Kenapa tak buat bisnes?
“Sebab tak ada modal…”
Ya, faktor tak ada modal kerap kali dijadikan alasan untuk seseorang itu tidak memulakan sebarang usaha untuk berniaga.
Seolah-olah bagi diri dia, kalau nak mula berniaga, mesti kena ada modal yang besar. Tapi sedarkah anda, lagi besar modal yang diperlukan, maka lagi tinggi risiko yang perlu ditanggung!
Ada sesetengah orang yang jenis suka pasang angan-angan nak ada bisnes sendiri. Dalam imaginasi dia, dia mempunyai empayar perniagaan yang besar, ada ramai pekerja, dengan nilai bisnes bernilai jutaan ringgit.
Memang seronok kalau berangan-angan. Tapi, kalau diri sendiri tak pernah langsung ada pengalaman buat bisnes, hatta bisnes kecil-kecilan, logikkah bagi orang seperti dia mampu jalankan bisnes bernilai jutaan ringgit?
Sebelum nak terus terjun ke medan bisnes dan sembang juta-juta, buktikan dulu yang kita boleh berjaya apabila jalankan bisnes sendiri secara kecil-kecilan. Kita buktikan dulu yang kita boleh buat duit dari satu bisnes yang modalnya tak begitu besar.
Andai kata ditakdirkan kita gagal dalam bisnes yang pertama, kerugian kita tidaklah sebesar mana. Kita boleh belajar dari kesilapan dan bangkit semula dengan semangat dan ilmu baru, untuk uruskan bisnes yang lebih baik dan lebih besar dikemudian hari.
Macam mana nak mulakan sesuatu perniagaan dengan modal yang kecil? Itu yang saya nak bincangkan dalam posting pada kali ini. Percayalah, dalam bisnes kita memang boleh mula dari bawah, mula dengan modal yang minima dan bangkit sedikit demi sedikit dari situ.
Inilah dia triknya!
Mulakan bisnes secara part time
Jangan tergesa-gesa nak jalankan bisnes secara fulltime. Kita tak pasti, sama ada idea bisnes yang kita miliki boleh pergi jauh atau sebenarnya hanya dapat bertahan satu atau dua tahun semata-mata.
Ada ketikanya, idea bisnes yang inovatif dan nampak hebat atas kertas rancangan perniagaan sebenarnya sehebat mana apabila dijalankan. Realiti tak semestinya sama seperti atas kertas.
Bila buat bisnes secara part time, kita boleh kekalkan kerja sepenuh masa kita dan buatlah bisnes pada masa terluang, pada waktu malam atau ketika cuti.
Andai kata bisnes kita kurang berjaya, kita masih ada duit gaji sebagai back up. Selain itu, kalau kita perlu beli kelengkapan dan peralatan untuk jalankan bisnes, kita boleh guna duit gaji dan tak perlu buat pinjaman.
Bisnes itu sendiri sudah ada risiko. Janganlah tambah risiko dengan membuat pinjaman untuk bisnes yang belum tentu akan berjaya.
Buat bisnes yang boleh dijalankan dari rumah
Terdapat banyak elemen penjimatan yang anda bakal nikmati sekiranya bisnes pilihan anda boleh dilakukan hanya dari rumah. Anda masih tak pasti apa contoh bisnes yang boleh dilakukan dari rumah?
Jangan risau. Saya pernah tulis sebuah posting yang menyenaraikan 20 idea bisnes yang boleh dijalankan hanya dari rumah.
Baca disini: 20 Idea bisnes dari rumah dengan modal minima
Jalankan bisnes yang tak memerlukan modal yang besar atau modal yang sangat minima
Setiap perniagaan ada risikonya.
Lagi besar modal yang diperlukan, lagi besar risiko yang anda perlu tanggung. Namun ini bukan bermakna risiko itu adalah sesuatu yang buruk.
Dengan pengalaman dan ilmu yang betul, seseorang itu pasti mampu untuk uruskan sesebuah perniagaan dengan baik, walaupun risikonya besar. Jangan jadikan faktor risiko sebagai alasan untuk tak nak buat sebarang bisnes.
Terdapat tiga jenis model bisnes yang anda boleh mulakan dengan modal yang sangat minima dan risiko yang rendah. Pilihlah salah satu sebagai bisnes pertama anda.
Pertama, buat bisnes jual produk melalui kaedah dropship.
Kaedah dropship boleh mengelakkan anda menanggung kerugian jika produk yang anda jual tak laku. Sekarang ini boleh dikatakan hampir semua produk yang ada dalam pasaran, kita boleh cari siapa yang boleh jadi supplier dropship untuk kita.
Katakanlah anda minat nak cuba jual Power Bank.
Salah satu syarikat yang boleh jadi supplier dropship anda adalah Kumoten. Kumoten tawarkan powerbank jenama Starlo dengan harga RM37.64 sahaja.
Anda boleh jual semula ikut harga pasaran atau harga yang dicadangkan iaitu RM46.70
Dari situ, anda boleh dapat keuntungan sebanyak RM9.
Anda tak perlu keluar sebarang modal untuk mulakan bisnes secara dropship, sebaliknya anda boleh jana keuntungan seperti ini.
Baca lagi disini: Panduan mencari pembekal yang boleh dipercayai untuk bisnes dropship
Kedua bisnes affiliate.
Konsep affiliate sebenarnya lebih kepada kita jadi ejen sahaja. Apa kata anda jadi ejen affiliate laman web ecommerce yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan seperti Lazada dan juga Shopee. Saya percaya, dengan kerajinan dan usaha berterusan pasti anda juga akan berjaya hasilkan pendapatan.
Baca juga:
(1) Program Affiliate Shopee – Cara join beserta dengan BUKTI Pendapatan
(2) Program Affiliate Lazada: Bagaimana cara daftar sebagai ejen affiliate?
Ketiga, jalankan bisnes servis atau perkhidmatan.
Dalam bisnes jenis servis, kita menjual kepakaran kita. Ada satu jenis servis yang saya boleh berikan contoh yang tak perlukan kita keluar modal yang besar untuk bermula.
Saya berikan contoh, anda jadi seorang tutor. Kerja sebagai tutor tak semestinya hanya dalam ruang lingkup bidang akademik sahaja.
Ia boleh diluaskan lagi. Jika anda mempunyai kemahiran dan kepakaran tertentu, dan kepakaran itu memang dicari-cari oleh sebahagian orang, maka anda boleh mula tawarkan diri untuk jadi tutor atau personal coach.
Anda pandai dalam bab pelaburan saham dan forex? Jadilah seorang tutor yang mengajar subjek tersebut.
Tak perlu beli kelengkapan kalau boleh sewa
Sebelum buat keputusan untuk beli, cuba lihat dulu alternatif untuk sewa.
Ada banyak juga kelebihan yang bakal anda perolehi jika memilih untuk menyewa, berbanding terus beli. Pertama sekali, anda tak perlu keluarkan modal yang besar untuk bayar kos barangan tersebut.
Ibarat macam tempat kediaman kita. Kenapa pilih untuk sewa dan kenapa tak pilih untuk beli? Sudah tentu jawapannya adalah berkait rapat dengan tahap kemampuan. Kalau menyewa, kita hanya perlu bayar sekitar RM800 – RM1000 sahaja sebulan.
Tapi kalau beli, kita akan ada komitmen hutang berjumlah ratusan ribu dan perlu komited membayar hutang tersebut sampai habis.
Begitu juga dalam perniagaan. Bila kita menyewa, kita hanya perlu bayar satu jumlah yang kecil sahaja. Dengan bayaran sewa yang minima, kita dapat menggunakan peralatan yang sangat baik kondisinya.
Kita juga tak perlu risau jika berlaku kerosakkan, sebabnya pemilik barang yang kita sewa akan gantikan dengan yang baru tanpa sebarang kos tambahan.
Kalau perlu beli, cuba cari barangan terpakai
Salah satu bisnes yang saya sendiri jalankan adalah bisnes kedai runcit. Saya agak bertuah sebabnya pada waktu saya mulakan bisnes ini, kebetulan ada orang nak jual rak kedai runcit terpakai.
Keadaan rak tersebut tidaklah seratus peratus perfect, tapi ia masih lagi dapat digunakan. Bila berada dalam keadaan yang kurang modal, kenalah jadi lebih berhati-hati dalam berbelanja.
Peralatan seperti rak kedai tidak akan memberikan aliran duit masuk kepada bisnes. Ianya adalah belanja hangus. Namun, kalau tak ada rak, barangan dalam kedai akan kelihatan bersepah dan langsung tak kemas.
Salah satu tempat yang saya boleh syorkan untuk anda cari barangan terpakai adalah di laman web iklan mudah.my
Selain itu, boleh juga lihat di laman web Lazada ataupun di Shopee.
Kedua-dua laman web ini lazimnya menjual produk baru. Namun kalau bernasib baik, boleh juga dapat barangan kelengkapan untuk bisnes yang masih baru dengan harga yang tak begitu mahal.
Bercakap tentang rak kedai runcit, saya ada jumpa rak kedai dari jenama One Boss yang boleh diperolehi dari laman web Lazada.
Anda boleh lihat pelbagai tawaran dengan harga yang menarik disini.
Kunjungi tempat-tempat yang menjalankan clearance stock
Cuba alert dengan promosi penghabisan stok atau jualan gudang yang dijalankan oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk atau kelengkapan yang anda perlukan bagi menjalankan bisnes anda.
Iklan-iklan seperti ini biasanya dikongsikan di media sosial. Produk clearance stock kadang-kadang bukan produk baru, tapi ia masih lagi mempunyai tahap kualiti yang baik.
Dapatkan bantuan dan khidmat freelancer
Anda mungkin perlukan bantuan dalam menjalankan bisnes anda.
Kalau nak ambil pekerja sepenuh masa ataupun nak ambil pekerja sambilan, kosnya mungkin agak tinggi. Jadi, cadangan saya adalah anda dapatkan khidmat freelancer.
Tahukah anda sebenarnya freelancer bukanlah seorang yang gagal mencari pekerja tetap. Mereka sebenarnya mempunyai kemahiran yang sangat tinggi, cuma mereka memilih untuk tidak mahu terikat pada satu syarikat dan lebih gemar bekerja mengikut terma yang mereka sendiri tetapkan.
Kalau bercakap dari segi skil, ada banyak freelancer yang mempunyai skil yang baik, dan dengan skil yang mereka miliki, mereka mampu untuk jana pendapatan tanpa perlu bergantung harap pada mana-mana majikan.
Dari segi kos untuk mengupah freelancer, boleh jadi lebih murah kalau nak bandingkan dengan anda mengupah pekerja tetap. Lazimnya freelancer akan bekerja mengikut projek dan tugasan yang spesifik.
Saya berikan beberapa contoh yang mana anda boleh dapatkan khidmat freelancer
- Khidmat membina laman web jualan
- Khidmat menyediakan perkhidmatan accounting untuk bisnes anda
- Perkhidmatan pemasaran
- Kerja-kerja pengiklanan
- Kerja menghasilkan design jika anda membuat bisnes percetakkan
Kalau susah nak cari pekerja tetap, atau anda bimbang kos untuk mengupah pekerja bakal membuatkan bisnes anda langsung tak ada untung, maka bolehlah pertimbangkan untuk dapatkan perkhidmatan dari freelancer.
Oh by the way, saya juga bekerja sebagai freelancer dan perkhidmatan yang saya tawarkan adalah membuat pemasaran bagi pihak klien saya menerusi kaedah advertorial dan search engine optimization (SEO).
Iklankan produk anda di laman web yang tinggi trafiknya
Bagaimana orang nak tahu, yang anda menjalankan perniagaan?
Jawapannya adalah dengan membuat aktiviti pemasaran. Kaedah pengiklanan juga merupakan salah satu daripada cara untuk melakukan kerja-kerja pemasaran.
Tabiat biasa bagi usahawan yang baru nak mulakan bisnes adalah menggunakan akaun media sosial untuk jual barang. Ini adalah satu langkah yang bijak, apabila kita ambil kira faktor seperti tiada kos pengiklanan yang perlu dibayar dan mudah untuk digunakan.
Tapi tahukah anda, apabila guna media sosial, bilangan prospek yang bakal melihat iklan produk anda adalah terhad kepada berapa ramai orang kawan yang anda miliki. Itupun bukan semua orang akan nampak, sebaliknya mungkin sekitar 10 – 15% sahaja.
Saya syorkan, kalau anda buat bisnes jual barang, lebih baik iklankan produk anda di laman web yang mempunyai trafik yang tinggi.
Apa laman web tersebut?
Iklankanlah produk yang anda jual di laman web Shopee.
Jika anda belum pandai menggunakan shopee sebagai platform bisnes anda, ada banyak panduan buat bisnes di Shopee yang telah dihasilkan oleh usahawan yang dah berjaya berbisnes di Shopee.
Saya pernah baca sebelum ini, yang mana laman web Shopee sudah mula mengatasi laman web Lazada sebagai laman web yang paling banyak pengunjung. Lebih kurang 20 juta pengunjung dalam sebulan!
Cuba bayangkan kalau anda jual barang di shopping mall yang ada 20 juta orang pengunjung! Tak kanlah dalam ramai-ramai tu langsung tak ada yang nak beli produk anda.
Baiklah, saya doakan semoga hasrat anda untuk jadi usahawan yang berjaya akan tercapai. Setiap kejayaan yang besar, biasanya bermula dengan langkah pertama, tak kiralah walau sekecil mana langkah tersebut.
Zul Muhammad says
kalo nak buat bisnes risiko kecil, blh cuba jual simkad..modal kecik,untung pasif..cth, xox, halotelco, tonewow..