Salah satu niche atau bidang yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan adalah dalam niche kesihatan dan kecantikan. Niche ini kelihatan digabungkan menjadi satu niche walaupun sebenarnya ia boleh dipecahkan kepada dua niche iaitu niche kesihatan dan juga niche kecantikan.
Dalam niche kesihatan dapatlah kita fokuskan pada perkara-perkara seperti ubat-ubatan, makanan tambahan, peralatan senaman, gaya hidup sihat dan sebagainya. Manakala untuk niche kecantikan, kita boleh masukkan perkara-perkara seperti barangan kosmetik, pakaian dan aksesori. Mungkin ada banyak lagi yang boleh dimasukkan namun ini antara yang saya dapat fikirkan pada waktu ni.
Baiklah, dewasa ini orang bukan semata-mata nak sihat. Tetapi mereka nak sihat dan cantik. Begitu juga sebaliknya. Apalah gunanya memiliki kecantikan jika tidak mempunyai kesihatan yang baik. Maka, kedua-dua niche ini lebih mudah digabungkan dan seterusnya terhasillah produk-produk yang menjanjikan penggunanya mendapat kedua-duanya sekali. Kecantikan dan kesihatan.
Sayangnya… walaupun niche ini sangat menguntungkan, namun dari segi persaingan, ianya sangatlah sengit. Lihat sahaja apa yang berlaku di pasaran tempatan. Setiap bulan pasti ada sahaja produk-produk baru yang dikeluarkan.
Sama ada dalam bentuk pil, bentuk sabun, krim, serum dan sebagainya. Sampai satu tahap, pengguna sendiri rasa keliru, mana satu yang patut mereka amalkan. Adakah produk ini ataupun produk itu. Memang boleh jadi keliru bila ada banyak sangat produk.
Pernah tak anda terfikir, sebenarnya dari mana datangnya produk-produk ini semua? Dari pembacaan yang saya lakukan, produk-produk kecantikan ini sebenarnya ada yang di datangkan dari kilang yang sama. Kilang tersebut memproses produk kecantikan tanpa label. Sekiranya seseorang itu mempunyai modal, dia boleh terus berurusan dengan kilang tersebut dan seterusnya menghasilkan produk sendiri.