Pengalaman kali pertama jadi seorang freelancer

by sabree hussin on June 14, 2018

in Bekerja dari rumah

Saya biasa dengar istilah orang kerja part time dan full time. Tapi, kerja sebagai seorang freelancer atau pekerja bebas, ia agak baru bagi saya.

 

Seingat saya, apa yang mendorong saya untuk dapatkan lebih banyak informasi tentang peluang kerja sebagai seorang freelancer ini apabila saya terbaca iklan bekerja dari rumah sebagai seorang data entry clerk atau dalam bahasa Melayu lebih dikenali dengan nama kerani kemasukkan data.

 

Apa sebenarnya bidang tugas seorang kerani data? Jom kita lihat iklan kerja data entry seperti yang dimuatkan dalam laman web carian kerja maukerja.my

kerja-data-entry

Gaji yang ditawarkan untuk kerja sebagai kerani kemasukan data adalah sebanyak RM800 – RM1,000 setiap bulan. Jika anda minat dengan kerja ini, boleh ke halaman ini untuk buat permohonan kerja.

 

Menurut laman web Maukerja, ini adalah perkara yang perlu ada pada calon yang minat untuk memohon pekerjaan ini

  • SPM/Diploma.
  • Candidates should have a good command of the English language
  • Good computer and Microsoft Office.
  • Good interpersonal skills and able to work independently
  • Preferable Malaysian candidates
  • Experience is not essential
  • Training will be provided
  • 4 Vacancies

 

Ini pula adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan

  • Scanning the document and data entry
  • Keeping the information accurate in the system

 

 

Walaupun begitu, iklan kerja kosong dalam bidang data entry yang saya lihat satu masa dulu, potensi pendapatannya adalah berkali ganda lagi tinggi! Bukan itu sahaja, malahan dari segi cara kerja juga kelihatan lebih menarik.

 

Saya hanya perlu bekerja dari rumah, akan dibayar dalam matawang USD dan boleh kerja ikut keselesaan dan masa sendiri. Walaupun ianya nampak meragukan, namun disebabkan kurang pengalaman dan terpengaruh dengan pulangan yang nampak luar biasa lumayan, akhirnya saya buat keputusan untuk belajar dengan lebih mendalam tentang topik bekerja dari rumah sebagai seorang freelancer ini.

 

Rupa-rupanya terdapat pelbagai bidang kerja sebagai seorang freelancer

Saya didedahkan dengan peluang kerja sebagai seorang kerani data. Kalau anda nak tahu, di internet ada terlalu banyak iklan-iklan kerja yang sebenarnya hanya merupakan satu penipuan, yang menggunakan nama data entry sebagai modus operandi.

 

Kerja sebagai kerani data ini digambarkan sebagai suatu kerja yang SENANG, mempunyai kekosongan kerja yang cukup banyak, dan anda akan dibayar dengan kadar upah yang cukup lumayan!

 

Tapi, betul ke boleh hidup mewah dengan bekerja sebagai kerani data entry? Rujuk balik iklan-iklan kerja kosong di portal seperti Jobstreet dan juga maukerja.my, dan anda akan dapati kerja sebagai kerani data ini, kadar upahnya hanya sekitar RM800 – RM1,500 sahaja.

 

Saya tak pernah lagi nampak kerani data yang dibayar lumayan sampai RM4,000 sebulan. Rasanya memang tak ada kot. Untuk menjadikan iklan kerja kosong sebagai data entry kelihatan LOGIK, biasanya si pengiklan akan kata, kerja tersebut berasal dari luar negara, seperti dari England, US, Canada dan sebagainya. Upah yang bakal kita terima akan lebih lumayan sebabnya kita dibayar dalam matawang asing.

 

Tak apalah… saya bukan nak cerita pasal kerja sebagai kerani data dalam posting ini. Itu mungkin saya akan cerita dilain waktu.

 

 

Bidang kerja sebagai freelance

Ada terlalu banyak dan saya rasa, ianya tak jauh beza dengan bidang kerja part time ataupun fulltime. Saya kira, apa yang membezakan antara freelancer dengan part timer atau full timer ini hanyalah dari segi cara kerja, tapi bukan bidang kerja.

 

Pada waktu saya mula-mula kenal bidang ini, antara kerja yang popular sebagai freelancer ini ialah kerja sebagai model, pelakon tambahan, pelakon iklan, jurufoto, penulis, dan macam-macam lagi.

 

Daripada senarai yang saya sebutkan tadi, saya percaya, ada individu yang buat kerja-kerja tu sama ada secara part time ataupun full time.

 

Dari apa yang saya faham, apa yang membezakan antara seorang freelancer dengan part timer ini ialah, sebagai freelancer kita boleh bekerja dengan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa yang kita suka. Kita tak terikat dengan satu individu atau syarikat semata-mata.

