111 Soal Jawab berkaitan solat JAMAK & Qasar

by sabree hussin on September 23, 2016

in Buku & Bahan Bacaan

Solat Jamak dan Qasar. Realitinya, masih ramai lagi orang Islam yang belum betul-betul mahir dan faham serba serbi dan segala aspek berkaitan dengan solat Jamak & Qasar.

 

Walaubagaimanapun, saya yakin dengan pembacaan buku berjudul 111 Soal Jawab berkaitan solat JAMAK & Qasar ini, ia dapat memberi pencerahan kepada kita semua tentang selok-belok dan kaedah yang betul bagi menunaikan solat Jamak & Qasar.

 

panduan-solat-jamak-qasar Saya tahu kat luar sana ada beberapa judul buku yang ditulis bagi mengupas topik solat Jamak dan Qasar ini.

 

Selepas baca buku ini, saya berpendapat buku ini adalah salah satu buku yang TERBAIK untuk dijadikan rujukan.

 

Pertama, ia dipersembahkan dalam bentuk soal jawab. Soal jawab ini pula dibentangkan dalam bentuk situasi tertentu. Ia lebih mudah faham apabila penulis buku ini, mengaitkan situasi tertentu dan bagaimana ia relevan dengan topik solat jamak dan qasar.

 

Kedua, buku ini memuatkan soalan-soalan dari yang asas hinggalah ke soalan yang agak mencabar. Ia perlukan pengetahuan yang luas tentang hukum dan pengetahuan tentang perbandingan mazhab bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

 

Satu masa dulu, mungkin saya kurang ambil peduli tentang keharusan solat Jamak dan Qasar. Apa tidaknya, pada waktu tu memang tak ada keperluan untuk saya lakukan solat secara qasar mahupun secara jamak.

 

Tetapi sekarang tidak lagi. Sekurang-kurangnya saya akan jalan jauh (melebihi dua marhalah) sebulan sekali. Sama ada bagi tujuan balik ke kampung isteri ataupun bercuti ke tempat-tempat tertentu.

 

Apabila kita tahu kaedah yang betul bagaimana untuk mengerjakan solat dengan cara jamak dan qasar, atau jamak sahaja, atau qasar sahaja, ia akan memberi kita kemudahan sepanjang tempoh kita bermusafir. Jadi tak perlulah setiap kali masuk waktu, kita terpaksa singgah di RNR. Kalau kita dah buat solat jamak, kita hanya perlu berhenti di RNR sekali sahaja sudah memadai.

 

Kadang-kadang kita tak tau, apa yang bakal kita tempuhi sepanjang perjalanan. Mungkin kenderaan kita naiki itu mengalami kerosakkan. Atau mungkin kita berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang amat teruk hingga menyukarkan kita untuk berhenti di RNR terdekat. Kalau dapat berhenti sekalipun, waktu solat dah habis. Kalau anda tahu kaedah solat jamak, maka itu tak jadi masalah. Apa yang jadi masalah ialah jika anda hanya tahu solat secara tamam (sempurna) sahaja.

 

Baiklah, saya tak nak cerita panjang-panjang sangat. Ini adalah isi kandungan dalam bentuk soalan dan jawapan yang dimuatkan dalam buku berjudul 111 Soal Jawab berkaitan solat JAMAK & Qasar. Anda perhatikan dan nilaikan sendiri.

 

Jika mahu, anda boleh cuba untuk jawab sendiri soalan-soalan yang dimuatkan dalam buku ini. Jika ada soalan yang anda rasa tak tau apa jawapannya, saya amat mengesyorkan anda cari buku ini di kedai-kedai buku berhampiran dan belilah buku ini.

 

BAHAGIAN 1 SOLAT QASAR

1. Apakah maksud solat qasar dan apakah solat-solat yang boleh di qasarkan?

2. Apakah hukum melaksanakan solat qasar ketika musafir?

3. Yang mana lebih afdhal, mengqasar solat atau solat secara sempurna?

4. Apakah hikmat Islam mengharuskan solat qasar kepada umatnya?

5. Berapakah jarak perjalanan yang mengharuskan qasar solat?

6. Bagaimanakah pula jika jarak perjalanan sejauh 80KM – 90KM itu direntasi dengan menaiki kapal terbang selama sejam sahaja, adakah diharuskan qasar?

7. Bagaimana jika jarak perjalanan tiga marhalah (120 – 135KM) atau lebih?

8. Orang yang sentiasa berada dalam keadaan musafir dan membawa bersamanya seisi keluarga dan keperluannya di atas kapal tersebut, sebagai contoh kelasi atau anak kapal yang sentiasa berlayar di atas kapal, adakah boleh mengqasarkan solatnya?

9. Apakah “sempadan qaryah” yang mesti dilepasi bagi tujuan perkiraan bermulanya musafir?

10. Bagaimanakah sempadan qaryah mengikut konteks kawasan kediaman hari ini?

11. Bilakah berakhirnya musafir yang juga menandakan tamatnya keharusan solat qasar?

12. Apakah keadaan-keadaan yang menyebabkan tiada keharusan solat qasar/ wajib solat tamam ketika musafir?

13. Dalam musafir, berlaku keadaan dan situasi di mana status seseorang masih dikira musafir dan terdapat situasi dimana seseorang dikira telah terputus musafirnya dan menjadi seorang bermukim. Sebutkan situasi dan keadaan tersebut.

14. Mengapa pula Rasulullah SAW mengqasar solat selama tempoh 18 hari dalam peristiwa Fathu Makkah?

15. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah musafir, mustautin dan mukim?

16. Apakah syarat-syarat musafir yang diharuskan qasar solat?

17. Apakah syarat-syarat sah solat qasar?

18. Apakah perlu merentas jarak dua marhalah terlebih dahulu bagi mengharuskan solat qasar?

19. Apakah contoh-contoh musafir yang diharuskan syarak?

20. Apakah contoh-contoh musafir yang tidak diharuskan syarak?

21. Apakah contoh-contoh musafir yang tidak jelas arah tujuannya?

22. Bagaimana jika seseorang musafir berniat musafir yang diharuskan syarak, tetapi dipertengahan jalan dia melakukan maksiat?

23. Bagaimana pula jika dia bermusafir pada asalnya bertujuan maksiat tetapi bertaubat di pertengahan jalan?

24. Bagaimana pula jika dia bermusafir untuk menonton perlawanan bola sepak, adakah dikira musafir untuk melakukan maksiat?

25. Bagaimana jika seseorang bermusafir ke suatu tempat dan tinggal di situ selama tiga hari kemudian selepas itu dia meneruskan lagi musafirnya ke tempat lain?

26. Bagaimana jika seseorang berniat untuk bermusafir ke suatu tempat dan akan tinggal di situ selama lebih empat hari, kemudian dari situ ia akan meneruskan lagi musafirnya ke tempat lain, haruskah baginya mengqasar solat?

27. Bolehkah makmum yang berniat qasar mengikut imam yang solat tamam kerana dia tidak dapat memastikan niat imamnya?

28. Jika seseorang musafir mengikut imam yang solat tamam hanya seketika, haruskah baginya solat qasar?

29. Bolehkah orang musafir yang solat Zohor secara qasar ingin mengikuti imam yang solat Jumaat?

30. Manakah yang lebih afdhal bagi seorang musafir antara menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dengan solat Zohor secara qasar?

31. Jika orang yang sedang musafir menjadi imam dan berniat qasar, tiba-tiba ia berhadas, atau berlaku sebarang sebab yang membatalkan solat lalu tempatnya diganti oleh orang lain yang berniat tamam, bagaimana dengan makmum yang juga melakukan qasar?

32. Seseorang yang memulakan musafirnya di akhir waktu solat, adakah solat itu boleh diqasarkan semasa di dalam perjalanan, kerana diawal waktu ia masih belum musafir sedangkan solat itu telah pun menjadi kewajipan ke atasnya?

33. Bagaimana cara mengqada’ solat qasar yang ditinggalkan ketika dalam musafir?

34. Solat qasar yang ditinggal dalam musafir, bolehkah di qada’ dalam masa mukim dengan di qasarkan?

35. Cara bacaan bagi solat qasar adakah diperlahankan (sirr) atau dibaca kuat (jahar)?

36. Bolehkah melakukan solat sunat qabliyyah dan ba’diyyah dalam masa musafir?

37. Jika seseorang musafir mengetahui yang dia akan bermukim di tempat itu dalam tempoh yang lama, contohnya berbulan-bulan lamanya, bolehkah dia mengqasar solatnya?

38. Jika destinasi yang dituju si musafir mempunyai dua jalan, iaitu jalan yang dekat dan jalan yang jauh, lalu ia memilih jalan yang jauh kerana banyak kemudahan dan perjalanannya aman, bolehkah ia mengqasarkan solatnya?

39. Bagaimana hukumnya jika seseorang yang berniat untuk bermusafir ke destinasi yang jauh (melebihi dua marhalah) tiba-tiba dipertengahan perjalanannya berniat kembali ke tempat asalnya?

40. Bagaimana pula jika dia meneruskan perjalanannya setelah dia berniat membatalkan musafirnya?

41. Apakah yang harus di lakukan oleh si musafir jika dia melewatkan solat qasarnya hingga akhir waktu, di mana baki waktu solat tersebut hanya dapat memuatkan dua rakaat solat?

42. Jika seseorang musafir berniat qasar, tiba-tiba dia merasa ragu sama ada dia berniat qasar atau tidak, kemudian imam yang diikutinya bangun ke rakaat yang ketiga, lalu dia syak adakah imam itu solat sempurna atau dia terlupa (bangkit ke rakaat ketiga) apakah yang harus dilakukannya?

43. Jika seseorang yang solat secara qasar bangun untuk rakaat ketiga dengan sengaja tanpa sebarang sebab, adakah batal solatnya?

44. Bagaimana jika orang yang solat qasar terlupa bangkit ke rakaat ketiga?

45. Bagaimana jika dia ingin menjadikan solat itu solat tamam setelah dia lupa menambah rakaat yang ketiga?

46. Bagaimana jika si musafir terlupa sehingga dia solat tiga atau empat rakaan lalu membaca tahiyat akhir kemudian dia teringat yang dia solat qasar?

47. Bagaimana pula jika setelah tertambah dua rakaat hingga solat qasar itu menjadi empat rakaat tanpa sengaja, dia ingin menjadikan solatnya tersebut solat tamam?

48. Bolehkah melaksanakan solat qasar dan jamak ketika pulang dan berada di kampung sendiri?

49. Bolehkah melakukan solat qasar ketika berada di rumah mentua (rumah tempat kelahiran isteri atau suami)?

50. Seseorang yang sedang dalam perjalanan, dia singgah sebentar di tempat dia bermukim tetapi hanya singgah (kerana ada sedikit hajat atau keperluan) tanpa berniat untuk bermukim di situ, adakah harus baginya qasar solat?

51. Suami isteri yang bekerja dan tinggal berjauhan, jika si suami pulang ke tempat isteri bolehkah dia mengqasarkan solat jika tinggal di situ tidak sampai empat hari?

52. Bagaimanakah contoh lafaz niat dan niat solat qasar?

53. Apakah perbezaan secara ringkas antara solat qasar sahaja, solat jamak dan qasar serentak dan solat jamak sahaja?

 

Bahagian kedua buku ini pula memuatkan soal jawab berkaitan dengan solat jamak. Berikut adalah soalan-soalan beserta dengan jawapannya yang dimuatkan dalam buku ini.

 

BAHAGIAN 2 SOLAT JAMAK

54. Apakah yang dimaksudkan dengan solat jamak, apakah solat-solat yang boleh dijamak dan hukum menjamakkan solat?

55. Apakah dalil bagi keharusan solat jamak ketika musafir?

56. Berapakah pembahagian solat jamak dan nyatakan contohnya?

57. Apakah sebab-sebab solat jamak disyariatkan (khusunya dalam mazhab syafie)?

58. Adakah terdapat sebab-sebab lain yang juga diberi keringanan melakukan solat secara jamak selain dari sebab-sebab diatas (bagi mazhab selain mazhab syafie dan bagi ashab al-Syafi’yyah)?

59. Apakah hukum menjamakkan solat ketika musafir?

60. Yang mana lebih afdhal, jamak taqdim atau jamak ta’khir?

61. Apakah syarat-syarat umum untuk menunaikan solat jamak (taqdim dan ta’khir) ketika musafir?

62. Apakah syarat-syarat (syarat-syarat sah) untuk menunaikan solat jamak taqdim?

63. Jika solat pertama dalam jamak taqdim dan solat jamak ta’khir rosak atau tidak sah, adakah solat kedua juga tidak sah/ batal?

64. Jika dalam solat jamak taqdim, si musafir dengan sengaja solat asar dahulu, diikuti dengan solat zohor, adakah sah solat jamaknya?

65. Bagaimana jika si musafir telah terlajak menunaikan solat kedua dahulu (semasa jamak taqdim, contohnya Asar) dan solat pertama selepas itu (contohnya Zohor)?

66. Bolehkah solat Jumaat dijamakkan dengan solat Asar?

67. Bagaimana jika ketika melaksanakan solat jamak taqdim, antara solat pertama dan solat kedua diselangi dengan jarak waktu yang lama?

68. Bagaimana ukuran selang waktu yang pendek antara solat pertama dan kedua yang tidak membatalkan muwalat (berturut-turut) antara kedua-dua solat itu?

69. Bagaimana pula contoh selang waktu yang lama yang membatalkan solat muwalat?

70. Bolehkah orang yang bertayamum menjamakkan solat?

71. Jika di dalam solat jamak taqdim, selepas selesai kedua-dua solat, si musafir teringat yang dia tertinggal salah satu rukun dalam solat pertama, bagaimana dengan solat jamaknya?

72. Bagaimana pula jika rukun yang tertinggal (dalam solat pertama) itu disedari semasa dalam solat kedua?

73. Bagaimana pula jika dia teringat bahawa dia tertinggal rukun dalam solat kedua (jamak taqdim) selepas selesai solat kedua dan belum lagi berlalu masa yang lama?

74. Bagaimana jika telah berlalu masa yang lama?

75. Jika si musafir tidak mengetahui rukun yang tertinggal itu di dalam solat pertama atau solat kedua, bagaimana pula?

76. Apakah syarat-syarat untuk menunaikan solat jamak ta’khir?

77. Apakah perbezaan antara syarat-syarat jamak taqdim dan syarat-syarat jamak ta’khir?

78. Bagaimanakah contoh lafaz dan niat bagi solat jamak ta’khir (tanpa qasar)?

79. Bagaimanakah contoh niat jamak taqdim dan jamak ta’khir (beserta qasar)?

80. Bilakah dihadirkan niat jamak taqdim?

81. Bilakah dihadirkan niat jamak ta’khir?

82. Bilakah selewat-lewatnya dihadirkan niat untuk melakukan jamak ta’khir?

83. Jika si musafir tidak berniat jamak ta’khir sehingga waktu pertama hanya tinggal sekadar masa yang tidak mencukupi untuk menunaikan solat seperti yang diinginkan (sama ada qasar atau tamam), bagaimana pula hukumnya?

84. Seorang musafir telah berniat untuk melakukan jamak ta’khir tetapi semasa dia berhenti rehat, dia menukar niat tersebut kepada jamak taqdim dan berhasrat untuk melakukan jamak taqdim kerana pada masa itu belum lagi masuk waktu solat kedua, bagaimana dengan niatnya itu?

85. Jika si musafir terlupa untuk berniat jamak ta’khir sehingga habis waktu solat pertama, bagaimana pula?

86. Bagaimana kedudukan orang yang solat jamak taqdim di akhir waktu, di mana ketika dia sedang solat, masuk pula waktu solat kedua?

87. Seseorang yang telah melakukan solat jamak taqdim dengan sempurna dan memenuhi syaratnya (contohnya Zohor dengan Asar) semasa dalam perjalanan, tetapi setelah ia sampai ke destinasinya di dapati waktu solat kedua (Asar) masih panjang adakah wajib ia mengulangi semula solat kedua (Asar) tersebut di dalam waktunya?

88. Seorang musafir yang sedang menunaikan solat jamak taqdim tiba-tiba dia berniat untuk bermukim atau kapal yang dinaikinya sampai ke destinasi yang dituju. Adakah sah solat jamaknya?

89. Bagaimana pula jika dia solat jamak ta’khir?

90. Seseorang yang terperangkap di dalam kesesakan jalan raya hingga menghampiri berakhirnya waktu solat, adakah dia perlu solat di dalam kenderaan yang dinaikinya ataupun melakukan jamak ta’khir?

91. Bagaimana kedudukan solat qasar dan jamak ketika mengerjakan ibadah haji?

92. Adakah boleh bagi seseorang yang hendak bermusafir melakukan solat jamak taqdim semasa dia masih berada di rumah sebelum bertolak untuk bermusafir?

93. Bagaimana situasi dan syarat-syarat solat jamak kerana hujan?

94. Apakah keadaan-keadaan lain yang dibenarkan melakukan solat jamak selain daripada keadaan bermusafir?

95. Apakah hukum menjamak solat kerana sakit?

96. Apakah alasan yang mengharuskan menjamak solat kerana sakit?

97. Apakah hukum solat jamak kerana menjalani rawatan bagi penyakit kronik di hospital?

98. Apakah contoh atau jenis penyakit yang mengharuskan jamak solat?

99. Apakah contoh-contoh lain bagi solat jamak kerana sakit, uzur, hajat dan takut?

100. Bagi seseorang pesakit yang mengalami masalah seperti yang disebut di atas, yang mana lebih afdhal bagi mereka, melaksanakan solat secara jamak taqdim atau jamak ta’khir?

101. Adakah diharuskan jamak kerana waktu solat melibatkan masa bekerja terutamanya kepada pegawai perubatan atau seorang pengawal keselamatan yang perlu bekerja terus menerus dan tidak boleh berhenti kerana khuatir keselamatan pesakit atau orang ramai?

102. Bagaimanakah seseorang atlet ingin menunaikan solat dalam keadaan dia telahpun mengetahui tempoh perjalanannya melangkau lebih daripada lima hari di dalam sesebuah pertandingan di luar negara menyebabkan beliau tidak boleh melakukan solat jamak beserta qasar?

103. Bagaimanakah jika pelajar-pelajar yang sedang menduduki peperiksaan yang berlanjutan hingga merentas waktu solat. Situasi ini sering terjadi kepada pelajar Muslim yang menuntut di luar negara khususnya di negara-negara yang tidak peka kepada keperluan seorang Muslim?

104. Adakah boleh menjamakkan solat Maghrib dan solat Isyak bagi peniaga pasar malam?

105. Adakah boleh melakukan solat secara jamak semasa PRU?

106. Bolehkah melakukan solat jamak tanpa sebarang sebab seperti musafir, ketakutan, keuzuran dan juga hujan?

107. Seseorang yang ingin ke luar negara dengan menaiki pesawat dan telahpun berada di KLIA, adakah dia perlu menunaikan solat terlebih dahulu di KLIA sebelum pesawat tersebut berlepas atau dia perlu solat setelah ia mendarat?

108. Adakah seseorang yang melalukan solat qasar pada masa yang sama mesti juga melakukan solat jamak dan adakah seseorang yang melakukan solat jamak pada masa yang sama mesti juga melakukan solat qasar?

109. Apakah yang disebut sebagai “jamak suri”?

110. Bagaimanakah penyelesaian solat bagi kawasan yang waktunya tidak mencukupi lima waktu solat?

111. Bagaimanakah kedudukan azan dan iqamat bagi solat jamak dan qasar?

 

Buku ini dijual dengan harga RM25.00 sahaja. Buku ini ditulis oleh Ustaz Zulkarnain bin Dollah & Ustaz Azhar bin Yahya Al-Batawi.

 

Saya tak jumpa laman web yang jual buku ini secara online. Jadi saya tak dapat nak berikan kepada anda link tempahan untuk beli buku ini. Dekat laman web ini pun tak ada jual buku ini. Nampaknya terpaksalah anda cari di kedai-kedai buku berhampiran anda jika anda minat nak dapatkan buku ini ya.

 

Selamat membaca dan selamat menambahkan ilmu!

 

 

Be Sociable, Share!

{ 5 comments… read them below or add one }

lokmanamirul September 23, 2016 at 4:43 pm

menambah ilmu pengetahuan lagi

Reply

mrhanafi September 24, 2016 at 6:51 am

agak susah nak faham sebab jarang praktikal..bila buat terpaksa rujuk buku panduan

Reply

sabree hussin September 27, 2016 at 11:08 am

Ya boleh rujuk pada buku panduan ni. Kalau masih kurang faham, boleh cari guru yang dapat terangkan ya ๐Ÿ˜€

Reply

Hawa Hassan September 25, 2016 at 11:03 pm

Bagus buku ni. Senang untuk buat rujukan dan boleh ajar anak-anak juga.

Reply

raihanah September 27, 2016 at 8:37 am

kadang bila dah praktikal baru kita faham

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: