Seronok kan kalau kita dapat jana pendapatan yang lumayan tanpa perlu keluar modal, tanpa perlu bersusah payah nak keluar bekerja dan pendapatan tersebut akan kita perolehi setiap bulan.
Mungkin pada waktu itu, kita boleh lihat diri sebagai seorang yang bebas dari segi kewangan. Orang putih kata, kita telah pun mencapai tahap financial freedom.
Memang agak sukar untuk membayangkan, bagaimana rasanya berada ditahap mereka yang telah mencapai status kebebasan dari segi kewangan, kalau kita sendiri tak pernah berada pada tahap tersebut.
Kebanyakkan dari kita, kalau yang pernah merasai status financial freedom ini, mungkin pada zaman masih kanak-kanak dulu. Itupun cuma sekejap. Pada waktu itu, kita tak perlu fikir soal duit, hutang, komitmen kewangan dan sebagainya. Kita hanya perlu nikmati hidup sebaik yang mungkin.
Apabila saya cuba mencari definisi tentang bebas kewangan ini, saya menemui beberapa pandangan, dan dalam banyak-banyak pandangan tersebut, saya rasa saya lebih cenderung pada definisi berikut.
Status bebas kewangan atau financial freedom ini merujuk kepada suatu keadaan dimana individu tersebut memiliki kekayaan dan aset yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan mengikut gaya hidup (lifestyle) yang diingini tanpa perlu lagi bergantung harap kepada pekerjaan ataupun mengharapkan sokongan daripada mana-mana individu untuk bantuan kewangan.
Seseorang yang telah mencapai status ini lazimnya mempunyai kebebasan dan lebih fleksibel dalam mengatur jadual dan aktiviti harian mereka. Mereka bebas untuk pergi kemana-mana, bebas untuk beli apa sahaja dan tiada kebimbangan yang duitnya akan habis.
Orang yang telah mencapai tahap kebebasan kewangan ini tak semestinya hidup mewah, tinggal dalam banglo yang sangat besar, memandu kereta yang mewah, mempunyai banyak koleksi kereta dan sebagainya. Apa yang penting adalah dia dapat memilih gaya hidup seperti mana yang dia mahukan.
Tak mustahil, individu yang bebas dari segi kewangan, memilih untuk hidup sederhana dan tinggal dikampung serta menjalani kehidupan seperti mana orang-orang kampung yang lain. Bezanya dia dengan orang lain ialah, dia tak ada masalah duit, dan dia hidup seperti mana yang dia mahukan, bukan disebabkan keadaan yang memaksa dia jalani kehidupan seperti itu.
Bagaimana cara seseorang itu boleh mencapai tahap bebas dari segi kewangan ini?
Ini merupakan satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan.
Financial freedom ini sudah pasti menjadi idaman banyak orang. Kalau ada orang yang tak pernah teringin untuk mencapai tahap ini, mungkin atas beberapa sebab dan alasan.
Contohnya, selama ini dari usia kecil hidupnya memang sentiasa susah hingga dia merasakan tak mungkin untuk dia keluar dari kitaran hidup sedemikian.
Individu yang dikatakan sudah berada ditahap bebas dari segi kewangan ini lazimnya mempunyai persamaan antara satu sama lain, dan persamaan tersebut adalah dari segi
i. Mempunyai aset yang banyak
ii. Mempunyai simpanan yang banyak
iii. Ada banyak portfolio pelaburan
iv. Mempunyai banyak sumber pendapatan
v. Memiliki ilmu tentang pengurusan kewangan yang baik
vi. Atau setidak-tidaknya mempunyai penasihat kewangan yang hebat
Kita berbalik kepada perbincangan diawal-awal tadi. Saya ada sebutkan tentang
i. Jana pendapatan lumayan tanpa modal
ii. Tak perlu kerja dengan susah-payah
iii. Boleh hasilkan income yang berterusan
Persoalannya, wujud ke tawaran seumpama ini?
Dari masa ke masa, tawaran seumpama ini akan muncul.
Sama ada ia ditawarkan ditempat yang terbuka seperti melalui media sosial seperti Facebook, ataupun ditawarkan secara sembunyi-sembunyi seperti melalui group whatsapp, telegram, email dan sebagainya.
Kebanyakkan tawaran seperti ini, hanyalah satu taktik untuk menipu mereka yang kurang berhati-hati dan mereka yang mudah percaya. Ia hanya merupakan gimik pemasaran untuk menarik minat orang-orang yang tamak dan malas berusaha. Tapi mereka juga mempunyai impian dan keinginan untuk jadi kaya.
Kalau ada orang kata, kita boleh memulakan perniagaan sendiri, walaupun tanpa perlu keluar modal, biasanya itu petanda awal, ada sesuatu yang tak kena akan menyusul dikemudian hari.
Dalam keadaan ini, sama ada anda ambil langkah awal untuk angkat kaki, atau cuba layankan sekadar untuk hiburan.
Hari ini, saya perasan, ada orang dengan sewenang-wenangnya menggunakan istilah bisnes untuk promosikan program yang entah apa-apa kat internet ni.
Jadi dalam posting ini, saya ingin membuat sedikit penegasan.
Program buat duit dan bisnes adalah dua perkara yang berbeza.
Jika anda menyertai sebarang program buat duit, tak kiralah sama ada ia merupakan program affiliate, program pengiklanan, atau money game sekalipun lalu anda berjaya menghasilkan pendapatan, itu tak bermakna anda telahpun mempunyai bisnes anda sendiri.
Pada satu hari, anda terbaca mengenai satu cara untuk menjana pendapatan di internet melalui suatu program yang dinamakan sebagai program affiliate marketing.
Setelah anda membuat pembacaan, anda pun faham beberapa perkara seperti
1. Affiliate marketing ini boleh disertai secara percuma
2. Ada banyak syarikat besar dan jenama terkemuka yang membuka peluang untuk jadi ejen
3. Kita boleh jadi ejen sama ada secara terus atau melalui affiliate network
4. Kita boleh buat kerja pemasaran melalui media sosial ataupun guna blog
5. Seorang ejen hanya perlu urus dan fokus bahagian pemasaran sahaja
6. Anda telah kuasai semua tips untuk berjaya dalam affiliate marketing
Setelah anda benar-benar faham konsep affiliate marketing ini, andapun sertai program affiliate yang ada.
Kemudian setelah berusaha melakukan kerja-kerja pemasaran, anda pun berjaya hasilkan jualan dan dibayar komisen atas usaha anda membuat jualan tersebut.
Justeru, adakah disebabkan anda menerima bayaran komisen, bermakna anda telahpun memiliki bisnes sendiri?
Pada pandangan saya, jawapannya adalah tidak. Ada belum mempunyai perniagaan anda sendiri.
Ada beberapa sebab kenapa saya berpandangan sedemikian.
(1) Anda tidak memiliki sebarang kawalan terhadap perniagaan tersebut
Sebarang perancangan, tindakan, dan juga keputusan yang bakal diambil oleh syarikat adalah seratus peratus ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga ahli lembaga pengarah. Peranan anda adalah wakil atau ejen yang membawa masuk jualan untuk syarikat tersebut.
(2) Peranan anda hanya sekadar seorang wakil pemasaran
Kalau anda masih kurang jelas, dalam program affiliate peranan anda adalah sebagai ejen atau wakil pemasaran bagi pihak syarikat. Anda bukannya sebahagian daripada pemilik perniagaan tersebut.
Melainkan kalau anda beli sebahagian daripada saham syarikat, barulah boleh dikatakan anda merupakan sebahagian daripada pemilik syarikat.
(3) Anda tak memiliki hak pada jenama tersebut
Perniagaan dan jenama yang anda promosikan bukan hak milik anda. Ini bermakna anda tak boleh sesuka hati menggunakan jenama syarikat melebihi daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak syarikat.
(4) Anda tak terlibat langsung dalam menentukan hala tuju syarikat
Anda dapat tahu, pihak pengurusan telah membuat keputusan tertentu yang anda rasakan akan merugikan syarikat dimasa akan datang?
Tapi apa yang anda boleh buat.
Pendapat anda tak laku dan biasanya memang tak akan didengari.
(5) Pada bila-bila masa anda boleh diberhentikan
Pihak syarikat atau jenama yang anda wakili, boleh memberhentikan atau menamatkan kontrak anda selaku ejen pemasaran. Boleh jadi mereka ini tak melakukannya secara direct, tapi mereka boleh berikan alasan yang mereka ingin upgrade sistem affiliate, dan program ini akan dihentikan hingga ke satu masa yang akan diberitahu.
Bagaimana kalau satu masa yang dimaksudkan itu, memakan masa selama 10 tahun?
Apa yang anda boleh lakukan, selain hanya menunggu?
Bagaimana dikatakan memiliki perniagaan sendiri?
Orang yang mempunyai perniagaan sendiri, adalah orang yang mempunyai produk atau perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.
Anda sama ada menjual barangan dalam bentuk fizikal kepada bakal pelangggan ataupun menawarkan perkhidmatan tertentu dan menjadikan ia sebagai suatu bisnes berasaskan perkhidmatan.
Macam situasi kita di Malaysia ini, kita ada pemilik bisnes yang boleh dikelaskan mengikut kategori seperti
i. Usahawan mikro
ii. Perusahaan kecil
iii. Perusahaan sederhana
Perusahaan kecil dan sederhana ini biasanya akan dikelompokkan dalam satu kumpulan, menjadi PKS atau dalam bahasa Inggeris lebih sinonim dengan istilah Small and Medium size Entrepreneurship (SME).
Anda ada produk untuk ditawarkan?
Atau anda ada perkhidmatan yang boleh diberikan?
Maka dari situ barulah anda layak digelar sebagai usahawan yang mempunyai perniagaan sendiri.
Jika sebaliknya, anda mungkin perlu membuat penilaian semula, apakah sebenarnya status anda.
Boleh jadi status sebenar anda bukannya pemilik bisnes, sebaliknya anda adalah seorang ejen, wakil jualan atau mungkin seorang jurujual.
Bagus ke jadi pemilik perniagaan?
Walaupun semua orang boleh jadi pemilik perniagaan (business owner) namun bukan semua orang mampu dan sanggup untuk menjadi pemilik perniagaan.
Sebelum nak jadi usahawan sepenuh masa, kena fikir masak-masak.
Ia tak semudah seperti yang disangka.
Hanya disebabkan seseorang itu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan masih belum cukup untuk membantu dia untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Konsep dia sama seperti seseorang yang sangat sukakan bidang masakan. Dia mampu untuk menghasilkan menu masakan yang sedap, food presentation yang sangat menarik dan mengiurkan, namun jika dia diberikan peluang untuk memulakan bisnes sendiri, belum tentu dia akan berjaya dalam bisnes tersebut.
Minat memasak itu bagus.
Pada masa yang sama, dia juga perlu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang betul untuk menjalankan bisnes restoran.
Jika tidak, minat memasak semata-mata, masih belum cukup untuk membawa perniagaan yang dibina itu menuju ke arah kejayaan dan menghasilkan keuntungan yang diperlukan untuk terus survive.
Jika persoalan tentang bagus atau tidak jadi pemilik perniagaan yang ditanyakan, maka jawapannya adalah bergantung kepada individu tersebut.
Bagi tujuan mendapatkan jawapan kepada persoalan tersebut, ada beberapa kaedah yang boleh digunakan, misalnya seperti teknik SWOT analysis. SWOT ini adalah satu akronim yang merujuk kepada istilah
S – Strength (kekuatan)
W – Weakness (kelemahan)
O – Opportunity (peluang)
T – Threat (ancaman)
Nah… selepas membuat analisis ini, apakah hasilnya? Jika analisis atas kertas sudah tak begitu menyakinkan, setidak-tidaknya anda masih sempat untuk tak meneruskan perancangan tersebut dan tak perlu alami kerugian secara nyata (real loss).
Memiliki perniagaan sendiri boleh memberikan suatu pengalaman yang menarik dan dapat memberikan kepuasan yang tak terdapat sekiranya kita terus bekerja dengan orang.
Satu poin yang paling obvious adalah apabila kita memulakan bisnes kita sendiri, kita berpeluang untuk jadi boss untuk diri kita sendiri dan dapat mencorakkan perjalanan perniagaan mengikut acuan dan hala tuju yang kita sendiri tetapkan.
Kalau selama ini, kita hanya menurut perintah, mengikut arahan ketua, kali ini kitalah yang berada dalam rantaian yang paling atas dalam chain of command. Semua arahan, akan datang dari kita.
Seandainya bisnes yang dibina berjaya dan disukai oleh para pelanggan, maka dari situ kita berpeluang untuk menikmati pendapatan yang lumayan. Kita boleh buka lebih banyak cawangan dan sampai satu masa, kita juga boleh mencapai tahap bebas kewangan melalui jalan perniagaan.
Tapi janganlah terleka dengan untung yang banyak hingga anda boros berbelanja. Bila dah ada banyak duit, kena berbelanja dengan bijak.
Utamakan untuk beli aset.
Melabur dekat instrumen kewangan yang boleh memberi dividen.
…kan saya ada sebut awal-awal tadi, kriteria orang yang bebas kewangan ini adalah banyak duit simpanan, banyak aset, ada pelaburan dan mempunyai lebih dari satu sumber pendapatan.
Jadi kalau anda nak bermewah-mewah sekalipun, pastikan yang anda sudahpun berada pada tahap bebas kewangan. Boleh macam tu?
Pada masa yang sama, buat bisnes ini turut didatangkan bersamanya pakej seperti cabaran-cabaran tertentu yang perlu kita hadapi dengan bijak.
Sebagai contoh
1. Dalam bisnes, tiada jaminan yang kita akan berjaya buat untung
2. Kita berdepan dengan risiko kerugian
3. Persaingan yang sengit boleh membunuh bisnes kita
4. Kita perlu berhadapan dan selesaikan sendiri masalah kewangan
Semua perkara-perkara ini kita tak perlu fikirkan, semasa kita memilih untuk jadi seorang pekerja.
Apa yang kita perlu fikirkan semasa menjadi seorang pekerja adalah memastikan kita buat kerja dengan baik dan apabila cukup masa, bayaran gaji akan dikreditkan dalam akaun bank.
Maka akhirnya, persoalan sama ada jadi pemilik bisnes ini bagus atau tidak, ia sebenarnya terletak kepada individu tersebut.
Bagi mereka yang mempunyai jiwa seorang usahawan, mereka ini akan lebih cenderung untuk memilih jalan perniagaan dalam hidup mereka. Bermakna, mereka ini dari segi mindset memang telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang risiko, sanggup untuk berusaha lebih keras berbanding orang lain, dan bercita-cita tinggi.
Ada juga individu yang memang tak mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan. Mereka ini lebih sesuai dan lebih perform apabila menjadi pekerja. Ini tak menjadikan dirinya kurang bagus atau ada kekurangan kalau nak dibandingkan dengan individu yang ada jiwa usahawan.
Sebaliknya, ia hanya membuktikan bahawa setiap orang yang dilahirkan ada ciri dan peranan masing-masing.
Tak perlu semua orang jadi businessman.
Bukan semua orang mesti kena jadi employee.
Kalau anda merasakan membina kerjaya dalam syarikat korporat bukan untuk anda, maka tak perlu paksa diri untuk menjadi pekerja.
Jika anda merasakan jalan perniagaan bukan untuk anda, maka tak perlu paksa diri untuk buat bisnes.
Maka adalah lebih baik apabila kita dapat buat apa yang kita suka.
Kemudian kita buat yang terbaik, memandangkan kita memang suka buat perkara tersebut.
Ciri-ciri bisnes yang bagus
Suatu perniagaan itu, kita boleh katakan sebagai “bagus” apabila ia mempunyai ciri-ciri berikut.
(1) Untung!
Kebiasaannya pada tahun-tahun awal menjalankan perniagaan, memang tak ada untung. Sebaliknya, pulangan yang dihasilkan akan diserap untuk kos operasi dan modal pusingan. Namun, ini bukan bermakna perniagaan tersebut perlu berada dalam situasi yang sama sampai bila-bila.
Pada satu tahap, bisnes perlu hasilkan keuntungan, barulah ia mampu untuk terus bertahan dan beroperasi.
(2) Disukai oleh pelanggan
Pelanggan yang datang untuk berurusan berpuas hati dengan kualiti dan mutu perkhidmatan. Bukan itu sahaja, mereka juga datang lagi untuk berurusan dimasa akan datang.
(3) Ada peluang untuk berkembang
Bisnes yang bagus juga mempunyai potensi untuk berkembang. Perkembangan ini sama ada dalam bentuk bertambahnya rangkaian produk yang dijual atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Ataupun berkembang dari segi pembukaan cawangan baru.
(4) Sukar untuk ditandingi oleh pesaing
Sama ada pesaing sedia ada ataupun pesaing baru yang akan memasuki pasaran.
(5) Mempunyai tenaga kerja yang berpuas hati terhadap kerja
Ini juga merupakan satu faktor yang penting dalam membina sebuah perniagaan yang bagus dan berdaya saing.
Kalau sesuatu bisnes itu selalu terpaksa mencari pekerja baru, atau pekerja sedia ada tak mampu untuk bertahan lama, ia memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tak betul dalam peringkat pengurusan.
Apabila selalu mengambil pekerja baru, masa yang banyak diperlukan untuk melatih pekerja tersebut dan akhirnya tiada pekerja berpengalaman atau seseorang yang pakar dalam bidang tersebut. Sedikit sebanyak, ini akan memberi implikasi terhadap kualiti perkhidmatan.
(6) Ada sistem perniagaan yang bagus
Bisnes ini mampu untuk bergerak sendiri tanpa penglibatan secara aktif oleh pemilik bisnes. Sesekali pemilik bisnes masih perlu membuat pemantauan, tetapi bukannya perlu monitor setiap masa.
Walaupun tak ada penglibatan secara aktif oleh business owner,
i. Urusan bisnes tetap berjalan seperti biasa (business as usual)
ii. Income dari bisnes tetap masuk seperti biasa
iii. Jika bisnes ada masalah, ada pihak yang akan uruskan
Sebenarnya ini juga merupakan satu kriteria yang perlu diberikan perhatian yang serius buat pemilik bisnes. Jika bisnes yang dijalankan, masih memerlukan penglibatan anda selaku pemilik secara aktif, itu menunjukkan bisnes tersebut lebih mirip kepada ciri pemilik tunggal atau sole proprietorship.
Matlamat kita adalah untuk jadi business owner, bukannya setakat sole proprietorship.
Bagaimana cara nak tahu sama ada anda sebenarnya business owner, atau sole proprietorshi?
Kita test dengan cara ni.
Cuba ambil cuti yang panjang.
Let say, dua minggu. Lepas dua minggu, lihat apa yang jadi pada kedudukan anda, kewangan dan perjalanan perniagaan anda. Kalau semuanya masih lagi berjalan lancar, income masuk seperti biasa, transaksi bagi perniagaan anda juga tak ada sebarang gangguan, TAHNIAH, anda telah memiliki sebuah perniagaan.
Namun, kalau segalanya jadi kucar kacir. Pekerja anda culas dan tak mampu nak uruskan bisnes. Income anda terhenti. Tiada sebarang transaksi, melainkan apabila anda memainkan peranan aktif dalam perniagaan tersebut, maknanya anda sebenarnya lebih mirip kepada seorang pemilik tunggal, yang masih lagi bekerja untuk bisnes anda sendiri.
Kesimpulan
Memulakan dan membangunkan perniagaan anda sendiri boleh memberikan suatu kepuasan dan pengalaman yang sangat berharga. Anda juga berpeluang untuk merasai pengalaman menjadi boss untuk diri anda sendiri termasuk menjadi boss kepada para pekerja anda.
Pada ketika ini, anda mampu untuk membina dan menentukan hala tuju perniagaan anda.
Namun demikian, menjadi pemilik perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.
Banyak orang yang cuba menyamakan program buat duit dengan berbisnes sebagai perkara yang sama. Sedangkan ianya berbeza sama sekali.
Walaupun ada orang yang berjaya buat duit melalui penyertaan dalam program tertentu, tak bermakna dia telah mempunyai perniagaan mereka sendiri.
Sebetulnya, perniagaan sendiri itu apabila seseorang itu mempunyai suatu produk atau mungkin perkhidmatan yang dapat ditawarkan kepada kelompok pelanggan yang disasarkan.
Umumnya, membangunkan perniagaan sendiri merupakan suatu keputusan yang penuh dengan cabaran. Ia bukan mudah, namun ia bukan suatu yang mustahil untuk dilakukan.
onlajer says
wah nampak gaya nak sambung balik lah projek panduan autocad saya nih, dah siap nanti baru boleh jual hehehe
Abdur says
Banyak kali saya ditipu oleh budak-budak di FB,lepas saya ikuti pautan yang dibagi ternyata hanya kongsi affialiates,
Brader Kecik says
Setakat ni tak miliki apa2 bisnes atau produk lagi..hanya menulis blog.. 🙂
Hairul Azni says
Saya kategori masih belum memiliki perniagaan..saya bekerja untuk perniagaan saya..(blog)
Hijab Terkini says
Saya masih perlu bekerja untuk perniagaan saya..kalau tak, income akan tergendala..
paan says
Buat masa ini , perniagaan itu masih tidak mampu untuk berdikari… Kena terlibat secara aktif , baru ada income. hoho.
Insyallah , sedang diusahakan juga supaya boleh ada pasif income. 🙂
MDHAFiZ.NET says
perniagaan kecil2an je.. offline