Bagaimana cara menjadi PAKAR dalam bidang dan kerjaya pilihan anda?

by sabree hussin on September 8, 2016

in Karier & Kerjaya

Pada waktu catatan ni saya tulis, saya sebenarnya sedang membaca buku berjudul No Excuses! Jangan Berdalih Lagi Untuk Berjaya karangan Brian Tracy. Buku yang saya baca ni adalah versi alih bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

 

Ada satu part yang saya kira menarik, dan nak kongsikan dengan anda semua.

Pada abad ke-21 ini, ada kemahiran-kemahiran yang memberikan pulangan lumayan kepada orang yang menguasainya. Lebih tinggi penguasaan, diri kita menjadi lebih berharga.

Lebih banyak kemahiran-kemahiran yang kita miliki, lebih mudah kita mendapatkan pendapatan daripada kemahiran yang pelbagai itu.

Lebih tinggi pengetahuan kita, lebih tinggi juga upah yang kita perolehi. Upah yang diterima itu ibarat bayaran bonus simpanan tetap kita.

Malangnya, ramai orang di luar sana yang tergolong dalam 80 peratus, tidak berusaha bagi menambah kemahiran bidang masing-masing.

Geoffery Colvin, penulis buku Talent is Overrated menulis, ramai pekerja mempelajari kemahiran kerja mereka pada tahun pertama sahaja. Selepas itu mereka tidak berusaha menambah apa-apa kemahiran lagi. Hanya golongan yang cemerlang dalam lapangan mereka sahaja yang berusaha menambahkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

 

review-jangan-berdalih-untuk-berjaya

Buku ini diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

 

Bagaimana cara untuk menjadi pakar? Kalau anda lihat pada petikan yang saya sertakan kat atas ni, ternyata menjadi seorang yang pakar ada kelebihannya. Apabila kita menjadi seorang pakar, diri kita akan jadi lebih berharga. Apabila kita mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi, maka akan lebih banyak bayaran upah untuk sesuatu tugasan yang kita perolehi.

 

Namun persoalannya ialah, bagaimana caranya untuk menjadi seorang pakar? Atau dalam bahasa Inggeris, istilah pakar dikenali sebagai specialist.

 

Daripada sedikit kajian dan pembacaan yang saya lakukan, saya dapati ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap pakar atau specialist.

 

(1) Belajar

Setiap yang bernama pakar, pastinya bermula dengan tak tau apa-apa, ataupun hanya mengetahui sedikit sahaja bidang yang menjadi kepakarannya. Untuk mendalami ilmu dengan lebih mendalam, hingga mendapat title pakar, maka perlulah belajar.

 

Untuk belajar ni, ada dua cara yang biasa dilakukan. Pertama, belajar secara formal, dengan mengikuti kelas-kelas, kursus, seminar, mendaftar masuk ke kolej, universiti dan sebagainya. Dalam situasi ini, anda akan mula mengumpul sijil, diploma, ijazah sarjana muda, master, hinggalah ke peringkat PhD.

 

Manakala cara kedua, adalah belajar secara tidak formal, seperti mengikuti kelas-kelas pengajian dengan individu yang mempunyai ilmu yang kita mahukan, masuk ke sekolah-sekolah pondok, mahupun belajar terus dari orang yang mempunyai kepakaran yang kita mahukan.

 

Dapatkan mentor

Peranan seorang mentor adalah untuk membantu anda mencapai matlamat yang anda inginkan dalam sela masa yang realistik, dan mentor juga berperanan untuk menegur anda jika anda melakukan kesilapan ataupun bersikap cuai sepanjang perjalanan anda untuk menjadi seorang pakar.

 

Dari pembacaan yang saya buat, ada dua pendapat yang dicadangkan tentang bagaimana untuk memilih seorang mentor. Pendapat pertama, pilih mentor yang sama bidang dengan apa yang kita mahukan dan mentor tersebut mestilah seorang yang terbukti telah mencapai tahap kejayaan yang kita inginkan.