 

Kalau kita ambil contoh, orang yang bekerja secara part time. Orang yang kerja part time, melalui apa yang saya pernah lalui sendiri, kerja yang perlu dilakukan lebih kurang sama dengan orang yang kerja full time. Cuma bezanya, kita ada jadual kerja yang lebih fleksibel, namun perlu ikut jadual dan rutin yang telah ditetapkan.

 

Bagi orang yang kerja full time, dia akan kerja 5 atau 6 hari seminggu. Akan tetapi, orang yang kerja part time, dia mungkin hanya perlu kerja 3 hari sahaja dalam seminggu. Tiga hari yang dimaksudkan ini pula, adalah hari yang sama setiap minggu, misalnya Sabtu, Ahad dan Isnin sahaja.

 

Ketika orang yang kerja full time diberi cuti (off day), orang yang kerja part time ini akan masuk kerja dan menggantikan tempat mereka yang sedang cuti. Orang yang kerja part time ni, dia ada jadual kerja yang telah ditetapkan dan tak boleh suka-suka hati nak tukar kerana ia mungkin akan menjejaskan operasi perniagaan. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri, kerja part time di sebuah kedai baju di KL satu ketika dulu.

 

Bagaimana pula dengan orang yang kerja sebagai freelancer? Jadual kerja kami memang sangat fleksibel. Ikut suka hati, dalam seminggu nak kerja hari apa, bila waktunya, dan terpulang sama ada nak kerja atau tidak.

 

Sumber kerja adalah sama ada kita

  • Buat permohonan kerja dari laman web carian kerja
  • Cari sendiri klien
  • Klien yang menghubungi kita dan mereka tawarkan kerja

 

Pada peringkat permulaan, saya banyak mohon kerja di laman web carian kerja. Laman web yang saya gunakan adalah sama seperti laman web yang dicadangkan oleh pihak Jobdirumah (JDR). Oleh kerana saya menyertai program ini, sekitar tahun 2013 dulu, jadi saya ikut sahaja apa yang disarankan oleh pihak JDR.

jobdirumah-penipu

Laman web carian kerja, mempunyai persaingan yang agak tinggi dalam kalangan para pencari kerja dari seluruh dunia, sebabnya kalau anda nak tahu, dalam dunia ni, bukan anda seorang sahaja yang meluat dengan kerja, tengah perlukan kerja, nak cari duit tambahan dan sebagainya.

 

Kalau anda berminat nak buat kerja-kerja data entry, anda mungkin terpaksa bersaing dengan beratus-ratus orang pekerja freelancer yang turut memohon kerja yang sama. Ada pekerja dari Filipina, India, Indonesia dan lain-lain negara turut bersaing nak dapatkan kerja tersebut.

 

Kemudian, bila saya dah mula faham, bagaimana dan apa kerja yang ada potensi, saya ubah pendekatan. Kali ini, saya cari sendiri majikan atau klien yang sudi untuk tawarkan saya kerja. Pada waktu ini, kita kena ubah mind set, daripada seorang pekerja kepada seorang penjual. Dalam keadaan ini, kita akan jual perkhidmatan atau servis kita.

 

Kena bagitahulah, apa yang buatkan servis kita ini sangat bagus dan bagaimana bakal majikan boleh dapat manfaat dengan mendapatkan servis kita. Saya buat laman web sendiri, saya guna facebook, twitter, linkedIn dan macam-macam lagi.

 

Senang cerita macam ni la… segala platform yang saya boleh gunakan dan manfaatkan untuk beritahu kepada dunia, tentang perkhidmatan yang saya tawarkan, saya akan gunakan.

 

Peringkat seterusnya, saya mula dihubungi oleh bakal klien yang ingin mendapatkan perkhidmatan dari saya. Bila sampai tahap ini, proses untuk dapatkan kerja jadi makin mudah. Pada satu ketika, tawaran kerja masuk dengan agak banyak, dan saya ada pilihan sama ada nak terima atau tolak.

 

Itu tiga peringkat yang saya sendiri lalui, apabila berkecimpung dalam bidang freelancing ini.

 

 

Apa bidang kerja yang menjadi pilihan hati?

Seperti orang lain, pada mulanya saya juga terdorong untuk buat kerja-kerja data entry. Saya fikir, kerja data entry sangat senang untuk dilakukan.

 

(1) Kerja freelance sebagai kerani data entry

Saya pernah berkenalan dengan beberapa orang kerani ditempat saya kerja dulu. Mereka juga buat kerja-kerja data entry. Saya sendiri pernah lihat cara mereka bekerja.

 

Ya, memang mudah. Cuma masukkan data, dari sumber ke dalam bentuk yang diingini. Kadang-kadang kita kena baca satu website, ambil data-data penting yang dimahukan contohnya seperti nama pemilik, nombor telefon yang boleh dihubungi, alamat emel kemudian masukkan dalam bentuk jadual atau spreadsheet.

 

Walaupun kerjanya mudah, tapi saya rasa ianya agak membosankan dan saya cepat rasa mengantuk bila kena buat kerja-kerja macam tu.

 

(2) Kerja freelance sebagai pereka laman web

Saya pernah beli software untuk bina laman web. Pada waktu saya baru nak bermula dulu, masih ramai kenalan saya yang tak tau macam mana nak bina laman web sendiri. Jadi, saya beli software bina laman web dan kemudian saya tawarkan servis bina laman web untuk mereka.

 

Kalau anda nak dapatkan software yang sama, juga boleh dapatkan disini.

 

Penggunaan software ini memang memudahkan kerja-kerja pembinaan laman web, namun saya dapati, untuk menghasilkan laman web yang benar-benar cantik, saya perlu ada skil design. Memandangkan saya tak mempunyai skil dan bakat tersebut, maka saya buat keputusan untuk berhenti tawarkan khidmat ini.

 

Kalau perlu, saya hanya akan buat untuk projek-projek personal sahaja. Untuk tawarkan khidmat kepada orang lain, saya dah tak buat.

 

(3) Kerja freelance sebagai penulis blog

Sekarang ini, kerja ini yang menjadi fokus utama saya. Baca juga artikel saya sebelum ini.

1. Bagaimana menjadi Freelance Writer yang menjana pendapatan RM1,000 sebulan?

2. Buat Duit Dengan Freelance Blogging

jana-pendapatan-secara-online

Saya rasa, kerja-kerja ini yang paling sesuai dan kena dengan jiwa saya. Saya boleh buat kerja-kerja ini, maksud saya kerja-kerja penulisan berjam-jam lamanya, tanpa rasa bosan. Kalau kena stay up sampai lewat malam pun tak ada masalah.

 

Cuma kadang-kadang tu, bila sampai masa, akan kena masalah writers’ block. Tapi itupun biasanya tak lama.

 

(4) Kerja-kerja berkaitan Search Engine Optimization

Kerja jenis ini pun saya ada buat. Kerja dia sangat senang, (tapi leceh) namun dari segi bayaran, ada majikan yang sanggup bayar upah yang sangat lumayan untuk buat kerja-kerja SEO ini.

 

Saya pernah dibayar RM200 hanya untuk meletakkan satu link (backlink) sahaja di blog saya. Kalau anda minat nak buat kerja-kerja seperti ini, saya syorkan anda banyakkan membaca tentang topik SEO.

 

 

(5) Kerja freelance sebagai ejen jualan dan pemasaran

Dalam sesebuah perniagaan, jurujual dan pegawai pemasaran adalah individu yang sangat penting, bagi memastikan perniagaan dapat berjalan dengan baik. Syarikat atau perniagaan yang SIHAT, adalah syarikat yang mempunyai tenaga kerja yang mampu untuk membawa masuk jualan (sales) kepada syarikat.

 

Perniagaan baru, yang mati dan gagal untuk bersaing di pasaran, kebiasaannya adalah perniagaan yang tak mampu membuat jualan. Tak kisahlah apa bisnes sekalipun, sama ada bisnes homestay, bisnes perkhidmatan, bisnes ecommerce dan sebagainya, kalau tak ada jualan, maka tak ada bisnes.

 

Apabila tiada jualan, lama kelamaan pasti bisnes tersebut akan ditutup dan gulung tikar. Penjual atau jurujual adalah individu yang sangat penting untuk kelangsungan bisnes anda.

 

Saya juga buat kerja-kerja freelance, sebagai ejen jualan, untuk syarikat seperti Lazada, Klikjer, Kliks Solution dan banyak lagi.

 

Baiklah, rasanya dah agak banyak yang saya kongsikan dalam satu artikel ini. Saya harapkan, semoga apa yang saya kongsikan dalam ini, bermanfaat dan dapat berikan anda serba sedikit panduan yang berguna untuk membantu anda buat keputusan sama ada kerja sebagai freelancer ini, adalah sesuai untuk anda atau sebaliknya.

 

Kerja sebagai seorang freelancer ini juga boleh buat banyak duit, cuma anda kena banyak bersabar dan ada banyak benda kena belajar sendiri. Manalah tahu, satu masa nanti, anda juga boleh jadikan pekerjaan ini sebagai karier dan kerjaya utama anda. Wallahua’lam.

 

 

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

Madam B June 14, 2018 at 2:33 pm

Teratur je semua artikel tuan. Dari satu info ke 8nfo yang lain. Connected. Informative. Good reference. Anyone yang nak mula develop skill n make money online these are good places to read. Good luck.

Reply

Rahimah Majid June 30, 2018 at 6:44 pm

Seronok orang suka menulis dan ada ilmu SEO.Macam macam boleh jual di internet. Saya sign JDR dulu sebab nak tengok scam atau tidak. Bila tengok kerja data entry tu saya sendiri cepat mengantuk dan surrender terus.

Reply

Leave a Comment

{ 2 trackbacks }

Previous post:

Next post: