Blog Sabree Hussin

Cara mempromosikan Bisnes Homestay – 15 Idea ini mungkin berguna untuk anda!

Jika anda adalah salah seorang pemilik, pengusaha atau seseorang yang bakal menjalankan bisnes Homestay satu hari nanti, anda perlu siap sedia dari sekarang, dan pastikan anda familiar dengan beberapa strategi promosi dan pemasaran yang berkesan untuk memastikan perniagaan homestay anda sentiasa ada pelanggan.

 

Bisnes homestay adalah satu perniagaan yang kompetitif.

 

Diluar sana, pemilik bisnes homestay bukan sahaja bersaing dengan pengusaha homestay yang lain, namun pada masa yang sama mereka juga perlu bersaing dengan pengusaha perniagaan tempat penginapan lain seperti resort, hotel, motel, hostel dan sebagainya.

Tambah memburukkan keadaan adalah apabila saban tahun semakin ramai pemain baru mencuba nasib dan turut menjadikan kediaman milik mereka sebagai sebuah homestay.

 

Kalau sebelum ini, mereka ini mungkin akan menyewakan kediaman mereka untuk jangka masa panjang, sebagai sebuah rumah sewa. Tapi apabila mereka mula sedar dan terdedah dengan potensi keuntungan yang lebih besar apabila menjadikan kediaman mereka sebuah homestay, lalu mereka pun mula masuk dalam pasaran.

 

Ya mungkin akan ada yang kata, setiap perniagaan ini sepatutnya mempunyai target market atau target customer mereka yang tersendiri. Dengan ini, mereka tak perlu bersaing sesama sendiri, apabila telah jelas dengan niche atau pasaran yang mereka ingin terokai.

 

Bagi orang lama, mereka memang sudah sedia maklum dengan konsep niche market. Tapi perkongsian ini, bukanlah saya tujukan kepada orang lama yang lebih berpengalaman. Sebaliknya, perkongsian ini adalah untuk mereka yang masih baru.

 

Saya pernah mengikuti beberapa perkongsian mengenai perniagaan homestay ini dari beberapa individu yang memang menjalankan bisnes ni. Bukan semua yang buat bisnes ni ada rumah sendiri. Maksud saya, mereka ni tak beli pun rumah yang dijadikan homestay tu.

 

Ada antara mereka yang menyewa sahaja rumah tersebut dari pemilik asal. Buat agreement let say selama 5 tahun terus. Sewa bulanan bergantung kepada lokasi adalah lebih kurang RM500 – RM900 sebulan. Tetapi, hasil daripada sewakan semula (sublet) rumah kediaman tersebut sebagai sebuah homestay, pemilik bisnes tu boleh dapat untung yang berkali ganda lebih banyak berbanding bayaran sewa yang perlu dibayar kepada pemilik rumah asal.

Baca juga: Buat untung dengan Rumah Sewa

 

Dari segi teori, ia memang nampak mudah. Namun saya percaya, kejayaan pengusaha bisnes homestay ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kempen-kempen pamasaran yang dijalankan.

 

Kita akan bincang beberapa kaedah yang anda boleh praktikkan bagi tujuan mempromosikan bisnes homestay yang anda sedang atau bakal jalankan.

 

Kita akan bahagikan perbincangan disini kepada dua bahagian. Bahagian pertama kita akan bincangkan kaedah percuma dalam melakukan kerja-kerja promosi untuk perniagaan homestay yang dijalankan.

 

Manakala untuk bahagian yang kedua pula, kita akan lihat kaedah yang memerlukan sedikit kos, yang anda boleh lakukan bagi tujuan mempromosikan bisnes homestay yang anda jalankan.

 

Perkara Asas mengenai pemasaran homestay

Sebelum kita terus kepada langkah mempromosikan homestay, saya ingin menarik perhatian anda untuk melihat kepada perkara asas yang perlu diberikan perhatian sebelum kita terus kepada melakukan kerja-kerja promosi.

 

Tujuannya adalah supaya anda dapat membina kandungan pemasaran yang lebih baik, dan mudah-mudahan dari situ anda dapat menerima lebih banyak tempahan.

 

Apa dia perkara asas yang perlu diberikan perhatian tu?

Ini antaranya

 

(1) Jelas dengan siapa sasaran pelanggan

Bukan semua orang akan pilih untuk menginap di homestay apabila pergi bercuti.

 

Saya rasa perkara ni anda pasti dah sedia maklum. Pernahkah anda fikirkan, sebenarnya orang yang macam mana yang akan memilih untuk menginap di homestay, sedangkan pada masa yang sama dia boleh pilih untuk menginap di hotel?

 

Dekat sini kita akan cuba memahami profil bakal pelanggan dan apa kriteria yang mereka jadikan panduan sebelum buat keputusan untuk memilih jenis tempat penginapan yang menepati kehendak dan kemahuan mereka.

 

Lazimnya, orang yang travel bersama dengan ahli keluarga yang ramai akan lebih cenderung untuk menginap di homestay berbanding hotel. Menginap di homestay sudah tentu lebih menjimatkan wang berbanding di hotel. Sebuah homestay biasanya mempunyai 3 buah bilik, dan keluarga tersebut hanya perlu sewa sebuah homestay sahaja.

 

Berbanding dengan sewa hotel, dia perlu menyewa 3 buah bilik. Maka disini kita boleh katakan, mereka yang inginkan penjimatan adalah kategori pelanggan yang anda boleh sasarkan.

 

Selain itu, individu yang agak jarang menginap di hotel, seperti orang tua, mereka ini lebih selesa untuk tinggal di homestay, sebabnya suasana di homestay ni tak jauh beza dengan rumah kediaman mereka. Mereka sukakan suasana ala-ala kampung, berada dalam suasana kejiranan yang ramah dan agak jauh dari hiruk pikuk serta kesesakan jalan raya.

Mereka ini adalah pelanggan yang ideal untuk anda sasarkan.

 

Kalau suasana hotel ni kadang-kadang agak sibuk dan macam-macam jenis orang yang kita akan bertembung.

 

Tetamu juga perlu mengikut sebarang prosedur pendaftaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan hotel. Proses daftar masuk yang mudah boleh jadi agak membingungkan bagi segelintir tetamu yang tak biasa dengan prosedur hotel.

 

Kalau kita bandingkan dengan penginapan di homestay, adakalanya tuan rumah meninggalkan kunci masuk di hadapan rumah atau diluar pagar dalam kotak kunci bernombor.

Tetamu hanya perlu buka kotak kunci menggunakan password yang diberikan dan boleh terus masuk dalam rumah. Sepanjang penginapan tersebut, biasanya tiada siapa yang akan mengetuk pintu, sama ada housekeeping atau mana-mana staf berkaitan.

 

Dekat homestay, kita akan tinggal di kawasan kediaman dan kejiranan yang lebih kurang sama dengan suasana harian kita. Atas sebab itu, segelintir individu, mereka lebih suka tinggal di homestay.

 

Justeru, apabila anda dah kenal dengan profil, sikap dan sifat bakal pelanggan, anda boleh fokus sahaja usaha pemasaran kepada golongan sasaran ini.

 

Abaikan sahaja mereka yang suka check in di hotel lima bintang, sebabnya mereka ini bukannya target market anda.

 

(2) Pastikan homestay anda telah bersedia

Pastikan homestay anda benar-benar telah bersedia untuk menerima kehadiran tetamu.

 

Individu yang bertanggungjawab untuk menjawab semua pertanyaan bakal pelanggan, yang berminat untuk bertanya tentang homestay perlu benar-benar bersedia untuk melayan tetamu dengan penuh mesra dan ramah.

 

Homestay anda juga perlu benar-benar lengkap dengan semua kemudahan dan kelengkapan.

Baca juga: Senarai kelengkapan untuk Bisnes Homestay

 

Sepanjang tetamu anda menginap, anda juga perlu bersedia untuk memberikan layanan yang terbaik untuk mereka. Jika terdapat sebarang permintaan dari tetamu, anda perlu bersedia untuk memenuhi permintaan mereka.

 

Semua ini akan memberi pengaruh terhadap pengalaman penginapan mereka, dan jika pengalaman yang mereka lalui adalah baik, In Shaa Allah mereka ini akan memberikan review yang positif terhadap homestay anda.

 

Review yang positif dapat memberi impak positif dan mempengaruhi bakal tetamu untuk memilih homestay anda berbanding homestay milik pesaing di masa akan datang.

 

(3) Homestay anda mempunyai Unique Selling Proposition (USP)

Apa yang membuatkan homestay yang anda kendalikan adalah berbeza dan berkali ganda lebih istimewa berbanding lain-lain homestay yang ada di sekeliling anda?

 

Kita panggil konsep ini sebagai Unique Selling Proposition. Singkatannya ialah USP.

 

Bakal pelanggan hanya akan dapat keistimewaan ini apabila dia memilih untuk menginap di homestay milik anda, dan tak akan dapat pengalaman yang sama jika menginap di tempat lain.

 

Maka kat sini, bermulalah proses menyenaraikan SEMUA kelebihan dan manfaat yang bakal diterima oleh bakal pelanggan. Tak kisahlah kelebihan tu besar, kecil, biasa-biasa, nampak macam sama sahaja dengan orang lain punya homestay sekalipun, tak apa. Senaraikan je.

 

Nanti dari senarai yang dah terhasil tu, pilih satu sahaja yang anda mungkin nak highlight. Saya akan berikan anda beberapa idea, bagi memudahkan anda memerah idea untuk menyenaraikan kelebihan yang terdapat di homestay anda.

 

Boleh jadi homestay milik anda ni istimewa sebab ia

a. Ada private beach

Oleh sebab homestay anda ada akses untuk ke private beach, maka tetamu anda pun senang nak bawa anak-anak dengan famili beriadah. Buka je pintu rumah terus boleh pergi ke pantai.

 

Cuma perlu jalan kaki beberapa langkah je. Bila dekat dengan pantai ni, mungkin anda juga boleh sediakan beberapa peralatan yang memang sesuai sangat dengan aktiviti pantai seperti pelampung, jaket keselamatan, meja dan kerusi yang boleh lipat, set BBQ grill dan sebagainya.

Apa yang penting, jangan sekadar beritahu, sebaliknya anda tunjukkan juga gambar-gambar yang menunjukkan keindahan dan kecantikkan pantai tersebut.

 

Gambar yang menarik adalah seperti gambar pengunjung yang sedang beriadah, gambar sedang berpiknik, dan juga gambar ketika matahari terbenam.

 

b. Homestay anda menghadap kawasan pergunungan

Ataupun mungkin dari homestay anda, boleh nikmati pemandangan kawasan pergunungan yang sangat cantik dan memukau. Bila waktu petang atau awal pagi boleh nikmati angin sejuk dari kawasan pergunungan dan boleh tengok pelbagai spesies burung berterbangan.

 

“Macam mana kalau homestay saya tak ada kawasan pantai yang menarik dan kawasan pergunungan?”

 

Ok… good question. Dua ni contoh sahaja. Saya sebut dua contoh ni sebab ini adalah dua contoh tempat percutian yang memang saya suka pergi jika ada kesempatan. Dalam proses untuk brainstorming ni, anda senaraikan sahaja apa-apa idea yang mungkin terlintas di fikiran anda. Logik ke tak logik, belakang cerita. Yang penting senaraikan je dulu.

 

Kadang-kadang kita rasa “ala… pemandangan macam ni biasa-biasa je…” tapi bagi orang lain, ianya extraordinary. Iye lah… dah anda tengok benda yang sama macam ni hari-hari, mungkin dah tak ada rasa apa-apa. Tapi buat orang yang tak pernah tengok atau jarang tengok, benda ni akan jadi something yang special.

 

Saya faham, bukan semua pengendali bisnes ini bernasib baik mendapat unit kediaman yang berdekatan dengan kawasan pantai atau dikawasan pergunungan. Jadi, apa kata kita teruskan lagi proses brainstorming bagi mengenalpasti kelebihan dan keistimewaan homestay milik anda.

 

c. Homestay anda berlatar belakangkan kawasan bandar

Kita sedia maklum, pada hari ini homestay boleh jadi dalam bentuk apartment, kondo, suite dan sebagainya. Kalau dulu bila sebut homestay, kita boleh bayangkan rumah jenis kampung. Kemudian upgrade sikit jadi rumah teres, tapi sekarang ni, kondo pun orang panggil homestay juga.

 

Di Malaysia ni, konsep homestay adalah lebih mirip kepada guest house jika diluar negara. Pada peringkat awal istilah homestay diperkenalkan, ia sebenarnya merujuk kepada satu bentuk penginapan dimana tetamu akan menginap bersama dengan tuan rumah, dan sepanjang penginapan tersebut, tetamu akan ikuti segala aktiviti yang disusun oleh tuan rumah.

 

Kalau tuan rumah ajak pergi berkebun atau melawat dusun, tetamu akan ikut, dan kalau tuan rumah ajak ke kenduri kahwin, tetamu juga akan turut serta. Tetamu juga akan makan bersama dengan tuan rumah dan akan menjamah apa-apa menu yang dihidangkan oleh tuan rumah. Tetamu ini pula lazimnya adalah pelancong dari luar negara yang berminat untuk melihat dan merasai budaya masyarakat kita.

 

Tapi kini, homestay itu lebih sinonim dengan konsep guesthouse. Tak kisah lah. Janji orang kita faham, bila sebuh istilah homestay ia sebenarnya merujuk kepada konsep yang mana satu. Kita teruskan perbincangan kita ya.

 

Saya ambil contoh jika homestay dikawasan bandar.

Mungkin boleh kata, dengan menyewa di homestay ni, waktu petang-petang boleh rehat-rehat sambil menikmati pemandangan kota metropolitan dan bangunan-bangunan tersergam megah di kota raya Kuala Lumpur. “Ha… ada ke yang akan duduk saja-saja di homestay kalau menginap di bandar seperti di KL?” Mungkin ada, mungkin tak ada. Most likely, masa mereka akan lagi banyak dihabiskan untuk aktiviti luar.

 

Tak ada masalah. Apa yang penting, bila kita ceritakan dari segi pengalaman yang bakal diperolehi oleh bakal penyewa, setidak-tidaknya dia akan rasa “… ok, kalau tak pergi mana-mana nanti, duduk kat homestay je pun menarik ni. Ambik je la homestay ni”

 

Secara peribadi, kadang-kadang saya rasakan iklan tentang homestay ni kebanyakkannya BORING. Macam tak ada apa-apa yang menarik. It just another place to crash. Why not after this pengusaha homestay jadi lebih kreatif dan cerita something yang berbeza berbanding kebiasaan.

 

Iyelah, kebiasaannya pengusaha homestay ni akan cerita tentang bilik, kemudahan, fasiliti, perabot dan sebagainya. Tapi agak jarang-jarang pengusaha homestay ni bercerita tentang pengalaman yang bakal dilalui atau aktiviti sampingan yang boleh dilakukan sepanjang berada di homestay tersebut.

 

Seolah-olah tetamu kena faham-faham dan tau sendiri apa benda nak buat, hakikatnya bukan semua orang ada masa nak research benda-benda ni semua sebelum menyewa homestay.

 

Tak perlu nak nyatakan secara details sangat, tetapi setidak-tidaknya ada sebutkan beberapa aktiviti yang boleh dan sesuai untuk dilakukan sebagai menarik minat bakal penyewa.

 

Manalah tahu, rupa-rupanya berdekatan dengan homestay anda ada sebatang sungai yang menjadi tempat tumpuan penduduk sekitar memancing ikan. Kalau kebetulan tetamu anda adalah seorang kaki pancing, dia pasti suka dengan kelainan yang homestay anda mampu tawarkan ini.

 

Untuk membuatkan tawaran anda ini semakin menarik, anda juga perlu sediakan kelengkapan yang mencukupi untuk memudahkan aktiviti memancing. Sama ada anda akan berikan tetamu anda guna secara percuma, atau perlu sewa, ianya terserah pada anda.

 

d. Berdekatan dengan kawasan perkampungan nelayan 

Jika homestay anda berdekatan dengan kawasan nelayan menaikkan hasil tangkapan, anda boleh ceritakan tentang betapa seronoknya dapat pilih-pilih ikan segar yang masih hidup lagi dan beli terus dari nelayan dengan harga yang lebih murah. Macam-macam ikan segar boleh diperolehi dan boleh terus masak.

Rasanya pasti berbeza jika bandingkan dengan beli di market.

 

Apa? Tetamu anda tak pandai masak?

 

Tak ada masalah. Anda boleh tawarkan perkhidmatan memasak untuk mereka. Bukanlah masak secara percuma, mestilah ada bayarannya. Kalau anda pun tak pandai masak, boleh cuba tanyakan restoran berhampiran, sama ada mereka boleh ambil upah masak sahaja. Siang hari, tetamu anda boleh borong sakan makanan laut yang segar-segar di pasar nelayan, dan lepas tu pada malam hari mereka ni boleh makan besar! Wah seronok betul kalau boleh menginap dihomestay seperti ini.

 

Satu topik yang biasa akan dibualkan apabila saya menginap di mana-mana homestay ialah “…. kat tempat ni apa yang best ye?” Bila soalan ni keluar, biasanya masing-masing akan pandang satu sama lain, dan lepas tu senyap. Ye la, kita baru pertama kali datang tempat tu, manalah kita tau apa yang istimewa kat tempat tersebut.

 

Kita datang pun atas satu urusan yang spesifik. Sebagai contoh nak pergi majlis perkahwinan, ataupun sebab nak hantar rombongan meminang, hantar anak sambung belajar dan sebagainya. Memang tujuan yang spesifik. Kadang-kadang urusan tu semua boleh selesai dalam masa separuh hari je. Jadi waktu petang menunggu ke esok hari sebelum check out masing-masing free dan tak tau nak buat apa.

 

So, why not sebagai pengusaha homestay anda turut main peranan sebagai seorang tour guide. Tak perlu tunggu penyewa bertanya, atau anda bagi tau tanpa diminta, sebaliknya gunakan laman web anda untuk ceritakan apa dia tempat-tempat menarik yang berdekatan dengan homestay anda ataupun aktiviti yang penyewa boleh lakukan sepanjang menginap di homestay anda.

 

Memang betul, pada hari ini tetamu boleh gunakan Google untuk cari tempat menarik. Tetapi, kadang-kadang maklumat yang dibekalkan diinternet itu tidak tepat atau sudah tak relevan dengan keadaan semasa. Sepatutnya sebagai orang tempatan, anda boleh berikan cadangan yang lebih baik.

 

Tak mustahil dalam ramai-ramai yang menginap tu, akan ada yang melanjutkan tempoh menginap lebih-lebih lagi jika mereka ada cuti yang agak panjang.

 

Sebenarnya topik mengenai membina Unique Selling Proposition (USP) ini telah pun saya bincangkan dengan lebih mendalam dalam salah satu artikel blog ini.

 

Jika anda masih perlukan lebih banyak idea, tentang cara menghasilkan USP yang berkesan, boleh baca posting saya yang sebelum ini.

Baca: Cara membina Unique Selling Proposition untuk Bisnes Homestay

 

(4) Jelas dengan matlamat pemasaran

Apa sebenarnya yang anda ingin capai melalui usaha promosi dan pemasaran yang bakal anda jalankan?

 

Soalan ini memang nampak terlalu mudah.

Sudah tentu, jawapannya adalah untuk mendapatkan tempahan.

 

Walaubagaimanapun, dalam usaha pemasaran ini, kadang-kadang kita perlu berfikiran lebih realistik. Bukan semua usaha pemasaran kita itu nanti, akan menghasilkan tempahan.

 

Akan ada usaha pemasaran yang kita buat, ia sebenarnya langsung tak menghasilkan jualan. Tapi, ia dapat memberi impak lain yang dapat meningkatkan kebarangkalian untuk berlaku jualan. Kita akan bincangkan dengan lebih mendalam.

 

Dalam membuat kerja pemasaran, kita target perkara-perkara yang lebih munasabah untuk berlaku, misalnya seperti

a. Jumlah trafik yang meningkat

Bilangan pelawat yang mengunjungi laman web anda semakin hari semakin bertambah. Kalau dulu, hanya ada sekitar 100 – 200 pelawat sahaja dalam sehari.

 

Tapi apabila anda mula menggandakan usaha pemasaran, atau setidak-tidaknya mula menggunakan teknik pemasaran yang betul, bilangan trafik ini mula melonjak kepada suatu angka yang lebih besar, mungkin sekitar 1,000 – 3,000 pelawat sehari.

 

In Shaa Allah dengan bertambahnya trafik yang masuk ke laman web anda, ia akan dapat memberikan kesan positif terhadap tempahan homestay anda.

 

b. Database pelanggan anda semakin besar

Setiap kali ada pelawat yang masuk ke laman web anda, anda boleh meminta mereka untuk meninggalkan nama dan alamat emel mereka. Sebagai ganti, anda berikan kepada mereka yang sudi untuk berikan maklumat tersebut, voucher diskaun bernilai 10% untuk tempahan yang mereka lakukan.

 

Kita panggil usaha pemasaran ini sebagai database marketing.

 

Lazimnya, dengan pertambahan trafik yang masuk ke laman web anda, ia juga akan menyebabkan pertambahan database pelanggan yang mungkin berminat untuk membuat tempahan dengan anda.

 

Untungnya menyimpan maklumat perhubungan bakal pelanggan ini ialah, kita boleh terus lakukan kerja-kerja follow up untuk mengajak mereka bercuti dan menempah tempat penginapan bersama kita.

 

c. Jumlah klik makin banyak

Anda juga patut mempunyai sistem tracking bagi mengetahui, berapa banyak jumlah klik yang anda perolehi hasil daripada usaha pemasaran yang anda lakukan.

 

Bila anda buat pemasaran di media sosial dan anda meninggalkan link ke laman web anda, anda patut tahu berapa banyak jumlah klik yang datangnya dari platform media sosial.

 

Jika anda menggunakan Youtube, blog dan sebagainya, anda juga perlu tahu berapa banyak jumlah klik yang anda perolehi.

 

Orang yang klik pada link yang anda tinggalkan, kebiasaannya adalah mereka yang berminat dengan tawaran yang anda berikan. Mereka ini adalah prospek yang bagus untuk jadi tetamu anda di kemudian hari.

 

d. Makin ramai orang kenal jenama anda

Kalau sebut sahaja nak ke destinasi tertentu, nama homestay anda adalah antara yang disebut-sebutkan oleh bakal tetamu. Ini menandakan kempen pemasaran yang anda lakukan ini, semakin mendapat tempat dalam kalangan bakal tetamu.

 

Misalnya, kalau ada tetamu yang ingin bercuti ke Kota Bharu dan memerlukan homestay, salah satu homestay yang mereka akan pertimbangkan adalah Homestay Inap AyahandaBonda.

Homestay ini ada 4 bilik tidur yang dilengkapi dengan penyaman udara, sangat selesa dan ada swimming pool.

 

Malahan dari segi lokasi, ianya juga terletak berhampiran dengan tempat-tempat menarik yang terdapat di Kota Bharu. Itu sekadar contoh sahaja.

 

e. Untuk mendapatkan tempahan penuh

Sudah tentu, semua orang yang menjalankan perniagaan homestay ini, inginkan homestay mereka menerima kunjungan tetamu yang tak putus-putus.

 

Bagi mendapat kesan yang sedemikian, sudah semestinya kerja-kerja pemasaran perlulah dilakukan secara berterusan.

 

Oleh sebab kita dah bincangkan tadi, untuk terus mendapatkan tempahan adalah agak sukar, maka kita fokus kepada mendapatkan kesan seperti

i. Pertambahan trafik

ii. Peningkatan senarai database prospek dan pelanggan

iii. Jumlah klik yang makin meningkat

iv. Jenama dan reputasi homestay anda semakin dikenali

 

(5) Tetapkan berapa bajet untuk pemasaran

Berapa jumlah yang anda sanggup belanjakan bagi tujuan kerja-kerja pemasaran?

Sebaik-baiknya anda perlu ada bajet tertentu khusus untuk marketing.

 

Jika anda bakal melakukan kerja pemasaran ini sendiri, bajet yang anda perlu sediakan adalah dalam bentuk tenaga dan masa anda.

 

Ini bermakna, anda perlu tahu berapa lama waktu yang anda sanggup peruntukkan untuk buat kerja pemasaran dan apakah bentuk aktiviti yang anda bersedia untuk lakukan.

 

Saya berikan contoh, anda sanggup peruntukkan 2 jam dalam sehari untuk buat kerja-kerja pemasaran dan aktiviti yang anda sanggup lakukan adalah seperti menulis artikel dan menghasilkan konten.

Atau mungkin anda bersedia untuk memperuntukkan 3 jam dalam sehari untuk menghasilkan konten dalam bentuk video dan seterusnya mempromosikan pula video yang telah siap dihasilkan itu di platform media sosial yang lain.

 

Tapi kalau anda tidak mempunyai masa, tenaga dan kepakaran untuk buat kerja pemasaran itu sendiri, maka anda perlu dapatkan bantuan luar dari individu yang ada kepakaran. Dalam keadaan ini, sudah tentu ada kos yang perlu anda belanjakan.

 

Ada ketikanya kita memang tak dapat elak dari perlu membelanjakan sejumlah wang bagi tujuan membuat pemasaran. Bagi mereka yang tak sanggup membelanjakan wang untuk aktiviti pemasaran, anda mungkin terpaksa terima hakikat bahawa pesaing anda mampu mendapatkan pelanggan dengan lebih cepat dan lebih ramai berbanding anda.

 

(6) Wujudkan Key Performance Indicator (KPI)

Tentukan apakah petunjuk atau metrik yang boleh dijadikan rujukan bagi mengetahui sama ada usaha pemasaran yang anda lakukan selama ini benar-benar berhasil atau sebaliknya.

 

Jika anda menggunakan laman web sendiri, anda perlu sentiasa melihat kepada

i. Jumlah trafik atau pelawat yang masuk ke laman web anda.

ii. Kata kunci yang biasa membawa pelawat masuk ke laman web anda

iii. Kandungan yang paling banyak menerima trafik

iv. Kedudukan laman web anda di search engine

 

Jika anda menggunakan platform Online Travel Agency (OTA) anda perlu perhatikan

i. Berapa banyak jumlah klik yang anda perolehi.

ii. Berapa banyak jumlah mesej dari bakal tetamu yang anda perolehi

iii. Berapa banyak views untuk iklan anda

 

Jika menggunakan platform media sosial, anda perlu ambil perhatian terhadap maklum balas dari audiens anda yang diterjemahkan dalam bentuk like, share dan juga komen.

 

Sekiranya anda mensasarkan teknik pemasaran Search Engine Optimization (SEO) anda perlu pastikan artikel atau konten yang anda bina bagi tujuan mensasarkan kata kunci tertentu, berjaya masuk ke halaman pertama enjin carian.

 

Selepas kita selesai dengan enam perkara asas ini, barulah kita teruskan kepada fasa seterusnya, iaitu membina kempen pemasaran.

Pada pendapat saya, kita perlu pelbagaikan kaedah pemasaran untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

 

Tak semestinya kita hanya perlu fokus pada satu pendekatan sahaja.

 

Ada masa kita perlu gunakan kaedah yang memerlukan sedikit kos, dan ada masa-masa tertentu, kaedah yang percuma sahaja sudah memadai. Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita lihat apakah kaedah promosi percuma yang anda boleh lakukan untuk perniagaan homestay anda.

 

Kaedah percuma mempromosikan bisnes homestay

Kita akan mula dengan melihat apakah kaedah promosi yang tidak melibatkan sebarang kos.

 

Lazimnya bagi mereka yang masih baru dalam bisnes ini, mereka akan lebih cenderung untuk menggunakan kaedah pemasaran yang tak melibatkan sebarang kos.

 

Maklumlah, mereka mungkin telah berhabis banyak wang untuk mempersiapkan homestay milik mereka, dan masih belum betul-betul bersedia untuk mengeluarkan belanja tambahan bagi tujuan pemasaran.

 

Boleh jadi pada fikiran mereka, sebelum nak terus gunakan kaedah berbayar, apa kata gunakan dulu semua kaedah percuma terlebih dahulu. Nanti bila dah betul-betul ada sambutan, baru mula gunakan pendekatan yang memerlukan bayaran.

 

Ini pun merupakan satu strategi yang baik.

 

(1) Pemasaran menggunakan media sosial

Menggunakan platform media sosial bagi tujuan pemasaran adalah satu pendekatan yang penting dalam landskap pemasaran digital pada hari ini.

 

Terdapat berjuta pengguna aktif akaun media sosial yang mana mereka ini sesuai untuk dijadikan sasaran.

 

Bagi tujuan ini, anda perlu mempunyai akaun sama ada di Facebook, instagram, twitter dan sebagainya.

Dengan memiliki akaun media sosial, anda boleh kongsikan kandungan yang memaparkan perkara seperti

(1) Promosi terbaru

(2) Keunikkan dan kelainan homestay anda

(3) Perkembangan terkini homestay anda

(4) Screenshot testimoni pelanggan anda

 

Biasanya konten yang dimuatkan melalui platform media sosial adalah lebih bersifat spontan dan santai.

 

Kelebihan pemasaran media sosial

a. Berikan lebih pendedahan

Terdapat berjuta-juta orang yang menggunakan media sosial. Justeru, jika anda turut mempromosikan homestay anda melalui platform ini, secara tak langsung homestay anda akan dapat lebih banyak pendedahan.

 

b. Berinteraksi secara terus dengan bakal tetamu

Melalui akaun media sosial, anda boleh berinteraksi dan bersosial dengan bakal tetamu anda.

 

Anda boleh berbalas-balas komen jika ada posting yang menarik, dan anda juga boleh berbual-bual menerusi fungsi chat yang terdapat di platform media sosial.

 

Sesetengah pengguna media sosial, lebih selesa untuk buat tempahan melalui chat berbanding membuat tempahan melalui laman web dengan mengisi borang tempahan dan sebagainya.

 

c. Pamerkan ciri unik homestay anda

Anda boleh gunakan kreativiti anda untuk bercerita dan mempersembahkan keunikkan homestay anda kepada bakal tetamu. Posting di media sosial yang sifatnya lebih santai dan tak mempunyai format yang rigid lebih memudahkan penggunanya untuk bercerita mengenai homestay milik mereka.

 

Kadang-kadang cerita tentang pokok bunga yang anda tanam pun boleh dijadikan modal untuk mempromosikan homestay.

 

(2) Pemasaran Search Engine Optimization (SEO)

Strategi Search Engine Optimization atau ringkasannya SEO bagi tujuan mempromosikan bisnes homestay adalah salah satu teknik pemasaran percuma yang mempunyai kelebihan dan kekuatannya yang tersendiri.

 

Bagi tujuan menggunakan kaedah pemasaran ini, anda perlu mempunyai laman web sendiri dan laman web anda tersebut perlulah dimuatkan dengan kandungan yang relevan dengan perniagaan yang anda jalankan.

 

Apa kelebihan menggunakan kaedah pemasaran ini?

Ada banyak kelebihan yang bakal anda perolehi apabila menggunakan kaedah pemasaran ini, antaranya

a. Peningkatan tahap visibiliti

Penggunaan teknik SEO dapat membantu meningkatkan pendedahan kepada lebih ramai orang untuk mengetahui tentang perniagaan yang anda sedang jalankan.

 

Laman web anda akan tersenarai dimuka surat pertama enjin carian yang popular, dan ini boleh menyebabkan bakal tetamu lebih mudah untuk menemui dan menggenali homestay anda.

 

b. Trafik yang lebih targeted

Kaedah SEO akan mensasarkan kata kunci yang spesifik yang menepati ciri seperti

i. Relevan dengan perniagaan yang anda jalankan

ii. Kata kunci yang sering dicari oleh pengguna enjin carian

 

Pendekatan ini mempunyai kebarangkalian yang begitu tinggi untuk menukarkan pelawat yang masuk ke laman web anda menjadi pelanggan yang akhirnya membuat tempahan.

 

Logiknya ialah, jika seseorang itu menggunakan kata kunci tertentu untuk membuat carian di search engine, bermakna individu ini memang ada keperluan dan kemahuan yang berkait dengan perkhidmatan atau produk berkaitan.

 

c. Pemasaran SEO adalah kos efektif

Apabila laman web perniagaan anda telahpun di optimasikan dengan kaedah atau formula SEO, ini akan membuatkan laman web anda tersenarai di muka surat pertama enjin carian bagi kata kunci yang anda sasarkan.

 

Kesannya?

Selagi mana kandungan anda berada di muka surat pertama, selagi itu anda akan menerima limpahan trafik secara automatik. Dalam kata lain, kalau anda tak buat sebarang aktiviti pemasaran sekalipun, pelawat tetap akan datang ke laman web anda dan mereka akan dapat melihat tawaran yang anda berikan.

 

d. Kesan Jangkamasa panjang

Lazimnya, apabila laman web anda berjaya masuk ke halaman pertama, ia akan berada disitu untuk satu jangka masa yang agak lama.

 

Keadaan ini berbeza dengan anda membuat iklan berbayar jenis Pay Per Click, yang mana laman web anda hanya akan muncul di muka surat pertama hanya apabila iklan berbayar anda masih aktif.

 

Setelah anda kehabisan bajet iklan, laman web anda akan dikeluarkan dari muka surat pertama enjin carian, dan jika anda mahukan laman web anda muncul semula di muka surat pertama, anda perlu buat bayaran tambahan.

 

e. Bina kredibiliti dan kepercayaan

Laman web yang muncul dimuka surat pertama, selalunya lebih dipercayai dan diyakini oleh pengguna internet. Pengguna juga amat jarang untuk membuat carian hingga ke muka surat yang ke 220 bagi tujuan mendapatkan maklumat.

 

Mereka ini hanya akan fokus dengan maklumat yang tersedia di muka surat pertama hingga kedua sahaja. Kita andaikan kempen pemasaran SEO yang anda jalankan ini berjaya, maka anda akan lebih mendapat kepercayaan berbanding lain-lain laman web yang ada disitu.

 

Adakah semua orang boleh menggunakan kaedah ini?

Jawapannya memang boleh.

 

Asalkan anda mempunyai laman web milik anda sendiri. Seterusnya, anda perlu pastikan yang anda akan menghasilkan konten bagi laman web anda secara berkala.

 

Dalam strategi SEO, kita akan optimasikan kandungan laman web, struktur, dan juga meta-tag dengan kata kunci yang relevan dengan lokasi, kemudahan, pengalaman pelanggan, aktiviti yang sesuai dilakukan dan sebagainya.

 

Strategi SEO ini, jika dibuat dengan betul, anda berupaya untuk memperbaiki kedudukan laman web anda di halaman carian, dan menarik pelawat organik yang berpunca dari search engine.

 

Selagi mana pengguna internet masih lagi bergantung kepada laman web carian seperti Google, Yahoo dan juga Bing bagi tujuan mencari maklumat, maka selagi itulah kaedah promosi ini akan tetap berkesan.

 

Biasanya maklumat yang mungkin menarik minat mereka adalah seperti

1. Tips dan panduan percutian

2. Senarai tempat menarik untuk dikunjungi

3. Senarai tempat makan yang sedap

4. Senarai kelengkapan perlu ada semasa pergi bercuti

 

Apabila anda mempunyai laman web sendiri, anda boleh menghasilkan kandungan yang fokusnya adalah untuk membekalkan maklumat yang berguna kepada bakal tetamu.

 

Asalkan kandungan dan maklumat yang anda hasilkan benar-benar berguna lagi bermanfaat, ia pasti akan dihargai dan menerima pelawat.

 

(3) Gunakan platform pengiklanan percuma

Apakah platform percuma yang kita boleh gunakan bagi tujuan mempromosikan bisnes homestay?

 

Ada beberapa yang anda boleh cuba.

a. Facebook Marketplace

Platform Facebook ada menyediakan suatu fungsi yang anda boleh manfaatkan bagi tujuan mempromosikan apa-apa perniagaan, produk ataupun perkhidmatan yang anda tawarkan.

 

Fungsi yang saya maksudkan adalah Facebook Marketplace.

Anda boleh iklankan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan melalui fungsi ini.

 

b. Portal iklan Mudah.my

Portal mudah.my juga merupakan satu lagi tempat iklan yang anda boleh gunakan.

Dekat portal ini ada macam-macam produk dan perkhidmatan yang diiklankan oleh pengguna internet.

 

Portal mudah.my ini juga merupakan salah satu tempat yang menjadi tumpuan untuk mengiklankan produk dan juga mencari produk yang bersesuaian.

 

Apa kelebihan menghasilkan iklan di portal iklan percuma?

Ada beberapa kelebihan yang anda boleh perolehi, antaranya

 

a. Ianya percuma

Sudah tentu, tiada sebarang kos yang anda perlu keluarkan untuk menggunakan perkhidmatan portal ini. Jika dari iklan anda itu, berjaya mendapatkan pelanggan, tiada sebarang kos yang anda perlu keluarkan.

 

b. Tarik trafik dari platform iklan

Platform atau portal iklan sebenarnya mempunyai bilangan pengguna dan trafik yang agak besar.

 

Apabila kita mengiklankan perniagaan kita melalui portal tersebut, kita sebenarnya sedang berusaha untuk menarik trafik dari portal tersebut untuk masuk ke halaman kita.

 

(4) Database marketing

Sebelum ini, bila kita bercakap mengenai database marketing, kita akan merujuk kepada pemasaran menggunakan kaedah email marketing.

 

Apa yang kita akan lakukan ialah, kita akan kumpulkan senarai nama dan alamat emel pelawat dan juga prospek yang melayari laman web kita menerusi penggunaan sistem autoresponder.

 

Namun pada hari ini, database pelanggan ini boleh juga dibina dan dikumpulkan menerusi sistem telegram ataupun whatsapp. Oleh kerana penggunaan whatsapp dan telegram ini adalah percuma, jadi saya masukkan strategi pemasaran ini dalam kategori pemasaran percuma.

 

Apa yang kita akan lakukan ialah, kita tawarkan prospek atau pelawat laman web kita untuk join group telegram atau group whatsapp yang kita bina. Sebagai insentif, kita akan berikan diskaun atau voucher untuk tempahan yang mereka lakukan dimasa akan datang.

 

Kemudian, dari masa ke masa, anda boleh buat posting di group telegram tersebut dan selagi mana mereka tak keluar dari group tersebut, selagi itulah mereka akan jadi penerima mesej pemasaran dari anda.

 

(5) Strategi content marketing

Strategi content marketing juga dikenali dengan istilah pemasaran kandungan.

 

Ini merupakan suatu pendekatan yang sangat berkesan yang anda patut pertimbangkan dalam mempromosikan bisnes homestay.

 

Dalam strategi ini, kita akan membina pelbagai kandungan yang berkaitan dengan homestay anda.

 

Berapa banyak kandungan yang perlu dihasilkan?

Sebenarnya tiada jumlah yang spesifik, yang perlu kita hasilkan.

 

Kadang-kadang ada pengguna kaedah pemasaran ini, yang hanya menghasilkan dan menyiarkan satu kandungan sahaja, tetapi kandungan tersebut menjadi sangat viral dan ramai orang yang berinteraksi dengan kandungan tersebut.

 

Ada juga keadaan dimana pengamal kaedah ini, telah menghasilkan beratus-ratus kandungan, tetapi hasilnya masih berada ditahap biasa-biasa sahaja.

 

Bukan semua bentuk konten atau kandungan yang kita hasilkan, akan berjaya menarik minat golongan yang kita sasarkan. Namun, ini bukanlah bermakna kaedah konten marketing ini tidak berkesan.

 

Sebaliknya, ia bergantung kepada skil dan kepakaran individu yang bakal menggunakan kaedah pemasaran ini.

 

Antara topik yang boleh diketengahkan adalah topik tentang

i. Lokasi homestay anda

ii. Tarikan yang terdapat di homestay

iii. Kelebihan menginap di homestay anda

iv. Tempat makan

v. Aktiviti yang boleh dilakukan

vi. Tempat tumpuan pelancong di sekitar homestay

 

Kandungan yang boleh dicipta adalah dalam bentuk artikel, info-grafik, audio dan juga video.

 

Kelebihan menggunakan kaedah content marketing

Saya ingin sentuh serba sedikit apakah kelebihan menggunakan teknik ini.

 

a. Bina kesedaran terhadap jenama

Pembinaan kandungan yang berkualiti tinggi dan bermanfaat dapat membantu dalam proses pembinaan jenama.

 

Orang ramai yang berinteraksi dengan konten yang anda hasilkan, akan mendapat manfaat dari konten yang anda siarkan dan pada masa yang sama mereka akan lebih bersikap terbuka dengan sebarang mesej pemasaran yang anda cuba sampaikan.

 

b. Bina pengaruh dan kredibiliti

Orang akan melihat anda sebagai individu yang mempunyai pengetahuan dan maklumat yang bagus. Anda juga akan jadi tempat rujukan, sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan.

 

c. Dapatkan kedudukan yang baik di search engine

Kandungan yang anda siarkan di laman web milik anda sendiri, ada kebarangkalian untuk tersenarai di muka surat pertama enjin carian, walaupun pada awalnya anda mungkin tidak bercadang untuk menggunakan kaedah pemasaran search engine optimization.

 

Apa yang anda ingin fokuskan, hanyalah untuk menghasilkan kandungan yang berguna, bermanfaat dan berkualiti tinggi.

 

d. Pamerkan keunikkan homestay milik anda

Melalui kandungan yang anda hasilkan, anda juga berpeluang untuk mempersembahkan keunikkan homestay anda melalui pendekatan yang berbeza.

 

Pengusaha bisnes homestay lain, mungkin hanya menggunakan beberapa keping gambar sahaja untuk mempromosikan homestay milik mereka.

 

Tapi anda berbeza.

Anda menggunakan teknik penceritaan bagi memberikan gambaran betapa uniknya homestay anda.

 

Anda juga menggunakan imej dan juga video bagi menarik perhatian bakal tetamu untuk datang dan menginap di homestay milik anda.

 

(6) Kain rentang dan papan tanda

Kain rentang dan papan tanda biasanya diletakkan dihadapan rumah bagi memberitahu orang yang lalu lalang bahawa kediaman tersebut bersedia untuk menerima tetamu.

 

Antara kain rentang dengan papan tanda, saya berpendapat menggunakan papan tanda nampak lebih kemas.

Jika anda mempunyai kreativiti yang tinggi, anda boleh buat supaya papan tanda itu menjadi sebahagian daripada dekorasi homestay anda.

 

Saya kurang pasti, apakah terdapat undang-undang ataupun peraturan tertentu berhubung dengan meletakkan papan tanda. Saya syorkan anda buat semakkan dengan jabatan atau majlis daerah berhampiran anda untuk mendapatkan kepastian.

 

(7) Networking dengan usahawan setempat

Jalinkan kerjasama dengan usahawan tempatan boleh menjadi satu kaedah pemasaran yang berkesan yang patut anda cuba.

 

Sebelum anda mulakan pendekatan ini, apa yang perlu kita lakukan pada peringkat permulaan adalah kenalpasti apakah bentuk perniagaan yang sebenarnya menjadi pelengkap kepada perniagaan homestay yang anda jalankan.

 

Bukan semua jenis perniagaan sesuai untuk anda jalinkan usahasama.

 

Apabila kita berhasrat untuk jalinkan usahasama, kita sebenarnya sedang menilai pihak yang satu lagi, sama ada jalinan ini nanti boleh saling memberi manfaat atau sebaliknya.

 

Begitu juga pihak tersebut, juga akan menilai bisnes homestay yang anda jalankan, sama ada berbaloi atau tidak untuk buat kerjasama. Maklumlah, sebelum mereka nak mengesyorkan homestay anda kepada pelanggan mereka, sudah pasti mereka perlu pastikan yang homestay anda benar-benar sesuai.

 

Jika tidak, ini akan berikan imej dan reputasi yang kurang elok kepada mereka.

 

Bila nak buat kerjasama ini, kita sebenarnya akan saling memanfaatkan sumber yang ada pada satu sama lain. Akhirnya kita mengharapkan kerjasama ini bakal menghasilkan suatu situasi yang saling menang-menang.

 

Antara perniagaan yang patut masuk dalam senarai anda adalah seperti

i. Usahawan pakej percutian

Kenalpasti mana-mana usahawan yang menjalankan bisnes pakej percutian, tour guide dan sebagainya. Saban hari mereka berurusan dengan banyak bakal pelanggan yang mungkin ada antaranya yang memerlukan tempat penginapan jenis homestay, berbanding hotel.

 

Jika ada peluang, anda mungkin boleh memperoleh tetamu yang datangnya dari hasil usahasama dengan usahawan pakej tempat percutian ini.

 

ii. Usahawan kedai makan

Bisnes jenis restoran atau kafe adalah antara perniagaan yang boleh menjadi pelengkap bagi bisnes homestay yang anda jalankan. Tempat-tempat ini juga biasanya menjadi destinasi untuk dituju oleh mereka yang datang bercuti.

 

Anda boleh bekerjasama dengan mereka, dengan cara meletakkan iklan homestay anda di tempat mereka dan juga melantik mereka sebagai penyedia sarapan pagi.

iii. Usahawan penganjur acara

Atau biasa kita sebut dengan istilah event planner.

 

Event planner ini akan merancang dan merangka acara untuk para pelanggannya, dari acara yang kecil hinggalah acara yang bersaiz agak besar.

 

Antara acara yang pihak event planner boleh bantu untuk anjurkan adalah seperti

i. Sambutan ulangtahun kelahiran

ii. Sambutan ulangtahun perkahwinan

iii. Hari keluarga

 

Bukan semua usahawan yang kita temui, akan berminat untuk jalinkan kerjasama dengan bisnes kita. Terutama sekali jika bisnes kita masih baru, dan mereka belum nampak kemampuan dan potensi kita.

 

Justeru, kalau anda menerima penolakkan (rejection) dari pengusaha bisnes ini, janganlah berkecil hati dan teruskan sahaja dengan strategi pemasaran yang lain pula.

 

(8) Iklan di Google menerusi fungsi Google My Business

Satu lagi pendekatan yang boleh anda cuba adalah membina profil yang kita nampakan sebagai Profil Google My Business, khusus untuk homestay anda.

 

Tujuannya adalah supaya para pengguna search engine Google dapat menemui homestay anda apabila mereka membuat carian homestay di halaman google.

 

Ini adalah contoh profile Google My Business.

Homestay D Ledang ini adalah salah satu homestay yang dimiliki oleh klien yang pernah mendapatkan khidmat promosi dari saya.

 

Dibawah ini pula adalah contoh lain untuk profil homestay.

Profil ini akan muncul apabila ada pengguna laman carian Google yang membuat carian homestay menggunakan format “homeestay + lokasi”.

 

Sebagai contoh, mereka buat carian menggunakan kata kunci homestay Kota Bharu. Lazimnya paparan seperti dibawah ini yang akan dapat dilihat.

Untuk makluman anda, setiap nama homestay yang dipaparkan ini sebenarnya datangnya dari profil yang telah dibina oleh pemilik bisnes tersebut.

 

Pemilik bisnes ini membina profil untuk homestay mereka menggunakan fungsi Google My Business yang ditawarkan oleh pihak Google. Jika anda masih belum pernah bina profil tersebut, saya amat mengesyorkan untuk anda cari masa dan binalah profil anda.

 

Kalau anda tak pasti cara untuk bina profil ini, saya ada tulis artikel yang membincangkan langkah demi langkah cara untuk bina profil tersebut.

 

Anda boleh baca di artikel berjudul membina profil Google My Business.

 

Kaedah pengiklanan homestay berbayar

Setelah kita bincangkan mengenai beberapa kaedah pengiklanan dan promosi percuma yang boleh kita lakukan, maka seterusnya kita beralih pula kepada pendekatan yang memerlukan sedikit bayaran.

 

Kali ini kita akan teruskan perbincangan kita dengan melihat beberapa kaedah promosi yang boleh anda lakukan, namun kaedah ini memerlukan sedikit kos.

 

(9) Iklan Pay Per Click

Kita mulakan dengan kaedah pengiklanan berbayar yang dikenali dengan istilah Pay Per Click atau singkatannya ialah PPC.

 

Iklan jenis pay per click ini juga sebenarnya adalah bentuk iklan yang begitu popular dan sering digunakan oleh pengusaha bisnes homestay. Apabila anda melayari internet, anda mungkin pernah melihat iklan dalam format seperti dibawah ini.

Iklan seperti diatas ini biasanya akan muncul apabila anda melayari laman web, laman blog atau menggunakan Google untuk membuat carian maklumat.

 

Itulah dia sebenarnya contoh iklan pay per click. Kalau iklan yang keluar ialah iklan homestay, bermakna maklumat yang anda cuba cari itu mungkin ada kaitan dengan homestay.

 

Kelebihan menggunakan kaedah pemasaran Pay Per Click

Kita bincangkan, apakah kelebih menggunakan kaedah iklan jenis PPC ini.

 

a. Kesan serta merta

Hasil bagi pemasaran menggunakan kaedah PPC ini kita boleh lihat dengan serta merta. Atau sekurang-kurangnya dalam jangka masa yang lebih cepat.

 

Anda tak perlu menunggu lama, contohnya seperti kaedah SEO yang memerlukan laman web anda di index dan di analisa terlebih dahulu oleh pihak google sebelum ia boleh muncul dan menduduki muka surat pertama.

 

Dalam masa beberapa jam setelah iklan anda mula berjalan, anda sudah boleh tahu keputusan sama ada iklan tersebut berhasil untuk memperolehi tetamu, atau tidak berjaya. Oleh kerana kita sebenarnya membeli trafik atau pelawat atau prospek, maka kita tak perlu menunggu lama untuk mengetahui apa hasilnya.

 

Orang yang menggunakan kaedah pengiklanan ini, biasanya sebab mereka ingin mendapatkan tetamu dengan cepat sempena cuti yang bakal bermula.

 

Contohnya tak lama lagi akan ada cuti sekolah, atau cuti perayaan. Jadi, untuk cepat-cepat dapatkan tetamu, pemilik homestay pun menggunakan kaedah iklan PPC ini.

 

Apabila menggunakan kaedah iklan ini, tak mustahil untuk pemilik homestay berjaya mendapatkan tetamu dalam masa 24 jam iklan tersebut diaktifkan.

 

Walaubagaimanapun, kaedah pengiklanan pay per click ini bukanlah cara ajaib atau shortcut untuk memperolehi tetamu.

 

Di pihak pemilik homestay, dia juga perlu pastikan homestay miliknya nampak cantik, kemas, selasa dan menarik barulah orang lain berminat untuk membuat tempahan. Kalau homestay anda tak begitu menarik, anda sediakanlah bajet yang tinggi sekalipun, belum tentu orang berminat untuk buat tempahan.

 

b. Target yang tepat

Iklan kita boleh disasarkan kepada kelompok audiens yang spesifik.

 

Selalunya audiens yang bakal kita sasarkan adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kebarangkalian yang cukup tinggi untuk menjadi pelanggan kita.

 

Individu seperti ini, akan membuat carian maklumat atau tempat penginapan menggunakan kata kunci tertentu, yang relevan dengan tujuan dan destinasi perjalanan mereka.

 

Kata kunci yang sama inilah yang akan kita sasarkan, supaya iklan kita boleh muncul dihadapan para pencari maklumat ini.

 

c. Kos pengiklanan yang kos efektif

Anda hanya akan dikenakan bayaran hanya apabila iklan yang anda hasilkan di klik oleh prospek.

 

Mereka yang klik pada iklan anda, lazimnya adalah mereka yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi meminati tawaran anda. Kalau dia tak berminat dengan iklan anda, dia tak akan klik pada iklan yang anda hasilkan.

 

Jika tiada sebarang klik yang terhasil, maka anda tak perlu bayar apa-apa.

 

d. Keputusan yang boleh diukur

Pengiklanan pay per click menyediakan tools analitik yang membenarkan pengguna kaedah ini membuat analisa bagi mengetahui keberkesanan teknik atau iklan yang dihasilkan.

 

Kalau iklan yang telah disiarkan, tidak menerima sebarang klik atau ada banyak klik tapi tiada sebarang tempahan, ini bermakna ada masalah tertentu yang anda perlu selesaikan.

 

Contohnya,

i. Iklan tiada sebarang klik

Biasanya puncanya adalah dari sudut ayat copywriting. Maka anda perlu mengubah ayat dalam iklan.

 

ii. Ada banyak klik tapi tiada yang buat tempahan

Ini mungkin berpunca daripada tawaran yang anda berikan. Mungkin ada tawaran anda kurang menarik, harga tak berapa sesuai, gambar-gambar homestay yang anda gunakan tak cukup memukau, maklumat yang anda berikan terlalu sedikit dan sebagainya.

 

e. Fleksibiliti dan kawalan terhadap iklan

Ibarat seperti iklan anda mempunyai butang on dan juga butang off.

 

Pada bila-bila masa anda boleh siarkan iklan dan jika keadaan pada waktu tersebut tidak begitu sesuai, anda boleh tutup dahulu iklan anda, supaya anda tak dikenakan sebarang bayaran.

 

Kalau pada hari biasa, yang memang tak ada musim perayaan atau cuti, mungkin anda boleh kurangkan kekerapan iklan anda, ataupun anda hanya tunggu tempahan yang datangnya dari platform OTA ataupun dari laman web anda sendiri.

 

(10) Platform Online Travel Agent (OTA)

Platform Online Travel Agencies atau ringkasannya OTA telah mengubah cara bagaimana pengguna mencari tempat penginapan. Pada hari ini, pengguna tidak lagi perlu bersusah-payah menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo ataupun Bing untuk mencari tempat penginapan.

 

Mereka hanya perlu buka sahaja apps tempat penginapan kegemaran mereka dan boleh terus buat tempahan melalui platform tersebut. Sebagai contoh, kalau individu itu suka gunakan Airbnb, dia hanya perlu buat carian disitu sahaja.

 

Apabila dia dah temui homestay yang menepati citarasa dia, lazimnya dia memang tak akan buat carian ditempat lain lagi.

 

Dengan menyenaraikan hartanah di platform OTA terkenal seperti

1. Airbnb

2. Booking.com

3. Agoda

Anda juga berpeluang untuk menerima tetamu yang merupakan pengguna applikasi tersebut.

 

Kelebihan menggunakan platform OTA

Anda patut mempertimbangkan untuk mula menjalankan kerja-kerja promosi homestay anda melalui paltform OTA. Disini kita akan bincangkan beberapa kelebihan yang bakal anda perolehi sekiranya menggunakan kaedah pemasaran ini.

 

a. Peningkatan pendedahan

Menyenaraikan homestay anda di platform OTA dapat mendedahkan homestay anda kepada pengguna platform tersebut yang jumlahnya boleh mencapai sehingga ribuan orang pengguna.

 

Bukan itu sahaja, pengguna platform OTA ini juga sebenarnya terdiri dari kalangan individu yang tinggal dari negara luar. Kalau anda menggunakan platform OTA, ada kemungkinan untuk anda mendapat tetamu dari luar negara.

 

b. Akses kepada pelanggan luar negara

Oleh kerana platform ini mempunyai pelanggan dari serata pelusuk dunia, maka ada kebarangkalian untuk anda mendapat pelanggan dari luar negara.

 

Anda juga boleh gunakan platform yang sama untuk buat tempahan tempat penginapan di luar negara. Manalah tahu, anda ada merancang untuk melancong ke luar negara. Lebih mudah untuk cari tempat penginapan jika menggunakan platform OTA.

 

c. Sistem pemprosesan tempahan mesra pengguna

Platform OTA menyediakan sistem mencari dan membuat tempahan yang begitu mesra pengguna.

 

Pengguna boleh membuat carian, membaca review dan terus membuat tempahan melalui platform tersebut. Dari segi kaedah pemprosesan bayaran pula, platform ini boleh menerima sebarang bentuk bayaran, sama ada online transfer, kad debit mahupun kad kredit.

 

Jika anda baru mula menjalankan bisnes homestay, ada kemungkinan anda masih belum ada sistem yang membolehkan anda menerima bayaran dalam bentuk kad kredit.

 

Lazimnya platform OTA tidak mengenakan sebarang bayaran untuk anda menyenaraikan homestay anda di platform milik mereka. Walaubagaimanapun, sebaik sahaja anda berjaya menerima tempahan, barulah platform ini akan mula mengenakan anda yuran dan juga komisen.

 

Anda perlu bijak meletakkan harga yang bersesuaian supaya anda masih lagi mendapat untung yang cukup baik, walaupun setelah ditolak bayaran yuran dan komisen untuk platform OTA.

 

Jika anda berminat untuk baca lagi perbincangan mengenai topik platform Online Travel Agencies ini, saya syorkan anda baca posting saya yang terdahulu.

1. Apa itu Online Travel Agencies (OTA)

2. Kelebihan menggunakan platform OTA

3. Kekurangan dan kelemahan platform OTA

 

(11) Platform e-commerce

Tahukah anda, platform e-commerce seperti Lazada, Shopee dan juga PG Mall juga sesuai untuk digunakan bagi tujuan mendapatkan tempahan untuk homestay.

 

Sepanjang saya menjadi pelanggan bagi platform e-commerce tersebut, saya telah beberapa kali terjumpa iklan homestay dan lain-lain jenis tempat penginapan di platform tersebut.

 

Ini adalah contoh iklan homestay yang terdapat diplatform jualan e-commerce Shopee.

 

Dekat platform Lazada dan PG Mall juga ada terdapat iklan homestay, namun ia tak begitu meriah jika dibanding dengan platform Shopee.

 

Justeru, jika anda masih belum pernah iklankan homestay anda di Shopee, mungkin anda boleh mula berbuat demikian sekarang. Maklumlah pengguna yang melayari laman web dan apps Shopee setiap hari sangat ramai.

 

Maka tak mustahil untuk anda berjaya dapatkan pelanggan melalui kaedah ini.

 

Kalau tak pandai nak buat iklan di Shopee, jangan risau sebabnya anda boleh belajar menerusi Panduan Bisnes Seller ini.

 

Betul ke kalau guna platform jualan e-commerce pun boleh dapat tetamu?

Saya rasa adalah lebih baik anda lihat sendiri buktinya di platform tersebut.

 

Kita lihat pada iklan homestay yang ada di platform shopee.

Anda akan dapati memang ada iklan yang berjaya menerima tempahan. Rujuk semula screenshot yang saya sediakan. Kalau anda perasan, untuk homestay di Zetter Suites Cameron Highland yang dijual dengan harga RM154, ianya telahpun berjaya mendapat tempahan sebanyak 147 kali.

 

Apa kelebihannya jika menggunakan platform e-commerce ini bagi tujuan mempromosikan homestay?

 

a. Tetamu boleh buat tempahan secara terus

Sebaik sahaja melihat iklan, pelanggan boleh terus buat tempahan.

 

Mereka yang biasa buat pembelian secara online, yang memang dah cukup biasa dengan selok-belok platform ini, biasanya tak akan teragak-agak untuk terus buat tempahan.

 

Selain itu, platform e-commerce seperti ini kadang-kadang menyediakan voucher diskaun untuk kegunaan pelanggannya. Ini akan memberikan lebih penjimatan kepada tetamu anda.

 

Tapi anda tak perlu bimbang sebabnya anda masih akan menerima komisen atau harga yang sama seperti yang anda tetapkan. Sebarang diskaun, itu akan ditanggung oleh pihak penyedia platform.

 

b. Kadar komisen yang agak rendah

Kadar komisen atau yuran yang dikenakan oleh pihak Shopee sekiranya berlaku jualan tidaklah begitu tinggi, berbanding dengan platform OTA.

 

Anda boleh berhubung terus dengan penyedia perkhidmatan, bagi mendapatkan maklumat penuh mengenai kadar komisen yang ditetapkan.

 

(12) Servis Search Engine Optimization

Strategi SEO ini adalah bertujuan untuk memaparkan iklan homestay anda di muka surat pertama enjin carian popular seperti Google, Yahoo dan juga Bing.

 

Apabila iklan homestay anda berjaya menduduki halaman pertama dalam enjin carian google, ia membolehkan lebih ramai bakal pelanggan mengetahui tentang kewujudan bisnes anda, dan sekaligus membolehkan jumlah tempahan yang anda perolehi akan meningkat.

 

Kita ada sentuh mengenai strategi ini sebelum ini. Bezanya, sebelum ini kita fokus untuk buat sendiri kerja-kerja SEO, namun kali ini, kita dapatkan perkhidmatan ini dari individu yang memang arif dengan selok-belok pemasaran SEO.

 

Seperti kebanyakkan strategi pemasaran yang wujud diluar sana, SEO juga seringkali mengalami perubahan dari segi algorithm dan pemilik search engine sentiasa ingin memastikan bahawa hanya hasil carian yang terbaik dan relevan dengan kehendak dan keperluan pengguna sahaja yang akan dipaparkan.

 

Oleh yang demikian, pengamal kaedah SEO ini perlu mahir tentang

1. Kajian kata kunci

2. Pembinaan kandungan

3. Pembinaan link

4. Teknikal tentang struktur website

 

Semua ini boleh dipelajari jika anda memang ada masa dan komitmen ke arah itu. Cara yang lebih mudah dan cepat adalah anda dapatkan sahaja khidmat dari agensi atau freelancer yang menawarkan khidmat ini.

 

Anda boleh terus manfaatkan kepakaran dan pengalaman yang ada pada agensi mahupun individu yang menawarkan khidmat seperti ini.

 

Lazimnya, individu yang memang menggunakan pendekatan ini mampu untuk menasihatkan anda dari segi

1. Analisis terhadap konten website anda

2. Konten yang bagaimana yang anda patut hasilkan

3. Kata kunci yang perlu anda sasarkan

4. Memperbaiki struktur link website anda

 

Sekali lagi saya ulang, jika anda mampu buat sendiri, buatlah sendiri. Jika anda tak ada masa untuk buat semua ini, dapatkan khidmat dari mereka yang boleh berikan servis ini.

 

Melabur untuk tujuan SEO ini sebenarnya adalah pelaburan untuk jangka masa panjang.

 

Disamping anda menggunakan pendekatan yang boleh memberikan hasil dan kesan dalam jangka masa pendek, anda juga perlu ada strategi untuk jangka masa panjang.

 

Apabila kandungan atau konten anda sudah berjaya masuk ke halaman pertama search engine, pada ketika itu anda bakal memperolehi prospek secara percuma.

 

Dari segi kelebihan, ianya lebih kurang sama dengan yang saya pernah ulas sebelum ini. Kali ini sedikit berbeza, memandangkan anda mendapatkan khidmat dari individu yang mempunyai kepakaran dan biasa dengan teknik serta kaedah pemasaran ini.

 

Justeru, masa dan tenaga anda dapat dijimatkan.

 

(13) Servis review & advertorial

Mendapatkan khidmat dari content creator dan juga influencer untuk menghasilkan review bagi perniagaan anda boleh menjadi suatu strategi pemasaran yang cukup berkesan.

 

Bukan semua content creator adalah seorang influencer.

Namun boleh dikatakan semua influencer adalah seorang content creator.

 

Untuk konten yang disiarkan bagi tujuan search engine optimization (SEO), anda tak perlukan khidmat seorang influencer. Anda hanya perlu dapatkan khidmat dari individu yang mahir dengan selok belok dan peraturan SEO.

 

Kelebihan menggunakan servis review

Satu kelebihan menggunakan kaedah ini ialah anda dapat memperkenalkan perniagaan homestay yang anda jalankan kepada lingkungan pengaruh influencer tersebut.

 

Cuba bayangkan kalau individu tersebut mempunyai 1 juta orang pengikut.

Kita andaikan, dengan mengambil perkhidmatan tersebut, sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pengikut individu tersebut akan mengetahui tentang bisnes anda.

 

Jumlah 10% ini bersamaan dengan 100,000 orang.

 

Mereka semua ini mungkin tidak akan menjadi pelanggan anda dalam masa terdekat. Tapi setidak-tidaknya, dengan usaha anda melakukan pemasaran menerusi pendekatan itu, hari ini sudah ada pertambahan orang yang tahu tentang homestay yang anda buka.

 

(14) Pengiklanan berbayar di media sosial

Platform media sosial juga mempunyai fungsi yang membenarkan penggunanya untuk menggunakan kaaedah pengiklanan berbayar.

 

Tujuannya adalah supaya iklan anda dapat sampai dan dilihat oleh audiens yang menepati kriteria, profil dan demografi tertentu.

 

Konsep pengiklanan dengan cara ini, tak jauh beza dengan kaedah pengiklanan Pay Per Click yang kita telah bincangkan diawal-awal tadi. Justeru, saya tak akan ulas dengan terlalu panjang lebar.

 

(15) Website professional

Laman web dan juga platform Online Travel Agency (OTA) seperti Airbnb, Agoda, Booking.com dan sebagainya telah banyak mengubah cara dan kaedah pengguna mencari dan membuat tempahan tempat penginapan.

 

Pada hari ini, mereka tidak lagi perlu lagi bersusah-payah mencari tempat penginapan dengan cara bertanya pada kenalan, menggunakan search engina atau membuka peta.

 

Sebaliknya, hanya dengan mengunakan sebuah platform Online Travel Agencies, pengguna sudah boleh mendapat akses kepada beribu-ribu tempat penginapan.

 

Adakah ini bermakna anda boleh abaikan sahaja strategi pemasaran menggunakan platform atau laman web professional sendiri?

 

Dalam situasi ini, saya mungkin agak bias, kerana saya sendiri lebih selesa menggunakan laman web sendiri, berbanding sekadar menumpang laman web atau platform yang disediakan oleh pihak ketiga.

 

Pada saya, mempunyai laman web sendiri ini ada kelebihannya yang tersendiri.

Kita lebih bebas untuk tulis apa sahaja dan hasilkan konten mengikut citarasa kita sendiri.

 

Sekiranya kita berjaya memperolehi pelanggan, melalui laman web yang kita bina sendiri, kita tak perlu nak kongsi keuntungan tersebut dengan sesiapa atau membayar komisen/fees kepada pihak penyedia platform.

 

Apa pun, terpulang pada strategi anda.

 

Memiliki laman web sendiri, yang dilengkapi dengan ciri seperti

1. Boleh menerima dan memproses tempahan

2. Boleh dijadikan platform blogging

3. Boleh kumpul database pelawat

4. Dilengkapi dengan sistem ejen affiliate

 

Ia bukanlah semudah yang disangkakan. Bukan semua orang ada kemampuan untuk membina laman web yang dilengkapi dengan ciri tersebut.

 

Besar kemungkinan, anda perlu dapatkan bantuan programmer atau seseorang yang memang mahir dalam membina laman web. Ini juga akan memerlukan kos.

 

Penutup

Aktiviti pemasaran dan promosi adalah merupakan aktiviti yang sangat penting dalam mendapatkan tetamu untuk perniagaan homestay. Bagi perniagaan yang sudah matang dan dikenali, mungkin pada waktu ini mereka boleh kurangkan aktiviti pemasaran, memandangkan tetamu sudahpun tahu tentang kewujudan dan reputasi perniagaan anda.

 

Tetapi bagi yang masih baru, mereka perlu bereksperimen dengan kaedah pemasaran yang berbeza, sebelum mereka temui satu kaedah yang betul-betul dapat memberikan pulangan yang berbaloi untuk perniagaan mereka.

 

Dalam posting tentang cara mempromosikan bisnes homestay ini, kita telahpun bincangkan 15 cara dan kaedah pemasaran yang boleh dilakukan untuk tujuan pemasaran.

 

Saya harapkan semoga dari posting ini anda memperolehi manfaat dan ada beberapa kaedah yang boleh anda gunakan.

 

Jika anda memerlukan bacaan tambahan berkaitan dengan bisnes homestay, saya syorkan anda muat turun panduan dibawah ini.

Anda boleh muat turun menurusi pautan ini.

 

 

 

 

 

Exit mobile version