Apa yang bermain difikiran anda apabila subjek mengenai “pelaburan” dilontarkan kepada anda?
Sesetengah orang melihat pelaburan sebagai suatu usaha meletakkan modal ditempat yang strategik bagi tujuan mengumpul kekayaan, manakala sebahagian yang lain melihat usaha pelaburan itu sebagai cara untuk mendapatkan kestabilan dari segi kewangan dimasa akan datang.
Boleh jadi mereka sedar, membuat simpanan semata-mata, tidak cukup untuk menyedia dan mengumpulkan dana yang diperlukan semasa usia persaraan kelak.
Usaha pelaburan boleh dilihat sebagai suatu usaha yang ringkas, seringkas membeli emas hinggalah lebih rumit melibatkan proses analisa dari segi teknikal mahupun fundamental bagi mencapai suatu keputusan pelaburan yang terbaik.
Setiap orang melihat dan memahami istilah pelaburan dengan perspektif yang berbeza.
Apa yang dianggap sebagai pelaburan terbaik bagi individu A, mungkin dianggap sebagai pelaburan paling tak berguna bagi individu B yang mungkin pernah ada pengalaman alami kerugian dalam pelaburan tersebut.
Tiada satu pelaburan yang dapat memuaskan hati semua orang.
Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza antara satu sama lain.
Posting kali ini, kita akan bincangkan secara ringkas, senarai pelaburan yang kita boleh lakukan, dan bagaimana mereka memilih instrumen pelaburan tertentu bagi tujuan mencapai matlamat kewangan mereka.
Lain individu mungkin mempunyai kecenderungan dan kegemaran terhadap instumen pelaburan yang tertentu. Tanpa membuang lebih banyak masa, berikut adalah instrumen pelaburan yang ada di negara kita.