Betul ke dunia ini penuh wang? Kalau ikut apa yang disampaikan oleh penulis buku ini, iaitu saudara Razzi Armansur, dunia ini penuh wang!
Anda pernah baca buku ini? Atau pernah nampak buku ni dekat mana-mana kedai buku?
Cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 2008. Selepas 9 tahun, iaitu pada tahun 2017 ni, saya baru baca buku ini.
Mungkin agak lewat. Tapi nak buat macam mana kan, baru sekarang bertemu jodoh dengan buku ini. Baiklah, walaupun buku ni dah agak lama, namun apa yang boleh saya katakan, buku ini ada banyak nasihat yang baik-baik berkenaan pengurusan wang dan cara untuk mendapatkan lebih banyak wang.
Walaupun begitu, kebanyakkan nasihat dalam buku ini, saya dah pernah dengar sebelum ni, sama ada dari buku berkenaan pengurusan kewangan yang ditulis oleh penulis buku lain, ataupun dari sumber ceramah kewangan. Kalau saya baca buku ni lebih awal, mungkin saya akan kata, ini adalah buku pertama yang berikan saya kesedaran tentang betapa banyaknya wang disekeliling kita.
Ilmu tetap ilmu. Mana yang saya dah tahu, atau yang saya pernah dengar, saya anggap ia sebagai refreshment. Jika anda masih belum pernah baca buku ini, mungkin nanti kalau ada masa boleh cari buku ini.
Jom lihat isi kandungan buku ini.
Bab 1 – Bukti Dunia Ini Penuh Wang
Bab 2 – Wang Tersembunyi
Bab 3 – Wang Di Sekeliling
Bab 4 – Penting Bukan Utama
Bab 5 – Pelbagai Cara Mencari Wang
Bab 6 – Kualiti Sebelum Wang
Bab 7 – Konsep Penyedut Hampagas
Bab 8 – Menanam Pokok Wang
Bab 9 – Ajaibnya Piramid
Bab 10 – Sandang Pangan
Bab 11 – Rahsia Suami Beristeri Lima
Bab 12 – Melihat Yang Belum Wujud
Bab 13 – Beri Tumpuan
Bab 14- Apabila Pintu Terbuka
Bab 15 – Tragedi Kondominium Tumbang
Seperti yang saya ada tekankan sebelum ini, buku ini, walaupun dah agak lama, ia sebenarnya mengandungi banyak nasihat-nasihat yang baik tentang kewangan.
Apabila anda baca tajuk buku ini, iaitu Dunia ini penuh wang… ada atau tak terlintas difikiran anda, apa sebenarnya BUKTI yang dunia ini penuh wang?
Jawapannya ada dalam bab 1, iaitu bab yang menceritakan tentang Bukti Dunia Ini Penuh Wang. Tempat yang ada ramai orang, selalunya ada banyak wang. Wang berada dalam poket, dalam walet, dalam akaun bank, dalam akaun pelaburan, dalam bentuk aset dan sebagainya.
Wang yang ada dalam poket saya, tak sama banyak dengan wang yang ada dalam poket orang lain. Namun yang pasti, setiap orang ada wang, cuma dalam kuantiti yang berbeza-beza. Ada orang, ada banyak wang, dan ada orang, cuma ada sedikit wang.
Wang itu memang ada, cuma ia tersembunyi dari pandangan kita.
Untuk nampak kewujudan wang tersebut, kita perlukan ilmu. Wang tersebut tidak akan tersembunyi untuk selama-lamanya, kerana wang itu sendiri diciptakan untuk kegunaan manusia. Lambat laun, manusia pasti akan tahu cara untuk dapatkan wang yang tersembunyi itu, kerana manusia dikurniakan
- Akal
- Tenaga
- Anggota badan
- Kemahuan atau nafsu
- Masa
Apabila manusia itu menggunakan kelima-lima ini dengan sebaiknya, wang tersembunyi itu pasti akan dapat dikeluarkan dari tempat persembunyiannya. Menarik, kan?
Bab 5 – Pelbagai Cara Mencari Wang. Memang betul, ada macam-macam cara yang boleh kita gunakan untuk cari dan dapatkan wang. Kebiasaannya, individu yang menggunakan lebih dari satu cara untuk dapatkan wang, dia akan dapat lebih banyak wang, berbanding dengan individu yang hanya bergantung pada satu cara sahaja.
Logik bukan?
Persoalannya, apakah dia cara untuk dapatkan wang? Penulis buku ini, Razi Armansur, ada menyenaraikan tiga cara bagaimana memperolehi wang.
Pertama, cari wang dengan bekerja.
Kedua, gunakan wang yang ada untuk dapatkan lebih banyak wang.
Ketiga, gabungkan teknik bekerja untuk dapatkan wang dengan gunakan wang untuk dapatkan lebih banyak wang.
Untuk guna teknik yang kedua, iaitu wang mendapatkan wang, sudah tentu kita perlu ada wang terlebih dahulu. Untuk dapatkan wang, kena bekerja. Konteks bekerja kat sini merangkumi kita kerja dengan majikan, bekerja sendiri dari rumah ataupun berniaga. Syaratnya ialah, kita ada lakukan sesuatu untuk dapatkan wang.
Kemudian, daripada wang yang diperolehi tu nanti, bolehlah diambil sedikit untuk dilaburkan, supaya wang tersebut menghasilkan lebih banyak wang. Mula sedikit demi sedikit itu lebih baik daripada langsung tak bermula.
Bab 6 menceritakan tentang kualiti sebelum wang. Saya rasa bab ini adalah bab yang paling memberi kesan kepada saya.
Saya sedar, ada masa-masa tertentu, saya lebih, dan terlalu fokus untuk dapatkan wang, berbanding memberi fokus untuk hasilkan kerja yang berkualiti. Walhal, saya dah banyak kali nampak, apabila saya fokus untuk beri hasil kerja yang paling berkualiti, wang akan datang dengan sendirinya.
Kiranya, bab 6 ini memang kembali menyedarkan saya, untuk fokus pada kualiti. Pasal duit, tak perlu risau sangat. Bila kita hasilkan kerja yang berkualiti, wang akan datang dengan sendirinya.
Bila saya hasilkan artikel yang ada kualiti, biasanya sale akan masuk sendiri tanpa henti, walaupun saya tak buat apa-apa. Sale tersebut pula adalah terhasil daripada pembaca yang baca artikel tersebut.
Cuba kalau saya buat artikel cincai atau asal buat… biasanya walaupun ada pembaca (yang ramai) tiada sale yang akan dihasilkan.
Konsep penyedut hampagas, yang dibincangkan dalam bab 7 ini pula adalah merujuk kepada teknik menabung yang betul, dan berupaya untuk membantu pembaca mencapai matlamatnya. Cuba fikirkan sejenak, kenapa tabung kita tak pernah penuh?
Mungkinkah cara kita menabung tu ada kekurangannya? Menurut penulis, kalau nak menabung, jangan bermula dengan tabung kosong. Masukkan dulu sejumlah wang dalam tabung tu, dan pasangkan niat bahawa kita mahukan duit dalam tabung tu akan bertambah.
Kalau nak tahu cara yang lebih details, bacalah buku ini. Rasa tak syok pula kalau saya cerita semua kat dalam satu post ni. Saya rasa, better anda baca sendiri buku ini, kalau ada kesempatan nanti.
Menanam pokok wang ini sebenarnya sama sahaja dari segi konsep dengan kita menanam pokok bunga atau pokok buah-buahan. Ia perlu masa, perlu penjagaan yang rapi, perlu dibubuh baca, perlu dilindungi dari serangan makhluk perosak.
Sesetengah pokok, kita akan dapat merasa hasilnya dalam masa kurang dari 6 bulan. Ada yang makan masa bertahun-tahun, baru akan nampak hasilnya. Begitulah juga dengan konsep menanam pokok wang.
Istilah “pokok” disini, mungkin merujuk kepada perkara yang berbeza. Untuk sesetengah individu, pokok wangnya merujuk kepada bisnes, pelaburan atau mungkin akaun simpanan. Apabila dijaga dengan rapi, satu masa nanti ia pasti akan memberikan hasilnya.
Mana nak dapatkan buku Dunia Ini Penuh Wang?
Buku ini sebenarnya saya pinjam dari Perpustakaan Negara Malaysia. Jika anda ingin beli buku ini, boleh dapatkan di kedai-kedai buku seperti Popular, MPH dan sebagainya.
Ataupun, jika anda ingin dapatkan buku ini secara online, boleh juga beli dari laman web MPH menerusi pautan ini. Selamat membaca, dan selamat menjemput wang yang ada banyak dalam dunia ini.
Sheila Adziz says
wow… menariknya buku ni penuh dgn maksud tersirat
sabree hussin says
Yup ada maksud tersirat dan mesej yang baik. Ada masa, silakanlah baca buku ni ya.
Noriza Rahman says
Memang suka baca nukilan tuan Razzi ni, tapi buku ni belum beli lagi. InsyaAllah boleh cari di MPH