Bagaimana cara menggunakan strategi content marketing, untuk membuat jualan diinternet?
Kalau anda mempunyai persoalan yang sama, artikel ini adalah untuk anda.
Kali ini kita akan bincangkan bagaimana menggunakan kaedah pemasaran kandungan bagi tujuan membuat jualan untuk produk dan juga perkhidmatan.
Setiap orang mempunyai sebab dan motivasi yang berbeza, yang mendorong mereka untuk menghasilkan dan mencipta konten.
Konten itu asalnya tiada.
Ia hanya wujud dalam minda dan imaginasi penciptanya.
Tapi akhirnya, ia diberikan bentuk dan wujud dalam keadaan yang kita boleh lihat ia sebagai sama ada suatu artikel, video, audio dan sebagainya.
Cuba bayangkan kalau seseorang itu memilih untuk tidak mencipta konten dan membiarkan idea tersebut terus berada dalam kotak fikirannya. Sampai satu masa, cetusan idea tersebut akan hilang begitu sahaja dan akan dilupakan.
Ya, tak ada siapa yang akan tahu apa yang ada dalam fikirannya.
Jika konten tersebut ternyata adalah sebuah konten yang bermanfaat, tak ada siapa yang akan meraih manfaat dari konten yang dimaksudkan.
Idea ini kadang-kadang datang dalam keadaan yang tanpa diduga.
Sewaktu tengah mandi, semasa membaca buku, semasa menonton filem, semasa sedang makan dan sebagainya.
Kadang-kadang kita akan dapat idea yang sangat bernas, yang tak terfikir dek sesiapapun.
Kadang kala idea yang kita perolehi sifatnya biasa-biasa sahaja dan mungkin ada orang lain sebelum kita yang pernah terfikir idea yang sama.
Kenapa orang menghasilkan konten?
Individu yang mencipta konten, kita namakan ia sebagai content creator.
Ada orang yang mencipta konten secara aktif dan ada juga yang mencipta konten secara kasual. Kalau nak jadikan content creator sebagai suatu kerjaya, maka sudah tentu kita perlu hasilkan konten secara aktif.
Individu yang buat duit melalui konten dan mempromosikan produk atau perkhidmatan melalui konten yang dihasilkan, kita namakan dia sebagai seorang content marketer.
Kebiasaannya, dalam konten yang dihasilkan akan dimuatkan atau terselit kandungan iklan yang membolehkan dia menjana pendapatan sekiranya berlaku jualan.
Walaubagaimanapun, bukan semua content creator mencipta kandungan semata-mata sebab duit. Masih ada sebab lain yang menjadi motivasi kenapa seseorang itu mencipta kandungan.
Mari kita lihat, sebab lain kenapa seseorang itu mencipta konten.
(1) Tujuan pendidikan (to educate)
Untuk membentuk masyarakat yang maju dan bertamadun, kita memerlukan setiap lapisan masyarakat supaya berkelakuan dengan baik, beradap dan saling bertoleransi. Hal ini hanya dapat dicapai melalui pendidikan.
Pendidikan ini pula, kita boleh perolehi sama ada secara formal ataupun tak formal.
Kalau secara formal, kita mengikuti kelas dan belajar diinstitusi pendidikan.
Manakala melalui kaedah yang tak formal, adalah dengan mengikuti contoh baik yang ditunjukkan oleh individu yang kita minati sama ada di media sosial, blog ataupun di Youtube.
Diluar sana, ada banyak content creator yang menghasilkan konten bagi tujuan berkongsi ilmu dan kepakaran.
Berkongsi ilmu, tidak akan menjadikan seseorang itu miskin, sebaliknya ia akan menjadikan individu tersebut semakin bertambah pakar dalam bidang tersebut.
(2) Tujuan Hiburan (for entertainment)
Sudah tentu, ada juga content creator yang mencipta konten bagi tujuan hiburan, untuk berseronok, untuk melepaskan stress dan sebagai hiburan ringan ketika penat.
Ya, hidup ini tak boleh terlalu serius setiap masa. Sekali sekala, kita tetap perlukan hiburan.
Konten berunsurkan nyanyian, tarian, jenaka dan sebagainya.
(3) Tujuan Propaganda
Terdapat juga individu yang mencipta konten bagi tujuan mengembangkan idea dan mempengaruhi orang lain, agar menyokong idea dan gagasan yang dibawa olehnya.
Kebiasaannya, mereka yang cenderung untuk menyebarkan propaganda ini, adalah mereka yang terlibat secara aktif dalam bidang politik. Matlamat mereka agar masyarakat menerima ideologi dan agenda politik yang ingin dibawa olehnya.
(4) Memberi Inspirasi (to inspire)
Kemudian ada juga content creator yang menghasilkan konten bagi tujuan memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain, supaya jadi lebih berani dan kuat dalam menghadapi cabaran hidup.
(5) Menyuarakan pendapat @ bantahan
Ada juga content creator yang hanya akan mencipta konten baru apabila dia ingin menyuarakan pandangan dan pendapat berhubung suatu isu. Jika ada banyak isu yang dekat dihati dia, maka ada banyaklah konten yang bakal dihasilkan.
Jika tidak, maka akan sunyi sepi la dia.
(6) Untuk membina jenama (branding)
Dalam proses untuk membina suatu jenama perniagaan, content creator juga boleh menggunakan strategi ini. Mereka akan hasilkan konten yang mengetengahkan hasil kerja, kepakaran, dan kelebihan yang ada pada jenama mereka.
Dengan berbuat demikian, mereka mensasarkan untuk membina senarai pengikut yang lebih besar.
(7) Membina komuniti yang sama pemikiran
Kebanyakkan individu yang merupakan social media influencer pada hari ini, banyak yang bermula dari sini. Mereka mencipta konten kerana ingin berkongsi minat dan ingin berkenalan dengan individu lain yang mungkin mempunyai minat yang lebih kurang sama.
Tapi lama kelamaan, oleh kerana follower makin bertambah, akhirnya daripada ingin berkongsi minat semata, dia akhirnya dikenali sebagai seorang influencer.
(8) Menyampaikan cerita atau informasi
Selain itu, ada juga content creator yang menghasilkan konten kerana mereka ingin berkongsi cerita, pengalaman dan menyampaikan maklumat kepada orang lain.
Dalam kesempatan ini, saya bukanlah nak bincangkan mengenai sebab-sebab lain yang wujud kenapa orang mencipta konten. Sebaliknya, saya ingin fokus perbincangan ini kepada membina konten bagi tujuan pemasaran atau content marketing.
Tujuan saya senaraikan sebab-sebab kenapa orang mencipta konten, adalah supaya pembaca tahu, bahawa bukan semua orang yang mencipta konten itu matlamatnya mesti sebab nak buat duit atau sebab nak buat jualan.
Bukan apa, saya khuatir kalau-kalau ada yang salah anggap.
Asalkan seseorang tu buat konten je, anda terus anggap dia buat konten sebab nak buat duit.
Sedangkan hakikatnya tak begitu.
Masih ada banyak lagi sebab lain kenapa dia buat konten.
Tapi kalau dalam setiap konten yang dia hasilkan, pasti ada link affiliate, ada rekemen produk, maka kategori content creator yang ini bolehlah kita katakan sebagai content marketer.
Mereka ini memang buat konten sebab nak buat duit.
In fact tak salah pun kalau nak buat content semata-mata sebab nak buat duit. Lagipun setiap orang kan memang sedang berusaha untuk mencari pendapatan yang halal.
Walaubagaimanapun, suka untuk saya tekankan disini. Kita berada dalam situasi yang dinamik dan bukannya statik. Boleh jadi individu tersebut menghasilkan konten pada mulanya sekadar untuk hiburan atau pendidikan.
Tapi lama-kelamaan matlamat tersebut berubah kepada bertujuan untuk menjana pendapatan.
Bila peluang untuk buat duit dah terhidang depan mata, apa salahnya manfaatkan peluang tersebut. Betul tak?
Konten bertindak sebagai seorang jurujual
Sebenarnya, ini adalah topik yang saya nak bincangkan dalam penulisan disini.
Bagaimana cara untuk kita jadikan konten yang kita hasilkan sebagai jurujual yang dapat membantu kita buat jualan secara automatik diinternet.
Konten yang anda hasilkan, sebenarnya boleh membantu anda dalam merancakkan aktiviti jualan di internet. Kita boleh bayangkan, konten anda ibarat seorang jurujual profesional.
Bagaimana ianya boleh berlaku sedemikian rupa? Kita bayangkan situasi seperti ini.
Pada mulanya, bakal pelanggan tak mengenali siapa anda, produk anda dan apa tawaran anda. Tetapi pada satu hari, dia terjumpa konten yang anda hasilkan.
Pada peringkat permulaan, bakal pelanggan ini akan berinteraksi dengan konten yang anda hasilkan.
Jika dia suka dengan konten yang anda hasilkan, besar kemungkinan dia akan baca artikel yang anda tulis atau menonton video yang anda rakam, dari mula hingga habis.
