Masalah kutu pada kucing, adalah merupakan salah satu masalah biasa yang perlu dihadapi oleh pemilik kucing.
Kebiasaannya, kucing akan diserang kutu apabila kebersihan kucing dan kawasan sekitar tempat kucing selalu bermain tidak dijaga dengan baik.
Boleh jadi juga keadaan dimana kucing kita terkena serangan kutu disebabkan mereka ada bergaul dengan kucing lain yang memang ada kutu pada badannya. Ini biasa berlaku pada kucing yang hidup bebas diluar rumah.
Mungkin pada satu hari, kucing tersebut ada didatangi oleh kucing lain yang sudah ada kutu pada badannya. Apabila kucing kita berada terlalu dekat dengan kucing tersebut, akhirnya ada beberapa ekor kutu yang melompat ke badan kucing milik kita.
Oleh sebab baru-baru ini, kucing-kucing saya diserang oleh kutu dan kesannya agak teruk, jadi saya rasa ada baiknya saya kongsikan disini pengalaman saya menangani masalah kutu pada kucing.
Pada peringkat permulaan, kutu hanya terdapat pada badan, disekitar tengkuk dan bawah perut sahaja.
Tapi tak lama lepas tu, bilangan kutu makin bertambah banyak. Kalau dekat dalam rumah tu, kita boleh terkena gigitan kutu walaupun pada waktu tu kita cuma duduk santai di sofa dan atas lantai juga boleh kelihatan beberapa ekor kutu.
Kiranya masalah kutu ini dah capai satu tahap yang agak kritikal. Kalau kutu cuma terdapat pada badan kucing sahaja, itu masih ok lagi. Tapi kalau dah tahap atas lantai pun ada kutu, itu maknanya masalah kutu kucing ini dah agak teruk!
Pada masa ini, bukan kucing sahaja yang terseksa dengan kutu-kutu ini, orang yang duduk satu rumah dengan kucing tu pun turut jadi mangsa gigitan kutu.
Jadi saya nak kongsikan serba sedikit tindakan yang saya ambil bagi mengatasi masalah tersebut.
Petanda kucing ada masalah kutu
Sebelum saya terus bercerita tentang bagaimana saya selesaikan masalah kutu pada kucing ni, saya rasa baik saya selitkan juga perkara ini. Manalah tahu, ada antara pembaca yang sangat sibuk dan tak perasan yang sebenarnya kucing peliharaan anda sudah diserang kutu.
Kalau anda sendiri tak perasan yang kucing anda sudah diserang kutu, bagaimana anda nak bertindak dan beri rawatan kepada kucing anda, betul tak. Jadi disini saya kongsikan beberapa petunjuk yang sebenarnya kucing anda sudah diserang kutu. Cuba perhatikan gelagat kucing kita tu.
(1) Kucing anda terlalu kerap grooming dirinya sendiri
Kucing memang haiwan yang suka membersihkan dirinya. Kalau ada sebarang kekotoran yang melekat pada bulu, ia akan segera hilangkan kekotoran tersebut dengan menjilat-jilat bulunya.
Walaubagaimanapun, kalau dalam satu-satu masa, ia asyik menjilat-jilat bulunya, lebih kerap dari kebiasaan, itu satu petanda yang dekat badannya sudah ada kutu.
Ataupun kalau anda sudah grooming kucing anda, dan ia masih lagi menjilat-jilat bulunya, maka kat sini kena berikan perhatian. Ia mungkin disebabkan oleh kutu.
(2) Kucing anda kerap menggaru badannya
Kalau cuma sekadar menjilat itu masih ok lagi, tapi kalau mereka dah mula menggaru, kena perhatikan betul-betul sebabnya mereka mungkin akan mula mencederakan diri sendiri akibat terlalu kerap menggaru.
Bila ada luka pada badan, ia boleh jadi makin melarat bila dah terkena jangkitan kuman dan sebagainya. Luka yang disebabkan oleh masalah kutu akan sentiasa basah dan cukup lambat untuk sembuh.
Selagi mana kutu masih ada pada kucing kita, selagi itu dia akan terus menggaru. Kalau kebetulan kucing kita tu garu ditempat yang ada luka, ini akan menyebabkan luka tersebut lambat sembuh.
(3) Bulu kucing semakin menipis atau kucing kita mula menggigit-gigit bulunya sendiri hingga tertanggal
Bila jilat tak ada sebarang hasil dan menggaru pun masih tak dapat nak hilangkan gatal disebabkan oleh gigitan kutu, kucing akan mula menggigit-gigit bulunya sendiri hingga tertanggal.
Kalau anda tak check betul-betul, anda mungkin masih tak perasan ada kutu pada kucing anda sebabnya kutu tersebut telah dibersihkan oleh kucing anda.
(4) Anda boleh nampak kutu apabila anda selak-selak bulu kucing
Kutu pada kucing agak halus. Anda perlu selak bulunya untuk nampak kehadiran kutu. Biasanya kutu akan ada di sekitar perut, tengkuk, dan celah peha.
Untuk buang kutu pada kucing juga bukan mudah. Tak semudah tangkap dengan jari, sebab kutu-kutu tersebut boleh bergerak dengan laju disebalik bulu-bulu kucing. Kena ada alat dan cara khas untuk buang kutu kucing.
Memang rasa kesian bila tengok kucing kesayangan kita ni asyik tergaru-garu. Kutu yang bersembunyi disebalik bulu pula bukannya mudah untuk dikeluarkan.
(1) Mandikan kucing
Bila dah nampak kucing asyik tergaru-garu, mandikan kucing tu. Gunakan syampu yang ada ubat untuk bunuh kutu. Kebanyakkan syampu kutu untuk kucing yang saya pernah guna, tidak membunuh kutu.
Saya rasa syampu itu semua hanya berkesan untuk pengsankan kutu-kutu yang ada pada badan kucing semata. Bila kutu dah pengsan, senang untuk sikat dan keluarkan kutu-kutu yang ada menggunakan sikat kutu.
(2) Gunakan sikat kutu
Kita tak boleh hari-hari mandikan kucing tu. Kalau ikut saranan daripada vet, mandikan kucing ni dalam seminggu sekali atau dua minggu sekali. Kalau mandikan setiap hari atau terlalu kerap, nanti kucing boleh kena penyakit.
Saya gunakan sikat kutu yang sama macam gambar dekat atas ini. Sebelum ini pernah guna jenis yang agak berbeza, tapi saya rasa selepas guna jenis yang macam dalam gambar, saya lebih suka yang jenis macam tu.
Lagi satu saya dapati ruang antara mata sikat tu lebih rapat dan ini memudahkan untuk dapat tangkap kutu dengan hanya sekali sikat.
Sebelum nak mula gunakan sikat kutu ini, saya sarankan anda sediakan bekas yang anda telah isikan air bancuhan sabun. Setiap kali anda sikat kucing anda menggunakan sikat kutu kucing ini, terus tangkap kutu yang terlekat pada sikat kutu kucing dan masukkan kutu tadi dalam air sabun.
Kutu tersebut akan terus tenggelam dan mati lemas dalam air sabun. Kalau air yang digunakan tak dicampur dengan sabun, kutu akan terapung di permukaan air dan ada kemungkinan untuk kutu-kutu tersebut melompat keluar.
Jadi sia-sia pula kerja kita menyikat sebab kutu tersebut terlepas keluar dan kemungkinan akan hinggap semula pada badan kucing.
(3) Kolar kucing untuk masalah kutu
Benda ini pun saya pernah cuba guna. Untuk permulaan, saya cuma beli dua kolar sahaja. Dalam tempoh percubaan tu, saya dapati bilangan kutu pada badan kucing tu memang berkurang.
Sebenarnya pada kolar tersebut, ada diletakkan ubat kutu. Cuma sayangnya, saya tak tahu, apa nama ubat yang diletakkan pada kolat tersebut. Lama kelamaan apabila kesan ubat itu makin berkurang, kutu akan kembali menyerang kucing tersebut walaupun masih memakai kolar tersebut. Kita kena sentiasa tukar kolar yang baru apabila ia sudah mula hilang keberkesanannya.
Nampak comel juga bila kucing kita dipakaikan kolar. Kalau anda memang biasa lepaskan kucing untuk bermain di luar, at least ada orang yang tahu yang kucing tersebut sebenarnya ada tuan.
(4) Hantar kucing ke Vet dan dapatkan ubat dari klinik
Kalau anda malas nak pening-pening nak fikirkan penyelesaian kepada masalah kutu pada kucing anda, caranya mudah sahaja. Hantar sahaja kucing anda berjumpa dengan doktor haiwan. Mereka ada ubat yang sangat berkesan untuk bunuh kutu.
Saya juga pernah dapatkan ubat dari vet. Harga untuk satu tiub ubat adalah lebih kurang RM20. Oleh sebab saya ada 15 ekor kucing, maka saya perlukan sekurang-kurangnya RM300 untuk beli ubat untuk kesemua kucing-kucing saya ini.
Terus terang saya kata, saya tak ada bajet sebanyak tu. Lagipun kos untuk beli makanan dan pasir untuk semua kucing-kucing yang ada di rumah saya pun dah agak mahal. (lebih kurang sama dengan kos nak beli ubat kutu)
(5) Ubat jenis spray untuk masalah kutu kucing
Bila saya ceritakan dilema yang saya hadapi tentang masalah kutu ini dengan salah satu pet shop yang selalu saya kunjungi, staf dekat sana cadangkan saya guna ubat jenis spray.
Oleh sebab bilangan kucing yang banyak, dia pun faham kos untuk beli ubat akan jadi tinggi. Jadi untuk sementara waktu, bagi mengawal masalah kutu, gunakan ubat kutu jenis spray.
Saya gunakan pelbagai jenis ubat, dan salah satunya adalah dari jenama Frontline.
Masa nak spray ubat ini, kita kena pastikan ubat ni kena pada kulit. Kita kena selak-selak bulu kucing hinggalah nampak permukaan kulit. Selepas letak ubat, jangan mandikan kucing untuk selama 2 ke 3 hari.
Sebaik-baiknya, sebelum nak spray ubat ini, mandikan kucing dulu, sikat, dan pengsankan dulu kutu-kutu yang ada pada badan kucing. Lepas tu barulah spray.
(6) Gunakan ubat kutu jimat dari Lazada
Saya tak tahu apa nama ubat kutu ni. Ia ditulis menggunakan tulisan cina. Harga ubat kutu ni berkali ganda lagi murah daripada harga ubat di klinik.
Boleh beli sekotak kecik atau beli sekali 10 kotak. Kalau tengok dekat Lazada, harga dia tak sama. Beli sekali banyak lagi jimat.
Penggunaan dia pun sikit sahaja. Seekor kucing hanya perlu letak setengah botol sahaja. Ia ditentukan oleh berat kucing. Untuk kucing yang beratnya 5 kilo dan kebawah, hanya perlu letak separuh botol. Kalau kucing tu beratnya 5 kilo, barulah guna sebotol.
Saya beli 10 botol. Masih ada baki setelah letakkan ubat ini pada kucing-kucing saya. Ianya bukan setakat jimat, malahan sangat berkesan. Anda boleh pergi ke halaman ini untuk buat tempahan.
Kekerapan letak ubat kutu kucing
Baru-baru ini, saya ada dapat nasihat dari vet yang menyarankan saya untuk berikan ubat kutu pada kucing setiap 3 bulan. Ini untuk mengelakkan serangan kutu. Biasanya ubat kutu boleh halang kehadiran kutu untuk tempoh 3 bulan.
Kalau cuma letak ubat kutu sekali sahaja, tak mustahil untuk kutu datang semula. Kadang-kadang dekat rumah saya, ada kucing yang tak bertuan datang untuk tumpang makan. Ada juga kucing ini yang saya berikan ubat kutu.
Kali pertama kucing tersebut datang, badannya memang banyak kutu. Sama jenis dengan kutu yang serang rumah. Terus cepat-cepat saya berikan ubat kutu pada kucing tersebut. Selepas dua tiga hari, kucing yang sama datang sekali lagi. Kali ini saya tengok badannya dah tak ada kutu.
Kiranya ubat kutu kucing cina ni memang bagus! Tak sia-sia beli banyak-banyak.
Masalah kutu merebak ke satu rumah
Disebabkan kutu makin hari makin banyak, masalah ini makin lama makin melarat hingga menyebabkan satu rumah dipenuhi dengan kutu.
Ada tempat-tempat tertentu didalam rumah, yang bila saya masuk, kaki saya akan dipenuhi dengan kutu. Kutu ini ada di atas lantai, dan ada juga yang memanjat naik ke kaki.
Satu minggu tersebut sangat menyeksakan. Setiap masa asyik tergaru-garu, sampai luka-luka pada kulit. Yang peliknya, sampai dekat dalam kereta pun ada kutu juga. Mungkin ada kutu yang memang dah lekat pada seluar, terjatuh pada karpet kereta.
(7) Vakum dan mop lantai 2 atau 3 kali setiap hari
Saya boleh nampak, ada banyak kutu yang melompat-lompat atas lantai. Terpaksalah vakum satu rumah dua kali sekurang-kurangnya setiap hari. Awal pagi vakum sekali, kemudian waktu tengahari dan seterusnya waktu malam.
Bila dah siap vakum, mop pula lantai dengan cecair pencuci. Perkara yang paling menyakitkan hati ialah, bila kita dah mop waktu pagi, tengahari tu dah ada banyak balik kutu. Entah dari mana kutu-kutu ni semua datang!
(8) Taburkan garam halus disekitar kawasan lantai
Tujuannya adalah untuk membuatkan kutu terhidrasi apabila terkena garam. Saya ada baca diinternet, ada orang yang tabur garam pada karpet, dan tempat-tempat yang dipercayai menjadi tempat sasaran kutu.
Tapi cara ini tak berapa sesuai untuk diletakkan pada tempat yang menjadi kawasan laluan kucing. Garam akan melekat pada bulu. Bila kucing tu jilat bulu dia, nanti akan menyebabkan masalah pada kesihatan kucing tu.
Vet yang saya pernah jumpa pernah kata, kucing boleh kena batu karang kalau makan makanan yang tinggi kandungan garamnya. Cuba bayangkan kalau kucing ni menjilat garam! Tidak ke ini lagi bahaya?
Saya hanya tabur garam dibilik tidur sahaja. Kawasan bilik tidur adalah kawasan yang saya tak akan benarkan kucing-kucing saya untuk masuk.
(9) Buat pelita kutu untuk memerangkap kutu yang ada diatas lantai
Cara buatnya senang sahaja. Ambil sebuah besen. Isikan air didalamnya dan campurkan dengan sedikit cecair sabun. Cecair sabun ini tujuan adalah untuk memastikan kutu yang melompat masuk ke dalam besen yang berisi air ini akan terus tenggelam ke dasar.
Kalau anda tak letak sabun, kutu ini akan terapung dipermukaan air dan akan ada kemungkinanan untuk kutu yang dah masuk melompat keluar dan berjaya menyelamatkan diri.
lKemudian nyalakan lilin yang macam dalam gambar ini. Lilin macam ni ada banyak dijual di Ikea. Lilin ini boeh terapung atas permukaan air.
Kalau anda kurang yakin, bolehlah letak apa-apa barang yang berat supaya tenggelam dalam air besen kemudian lilin ni letak atas barang tersebut.
Setiap malam buat pelita lilin ini, dan esoknya anda boleh lihat ada banyak juga kutu yang terperangkap dalam perangkap ini.Walaubagaimanapun, ini masih tidak menyelesaikan masalah kutu di rumah ya.
(10) Gunakan fogger untuk bunuh kutu dalam rumah
Fogger ni pun ada dijual dekat laman web lazada. Saya ada terfikir untuk gunakan fogger ini untuk kediaman saya. Maklumlah waktu tu kutu memang dah agak banyak atas lantai.
Setelah buat kira-kira, saya rasa macam tak berapa berbaloi nak beli benda ni. Rumah yang saya tinggal sekarang ni, ada 4 buah bilik, satu ruang tamu, satu dapur. Jadi saya perlu sekurang-kurangnya 4 tin fogger ni.
Oleh sebab dari segi kos ia agak mahal jadi saya terpaksa buat keputusan yang saya rasa lebih menyakinkan, iaitu….
(11) Panggil Pest Control datang rumah untuk buat kerja-kerja pembasmian kutu
Masalah kutu kucing dekat rumah saya, betul-betul selesai selepas saya panggil khidmat Pest Control. Dekat luar sana saya rasa ada banyak syarikat yang buat kerja-kerja pest control ini..
Dalam situasi saya, saya menggunakan khidmat dari syarikat Eco Shield Pest Control (002408632-W)
Anda boleh ke halaman ini untuk akses ke web rasmi syarikat ini.
Masalah kutu yang saya hadapi boleh dikatakan agak teruk sampai saya terpaksa panggil khidmat pest control. Apa pun, sebelum nak panggil pest control, kena pastikan anda juga ada beri rawatan kutu kepada kucing-kucing anda. Jika tidak, usaha ini boleh jadi sia-sia, sebabnya punca kutu masih ada pada kucing anda.
Sekarang ini, Alhamdulillah dah tak ada kutu pada kucing dan juga pada kawasan rumah. Semoga apa yang saya kongsikan dalam ini, membantu anda yang juga mungkin ada masalah kutu kucing.
(12) Vakum kutu kucing
Dalam usaha anda untuk hilangkan kutu kucing, mungkin anda akan ternampak iklan vakum kutu kucing seperti ini.
Saya pernah beli vakum ini untuk masalah kutu kucing yang saya hadapi. Besar jugak harapan pada waktu tu, yang alat ini akan berfungsi seperti mana yang diiklankan.
Anda boleh beli kalau anda rasa berkenan nak cuba. Cuma saya nak cerita sikit pengalaman saya guna vakum yang seumpama ini. Saya tak pasti, kalau dipasaran ada pelbagai jenis vakum dengan jenama yang berbeza. Saya nak cerita tentang jenis yang saya beli.
Macam biasa, saya beli online dari portal online Shopping Lazada. Saya tak jumpa vakum seperti ini dijual di pet shop berhampiran saya. Bila sampai je produk ini, saya pun terus cuba pada kucing-kucing saya.
Bila saya on je suis, terus melompat kucing-kucing saya tu. Sebabnya bunyi dari vakum ini agak kuat, dan kucing-kucing saya tak berapa selesa dengan bunyi bising yang terhasil dari vakum ini.
Kemudian, bila kucing saya dah mula tenang, saya pun cuba gunakan vakum ini. Rupanya tak seindah iklan. Kuasa sedutannya tidaklah begitu kuat. Kaki kutu lebih kuat mencengkam pada bulu kucing, berbanding kuasa sedutan pada vakum ini. Cuma ada beberapa ekor kutu sahaja yang terlekat pada vakum.
Pengalaman saya sendiri, saya kurang puas hati dengan vakum kutu ini. Kalau anda nak beli juga, terpulang pada anda. Saya syorkan, jangan beli online. Beli dekat kedai fizikal, itupun kalau ada. At least kalau beli di kedai, anda boleh test dulu, dan kalau puas hati barulah beli.
Kalau beli online, kita tak tahu sejauh mana kekuatan kuasa sedutan. Bila dah beli dan barang dah sampai dalam tangan, baru rasa menyesal beli.
[…] yang saya beritahu sebelum lagi perangkap ini tidak menyelesaikan masalah kutu tetapi ia berguna untuk mengurangkan bilangan kutu yang ada pada lantai rumah […]