Blog Sabree Hussin

20 Cara dan idea untuk mempromosikan Bisnes Resort dan Hotel

Macam mana cara nak promosikan bisnes resort dan hotel yang saya sedang jalankan?

 

Ada terlalu banyak cara yang anda boleh lakukan sebenarnya untuk memasarkan perniagaan resort yang anda jalankan.

 

Saya kumpulkan beberapa kaedah pemasaran yang sesuai untuk dijalankan dari pelbagai sumber bacaan yang saya perolehi di internet. Cuba anda lihat senarai idea pemasaran yang saya kongsikan disini dan nilaikan, mana satu yang mungkin sesuai dengan situasi perniagaan anda.

 

Daripada 20 kaedah yang saya kongsikan, mungkin ada beberapa yang tak sesuai, ataupun belum sampai masanya untuk anda praktikkan dalam bisnes yang anda jalankan. Tak apa.

 

Kalau begitu, fokus sahaja pada mana-mana satu yang anda boleh praktikkan hari ini juga. Perniagaan resort adalah antara perniagaan yang banyak persaingan.

 

Lagi-lagi sekarang ini muncul pelbagai laman web yang konsepnya lebih kurang sama seperti Airbnb, yang membolehkan orang perseorangan untuk menawarkan perkhidmatan tempat penginapan kepada para pelancong. Ini sedikit sebanyak memberi impak kepada industri perhotelan dan juga resort.

 

Walaubagaimanapun, daripada anda risau tentang perkara-perkara yang anda tak boleh kawal, apa kata anda fokus kepada tindakan-tindakan yang boleh anda ambil serta merta bagi meningkatkan jumlah pengunjung untuk menginap di resort milik anda.

Disini, saya kongsikan 20 idea untuk anda pertimbangkan bagi mendapatkan lebih ramai tetamu untuk menginap di resort dan hotel milik anda.

 

Bagaimana dan apakah caranya? Jom teruskan pembacaan.

 

(1) Apakah keistimewaan yang terdapat di resort milik anda yang tak terdapat di tempat lain?

Cuba anda perhatikan kawasan sekeliling.

 

Apa yang unik dengan resort milik anda? Bila sebut tentang keunikkan, maksudnya benda tu hanya ada dan cuma boleh didapati di tempat anda sahaja.

 

Ingat ini,

Orang pergi ke sesuatu destinasi atas tujuan tertentu dan bukan semata-mata sebab nak check in semata-mata.

 

Lagi satu,

Orang tak akan susah payah nak pergi ke sesuatu tempat semata-mata nak tengok pemandangan atau melihat keadaan yang sama seperti yang boleh didapati di tempat mereka sendiri

 

Sebab itu penting untuk anda faham dan kenalpasti apa keunikkan resort milik anda. Saya bagi beberapa contoh.

 

(I) Lokasi resort anda terletak dikawasan yang mempunyai pantai dengan pemandangan yang cantik

Tak cukup sekadar kata, yang resort anda ada pemandangan pantai yang cantik atau walking distant dengan pantai.

Anda perlu TUNJUKKAN.

 

Sama ada dalam bentuk imej atau video. Gunakan gambar yang menarik, yang diambil dikawasan tersebut. Antara cadangan gambar yang anda boleh gunakan

  1. Gambar pemandangan di pantai ketika matahari baru terbit
  2. Pemandangan di pantai ketika matahari terbenam
  3. Gambar-gambar yang menunjukkan aktiviti air sedang dilakukan
  4. Gambar famili berkumpul bersama berpiknik dengan gembira
  5. Gambar pasangan kekasih atau suami isteri bersiar-siar di tepi pantai sambil berpegangan tangan
  6. Gambar kanak-kanak bermain pasir atau bermain air
  7. Gambar yang menunjukkan betapa jernihnya air laut dipantai tersebut

 

Bakal pelanggan akan lihat gambar-gambar tersebut satu per satu. Sambil dia melihat gambar yang anda kongsikan, dia akan mula membayangkan dirinya berada di resort anda dan berseronok.

 

Jika tarikannya cukup kuat, dia pasti akan mula buat tempahan atau setidak-tidaknya mula merancang untuk pergi bercuti ditempat anda.

 

Labu-Labi Residence di Tanjung Rhu adalah salah satu resort tepi pantai yang saya pernah kunjungi.

Resort ini ada keunikkannya yang tersendiri sebabnya ia berdekatan dengan pantai, suasana yang tenang, dan memiliki pemandangan yang sangat cantik. Saya sudah mula merancang untuk datang sekali lagi ke tempat ini dimasa akan datang, pada waktu yang sama saya check out.

 

(II) Lokasi resort berdekatan dengan kawasan pergunungan 

Kawasan pergunungan sinonim dengan pemandangan yang memukau dan suasana percutian yang mendinginkan.

Berada dikawasan pergunungan, kita berpeluang untuk menikmati udara yang segar disamping melihat panorama yang memukau. Inilah keunikkan yang pastinya tidak terdapat ditempat lain.

 

Keunikkan seperti inilah yang anda patut persembahkan kepada bakal pelanggan anda.

 

(2) Buatkan bakal pelanggan membayangkan pengalaman percutian di resort anda walaupun sebelum dia sampai

Adakalanya kerja dan rutin harian yang berulang membuatkan seseorang itu jadi stress dan letih.

 

Apabila ada masa terluang, dia akan mula membayangkan yang pada waktu ini, lebih seronok kalau dia dapat berada ditempat lain dan buat aktiviti yang dia sukai, berbanding duduk terperap di pejabat dan sibuk dengan urusan kerja.

 

Pengalaman berada di resort anda adalah ibarat “escape plan” untuk dia lari sebentar dari kesibukkan.

 

Sebarang imej dan juga video yang anda siarkan berkaitan dengan resort anda, boleh membuatkan bakal pelanggan terbayang-bayang berada ditempat anda walaupun pada ketika itu dia masih belum lagi sampai ke tempat tersebut.

 

Mungkin ketika dia sedang berehat-rehat, dia membayangkan betapa seronoknya kalau dapat menikmati pemandangan yang indah bersama dengan yang tersayang di resort milik anda.

Pada masa yang sama, untuk memastikan perkara ini dapat berlaku, anda kenalah main peranan dengan berkongsi banyak gambar-gambar menarik ditempat anda.

 

Kalau anda hanya fokus untuk kongsi gambar bilik, gambar tilam, gambar kawasan resort, agak sukar untuk orang membayangkan berada ditempat anda sambil melakukan aktiviti menarik bersama insan tersayang.

 

Apabila anda banyak kongsi gambar, saya percaya mereka yang pernah ada pengalaman manis menginap di resort milik anda juga akan mula terasa rindu untuk datang sekali lagi ditempat anda.

 

(3) Jalankan kempen pemasaran online dan buatkan supaya iklan anda berada dimana-mana

Untuk pemasaran online, ada beberapa cadangan yang saya boleh berikan. Skop pemasaran online sangatlah luas dewasa ini, jadi saya ingin berikan beberapa cadangan yang anda boleh target.

 

(I) Pastikan iklan anda boleh ditemui di laman web Youtube dan lain-lain laman web perkongsian video

Dalam contoh diatas, saya cuba cari di laman Youtube video-video yang berkaitan dengan Berjaya Resort Langkawi. Video-video yang terdapat di Youtube kebanyakkannya dihasilkan oleh para tetamu yang pernah menginap disitu.

 

Cuba tengok jumlah views bagi video yang saya screenshot diatas tu.

  1. Berjaya Langkawi Resort, Malaysia 56 ribu views
  2. Langkawi Berjaya Hotel & Resort | Aerial Views 9.2 ribu views
  3. Langkawi Part 1 – Berjaya Langkawi Resort 30 ribu views
  4. Berjaya Langkawi Resort in Malaysia 3.6 ribu views 

 

Dengan jumlah tontonan yang sebegitu besar, anda rasa tak akan tak ada yang check in di Berjaya Langkawi Resort selepas menonton video-video tersebut?

 

Untuk pengetahuan anda, promosi menggunakan video bukan semata-mata boleh dilakukan di Youtube sahaja. Diluar sana terdapat banyak lagi laman web perkongsian video yang lebih kurang sama dengan Youtube.

 

Antaranya

  1. Daily Motion [https://www.dailymotion.com/us]
  2. Vimeo [https://vimeo.com/]
  3. Metacafe [http://www.metacafe.com/]
  4. IGTV
  5. Tiktok

 

Kalau tak dapat nak target semua platform perkongsian video, anda pastikanlah sekurang-kurangnya anda ada buat video tentang resort anda dan upload di Youtube.

 

Anda tak tahu nak buat video yang macam mana? Tonton video-video yang berkaitan dan relevan dengan perniagaan yang anda jalankan dan dapatkan inspirasi dari video tersebut.

 

Bukannya tiru bulat-bulat, tapi dapatkan idea dan inspirasi dari video yang sudah sedia ada.

 

(II) Iklan perniagaan resort anda dapat ditemui apabila pengguna internet Google kata kunci berkaitan

Dalam situasi ini, anda kena faham tabiat manusia yang menggunakan laman carian google.

 

Lazimnya mereka tidak akan Google nama resort anda, sebaliknya mereka akan google kata kunci yang berkaitan dengan tempat percutian yang mereka bakal kunjungi.

 

Misalnya, mereka nak tahu apa yang bakal mereka lalui jika bercuti di Pulau Langkawi. Maka keyword yang mereka akan tulis adalah seperti “percutian Pulau Langkawi“.

Screenshot diatas adalah antara laman web dan blog yang pernah menulis konten berkaitan dengan percutian ke Pulau Langkawi. Laman web yang saya tandakan dengan kotak berwarna merah adalah laman web milik saya sendiri.

 

Memandangkan Google adalah laman enjin carian yang popular, maka anda perlu pastikan pengguna internet dapat melihat iklan tentang resort anda apabila mereka membuat carian di Google. 

 

Ini bukan kaedah iklan berbayar Google Adwords, tetapi ini adalah teknik Search Engine Optimization, yang mana dengan menggunakan teknik ini, pemilik website boleh memastikan laman web milik mereka berjaya masuk ke halaman pertama Google bagi kata kunci tertentu.

 

Bila laman web berjaya masuk ke page pertama google, pada masa itu pemilik laman web akan dapat pelawat tanpa perlu bayar apa-apa kos pengiklanan.

 

(4) Wujudkan laman blog khas untuk perniagaan resort anda

Topik ini adalah mengenai content marketing ataupun pemasaran konten.

 

Ianya adalah satu kaedah pemasaran untuk jangka masa panjang, yang mana anda memberikan informasi berguna kepada para pembaca. Iklan anda akan dibaca oleh para pengguna internet, apabila mereka mencari maklumat tertentu.

 

Contohnya anda menulis artikel seperti

  1. Itinerary percutian 5 hari 4 malam di Pulau Langkawi
  2. 10 Aktiviti wajib buat jika bercuti di Pulau Langkawi
  3. 10 Restoran pilihan pengunjung apabila bercuti ke Pulau Langkawi
  4. 5 Sebab kenapa anda patut buat aktiviti Snorkeling bila bercuti di Langkawi

 

Teknik content marketing adalah kaedah pemasaran yang bersifat long term. Anda mungkin hanya akan nampak hasilnya setelah 6 atau setahun buat kaedah pemasaran seperti ini.

 

Jika anda tak mempunyai masa, atau menulis bukannya perkara yang anda suka untuk lakukan, anda sebenarnya boleh outsource sahaja kerja-kerja penulisan kepada mereka yang memang menulis blog.

 

(5) Jalankan promosi secara berkala jika sesuai

Kali ini saya nak cerita tentang promosi. Menjalankan aktiviti promosi secara berkala adalah salah satu daripada usaha pemasaran yang anda boleh lakukan.

 

Walaubagaimanapun, teknik ini tidak seharusnya dijadikan teknik utama dan jangan sampai perniagaan anda terlalu bergantung kepada promosi.

 

Antara bentuk-bentuk promosi yang anda boleh jalankan adalah seperti berikut

  1. Promosi sarapan pagi percuma
  2. Promosi diskaun sempena sambutan hari istimewa
  3. Kumpul point setiap kali menginap
  4. Penginapan percuma untuk satu malam jika menginap lebih dari tiga malam

 

Macam tadi saya ada sebutkan tentang jangan terlalu bergantung kepada aktiviti memberi promosi diskaun seperti ini. Tujuannya untuk elakkan persepsi dalam kalangan pelanggan yang mana mereka hanya akan check in tempat anda kalau anda buat promosi diskaun.

 

Kalau tak buat promosi diskaun, tak nak datang pula.

 

(6) Apa aktiviti menarik boleh dijalankan di resort anda dan TARGET golongan sasaran

Apa yang saya faham, dalam bisnes jenis resort anda sebenarnya menjual pengalaman manis kepada pelanggan anda, dan bukannya semata-mata menjual tempat untuk menginap.

 

Bila bercakap tentang pengalaman manis, ia berkait rapat dengan apa aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pengunjung diresort milik anda?

 

Just to name a few,

  1. Boleh buat pertandingan golf
  2. Seminar atau workshop
  3. Boleh buat aktiviti hiking
  4. Snorkeling
  5. Aktiviti sukan air atau sebarang aktiviti lasak dan ekstrem
  6. Aktiviti treking
  7. Bird watching

Jadi apabila anda sudah jelas, apakah aktiviti istimewa yang boleh dijalankan di resort milik anda, seterusnya adalah anda target pelanggan yang mungkin berminat dengan aktiviti-aktiviti tersebut.

