Blog Sabree Hussin

7 Cara mudah untuk dapatkan idea memulakan perniagaan sendiri

Untuk menjadi usahawan, tak kira sama ada usahawan yang bergerak secara online mahupun usahawan yang berniaga secara offline, kita perlu mempunyai idea-idea bisnes yang unik bagi memastikan perniagaan kita sentiasa berdaya saing.

 

Ada ramai sebenarnya individu kat luar sana yang berminat untuk menjadi usahawan, namun sampai sekarang ni, masih lagi tak ada idea dan masih tak tau nak buat bisnes apa. Masalah mereka ialah, mereka merasakan yang diri mereka tak kreatif dan sukar untuk menghasilkan idea-idea bisnes yang baru.

 

Macam mana cara nak cari idea bisnes? Ada orang, kita tengok dia penuh dengan idea. Seolah-olah idea tu senang je datang kat dia, dan ada setengah orang pulak, cukup susah nak keluarkan idea. Mungkin, orang yang banyak idea ni sebenarnya dia ada teknik tertentu untuk cari idea. Jadi dalam artikel kali ini saya kongsikan kepada anda bagaimana cara nak dapatkan idea perniagaan yang praktikal.  

 

(1) Cari idea bisnes di mana-mana sahaja anda berada dan di setiap ketika

Idea bisnes yang bagus, ia tidak akan datang dengan sendirinya. Anda perlu cari idea bisnes tersebut. Carilah ia dalam kehidupan anda. Cari idea bisnes dalam rutin harian kehidupan anda mahupun keluarga anda. Apa agaknya masalah-masalah yang biasa anda hadapi, dan yang mungkin turut dihadapi oleh orang lain, yang anda mampu selesaikannya.

 

Banyak idea bisnes muncul daripada masalah-masalah biasa yang sering dilalui dalam rutin harian kita. Sebagai contoh, orang yang bela kucing. Kucing memang comel, namun seperti lain-lain benda hidup, kucing juga perlu buang air besar dan buang air kecil. Kesannya? Ia akan meninggalkan bau busuk di sekitar rumah.

 

Memang kita tak boleh nak halang kucing tu daripada buang air besar dan buang air kecil. Tetapi, kita boleh kawal bau busuk tersebut.

 

Caranya adalah dengan menyediakan sistem tandas yang tertutup dan dapat mengawal bau dalam persekitaran tertutup sahaja.

 

Contohnya macam yang kat sebelah ini. Saya juga menggunakan tandas jenis ini untuk kucing yang saya bela.

 

Idea adalah salah satu idea yang pastinya timbul daripada pemerhatian terhadap masalah-masalah yang berlaku dalam rutin kehidupan seharian. Mereka yang bela kucing, mesti setuju bahawa sistem tandas ini adalah lebih baik daripada biarkan kucing-kucing buang air besar merata. [Sistem tandas terbaik untuk kucing]

 

(2) Dapatkan idea bisnes daripada pemerhatian bisnes sedia ada

Perhatikan bisnes-bisnes yang sudah sedia ada di sekeliling anda. Adakah mereka mempunyai pelanggan? Secara rambang, apa yang anda boleh katakan tentang pelanggan-pelanggan yang mengunjungi premis perniagaan mereka?

 

Adakah biasa-biasa? Ramai? Agak ramai, atau sangat ramai? Jika pelanggan sangat ramai, sehingga ada yang tak terlayan, mungkin ini adalah peluang anda untuk wujudkan bisnes yang sama bagi memenuhi keperluan pelanggan yang terpaksa menunggu lama untuk mendapat layanan.

 

Ambil contoh bisnes kedai runcit. Sebelum kita nak mula berniaga, kita mesti nak tau sama ada bisnes ni boleh untung ataupun tidak. Jadi, kita buatlah kira-kira yang mudah terlebih dahulu. Lihat berapa harga runcit sesuatu produk dan bandingkan dengan harga borong untuk produk yang sama. Perbezaan harga itu adalah untung kasar yang anda bakal perolehi. Adakah jumlahnya berjaya buatkan anda tersenyum? Jika ya, mungkin anda patut buka kedai runcit anda sendiri.

 

(3) Temui pelbagai idea-idea baru dengan banyak membaca

Lagi banyak bahan bacaan yang anda baca, lagi banyak benda baru yang anda akan perolehi. Sebagai usahawan, atau sebagai bakal usahawan, anda perlu jadi seorang yang suka membaca. Setidak-tidaknya anda kena baca banyak perkara tentang hal-hal yang berkaitan dengan bisnes anda.

Kalau anda tak ada masa nak cari bahan bacaan, boleh cari secara online sahaja di laman web bookcafe atau di laman web borders.

 

(4) Baca kertas kerja perniagaan milik perniagaan sebenar

Mungkin bacaan biasa kurang sesuai untuk anda. Jadi apa kata anda baca contoh-contoh kertas kerja perniagaan yang ditulis berdasarkan perniagaan sebenar. Dari situ anda boleh nilaikan sendiri, mana satu bentuk-bentuk perniagaan yang sesuai dengan anda. [Senarai kertas kerja perniagaan]

 

(5) Bersosial di media sosial

Pada hari ini, boleh dikatakan hampir semua orang ada akaun di laman media sosial. Tak kiralah sama ada di Facebook ataupun di Instagram. Boleh jadi, ikon-ikon perniagaan yang anda kenali turut berada di media sosial. Dekati mereka dan lihat serta kaji cara mereka.

 

Dari situ juga anda boleh dapatkan idea-idea baru untuk digunakan dalam bisnes anda. [Instagram sebagai medium pemasaran media sosial terbaik bagi tahun 2016?]

 

(6) Seminar dan kursus berkaitan peluang perniagaan

Kalau anda rajin mencari, sebenarnya kat sekitar kita ada banyak juga seminar-seminar ataupun kursus berkaitan perniagaan dijalankan. Ada yang PERCUMA dan ada juga yang berbayar namun dengan bayaran yuran yang agak rendah.
Kat sini juga anda boleh dapat banyak idea bisnes.

 

(7) Sentiasa tanamkan perasaan ingin tahu

Macam kanak-kanak yang baru mengenal erti hidup. Mereka ni banyak tanya. Suka tanyakan soalan-soalan yang mencabar.

Kenapa ayam KFC sedap hingga menjilat jari?

Kenapa orang perempuan beli tudung harga sampai ratus-ratus ringgit hanya untuk dipakai sekali sahaja?

Kenapa ikan air tawar baunya lebih hanyir berbanding ikan air laut?

 

… dan sebagainya. Saya percaya jika anda kekalkan momentum seperti ini, iaitu sentiasa mempunyai semangat ingin tahu, In Shaa Allah, anda akan lebih mudah mencari dan mendapatkan idea bisnes yang praktikal untuk diri anda.

 

Selamat mencuba!

 

 

Exit mobile version