Pada hari ini, boleh dikatakan hampir semua jenis barangan yang pelanggan mahukan atau perlukan boleh dibeli secara online.
Walaubagaimanapun, sebagai pelanggan mereka tidak akan terus membuat pembelian hanya sebab barang tersebut boleh diperolehi online dan ada seseorang yang menjualnya diinternet.
Ada juga produk yang agak sukar untuk dijual secara online, misalnya
i. Produk yang agak mahal harganya
ii. Produk yang kita perlu tahu ukurannya secara tepat
iii. Produk yang kita perlu sentuh atau hidu baunya seperti perfume
Namun demikian, ini bukan satu penghalang untuk penjual tersebut menjual barang-barang yang menepati kriteria yang saya nyatakan diatas untuk menjual barangan tersebut secara online. Kita sedia maklum, lazimnya orang akan hidu dulu bau perfume tersebut sebelum buat pembelian.
Tapi bagaimana pula dengan individu yang sudah ada pengalaman membeli perfume tersebut dan ini merupakan pembelian kali kedua atau ketiga? Sudah tentu individu seperti ini tak ada sebarang isu dengan pembelian secara online.
Kenapa pelanggan memilih untuk beli secara atas talian
Adakah semata-mata sebab faktor harga? Betulkah pandangan kalau beli online kita boleh dapat harga yang lebih murah berbanding kalau beli di kedai?
Pada pendapat saya, ianya tak semestinya begitu. Tiada sebarang jaminan bahawa beli online lebih murah berbanding beli di kedai. Malahan kalau harga terlebih murah, itu satu petanda bahawa kita kena berhati-hati. Ia mungkin barang tiruan.
Bercerita tentang harga, ia sebenarnya berkait rapat dengan kos sesuatu produk.
Setelah diambil kira semua kos yang terlibat, barulah penjual akan menetapkan satu harga yang munasabah, yang boleh cover kos dan ada untung. Tak ada lagi orang yang berniaga sebab nak rugi, melainkan dia terdesak dan terpaksa jual semua stok yang ada walaupun dia sedang rugi.
Ada banyak juga syarikat dan juga penjual yang menawarkan harga yang sama untuk produk-produk mereka, sama ada beli online atau beli di kedai. Salah satu contoh yang saya boleh bawakan ialah Decathlon.
Decathlon ini adalah sebuah perniagaan yang menjual pelbagai peralatan sukan dengan harga yang tak terlalu mahal. Dari segi kualiti, produk-produk yang mereka jual juga bagus. Mereka ada laman jualan sendiri, dan pada masa yang sama mereka juga mempunyai kedai online di Lazada.
Kalau anda ada masa, boleh perhatikan harga yang mereka tawarkan. Sama sahaja dengan harga di store mereka.
Andai kata ada kelainan sekalipun, mungkin bila kita beli online ada kos tambahan. Kos tambahan yang saya maksudkan disini adalah caj penghantaran, sedangkan bila kita beli di kedai, kita hanya perlu bayar harga barang sahaja.
Selain sekadar melihat kepada faktor murah atau mahal semata-mata, sebenarnya ada banyak lagi sebab kenapa seseorang itu memilih untuk beli secara online. Ini yang akan kita bincangkan dalam perkongsian kali ini. Tanpa membuang lebih banyak masa, ini dia antara sebab kenapa pelanggan membeli secara online.
(1) Mudah untuk membuat perbandingan
Salah satu sebab yang menjadikan pembelian secara online menjadi pilihan pengguna adalah dari segi mudahnya untuk membuat perbandingan.
Sebagai pelanggan kita memang biasa membanding-bandingkan sesuatu produk sebelum kita terus buat pembelian.
i. Kita akan bandingkan produk yang sama yang dijual dikedai yang berbeza.
ii. Kita akan bandingkan dari segi model keluaran, fungsi tambahan dan sebagainya.
iii. Kita akan bandingkan, penjual yang mana satu yang paling membantu dan layan kita dengan baik.
iv. Kita akan bandingkan produk yang lebih kurang sama tapi dikeluarkan oleh jenama yang berbeza.
Perbuatan banding membandingkan ini adalah sesuatu yang kita semua akan lakukan, terutama sekali apabila kita belum ada keputusan untuk beli produk yang mana satu. Dengan membuat pembelian secara online, ini semua ini boleh dilakukan dengan mudah.
Tak perlu lagi kita keluar masuk kedai ataupun shopping mall yang berbeza semata-mata untuk buat perbandingan.
Katakanlah seseorang itu nak beli jam tangan untuk lelaki, tapi masih belum tahu lagi, nak beli jam tangan jenis apa, jenama apa, warna apa dan sebagainya. Untuk individu seperti ini, dengan mudah dia boleh buat kajian dan perbandingan terlebih dahulu.
Boleh lihat di laman web seperti Lazada untuk lihat apa pilihan jam tangan yang tersedia.
Dekat laman web Lazada ini sendiri, terdapat banyak pilihan jam tangan yang tersedia. Kalau kita lihat pada screenshot diatas, ada 394,339 pilihan jam tangan yang ada dijual disitu.
Sekarang ini dah tak perlu lagi nak masuk dari satu kedai ke satu kedai, semata-mata untuk tengok-tengok jam tangan. Cukup sekadar buat perbandingan secara online sahaja.
Andai kata anda berkenan dengan jenama G-Shock, boleh baca posting saya sebelum ini bertajuk senarai penjual jam tangan G-Shock Original.
(2) Terdapat pilihan yang sangat banyak
Untuk satu produk yang kita minat nak beli, kita boleh pilih untuk beli dari mana-mana penjual yang kita yakin dan suka. Kalau kurang yakin dengan penjual tempatan, kita boleh pilih untuk beli dari penjual luar negara.
Bila kita dah dihidangkan dengan pilihan yang begitu banyak, at least kita tak rasa seperti terpaksa untuk berurusan dengan hanya seorang penjual sahaja. Kalau kita rasa macam kurang selesa dengan cara penjual tu, kita boleh cari penjual lain.
(3) Beli secara online dapat menjimatkan banyak masa
Memang betul, bila kita beli online kita perlu ambil kira masa untuk proses penghantaran dan ia mungkin makan masa sehingga berminggu atau sebulan lebih, terutama sekali kalau kita beli barang dari luar negara.
Saya nak komen sikit bab penghantaran yang ambil masa terlalu lama tu. Saya pun pernah beli barang dari China dan beli barang melalui ebay. Memang betul, penghantaran dia agak lama dan boleh cecah berminggu.
Sebenarnya semasa buat tempahan, kita ada pilihan untuk dapatkan produk yang kita beli lebih cepat. Caranya? Bayarlah lebih untuk penghantaran.
Kita pilih syarikat kurier yang tawarkan servis penghantaran yang pantas, misalnya seperti UPS, Fedex dan sebagainya.
Kebiasaannya yang buat lambat sebab kita bayar murah atau kita pilih servis penghantaran percuma yang ditawarkan oleh penjual. Barang yang kita order akan dikumpulkan dulu di gudang dan bila dah cukup banyak, akan dihantar bersama dalam satu kontena menggunakan kapal kargo.
Penghantaran seperti ini ada risiko barang kita rosak atau hilang. Kita dah tunggu lama, tapi bila sampai masa barang kita hilang pula.
Bila kita nak beli online, bermakna kita perlu bersedia dengan masa penghantaran. Kalau barang tersebut memang kita perlu segera, kita tak akan beli online.
Dalam konteks penjimatan dari segi masa ini, kita boleh katakan beli online lebih jimat masa, sebab kita hanya perlu klik barang yang kita mahukan dan selepas itu kita buat bayaran. Kemudian, kita tunggu sahaja barang tersebut sampai pada kita.
Proses ini semua mungkin hanya ambil masa anda tak sampai lima minit. Dah siap.
(4) Proses jualan yang sangat mudah
Sebagai pembeli, kita mempunyai kawalan penuh terhadap keputusan membeli.
Kita bebas untuk membuat perbandingan, bebas untuk beli dari sesiapa sahaja dan kita juga bebas untuk batalkan pembelian. Sesetengah laman web menyediakan jaminan kepuasan pelanggan yang membolehkan kita untuk memulangkan semula barang yang telah dibeli dan dapatkan refund.
Semua ini boleh dilakukan secara online sahaja.
(5) Tidak perlu berdepan dengan jurujual atau promoter
Ada sebab kenapa kita tak ambil sesuatu produk yang ada diatas rak.
Mungkin sebab kita tak perlukan produk tersebut
Boleh jadi juga sebab kita tak ada bajet untuk beli.
Tapi kadang-kadang kita terpaksa berdepan dengan promoter yang tak faham bahasa. Bila kita dah kata “tak apalah, terima kasih…” dia masih tetap bersungguh-sungguh nak kita beli produk yang dia sedang promosikan.
Sampai satu tahap, kita rasa macam promoter ini memaksa kita beli pulak. Saya teringat pada promoter kad kredit yang biasa kita boleh temui kalau di shopping mall.
Mereka akan tawarkan kita free gift kalau kita sudi untuk buat permohonan kad. Sama ada permohonan tersebut akan diluluskan atau tidak, itu bukan isunya.
Yang penting isi borang dulu dan ambil hadiah percuma. Mereka ini boleh jadi sangat agresif lebih-lebih lagi kalau mereka rasa mereka boleh pujuk kita untuk daftar. Ini sememangnya situasi yang menjengkelkan dan saya pun kadang-kadang malas nak layan promoter-promoter ini semua.
(6) Bonus, diskaun, mata ganjaran, special deals
Laman web ecommerce juga kerap menawarkan promosi dan diskaun yang menarik. Promosi ini dalam bentuk potongan harga, cash rebate, mata ganjaran dan banyak lagi.
Tawaran seumpama ini mungkin agak sukar untuk kita dapati kalau beli di kedai.
Special discount seperti ini adakalanya dianjurkan oleh pihak penyedia platfform.
Sebagai contoh, pihak Shopee menawarkan voucher diskaun 10% kepada 1,000 pelanggan bertuah. Voucher ini boleh digunakan untuk beli apa-apa barang yang dijual di platform tersebut.
Harga produk RM1,000
Guna voucher 10% yang ditawarkan oleh Shopee, kita hanya perlu bayar RM900 sahaja.
Adakah ini bermaksud harga produk jadi lebih murah kalau beli online berbanding beli di kedai?
Pada saya, jawapannya tidak.
Harga produk tidak berubah. Ia masih dijual dengan harga RM1,000. Kita dapat harga lebih rendah kerana special promotion yang ditawarkan oleh platform, dan ianya bukan untuk semua.
Hanya yang betul-betul bertuah sahaja yang layak.
(7) Lebih privasi
Pernah tak anda berada dalam satu situasi yang mana anda nak beli barang tu, tapi anda terlalu segan.
Anda segan kalau ada orang yang kenal anda nampak anda masuk kedai tu.
Anda rasa tak seronok sebab muka anda dirakam oleh kamera cctv yang dipasang di kedai tu.
Anda rasa kurang selesa bila perlu berurusan dengan cashier semasa buat pembayaran.
Orang yang tak pernah berada dalam situasi ini, mungkin susah nak faham. Untuk memudahkan anda faham, ini adalah salah satu contoh kategori yang ramai orang nak beli, tapi segan nak beli di kedai.
(8) Boleh baca feedback dan review dari pelanggan terdahulu
Kebanyakkan laman web shopping mempunyai fungsi untuk pembeli terdahulu meletakkan komen, feedback dan review tentang produk yang telah dibeli.
Kalau feedback dari pembeli terdahulu cukup cantik, maka pelanggan akan lebih yakin untuk membeli. Saya percaya, ramai juga orang yang begini. Sebelum beli baca review dulu. Saya pun begitu.
(9) Mudah untuk hantar barang yang kita beli untuk orang lain
Beli secara online ini cukup mudah terutama sekali bila kita ada pasang niat nak hadiahkan barang yang kita beli itu tadi untuk orang lain.
Kita hanya perlu order macam biasa, cuma pada bahagian alamat untuk penghantaran itu kita tulis alamat penerima.
Sesetengah penjual ada yang boleh bantu kita untuk balutkan hadiah dan tuliskan kad ucapan. Ini kita boleh tanya sendiri pada penjual, sama ada dia sudi bantu atau tidak.
Untuk pengetahuan anda, ada juga yang mengambil peluang daripada kaedah ini untuk jalankan bisnes. Bisnes yang dijalankan menerusi kaedah ini kita namakan sebagai konsep bisnes dropship.
(10) Atas faktor keselamatan
Artikel ini saya tulis ketika pandemik covid-19 masih lagi dalam keadaan yang amat teruk. Pada ketika ini, memang kita tak digalakkan keluar rumah bagi mengelakkan jangkitan. Maklumlah, kadang kita tak perasan yang kita kena jangkitan.
Kita sedia maklum, ada individu yang telah dijangkiti virus Covid-19 tapi dia tak bergejala. Dari luaran, dia memang sihat. Tapi sebenarnya dia telahpun dijangkiti.
Individu seperti ini mampu untuk menjangkiti orang lain, dan orang yang dijangkiti itu pula boleh menunjukkan segala simptom, dan akhirnya jatuh sakit.
Sebagai langkah keselamatan, jika ingin beli sesuatu barang, belilah secara online. Pada hari ini, ancaman dan bahaya yang kita hadapi mungkin datangnya dari virus. Tapi pada masa akan datang? Ia mungkin datang dalam bentuk yang berbeza.
Jadi, adalah lebih selamat kalau beli sahaja online, dan tunggu barang tersebut dihantar ke rumah anda.
Baiklah, sekurang-kurangnya ada 10 sebab kenapa seseorang pelanggan itu memilih untuk membuat pembelian secara online. Setelah kita mengetahui 10 sebab yang berbeza ini, dapatkah anda belajar sesuatu dan mula dapatkan pelanggan baru secara online?
Saya harap perkongsian ini ada manfaatnya.
Leave a Reply