 

Bakal pelanggan anda ada di Google. Jadi pastikan anda mempunyai banyak artikel yang mempromosikan tempat percutian anda.

 

Bakal pelanggan anda ada di media sosial. Pastikan iklan anda boleh dilihat oleh pengguna media sosial.

 

Kali ini fokus pemasaran anda adalah untuk menunjukkan apa aktiviti yang sesuai dan pernah dijalankan di resort milik anda.

 

(7) Jalankan juga kempen pemasaran di Social Media

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, jangan lupakan segmen pelanggan yang aktif di media sosial.

 

Wujudkan laman fanpage di Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Kalau tak mampu nak handle terlalu banyak akaun media sosial, bolehlah fokus kepada pemasaran di Facebook dan Instagram sahaja.

Wujudkan Fanpage untuk perniagaan anda dan pastikan pengguna media sosial mudah untuk menemui perniagaan yang anda jalankan dan mereka tak ada masalah untuk berinteraksi dengan anda di media sosial.

 

Sesetengah pelanggan lebih mudah untuk berkomunikasi melalui media sosial. Ada yang sekadar nak tanya maklumat dan ada juga yang akan terus buat tempahan.

 

Bila ada sebarang pertanyaan melalui media sosial, cepat-cepatlah berikan respons untuk elakkan prospek anda ini hilang mood nak pergi bercuti.

 

(8) Berikan jawapan balas kepada respon dan review negatif

Apa tindakan anda apabila menerima review negatif dari tetamu yang menginap di resort milik anda?

 

Bagaimana kalau review tersebut ditulis dan disiarkan secara terbuka di laman web review seperti Tripadvisor ataupun di blog-blog tertentu? Adakah anda akan ambil tindakan saman?

 

Sudah tentu pertama sekali anda perlu baca dan fahami situasi sebenar. Kenapa pelanggan tersebut memberikan review yang negatif? Adakah review tersebut betul-betul genuine ataupun pelanggan tersebut memang mempunyai perangai buruk, sengaja mengada-adakan cerita dan bersikap tak munasabah?

 

Atau review tersebut memang disebabkan oleh kekurangan yang terdapat di resort milik anda.

 

Sebagai pelanggan resort, saya boleh terima sebarang kekurangan mahupun kelemahan yang terdapat di resort tempat saya menginap, asalkan pihak pengurusan bersikap jujur, berikan penjelasan sewajarnya dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan.

 

Terdapat beberapa situasi, yang saya boleh berikan contoh. Pada satu hari saya menginap di H Benjamin Residence Mount Kinabalu.

Boleh baca disini: Pengalaman menginap di H Benjamin Residence, Kundasang

 

Antara review negatif yang ditinggalkan oleh tetamu sebelum ini ialah, tempat ini ada banyak serangga!

Pada pandangan saya, tetamu yang memberikan komen sedemikian, kurang rasional sebabnya tempat macam ini, di kawasan tanah tinggi, pergunungan dan dekat dengan hutan memanglah ada banyak serangga.

 

Kita sebagai tetamu, yang masuk ke habitat semulajadi serangga-serangga ini, bukan sebaliknya. Tapi kita boleh lihat usaha pihak pengurusan untuk elakkan serangga masuk dalam bilik.

 

Jangan biarkan review negatif tidak ada jawapan balas!

 

Katakanlah ada tetamu yang kata aircond tak sejuk, peralatan elektrik tak berfungsi dan sebagainya. Anda berikan jawapan balas yang mengatakan ianya adalah perkara terpencil dan pihak pengurusan telah menggantikan barang-barang yang rosak dengan barang yang baru.

 

Memberi respons terhadap review negatif bukanlah untuk memberikan kepuasan kepada individu yang memberikan review tersebut. Sebaliknya, ianya adalah untuk memberi tahu tetamu seterusnya bahawa sebarang isu telah diselesaikan dan ianya tak akan berulang lagi.

 

Cuba bayangkan situasi dimana anda tak memberi respons terhadap review negatif. Apa yang akan berlaku? Tetamu yang baru pertama kali melihat iklan resort anda pasti akan rasa takut untuk check in di resort anda kerana menyangka perkara negatif tersebut masih ada dan dia mungkin akan lalui pengalaman yang sama.

 

(9) Jalinkan kerjasama dengan laman web Online Travel Agents (OTAs) untuk dapatkan lebih banyak pelanggan

Laman web Online Travel Agent adalah seperti

  1. Booking.com
  2. Hotelscombined
  3. Traveloka
  4. Airbnb.com
  5. Agoda.com
  6. Expedia.com
  7. Tripadvisor.com

 

Setiap laman web mempunyai terma dan syarat yang berbeza. Justeru, kalau anda nak gunakan khidmat laman web OTAs, sila pastikan anda sudah betul-betul faham dengan terma dan syarat yang mereka tetapkan.

 

Umumnya, tiada sebarang caj dikenakan untuk gunakan perkhidmatan mereka. Walaubagaimanapun, apabila anda berjaya memperolehi pelanggan hasil daripada iklan yang disiarkan dilaman web mereka, pihak OTAs akan mengenakan sejumlah bayaran sebagai komisen.

 

Ada OTAs yang menggunakan konsep komisen dan ada juga yang menggunakan sistem service charge. Apa yang saya tahu, kalau Airbnb dia gunakan konsep service charge.

  1. Host akan dikenakan service charge apabila berjaya dapat pelanggan
  2. Guest akan dikenakan service charge ketika buat tempahan

 

Walaupun service charge agak tinggi, namun jumlah ini dapat diimbangi semula apabila guest membuat tempahan menggunakan Travel Credit.

Tahun 2019 ini, Airbnb telah naikkan nilai Travel Credit menjadi RM165.

 

Pihak OTAs akan membantu anda untuk jalankan kerja-kerja pemasaran. Salah satu kaedah yang mereka biasa gunakan adalah iklan berbayar menggunakan Google Adwords. Lihat screenshot dibawah.

Adakah kaedah pemasaran menggunakan khidmat OTAs adalah kaedah terbaik?

Tak juga.

 

Ada kebaikkan (pros) dan ada juga kelemahannya (cons).

 

Dari segi kebaikkan

  1. Anda boleh outsource usaha pemasaran
  2. Anda tak perlu keluarkan bajet sendiri untuk iklan berbayar
  3. Anda hanya perlu bayar komisen kepada OTAs apabila berlaku tempahan

 

Bagaimana pula dengan kelemahan?

  1. OTAs tidak membantu dalam mempromosikan jenama anda sebab mereka lebih utamakan jenama mereka sendiri, misalnya jenama Agoda, Booking.com dan sebagainya.
  2. OTAs tidak mempromosikan hotel atau resort anda secara spesifik, sebaliknya mereka lebih banyak mempromosikan destinasi percutian secara umum
  3. Harga ditetapkan oleh OTAs
  4. Komisen yang mereka minta boleh berubah-ubah jika prestasi dilihat baik
  5. Jumlah komisen keseluruhan yang mereka minta anda bayar mungkin lebih tinggi berbanding anda mengupah seorang pegawai pemasaran yang cekap dan berkemahiran tinggi

 

Promosi melalui OTAs mungkin tidak sesuai untuk semua pemilik resort. Tapi apapun semuanya terpulang kepada anda.

 

Ada pemilik resort yang menggabungkan teknik pemasaran menggunakan OTAs dengan usaha sendiri. Contohnya, kalau resort milik dia ada 20 buah bilik. Hanya 10 bilik sahaja yang dipromosikan melalui OTAs dan selebihnya pemilik resort akan cari pelanggan sendiri.

 

(10) Wujudkan laman web sendiri dan masukkan sistem tempahan

Anda tak setuju dengan sistem kerja syarikat Online Travel Agents (OTAs)?

 

Apa kata anda bina sendiri laman web rasmi untuk hotel dan resort anda. Kalau tak pandai buat sendiri, dapatkanlah bantuan daripada syarikat yang profesional.

 

Katakanlah anda merancang untuk bina sendiri laman web untuk resort anda, saya syorkan laman web anda itu nanti mempunyai ciri-ciri berikut

(I) Mempunyai sistem keselamatan yang tinggi

Sekurang-kurangnya menggunakan https dan bukannya sekadar http

 

(II) Mesra enjin carian Google

Laman web anda mesra dari segi SEO dan boleh diindex oleh Google

 

(III) Laju

Sebaik-baiknya, untuk akses laman web anda mengambil masa kurang daripada 2 saat. Lagi laju lagi bagus. Kalau developer website yang tak berapa pandai buat website, hasilnya mungkin website anda berat dan ambil masa yang lama untuk habis loading.

 

(IV) Mobile friendly

Paparan laman web anda nampak menarik jika diakses menggunakan smartphone. Sekarang ini kebanyakkan pengguna internet melayari sesebuah laman web hanya menggunakan smartphone sahaja.

 

(V) Informatif

Anda boleh sentiasa masukkan konten-konten baru dengan mudah tanpa merosakkan susun atur laman web anda. Dari masa ke masa, anda mungkin nak masukkan video yang baru anda rakam, nak upload gambar dan sebagainya. Pastikan proses untuk buat semua ini mudah dan tak memerlukan anda sentiasa bergantung harap pada programmer anda.

 

(VI) Ada sistem tempahan

Pelawat boleh terus buat tempahan di website anda.

 

(VII) Sistem kalender yang boleh sync dengan kalender tempahan bilik

Ini penting kalau anda menggunakan banyak kaedah promosi. Untuk elakkan double booking atau overbooking, kena ada sistem yang boleh sync dengan semua jadual tempahan pelanggan.

 

(VIII) Ada sistem untuk proses pembayaran

Bila dah boleh buat tempahan, mudahkan pengguna untuk buat bayaran. Sistem seperti BillPlz, SenangPay boleh memproses bayaran menerusi kad kredit, kad debit dan sebagainya. Saya rasa ada banyak lagi sistem diluar sana, jadi anda buatlah perbandingan dan pilih yang terbaik untuk bisnes resort anda.

 

(IX) Ada sistem untuk wujudkan voucher 

Dari masa ke masa, anda mungkin nak berikan voucher diskaun mengikut percent yang berbeza-beza kepada tetamu atau bakal tetamu anda.

 

Pastikan laman web anda mampu untuk cipta voucher 10%, 20%, 50%, 80%, 100% atau sebarang nilai. Satu lagi yang tak kurang pentingnya, adalah untuk menetapkan tempoh validity setiap voucher. Voucher diskaun 50% dan sah sehingga 31 September 2019 sahaja.

 

Ringkasnya tentang voucher, ini cadangan saya

  1. Boleh create voucher sama ada dalam percentage (%) atau nilai duit (diskaun RM20)
  2. Ada tempoh validity
  3. Voucher hanya boleh redeem sekali sahaja untuk elak penyebaran tak sah

 

(X) Tetamu boleh tinggalkan review pada laman web anda

Kadang-kadang tetamu ini agak malas untuk beri review. Tapi untuk menggalakkan mereka berikan review, bolehlah tawarkan voucher untuk setiap review yang mereka berikan.

 

Tak suka dengan review negatif? Pastikan review hanya akan disiarkan secara public apabila anda klik approve.

 

Review yang positif dapat menyakinkan pelanggan lain untuk memilih resort anda sebagai tempat percutian.

 

(XI) Laman web anda support fungsi ejen affiliate

Dengan adanya fungsi ini, orang macam saya boleh daftar sebagai affiliate dan boleh bantu anda buat pemasaran. Anda hanya perlu bayar saya jika saya berjaya buat sales, jika tidak ada sales, anda tak perlu bayar apa-apa.

 

Konsep affiliate ini hampir sama seperti anda gunakan khidmat OTAs, cuma disini anda mempunyai kawalan penuh terhadap berapa banyak komisen yang ditetapkan dan sistem harga. Disamping itu anda boleh galakkan tetamu anda untuk jadi affiliate dan jika dia rekemen resort anda kepada orang lain, dia akan terima sedikit komisen dengan syarat tempahan dilakukan secara online.

 

(XII) Boleh integrasi dengan sistem autoresponder atau mana-mana sistem database

Pelawat boleh daftar sebagai ahli dilaman web anda, seperti yang Airbnb lakukan. Pelawat yang daftar sebagai ahli akan dapat voucher atau travel credit.

 

Seterusnya anda akan mempunyai maklumat seperti nombor telefon dan alamat emel individu tadi. Jadi, dari masa ke masa, anda boleh hantar emel promosi kepada mereka.

 

Itu antara cadangan ciri-ciri yang patut ada pada laman web rasmi resort milik anda. Cubalah bincangkan dengan mana-mana programmer yang anda percayai, sama ada mereka mampu untuk sediakan sistem sedemikian ataupun tidak.

 

Saya boleh cadangkan anda cuba hubungi pihak Kedai Onlinez ini dulu untuk bincangkan keperluan anda. Jika mereka tak mampu buat, anda cuba cari orang lain pula ya.

 

(11) Sertai komuniti online yang aktif dan mula memberi sumbangan

Kenapa komuniti online?

 

Sebab mudah.

 

Komuniti online ini kita boleh temui dengan mudah di media sosial. Rasanya tak salah kalau saya katakan, kebanyakkan kelab, persatuan, dan pertubuhan mempunyai group FB mereka sendiri.

 

Ada group terbuka, dan ada juga group yang tertutup dari segi keahliannya.

 

Perkara paling asas adalah anda sertai komuniti atau group untuk penduduk sekitar, group untuk pekan tempat anda menginap, group untuk bandar dan sebagainya. Bukan sekadar join lepas tu tak ada sebarang interaksi, sebaliknya cuba untuk adakan hubungan dengan ahli lain.

 

Ini antara yang anda boleh lakukan apabila berada dalam group komuniti media sosial

  1. Like dan berikan komen balas pada post
  2. Bercerita tentang kejadian yang baru berlaku ditempat anda
  3. Cerita tentang sebarang pembaharuan yang anda lakukan di resort anda
  4. Cerita tentang aktiviti yang sedang dijalankan
  5. Berikan tips percutian

 

Group komuniti ini ada pelbagai jenis. Tak semestinya group tentang penduduk semata, sebaliknya anda joinlah juga group yang berkaitan percutian, aktiviti hiking, snorkeling dan sebagainya. Disitu ada kelompok yang anda boleh sasarkan untuk jadi pelanggan anda dimasa akan datang.

 

(12) Jalankan kempen pengiklanan berbayar seperti Google Adwords dan juga Facebook Ads

Pengiklanan ini bagus untuk anda lakukan sekiranya anda memang mempunyai bajet khas bagi tujuan tersebut. Salah seorang kenalan saya, yang menjalankan bisnes homestay turut menggunakan iklan berbayar Adwords dalam usahanya untuk dapatkan pelanggan.

 

Dalam sebulan, dia membelanjakan lebih kurang RM3,000 untuk buat iklan berbayar Google Adwords.

 

Baiklah, jika anda nak buat iklan Google Adwords, dan nak rujuk panduan yang boleh ajar anda cara berkesan buat iklan, bolehlah muat turun panduan ini.

 

Memandangkan topik tentang pengiklanan berbayar menggunakan Google Adwords bukannya kepakaran saya, jadi saya syorkan anda rujuk kepada penulis panduan yang lebih berkredibiliti.

 

(13) Outsource kerja pemasaran kepada individu, kumpulan, atau syarikat yang mempunyai kemahiran dan telah terbukti

Dapatkan bantuan dan kepakaran dari pihak luar.

 

Diluar sana terdapat syarikat, orang persendirian, freelancer dan sebagainya yang pasti mempunyai kepakaran untuk bantu anda buat kerja-kerja pemasaran dengan lebih berkesan dan lebih baik berbanding kalau anda buat sendiri.

 

(14) Cipta Apps untuk para tetamu resort anda

Ideanya begini.

 

Setelah tetamu check in, anda syorkan kepada tetamu untuk install apps yang anda cipta untuk memudahkan perjalanan percutian mereka. 

 

Apa yang apps ini boleh lakukan?

Fungsi apps ini seperti sebuah buku panduan, namun fungsinya berkali ganda lebih baik lagi berbanding buku panduan biasa.

 

Dalam apps tersebut ada fungsi seperti

(I) Peta kawasan

(II) Maklumat lokasi tempat menarik

(III) Maklumat restoran terdekat

(IV) Info tentang kemudahan

(V) Lokasi dan cadangan posing menarik untuk bergambar

(VI) Tetamu boleh communicate dengan pihak management melalui Apps

(VII) Maklumat perhubungan jika ada kecemasan

 

Lagi bagus kalau apps yang anda hasilkan tu boleh digunakan untuk buat pembelian tiket masuk ke tempat menarik dan juga buat tempahan restoran. Setiap kali tetamu yang buat tempahan melalui apps anda, anda akan dapat sedikit komisen. Ini akan jadi satu lagi sumber pendapatan baru untuk perniagaan anda.

 

Ya, proses untuk buat apps seperti ini memang agak complicated dan jika anda outsource kepada programmer, kosnya mungkin agak mahal. Tapi kalau semua ini bukan satu masalah besar untuk anda, apa yang menghalang anda untuk melakukannya?

Baca juga: Video PERCUMA panduan buat apps Android secara langkah demi langkah

 

(15) Jalinkan kerjasama dengan Influencer yang anda yakini untuk membuat promosi resort anda

Setiap influencer mempunyai daya tarikkan dan keunikkannya yang tersendiri.

 

Bekerjasama dengan influencer adalah satu lagi idea yang anda boleh pratikkan untuk memperkenalkan resort anda kepada lebih ramai potential customer.

 

Kalau nak dapatkan khidmat media atau selebriti untuk mempromosikan tempat anda, ianya mungkin menelan kos yang agak besar. Jadi sebagai alternatif, anda bolehlah bekerjasama dengan influencer yang aktif di media sosial atau mana-mana platform pilihan influencer tersebut.

 

Ada beberapa perkara yang mungkin saya boleh syorkan untuk anda perhatikan sebelum jalinkan kerjasama, antaranya

  1. Pastikan influencer tersebut ada follower yang ramai.
  2. Follower tersebut bukan fake atau robot.
  3. Influencer tersebut menghasilkan konten yang berkualiti
  4. Ada banyak komen dalam setiap post
  5. Konten yang dihasilkan adalah original.
  6. Influencer tersebut balas dan berinteraksi dengan follower
  7. Influencer tersebut ada pengalaman

 

(16) Jalankan kempen pemasaran melalui emel untuk kekal berhubung dengan pelanggan anda

Cipta SEBAB untuk pelanggan dan bakal pelanggan anda memberikan alamat emel kepada anda.

 

Paling mudah, anda boleh lihat contoh yang saya berikan sebelum ini iaitu Airbnb yang memberikan Travel Credit kepada mereka yang menjadi ahli. Selepas jadi ahli, pihak Airbnb mempunyai data dan maklumat perhubungan milik pelanggan.

 

Dari masa ke masa, anda boleh hantar emel kepada para pelanggan anda, sama ada untuk ucapkan selamat hari lahir, selamat menyambut hari raya, ataupun untuk memberitahu sebarang promosi tertutup yang anda jalankan.

 

Kaedah pemasaran ini bagus untuk kekal berhubung dengan pelanggan sebelum ini dan untuk memastikan boleh dapatkan tetamu berulang.

 

(17) Berikan voucher penginapan atau potongan harga

Pemberian voucher jika dilakukan terlalu kerap akan beri kesan negatif kepada perniagaan anda. Satu hari nanti akan timbul satu persepsi, yang mana selagi tak ada voucher selagi itu jangan buat tempahan.

 

Boleh berikan voucher, tetapi bersyarat.

 

Contohnya anda letakkan syarat seperti share posting di media sosial dan selepas itu barulah berikan voucher.

 

(18) Jalankan kontes dan pertandingan mudah di social media

Ini salah satu kaedah pemasaran yang anda boleh pertimbangkan.

 

Jalankan kontes mudah, dan hadiahnya adalah penginapan percuma di resort milik anda. Letakkan syarat seperti

  1. Buat #tag untuk kata kunci tertentu
  2. Tag dua orang rakan yang peserta ingin bawa untuk menginap
  3. Post gambar
  4. Share posting asal

 

Kontes seperti ini ada potensi untuk jadikan posting asal menjadi viral di media sosial. Kemudian jangan lupa untuk umumkan siapa pemenangnya.

 

Kalau anda tak ada masa untuk anjurkan kontes ini, anda boleh minta influencer yang anda kenal untuk anjurkan kontes bagi pihak anda. Peranan anda adalah sponsor hadiah kepada kontes tersebut. Siapa tahu, mungkin kontes ini akan dapat sambutan yang lebih baik berbanding kalau anda sendiri yang anjurkan.

 

(19) Jual pengalaman manis bercuti di resort anda dan bukan setakat tempat untuk menginap

Fokus untuk jual pengalaman, bukan setakat jual bilik atau tempat menginap semata. Saya dah cerita sebelum ini jadi saya rasa tak perlulah nak ulang sekali lagi.

 

(20) Buat semakan dan analisa setiap usaha promosi yang anda jalankan

Akhirnya… kita sampai ke langkah yang ke 20! 

 

Baiklah, saya faham bukan semua yang saya kongsikan disini relevan atau sesuai untuk digunakan dalam bisnes resort dan hotel yang anda jalankan. Mungkin dari 20 yang saya ceritakan disini, hanya beberapa sahaja yang sesuai dan terpakai.

 

Kalau tak boleh nak implement semua, saya harap anda tak buang semua.

 

Katakanlah anda telah lakukan semua tips pemasaran yang telah saya kongsikan disini, langkah terakhir ialah pastikan anda track progress setiap kaedah yang telah dilakukan. Track and record everything!

 

Mana satu yang berhasil memberikan impak paling baik?

Mana satu yang tidak berkesan? Ini kita boleh tinggalkan.

Mana satu yang patut diulang sebab berikan pendapatan yang baik.

 

Saya harap, dengan membaca perkongsian saya ini, anda dapat idea macam mana cara nak promosikan bisnes resort yang anda jalankan.

 

Kalau tak keberatan, sila tinggalkan komen supaya saya tahu, anda telah baca artikel yang saya tulis ini.

 

 

Exit mobile version