Tiada paksaan untuk bekerja apabila menjadi seorang Freelancer

by sabree hussin on May 20, 2018

in Bekerja dari rumah

Adakah ini merupakan satu perkara yang baik, atau perkara yang buruk, apabila tak ada siapa yang akan menyelia kerja kita dan memaksa kita untuk bekerja?

 

Mungkin ia boleh jadi kedua-duanya sekali. Ia boleh jadi satu perkara yang baik, dan pada masa yang lain, ia boleh jadi satu mimpi ngeri. Mari kita lihat situasinya, apabila kita bekerja dengan orang lain.

perniagaan-kecil

Sebelum saya buat keputusan, untuk jadi seorang pekerja bebas, atau freelancer ni, saya juga pernah bekerja dengan majikan. Selepas beberapa tahun bekerja, saya dapatkan pengalaman akhirnya saya buat keputusan untuk berhenti dan uruskan bisnes saya sendiri.

 

Pada masa tu, saya sibuk uruskan bisnes kedai runcit yang saya buka secara kecil-kecilan di kampung. Sambil saya uruskan bisnes, saya juga belajar skil baru, dan lepas bisnes ni mula stabil dan boleh berjalan sendiri, tanpa perlu penglibatan saya secara aktif, saya mula fokus untuk jadi seorang freelancer.

 

Bidang yang saya pilih adalah sales and marketing, atau dalam bahasa Melayunya, dipanggil jualan dan pemasaran. Sepanjang bergelar freelancer ni, saya telah bekerjasama dengan beberapa syarikat dan menjalankan kempen pemasaran bagi pihak mereka.

 

Ada dua kaedah yang biasa saya gunakan sepanjang menjadi seorang freelancer. Iaitu, saya dibayar untuk melakukan sesuatu tugasan atau job dan yang satu lagi, saya dibayar apabila saya berjaya hasilkan jualan.

 

Untuk situasi yang kedua, iaitu dibayar setelah berjaya hasilkan jualan, ia menjadi keutamaan dan prioriti saya, sebabnya bila saya buat lebih, saya ada peluang untuk jana pendapatan yang lebih banyak.

 

Namun demikian, timbul satu masalah, iaitu MALAS. Saya rasa, perasaan malas ini adalah something yang normal, cuma ia jadi berbahaya apabila kerap sangat rasa malas. Malas yang diluar kawal, pasti akan memporak-perandakan kehidupan kita sebagai seorang freelance.

 

Ala… orang yang kerja makan gaji pun kadang-kadang akan datang rasa malas tu. Cuma bezanya, mereka ada penyelia, yang boleh bagi mereka warning, kalau nampaknya macam lama sangat tak buat kerja.

 

Kerja dengan orang atau kerja dengan majikan ni ada kebaikkannya. Dari situ kita boleh belajar tentang sistem pengurusan dan operasi sesebuah syarikat.

 

Kita akan didedahkan dengan konsep Standard Operating Procedure (SOP). Bila ada SOP, kita akan tahu hal-hal seperti

1. Macam mana cara nak menjalankan sesuatu perkara atau tugasan?

2. Bila perlu mula bekerja?

3. Bila boleh berhenti buat kerja?

4. Bila boleh ambil cuti?

5. Bagaimana cara menangani masalah jika berlaku hal-hal yang tak diingini?

 

Konsep SOP inilah yang akan menjadikan urusan sesuatu perniagaan itu jadi lebih lancar. Kita tak perlu berteka-teki, apa yang perlu dilakukan, jika berlaku sebarang isu. Untuk orang yang nak bina kerjaya sebagai seorang freelancer, saya kira, ada baiknya anda dapatkan dulu pengalaman bekerja dengan orang lain.

 

Walaupun jadi kuli, yang penting ilmu yang anda boleh pelajari dari organisasi tersebut. Niatkan satu tahun yang pertama berkhidmat dalam syarikat tu, adalah untuk belajar, bukannya semata-mata sebab duit.

 

Cuba bayangkan diri anda sedang bekerja dengan syarikat majikan. Sedang anda buat kerja, tiba-tiba rasa penat dan malas tu menjelma. Untuk hilangkan perasaan tersebut, anda rehat-rehat sejenak dan buka smartphone untuk lihat apa yang terkini di media sosial dan group whatsapp.

