Saya nak kongsikan sebuah hadis yang saya baca dari Kitab Ringkasan Riyadhus Solihin yang disusun oleh Imam Nawawi berkenaan dengan hari Jumaat.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mandi pada hari jumaat sebagaimana mandi junub, lalu berangkat ke masjid lebih awal (sehingga mendapat saf yang pertama), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor unta.
Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang kedua), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor lembu.
Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang ketiga), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing.
Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang keempat), maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor ayam.
Jika dia berangkat pada waktu berikutnya (lalu mendapatkan saf yang kelima), maka seolah-olah dia telah berkorban sebutir telur.
Jika imam telah datang, para malaikat pun masuk untuk mendengarkan bacaan khutbah.” (Riwayat Al-Bukhari no. 841 dan Muslim no. 850)
Semasa saya masih bersekolah di sekolah rendah dulu, setiap kali sebelum memulakan bacaan khutbah, khatib akan membacakan hadis ini terlebih dahulu kepada para jemaah yang hadir.
Boleh dikatakan setiap minggu hadis ini akan dibacakan. Walaupun pada waktu tu, saya tak dapat nak hafal keseluruhan isi hadis, namun saya dapat tangkap maksud hadis tersebut iaitu untuk menggalakkan para jemaah untuk datang awal ke masjid pada hari jumaat. Tapi sekarang ni saya rasa macam jarang pula dengar khatib baca hadis ni.