Salah satu niche atau bidang yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan adalah dalam niche kesihatan dan kecantikan. Niche ini kelihatan digabungkan menjadi satu niche walaupun sebenarnya ia boleh dipecahkan kepada dua niche iaitu niche kesihatan dan juga niche kecantikan.
Dalam niche kesihatan dapatlah kita fokuskan pada perkara-perkara seperti ubat-ubatan, makanan tambahan, peralatan senaman, gaya hidup sihat dan sebagainya. Manakala untuk niche kecantikan, kita boleh masukkan perkara-perkara seperti barangan kosmetik, pakaian dan aksesori. Mungkin ada banyak lagi yang boleh dimasukkan namun ini antara yang saya dapat fikirkan pada waktu ni.
Baiklah, dewasa ini orang bukan semata-mata nak sihat. Tetapi mereka nak sihat dan cantik. Begitu juga sebaliknya. Apalah gunanya memiliki kecantikan jika tidak mempunyai kesihatan yang baik. Maka, kedua-dua niche ini lebih mudah digabungkan dan seterusnya terhasillah produk-produk yang menjanjikan penggunanya mendapat kedua-duanya sekali. Kecantikan dan kesihatan.
Sayangnya… walaupun niche ini sangat menguntungkan, namun dari segi persaingan, ianya sangatlah sengit. Lihat sahaja apa yang berlaku di pasaran tempatan. Setiap bulan pasti ada sahaja produk-produk baru yang dikeluarkan.
Sama ada dalam bentuk pil, bentuk sabun, krim, serum dan sebagainya. Sampai satu tahap, pengguna sendiri rasa keliru, mana satu yang patut mereka amalkan. Adakah produk ini ataupun produk itu. Memang boleh jadi keliru bila ada banyak sangat produk.
Pernah tak anda terfikir, sebenarnya dari mana datangnya produk-produk ini semua? Dari pembacaan yang saya lakukan, produk-produk kecantikan ini sebenarnya ada yang di datangkan dari kilang yang sama. Kilang tersebut memproses produk kecantikan tanpa label. Sekiranya seseorang itu mempunyai modal, dia boleh terus berurusan dengan kilang tersebut dan seterusnya menghasilkan produk sendiri.
Nah… nama sahaja yang berbeza. Namun produknya sama. Ini kita akan bincangkan di lain masa.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, berkecimpung dalam niche ini memang ada banyak cabarannya. Pertama, dalam masyarakat kita, masih ramai lagi sebenarnya individu yang tak begitu mementingkan aspek kesihatan dalam kehidupan.
Buktinya? Ramai yang dah tahu, merokok tu membahayakan kesihatan, tapi masih lagi merokok dengan yakin seolah-olah diri tu kebal. Ramai yang tahu, sumber air yang kita perolehi tak berapa bersih dan mungkin terdapat karat pada saluran paip, namun berapa ramai yang pasang penapis air? Seterusnya, kita tahu makanan segera itu tak berapa bagus, tapi adakah kita berhenti mengambil makanan segera? Tepuk dada tanya diri sendiri.
Orang seperti ini, mempunyai takrifan yang sedikit berbeza tentang kesihatan. Mungkin pada mereka, jika aku tak sakit, bermakna aku sedang sihat.
Untuk orang seperti ini, idea untuk mengamalkan makanan tambahan sebagai sebahagian daripada diet harian mereka adalah satu idea yang agak janggal. Kita hanya akan benar-benar menghargai kesihatan yang kita miliki hanya apabila kita dah mula kehilangannya. Selagi belum sampai tahap tu, selagi itu kesedaran untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik agak kurang.
Betul ke? Saya nak petik kata-kata dalam filem X-Files, iaitu
The truth is out there
Persoalannya ialah, jika pada hari ini, kita nak buat duit dalam niche kesihatan dan kecantikan ini, bagaimana agaknya cara pemasaran yang berkesan yang boleh kita gunakan bagi mendapatkan pelanggan yang ramai untuk beli produk yang kita promosikan ni?
Selagi mana orang ramai masih lagi berpegang pada pandangan, “aku tak sakit, bermakna aku tengah sihat”, bermakna sangatlah sukar untuk kita jual sebarang produk kepada orang seperti ini.
Suka ataupun tidak, maka terpaksalah kita banyakkan sesi perkongsian ilmu atau sharing tentang kesedaran mengenai tahap kesihatan individu. Berikan kepada mereka suatu gambaran dan imej sebenar, apa yang dikatakan sebagai sihat. Sihat dari segi rohani dan jasmani. Sihat tubuh badan, sihat emosi, sihat dari segi psikologi.
Jangan sekadar bercakap, sebaliknya tunjukkan buktinya. Konsep ni sebenarnya samalah dengan konsep bila kita nak buat duit secara online. Ada banyak orang kat luar sana yang cuma pandai cakap je. Join program ni, nanti boleh dapat duit lumayan sampai ribu-ribu banyaknya.
Tetapi, apa buktinya? Saya secara peribadi lebih rela join program yang tak glamer mana, seperti program Jobdirumah misalnya. Walaupun program ini tidaklah menjanjikan pulangan sampai ribu-ribu ringgit, namun saya boleh lihat bukti depan mata saya sendiri, yang dari program ini kita memang boleh buat duit. Itu lebih baik daripada sekadar janji-janji kosong, namun hasil langsung tak ada. [Komisen Affiliate Jobdirumah Januari 2016]
Saya memang tabik pada para penjual produk-produk kosmetik mahupun produk kesihatan yang bukan sahaja menjadi penjual produk, tetapi pada masa yang sama, mereka turut menjadi pengguna. Mereka adalah the living proof, ataupun testimoni hidup dan bergerak bagi keberkesanan produk yang di iklankan. Jangan jadi macam sesetengah selebriti yang mempromosikan produk kosmetik tertentu di kaca-kaca tv, namun pada hakikatnya artis tu sendiri tak pakai pun produk yang dipromosikan tu.
Satu perkara tentang jualan yang saya pelajari dalam bidang jualan insurans dan takaful, yang saya kira dapat di adaptasikan dalam bidang kesihatan dan kecantikan ni ialah, wujudkan pakej-pakej tertentu ketika ingin mendapatkan jualan.
Dalam bidang insurans dan takaful, pelanggan mencarum bukannya sebab mereka mahukan insurans tu, sebaliknya mereka ingin dapatkan ketenangan fikiran sekiranya berlaku sesuatu yang tak diingini, matlamat asal mereka akan tetap tercapai.
Sebagai contoh, seseorang yang menyimpan hasrat untuk pergi haji dan telah menabung untuk satu tempoh masa yang agak lama. Jika berlaku musibah pada dirinya, hingga menyebabkan dia tak dapat lagi bekerja, maka dia tak mampu untuk teruskan menabung kerana terputus sumber pendapatan.
Sebaliknya, jika dia mencarum dalam polisi insurans atau takaful, walaupun berlaku musibah, dana untuk pergi haji akan tetap dimiliki. Jadi kat sini, pencarum akan memperoleh ketenangan minda dan fikiran, apabila mengetahui walau apa yang berlaku, hasrat untuk pergi haji pasti akan tercapai, In Shaa Allah.
Bagaimana kita nak kaitkan situasi ini dengan situasi kita yang nak buat duit dalam bidang kesihatan dan kecantikan?
Wujudkan satu pakej istimewa bagi mencapai matlamat tertentu, dan matlamat tersebut hanya boleh di capai sekiranya menggunakan produk yang anda jual. Pening ke? Saya rasa salah satu contoh yang baik yang saya boleh berikan adalah produk makanan tambahan yang dikeluarkan oleh Shaklee.
Apa yang saya dapat amati, daripada apa yang dilakukan oleh para ahli Shaklee sendiri, produk-produk Shaklee dijual dalam bentuk pakej. Sebagai contoh, pakej pelangsingan, pakej mengandung, dan macam-macam lagi. Maaf, saya nak terangkan lebih-lebih pun tak berapa pandai, sebab saya pun bukannya ahli Shaklee. Namun apa yang saya nak sampaikan ialah, anda boleh contohi Shaklee dalam melakukan pemasaran. [Cara buat duit dengan Shaklee tanpa perlu jadi ahli?]
Salah satu cabaran yang saya percaya agak besar dalam niche ini ialah untuk menyakinkan prospek akan nilai yang diperolehi hasil daripada mendapatkan produk kita adalah lebih tinggi berbanding nilai duit yang dibelanjakan. Jika kita berjaya pada fasa ini, maka tak mustahil untuk kita dapat ramai pelanggan sanggup untuk buka dompet dan keluarkan duit untuk beli produk kita.
Anda dapat belajar sesuatu melalui perkongsian ini? Harap-harap anda dapatlah sesuatu yang bermanfaat ya. [senarai produk shaklee]
[…] Salah satu niche yang menjadi perhatian saya ialah niche kesihatan dan kecantikan. [Cabaran buat duit online dalam niche kesihatan dan kecantikan] […]