Memakan makanan Hasil Usaha Sendiri adalah lebih baik daripada meminta-minta

by sabree hussin on October 6, 2016

in Sketsa Hidup

Dalam seminggu, mungkin adalah dalam sekali atau dua kali saya akan masak sendiri makanan dirumah. Selebihnya, saya akan makan diluar.

 

Nak kata makan kat restoran ni lebih murah pun tak juga. Tetapi yang pasti, ia lebih menjimatkan masa. Untuk mereka yang sentiasa sibuk, memang menjadi satu kebiasaan untuk makan di restoran. Kita cuma perlu order sahaja apa yang kita nak makan. Selebihnya tukang masak yang akan sediakan untuk kita.

 

Cuba bandingkan dengan masak sendiri. Mula-mula kita terpaksa keluar beli barang. Sama ada ke pasar, kedai runcit atau mungkin ke Tesco untuk beli barang mentah. Kemudian, kena masak satu per satu. Seterusnya baru hidang dan sedia untuk dimakan. Kalau waktu cuti, bolehlah masak sendiri. Tapi kalau hari bekerja, memang terpaksa makan di luar.

cara-memulakan-perniagaan-restoran

 

Satu perkara yang saya kurang berkenan dengan makan kat restoran ni ialah, wujudnya gangguan daripada golongan yang mencari rezeki dengan cara meminta sedekah. Perkongsian ini bukannya berniat untuk kondem atau hina golongan peminta sedekah. Saya harap para pembaca jangan salah faham.

 

Apabila ada peminta sedekah yang datang kepada anda, ia menjadi hak anda untuk beri sumbangan atau tidak. Mudah-mudahan apa yang anda lakukan dinilai sebagai ibadah dan seterusnya diberi ganjaran oleh Allah SWT.

 

Namun, ada beberapa golongan peminta sedekah yang memang saya tak berapa berkenan. Kisahnya begini.

 

Pada satu hari saya ke Pizza Hut untuk membeli makanan untuk makan malam. Memandangkan cawangan Pizza Hut yang saya pergi ni adalah khusus untuk delivery, jadi tiada ruang makan yang disediakan. Meja dan kerusi yang disediakan lebih kepada ruangan untuk menunggu.

 

Sedang saya menunggu pesanan saya disiapkan, tiba-tiba datang pasangan berbangsa asing, yang mungkin suami isteri datang ke meja saya. Si suami dengan berbaju kemeja dan berseluar slack cuba untuk berkomunikasi dengan saya. Disebabkan bahasa Inggeris yang dia gunakan kurang baik, jadi saya cuma dapat tangkap beberapa patah perkataan. Dia nak mintak duit dari saya.

 

Kemudian saya alihkan pandangan kepada si isteri yang berada disebelahnya. Sedang khusyuk makan ais krim cornetto.

 

“Apa hal dia ni. Yang laki duk sibuk mintak sedekah, yang perempuan pulak tengah syok makan ais krim!”

 

Saya pandang si lelaki tu atas bawah. Semuanya nampak sempurna, dan laki tu pun nampak sihat wal afiat. Speechless saya.

 

Satu lagi kejadian terjadi masa saya sedang makan di salah sebuah kedai makan. Saya order mee celup. Sejak akhir-akhir ni, saya suka makan mee celup pulak. Sedap rupanya. Sebelum ni saya selalu order bakso sahaja ha ha.

 

Seorang lelaki menghampiri meja yang saya dan isteri duduk. Terus duduk bertentang dengan kami. Tiba-tiba dia bagi salam.

“Assalamualaikum…” ย 

 

Saya jawab ucapan salam tu perlahan. Dalam hati terdetik juga perasaan curiga. Macam ada yang tak kena. Kalau tiba-tiba ada pengunjung lain yang peramah macam ni, biasanya ada “sesuatu” akan berlaku. Sama ada dia nak jual barang, ataupun dia nak mintak duit. Kemudian, selepas dia beri salam, dia ada cakap sesuatu yang ayatnya lebih kurang begini bunyinya.

“Bang… laparlah. Boleh tak bagi lima ringgit nak beli makanan la.”

 

Saya pandang dia. Atas bawah saya pandang. Badan tegap. Pakaian agak kemas kalau nak dibandingkan dengan saya pada waktu tu. Dari air muka dia, langsung tak menunjukkan yang dia ni ada penyakit. Semuanya kelihatan ok.

 

Mujurlah saya dah nak habis makan dan makanan tu pun dah dibayar. Bila dia mintak duit tu, saya dan isteri terus bangun nak keluar dari kedai makan tu. Saya tak toleh belakang, tapi isteri saya ada bagitahu yang lelaki tu cuba nak ikut kitorang.

 

Apa masalah diorang ni?

 

Baiklah, sekarang ni saya nak kongsikan hadis yang saya baca dari Kitab Riyadus Solihin.

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan lafaz hadis ini sesuai lafaz Bukhari daripada Hakim bin Hizam r.a., bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Cukupilah nafkah orang yang menjadi tanggunganmu terlebih dahulu (sebelum memberi kepada yang lebih jauh). Sedekah yang paling utama adalah yang diberikan setelah sekadar dipenuhi keperluan asas. Sesiapa yang menjaga kesucian diri, maka Allah akan menjaga kesucian dirinya. Sesiapa yang merasa cukup (sehingga mampu menjaga diri dari meminta-minta) maka Allah akan memberikannya kecukupan.” (Riwayat Al-Bukhari no. 1427 dan Muslim no. 1034)

 

Apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, kebiasaannya memang saya tak akan bagi apa-apa. Saya akan senyum sahaja kemudian saya akan berlalu pergi. Bukannya saya tak nak bantu, tetapi saya ambil pendekatan untuk mengutamakan yang lebih penting dan UTAMA daripada individu-individu ini semua.

 

Lihat pada ayat “… Cukupilah nafkah orang yang menjadi tanggunganmu terlebih dahulu (sebelum memberi kepada yang lebih jauh)…”

 

Mudah-mudahan, jika benar orang yang meminta-minta itu memang betul-betul susah, akan ada seseorang yang akan tampil bagi membantu.

 

Saya bukannya nak menghasut para pembaca untuk tidak membantu orang yang meminta pertolongan, sebaliknya saya nak kongsikan kepada para pembaca maksud hadis diatas. Bila bercerita dari segi keutamaan, sebenarnya adalah lebih menjadi keutamaan untuk kita penuhi nafkah orang yang menjadi tanggungan kita.

 

Bagaimana pula orang yang meminta-minta ini? Hakikatnya, adalah lebih baik bagi dirinya untuk berusaha sendiri mencari rezeki berbanding dia meminta-minta kepada orang lain. Itu lebih baik dan lebih utama untuk dirinya.

 

Memakan makanan hasil usaha sendiri adalah lebih baik daripada meminta-minta

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Zubair bin Awwam r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Seseorang daripada kamu yang mengambil talinya, lalu pergi mencari kayu api dan memikulnya sendiri, lalu menjualnya, sehingga Allah menjaganya daripada meminta-minta, maka yang demikian ini lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain, sama ada diberi atau tidak.”

(Riwayat al-Bukhari no. 1471)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya

“Seseorang yang mencari kayu api, lalu memikulnya sendiri adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain, sama ada diberi atau tidak.”

(Riwayat al-Bukhari no. 1470 dan Muslim no.1042)

 

Bukhari meriwayatkan daripada Miqdam bin Ma’di Karib r.a., daripada Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya

“Tidaklah seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan daripada hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud a.s juga memakan daripada hasil usahanya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari no. 1966)

 

Kadang-kadang sikap kita yang terlalu mudah memberi (kemudian rasa menyesal) yang membuatkan segolongan manusia ini terus hidup meminta-minta. Bukannya susah sangat nak jadi peminta sedekah. Asalkan dapat buang rasa malu, kerja meminta sedekah itu sebenarnya sangat mudah. Hanya perlu minta sahaja.

 

Walaubagaimanapun, ingatlah. Jika kita ada kekuatan, ada kemampuan, mempunyai tubuh badan yang sihat dan sempurna serba serbi, memakan makanan hasil daripada usaha sendiri itu sebenarnya adalah lebih baik daripada meminta-minta, sama ada diberi ataupun tidak.

 

Be Sociable, Share!

{ 13 comments… read them below or add one }

mrhanafi October 6, 2016 at 5:41 am

sikap meminta-minta susah terlatih dari kecil tu..

bila dah besar memang tak malu untuk meminta-minta..

Reply

raihanah October 6, 2016 at 8:49 am

betul tu, usahalah sebaik mungkin

Reply

matdin October 8, 2016 at 8:57 am

usaha tangga kejayaan.. hehe…

Reply

Introducer maybank/cimb-0127292850 October 9, 2016 at 2:09 am

Ramai yg mahukan income mudah tnpa kerja skrg ni sehingga sggup minta sedekah wlaupun sihat…

Reply

Uncle Zuan October 9, 2016 at 4:38 pm

betul la tindakkan tu. berkait rapat dengan ‘tolong diri sendiri dulu sebelum tolong orang lain’

Reply

Hawa Hassan October 12, 2016 at 1:12 pm

Saya tilik dulu, kalau hati kata betul dia memerlukan, saya beri, kalau ada rasa musykil kat mana-mana saya buat tak reti. Saya lebih suka offer makanan berbanding bagi duit (tolong beli makanan kat kedai tu juga, kalau betul dia lapar memang jelas nampak). Meminta-minta tak diajar dalam Islam.

Reply

Belajar Membaca October 17, 2016 at 2:52 pm

Tidak meminta-minta kepada makhluk tentang hal dunia atau akhirat adalah satu bentuk menjaga kehormatan diri..Minta Hanya Pada Allah,walaupun garam yang dibuat makanan..

Reply

AZLAN YUSSOF October 17, 2016 at 4:50 pm

pada saya, kita ajak org yang meminta-minta tu makan..belanje makan ..
jika dia tak nak, masih nak duit, mungkin kita perlu ikut kata hati,,,

Reply

Ikhwan October 20, 2016 at 3:22 pm

Hairan, ke mana anak-anak mereka sampai si orang itu minta sedekah untuk hidup?

Reply

PAJSK October 25, 2016 at 4:34 pm

kekadang kesian juga tengok kakau yg meminta2 tu org yang kurang upaya…

Reply

Malaysia Sentral October 26, 2016 at 5:59 pm

betul2, kalau hasil usaha sendiri rasa lebih puas hati

Reply

Almond October 29, 2016 at 7:07 pm

Setuju mas, makan hasil keringat sendiri lebih terasa nikmatnya ๐Ÿ˜€
lebih bisa menghargai jerih payah..

Reply

epermohonan October 30, 2016 at 7:25 pm

kepuasanbyangbtidak terkata bila berbelanja menggunakan hasil titik peluh sendiri

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: