“Berapa bayaran untuk dapatkan servis iklan dari laman blog ni?”
Posting ini saya akan bincangkan tentang kadar bayaran yang saya akan kenakan sebelum saya bersetuju untuk ambil sebarang job penulisan artikel.
Menghasilkan artikel review dan advertorial untuk klien bukanlah sumber pendapatan utama blog ini. Saya lebih banyak hasilkan income melalui program affiliate dan juga pengiklanan pay per click berbanding penulisan artikel review.
Menerima tawaran atau pemintaan dari pemilik bisnes untuk menulis bagi pihak mereka bukanlah perkara main-main. Ianya sangat serius.
Memang seronok bila kita dapat job dari klien. Tapi kena ingat, mereka ini mempunyai harapan yang besar yang kita dapat bantu dalam perniagaan mereka. Memang betul mereka dah berikan kita job, sebagai balasan sudah pasti mereka mengharapkan agar artikel yang kita hasilkan dapat menyumbangkan jualan kepada mereka.
Bila klien berjaya dapat jualan dari artikel yang kita hasilkan, bukan mereka sahaja yang akan rasa gembira, kita juga akan rasa puas hati. Rasa puas sebab penulisan yang kita hasilkan berjaya convert kepada jualan.
Most of the time, saya lebih banyak tolak tawaran untuk menulis artikel berbanding menerima tawaran tersebut. Kebiasaannya, ada beberapa sebab kenapa saya akan tolak tawaran tersebut.
(1) Produk dan servis tak sesuai dengan kategori pembaca blog ini
Kalau anda nak tahu siapakah audience atau pembaca blog ini, anda boleh lihat di bahagian arkib dan lihat tajuk-tajuk artikel yang pernah saya siarkan dalam blog ini.
Pembaca blog ini adalah mereka yang terdiri daripada
i. Mereka yang minat topik mengenai jana pendapatan online
ii. Mereka yang minat dengan topik pemasaran, pengurusan perniagaan dan kewangan
iii. Topik mengenai pengalaman percutian
Saya tak menulis topik mengenai kesihatan dan kecantikan. Justeru produk yang berkaitan dengan kosmetik dan makanan tambahan kurang sesuai untuk diterbitkan dalam blog ini.
Blog saya tak mensasarkan kategori pembaca seperti itu. Namun, saya tak menolak kebarangkalian bahawa saya akan tulis topik sedemikian di masa akan datang. Lagipun blog ini kan adalah blog peribadi. Ikut suka hati sayalah nak tulis tentang topik apa.
(2) Saya tak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang produk
Selain itu, produk yang saya tak berapa faham juga saya akan tolak.
Pada saya, ianya terlalu time consuming untuk saya study tentang produk dan perniagaan tersebut. Masa yang saya terpaksa gunakan untuk study tentang produk dan tentang bisnes yang dijalankan itu lebih baik saya gunakan untuk perkara lain. Misalnya untuk menulis artikel.
Bukan apa, kadang tak berbaloi untuk habiskan masa terlalu lama untuk study pasal produk dan bisnes klien. Tapi, kalau bayarannya agak lumayan, itu mungkin saya boleh pertimbangkan.
(3) Saya rasa sukar untuk berurusan dengan bakal pelanggan
Ada jenis pelanggan yang saya rasa agak susah nak berurusan dengannya.
Dia jenis yang suka mengarah-arah, apa yang saya perlu buat, macam mana ia perlu dilakukan dan sebagainya. Saya tak ada masalah dengan perkara ini. Memang akan ada satu sesi untuk pelanggan nyatakan semua yang dia mahukan supaya hasil akhir nanti, betul-betul menyamai apa yang diperlukan.
Walaubagaimanapun, sekiranya setelah melalui proses perbincangan dan sebagainya, namun masih tak mencapai kata sepakat, atau saya merasakan pihak yang satu lagi mempunyai kesukaran untuk berikan apa yang saya perlu, saya kira jalan terbaik adalah tidak meneruskan kerjasama.
Untuk menghasilkan sesebuah artikel, saya akan perlukan beberapa perkara
i. Gambar-gambar berkaitan produk
ii. Feedback/testimoni/review dari pelanggan terdahulu
iii. Sebarang rujukan sama ada buku, artikel, research paper dan sebagainya
iv. Sampel produk
v. Penerangan tentang bisnes yang dijalankan (jika saya tak familiar dengan bisnes tersebut)
Pemilik produk sepatutnya tak ada masalah untuk sediakan semua ini. Tapi kalau semua perkara asas ini pun saya perlu cari sendiri, sedikit sebanyak ia mempengaruhi mood saya untuk meneruskan job ini… and most likely saya akan tarik diri.
(4) Saya tak yakin mampu bantu pemilik produk dapatkan jualan
Ada bidang atau perniagaan tertentu, yang saya tak mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenainya. Kalau saya ambil juga job tersebut, saya perlu study banyak perkara.
(5) Bakal pelanggan tak mempunyai bajet pengiklanan
Ada ke pelanggan yang macam ni? Ya sudah tentu ada. Saya pernah jumpa orang macam ni.
Individu seperti ini biasanya adalah seseorang yang saya pernah kenal atau seseorang yang pernah berurusan dengan saya sebelum ini. Dia mungkin pernah dapatkan khidmat advertorial dari saya ketika mula-mula saya tawarkan harga yang murah dulu.
Kemudian bila saya dah mula naikkan harga, dia rasa seperti caj yang saya kenakan terlalu mahal dan tak berbaloi untuk dia. Tapi memandangkan dia pernah dapat sales daripada kerja-kerja penulisan yang saya pernah buatkan untuk dia, dia rasa saya masih berguna untuk dia.
Individu seperti ini akan hubungi saya dan seterusnya akan minta saya tolong untuk buat sekian sekian. Sebagai balasan, dia akan belanja kupi-kupi (I think apa yang dia maksudkan ialah minum kopi…) atau belanja makan bila dia ada masa untuk jumpa saya satu hari nanti (yang kita pun tak tahu entah bila).
Kalau saya tak pergi jumpa dia, atau dia tak datang jumpa saya lagi, maksudnya sampai bila-bilalah benda tu tak akan terjadi, betul tak?
Bukan ke benda ini sebenarnya simple je.
“Awak bayar saya, then saya buatlah kerja yang awak nak saya buat tu.”
Buat apalah nak janji yang bukan-bukan, yang menyusahkan. Buat je online transfer, tak sampai satu minit… siap!
(6) Saya mengalami writer’s block yang serius
Saya pernah alami perkara ini.
Tahun 2021, saya dijangkiti virus covid-19. Nak kata serius sangat tu, tak adalah serius mana. Cuma doktor kata, saya berada dalam tahap 4. Untuk pesakit covid tahap 4, kita memerlukan bantuan mesin oksigen untuk pernafasan. Pesakit tak mampu untuk bernafas dengan sendiri.
Baiklah, selepas saya dibenarkan pulang, saya dapati saya tak terus sembuh. Dari pembacaan yang saya buat, ini mungkin gejala yang dipanggil sebagai long covid. Saya masih lagi mengalami simptom tertentu, walaupun saya telah disahkan sembuh dari penyakit tersebut.
Satu benda ketara yang saya dapat perhatikan ialah, saya mengalami writers block yang begitu serius. Saya langsung tak boleh menulis seperti dulu. Pada mulanya saya ingatkan perkara ini hanya bersifat sementara, tapi saya silap.
Dari sebulan, jadi tiga bulan dan akhirnya hingga mencecah 9 bulan saya langsung tak boleh menulis. Sepanjang tempoh masa tersebut juga, saya terpaksa abaikan semua email dan whatsapp yang saya terima yang meminta saya untuk menulis tentang perniagaan yang mereka jalankan.
Maaf ya, saya belum betul-betul sihat.
(7) Produk dalam kategori money game, scam dan tak patuh syariah
Seboleh-bolehnya saya akan elakkan dari mempromosikan produk-produk yang berada dalam kategori ini.
Bagaimana saya menentukan kadar bayaran?
Ada dua kaedah yang saya gunakan.
Pertama, saya akan caj mengikut bilangan artikel
Ada pelanggan yang hanya mahukan saya menulis sebuah artikel sahaja untuk mereka.
Untuk pelanggan seperti ini, saya akan kenakan satu harga yang fix untuk mereka.
Bagi mereka yang dah lama mengenali saya, mungkin ada yang tahu saya pernah buka tawaran penulisan ini dengan beberapa harga yang berbeza.
Saya pernah offer harga RM5 untuk satu artikel.
Saya pernah offer RM25 untuk satu artikel.
Saya pernah offer RM50 untuk satu artikel.
Saya pernah offer RM100 untuk satu artikel.
Kenapa saya offer harga yang pelbagai?
Pada masa tu, saya masih agak baru dan belum ada pengalaman yang banyak dalam memberikan khidmat penulisan artikel advertorial. Lalu saya tawarkan harga yang rendah supaya orang ramai boleh cuba dapatkan khidmat penulisan dari saya tanpa rasa terbeban dengan kos yang mahal.
Boleh dikatakan fasa tersebut sebenarnya adalah fasa untuk saya mendapatkan pengalaman. Biasalah kan, mana ada orang tiba-tiba jadi pakar dalam satu bidang. Sudah tentu, kita perlu melalui satu fasa yang berbeza, bermula dari bawah dan dari situ mula menimba pengalaman.
Seiring dengan bertambahnya pengalaman, saya mula faham apa yang sebenarnya diperlukan oleh pelanggan saya.
Kadang-kadang bakal pelanggan saya ni kata cuma perlukan sebuah artikel promosi, tapi bila diselidik rupanya dia perlukan lebih dari sekadar satu artikel.
Saya juga sentiasa memperbaiki kualiti penulisan saya, supaya apa yang saya tulis dapat memberi impak dan sampai kepada golongan yang sasarkan. Anda boleh bandingkan, cara penulisan saya yang terkini dengan yang dulu. Memang jauh beza, kan.
Bila ada masa, saya akan perbaiki dan update artikel lama yang pernah saya terbitkan dalam blog ni. Kalau mana-mana artikel yang masih belum sempat saya update, yang tu anda boleh lihat ada perbezaan yang sangat ketara dari segi cara penulisan yang dulu dengan yang sekarang.
Selain itu saya juga dah mula menghasilkan penulisan yang agak panjang.
Kalau dulu, artikel yang saya hasilkan adalah dalam anggaran 600 – 800 patah perkataan sahaja. Itupun saya rasa dah cukup panjang.
Kemudian saya mula menulis dalam anggaran 1,000 – 1,500 patah perkataan. Saya mula tambahkan bilangan patah perkataan disebabkan saya ingin bersaing dari segi SEO untuk kata kunci tertentu di laman search engine google.
Tapi kini, saya sudah tak meletakkan sebarang had tertentu pada bilangan perkataan yang bakal digunakan. Selagi mana saya rasakan sesuatu artikel itu masih belum betul-betul lengkap dan belum sarat dengan info, saya akan terus menulis walaupun sesebuah artikel itu telah mencapai 5,000 patah perkataan.
Apa rasionalnya?
Saya dapati, artikel yang panjang yang memang lengkap dengan semua maklumat adalah lebih mudah untuk mendapatkan kedudukan yang baik di laman search engine berbanding artikel yang pendek. Mungkin algorithma Google memberi penilaian bahawa artikel yang panjang itu lebih berkualiti berbanding artikel yang pendek.
Artikel yang panjang mengandungi lebih banyak informasi dan biasanya pembaca akan luangkan lebih banyak masa untuk baca artikel tersebut berbanding artikel yang pendek.
Kalau artikel yang pendek, pembaca akan luangkan masa mungkin selama 30 saat kemudian dia akan terus tutup laman web tersebut.
Sebaliknya, artikel yang panjang, pembaca akan luangkan masa mungkin selama 3 – 5 minit.
Ini memberi signal kepada laman search engine Google bahawa pelayar internet meluangkan lebih banyak masa disesuatu laman web kerana laman web tersebut lebih disukai dan lebih berguna kepada pengguna internet.
Kesannya? Laman web tersebut akan mendapat kedudukan yang lebih baik di search engine Google.
Siapa yang nak baca artikel panjang-panjang?
Zaman sekarang ini, orang akan skip atau skim through je bila artikel tu terlalu panjang. Pembaca tak ada masa untuk baca artikel yang panjang.
Sebelum saya nak jawab soalan itu, boleh saya tahu, adakah itu merupakan satu fakta atau sekadar pendapat anda sahaja?
Orang kata, kalau artikel terlalu panjang pembaca akan skim through artikel tersebut.
Tak ada masalah. Silakan berbuat demikian. Saya pun buat macam tu, especially kalau artikel yang saya nak baca tu, kebanyakkan point yang dibentangkan saya dah tahu. Buat apa nak ulang baca benda yang memang kita dah tahu? Melainkan kalau kita memang ada banyak masa terluang.
Tapi bagaimana pula kalau dalam sesebuah artikel yang panjang, penulis banyak membincangkan perkara yang pembaca tersebut belum pernah dengar. Atau setidak-tidaknya ada beberapa point atau idea yang masih baru. Adakah pembaca yang sama ini masih akan skim through?
Dia mungkin akan berbuat demikian, tapi tak mustahil dia juga akan bookmark, atau save link bagi tujuan pembacaan lanjut bila ada masa kemudian.
Saya tak nafikan, akan ada pembaca yang akan pilih-pilih untuk baca. Pembaca kategori ini tak akan baca word by word.
Sekali lagi saya tegaskan, kalau artikel tu panjang, dengan syarat ianya sarat dengan maklumat penting, saya percaya masih ada banyak bahagian artikel yang akan dia baca.
Cuba bayangkan kalau artikel tu agak pendek, dalam linkungan 800 patah perkataan, pembaca pula jenis suka skip bila membaca. Agak-agak hanya dalam 800 patah perkataan, berapa banyak info yang boleh dimuatkan? Dengan mengambil kira perangai pembaca yang akan skim through, berapa banyak pula info yang dapat diserap?
Saya suka menulis untuk golongan pembaca yang spesifik. Jika artikel yang saya tulis ini memang dicari-cari oleh golongan pembaca tersebut, biasanya dia akan baca semua dari mula sampai habis.
Sebaliknya, jika anda bukan golongan yang sasarkan untuk baca konten saya, saya tak terkejut pun kalau anda tak minat nak baca.
Atau dengan kata lain, kalau anda merasakan apa yang saya tulis ini tak berguna dan membosankan, anggap sahaja artikel tersebut memang bukan ditulis untuk anda. So, anda boleh move on dan teruskan dengan kehidupan anda.
Selepas bercerita dengan agak panjang, saya kira biarlah saya nyatakan berapakah bayaran yang anda perlu sediakan untuk dapatkan khidmat penulisan dari saya.
Andai kata ada mana-mana pemilik bisnes yang minat nak dapatkan khidmat penulisan dari saya, saya akan kenakan caj sebanyak RM200 minima untuk satu artikel.
Perhatian: Saya telahpun nyatakan kadar bayaran yang saya tetapkan, jika anda tak perasan, mungkin sebab anda termasuk dalam golongan pembaca yang suka skim through.
Saya pernah tawarkan harga RM5, RM50 dan RM100 untuk hasilkan satu artikel, dan jujur saya katakan, bayaran tersebut tak setimpal dengan masa dan kerja yang saya perlu buat untuk siapkan satu artikel.
Lagi satu, saya ni pula jenis yang akan sentiasa update artikel lama jika saya ada info baru. Contohnya hari ini anda dapatkan khidmat penulisan artikel dari saya. Anda rasa, 3 tahun akan datang adakah maklumat dalam artikel tersebut masih relevan?
Anda yakin tak akan ada maklumat baru atau sebarang perubahan pada perniagaan anda?
Kalau anda dapatkan servis penulisan ini dari saya, saya akan kemaskini artikel tersebut supaya ia sentiasa up to date. Jika anda ada maklumat baru atau perlu ubah mana-mana bahagian dalam artikel, anda hanya perlu hubungi saya semula dan saya akan buat editing tanpa sebarang caj tambahan kepada anda.
Saya tak tahu penulis lain. Mungkin mereka buat yang sama seperti saya buat, dan mungkin juga mereka tak buat macam saya.
Ada juga penulis yang mengenakan bayaran mengikut bilangan perkataan. Sebagai contoh, satu perkataan RM0.10
Sekiranya artikel yang ditulis mengandungi 5,000 patah perkataan, berapakah yang anda perlu bayar? Ya, RM500.
Well, saya pun pernah terfikir nak caj mengikut bilangan patah perkataan.
Mungkin satu hari nanti.
Kedua, saya akan caj secara pakej
Terdapat juga projek penulisan yang pada pendapat saya lebih sesuai dan lebih berkesan kalau menggunakan lebih dari satu artikel.
Ada pelanggan saya yang pada mulanya menghubungi saya sebab dia perlukan satu artikel promosi dari saya. Tapi selepas kita bincangkan dengan lebih teliti, akhirnya mereka sedar yang mereka sebenarnya perlukan lebih dari satu artikel.
Projek yang perlukan lebih dari satu artikel biasanya adalah projek yang memerlukan saya untuk mempromosikan bisnes jenis homestay, pakej percutian dan sebagainya.
Jenis bisnes seumpama ini mempunyai persaingan yang sangat banyak.
Bisnes tempat penginapan misalnya. Anda bukan sahaja perlu bersaing dengan homestay lain yang ada disekeliling anda, malahan pada masa yang sama, anda juga terpaksa bersaing dengan laman web milik Online Travel Agency (OTA) seperti Agoda, booking.com, Airbnb, Trivago dan banyak lagi.
Syarikat OTA seperti ini membelanjakan kos yang mungkin mencecah jutaan ringgit khusus bagi tujuan pengiklanan. Logik ke, kalau kita cuma sanggup membelanjakan RM100 sahaja lepas tu berharap dapat bersaing dengan syarikat gergasi yang mempunyai bajet pengiklanan jutaan ringgit?
Justeru, untuk bersaing dengan syarikat besar seperti ini, saya perlu menghasilkan konten (artikel) yang berkali ganda lebih baik berbanding konten yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.
Mujurlah, syarikat OTA tidak begitu menitikberatkan aspek penghasilan konten dan penulisan artikel. Mereka lebih tertumpu kepada membuat listing (senaraian) yang berkualiti tinggi dan konten yang dihasilkan sendiri oleh pengguna laman web tersebut (user generated content).
Terus terang saya katakan, bersaing dengan syarikat OTA dari segi kedudukan di laman web Google adalah sangat susah! Mereka ada bajet pengiklanan yang sangat besar, sedangkan saya menggunakan teknik Search Engine Optimization (SEO) yang tak memerlukan sebarang belanja pengiklanan.
Biar saya tunjukkan bukti berdasarkan situasi sebenar. Saya bersaing di Google untuk kata kunci “homestay Tangkak”. Berikut adalah hasil paparan carian.
Seperti yang anda dapat lihat diatas, persaingan saya ialah laman web percutian besar-besar seperti
i. Agoda
ii. Booking.com
iii. Kayak.com
iv. Trivago
v. Airbnb
Pada hari saya cek kedudukan ranking ini, ternyata blog saya berjaya masuk ke halaman pertama. Tapi ia mungkin tak akan kekal lama. Bila-bila masa boleh dipintas kedudukan tersebut bila mana syarikat-syarikat ini mula menjalankan kempen pengiklanan mereka.
Adakah anda rasa, dengan hanya satu artikel, saya boleh terus masukkan artikel utama saya untuk masuk dalam page pertama Google? Jika anda rasa boleh, cubalah sendiri.
Cuba anda tulis satu artikel mengikut kreativiti dan citarasa anda dan siarkan. Cuba lihat, berapa lama masa yang diambil untuk berjaya masuk ke page pertama Google. Target keyword yang kompetitif, yang mempunyai persaingan dengan banyak syarikat besar yang mempunyai bajet pengiklanan yang besar juga.
Artikel saya berjaya masuk ke page pertama Google ni pun sebab saya ada tulis beberapa artikel lain, untuk boost artikel utama.
Ini bukannya rahsia besar. Mereka yang biasa dengan kerja-kerja penulisan dan familiar dengan SEO pasti tahu perkara ini.
Sudah tentu, lebih banyak artikel yang anda mahu saya sediakan untuk memperkenal, mengiklankan dan mempromosikan perniagaan yang anda jalankan, maka lagi tinggi bayaran yang anda perlu sediakan.
Walaubagaimanapun, saya sentiasa mengambil sikap terbuka kepada cadangan baru. Sekiranya anda mempunyai tawaran yang berbeza, atau ingin menawarkan pakej harga yang berbeza berbanding dengan yang saya tawarkan, anda boleh hubungi saya menggunakan borang ini untuk perbincangan lanjut.
Ataupun anda boleh juga hubungi saya menerusi emel ke
sabreehussin@gmail.com
“Saya rasa caj yang dikenakan melebihi bajet pengiklanan saya, boleh tak bagi saya satu harga yang lebih menepati bajet saya?”
Hubungi saya dulu.
Mungkin kita boleh bincangkan dulu keperluan anda, dan kalau kita berjaya capai kata sepakat, then kita teruskan dengan menghasilkan konten untuk bisnes anda.
“… saya nak awak yang tulis artikel untuk saya, sebab saya memang tak ada masa nak tulis artikel sendiri. Tapi bajet iklan saya agak terhad buat masa ini. Macam mana?”
Tak ada masalah.
Jika saya boleh bantu saya akan cuba bantu. Hubungi saya disini untuk perbincangan lebih lanjut.
Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Jika saya merasakan perniagaan yang anda sedang jalankan adalah satu perniagaan yang memang PATUT dibantu, In Shaa Allah saya akan bantu walaupun bayaran yang saya terima adalah lebih rendah berbanding yang saya tetapkan. Jika saya tak dapat bantu, jangan risau, kerana di luar sana, ada ramai lagi rakan-rakan blogger saya yang sedia untuk bantu anda.
Apa yang saya cuba nak sampaikan ialah, jangan jadikan faktor harga sebagai halangan untuk anda mendapatkan perkhidmatan ini. Anda bukannya sedang berurusan dengan syarikat multinasional, konglomerat, atau kapitalis yang hanya mahukan wang semata-mata.
Sebaliknya anda sedang berurusan dengan orang perseorangan. Saya pasti kita boleh capai banyak perkara dengan perbincangan dua hala yang sihat.
Benda boleh bincang.
Kesimpulan
Saya caj RM200 untuk satu artikel.
Jika anda perlukan lebih dari satu artikel, sila hubungi saya untuk saya berikan sebut harga yang baru.
Jika anda perlukan khidmat saya, namun tak mempunyai bajet yang besar, sila hubungi saya dan nyatakan berapa bajet anda.
Sekiranya anda masih ada sebarang soalan mahupun pertanyaan, bolehlah hubungi saya menerusi channel yang telah saya nyatakan. Wallahua’lam
Leave a Reply