Anda perlu faham, bagaimana cara bakal pelanggan anda berfikir, sebelum mereka buat keputusan sama ada nak membeli sesuatu produk ataupun tidak.
(1) Pelanggan anda mempunyai masalah tertentu, dan dia perlu cari cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Apa yang mereka ini akan lakukan?
Hidup mereka ini tak akan tenang, selagi mana masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. Masalah disini boleh jadi masalah yang kecil, sederhana ataupun mungkin masalah yang agak besar.
Selagi mana masalah tersebut masih belum selesai, dia akan terus mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan situasi mereka. Sudah tentu, mereka ini tak akan terus membeli apa-apa produk yang terus dipromosikan kepada mereka.
Sebaliknya, mereka akan mempertimbangkan setiap cadangan yang lalu dihadapan mereka.
Konten yang anda hasilkan, ibarat suatu cadangan untuk mereka ambil bagi menyelesaikan masalah yang mereka sedang hadapi.
Oleh itu, pastikan anda menghasilkan konten yang mampu untuk membantu golongan yang anda sasarkan untuk menyelesaikan masalah yang mereka ini sedang hadapi.
(2) Pelanggan anda ada matlamat tertentu, dan dia mahu capai matlamat tersebut
Setiap orang mempunyai keperluan, kemahuan, matlamat dan cita-cita tertentu.
Bergantung pada tahap kesungguhan seseorang, biasanya mereka ini akan dengan sedaya upaya cuba untuk merealisasikan matlamat tersebut.
Jika konten yang anda hasilkan, mampu memimpin tangan mereka sama ada untuk menyelesaikan masalah tertentu, ataupun mencapai matlamat tertentu, besar kemungkinan individu ini akan membuat keputusan yang memihak kepada anda.
Seorang jurujual profesional, dia faham kehendak dan keperluan bakal pelanggan.
Dia juga bercakap dengan pelanggan yang spesifik dan tidak cuba memuaskan hati semua orang.
Oleh yang demikian, apabila ada pelanggan yang menyamai profil pelanggan yang anda tetapkan dari peringkat permulaan lagi membaca artikel yang dihasilkan, atau berinteraksi dengan konten yang disiarkan, pelanggan ini akan merasakan seolah-oleh konten tersebut sedang bercakap secara hati ke hati dengan dirinya.
Ya, bakal pelanggan seperti inilah yang biasanya tak akan teragak-agak untuk menghubungi anda lalu membuat tempahan.
Mampukah konten menggantikan fungsi seorang jurujual?
Walaupun konten yang kita hasilkan itu mampu untuk bertindak menyamai peranan seorang jurujual, namun untuk mengatakan strategi content marketing ini mampu menggantikan sepenuhnya fungsi seorang jurujual, ianya agak mustahil.
Menarik kan, kalau hanya dengan membangunkan laman web atau portal video yang penuh dengan konten berkualiti tinggi, kita mampu membuat jualan secara automatik.
Namun, realitinya ia masih belum cukup.
Pelanggan masih lagi mahukan layanan yang berbentuk personal dari penjual.
Ada kategori pelanggan yang tak suka mencari sendiri atau sekadar berinteraksi dengan video. Dia masih lagi perlukan human interaction dengan bakal penjual. Sentuhan manusia masih lagi diperlukan oleh pelanggan seperti ini.
Mereka ini adalah bakal pelanggan yang suka bertanya soalan-soalan seperti
1. Stok masih ada lagi ke?
2. Bila masa paling cepat produk boleh hantar?
3. Boleh bagi cadangan antara produk A dengan produk B mana satu yang saya patut pilih?
Tapi ini bukanlah bermaksud ianya mustahil.
Apa yang kita boleh lakukan, adalah melatih konten kita agar ia dapat menyamai fungsi manusia dalam membuat jualan.
Ya saya tahu, anda mungkin ada soalan,
“Macam mana cara nak jadikan konten kita dapat berfungsi umpama seorang jurujual yang menghasilkan jualan untuk kita tanpa henti?”
Sebenarnya, memang ada kaedahnya.
Tips menjadikan konten sebagai jurujual maya
Kalau anda perasan, saya sebenarnya pernah beberapa kali bercerita mengenai perkara ini sebelum ini. Dari segi konsep, ianya ada banyak persamaan dengan strategi buat duit menerusi blog.
(1) Cipta buyer persona atau customer avatar
Kita wujudkan suatu identiti (atau personaliti) yang mewakili bakal pelanggan yang kita ingin sasarkan. Semakin kita jelas dengan identiti pelanggan tersebut, semakin tepat apa yang kita ingin sampaikan kepada watak tersebut.
(2) Define apa masalah yang dia hadapi dan cara penyelesaian
Apakah masalah yang spesifik yang dihadapi oleh individu tersebut? Kita sebut masalah tersebut secara jelas dan kita nyatakan dalam konten kita bahawa kita sangat faham situasi yang dihadapi oleh individu tersebut.
Kemudian kita katakan, bahawa kita telah menemui jalan atau cara yang ampuh untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebelum ini, kita juga telah bantu ramai orang.
(3) Fokus pada kelebihan produk
Kita mula memperkenalkan produk dan cerita mengenai kelebihan yang ada pada produk. Kelebihan tersebut mestilah sesuatu yang memang menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bakal pelanggan.
Sudah tentu, pada waktu ini bakal pelanggan ini mempunyai banyak persoalan dan masih belum betul-betul percaya dengan apa yang kita cadangkan.
(4) Jawab setiap persoalan bakal pelanggan
Cuba fikirkan, apakah agaknya persoalan-persoalan dan juga bantahan yang mungkin akan ditimbulkan oleh bakal pelanggan.
Gunakan peluang ini untuk menjawab pertanyaan dan persoalan tersebut secara tuntas.
(5) Gunakan bahasa yang personal
Semasa menghasilkan konten, kita gunakan bahasa yang santai dan personal. Ibaratnya kita sedang berbual dengan bakal pelanggan.
(6) Urgency
Wujudkan suasana urgency bagi memberi sedikit tekanan kepada bakal pelanggan untuk membuat keputusan pembelian.
Urgency ini boleh jadi dalam beberapa bentuk, misalnya kita beritahu
i. Jika tak beli sekarang, masalah bakal pelanggan boleh jadi bertambah serius
ii. Jika masalah bertambah serius, kerosakkan akan jadi lebih teruk dan kos lebih mahal
iii. Produk yang dijual sudah tak banyak stok
iv. Harga yang ditawarkan adalah harga promosi dan mungkin akan dinaikkan
(7) Buktikan dengan testimoni
Penggunaan testimoni ini sebenarnya bagi menunjukkan bahawa bakal pelanggan ini bukanlah satu-satunya individu yang ada masalah tersebut. Dia sebenarnya tak keseorangan dan sebelum ini ada banyak lagi individu yang turut hadapi situasi yang lebih kurang sama.
Namun disebabkan mereka ini mengambil pendekatan proaktif untuk menyelesaikan masalah, akhirnya mereka terus buat keputusan pembelian.
Bila anda mampu untuk hasilkan suatu konten yang mengikut format seperti ini, konten anda akan mula berperanan sebagai pengganti jurujual profesional.
Jurujual pun menggunakan step yang lebih kurang sama, dalam usaha mereka untuk membuat jualan. Cuma bezanya, kalau jurujual manusia ini, dia mungkin hanya dapat berinteraksi dengan seorang bakal pelanggan dalam satu masa.
Sebaliknya, kalau menggunakan konten, konten tersebut mungkin dibaca atau ditonton oleh ribuan bakal pelanggan dalam satu masa.
Ia mungkin bukan suatu sistem yang sempurna (perfect) namun ia hampir menyamai fungsi dan peranan yang biasa dilakukan oleh seorang jurujual.
By the way, kalau anda minat nak terokai perbincangan yang lebih mendalam mengenai kerjaya jurujual, boleh baca posting saya berjudul Psikologi Menjual – The psychology of selling.
Contoh praktikal penggunaan content marketing
Pada saat ini, boleh jadi ada pembaca yang bertanya, dekat mana kita boleh saksikan penggunaan strategi content marketing ini secara praktikal?
Actually kita boleh lihat secara praktikal penggunaan content marketing ini di kebanyakkan laman atau platform e-commerce dan juga marketplace.
Cuba perhatikan, kedai online yang berjaya hasilkan jualan yang sangat banyak berbanding pesaing, walhal harga jualan lebih kurang sama.
Biasanya kedai seperti ini, menggunakan strategi content marketing yang sangat berkesan dan menyeluruh. Pelanggan kali pertama terus yakin dengan jurujual tersebut sebaik sahaja melihat kedai online milik mereka.
Dalam listing yang digunakan,
(1) Ada penerangan tentang produk yang sangat jelas
(2) Ada menggunakan banyak gambar-gambar produk
(3) Ada video penerangan tentang produk
(4) Ada banyak testimoni dari pelanggan terdahulu (social proof)
Itu adalah komponen yang kita boleh saksikan di kedai online miliknya.
Ada lagi dibelakang tabir yang mungkin kita tak nampak, melainkan kalau kita betul-betul mencari.
Dia juga menggunakan content marketing, bagi tujuan menarik trafik ke kedai online.
Dia juga ada laman web rasmi, FB fanpage rasmi, akaun social media rasmi dan sebagainya.
Semua ni, dibawa menuju ke kedai jualan.
Selain itu, content marketing juga digunakan dalam laman web berkonsepkan blog. Kebanyakkan konten yang dihasilkan lazimnya pasti akan mempromosikan sesuatu. Sama ada produk yang dipromosikan itu nampak begitu ketara atau tidak, itu merupakan satu perbincangan yang lain.
Lebih banyak lebih bagus
Dalam sesebuah perniagaan, bukankah mempunyai lebih banyak jurujual adalah lebih bagus berbanding dengan hanya mempunyai beberapa orang sahaja.
Jadi begitulah juga konsep yang perlu kita pegang dalam strategi content marketing ini.
Lebih banyak content itu lebih bagus.
Dalam banyak-banyak konten yang kita hasilkan, mungkin akan ada diantaranya yang akan
1. Mendapat views yang cukup banyak
2. Menjadi viral
3. Dikongsikan oleh ramai pengguna media sosial
Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu bersedia untuk menerima hakikat bahawa akan ada konten kita yang
1. Sendu
2. Mendapat kecaman dari pembenci (haters)
3. Langsung tidak dihiraukan
Walaubagaimanapun, ada satu perkara yang saya percaya.
Lagi banyak konten yang kita hasilkan, akan jadi semakin mahir kita dalam kerja-kerja penghasilan konten.
Kalau dulu masa kali pertama kita hasilkan konten, kita rasa kekok, malu-malu, bimbang dan sebagainya.
Tapi apabila kita telah menghasilkan konten yang ke – 1,000 misalnya, pada waktu ini kita sudah mula mendapat keyakinan dan dari segi kualiti konten yang kita hasilkan, ianya juga In Shaa Allah berkali ganda lebih baik berbanding sewaktu kita baru nak bermula dulu.
Oleh yang demikian, jangan lemah semangat apabila anda lihat kemunculan content creator baru, yang baru kali pertama buat konten, terus viral satu Malaysia.
Kita anggap, itu semua adalah rezekinya.
Orang yang pernah hasilkan sebuah konten yang viral, belum tentu mampu untuk hasilkan 1,000 konten yang viral juga.
Andai kata kita ini memang bukan jenis orang yang berbakat untuk hasilkan konten yang viral, apa kata kita fokus pada apa yang kita mampu untuk lakukan dengan baik.
Sebagai contoh, kita fokus untuk hasilkan sebuah konten yang kandungannya sentiasa malar segar.
Ya, konten yang evergreen.
Apa yang saya maksudkan adalah sejenis konten yang kandungannya sentiasa relevan untuk 5, 10 atau hingga 20 tahun akan datang. Even generasi muda yang belum lahir lagi, akan turut mendapat manfaat dari konten yang kita hasilkan.
Konten yang viral, ia selalunya mempunyai jangka hayat yang agak singkat.
Mungkin ia akan viral sekitar seminggu, sebulan atau tiga bulan sahaja.
Selepas itu, orang mula melupakan konten tersebut.
Saya juga mempunyai pandangan, bahawa content creator yang hanya bergantung kepada konten yang viral sahaja, akan terpaksa bekerja lebih keras memerah tenaga dan mencari idea, berbanding content creator yang mempelbagaikan jenis konten yang dihasilkan.
Penutup
Strategi content marketing adalah salah satu dari banyak-banyak kaedah pemasaran yang anda boleh praktikkan.
Strategi ini menjadi pilihan banyak usahawan diluar sana, kerana ia merupakan suatu pendekatan yang agak lembut atau softselling.
Baca juga: Soft Selling VS Hard Selling – Mana lebih baik?
Lazimnya, mereka yang agak pemalu dan kurang agresif akan lebih cenderung menggunakan kaedah ini, berbanding kaedah hard selling.
Bukan itu sahaja, melalui strategi content marketing ini juga, anda ada pilihan untuk tak perlu menunjukkan muka anda ketika membuat usaha jualan dan pemasaran. Ini bermakna kaedah ini memang cukup sesuai untuk usahawan yang masih baru dan yang agak pemalu.
Baiklah, sekiranya anda merasakan apa yang saya kongsikan disini bermanfaat untuk anda, apa kata anda bantu saya dengan kongsikan link artikel ini di media sosial anda.
Siapa tahu selepas ada ramai lagi yang bakal beroleh manfaat dari penulisan ini.
Kita jumpa lagi dalam perkongsian seterusnya dalam topik content marketing ini.
Leave a Reply