 

Itu pendapat pertama. Pendapat kedua, mentor yang kita pilih tu boleh jadi dalam apa-apa bidang yang tak semestinya sama dengan bidang kita. Asalkan mentor tersebut mempunyai suatu kualiti yang kita mahukan. Contohnya, mentor tersebut adalah seorang yang sangat berdisiplin dan menepati masa.

 

Walaubagaimanapun, bukan semua orang yang berjaya dalam bidangnya sudi untuk menjadi mentor kita. Dalam hal ini, kena pandai pilih mentor jugak.

 

(2) Membaca

Menurut Azizi Ali, untuk jadi seorang yang pakar, kita perlu baca sekurang-kurangnya 50 buah buku yang pernah ditulis dalam topik atau bidang yang kita pilih. Itu minimum. Sebaik-baiknya lagi banyak lagi bagus.

 

(3) Membuat kajian

Dengan membuat kajian sendiri, besar kemungkinan anda akan membuat penemuan-penemuan baru yang tak pernah dibincangkan dalam mana-mana buku yang ada di pasaran dan yang pernah diterbitkan. Walaubagaimanapun, anda perlu banyak membaca terlebih dahulu.

 

Bukan apa, bimbang kalau-kalau kajian yang kita buat tu sebenarnya dah ada orang lain yang kaji. Buat apa kita nak kaji semula. Kan lebih baik kita gunakan masa yang berharga tu untuk buat benda lain. Kita boleh tau apa keputusan kajian oleh pengkaji asal dengan membaca research paper atau jurnal mereka. Itu sudah memadai.

 

Kalau nak buat kajian, pastikan kajian tersebut belum pernah ada sesiapa lakukan sebelum ini.

 

(4) Melakukan perbincangan dan diskusi ilmiah

Jangan pandang rendah pada sesi perbincangan. Sebaik-baiknya, jika anda berada dalam sesi perbincangan, mainkan peranan. Berikan pandangan, pendapat, dan membuat kritikan secara berhemah. Proses perbincangan yang selalunya melibatkan dua orang individu boleh menghasilkan sesuatu yang sangat produktif asalkan semua orang main peranan dan bersikap terbuka.

 

Sebab itu jugaklah ada pepatah inggeris yang menyebutkan “two heads are better than one.”

 

Tetapi, kalau dalam sesi perbincangan, ada yang senyap, hanya tunggu idea, ataupun bersikap pasif, ini bukan suasana perbincangan yang produktif. Lebih baik cari kumpulan lain yang benar-benar berminat nak bincangkan topik yang dibentangkan.

 

(5) Melihat orang lain melakukannya

Lihat bagaimana orang lain, sama ada dari jabatan lain, syarikat lain, atau mungkin negara lain lakukan benda yang sama yang anda ingin jadi pakar. Saya ambil contoh dalam bidang jualan. Dalam bidang jualan, walaupun matlamat akhir adalah untuk mendapatkan tempahan, namun setiap orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza, budaya yang berbeza, dan dari negara yang berbeza, menggunakan kaedah dan pendekatan yang berbeza juga.

 

Anda boleh lihat sendiri bagaimana orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Jepun, Mat Saleh bila berurus niaga. Pasti akan nampak perbezaan dan kelainanannya. Walaupun pada realitinya matlamat akhir adalah untuk mendapatkan jualan, dan pelanggan membuat pembelian.

 

(6) Mendengar cerita-cerita yang berkaitan dengan bidang anda

Mendengar atau menonton kisah-kisah berkaitan dengan bidang anda. Cerita sama ada dalam bentuk dokumentari, berita, ataupun cerita yang dibawa ke layar perak.

 

(7) Anda sendiri perlu melakukannya

Ok kembali kepada diri anda. Anda nak jadi seorang yang pakar dalam sesuatu bidang, anda dah belajar, dah banyak membaca, dah lakukan kajian, dah lihat bagaimana orang lain lakukannya, dan dah dengar cerita-cerita yang berkaitan dengan bidang anda.

 

Kini tugas anda adalah untuk anda sendiri melakukannya. Sekali lagi saya nak tarik contoh dalam bidang jualan. Sekiranya anda ingin menjadi seorang pakar dalam bidang jualan, anda perlu buktikan bahawa dengan ilmu-ilmu yang anda ada tu, anda juga mampu untuk menjual!

 

(8) Mengetahui jenis-jenis dan contoh kesalahan yang biasa dilakukan

Apabila anda sendiri mempraktikkan apa yang anda pelajari, anda akan dapat lihat dengan lebih jelas, apa dia sebenarnya bentuk-bentuk kesalahan yang agak lazim dan biasa untuk berlaku dalam sesuatu bidang.

 

Kesalahan itu tadi boleh jadi adalah kesalahan yang anda sendiri lakukan, ataupun mungkin kesalahan tersebut adalah datangnya daripada kenalan, atau rakan sekerja anda sendiri. Kesalahan tersebut mungkin berlaku bukan di sengajakan.

 

(9) Tulis artikel, esei, ebook ataupun buku berkenaan bidang anda

Menulis apa yang anda ketahui akan dapat membantu dalam proses mengingat sesuatu fakta ataupun peristiwa. Ia bukannya suatu yang sia-sia.

sesi-temuduga-berjaya

Selain daripada itu, anda dapat menterjemahkan kepakaran anda dalam bentuk yang boleh dilihat dan dipegang oleh orang awam. Contohnya anda menulis buku. Orang awam mungkin tak kenal anda secara peribadi, tetapi apabila anda menulis buku, dan buku anda dibaca oleh orang ramai, orang ramai dapat mengenali anda (melalui buku atau lain-lain bahan bacaan yang anda tulis) dan seterusnya mengetahui apa sebenarnya kepakaran anda.

 

(10) Mula mengajar orang lain ilmu yang anda miliki untuk kesinambungan ilmu

Jangan biarkan ilmu yang susah payah anda kumpul, yang susah payah anda pelajari dan dalami hingga menjadi seorang yang pakar terkubur sama dengan pemergian anda. Ajarkan ilmu tersebut dan sampaikan ia kepada generasi muda yang bakal mewarisi dunia ini.

 

“Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah. Tidak kira ilmu akhirat seperti ilmu tauhid ataupun ilmu dunia seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ilmu ini mengajar kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.” 30 Wasiat Imam Syafie

 

Itu dia 10 langkah bagaimana untuk menjadikan anda sebagai seorang yang pakar. Sekiranya anda luaskan lagi pembacaan, ana mungkin akan temui banyak lagi langkah yang patut anda lakukan bagi diakui sebagai seorang yang pakar.

 

Antara perkara tambahan yang mungkin bakal anda temui ialah, anda perlu mempunyai inner circle atau kumpulan persendirian yang dianggotai oleh orang-orang yang pakar dalam bidang anda, anda perlu mengetahui dan bekerjasama dengan institusi atau badan-badan yang ditubuhkan yang berkaitan dengan bidang anda dan sebagainya.

 

Apapun, mulakan dengan langkah pertama, dan In Shaa Allah, selepas anda berusaha keras (dan menghabiskan sekurang-kurangnya 10, 000 jam dalam bidang tumpuan anda) anda dah dekat untuk menjadi seorang yang PAKAR!

 

(Hatihati dengan individu yang mengaku dirinya sebagai pakar. Anda kena semak betul-betul. Silap-silap, kepakaran dia adalah menipu!)

 

 

Be Sociable, Share!

{ 3 comments… read them below or add one }

Ikhwan September 10, 2016 at 2:28 pm

Penipu ada di mana-mana, penunggang agama pun ramai…

Reply

Uncle Zuan September 11, 2016 at 8:51 pm

banyak gak tricks untuk berjaya yang bro berjaya cungkil hehe

Reply

titan September 14, 2016 at 11:41 am

ramai yang nak sangat jadi pakar, tapi..cam biasalah.

membaca dan belajar pun malas.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: