Dalam perkembangan bidang teknologi maklumat yang semakin rancak, tarikan terhadap memulakan bisnes secara online dilihat semakin ketara.
Ini disebabkan sifat perniagaan secara online itu sendiri yang membolehkan pemainnya berurusan dengan pelanggan dari pelbagai latar belakang, hingga ke peringkat global.
Namun, disebalik potensi yang dikatakan sebagai besar, ada banyak juga perniagaan yang dibina secara online sebenarnya agak goyah dan tidak begitu berdaya saing.
Perniagaan online yang dibina ini kurang mendapat sambutan dari pelanggan yang disasarkan.
Apa sebenarnya yang sedang berlaku?
Perbincangan kali ini, kita cuba untuk meneroka apakah sebab bisnes online yang dibina tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Sebelum terlibat secara aktif dalam menjalankan bisnes secara online, boleh jadi anda pernah bayangkan situasi dimana sales masuk dengan sendirinya setiap minit.
Maklumlah, pada pandangan anda, anda telahpun mempunyai produk yang sangat hebat dan laman web jualan yang anda gunakan juga dilengkapi dengan ciri yang sangat canggih.
Sepatutnya tiada sebab untuk anda tak berjaya hasilkan jualan. Betul tak?
Tapi tunggu dulu. Biasanya realiti tak sama dengan apa yang kita jangka dan harapkan. Ini antara sebab kenapa bisnes online anda kurang berjaya.
(1) Kajian pasaran yang kurang berkesan
Sebelum kita nak mula melancarkan perniagaan online kita yang pertama, ada satu langkah penting yang perlu kita lakukan.
Langkah pertama ini akan mencorakkan perjalanan dan perkembangan perjalanan perniagaan yang bakal kita lakukan. Apakah langkah tersebut?
Langkah yang dimaksudkan adalah melakukan kajian pasaran.
Dalam kajian pasaran ini kita akan cuba memahami perkara-perkara berikut iaitu
1. Siapakah sebenarnya golongan yang kita ingin sasarkan
Mereka ini bakal menjadi kelompok pelanggan yang akan berurusan dengan kita.
2. Apakah keperluan mereka?
Kita kenalpasti apakah yang mereka perlukan dan kita cuba untuk penuhi keperluan tersebut. Sebaik-baiknya kita pilih kelompok individu yang mempunyai keperluan tertentu, namun mereka belum memperolehinya 100%.
Ini bermakna terdapat jurang (gap) yang boleh membuatkan tawaran kita itu nanti akan mendapat sambutan.
3. Apa yang mereka mahukan
Sebagai pelanggan, mereka pasti mempunyai kemahuan yang tertentu.
4. Apakah jangkaan (expectation) mereka terhadap sesuatu perkhidmatan
Satu perkara yang kita perlu tahu adalah, setiap orang mempunyai standard yang tersendiri. Justeru, kita perlu tahu, apakah standard pelanggan kita, dan apabila kita ingin memberikan khidmat kepada mereka, kita perlu pastikan yang kita dapat memenuhi expectation tersebut dengan memberi layanan yang bersesuaian.
Jika sebaliknya yang berlaku, kita akan dilihat sebagai seorang peniaga yang kurang profesional.
5. Apakah masalah yang mereka sedang hadapi?
Umumnya, setiap orang mempunyai masalah. Sama ada masalah yang kecil, sederhana mahupun yang besar.
Sesuatu perniagaan itu boleh wujud dan kekal berdaya saing, kerana mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pelanggannya.
Justeru, dalam membuat kajian pasaran, kita juga perlu ambil berat mengenai permasalahan yang mungkin dihadapi oleh golongan yang kita sasarkan.
6. Adakah terdapat penyelesaian yang tak melibatkan kos untuk masalah mereka?
Ada ketikanya masalah yang kita kenal pasti itu, sebenarnya boleh diselesaikan dengan sangat mudah, dan tak melibatkan sebarang kos. Jadi, permasalahan seperti ini kurang menguntungkan apabila dilihat dari perspektif bisnes.
7. Jika tiada, adakah mereka bersedia untuk mengeluarkan duit untuk menyelesaikan masalah tersebut?
Andai kata kita temui contoh masalah yang penyelesaian memerlukan kos, kita juga perlu tahu adakah golongan yang kita sasarkan itu nanti, sanggup atau bersedia untuk mengeluarkan duit ataupun tidak?
Boleh jadi, mereka lebih sanggup menahan diri daripada berbelanja untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kajian pasaran ini walaupun nampak agak leceh, tapi sebenarnya ia adalah satu aktiviti yang sangat penting untuk dilakukan. Sekurang-kurangnya, bila kita lakukan aktiviti ini, kita akan lebih mengenali siapakah sebenarnya target audiens kita.
(2) Apa business model yang anda bakal gunakan?
Poin seterusnya yang boleh menyebabkan perniagaan online yang anda jalankan kurang mendapat sambutan adalah disebabkan business model yang kurang jelas.
Adakah anda tahu, diluar sana terdapat berapa banyak model perniagaan yang anda boleh fokuskan?
Satu masalah yang biasa dialami oleh individu yang masih baru dalam selok-belok perniagaan, tak kiralah sama ada perrniagaan itu merupakan perniagaan secara offline ataupun online, mereka ini hanya tahu tentang satu jenis model bisnes sahaja.
Oleh kerana perbincangan disini lebih fokus kearah perniagaan online, maka saya akan sentuh tentang perniagaan online sahaja.
Seperti yang saya sebutkan tadi, bagi orang yang masih agak baru, mereka ini hanya familiar dengan satu bentuk atau model bisnes sahaja.
Sebagai contoh, mereka ada produk yang boleh dijual, lalu mereka akan terus menggunakan akaun media sosial yang dimiliki bagi tujuan melakukan kerja-kerja pemasaran.
Cara ini bukanlah langsung tak berkesan. Saya tak menolak kebarangkalian dimana individu ini akan berjaya memperolehi jualan satu hari nanti. Maka pada setiap hari, rutin hariannya ialah upload iklan di profil media sosial tanpa henti.
Sebenarnya, ada kaedah lain yang patut diterokai dan kita akan sentuh serba sedikit.
Antaranya ialah
(1) Model perniagaan berasaskan e-commerce
Melibatkan penjualan barangan sama ada dalam bentuk fizikal, ataupun digital.
Bisnes online berasaskan e-commerce ini lazimnya mempunyai platform jualan yang memudahkan penggunanya untuk membuat pembelian.
Antara contoh platforrm e-commerce yang popular adalah seperti
i. Lazada
ii. Shopee
iii. PG Mall
(2) Model bisnes berasaskan langganan
Pelanggan akan membayar yuran langganan berulang kali untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang kita sediakan. Selagi mana mereka ini masih buat bayaran, selagi itulah mereka boleh menggunakan perkhidmatan kita.
Contohnya adalah seperti langganan Netflix, Spotify dan sebagainya.
(3) Freemium
Konsep freemium ini adalah anda sebagai penjual menawarkan suatu perkhidmatan asas secara percuma. Tujuannya adalah supaya pengguna dapat mencuba perkhidmatan tersebut tanpa ada rasa terpaksa untuk membuat bayaran.
Pada masa yang sama, anda juga menawarkan ciri tambahan yang lebih baik, jika pengguna tersebut menaiktaraf keahlian mereka sebagai ahli berbayar atau premium member.
Sesetengah laman atau portal streaming movie juga ada yang menggunakan business model yang lebih kurang sama. Pengguna boleh menonton beberapa movie secara percuma. Jika mereka ingin menonton movie lain, mereka perlu naik taraf keahlian mereka sebagai premium member.
(4) Model berasaskan pengiklanan
Dalam model perniagaan berasaskan pengiklanan ini, kita selaku pemilik bisnes menjana pendapatan melalui kerja-kerja penyiaran iklan di platform yang kita bangunkan.
Contoh yang paling mudah sekali adalah pemilik blog yang menyiarkan iklan-iklan sama ada dari Google Adsense, Innity dan lain-lain program pengiklanan.
Pembaca boleh mendapat akses dan membaca konten tanpa sebarang sekatan mahupun bayaran.
Begitu juga halnya dengan individu yang membangunkan channel Youtube. Mereka ini juga menjana pendapatan melalui penyiaran iklan-iklan yang muncul apabila penonton menonton video yang mereka siarkan.
Dari segi pendapatan, ianya akan dihasilkan melalui program pengiklanan.
(5) Affiliate Marketing
Seterusnya adalah model perniagaan berasaskan affiliate marketing.
Sebelum ini, saya pernah menulis tentang topik ini.
Sila baca di posting berikut: Apa itu Affiliate Marketing
Secara ringkasnya, dalam model perniagaan berasaskan affiliate marketing ini, kita akan dibayar komisen bagi setiap jualan yang berjaya kita hasilkan.
Pelanggan perlu menekan klik pada pautan atau link affiliate kita terlebih dahulu, dan dalam tempoh masa tertentu, iaitu dalam durasi cookies masih aktif, mereka perlu membuat pembelian, agar komisen tersebut bakal menjadi milik kita.
Lazimnya program affiliate ini adalah percuma untuk disertai dan diluar sana terdapat terlalu banyak syarikat yang telah mula membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai mereka sebagai ejen affiliate.
(6) Saas (Software as a Service)
Bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengaturcaraan komputer dan mampu mencipta software mereka sendiri, mereka boleh cipta software dan jual software tersebut kepada pengguna yang memerlukannya.
Software seperti ini biasanya di host pada sistem cloud (awan) dan pengguna perlu membayar yuran langganan untuk kekal menggunakan software ini.
(7) Marketplace
Konsep marketplace ini hampir sama seperti konsep bisnes e-commerce, namun pada saya ia ada sedikit perbezaan.
Dalam konteks marketplace ini, kita sebenarnya adalah pemilik bagi platform marketplace tersebut, dan kita menawarkan orang ramai untuk sama-sama membuka kedai online melalui sistem yang kita bangunkan.
Maksud saya begini. Jika anda buka kedai online melalui Lazada, Shopee ataupun mungkin PG Mall, anda sebenarnya sedang menjalankan bisnes online melalui sistem e-commerce.
Tetapi, kita andaikan sekiranya portal Lazada, Shopee atau PG Mall ini sebenarnya adalah kepunyaan anda. Dalam keadaan ini, anda sebenarnya buat bisnes berasaskan model perniagaan marketplace.
Ya, anda menyediakan platform bagi pembeli dan penjual berurusan dan berjual beli melalui platform marketplace yang anda bangunkan. Pada pendapat anda, adakah platform marketplace yang baru ada peluang untuk berjaya di Malaysia?
(8) Perkhidmatan berasaskan permintaan (on-demand)
Apakah contoh permintaan dari pelanggan yang sentiasa ada?
Saya rasa ada banyak.
Sebagai contoh permintaan yang sentiasa ada, adalah seperti permintaan untuk mendapatkan servis pengangkutan, penghantaran, dan sebagainya.
Contoh bisnes yang beroperasi berasaskan model ini adalah seperti Grab, Food Panda dan sebagainya.
(9) Crowdfunding
Usahawan ini akan mengumpul dana dari orang ramai, atau dari individu tertentu yang mempunyai kemampuan kewangan yang baik, bagi tujuan membiayai projek ataupun idea bisnes tertentu.
Kemudian apabila projek tersebut berjaya hasilkan keuntungan, sebahagiannya akan dipulangkan semula kepada mereka yang menyumbang. Ataupun, jika tak dipulangkan semula, keuntungan tersebut mungkin disalurkan semula kepada badan kebajikan.
(10) Content Monetization
Kaedah ini adalah merupakan suatu kaedah dimana anda mencipta konten bagi tujuan menghasilkan pendapatan. Kebanyakkan content creator yang aktif mencipta konten-konten baru, sebenarnya buat duit melalui konten yang dihasilkan.
Pendapatan yang terhasil itu sebenarnya datangnya dari sumber seperti
i. Pengiklanan
ii. Program Affiliatte
iii. Konten berbayar
Anda rasa anda minat dan anda ada bakat dalam mencipta kandungan?
Jika ya, anda boleh cuba model perniagaan ini.
(11) Sharing economy
Konsep sharing economy pernah saya sentuh dalam blog ini sebelum ini.
Jemput baca: Pengenalan kepada ekonomi perkongsian.
Konsep bagi model perniagaan ini adalah kita membangunkan satu sistem, apps, platform atau software yang dapat menghubungkan individu yang mempunyai keperluan tertentu, dengan individu yang boleh memenuhi keperluan tersebut.
Sebagai contoh, kita lihat kepada platform Airbnb.
Airbnb adalah salah satu contoh yang baik, yang mana ia dapat menghubungkan individu yang memerlukan tempat penginapan apabila bercuti ke sesebuah destinasi percutian, dengan pemilik kediaman yang ingin menjana pendapatan melalui aset yang dimiliki, yang mungkin sebelum ini tidak dimanfaatkan oleh sesiapa.
(12) In-app purchases
Atau pembelian dalam applikasi.
Konsep ini popular dalam perisian mobile game atau mana-mana apps itu sendiri. Biasanya pengguna boleh muat turun apps dan boleh menggunakan ciri yang terdapat pada apps itu secara percuma, namun bagi pengguna yang mahukan ciri yang lebih sophisticated, mereka boleh menggunakan ciri tersebut dengan membuat sedikit bayaran.
(13) Konsultasi atau nasihat pakar
Sebagai pemilik bisnes, kita akan berurusan dengan pelanggan yang minat untuk mendapatkan khidmat kita mengikut projek.
Kalau projek yang ingin dilaksanakan itu agak rumit, maka kita mungkin akan bekerja dengan pelanggan ini sebagai seorang konsultan untuk tempoh yang agak lama.
Dari segi bayaran, sama ada secara lump sum mengikut pakej yang anda tentukan atau anda dibayar mengikut jam masa anda bekerja.
(14) Model perniagaan berasaskan komuniti
Anda akan bermula dengan membina sebuah komuniti diinternet. Sama ada anda menggunakan platform seperti forum, laman web keahlian atau mungkin Facebook Group untuk mencipta sebuah komuniti.
Apabila komuniti tersebut cukup besar, anda akan bertindak sebagai penganjur yang akan menganjurkan apa-apa program atau pertemuan. Pertemuan ini sama ada mengenakan bayaran yuran ataupun percuma.
Sebagai contoh komuniti kaki pancing, komuniti hiking, komuniti camping dan sebagainya.
Selain itu, jika anda mempunyai produk yang sesuai dan diperlukan oleh ahli komuniti, anda juga akan lebih senang membuat jualan melalui cara ini.
(15) Perniagaan berasaskan sumbangan
Pernah tengok, orang buat bisnes tapi sumber pendapatan dia adalah menerusi duit yang disumbangkan oleh orang ramai, atau orang-orang yang berinteraksi dengan konten atau persembahan yang dilakukan?
Sesetengah orang mungkin tak perasan ataupun tak biasa dengan kaedah ini. Tapi kalau anda pernah dengar atau pernah lihat individu yang buat sesi live sama ada melalui Bigo ataupun Tiktok, anda akan dapat lihat ada antara viewer yang menyumbangkan hadiah kepada host.
Hadiah-hadiah ini, kemudiannya boleh ditukar kepada duit sebenar.
(16) Franchise
Dalam konsep franchise ini, perkara pertama ialah membangunkan sebuah perniagaan yang mempunyai produk, perkhidmatan, reputasi dan jenama yang kukuh. Seterusnya anda menjual hak untuk menggunakan jenama tersebut kepada individu lain yang turut minat untuk menjadi usahawan.
Memang betul pada asasnya, berbisnes ini sebenarnya satu proses yang tidaklah begitu rumit. Kita memerlukan penjual, pembeli dan juga produk.
Namun dalam konteks bisnes online, dimana kita bakal beroperasi dalam pasaran terbuka, kita perlu mempunyai satu model perniagaan yang benar-benar sesuai.
Justeru, dalam banyak-banyak contoh model perniagaan yang saya senaraikan diatas ini tadi, agaknya mana satu yang anda berminat untuk gunakan?
Perniagaan diluar sana, menggunakan salah satu atau kombinasi bagi beberapa model perniagaan dalam operasi perniagaan mereka. Bila bercakap mengenai model perniagaan, ianya tidaklah dihadkan untuk setiap usahawan hanya menggunakan satu bentuk model perniagaan semata-mata.
(3) Strategi pemasaran yang kurang efektif
Apakah terdapat strategi dan teknik pemasaran yang paling bagus, yang mana kalau kita gunakan strategi tersebut, kita pasti boleh hasilkan jualan yang banyak?
Pada pandangan saya, ianya tak wujud.
Apa yang sesuai dengan perniagaan A mungkin tak memberikan sebarang impak yang bermakna buat perniagaan B. Ada banyak faktor yang perlu dilihat dan diambil kira, dalam merangka sesuatu strategi pemasaran yang betul-betul berkesan.
Ia tak semudah, “kalau orang lain buat berkesan, aku buat mesti berkesan juga…”
Strategi pemasaran yang berkesan perlu disesuaikan dengan model perniagaan yang bakal anda pilih nanti.
(4) Pengalaman pelanggan
Pernah tak anda fikirkan, apakah persepsi ataupun feedback pelanggan yang berurusniaga dengan anda?
Adakah mereka merasakan pengalaman pembelian itu sangat lancar, atau ianya begitu menyeksakan.
Saya teringat beberapa contoh perbualan whatsapp antara prospek dengan penjual yang sering dikongsikan di media sosial. Saya kiran perbualan tersebut dikongsikan sebenarnya sekadar untuk hiburan.
Dalam situasi ini, mereka berurusniaga melalui whatsapp.
Saya berikan contoh.
Pelanggan: Salam, boleh saya tahu jam G-Shock ni berapa harga?
Penjual: Wasalam, terima kasih kerana berminat dengan jam tangan tersebut. Sebelum itu, boleh saya dapatkan nama tuan/puan terlebih dahulu.
Pelanggan: Oh nak kena bagitahu nama ke? Saya Sabree.
Penjual: Baik Encik Sabree. Sebelum saya jawab pertanyaan encik, boleh saya tahu Encik Sabree tinggal dimana ya? Dan lagi satu, encik nak guna sendiri jam ini atau nak hadiahkan kepada seseorang?
Senario perbualan diatas memang betul-betul berlaku ya. Kononnya penjual ini mungkin nak buat sesi ice breaking dan berkenal-kenalan dengan bakal pembeli.
Dengan harapan, kalau bakal pembeli dapat merasakan keramahan dan kemesraan dalam perbualan tersebut, individu tersebut akan minat untuk buat pembelian.
Walaubagaimanapun, kalau saya berada dipihak pelanggan, saya akan rasa sangat serabut dan menyusahkan. Saya cuma nak tahu harga sahaja, bukannya nak berkenalan dengan penjual.
Atas sebab itu jugalah, saya lebih selesa untuk beli sahaja melalui platform e-commerce yang popular. Tanpa banyak soal, saya boleh terus pilih item yang saya mahukan dan seterusnya saya boleh buat bayaran.
Kalau ada sebarang persoalan, saya akan terus tanya, dan biasanya saya akan dapat jawapan segera, tanpa perlu melalui sesi bersuai kenal dengan penjual.
Menuju kehadapan, saya percaya sekarang ini dah semakin berkurangan penjual yang mengamalkan kaedah sedemikian. Tapi kalau masih ada lagi yang menggunakan pendekatan tersebut, saya tak dapat nak berikan sebarang komen tambahan.
Saya hanya ingin cadangkan agar penjual ini pelajari juga topik mengenai cara membina sales funnel yang berkesan dan membuatkan pelanggan rasa selesa.
(5) Khidmat pelanggan
Istilah khidmat pelanggan ini mungkin agak janggal bunyinya, kalau nak dibandingkan dengan istilah inggeris yang lebih banyak digunakan, iaitu customer service.
Realitinya, faktor customer service memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi kejayaan mahupun kegagalan sesebuah perniagaan. Tak kiralah sama ada perniagaan tersebut merupakan perniagaan secara offline seperti bisnes kedai runcit mahupun perniagaan atas talian.
Sekiranya seseorang usahawan itu tidak mampu memberikan keutamaan kepada memberikan khidmat pelanggan yang terbaik, lambat laun hal ini pasti akan kembali memberikan implikasi negatif terhadap perniagaan yang dibina.
Dalam ekosistem perniagaan online, lazimnya penjual tidak akan berurusan secara face to face dengan pelanggannya. Kalau kita ambil contoh, model perniagaan jenis e-commerce, lazimnya pembeli langsung tak kenal, siapakah individu disebalik kedai e-commerce tersebut.
Namun, atas dasar percaya, mereka tetap boleh melakukan urusniaga seperti biasa.
Pembeli percaya dan yakin, bahawa penjual akan memenuhi janjinya dan akan menguruskan setiap tempahan yang dibuat dengan sebaiknya. Namun, apa akan jadi kalau berlaku masalah pada urusniaga tersebut?
Dalam situasi ini, sudah tentu pembeli itu tadi mengharapkan penjual dapat memainkan peranan yang sepatutnya dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
Kalau barang yang sampai dalam tangan pembeli tak sama seperti yang diiklankan, atau rosak misalnya, pembeli mahukan ganti rugi yang setimpal.
Tapi bagaimana kalau masalah yang terjadi itu, sebenarnya bukan salah penjual? Sebagai contoh, penjual itu tadi sebenarnya hanyalah seorang ejen dropship sahaja, dan pihak yang salah berkemungkinan besar adalah pembekal.
Tak kiralah siapa yang bersalah. Pembeli tak berminat nak tahu semua tu. Apa yang dia mahukan hanyalah pesanan yang dia beli itu, sama seperti yang dia harapkan.
Pelanggan yang tak dapat barang yang sama seperti yang ditempah, kemudian ditambah pula dengan khidmat pelanggan yang langsung tidak memuaskan, akan menyebabkan pelanggan ini menjadi pelanggan yang tak berpuas hati.
Pelanggan yang tak puas hati, boleh lakukan macam-macam perkara yang boleh menjejaskan bisnes anda, misalnya
1. Mereka menulis review negatif
2. Mereka memberikan rating satu bintang sahaja
3. Mereka membuat komplen kepada pihak platform yang mungkin boleh mengakibatkan akaun seller anda digantung
Sebenarnya bila sebut tentang kelemahan dari segi khidmat pelanggan ini, ada beberapa lagi poin yang perlu diambil kira, antaranya
1. Berapa lama masa yang anda ambil untuk beri respons kepada pelanggan
2. Berapa lama untuk selesaikan masalah pelanggan
3. Adakah anda menepati janji yang anda berikan kepada pelanggan
Semua ini perlu diambil kira dan diberikan perhatian. Kalau bahagian customer service ini bermasalah, ia juga akan memberi impak negatif terhadap keseluruhan perniagaan anda.
(6) Modal yang tak mencukupi
Bisnes online boleh dimulakan walaupun pada masa tersebut, anda hanya mempunyai modal yang sangat minima.
Sudah tentu, anda perlu pilih jenis model perniagaan yang bersesuaian. Dalam senarai model perniagaan yang saya senaraikan sebelum ini, ada yang boleh kita lakukan dengan modal yang minimum atau tanpa modal langsung.
Hakikatnya, dalam membina sesebuah perniagaan, kita perlu mempunyai modal.
Kalau dalam konteks bisnes online, kita perlu modal bagi membayar kos seperti
1. Langganan pelan data Internet
2. Sewa domain dan hosting
3. Kos penggunaan software dan apps
4. Kos untuk kerja pemasaran
5. Kos untuk pengiklanan
6. Kos langganan sistem jualan
7. Sebarang yuran yang dikenakan kepada kita
Sudah tentu, anda boleh pilih untuk cari alternatif yang lebih murah atau percuma. Namun demikian, tindakan ini mungkin sebenarnya lebih merugikan berbanding anda membayar untuk kos yang diperlukan.
Untuk pelan internet, anda boleh guna servis free wifi yang biasanya ada disediakan di kedai mamak, dobi, hospital dan sebagainya. Tapi sanggupkah anda untuk keluar ke tempat-tempat seperti ini bagi tujuan mendapatkan sambungan internet percuma?
Sedangkan bisnes online ini sepatutnya boleh dilakukan pada bila-bila masa, dari keselesaan rumah anda.
(7) Teknologi dan trend
Apakah trend dalam dunia bisnes online pada hari ini?
Sewaktu penulisan ini saya hasilkan trend yang begitu ketara adalah mengenai teknologi Artificial Intelligence atau AI.
Teknologi AI ini sememangnya bersifat mengganggu atau disruptive dan banyak usahawan diluar sana mempunyai tanggapan yang berbeza serta masih berbelah-bahagi sama ada ingin menggunakan teknologi ini atau tidak.
Ada yang segera menggunakan teknologi ini.
Ada juga yang merasakan teknologi ini tidak sebagus hasil kerja yang boleh dihasilkan oleh tangan manusia.
Teknologi itu sepatutnya memudahkan lagi kerja kita. Dengan penggunaan teknologi juga ia dapat meningkatkan lagi produktiviti kita.
(8) Persaingan yang cukup sengit
Kadang-kadang kita boleh temui situasi dimana satu produk ada sampai 10 orang penjual (atau lebih).
Dalam kalangan 10 orang penjual tersebut, belum tentu semuanya adalah pemilik produk.
Mereka mungkin adalah ejen dropship atau ejen affiliate yang sebenarnya tak memegang stok barang. Mereka menanggung risiko yang agak kecil, jika dibandingkan dengan penjual yang menyimpan stok produk.
Kita abaikan sekejap apa status mereka, sama ada ejen dropship, ejen affiliate dan sebagainya.
Kewujudan dan keberadaan mereka ini sudah cukup untuk memberi saingan kepada kita.
Apabila pelanggan ada banyak pilihan dan semua penjual menawarkan produk yang sama dengan kualiti yang sama, besar kemungkinan penjual yang tawarkan harga paling murah yang akan dapat jualan.
(9) Isu peraturan dan perundangan
Peraturan dan undang-undang mempunyai implikasi yang besar terhadap perniagaan yang kita jalankan diinternet.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang negara, boleh memberikan impak yang sangat berat.
Ada beberapa undang-undang yang perlu kita ambil tahu, antaranya
1. Undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi
2. Undang-undang percukaian
3. Undang-undang berkaitan dengan industri tertentu
4. Undang-undang berkaitan dengan barangan yang kita pilih untuk jual
Perlanggaran undang-undang yang mungkin kita akan, sedang atau telah lakukan boleh mengakibatkan beberapa kesan seperti tindakan saman, anda diheret ke mahkamah, reputasi anda sebagai peniaga tercalar dan banyak lagi.
Selain itu, kita juga terikat dengan pelbagai peraturan, terutama sekali jika kita masih lagi menumpang platform jualan yang disediakan oleh pihak ketiga. Kita tak boleh buat dengan sewenang-wenangnya.
Semuanya ada peraturan tertentu.
Jika anda melanggar peraturan yang ditetapkan, anda juga boleh dikenakan tindakan seperti laman jualan anda disekat, keahlian anda dibatalkan dan banyak lagi.
(10) Kelemahan pada Operasi perniagaan
Jika produk yang anda jual melibatkan urusan penghantaran, berapa lamakah masa yang diambil untuk barang tersebut sampai ke pelanggan?
Kemudian, setelah produk yang dipesan sampai ke tangan pelanggan, bagaimana pula dengan kualiti produk? Adakah produk yang sampai ke tangan pelanggan itu nanti, sama dengan apa yang diiklankan?
Adakah terdapat sebarang kerosakkan dan kecacatan pada produk? Kita pergi kepada aspek pembungkusan. Jika kaedah pembungkusan yang digunakan kurang cermat, ia boleh menyebabkan produk tersebut mengalami kerosakkan semasa proses penghantaran dilakukan.
Bagaimana pula dengan kaedah pembayaran? Adakah anda memberikan fleksibiliti terhadap para pelanggan dengan menyediakan pelbagai kaedah bayaran, sama ada online transfer, kad kredit, QR Code, mahupun cash on delivery.
(11) Isu melibatkan pengasas produk
Perkara ini akan dilalui jika pengasas bagi produk terlibat dengan isu kontroversi hingga menyebabkan adanya kempen untuk boikot.
Kita sebagai ejen atau mungkin reseller turut menerima tempiasnya.
Pembeli bukannya benci dengan kita, tapi mereka sebenarnya tak suka dengan pengasas produk.
Jika kita adalah ejen affiliate atau mungkin ejen dropship, kerugian yang kita perlu tanggung mungkin tak begitu besar. Pada masa yang sama, kita juga ada fleksibiliti untuk menukar produk.
Tapi sebaliknya jika anda telah keluar modal untuk beli stok, dekat situ anda mungkin akan lebih bermasalah. Modal anda masih terikat dalam bentuk stok.
Kesimpulan
Apa yang kita bincangkan disini, adalah beberapa perkara yang bakal menyebabkan perniagaan online yang bakal dibina nanti kurang mendapat sambutan dan sokongan dari bakal pelanggan.
Perjalanan membina sebuah perniagaan yang kukuh dan berdaya saing sebenarnya adalah suatu perjalanan yang panjang. Terdapat beza, antara sekadar untuk menghasilkan pendapatan online dengan membina perniagaan online.
Kedua-dua ini, walaupun nampak lebih kurang sama, sebenarnya terdapat banyak juga perbezaan.
Jika anda ingin membina perniagaan internet anda sendiri, perkara-perkara seperti pembinaan jenama, pembangunan platform atau laman web dan sebagainya perlu diambil kira.
Kita bukannya ingin menjana pendapatan untuk sehari dua. Sebaliknya kita mahukan pendapatan tersebut dapat bertahan selama mana yang boleh, dan sebaik-baiknya, akhirnya nanti kita dapat mewariskan perniagaan kita kepada generasi kita yang seterusnya.
Setidak-tidaknya, generasi baru kita itu nanti, tidak perlulah bermula dari kosong, seperti mana kita bermula dari tak ada apa-apa sebelum ini.
Sampai satu masa, saya percaya anda akan mula nampak bahawa memulakan bisnes secara online sebenarnya tidaklah semudah yang disangkakan.
Pada peringkat permulaan mungkin betul, kalau kita katakan nak buat bisnes online itu lebih mudah dan lebih cepat kalau dibandingkan dengan bisnes yang memerlukan premis perniagaan.
Apa-apa formula yang terpakai dalam memajukan bisnes offline, sebenarnya ada banyak yang boleh digunakan untuk bisnes online.
Leave a Reply