30 Wasiat Imam Syafie

by sabree hussin on July 19, 2016

in Buku & Bahan Bacaan

“Harga diri individu itu berdasarkan apa yang dilakukan bagi memperbaiki dirinya.”

 

Bagaimana mahu hadapi hidup yang tidak menentu? Bagaimana mahu terus menerus cemerlang, bukan hanya di dunia, malah di akhirat juga?

 

wasiat-imam-syafie Hakikatnya, hidup ini tidak statik. Hari ini diatas. Esok mungkin dibawah. Hari ini gembira. Mungkin esok kecewa.

 

Buku 30 Wasiat Imam Syafie menyediakan panduan-panduan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian melalui pendekatan spiritual, antaranya

(1) Amal soleh sebagai perisai

(2) Berbakti kepada ibu bapa

(3) Bentengi iman dengan lima kekuatan

(4) Tafakur sebelum tidur

 

Sebelum saya bercerita dengan lebih panjang mengenai buku berjudul 30 Wasiat Imam Syafie ini, saya nak kongsikan terlebih dahulu serba sedikit biodata ringkas tentang Imam Syafie.

 

Imam syafie adalah ulama yang tergolong dalam ulama salaf yang sangat berpengaruh yang digelar dengan gelaran ‘Imam Mazhab’. Ketokohannya tiada banding sama ada pada zaman beliau hidup mahupun selepasnya. Hujah-hujahnya tidak mampu dipatahkan oleh sesiapa pun yang berdepan dengan ulama yang berani dan tegas ini.

Berjuta-juta umat Islam merujuk kepada Imam Syafie sama ada semasa beliau hidup mahupun selepas meninggal. Semuanya menunjukkan bagaimana besarnya pengaruh dan peranan Imam Syafie di kalangan umat Islam dan para pemikir Muslim.

Nama sebenar Imam Syafie adalah Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah, nama sebuah kampung yang termasuk di dalam daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau adalah Mekah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana pada masa itu bondanya pergi ke daerah itu bagi mendapatkan keperluan penting. Namun, dalam perjalanan menuju ke Palestin, ayahnya meninggal dunia. Pada masa itu, Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Selepas berumur dua tahun, barulah Imam Syafie dan ibunya kembali ke Mekah.

Semasa berumur 9 tahun, beliau sudah menghafal 30 juzuk Quran. Semasa berumur 19 tahun, sudah mengerti isi kitab al-Muwatha’ karangan Imam Malik. Tidak lama selepas itu, al-Muwatha’ dihafal. Kitab al-Muwatha’  berisi hadis-hadis Nabi Muhammad yang dihimpun oleh Imam Malik. Oleh kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun, beliau diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat jawatan guru besar ilmu hadis serta mufti di Masjidil Haram, Mekah.

Semasa berumur 20 tahun, beliau belajar di tempat Imam Malik di Madinah. Selepas itu, beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Mekah. Dalam usia 29 tahun, beliau pergi ke Yaman bagi menuntut ilmu pengetahuan.

Berkaitan dengan ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah, diceritakan setiap malam beliau membahagikan malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan bagi kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk sembahyang dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

 

Begitulah dia betapa hebat dan istimewanya insan bernama Muhammad bin Idris atau lebih dikenali sebagai Imam Syafie. Kita di Malaysia juga merujuk kepada Imam Syafie dalam bab-bab fikah. Menurusi buku berjudul 30 wasiat Imam Syafie, mudah-mudahan dapat dijadikan permulaan untuk kita semua sama-sama mengenali diri beliau dengan lebih dekat. Bila kita dah kenal, akan lagi banyak yang boleh kita pelajari.

 

Ini pula adalah isi kandungan buku 30 Wasiat Imam Syafie.

 

(1) Belajar dan mengajarkan ilmu

“Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat. disamping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.” -Imam Syafie- 

 

Pesanan yang pertama ini adalah sangat unik. Ia menunjukkan betapa pentingnya menuntut ilmu pengetahuan. Imam Syafie sendiri adalah seorang yang sangat cintakan ilmu, dan beliau sanggup untuk meninggalkan kampung halaman demi untuk mendapatkan ilmu. Selepas mendapat ilmu yang dicari, beliau mengajarkan pula ilmu tersebut kepada orang lain.

 

Jika semua orang amalkan pesanan ini, nescaya orang-orang yang bodoh akan berkurangan dalam dunia ini! Kehidupan semua orang akan jadi lebih mudah, kerana kita dikelilingi oleh individu dan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan gemar pula mengajarkan ilmunya kepada orang lain.

 

Menurut Imam Syafie lagi

“Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah. Tidak kira ilmu akhirat seperti ilmu tauhid ataupun ilmu dunia seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ilmu ini mengajar kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.”

 

(2) Memilih makanan yang Halal

“Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.” -Imam Syafie-

 

(3) Memperbanyakkan lima perkara

Imam syafie memberi wasiat lima perkara yang perlu diingati iaitu

i. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk

ii. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia

iii. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan

iv. Jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga

v. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain

 

(4) Sabar dengan musibah, syukur dengan nikmat

“Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibat, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.” -Imam Syafie- 

 

(5) Menziarahi orang sakit

“Apabila salah seorang di antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, hendaklah ringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah.” -Imam Syafie- 

 

(6) Hindari perasaan marah

“Marah adalah salah satu diantara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.” -Imam Syafie- 

 

(7) Mengasihani anak yatim

“Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat.” -Imam Syafie- 

 

(8) Berbakti kepada ibu bapa

“Berbuat baik dan tunjukkan baktimu kepada ibu bapamu tanpa mengenal letih dan lelah sebagaimana mereka telah berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ianya akan menambah keberkatan pada umurmu, menambah rezeki dan keampunan keatas dosa-dosamu.” -Imam Syafie- 

 

(9) Amal soleh sebagai perisai

“Berbuatlah sebanyak-banyaknya amal soleh kerana ia merupakan pendinding dan perisai orang Mukmin dan pelindung daripada serangan iblis.” -Imam Syafie- 

 

(10) Takwa membuahkan insan berjaya dan cemerlang

“Takwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan.” -Imam Syafie- 

 

(11) Bentengi iman dengan lima kekuatan

“Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibajai keimanan dengan lima perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqomah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.” -Imam Syafie- 

 

(12) Ilmu menenangkan hati

“Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.”  -Imam Syafie- 

 

(13) Khusyuk zahir dan batin

“Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.” -Imam Syafie- 

 

(14) Awas! Kubur menunggu kita

“Kubur adalah sebuah perhentian sementara untuk membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bahagi.” -Imam Syafie- 

 

(15) Mematahkan serangan syaitan

“Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah. Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A’uzu billahi min al-syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat, kita mestilah bersabar dan menyedari bahawa Allah SWT hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.” -Imam Syafie- 

 

(16) Sebesar-besar keaiban

“Sebesar-besar keaiban (keburukkan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.” -Imam Syafie- 

 

(17) Membetulkan hati

“Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-Haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan. -Imam Syafie- 

 

(18) Istighfar menggoncangkan kerajaan iblis

“Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan mengoncang empayar iblis di istana kerajaannya.” -Imam Syafie- 

 

(19) Indahkan dunia dengan maaf

“Ketahuilah bahawa sebesar-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.”  -Imam Syafie- 

 

(20) Tafakur sebelum tidur

“Tafakur sebelum tidur untuk menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya pada siang hari.” -Imam Syafie- 

 

(21) Kata-kata Hikmat Imam Syafie

Pada bahagian ini, penulis memuatkan sebahagian kata-kata hikmat dari Imam Syafie seperti yang terdapat dalam kitab beliau berjudul al-Umm. Ada sekurang-kurangnya 41 nasihat dimuatkan dalam buku ini. Saya syorkan anda dapatkan buku ini untuk baca tentang kata-kata hikmat ini.

 

(22) Tunaikan sepuluh hak

Imam syafie memberi wasiat, “Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat, hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut

1. Hak diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak malaikat maut iaitu mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan rasa cinta kepada Allah.

3. Hak kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang air kecil merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

5. Hak mizan iaitu menahan marah, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak Malik iaitu banyak menangis kerana takutkan azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, bersedekah semasa terang serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

8. Hak Ridhwan iaitu reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur dengan nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.

9. Hak Rasulullah iaitu berselawat keatasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan sunah, menyayangi para sabahat dan bersaing mencari kelebihan daripada Allah.

10. Hak kepada Allah iaitu mengajak manusia kearah kebaikkan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.

 

(23) Imam syafie dengan pendebat

“Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan engkau juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.” -Imam Syafie- 

 

(24) Sepuluh keutamaan menghubungkan ukhuwah

“Barang siapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, maka ia akan memperoleh sepuluh keutamaan…” -Imam Syafie- 

 

(25) Meraih syurga impian

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah…” -Imam Syafie- 

 

(26) Meraih pertolongan Allah

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pertolongan Allah seperti dalam penyataanNya dalam surah ar-Rum ayat 47 yang bermaksud, ‘Dan adalah menjadi hak (tanggungjawab) Kami untuk menolong orang-orang yang beriman’.” -Imam Syafie- 

 

(27) Memohon pembelaan Allah

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pembelaan daripada Allah sebagaimana pernyataanNya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman’.” -Imam Syafie- 

 

(28) Menjadi Wali Allah

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa bahawa Allah akan menaiktarafkan darjat mereka sehingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataanNya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, ‘Allahlah penolong (wali) bagi orang-orang beriman’.” -Imam Syafie- 

 

(29) Mencari hidayah Allah

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataanNya dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus’.”  -Imam Syafie- 

 

(30) Rezeki yang baik dan keberkatan

“Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman bahawa mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah SWT sebagaimana penyataanNya dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud, ‘Jikalau sekiranya penduduk kota beriman dan bertaqwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan ayat-ayat kami, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka’.” -Imam Syafie-

 

Buku 30 Wasiat Imam Syafie ini mengandungi hanya 176 muka surat sahaja. Jika anda benar-benar fokus, In Shaa Allah boleh habis baca dalam masa 24 jam atau sehari sahaja. Harga buku ini pun murah sahaja. Ia dijual dengan harga RM19 sahaja.

 

Boleh buat tempahan menerusi laman web Bookcafe.

laman-web-bookcafe

 

Ataupun boleh klik pada link ini. Link tersebut adalah direct link untuk buat tempahan. Anda boleh buat pembelian disitu sekiranya stok masih lagi ada. Selamat membaca dan semoga apa yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada anda!

 

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

Afif Rayyan July 20, 2016 at 1:11 am

Perkongsian yang menarik

Reply

Jie Susanos July 20, 2016 at 6:05 pm

Alhamdulillah tuan..review yg mnarik..

Hbatnya iman syafie..

Reply

Leave a Comment

{ 4 trackbacks }

Previous post:

Next post: