Apa yang best bila kita ada blog dalam niche travel dan percutian?
Pada mulanya, saya menulis topik mengenai percutian sebagai salah satu catatan perkongsian pengalaman sahaja. Rasa agak sayang, bila kita ada pengalaman pernah sampai ke sesuatu destinasi percutian, tapi kita tak catatkan travelog kita sepanjang percutian tersebut.
Kemudian, bila saya mula menulis tentang pengalaman yang saya lalui sepanjang perjalanan saya ke mana-mana destinasi percutian yang saya pernah kunjungi, saya dapati makin ramai pembaca yang menghubungi saya dan mereka minat nak tahu lebih lanjut tentang sesuatu tempat percutian tersebut.
Macam-macam soalan yang pernah saya terima, misalnya apa aktiviti yang sesuai untuk dilakukan? Dekat mana nak cari kedai makan yang paling dekat? Berapa harga kalau nak dapatkan perkhidmatan kereta sewa dan sebagainya.
Setelah menulis artikel berkaitan dengan percutian, saya juga mula dihubungi oleh beberapa syarikat dan orang perseorangan yang menjalankan perniagaan yang berkaitan dengan percutian. Bermula dari saat itu, saya mula menulis beberapa perkara seperti perkhidmatan kereta sewa di Kota Kinabalu, Pakej Island Hopping ke Pulau Manukan dan Pulau Sapi serta beberapa review tempat penginapan yang saya pernah kunjungi.
Pada saya, mempunyai sebuah blog yang berkisarkan tentang percutian telah membuka satu peluang baru untuk saya menjelajah Bumi Malaysia ini. Maklumlah, setakat ini saya hanya berkesempatan untuk pergi bercuti dalam negara sahaja.