Anda biasa dengar istilah content marketing?
Besar kemungkinan jawapan anda adalah, ya biasa dengar. Dewasa ini banyak orang mula bercakap mengenai topik content marketing.
Tapi, adakah anda benar-benar faham, apa itu content marketing?
Content marketing merupakan istilah dalam Bahasa Inggeris.
Kalau kita terjemahkan dalam bahasa Melayu, ia menjadi “pemasaran kandungan” atau boleh jadi juga “pemasaran melalui penggunaan konten”.
Dalam penulisan disini, saya akan menggunakan istilah “content marketing” berbanding pemasaran kandungan atau pemasaran konten.
Apa yang dimaksudkan dengan Content Marketing
Content marketing ini merupakan suatu kaedah atau strategi pemasaran yang mana pengguna kaedah ini akan menghasilkan konten (kandungan) atau mengupah individu lain untuk mencipta konten bagi pihaknya.
Konten yang telah siap dihasilkan akan diedar dan disebarkan dipelbagai platform berbeza, supaya ia mendapat lebih banyak pendedahan daripada golongan yang disasarkan ataupun pengguna.
Pengguna yang berinteraksi dengan kandungan tersebut akan buat keputusan sama ada nak beli atau tidak, apa-apa produk atau perkhidmatan yang diselitkan atau yang diketengahkan dalam konten tersebut.
Biasanya sesebuah konten akan disiarkan dalam platform tertentu, contohnya sama ada di blog, media sosial, youtube, tiktok dan sebagainya.
Ada sesetengah orang akan menulis artikel di blog, kemudian dia akan share link artikel tersebut di media sosial. Ataupun dia mungkin tak share link artikel ke media sosial, sebaliknya dia akan copy paste keseluruhan artikel diplatform tersebut.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan lebih banyak exposure pada artikel atau konten yang telahpun dihasilkan.
Dalam contoh yang berlainan, boleh juga buat video di Youtube kemudian share di media sosial.
Namun ada juga keadaan yang mana dia hanya siarkan konten tersebut hanya di satu platform semata-mata. Contohnya, dia menghasilkan konten dalam bentuk video dan hanya terbitkan konten tersebut diplatform Youtube sahaja atau tiktok sahaja.
Dalam keadaan ini, dia hanya bergantung harap pada trafik yang disumbangkan oleh platform yang digunakan itu sahaja.
Sebenarnya ia terpulang kepada strategi masing-masing, sama ada nak menggunakan pelbagai platform ataupun hanya menggunakan satu platform sahaja.
Setakat yang saya tahu, tak ada sebarang peraturan yang spesifik mengenai perkara ini. Ia terpulang kepada strategi pemasaran masing-masing.
Ada orang yang hanya mahu dikenali di satu platform sahaja.
Ada orang suka kalau banyak orang kenali dia di platform yang berlainan.
Kegunaan Content Marketing
Biasanya orang yang menggunakan kaedah content marketing sebab dia ada tujuan tertentu. Maksud saya, dia menghasilkan konten bukan sekadar ingin berkongsi karya, sebaliknya dia ingin mempromosikan atau menjual sesuatu.
Maklumlah, content marketing itu sendiri merupakan suatu strategi pemasaran.
Ada beza antara mereka yang menghasilkan konten bagi tujuan berkarya dengan mereka yang menghasilkan konten kerana ada matlamat untuk memperkenal, mempromosi, memasarkan dan menjual sesuatu.
Bagi mereka yang betul-betul mahir dengan kaedah pemasaran konten ini, kadang-kadang orang susah untuk bezakan antara konten biasa dengan konten yang dihasilkan bagi tujuan marketing.
Kalau dilihat sekali imbas, ianya nampak macam tak ada beza yang ketara.
Tapi hakikatnya anda sedang membaca konten iklan. Ya, anda sedang berinteraksi dengan sebuah iklan, yang diselindungkan dalam bentuk konten yang ada manfaat dan nilai.
Bezanya ialah, kalau konten tersebut adalah iklan semata-mata, biasanya orang tak berapa suka untuk baca, atau tonton dari mula sampailah habis.
Sebenarnya, lebih natural sesuatu artikel, lebih baik.
Pembaca lebih selesa untuk baca dan tak nampak ia seperti sebuah iklan.
Dalam penerangan ini saya cerita dari segi konteks penulisan artikel. Tapi kalau anda bukannya jenis yang suka membaca, boleh bayangkan konten dalam bentuk yang berbeza, misalnya dalam bentuk video ataupun audio (lagu).
Kalau konten dalam bentuk video, kita boleh lihat contoh seperti iklan sempena hari raya atau sebarang perayaan. Ada iklan hari raya yang sangat menarik, namun sebenarnya dalam iklan tersebut, dimuatkan dengan iklan.
Atau lagu-lagu yang dihasilkan bagi tujuan mempromosikan dan mengiklankan produk tertentu. Kadang-kadang kita sebagai pendengar terikut-ikut menyanyikan lagu tersebut, sedangkan ia sebenarnya adalah sebuah iklan.
Contoh content marketing
Baiklah, boleh jadi ada yang kurang jelas dengan bentuk-bentuk content marketing yang ada diluar sana. Jadi, saya akan berikan beberapa contoh supaya anda lebih mudah untuk melihatnya.
Strategi content marketing ini boleh dipraktikkan dalam menghasilkan kandungan dalam bentuk seperti
1. Artikel
Konten dalam bentuk artikel seperti penulisan blog, rencana dan sebagainya. Dalam penulisan yang dihasilkan akan dimuatkan juga dengan ayat-ayat untuk menggalakkan pembaca untuk mencuba sesuatu produk, atau sekadar memperkenalkan produk.
2. Infografik
Infografik ini merupakan sebuah poster yang didalamnya mengandungi banyak info-info. Ianya cukup senang disebarkan melalui media sosial, sekiranya kandungan poster tersebut benar-benar bermanfaat.
3. Video
Strategi content marketing juga boleh dilakukan dalam menghasilkan konten dalam bentuk video. Biasanya pengguna kaedah ini akan mencipta video iklan yang mengandungi tema ataupun mesej tertentu. Penonton sebenarnya menonton video tersebut kerana ingin mengetahui jalan cerita yang dipersembahkan.
4. Buku & Ebook
Buku yang banyak dijual dipasaran ataupun yang kita boleh pinjam di perpustakaan juga boleh jadi salah satu alat (tools) yang digunakan sebagai strategi content marketing.
Kalau anda perasan, ada banyak penulis buku yang akan bercerita mengenai buku-buku lain (dengan tajuk yang lain juga) yang dia pernah tulis sebelum ini dalam buku baru yang dia hasilkan.
Kesannya, jika kita suka dengan gaya penulisan penulis tersebut, kita akhirnya akan beli hampir semua buku-buku yang dia telah hasilkan.
5. Webinar
Webinar ini sebenarnya merupakan seminar yang dijalankan secara maya. Ia adalah merupakan gabungan perkataan Website + Seminar. Webinar juga sesuai digunakan dalam menjalankan kaedah pemasaran konten.
6. Podcast
Podcast ini pula adalah dalam bentuk audio. Biasanya kita akan jadi pendengar sahaja. Podcast tu pula kita boleh dengar sama ada secara live ataupun secara rakaman. Melalui podcast ini, kita boleh ikuti pelbagai topik.
Konsep podcast ini lebih kurang sama seperti kita dengar ceramah agama. Zaman saya kanak-kanak dulu, popular dengan kaset agama. Zaman sekarang ini kalau nak dengar ceramah, boleh dengar melalui podcast.
7. Posting media sosial
Apa-apa post yang ditulis dan disiarkan dalam media sosial, sama ada Facebook, Instagram ataupun twitter, semua itu boleh dianggap sebagai konten.
Kadang-kadang ada orang yang kita tak kenal, berminat nak follow kita. Sebabnya mereka suka dengan perkongsian yang selalu kita coretkan di wall kita.
8. Case Studies
Case studies ini boleh dalam bentuk artikel, video, ataupun penyampaian secara terus dihadapan penonton.
9. Email newsletter
Email newsletter ini sebenarnya adalah artikel yang akan dihantar kepada kita melalui email. Ia agak berbeza dengan artikel blog, memandangkan hanya mereka yang melanggan newsletter tersebut sahaja yang akan menerima email.
Mungkin kita boleh katakan konten seperti ini agak eksklusif dan hanya orang tertentu sahaja yang boleh lihat atau baca.
10. Kertas putih atau research paper
Kertas putih ini dihasilkan bertujuan untuk membincangkan sesuatu topik dengan lebih mendalam. Biasanya dalam kertas putih ini terkandung case studies, hasil kajian, data-data yang berkenaan dan banyak lagi.
Cuma yang menjadi persoalan adalah, anda ingin hasilkan content dalam bentuk apa?
Adakah content dalam bentuk artikel, info-grafik, audio, video dan sebagainya.
Siapa yang sesuai menggunakan strategi content marketing
Pada pendapat saya, semua orang yang sudahpun faham bagaimana strategi content marketing berfungsi, sesuai untuk menggunakan strategi ini dalam kerja-kerja pemasaran.
Malahan saya juga amat menggalakkan semua pemilik perniagaan untuk menggunakan kaedah ini dalam aktiviti pemasaran mereka, selain bergantung kepada kaedah pengiklanan berbayar lain yang biasa digunakan.
Obviously, content marketing ini sangat sesuai jika dipraktikkan oleh mereka yang mempunyai perniagaan sendiri. Tak kira apa jenis perniagaan sekalipun, ia boleh dipromosikan melalui teknik dan kaedah ini.
Tapi kalau seseorang tu, tak memiliki sebarang bisnes, ataupun sekadar ingin menghasilkan pendapatan tambahan, mereka ini juga sesuai untuk menggunakan strategi ini.
Sebagai contoh, individu yang mencari rezeki sebagai seorang freelancer, atau mereka yang nak buat duit di internet melalui affiliate marketing, dropship dan sebagainya.
Mana satu yang paling berkesan?
Sebelum kita terus mengatakan konten yang sekian dan sekian adalah paling berkesan berbanding konten yang sekian sekian, saya kira ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian. Kalau kita jelas pada bahagian ini, In Shaa Allah kita akan lebih mudah nampak, mana satu bentuk konten yang paling sesuai dan berkesan bagi situasi kita.
Pertama dari segi pembinaan content.
Konten yang kita hasilkan itu sendiri perlulah menarik, bermanfaat, berkualiti dan mempunyai pengisian yang baik.
Kedua adalah faktor trafik atau pelawat, atau pengguna yang akan berinteraksi dengan content tersebut.
Konten yang bagus, kalau tak ada siapa yang tahu kewujudannya, juga tak akan memberi sebarang manfaat. Jadi anda juga perlu ambil berat mengenai trafik yang akan melihat konten anda.
Ketiga, adakah content tersebut disukai oleh target audience.
Boleh jadi konten yang dihasilkan ada banyak views, ada banyak audience yang komen dan share konten tersebut, tapi persoalannya ialah, adakah ia jenis konten yang baik dan disukai?
Boleh jadi juga orang share konten tersebut supaya lebih ramai orang boleh tau mengenai konten tersebut dan lebih banyak orang boleh kecam konten yang dimaksudkan.
Pada pandangan saya,
Kalau ada orang yang kata, cukup sekadar mampu hasilkan konten yang bagus itu dah cukup baik, sebenarnya ia tak berapa betul. Konten yang bagus, kalau tak ada trafik, dan tak ada pengguna yang berinteraksi dengan konten tersebut, ia tak akan memberi apa-apa hasil.
Begitu juga jika konten tersebut menerima limpahan trafik yang banyak, namun jika pengguna tak suka pada konten tersebut, ia juga tak memberikan sebarang pulangan.
Situasi ini biasa berlaku. Views ada banyak, tapi langsung tak menyumbangkan kepada jualan.
Justeru, apabila kita ingin menggunakan kaedah content marketing, kita perlu cuba sebaik mungkin untuk hasilkan konten yang menepati ciri
1. Konten yang baik
2. Konten tersebut berupaya untuk menarik trafik
3. Konten tersebut disukai oleh penggunanya.
4. Konten tersebut mampu untuk menghasilkan jualan
Apa manfaat menggunakan content marketing
Strategi content marketing ini bukan semata-mata digunakan bagi tujuan mendapat jualan. Ia sebenarnya mempunyai banyak manfaat lain. Saya kongsikan antara manfaat apabila menggunakan kaedah ini.
1. Membantu dalam proses membina jenama
Jenama ini merujuk kepada suatu tanda, atau nama yang mewakili nama perniagaan anda. Sebagai pemilik bisnes, sudah tentu kita mahukan bakal pelanggan untuk kenal jenama kita.
Bagi orang yang pernah berurusniaga dengan kita, mereka sudah ada pengalaman dan kenal siapa kita. Tapi, bagi mereka yang masih belum kenal kita, satu cara untuk mereka selesa mendekati dan mengenali kita adalah melalui konten-konten yang kita hasilkan.
2. Memberi pengaruh dan kedudukan yang baik dalam search engine
Konten yang kita siarkan dilaman web milik kita sendiri, akan ada peluang yang sangat cerah untuk muncul di halaman enjin carian seperti Google, Yahoo dan Bing. Laman web enjin carian ini memang sukakan laman web yang mempunyai banyak konten yang relevant dan related dengan topik atau kata kunci tertentu.
3. Memberi trafik kepada laman web
Ini khusus bagi mereka yang mempunyai laman web sendiri. Jika laman web anda mempunyai banyak konten, kesannya ialah akan ada trafik yang akan masuk ke laman web anda secara automatik.
Trafik ini semuanya datangnya dari laman enjin carian, sama ada Google, Yahoo, Bing dan sebagainya. Pelawat ini mungkin mencari maklumat mengenai topik tertentu dan akhirnya menemui laman web anda.
Mereka ini ada potensi untuk jadi pelanggan anda dimasa akan datang.
4. Menjadikan proses untuk mendapatkan prospek automatik
Poin ini sebenarnya ada kaitan dengan poin sebelum ini. Sebelum bakal pelanggan buat keputusan untuk membuat pembelian dari anda, atau membeli apa-apa produk yang anda cadangkan, terlebih dahulu mereka akan berinteraksi dengan konten-konten yang anda pernah hasilkan.
Sekiranya mereka sudah yakin dengan anda, melalui konten-konten yang anda hasilkan, mereka ini tak perlu susah payah lagi nak hubungi anda. Lazimnya mereka akan terus dengan membuat tempahan.
5. Meningkat kepercayaan dan keyakinan bakal pelanggan
Faktor kepercayaan ini adalah faktor yang sangat penting, sebelum nak yakinkan bakal pelanggan untuk buat pembelian. Kadang-kadang pelanggan tak membeli, bukannya sebab dia tak perlu produk tersebut. Sebaliknya sebab dia tak percaya kepada penjual.
Akhirnya dia pilih untuk beli dari penjual lain, sebabnya dia tak percaya dengan anda. Walaupun pada hakikatnya, anda merupakan orang pertama yang memperkenalkan produk tersebut kepada individu tersebut.
6. Kaedah pemasaran yang rendah dari segi kos
Konten yang sama, boleh digunakan berulang-ulang kali bagi tujuan pengiklanan. Selagi mana konten tersebut masih lagi mendapat pelawat, selagi itu ia akan terus memberi hasil kepada anda.
Jika anda menghasilkan konten jenis evergreen, tak mustahil konten anda akan terus dibaca, atau ditonton sehingga bertahun-tahun lamanya.
7. Tonjolkan kelebihan berbanding pesaing
Persaingan adalah sesuatu yang lumrah dalam mana-mana perniagaan. Melainkan kalau perniagaan tersebut beroperasi menerusi sistem monopoli.
Content marketing sesuai digunakan bagi tujuan menonjolkan kelainan yang ada pada perniagaan anda.
Bagaimana proses yang berlaku sebelum pelanggan buat keputusan pembelian?
Kebiasaanya ada beberapa peringkat yang akan dilalui oleh bakal pelanggan.
Kesedaran (Awareness)
Pada mulanya bakal pelanggan ini tak tahu tentang kewujudan produk atau perkhidmatan tersebut.
Tapi apabila dia terjumpa content anda, dan mula ikuti siri konten yang anda hasilkan, dia mula sedar kewujudan produk dan dari situ mula timbul minat terhadap produk tersebut.
Peringkat Kajian
Pada peringkat ini, prospek sudahpun tahu mengenai kewujudan produk anda. Sebelum dia terus membuat keputusan untuk membeli, dia akan membuat kajian terlebih dahulu, bagi mengetahui sama ada produk tersebut berbaloi ataupun tidak untuk dibeli.
Buat keputusan
Prospek akan sedar bahawa dipasaran terdapat beberapa produk yang lebih kurang sama, atau mungkin lebih baik berbanding produk yang dipromosikan. Oleh kerana ada banyak alternatif yang boleh dijadikan pilihan, maka dia perlu pertimbangkan mana satu yang terbaik untuk dirinya.
Bagaimana cara prospek seperti ini akan buat keputusan?
Biasanya dia akan pilih penjual atau produk yang mampu untuk meyakinkan dia untuk buat keputusan.
Dekat dalam pasaran, mungkin ada banyak lagi produk lain mungkin lebih baik, tapi adakah
1. Harganya sesuai dengan kemampuan pelanggan tersebut?
2. Pelanggan selesa berurusan dengan penjual tersebut
3. Pelanggan yakin dengan tawaran penjual
4. Penerangan mengenai produk lebih jelas
Melalui penggunaan strategi content marketing inilah, penjual dapat membuatkan bakal pelanggan rasa selesa dengan dirinya.
Percaya dengan tawaran yang diberikan.
Dan dapat memberikan penerangan yang berkali ganda lebih baik berbanding penjual lain yang tak menggunakan kaedah content marketing.
Sudah tentu, terdapat juga situasi tertentu yang mana prospek tak menggunakan logik yang sama, seperti yang saya sebutkan. Mereka terus buat keputusan sama ada nak beli atau tidak, sebaik sahaja dia mengetahui tentang produk.
Katakanlah, kali pertama dia tau tentang produk, dia pun terus buat keputusan untuk membeli.
Kategori prospek seperti ini, kita gelarkan sebagai pembeli impuls atau impulse buyer.
Mereka ini lazimnya mempunyai kedudukan kewangan yang baik, dan mereka mampu untuk terus buat keputusan pembelian, sebaik sahaja dia mengetahui tentang produk.
Buat duit dengan content marketing
Akhirnya kita nak tahu, adakah melalui strategi content marketing ini nanti, kita boleh hasilkan pendapatan?
Kalau pada saya, jawapannya memang boleh.
In Shaa Allah, topik mengenai cara untuk buat duit dengan content marketing ini, saya akan tulis dikesempatan yang akan datang.
Bagaimana cara untuk bermula?
Baiklah, kini setelah kita bincangkan beberapa perkara mengenai kaedah pemasaran ini, mungkin ada yang tertanya-tanya… bagaimana cara nak mula menggunakan kaedah atau strategi pemasaran ini.
Sebagai permulaan, mungkin anda boleh tanyakan pada diri anda, adakah anda akan buat sendiri konten anda, ataupun anda akan mengupah orang lain untuk menghasilkan konten bagi pihak anda.
Jika anda kata, anda akan buat sendiri konten anda, maka bermula dari saat itu, anda perlu pilih, bentuk konten yang bagaimana yang anda paling selesa untuk hasilkan?
Ada banyak orang yang beri pendapat, konten dalam bentuk video adalah konten yang banyak orang suka sekarang ini. Terutama sekali untuk generasi Z. Dalam banyak laporan dan perkongsian, dikatakan bahawa generasi muda lebih cenderung untuk berinteraksi atau consume konten dalam bentuk video.
Tapi, adakah ini bermaksud kita semua dan semua orang yang pernah baca topik ini kena hasilkan konten video?
Jawapannya boleh jadi YA dan juga TIDAK.
Saya berpandangan, adalah lebih baik kita fokus untuk menghasilkan konten dalam bentuk yang kita benar-benar mahir. Kalau kita lebih mahir dalam menghasilkan bahan berbentuk penulisan, maka lebih baik kita perbanyakkan untuk hasilkan konten dalam bentuk sedemikian.
Apa pun kita kena berpijak dibumi yang nyata, dan melihat semula kekuatan dan kelemahan diri. Kita sepatutnya lebih tahu, konten yang bagaimana yang kita mampu untuk hasilkan. Lebih baik kita manfaatkan sepenuhnya kekuatan yang ada pada diri, daripada kita habiskan banyak masa untuk buat sesuatu yang kita sebenarnya kurang mahir.
Penutup
Apa yang saya kongsikan disini, adalah merupakan suatu pengenalan kepada topik content marketing. Ada banyak yang saya ingin kongsikan mengenai topik ini, namun bagi mengelakkan artikel ini menjadi terlalu panjang, saya kira ada baiknya saya pecahkan penerangan mengenai topik ini kepada beberapa bahagian.
In Sha Allah di masa akan datang kita akan terokai topik ini dengan lebih mendalam lagi.
Terima kasih untuk masa anda. Semoga bermanfaat.
Leave a Reply