Blog Sabree Hussin

Bagaimana memulakan perniagaan kedai runcit sendiri?

Apa yang seronok sangat dengan berniaga kedai runcit ni? Adakah anda berminat untuk memulakan dan menguruskan perniagaan kedai runcit anda sendiri? Jika ini adalah perniagaan pertama anda, apa kata anda luangkan sikit masa untuk baca perkongsian saya ni mengenai bisnes kedai runcit. Manalah tau, ada satu atau dua poin yang saya bakal highlight dalam post ini akan beri anda serba sedikit guideline.

 

Masa awal-awal saya bukak kedai runcit dulu, selalu jugak saya google untuk baca kisah-kisah kejayaan atau kegagalan yang terpaksa dilalui oleh usahawan runcit ni. Sayang sekali, artikel tentang kedai runcit ni memang agak terhad. Mungkin sebab pemilik kedai runcit ni terlalu sibuk menguruskan perniagaan masing-masing sampaikan tak ada masa nak berkongsi cerita tentang perniagaan mereka.

Sejak sekian lama, bisnes kedai runcit ni lebih banyak dipelopori oleh bangsa cina. Bermula dengan bisnes kedai runcit secara kecil-kecilan, mereka dengan gigih bangunkan sehingga menjadi bisnes kedai borong, pasaraya dan sebagainya. Ia bukanlah terjadi dalam tempoh masa yang sekejap.

 

Ada antaranya yang saya kenal, iaitu salah seorang supplier saya, perniagaan kedai runcit mereka berkembang merentasi generasi. Perniagaan yang sedang dia jalankan sekarang ni adalah warisan turun temurun zaman nenek moyang dia.

 

Mungkin pada fikiran nenek moyang mereka pada ketika itu ialah, mereka ingin bina sebuah perniagaan yang boleh dijadikan satu legasi untuk diturunkan kepada generasi akan datang. Setidak-tidaknya, satu hari nanti anak cucu mereka tak perlu bergantung harap pada orang lain untuk mendapatkan kerja. Teruskan sahaja perniagaan keluarga turun temurun yang telah sedia ada.

 

Mereka pun mula dengan skala yang kecik. Modal yang terhad. Pelanggan tak ramai. Tetapi, apa yang buatkan mereka ni bagus ialah, mereka bertahan, bersabar dan teruskan survive.

 

Saya mulakan bisnes kedai runcit saya pada awal tahun 2012. Jadi sekarang ni, pada waktu catatan ni saya buat, usia perniagaan ini telahpun melepasi usia tiga tahun. So, apa yang saya belajar dan apa yang saya dapat kongsikan kepada pembaca dan pelawat blog ni yang minat nak buka kedai runcit tapi memang betul-betul zero knowledge tentang perniagaan ni? Jadi dalam post ni, saya akan kongsikan perkara-perkara yang anda perlu tahu sebelum memulakan perniagaan kedai runcit.

 

(1) Kenapa bisnes kedai runcit?

Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan perniagaan kedai runcit ni adalah abang ipar saya. Beberapa tahun selepas berkahwin dengan kakak saya, dia berhenti kerja dan mulakan bisnes kedai runcit ditapak rumahnya. Mudah je. Cuma ubahsuai rumah serba sedikit, sediakan rak untuk letak barang dan masukkan barang jualan. Jadilah kedai runcit.

 

Bila ada masa, saya akan buat part time kat kedai tu. Kalau diikutkan, berapalah sangat upah yang dia boleh bayar, tetapi pada saya, apa yang lagi penting pada waktu itu bukanlah berapa upahnya, sebaliknya apa pengalamannya yang boleh saya belajar. Oh waktu ni saya masih lagi bersekolah menengah.

 

Ada banyak sangat model bisnes kat luar sana yang anda boleh pilih untuk buat duit. Pernah tak anda pertimbangkan untuk buat bisnes lain? Dan jika anda tetap memilih untuk buat bisnes kedai runcit, pernah tak anda terfikir, kenapa mesti bisnes kedai runcit?

 

Saya pasti, setiap orang pasti ada sebab tersendiri kenapa memilih kedai runcit sebagai bisnes pilihan. Sama macam saya sendiri. Saya percaya, untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang keusahawanan, saya perlu bermula dengan langkah pertama yang lebih kecil sebelum terus melangkah ke bidang perniagaan yang lebih besar.

 

Kedai runcit ini, saya anggapkan ia sebagai tapak ataupun foundation sebelum saya mengorak langkah lebih jauh lagi… and the best part is, kat sinilah bermulanya sekolah bisnes untuk saya. Pengalaman secara hands on dan bukannya teori dari buku teks semata-mata.

 

Bukanlah niat saya untuk katakan yang bisnes kedai runcit ni tak bagus, atau ada bisnes lain yang lagi baik berbanding bisnes kedai runcit. Pada pandangan saya, bisnes ini juga menawarkan peluang untuk kita pelajari banyak perkara mengenai selok-belok dunia perniagaan.

 

Saya nak kongsikan kepada anda beberapa konsep bisnes yang saya pelajari lepas saya dah bukak kedai runcit.

 

(2) Konsep bisnes trading

Saya dapati, selepas satu ketika saya berniaga, bila barang-barang dalam kedai dah makin bertambah, dan pelanggan pun makin ramai, masa tu la saya mula jumpa, ada banyak usahawan trading yang masuk ke kedai saya. Mereka menawarkan peluang untuk menjalinkan usahasama bagi mendapatkan lebih banyak hasil daripada perniagaan dan pelanggan sedia ada.

 

Ada macam-macam usahawan trading yang pernah saya jumpa. Ada yang bawak produk makanan, minuman, ais krim, madu, sos cili, mainan, pisau cukur, sticker, produk frozen dan banyak lagi. Mereka ni semua menerjah masuk ke kedai tanpa diundang. Usahawan trading sedikit berbeza dengan usahawan runcit, yang mana kebanyakkan usahawan trading ni, mereka tak mempunyai premis perniagaan mereka sendiri.

 

Kerja mereka hanyalah memberi supply produk kepada kedai-kedai runcit yang mereka rasakan sesuai untuk menjual produk mereka. Kos mereka ialah kos pengangkutan. Usahawan trading yang paling jauh yang pernah berurusan dengan saya datang dari Penang. Bayangkan, saya berada di Meru, Klang dan supplier ni pula berada di Penang. Berapa jauh tu kalau nak datang? Biasanya dia akan datang ke kedai setiap 90 hari dan akan berurusan secara bill to bill.

 

Ha… apa benda bill to bill ni? Masih minat nak bukak kedai runcit? Teruskan pembacaan ya.

 

(3) Bagaimana nak berurusan dengan usahawan trading?

Ya. Adakalanya mereka ni memang menyusahkan. Mereka masuk ke kedai anda dan berlagak sebagai seorang pelanggan.

Mereka ini akan pusing satu kedai sambil melihat-lihat susun atur kedai anda. Kemudian bila ada peluang, dia akan cuba beramah-mesra dengan anda.

 

Boleh jadi pada waktu ini, dia nak lihat sama ada

i. Kedai anda ada ramai pelanggan atau tidak

ii. Adakah kedai anda banyak barang

iii. Adakah kedai anda menjual barang yang dia nak bekalkan atau tidak

iv. Adakah anda selaku pemilik perniagaan merupakan seorang yang terbuka untuk membuat kerjasama

 

Tiba-tiba selang dua atau tiga hari, mereka akan datang semula, dan kali ni mereka datang dengan membawa katalog dan juga sample produk yang mereka jual. Sesetengah mereka, ada yang kurang sabar dan tak peka dengan suasana sekeliling. Kita tengah sibuk layan pelanggan, dia pun sibuk nak dapatkan perhatian kita. Jadi kat sini, saya kira sedikit sebanyak anda perlu tahu bagaimana nak berurusan dengan usahawan trading ni.

 

Macam yang saya sebutkan sebelum ni, usahawan trading ni lazimnya mereka tak ada premis perniagaan sendiri. Dari segi stok barangan, kebanyakkannya mereka hanya simpan dirumah, ataupun hanya akan dapatkan dikilang bila mereka nak supply barang. Senang kan kerja mereka ni?

 

Katakanlah mereka dapat deal dengan 10 kedai, jadi dalam satu-satu masa, dia hanya fokus untuk supply barang je ke 10 kedai ni. Tak perlu susah payah nak upah pekerja, jaga kedai dan sebagainya. Cukup masa, mereka hanya collect payment untuk barangan yang mereka supply semata-mata.

 

Usahawan trading bukan pelanggan anda. Walaupun mereka pernah beli barang dalam kedai anda, STOP layan mereka seperti anda layan pelanggan anda. Mereka ni adalah orang bisnes, yang mengharapkan untuk buat untung daripada pelanggan anda. Tak perlu nak terlalu berlembut dengan mereka macam anda layan pelanggan anda, sebaliknya layan je diorang ni macam anda sedang layan seorang promoter, salesmen dan sebagainya. TEGAS tetapi masih maintain budi bahasa.

 

Mereka ni memang macam-macam kerenah. Pada asasnya, mereka nak masukkan barang mereka dalam kedai kita, tetapi dari segi pembayaran mereka nak cepat. Macamlah dia seorang je yang nak cepat buat duit. Dalam hal ini, sebagai pemilik kedai runcit, ada sekurang-kurangnya 4 kaedah pembayaran kepada usahawan trading jika anda setuju bekerjasama dengan mereka.

1. Cash term

Ambik barang, kemudian bayar time tu jugak.

 

2. Credit term 30/45/90 hari

Hanya perlu bayar kepada usahawan trading tu tadi selepas 30/45/90 hari bayaran full sama ada semua barang terjual atau sebaliknya.

 

3. Bill to bill

Kali pertama masuk barang, tak perlu bayar apa-apa, usahawan trading tu tadi hanya akan bukak bill. Bila nak restock barang, baru bayar bill yang pertama dan barang yang baru dapat tadi akan bukak bill sahaja.

 

4. Consignment

Hanya bayar bila ada barang yang terjual. Tak perlu bayar apa-apa selagi barang tak dijual.

 

Antara 4 ni mana satu yang patut anda pilih? Ikut kesesuaian. Kalau malas nak fikir-fikir, offer je consignment. Kalau usahawan trading tu tak mau, just say goodbye. Ko yang carik aku kan, bukan aku yang panggil ko datang ha ha.

 

Usahawan trading ini lazimnya dia tak mempunyai kedai fizikal mereka sendiri. Bermakna, dia perlukan bantuan anda untuk jual barang-barang dia. Sekiranya kedai anda mempunyai ramai pelanggan, sales pun sangat bagus, mungkin pada masa itu anda boleh demand lebih kepada mereka ini.

 

Apapun, kita sama-sama nak cari makan. Kalau boleh bertolak ansur, maka bertolak ansurlah. Kalau rasa produk yang dia nak bekalkan itu tak sesuai, atau anda tak minat nak berurusan dengan usahawan ini, boleh tolak cara baik. Mereka ini orang bisnes, dan kena reject itu adalah sesuatu yang lumrah.

 

(4) Pendaftaran perniagaan

Memandangkan kita nak jalankan aktiviti perniagaan, maka kita perlulah ikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Perniagaan kedai runcit anda ini perlulah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Proses pendaftaran dia sangatlah mudah. Untuk maklumat yang terkini, anda perlu rujuk kepada laman web https://www.ssm.com.my sekiranya anda ada sebarang pertanyaan, mengenai urusan pendaftaran syarikat.

 

(5) Akaun bank untuk perniagaan

Kemudian apabila anda sudah mempunyai nama syarikat, seterusnya bolehlah mula buka akaun bank untuk perniagaan. Pilihlah mana-mana bank yang anda rasa berkenan untuk buka akaun syarikat.

 

Bila ada akaun bank untuk syarikat ini, kita boleh dapatkan beberapa kemudahan berkaitan kewangan, misalnya boleh buat pinjaman dan pihak bank juga boleh bekalkan kita dengan mesin untuk memudahkan kita menerima bayaran dari pelanggan menggunakan kad kredit atau kad debit.

Zaman sekarang ini kan, ada antara kita yang lebih selesa untuk bayar menggunakan kad berbanding guna cash. Bagi mereka yang tak menyimpan banyak duit tunai dalam wallet, mereka tentu suka kalau dapat bayar menggunakan kad.

 

(6) Kelengkapan yang perlu ada untuk bisnes kedai runcit

Saya akan sentuh secara ringkas, antara kelengkapan yang kita perlu ada apabila nak jalankan bisnes kedai runcit.

 

(1) Rak barang jualan

Dari sudut susun atur dan kekemasan kedai anda nanti semuanya dipengaruhi oleh jenis rak yang anda gunakan.

Justeru, pilihlah jenis rak yang sesuai dengan keadaan kedai anda. Kalau nak tengok harga untuk rak kedai, boleh cuba lihat di laman web shopee ini.

 

Tak semestinya mesti kena beli kat situ. Kalau anda boleh dapat harga yang lebih murah kat tempat lain, gunakan sahaja. Saya sendiri gunakan rak second hand. Asalkan ianya masih elok, gunakan saja.

 

(2) Alat penimbang

Alat penimbang ini ada dua jenis di pasaran. Satu jenis yang mekanikal, dan satu lagi yang jenis digital. Saya gunakan kedua-duanya.

Biasanya yang jenis mekanikal ni letak dibahagian bawang, kentang, cili kering dan lain-lain yang perlu ditimbang sendiri oleh pelanggan. Mesin penimbang ini boleh dapatkan disini.

 

Manakala untuk yang jenis digital ini, letak dikaunter.

Jenis digital ini agak sensitif. Kalau yang tak pandai guna, silap-silap boleh rosakkan mesin penimbang ini.

 

Mesin penimbang elektronik ni boleh dapatkan disini.

 

(3) Mesin untuk seal packaging

Biasanya kalau nak untung yang lebih baik, kita akan beli barang secara borong dalam kuantiti yang banyak, kemudian kita akan paketkan semula dalam bungkusan yang lebih kecil.

Untuk tujuan tersebut kita perlukan plastik yang jernih dan juga mesin untuk seal. Mesin seperti dalam gambar kat atas ini boleh dapatkan dari sini.

 

(4) Kalkulator

Untuk memudahkan pengiraan, kena pastikan ada kalkulator. Saya cadangkan anda gunakan kalkulator yang kita boleh semak semula nombor yang telah kita key in pada skrin.

 

(5) Beg plastik pelbagai saiz

Biasalah ini untuk kita bungkus barang-barang yang dibeli oleh pelanggan kita nanti.

 

(6) Peti ais ais krim

Kalau jual ais krim ni biasanya peti ais akan dibekalkan oleh pihak supplier. Apa yang penting ialah kita jangan campur ais krim kita sendiri dalam peti ais milik supplier ini.

 

Peti ais macam dekat bawah ini bagus kalau anda nak jual barang-barang frozen.

Kalau nak jual ais batu pun boleh guna peti ais macam kat atas tu, ataupun boleh guna peti ais macam yang kat bawah ini.

Harganya lebih murah kalau anda nak gunakan ia untuk jual ais batu. Untuk peti ais ini, anda boleh semak harga disini.

 

(7) Chiller

Chiller untuk jual air kotak, air tin dan air dalam botol.

Kalau ada modal yang lebih, saya syorkan beli yang dua pintu. Boleh masukkan pelbagai jenis air, dan jualan air juga sebenarnya sangat laju dan cepat boleh buat untung.

 

Untuk survey harga chiller, boleh lihat disini.

 

(8) Mesin untuk buat label harga

Ini untuk memudahkan pelanggan memilih barangan yang dia nak beli.

Anda pun tak perlu susah payah nak hafal harga barang dalam kedai anda sendiri kalau semuanya anda dah labelkan dengan harga siap-siap. Mesin untuk buat label harga ni boleh dapatkan disini.

 

(9) Meja dan kerusi

Cari meja yang sesuai untuk dijadikan kaunter bayaran. Sebaik-baiknya cari meja yang mempunyai laci dan ada kunci.

 

(10) Komputer riba

Ini optional tapi bagus bila ada. Bila ada komputer kita boleh buat macam-macam kerja sementara menunggu pelanggan datang. Setidak-tidaknya kita boleh buat marketing secara online untuk ajak kawan-kawan yang tinggal berdekatan dengan kedai kita untuk datang berbelanja.

 

Senarai kelengkapan beserta dengan penjual yang saya muatkan dalam artikel ini adalah sebagai cadangan sahaja. Jika anda boleh dapat harga yang lebih baik dan lebih murah, bolehlah gunakan khidmat penjual tersebut.

 

(7) Risiko perniagaan kedai runcit

Pada saya, tahun pertama adalah tahun untuk kita belajar. Tahun kedua, adalah tahun untuk kita betulkan mana-mana kelemahan yang kita buat pada tahun pertama supaya tak berulang lagi. Tahun ketiga adalah fasa untuk kita survive dalam bisnes ni. Ya, bisnes kedai runcit ni jugak perlukan kemahiran survival.

 

Jika anda menjangkakan bisnes ni akan terus balik modal dan terus untung gila-gila dalam masa kurang dari setahun, anda mungkin terpaksa fikirkan semula. Peringkat permulaan, pasti ada perbelanjaan yang anda keluarkan yang akan dikira sebagai belanja hangus.

 

Ianya adalah satu perbelanjaan yang perlu dilakukan, namun ia tidak memberikan sebarang pulangan secara terus. Contohnya perbelanjaan untuk beli rak, renovate kedai, beli peti sejuk, chiller, hiasan dalam dan sebagainya.

 

Seperti lain-lain jenis perniagaan yang ada diluar sana, bisnes kedai runcit ini juga ada risikonya.

 

Antara risiko bisnes ini adalah

i. Barang yang anda jual kena curi

Kecurian boleh berlaku. Mungkin nilai barang yang dicuri itu tidaklah begitu besar, namun ia sedikit sebanyak akan menjejaskan keuntungan anda.

 

Saya syorkan anda pasang kamera CCTV, supaya pelanggan anda tidak sewenang-wenangnya mencuri barang yang anda jual.

 

ii. Barang yang anda jual tak laku dan akhirnya expired atas rak

Ada kedai runcit yang menjual barangan kering sahaja, dan ada juga yang menjual barangan basah sekali. Barang-barang basah ini saya merujuk kepada ikan, ayam dan sayur-sayuran.

 

Kalau nak jual barang basah, anda perlu ada peti sejuk yang khas, jika tidak barang-barang jualan anda akan cepat rosak, dan sayur-sayuran pula akan cepat layu.

 

Andai kata nak elak risiko kerugian, mungkin boleh jual barangan kering sahaja. Apapun ianya terpulang kepada strategi perniagaan anda.

 

iii. Kenaikkan harga barangan dipasaran

Seperti yang kita semua sedia maklum, harga barangan akan sentiasa naik. Memang jarang sekali kita dengar ada barang yang turun harga. Bila harga barang naik, kita pun terpaksa naikkan harga.

 

Sekiranya pelanggan merasakan barang yang kita jual terlalu mahal, mereka mungkin terpaksa cari pasaraya besar yang mampu berikan harga lebih murah, ataupun mereka akan beli secara online sahaja.

 

iv. Kedai anda kena pecah masuk

Ini juga merupakan salah satu risiko yang anda perlu siap sedia. Jika tahap keselamatan kedai anda tak begitu baik, kedai anda mempunyai kebarangkalian untuk dipecah masuk.

 

Seandainya kedai anda dipecah masuk, ada sekurang-kurangnya dua kos kerugian yang anda terpaksa tanggung. Kos untuk baik pulih kerosakkan yang dilakukan oleh penjenayah dan juga kos kehilangan barang-barang yang diniagakan.

 

v. Trend pembelian secara dalam talian

Pelanggan sudah mula jarang mengunjungi kedai dan pasaraya sekiranya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan. Sebaliknya mereka menggunakan khidmat rider seperti Grab dan juga Panda.

Sekiranya sesuai, mungkin anda juga boleh pertimbangkan untuk sertai program Grab Merchant ini. Cuma sebelum nak join apa-apa program tu, sila pastikan anda telah faham segala terma dan syarat terlebih dahulu ya.

 

(8) Modal

Ada ke yang cari info tentang buat bisnes kedai runcit tanpa perlu keluar modal langsung? Pendapat saya la kan, lebih baik anda berhenti mencari, dan buatlah benda lain selain bisnes ni. Nak buat bisnes memanglah perlu keluar modal.

 

Kalau bukan modal dalam bentuk wang ringgit, modal dalam bentuk masa, usaha, tenaga dan sebagainya. Setiap perniagaan memang inilah modalnya. Bisnes kedai runcit ni, modalnya saya kongsi bersama adik beradik. Memang pelan asal saya, untuk jadikan bisnes ni sebagai bisnes keluarga. Manalah tau, boleh jadi macam kenalan saya yang berbangsa cina tu. Mereka pun mula dari bisnes kedai runcit kecil-kecilan, dan sekarang ni bisnes mereka dah jadi lagi besar.

 

Tahun kedua bisnes ni berjalan, saya la CEO untuk kedai tu hehe. Cukup setahun, saya serahkan pengurusan kedai kepada adik beradik saya yang lain. Biar setiap orang merasa, macam mana rasanya nak uruskan perniagaan runcit.

Baca juga: Bagaimana mengumpul modal untuk memulakan perniagaan pertama anda?

 

Bila dah ada modal untuk jalankan perniagaan ini, seterusnya yang penting sekali ialah, bagaimana anda kembangkan modal tersebut. Bisnes yang sihat, sepatutnya akan terus berkembang, bukannya makin lama barang dalam kedai makin sikit dan akhirnya terpaksa tutup kedai.

 

(9) Siapa pelanggan anda?

Bisnes ni, saya ambil alih dari abang ipar saya. Jadi secara teknikalnya, saya sebenarnya mengambil alih perniagaan yang sememangnya dah pun memiliki pelanggan sedia ada. Ok katakanlah anda ingin membuka perniagaan kedai runcit anda sendiri dan ini merupakan kedai yang baru, yang tak ada siapa yang tahu. Langkah awal sepatutnya adalah anda kenal pasti terlebih dahulu siapa pelanggan anda sebelum anda bukak kedai anda.

 

Jika anda tinggal dikawasan komuniti orang cina, dan anda pula adalah orang Melayu, silap haribulan kedai anda akan terpaksa tutup awal sebelum anda berjaya jual barang. Bukan nak cerita tentang perkauman, tetapi realitinya memang begini. Sebab tu saya highlight kat sini, anda perlu kenal siapa pelanggan anda.

 

Orang melayu tak ada masalah untuk berbelanja di kedai cina, tetapi sangat jarang, untuk orang cina datang berbelanja di kedai melayu. Ok kalau setakat untuk transaksi RM10 kebawah, tak ada masalah untuk mereka berbelanja di kedai runcit melayu. TETAPI, kalau nilai transaksi RM50 dan keatas… selalunya mereka lebih suka berbelanja di kedai kaum mereka sendiri atau pergi ke pasaraya besar.

 

Aspek kenali pelanggan adalah perkara penting untuk survival perniagaan anda. Kebiasaannya, kita mengharapkan untuk berlakunya repeat sales dalam perniagaan kita. Pelanggan yang sama akan beli produk yang sama dan perkara ini akan berulang setiap hari, setiap minggu, malahan setiap bulan. Kuncinya ialah REPEAT SALES.

 

Kedai runcit secara kecil-kecilan selalunya kita akan dapat pelanggan yang sama sahaja. Sampai satu masa, kita akan mula kenal orang tu, sebab selalu datang dan berbelanja dikedai kita. Ambil peluang ini untuk bina hubungan yang baik. At least tanya nama, sembang kosong dan sebagainya.

 

Tapi kalau satu hari tu, ada orang yang tak dikenali masuk dalam kedai, kemudian orang tu pula bersikap ramah dengan kita, hmm boleh jadi dia sebenarnya adalah seorang usahawan trading yang cuba nak supply barang ke dalam kedai kita.

 

Perniagaan kita perlukan sokongan yang kuat dari pelanggan, barulah boleh bertahan lama. In Shaa Allah, bila sokongan dari pelanggan cukup kuat, jika satu hari nanti ditakdirkan ada orang lain buka kedai berdekatan dengan kita, tetap kedai kita yang akan jadi pilihan pelanggan.

 

(10) Margin keuntungan bisnes kedai runcit

Setiap produk margin keuntungan dia berbeza-beza. Barang basah lain, manakala barang kering pula lain. Adakah anda ingin menjual barang basah dan kering atau anda ingin fokus untuk jual barang-barang kering sahaja? Saya hanya fokus barang-barang kering. Ada jugak support dengan produk minuman, makanan ringan, permainan kanak-kanak, topup, ais krim dan sebagainya.

 

Bila orang tanya, untung ke bukak kedai runcit ni? Saya jawab, untung dia sen sen je. Kadang-kadang, ada produk-produk tertentu, cuma cover kos sahaja. Tak ambik untung pun. Kiranya macam berniaga ala-ala sahabat nabi, Abdur Rahman Bin Auf, jual dengan harga kos dan ambik untung dengan menjual produk lain. ha ha

 

Kalau produk dalam kategori barang kawalan pulak, memang buat sakit hati je jual. Dah la modalnya tinggi, lepas tu untung dia setakat 10 sen dan ada jugak yang bawah dari tu. Nasib baiklah barangan kawalan ni kebanyakkannya repeat sales dia tinggi.

 

(11) Barang apa nak jual?

Sepatutnya ini adalah perkara paling menyeronokkan bila kita nak mula jalankan bisnes kedai runcit. Pada peringkat awal tu, kita mesti ada bayangkan yang kita nak jual macam-macam barang dalam kedai kita.

 

Sebenarnya kalau rasa macam susah sangat nak senaraikan apa barang untuk dijual, kita tiru sahaja jual barang yang sama, seperti yang dijual di pasaraya atau kedai runcit lain yang kita pernah kunjungi.

 

Produk yang sama tapi macam-macam jenama?  

Susu dalam tin misalnya. Kan ada banyak jenama. Perlu ke nak jual semua jenama?

Awal-awal meniaga dulu memang saya buat macam ni. Setiap jenama saya jual. Selepas 2 minggu, saya perhatikan, jenama apa yang paling cepat habis dan untuk restock seterusnya, saya cuma jual jenama yang cepat habis tu sahaja. Rugi je jual macam-macam jenama tapi pelanggan tak beli. Kita bukan pasaraya.

 

Anda masih tak tau, siapa boleh jadi pembekal untuk perniagaan anda? Jemput baca perkongsian saya yang ini pula:

Klik untuk baca: Senarai pembekal dan contoh kertas kerja perniagaan kedai runcit

 

Produk terlarang

Produk dalam kategori ni paling BEST. Jual atas risiko masing-masing. Pastikan, kalau kena tangkap, anda ada cukup duit nak bayar denda, kompaun dan sebagainya. Ha ha

 

Produk terlarang ni macam rokok seludup, air ketum, mercun dan sebagainya. Kedai saya tak jual benda-benda ni. Produk terlarang ni, untung dia banyak dan repeat sales dia pun tinggi jugak. Tapi tu la… benda tak boleh jual.

 

Tak berbaloi sebenarnya nak ambik risiko jual benda pelik-pelik ni. Kita target nak berniaga lama, hingga bisnes kita boleh diturunkan kepada anak cucu kita, tapi disebabkan nak cepat kaya, jual produk terlarang, silap-silap bisnes kita tu tak sampai 2 tahun dah terpaksa tutup pula.

 

(12) Siapa yang akan bertanggungjawab untuk restock barang?

Bisnes ni tak boleh dijalankan sendirian. Macam mana pun kena ada pembantu. Kalau anda ada modal besar, mungkin anda tak ada masalah untuk dapatkan supplier yang sanggup hantar barang sampai ke kedai. Tetapi, kalau modal anda kecik je, selalunya andalah yang kena keluar beli barang niaga.

 

Time anda keluar tu, siapa yang nak jaga kedai? Tak kan nak tutup kot.

 

Kalau kedai masih baru, mungkin tak jadi masalah untuk tutup sekejap sebab anda perlu keluar untuk restock barang niaga. Mungkin boleh pilih waktu yang pelanggan agak kurang, untuk kita keluar. Tapi, sampai bila nak buat macam ni? Setiap kali keluar restock barang, terpaksa tutup kedai.

 

Jadi, suka atau tidak, memang kena ada bantuan orang lain, sama ada pekerja atau rakan kongsi untuk bantu dalam urusan perjalanan bisnes. Sekiranya anda perlukan bantuan, maka perlulah sediakan kos tambahan bagi tujuan membayar gaji atau upah yang sewajarnya.

 

(13) Waktu urusniaga

Buka seawal mungkin dan tutup paling lewat. Adakah anda sanggup tunggu? Esok ulang semula rutin hari ini. Saya tak nafikan, kerja-kerja yang terlibat dalam perniagaan kedai runcit ini agak memenatkan.

 

Kalau anda tak pernah lalui sendiri pengalaman bekerja dalam kedai runcit, anda mungkin tak dapat nak bayangkan atau mempunyai tanggapan yang silap mengenai bisnes ini.

 

Orang luar, mungkin beranggapan bisnes ini senang. Cuma perlu duduk dan tunggu pelanggan datang. Tapi sebenarnya bukan itu sahaja kerja kita. Ada banyak lagi.

 

Bisnes ini memerlukan tenaga yang banyak, dan orang yang dah berusia mungkin akan merasakan agak sukar menjalankan bisnes ini. Bisnes ini perlukan tenaga orang muda, untuk dijalankan dengan jayanya. Tapi sudah tentu anda tak semestinya perlu bersetuju dengan setiap apa yang saya kongsikan disini.

 

Saya pun bukanlah berniat nak mengajar anda cara-cara untuk jalankan bisnes ini. Saya sekadar berkongsi sedikit pengetahuan dan pengalaman, itu sahaja. Apa yang baik, harap dapat dimanfaatkan dan mana-mana yang terkurang, harap dapat dijadikan iktibar.

.

..

Baiklah, saya stop dulu sampai disini. Rasanya dah terlalu panjang pulak. In Shaa Allah, mana-mana yang saya tak sempat nak cerita tu, saya akan cover di lain masa ya. Semoga perkongsian yang ringkas ini bermanfaat untuk anda.

 

Bacaan tambahan:

Adakah anda memerlukan kertas kerja atau rancangan perniagaan untuk perniagaan anda? Cuba lihat kat laman web ini. Ada 33 contoh kertas kerja yang anda boleh edit dan guna untuk perniagaan anda. Kertas kerja untuk perniagaan runcit turut disediakan.

Baca juga: Panduan Langkah demi langkah cara menulis kertas kerja rancangan perniagaan dengan format yang betul

 

 

 

Exit mobile version