 

Semua tu anda buat curi-curi. Bimbang juga kalau-kalau dilihat oleh penyelia anda nanti.

 

Tapi, bila anda bekerja sendiri, semua tu tak perlu. Anda tak perlu curi-curi nak tengok FB. Tak perlu bimbang nak luangkan masa untuk baca whatsapp, layan media sosial, layan online movie dan sebagainya. Semua tu anda boleh lakukan dengan terang-terangan tanpa ada rasa bersalah.

 

Tak ada sesiapa yang nak marah dan tegur anda, sebab terlalu seronok layan movie online. Bahaya, kan?

 

Itulah sebabnya, bila bekerja sendiri sebagai freelancer ni, setidak-tidaknya anda perlu ada TARGET! Tetapkan dua jenis target.

Pertama, target income dan kedua, target kerja (projek) yang ingin disiapkan. Kedua-dua ini, sebenarnya saling berkaitan.

 

Saya sendiri misalnya. Jika saya target untuk siapkan sebuah projek website (webcopy) pada bulan tertentu, lazimnya pendapatan saya akan bertambah pada bulan tersebut. Ini bermakna, lagi banyak projek website yang mampu dan berjaya saya siapkan, ini menjadikan lagi banyak potential income yang bakal saya perolehi.

 

Tapi itulah… kadang-kadang, bila hilang fokus, target entah ke mana, projek pun tak jalan. Ada projek yang sentiasa work in progress.

 

Bagi mengekalkan fokus, benda yang saya akan buat ialah pecahkan target yang besar kepada tugasan-tugasan yang lebih kecil, supaya ia lagi mudah untuk dilakukan. Kemudian, masukkan ia dalam to do list.

 

Setiap hari, saya akan ada tugasan yang berbeza, yang perlu diselesaikan. Sedar-sedar bila dah cukup sebulan, rupa-rupanya saya dah hampir dengan target yang ditetapkan pada mula-mulanya. Rupa-rupanya, untuk berjaya dalam bidang ini, kita perlu sentiasa selesaikan tugasan-tugasan kecil sebelum sibuk nak beralih kepada projek lain.

 

Sampai satu tahap, saya berpandangan, biar tak banyak projek tapi berhasil, daripada ada banyak projek, tapi satu pun tak menjadi.

 

Isu dengan produktiviti

Benda ini, memang sangat penting untuk kita jaga. Alasannya? Ia sangat berkait rapat dengan berapa banyak pendapatan yang bakal dan mampu kita hasilkan pada sela masa tersebut.

 

Kalau produktiviti terlalu rendah, maka hasilnya juga rendah. Macam orang kerja kilang. Kalau kilang tersebut mampu hasilkan production yang banyak, maka banyak juga yang boleh dijual. Jika sebaliknya, production terlalu sedikit, tak banyak yang dapat dijual, maka hasilnya juga tak banyak.

 

Andainya anda bukan jenis orang yang boleh bekerja sendiri, tanpa disuruh-suruh, maka saya kira adalah lebih baik anda jauhkan diri dalam bidang ini.

 

Ada sesetengah orang, nak cuci kasut sendiri pun malas. Ada je alasan untuk tak nak buat. Tapi, kalau ada orang lain yang PAKSA dia untuk buat, dan orang tu pula akan sentiasa perhatikan geri-geri dia untuk pastikan yang dia buat kerja, barulah kerja dapat dijalankan dengan baik… ha… orang macam ini, kena hati-hati bila nak bekerja sendiri.

 

Bukan apa, bimbang nanti, anda lebih banyak berehat berbanding buat kerja. Kesudahannya, anda juga yang susah nanti, sebab income yang dihasilkan tak mencukupi.

 

Tapi kalau anda memang orang yang boleh urus diri sendiri, boleh urus masa, boleh urus perniagaan, mungkin… bidang ini, iaitu bermula dengan kerja sebagai freelancer adalah bidang yang paling sesuai dengan anda. Manalah tahu, satu hari nanti, akan ada beratus-ratus orang freelancer yang akan bekerja untuk anda pula!

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: