran atau perzinaan.
  3. Membenarkan lelaki berpoligami

 

Sebagai Muslim sama ada lelaki atau wanita, kita tidak akan redha jika ada saudara seislam kita yang terpaksa membujang hingga ke akhir hayat ataupun ada yang akan terlibat dengan zina. Jika keadaan itu berlaku, mesti ada dalam kalangan wanita-wanita Islam yang rela berkongsi suami. Ketika inilah poligami menjadi satu rahmat demi menjaga maslahat umat.

 

5. Suami memiliki keinginan dan kemampuan seksual yang terlalu tinggi

Dari segi biologi dan fisiologi pula, ada sebahagian kecil lelaki yang mempunyai kadar sensitiviti seksual yang tinggi. Walaupun jumlah mereka tidak ramai, tetapi Islam mempunyai jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini. Pendirian yang menyamakan antara lelaki ini dengan lelaki-lelaki yang lain, menurut Sheikh Sayyid Sabiq adalah sesuatu yang tersasar daripada keadilan.

Beliau menulis dalam bukunya Fiqh al-Sunnah: “Bukankah kita mengharuskan kepada orang yang mempunyai selera yang kuat untuk makan dengan kadar yang banyak? Dan sebaliknya kita tidak mengharuskannya kepada orang miskin dan lemah. Jadi, persoalan poligami juga sama.”

Namun harus diingat, kesemua sebab diatas bukanlah justifikasi untuk memilih poligami sebagai satu-satunya jalan penyelesaian tetapi hanya satu pilihan yang boleh diambil sebagai satu penyelesaian.

 

Artikel ini ditulis sebagai perkongsian bahan bacaan yang saya baca. Bagi mengelakkan saya terlupa apa yang saya pernah baca, jadi saya catatkan disini supaya lebih mudah ingat.

Buat pembaca yang inginkan bacaan lanjut tentang poligami, boleh ke laman web Mudahnya Poligami. Ada banyak juga isu berhubung poligami dikupaskan didalamnya.

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: